Saturday, August 29, 2009

Hadith-hadith Tentang Khinzir


Alhamdulillah, mudah-mudahan sempena bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan keberkatan ini Allah Ta'ala menarik kembali wabak selsema babi (H1N1) yang amat digeruni ini. Sempena pandemik tersebut, saya telah cuba mengumpulkan hadith-hadith Nabi SAW yang ada menyebut atau menyentuh tentang babi ini (selepas ini disebut khinzir sahaja). Hasilnya adalah sebahagian hadith-hadith seperti berikut;

Hadith-hadith Tentang Khinzir

1. Khinzir akan dibunuh oleh Sayyidina ‘Isa AS .

عَنْ أبي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَيُوشِكَنَّ أَنْ يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا مُقْسِطًا فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ وَيَضَعَ الْجِزْيَةَ وَيَفِيضَ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ.
[أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب البيوع، باب قتل الخنزير وقال جابر: حرم النبي صلى الله عليه وسلم بيع الخنزير رقم2070، وفي المظالم والغصب، بَاب كَسْرِ الصَّلِيبِ وَقَتْلِ الْخِنْزِيرِ رقم2296، وفي أحاديث الأنبياء ، باب نزول عيسى ابن مريم 3192 ومسلم في صحيحه، كتاب الإيمان ، باب نزول عيسى ابن مريم حاكما بشريعة نبينا محمد رقم220 وابن ماجه في سننه رقم 4067 عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ في حديث طويل بلفظ : ..وَيَذْبَحُ الْخِنْزِيرَ..]
Terjemahan:
Daripada Abu Hurairah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Demi yang jiwaku di tangan-Nya, nescaya hampir akan turun di kalangan kamu (’Isa) Ibnu Maryam sebagai pemerintah yang adil. Maka dia akan memecahkan salib, membunuh khinzir, menghentikan jizyah dan akan melimpahkan harta sehingga tidak ada seorang pun yang mahu menerimanya”.

2. Pengharaman khinzir

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ الْخَمْرَ وَثَمَنَهَا وَحَرَّمَ الْمَيْتَةَ وَثَمَنَهَا وَحَرَّمَ الْخِنْزِيرَ وَثَمَنَهُ
[أخرجه أبو داود في سننه، كتاب البيوع، بَاب فِي ثَمَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ رقم 3024]

Terjemahan:
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak dan harganya, mengharamkan bangkai dan harganya, serta mengharamkan khinzir dan harganya ”.

3. Ahli Kitab menghalalkan khinzir

عَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ أَنَّهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّا نُجَاوِرُ أَهْلَ الْكِتَابِ وَهُمْ يَطْبُخُونَ فِي قُدُورِهِمْ الْخِنْزِيرَ وَيَشْرَبُونَ فِي آنِيَتِهِمْ الْخَمْرَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنْ وَجَدْتُمْ غَيْرَهَا فَكُلُوا فِيهَا وَاشْرَبُوا وَإِنْ لَمْ تَجِدُوا غَيْرَهَا فَارْحَضُوهَا بِالْمَاءِ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا.
[أخرجه أبو داود في سننه، كتاب الأطعمة ، بَاب الْأَكْلِ فِي آنِيَةِ أَهْلِ الْكِتَابِ رقم3342، والحاكم في مستدركه رقم457 وأخرجه أحمد في مسنده طويلاً من حديث أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ رقم17071]

Terjemahan:
Daripada Abu Tha’labah al-Khusyani bahawa dia bertanya kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kami berjiran dengan ahli kitab dan mereka memasak daging khinzir dalam periuk/kuali mereka dan mereka juga minum arak dalam gelas/cawan mereka”. Maka jawab Rasulullah SAW: “Jika kamu dapat bekas yang lain, maka makan dan minumlah di dalamnya, dan jika kamu tidak perolehi bekas yang lain, maka siramlah (basuhlah) ia dengan air, dan (kemudian) makan dan minumlah dengannya”.

4. Buruknya khinzir sehingga dijadikan perumpamaan oleh Nabi SAW

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ بَاعَ الْخَمْرَ فَلْيُشَقِّصْ الْخَنَازِيرَ
[أخرجه أبو داود في سننه، كتاب البيوع، بَاب فِي ثَمَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ رقم 3027]

Terjemahan:
Daripada al-Mughirah bin Syu’bah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang menjual arak, maka sembelih dan lapahlah daging khinzir”. Yakni kerana buruk dan kejinya kedua-dua perbuatan tersebut.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ وَوَاضِعُ الْعِلْمِ عِنْدَ غَيْرِ أَهْلِهِ كَمُقَلِّدِ الْخَنَازِيرِ الْجَوْهَرَ وَاللُّؤْلُؤَ وَالذَّهَبَ
[أخرجه ابن ماجه في سننه، المقدمة ، بَاب فَضْلِ الْعُلَمَاءِ وَالْحَثِّ عَلَى طَلَبِ الْعِلْمِ رقم220 ]

Terjemahan:
Daripada Anas bin Malik katanya : Sabda Rasulullah SAW: “Menuntut ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim, dan orang yang meletakkan ilmu kepada orang yang bukan ahlinya adalah seperti orang yang mengkalungkan khinzir dengan batu permata, mutiara dan emas”.

5. Bani Isra’il ditukar rupa menjadi kera dan khinzir

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ: ... وَذُكِرَتْ عِنْدَهُ الْقِرَدَةُ - قَالَ مِسْعَرٌ وَأُرَاهُ قَالَ: - وَالْخَنَازِيرُ مِنْ مَسْخٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَجْعَلْ لِمَسْخٍ نَسْلًا وَلَا عَقِبًا وَقَدْ كَانَتْ الْقِرَدَةُ وَالْخَنَازِيرُ قَبْلَ ذَلِكَ
[أخرجه مسلم في صحيحه، كتاب القدر ، بَاب بَيَانِ أَنَّ الْآجَالَ وَالْأَرْزَاقَ وَغَيْرَهَا لَا تَزِيدُ وَلَا تَنْقُصُ عَمَّا سَبَقَ بِهِ الْقَدَرُ رقم4814 وأخرجه أحمد في مسنده ، مسند عبد الله بن مسعود رقم3517، 3560 وفيه: فَلَمَّا غَضِبَ اللَّهُ عَلَى الْيَهُودِ مَسَخَهُمْ فَجَعَلَهُمْ مِثْلَهُمْ.]

Terjemahan:
Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud katanya: … Rasulullah SAW ditanya tentang kaum yang diubah menjadi kera dan khinzir, lalu jawab Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan bagi kaum yang diubah itu berketurunan mahupun zuriat. Adapun kera dan khinzir yang sebenar memang telahpun wujud sebelum itu”. Dalam satu riwayat Ahmad: “Ketika Allah murka ke atas kaum Yahudi itu, Dia telah merubah mereka dan menjadikan mereka seumpama kera dan khinzir”.

6. Umat Nabi SAW yang ditukar rupa menjadi kera dan khinzir

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمْ الْأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمْ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ
[أخرجه ابن ماجه في سننه، كتاب الفتن، باب العقوبات رقم4010 ، وقد روى البخاري في صحيحه نحوه معلقاً في كتاب الأشربة، بَاب مَا جَاءَ فِيمَنْ يَسْتَحِلُّ الْخَمْرَ وَيُسَمِّيهِ بِغَيْرِ اسْمِهِ]

Terjemahan:
Daripada Abu Malik al-Asy’ari katanya : Sabda Rasulullah SAW: “Nescaya akan ada sekumpulan manusia dari kalangan umatku yang meminum arak. Mereka menamakannya dengan nama lain, sedang alat muzik dan penyanyi-penyanyi wanita pula berdendang di atas kepala-kepala mereka. Lalu Allah menenggelamkan mereka ke perut bumi dan menjadikan sebahagian mereka kera dan khinzir”.

Friday, August 28, 2009

Hadith-Hadith Motivasi Ramadhan

Hadith-hadith terpilih ini adalah sebahagian daripada hasil takhrij yang dilakukan oleh pelajar-pelajar saya di bawah subjek Takhrij al-Hadith. Agar dapat dikongsi bersama saya muatkan hadith yang terpilih sahaja di sini.

Hadith 1: Kelebihan orang berpuasa

عن سهل بن سعد رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : إن في الجنة بابا، يقال له الريان، يدخل منه الصائمون يوم القيامة، لا يدخل منه أحد غيرهم، فإذا دخلوا أغلق، فلم يدخل منه أحد. رواه البخاري ومسلم والنسائي والترمذي، وزاد: ومن دخله لم يظمأ أبدا.
[أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب: الصيام، باب: الريان للصائمين، رقم الحديث:1763. ومسلم في صحيحه، كتاب: الصوم، باب: فضل الصيام، رقم الحديث: 1947. والنسائى في سننه، كتاب الصيام، باب ذكر الاختلاف على محمد بن أبي يعقوب في حديث أبي أمامة في فضل الصائم، رقم الحديث: 2205. والترمذي في سننه، كتاب الصوم عن رسول الله صلى الله عليه وسلم، باب ما جاء في فضل الصوم، رقم الحديث: 696.]

Terjemahan hadith:
Daripada Sahl ibn Saad, daripada Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya di syurga itu ada sebuah pintu yang diberi nama “al-Rayyan”, akan masuk melaluinya pada hari kiamat kelak hanyalah orang-orang yang berpuasa. Tidak ada yang masuk melaluinya selain mereka. Apabila mereka telah memasukinya maka pintu tersebut ditutup, dan tidak ada seorang pun yang dapat memasukinya lagi”.

Hadith 2: Kelebihan bersahur

عن عبد الله بن الحارث عن رجل من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم قال: دخلت على النبي صلى الله عليه وسلم وهو يتسحر فقال: إنها بركة أعطاكم الله إياها فلا تدعوه . رواه النسائي بإسناد حسن .
[أخرجه النسائي في سننه ، كتاب الصيام ، باب فضل السحور، رقم الحديث: 2133 ]

Terjemahan hadith:
Daripada Abdullah bin al-Harith daripada seorang sahabat Nabi SAW berkata: Saya masuk menemui Nabi SAW dan baginda sedang bersahur, lalu sabdanya: “Sesungguhnya bersahur itu berkat yang diberikan oleh Allah kepada kamu, maka janganlah kamu tinggalkannya”.

Hadith 3: Kelebihan Lailatul-Qadar

عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: دخل رمضان فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن هذا الشهر قد حضركم وفيه ليلة خير من ألف شهر، من حرمها فقد حرم الخير كله، ولا يحرم خيرها إلا محروم.
رواه ابن ماجه وإسناده حسن إن شاء الله تعالى . [أخرجه ابن ماجه في سننه، كتاب الصيام، باب ما جاء في فضل شهر رمضان، رقم الحديث 1634]

Terjemahan hadith:
Daripada Anas bin Malik RA berkata : Telah datang bulan Ramadhan, maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu dan di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang terhalang daripada malam itu maka dia telah terhalang daripada kebaikan seluruhnya, dan tidak dihalang kebaikannya melainkan orang yang dihalang”.

Hadith 4: Kelebihan puasa Ramadhan

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: الصلوات الخمس والجمعة إلى الجمعة ورمضان إلى رمضان مكفرات ما بينهن إذا اجتنبت الكبائر. رواه مسلم.
[أخرجه مسلم في صحيحه، كتاب الطهارة، باب الصلوات الخمس والجمعة إلى الجمعة ورمضان إلى رمضان، رقم الحديث: 344.]

Terjemahan hadith:
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Antara solat lima waktu sehari, Jumaat sehingga Jumaat, dan Ramadhan sehingga Ramadhan seterusnya, adalah penghapus dosa antara kedua-duanya, selama seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar”.

Hadith 5: Kelebihan bulan Ramadhan

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين. رواه البخاري ومسلم
[أخرجه البخاري في صحيحه، كتاب الصوم، باب هل يقال رمضان أو شهر رمضان ومن رأى كله واسعا، رقم الحديث: 1765. ومسلم في صحيحه، كتاب الصيام، باب فضل شهر رمضان، رقم الحديث: 1793.]

Terjemahan hadith:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila bulan Ramadhan telah tiba, dibukalah pintu-pintu syurga, dan ditutuplah pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu.”

Monday, August 24, 2009

Kisah Kamus al-Marbawi


Catitan diari ini dianggap penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu-Arab kerana ia merakamkan usaha awal Syeikh al-Marbawi dan rakan-rakannya menyiapkan kamus Arab-Melayu yang pertama.

Kata si-penulis; "Kemudian dari beberapa bulan Muhammad Idris tinggal di Azhar, berduyun-duyun pelajar-pelajar dari Tanah Melayu dan Indonesia datang belajar ke Azhar. Kira-kira 1925 datanglah Syeikh 'Abdullah Langkat dan adiknya 'Abdul Majid serta Syeikh 'Abdul Rahim.

Kami bermuafakat ramai-ramai mengambil guru untuk belajar ilmu falak dari guru yang masyhur di Azhar iaitu Syeikh Abu al-'Ala' al-Falaki. Belajarlah kami dengan syeikh ini kira-kira 12 orang yang diketuai oleh Syeikh 'Abdullah 'Arifuddin Langkat, dan sama-sama beliau itu ialah Syeikh 'Abdullah Junid Tala dan Syeikh Nasruddin al-Johori dan Muhammad Idris.

Dengan qada' dan qadar Tuhan Rabbul 'Alamin, tiba-tiba ikhwan itu mendapat keuzuran kerana terlalu banyak menghabiskan masa untuk membuat terjemahan itu. Maka tampillah Muhammad Idris menyinsing lengan baju himahnya meneruskan terjemahan tersebut, akhir dicetak dan disebarkan kepada anak-anak Melayu dan Indonesia dengan nama Qamus Idris al-Marbawi Arab-Melayu".

- Catitan tulisan tangan bertarikh; 4 Oktober 1949, Syari' Qahirah. (Ihsan SMS daripada Ustaz ASG)

Friday, August 21, 2009

Tidak Perlu Mazhab-Mazhab Fiqh? (2)


Taklid Mazhab

Taklid asalnya ialah seseorang itu mengikut pandangan orang lain tanpa mengetahui dalil kesahihan dan ketepatan pandangan tersebut. Ini adalah martabat masyarakat awam, iaitu sebagai muqallid (orang yang bertaklid). Adapun orang alim yang mengetahui dalilnya dan tidak pula mencapai martabat mujtahid, dia tidak boleh tidak perlu mengikut pandangan tersebut di atas dasar beramal dengan ilmu. (Rujuk fatwa Dar al-Ifta')

Prinsip ulama mujtahid ; ’sekiranya sah sesuatu hadith, maka itulah mazhabku’ (إذا صح الحديث فهو مذهبي) bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterapkan dengan sewenangnya kerana ia memerlukan kepada kajian empirikal yang menyeluruh oleh alim ulama sesuatu mazhab itu terhadap masalah terbabit. Penentuannya juga berkait dengan usul al-fiqh dan kaedah-kaedah fiqh (القواعد الفقهية) yang adakalanya turut berbeza antara suatu mazhab dengan mazhab yang lain.

Bagaimanapun, seorang alim sesuatu mazhab yang bertukar mazhab dalam satu-dua masalah sahaja di kala telah ternyata kepadanya dalil dan hujah yang tidak dapat ditolak atau ditakwil lagi dalam masalah-masalah yang tersebut, tidak dianggap menukar mazhab asalnya selagi beliau masih berpegang dengan usul mazhabnya. Tidak sedikit juga terjadi orang alim yang bertukar mazhab dalam sesuatu masalah itu kemudian kembali semula kepada mazhab asal kerana tersilap dalam membuat analisis dan keputusan.

Mazhab Tarjih

Ini berbeza dengan orang yang mengisytiharkan diri tidak terikat dengan sesuatu mazhab, yang hakikat sebenarnya ia adalah juga suatu mazhab, yang saya sebut sebelum ini dengan nama ”mazhab ahlul-hadith”. Mazhab ini juga dipanggil ”mazhab tarjih” di mana dalam fatwa-fatwanya tertakluk kepada dalil yang lebih kuat (tentunya berdasarkan persepsi mereka dalam menganalisis dalil-dalil).

Maka dalam soal ibadah misalnya, bolehjadi mereka mentarjihkan mazhab Hanafi dalam sesatu masalah, dan mazhab Maliki dalam sesatu masalah yang lain, dan mazhab Syafi’i dalam masalah yang lain, dan mazhab Hanbali dalam masalah yang lain pula. Justeru, terhimpun keempat-empat mazhab dalam pelbagai amalan mazhab mereka. Mazhab ahlul-hadith ini juga hampir menyerupai mazhab Zaidiyyah di mana alim-ulama mazhab Zaidiyyah juga digalakkan berijtihad dan tidak terikat dengan pendapat mazhab mereka. Bagaimanapun, didapati kebanyakan amalan mereka cenderung kepada mazhab Hanafi dan mazhab Syafi’i.

Meskipun tidak ada nas atau dalil kuat yang melarang mereka berbuat demikian, namun para ulama mengingatkan ianya mestilah tidak bertujuan untuk mencari kemudahan dan menurut hawa nafsu (تتبع الرخص). Jika tidak ianya adalah jelas haram kerana tidak lagi ikhlas dalam pengabdian diri kepada Allah SWT. Sebagaimana tidak haram bagi mereka berbuat demikian, begitu juga tidak haram bagi seorang muqallid memilih mazhab tertentu untuk dirinya kerana tidak ada juga dalil yang melarangnya. Malah sekiranya dia tidak mahu bertukar mazhab sekalipun tidaklah ada apa-apa mudarat dan tidak juga berdosa. Ini kerana dia bukanlah telah melakukan perkara yang haram atau yang ditegah oleh syarak.

Masalah-masalah Praktis :

Berikut adalah sebahagian masalah-masalah yang diperselisihkan antara mazhab-mazhab fiqh yang empat yang disusun menurut bab-bab terpilih;

Bab Taharah:

1. Menghilangkan najis dengan air:
i. Abu Hanifah : Harus menghilangkannya dengan semua benda yang cair, selain minyak.
ii. Malik : Tidak boleh menghilangkannya kecuali dengan air sahaja.
iii. al-Syafi’i : -sama-
iv. Ahmad bin Hanbal : -sama-

2. Menggunakan air musyammas (kena panas matahari):
i. Abu Hanifah : Tidak makruh menggunakannya.
ii. Malik : -sama-
iii. Ahmad bin Hanbal : -sama-
iv.: al-Syafi’i : Makruh menggunakannya.

3. Najis yang masuk dalam air yang kurang dari dua qullah (190 liter padu):
i. Abu Hanifah : Dihukum najis, walaupun air tidak berubah.
ii. al-Syafi’i : -sama-
iii. Ahmad bin Hanbal (riwayat satu): -sama-
iv. Malik : Tidak najis, kecuali jika air berubah.
v. Ahmad bin Hanbal (riwayat dua): -sama-

4. Bersugi bagi orang yang berpuasa selepas gelincir matahari:
i. Abu Hanifah : Tidak makruh.
ii. Malik : -sama-
iii. Ahmad bin Hanbal (riwayat satu): -sama-
iv. al-Syafi’i : Makruh.
v. Ahmad bin Hanbal (riwayat dua): -sama-

bersambung...

Thursday, August 20, 2009

Melihat Anak Bulan Ramadhan


Kebanyakan negara Islam pada hari ini (Khamis) akan mencerap untuk melihat anak bulan bagi menentukan awal Ramadhan. Insya' Allah, mengikut kalendar hijrah (hisab) kita akan berpuasa pada hari Sabtu ini.
اللهم بلغنا رمضان...

Wednesday, August 19, 2009

Takhrij Hadith 'Tangkal'

Soalan :

Salam ustaz... nak tanya pernah dengar tak hadith ni:

Diriwayatkan oleh Baihaqi, seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Abu Dajanah yang berkata: “Aku telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w dengan berkata, wahai Rasulullah, sedang aku berbaring tiba-tiba aku mendengar desir suara seperti bunyi kisaran gandum dan berdengung seperti suara lebah. Dan aku terlihat pancaran kilat, lalu mengangkat kepala kerana terkejut dan takut. Tiba-tiba aku nampak bayangan hitam berdiri tegak memanjang memenuhi ruang rumahku. Lalu aku mendekati bayangan itu, aku terasa kulitnya seperti bulu landak. Bayang itu menyemburkan cahaya seperti semburan bunga api ke arah mukaku sehingga aku menyangka badan dan rumahku terbakar.Lalu Rasulullah s.a.w menyatakan, “Itu adalah syaitan yang mahu mengacau atau membuat keburukan di rumahmu ya Abu Dajanah”, Lalu Rasulullah menyuruh Ali Bin Abi Talib, “Tulislah ini”. Maka Saidina Ali pun menulisnya seperti di atas. Aku membawa tulisan tersebut balik ke rumah dan aku letakkan di kepala dan tidur, tidak lama aku mendengar jeritan dan tangisan berkata: “Wahai Abu Dajanah, engkau telah membakar kami, dengan perkataan/tulisan di atas. Demi kebenaran sahabatmu (Rasulullah saw), tolonglah buangkan tulisan tersebut, aku tidak akan datang mengacau engkau lagi, tolonglah”. Abu Dajanah menjawab “aku tidak akan membuangnya sehingga Rasulullah suruh aku membuangnya”. Abu Dajanah menyambung ceritanya, "Sepanjang malam tersebut aku mendengar jeritan dan suara mengerang kesakitan sehinggalah menjelang subuh, ketika aku sembahyang subuh bersama Rasulullah, aku pun menceritakan kepada baginda hal tersebut. “Demi Allah yang telah mengutusku sebagai Rasul sesungguhnya mereka (syaitan-syaitan) itu telah merasakan kesakitan dan akan menerima azab siksa sehingga hari kiamat”.

MAKSUD AYAT TERSEBUT (Tulisan tersebut ialah) :

"Inilah perutusan dari Muhammad Rasul sekian alam. Kepada mereka yang datang mengerjakan umrah dan berziarah. Amma ba’du. Sesungguhnya kebenaran itu adalah perlindungan bagi kita. Jika engkau terlalu baik, jahat, pemimpin yang sebenar ataupun yang bathil. Inilah kitab Allah yang membicarakan dengan sebenar-benarnya kepada kita, sesungguhnya Kami mencatatkan apa yang kamu lakukan dan malaikat Kami menulis segala apa yang engkau sembunyikan. Tinggalkanlah pembawa utusan ini dan pergilah kepada penyembah berhala dan mereka yang menyangka bahawa ada tuhan selain Allah. Katakanlah tiada tuhan melainkan Dia. Segala sesuatu akan hancur melainkan Dia. Bagi-Nyalah segala ketentuan dan kepada-Nyalah kamu semua akan dikembalikan. Haa Miiim, mereka tidak akan diberi pertolongan, Haa Miiim Ain Siiin Qaaf. Berpecah belahlah musuh-musuh Allah. Hujah Allah itu amat jelas, tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah. Allah memberikan kecukupan kepadamu, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Maha Benarlah Allah yang Maha Besar".

Macam tangkal je?

Jawapan:

Alhamdulillah kebetulan saya baru sahaja mentakhrijkan hadith tersebut atas permintaan seorang kawan. Memang benar ianya diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam kitabnya Dala'il al-Nubuwwah (no. 3044), tetapi al-Bayhaqi menyebut tarafnya sebagai mawdu' (palsu) dan tidak halal meriwayatkannya.

Wallahu a'lam.

Tuesday, August 18, 2009

Tidak Perlu Mazhab-Mazhab Fiqh? (1)

Kembali Kepada al-Quran dan al-Hadith

Seruan sesetengah pihak agar kembali kepada al-Quran dan al-hadith merupakan satu seruan yang perlu disambut dan diterima dengan baik. Kerana itulah wasiat baginda Nabi SAW kepada umatnya. Namun, jika seruan demikian mempunyai agenda tertentu, ia mungkin sukar untuk disambut dengan tangan terbuka. Iaitu agenda yang bertujuan menyeru supaya semua orang mengikut kefahaman mereka dan menolak kefahaman-kefahaman pihak yang lain terhadap al-Quran dan al-hadith. Barangkali pihak tersebut menyangka mereka telah melakukan perkara yang baik untuk agama, padahal hakikatnya ia telah memberi kesan yang buruk kepada agama. Terutama apabila terjadi perpecahan di antara umat Islam.

Kematangan Mazhab

Bukankah perbezaan mazhab-mazhab fiqh yang wujud sehingga sekarang adalah kerana perbezaan dalam memahami al-Quran dan al-hadith? Ini kerana sebahagian nas-nas al-Quran dan al-hadith secara tabi’i dapat memberikan beberapa tafsiran berbeza dan dapat difahami dengan beberapa kefahaman. Inilah kelenturan dan keanjalan syariat Islam. Justeru, sudah lebih dari 10 kurun mazhab-mazhab fiqh ini dipakai oleh umat Islam, dan ia telah diiktiraf oleh seluruh ulama muktabar selama berabad-abad lamanya. Bermula dari proses kelahirannya sehinggalah kepada proses kematangannya pada masa sekarang. Justeru, seruan ’kembali kepada al-Quran dan al-hadith’ adalah seruan yang hak, namun mudah disalah-erti atau disalah-gunakan. (كلمة حق يراد بها الباطل)

Lebih mengelirukan apabila disertai dengan seruan agar mengenepikan atau menolak mazhab-mazhab fiqh yang ada. Lalu mazhab-mazhab tersebut tidak perlu dipakai kerana sudah memadai dengan al-Quran dan al-hadith sahaja. Dari satu sudut, hal ini turut dapat menafikan konsep dua pahala bagi pihak yang betul dan satu pahala bagi pihak yang silap di dalam masalah-masalah yang diperselisihkan menurut batasan-batasan yang diiktiraf.


Kedudukan mazhab-mazhab fiqh yang dipegang oleh umat Islam di dunia.

Perbezaan Sisi Pandang

Memang tidak dapat dinafikan bahawa di dalam sesuatu masalah ada pihak yang lebih benar daripada pihak yang satu lagi. Bagaimanapun, ianya mempunyai dua kemungkinan, iaitu sama ada hujah sebelah pihak dilihat lebih kuat manakala hujah sebelah pihak lagi dilihat lemah, ataupun hujah kedua-dua pihak dilihat sama kuat dan tidak dapat dipastikan sebelah mana yang lebih lemah. Ukuran penentuan tersebut pula adalah amat relatif bergantung kepada sisi pandang seseorang alim, yang tidak mustahil seorang alim yang lain pula melihat sisi pandang yang sebaliknya.

Hakikatnya, mazhab-mazhab fiqh yang muktabar masih diperlukan kerana ia telah diasaskan di atas landasan yang kukuh. Masing-masing mempunyai usul mazhab yang saling disepakati, mahupun diperselisihkan sebagai sumber. Secara realiti, mereka yang mendakwa tidak mengikut atau memakai mana-mana mazhab fiqh, sebenarnya terhutang budi kepada mazhab-mazhab fiqh ini kerana telah menyediakan tapak bagi mereka membina dan mengasaskan 'mazhab baru'. Tanpanya mereka mungkin meraba-raba di dalam kegelapan. Padahal, rasa terhutang budi dan sayang inilah yang menyebabkan tokoh-tokoh ulama besar, walaupun mereka telah mencapai taraf mujtahid tidak mahu mendabik dada dan mengasingkan diri daripada mazhabnya.

Mazhab Kelima Terbesar

Tanpa dinafikan bahawa arus pembaharuan fiqh di zaman mutakhir ini telah melahirkan mazhab kelima terbesar Ahlus Sunnah wal-Jamaah, iaitu mazhab ahlul-hadith, yang berkembang di bawah aliran salafiyyah, di mana mereka mengisytihar mengasingkan diri daripada empat mazhab fiqh muktabar yang sedia ada. Berbicara di dalam dunia realiti, penulis melihat perkembangan mazhab ini memang tidak dapat disekat atau dihalang, dan sama ada kita suka atau tidak ia pasti akan terus berkembang. Fenomena demikian dapat dilihat seperti di Arab Saudi, Mesir, negara-negara Arab yang lain, Pakistan, India, dan termasuk juga di Nusantara. Meskipun mazhab ini belum tersusun dengan rapi, namun mesejnya yang mudah dapat diterima oleh generasi muda dengan baik, iaitu memilih dan mengikut dalil yang lebih rajih (lebih tepat). Bagaimanapun, disebabkan jahil atau taksub situasi ini adakalanya membawa kepada perbalahan runcing. Terutama apabila berlaku kes membidaah dan menyesatkan orang lain.

Alim ulama mazhab ahlul-hadith ini sewajarnya lebih tertumpu kepada menyusun mazhab mereka dengan lebih sistematik secara lengkap yang berasaskan kepada tarjih (pemilihan pendapat yang lebih kuat dan tepat) semata-mata yang dibina di atas usul yang jelas. Percubaan kitab Fiqh al-Sunnah dan kitab Usul al-Fiqh ’ala Mazhab Ahl al-Hadith misalnya, patut dipanjangkan dan diperbincangkan dengan lebih teliti. Ini lebih baik daripada menolak mazhab orang lain yang sudah teguh dan dianut oleh ribuan ulama muktabar sepanjang zaman. Dan lebih baik daripada berselisihan dalam masalah-masalah tertentu sahaja, sedangkan dalam baki pengamalan yang lain rupa-rupa sebenarnya terikat dengan usul mazhab tertentu tanpa disedari, tetapi mendakwa tidak mengikutinya. Dan lebih baik daripada membiarkan situasi berlakunya perbezaan tarjih dalam sesuatu masalah di antara alim-ulama mazhab ahlul-hadith itu sendiri sehingga pengikut-pengikut mereka menjadi bingung.

Wallahu a'lam.

Monday, August 17, 2009

17 Faedah Musibah, Bala Bencana dan Ujian Allah

Ada baiknya dalam situasi sekarang ini kita memuhasabah diri kita sendiri dan melihat ujian Allah SWT ini dengan pandangan basirah (mata hati) kita. 17 faedah ini disebut dalam risalah al-Fitan wal-Balaya wal-Mihan wal-Razaya, atau Fawa'id al-Balwa wal-Mihan oleh Imam 'Izzuddin bin 'Abdis Salam (m.660H), tokoh ulama besar dalam abad ke-7 hijrah, yang terkenal dengan gelaran Sultan al-'Ulama'. Saya nyatakan keseluruhannya secara ringkas dengan sedikit olahan daripada saya, penulis yang da'if ini.

Semua musibah, bala bencana dan ujian Allah SWT yang menimpa kita ini sebenarnya mengandungi hikmah dan rahsia di sebaliknya. Ia merupakan faedah dan manfaat yang besar bagi umat Islam secara khususnya. Antara hikmah atau faedahnya ialah;

1- Dapat mengenal keagungan dan kekuasaan rububiyyah (ketuhanan) Allah SWT.
2- Dapat menyedari akan kehinaan dan kekurangan 'ubudiyyah (perhambaan) manusia sebagai hamba-Nya.
3- Dapat mengikhlaskan diri kepada Allah SWT, kerana Dia-lah sahaja yang dapat menariknya kembali.
4- Dapat kembali semula kepada Allah SWT dan memberi tumpuan terhadap-Nya.
5- Dapat merasa rendah diri, dan berdoa mengharap kepada-Nya.
6- Dapat mendidik diri bersifat lemah lembut dan tidak lekas marah terhadap orang yang fitnah/musibah tersebut datang daripadanya, atau yang menyebabkannya. Ini kerana keyakinan kita kepada qadha' dan qadar Allah SWT.
7- Dapat mendidik diri memaafkan orang yang membawa fitnah/musibah tersebut, atau yang menyebabkannya.
8- Dapat mendidik sifat sabar dalam menghadapi musibah tersebut.
9- Dapat mendidik rasa gembira dengan musibah tersebut kerana faedah-faedah serta ganjaran-ganjaran pahala yang disediakan oleh Allah SWT.
10- Dapat mendidik rasa syukur ke atas musibah tersebut kerana mengandungi faedah-faedah berkenaan.
11- Dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah dilakukan.
12- Dapat menimbulkan rasa kasihan dan simpati terhadap orang yang ditimpa bala bencana, dan dapat membantu kesusahan mereka.
13- Dapat mengenal dan menghargai nikmat keafiatan dan kesihatan, serta mensyukurinya.
14- Dapat memperoleh ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT ke atas faedah-faedah yang tersebut di sini di akhirat kelak nanti.
15- Ia mengandungi faedah-faedah atau hikmah-hikmah yang tersembunyi, yang kadangkala nampak zahirnya negatif tetapi sebenarnya positif, atau pada zahirnya tidak kita sukai tetapi sebenarnya lebih baik untuk kita.
16- Dapat menegah diri kita dari sifat-sifat yang buruk, sombong, bangga diri, riya', takabbur dan seumpamanya.
17- Dapat mendidik sifat redha yang membawa kepada keredhaan Allah SWT.

Wallahu a'lam.

Sunday, August 16, 2009

5,000,000 Berisiko...???? (Dengan angka)

Berpunca kerana tiada pencegahan bersungguh-sungguh di 'pintu keluar-masuk' negara, sekarang semua orang menerima kesan buruknya. Bermula dengan 1 orang... kini dijangka 5,000,000 orang?! لطفك يا رب...

p/s: 'Senyum kambing' pertama kali pakai penutup muka.. mm.. serius!

Thursday, August 13, 2009

Asri Rabbani: Semoga Rohnya Dirahmati Allah..

Mungkin ramai juga yang terkejut dengan 'kehilangan' Asri Rabbani. Dalam usia 40, beliau telah dipanggil kembali bertemu Allah SWT. Perjalanan hidupnya dipenuhi dengan pelbagai corak dan rencah kehidupan yang, alhamdulillah, semuanya masih berkaitan dengan agama serta dakwah melalui bidang seni, daripada al-Arqam sehingga ke tahap beliau kini.

Saya tidak pernah kenal beliau, cuma berselisih beberapa kali, tetapi saya mengenali beberapa orang adik-beradiknya yang membuatkan seolah-olah saya mengenal keluarga Hj. Ibrahim. Adiknya, Zulkifli Ibrahim merupakan teman lama saya sewaktu di alam persekolahan. Dalam pertandingan-pertandingan nasyid pasti kami mengetengahkan beliau sebagai vokalis. Adik beliau, Fadzli Ibrahim juga selalu menjuarai pertadingan-pertandingan nasyid di sekolah dulu. Adik mereka, Mabrurah Ibrahim pula pernah menjadi student saya semasa belajar di KUIS.

Tentunya sedikit sebanyak saya mengenal keluarga Hj. Ibrahim, sebuah keluarga beragama yang patut dijadikan contoh. Keluarga Hj. Ibrahim pernah berhubungan rapat dengan Jemaah al-Arqam, ini tidaklah lain melainkan kerana ikhlas ingin mencari kehidupan beragama. Apabila telah ternyata kebenaran, mereka akur dan kembali kepadanya tanpa rasa berat hati menerimanya. Apa yang penting dicari ialah kehidupan beragama yang diredhai Allah SWT. Bagi saya keluarga Hj. Ibrahim yang serba sederhana itu patut dijadikan contoh teladan. Dan Asri Ibrahim adalah dari keluarga soleh ini.

Di sini saya bawakan kata-kata beliau yang ditulis di dalam blognya (asrirabbani.blogspot.com) yang dapat mencerminkan kepada kita sedikit daripada cara hidup dan pemikirannya. Kata beliau: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja, syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...". Semoga rohnya kembali dengan tenang menghadap Tuhannya.
رحمه الله تعالى رحمة واسعة

Wednesday, August 12, 2009

Allah Di Mana? Di Atas Langit atau Di Semua Tempat?

Soalan di atas, lazimnya ditanya oleh salah satu dari dua orang berikut, sama ada dia memang tak tahu dan inginkan jawapan, atau soalan perangkap 'salafi' (boleh baca salah pi) yang ingin menguji akidah 'lawan'nya. Ini kerana mereka sudah meyakini bahawa Allah Taala itu tempatnya di atas langit. Jika orang tersebut menjawab di atas langit, dia akan berpuashati, tetapi jika orang tersebut menjawab di semua tempat atau di mana-mana sahaja (seperti fahaman Muktazilah), maka dia akan memerli dan memperbodohkan begini: "Walaupun di tandas?!".

Sebenarnya soalan pilihan; 'di atas langit atau di semua tempat' seperti di atas adalah soalan bidaah. Saya katakan ianya bidaah sayyi'ah (yang keji). Ini kerana ianya telah menimbulkan terlalu banyak perbalahan dan sengketa sehingga kini. Maka eloklah ditinggalkan sahaja pertanyaan bidaah tersebut. Ini kerana jawapan yang pertama dan yang kedua adalah mustahil bagi Allah, selagi ia berhubung dengan tempat, sepertimana yang akan diterangkan nanti. Allah Taala tidak berada di tempat tertentu, sama ada atas, bawah, kiri, kanan, depan atau belakang. Ini tidak bermakna Allah Taala itu 'ma'dum' (معدوم) yakni 'yang ditiadakan' (seperti ejekan setengah ' salafi' pembidaah yang jengkel), kerana Dia telah sedia ada wujud dengan zat-Nya. Begitu juga Allah Taala tidak berada di semua tempat.

Jawapan Yang Sahih

Namun, pertanyaan; 'di mana Allah?' bukanlah bidaah. Ini kerana Allah Taala telah mengetahui tabiat manusia yang pasti akan bertanya soalan seperti itu. Dan Allah Taala tidak mahu umat Nabi Muhammad SAW ini menjadi sepertimana orang Yahudi dan orang Kristian yang beriktikad bahawa Allah Taala itu di atas langit dengan zat-Nya, lalu diturunkan anak-Nya 'Uzair menurut Yahudi, dan Jesus ('Isa) menurut Kristian, ke atas muka bumi, لا حول ولا قوة إلا بالله. Oleh kerana itu Allah Taala telah menurunkan jawapannya seperti berikut, firman-Nya dalam surah al-Baqarah:


Terjemahan: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku mudah-mudahan mereka menjadi baik serta betul". (186)

Bagaimanapun jika mereka tidak berpuashati dengan jawapan dari kalam Allah ini, katakanlah: Allah wujud tanpa bertempat (الله موجود بلا مكان). Ini kerana Allah Taala tidak memerlukan tempat (dan langit adalah termasuk daripada tempat). Yang memerlukan tempat ialah makhluk. Dia-lah yang menciptakan tempat, maka tempat adalah termasuk daripada makhluk. Allah Taala tidak memerlukan apa-apa daripada makhluk-Nya dan tidak bergantung kepada mereka sedikitpun.

Komentar Hadith Jariyah

Adapun hadith jariyah (hamba perempuan) yang menunjukkan seolah-olah Allah Taala di langit, dijawab oleh para ulama Ahlus Sunnah wal-Jamaah seperti berikut;

1- Ianya bukan hadith mutawatir. Maksudnya hanya segelintir sahabat Nabi SAW sahaja yang meriwayatkannya, tidak ramai. Maka orang yang mati tanpa akidah 'Allah di atas langit' tidaklah berdosa. Justeru, usul akidah mesti disabitkan dengan hadith mutawatir.

2- Hadith tersebut tidak dimuatkan oleh ulama-ulama hadith yang meriwayatkannya di dalam bab akidah, kecuali golongan musyabbihah dan sebahagian ahli hadith yang terpengaruh dengan mereka dalam mazhab Hanbali.

3- Ini kerana cara ia difahami berhubung dengan situasi hadith itu diucapkan, di mana jariyah tersebut adalah orang biasa yang kurang berpelajaran, maka wajarlah Nabi SAW melayaninya menurut kemampuan akal fikirannya. Dalam riwayat berkenaan beliau menjawab: "Di langit", kerana inilah kefahaman semua orang biasa, termasuk kaum Yahudi, Nasrani dan kaum musyrikin yang percaya kewujudan Tuhan dan kekuasaannya. Apa yang membezakan dengan mereka di sini ialah pengakuannya terhadap kerasulan Nabi SAW, lalu baginda menghukumkannya sebagai mukminah. Manakala dalam satu riwayat lain, beliau hanya menunjuk ke arah atas, manakala yang berkata 'ke langit' ialah perawi hadith yang menceritakan situasi berkenaan.

4- Maka para ulama menafsirkannya menurut kaedah; 'merujukkan nas yang mutasyabihat (mengelirukan) kepada nas yang muhkamat (meyakinkan)'. Antara nas yang muhkamat di sini ialah ayat (ليس كمثله شيء), "Tiada suatu apapun yang menyerupai-Nya". Jika Nabi SAW pernah bersabda; 'Allah di langit', pasti tidak timbul masalah, dan ianya tidak menjadi nas yang mengelirukan (mutasyabihat). Justeru, ulama menyatakan bahawa jawapan/isyarat jariyah tersebut adalah menunjukkan ketinggian kedudukan Allah (علو المكانة), dan bukannya ketinggian tempat Allah berada (علو المكان). Ini ditunjukkan dengan kalimah (في السماء), "di langit" dengan lafaz mufrad (tunggal) sahaja, bukan dengan lafaz (فوق السماء السابعة), "di atas langit ketujuh", atau dengan lafaz plural (فوق السموات), "di atas semua langit". Maka kalimah al-sama' dalam adat Arab mengisyaratkan kepada alam ghaib yang tidak dapat diketahui hakikat sebenarnya.

5- Tambah mereka lagi; adat umat Islam menadah tangan ke langit ketika berdoa adalah kerana langit itu adalah kiblat bagi doa (tidak kira sama ada anda di Kutub Utara atau di Kutub Selatan maka kiblat semasa berdoa ialah langit), sepertimana kita bersembahyang menghadap Allah Taala, maka kiblatnya ialah ke Kaabah. Ini bukanlah bermakna Allah Taala berada di hadapan kita dengan zat-Nya, dan tidak ada di sebelah belakang.. Jika kita mengamati kedudukan bumi dari angkasa dan mengamati seluruh alam cakerawala ini, di samping menginsafi kekerdilan diri, pasti kita akan akur dengan ayat al-Quran di atas. سبحان الله..

6- Kefahaman akidah orang awam seperti yang saya sebut di atas juga, berlaku dalam beberapa perkara akidah yang lain, seperti soal perbuatan hamba (أفعال العباد), kefahaman tentang iradah (kehendak) manusia dan qadar Allah SWT. Jika tidak diberi penjelasan atau diajarkan ilmu yang sahih, mereka akan menyangka bahawa Allah SWT menjadikan manusia dan membiarkan mereka berusaha mengurus hidup mereka masing-masing dengan sendiri tanpa campurtangan daripada-Nya. Atau pun mereka percaya hidup mereka ini telah ditentukan semuanya oleh Allah SWT, maka tidak perlu berusaha untuk mengubah apa-apa yang telah ditetapkan dan berserah sahaja bulat-bulat.

7- Sebahagian ulama Ahlus Sunnah seperti Imam Muhammad Zahid al-Kawthari dan al-Hafiz 'Abdullah al-Ghumari mengatakan bahawa hadith tersebut adalah syaz, iaitu hadith yang sahih sanadnya, tetapi matannya berlawanan dengan hadith-hadith sahih yang lain. Ini kerana kebanyakan dakwah Nabi SAW adalah dengan seruan supaya mengucap syahadah (لا إله إلا الله), bukannya bertanya ; "Di mana Allah?" (أين الله). Malah sebahagian jalan riwayat hadith berkenaan diriwayatkan dengan lafaz yang jelas : (أتشهدين أن لا إله إلا الله). Maka hadith syaz tidak dapat dijadikan hujah.

Wallahu a'lam.

Rujukan tambahan:

1- Fatwa al-Hai'ah al-'Ammah - sini.

2- Risalah al-Burhan al-Sadiq.

3- Fatwa Dar al-Ifta' Mesir - sini.

Tuesday, August 11, 2009

Kewafatan Habib Ahmad bin Hamid al-Haddad


Beliau ialah cucu kepada bekas mufti Johor dahulu. Nama lengkapnya, Ahmad bin Hamid bin 'Alawi bin Tahir al-Haddad al-Ba'alawi. Beliau meninggal dunia pada 9 Syaaban 1430 bersamaan 31 Julai 2009 lalu. Jenazahnya telah dikebumikan di Salalah, Yaman, kawasan permakaman keluarga besar al-Haddad. Jasanya amat besar di dalam mengumpul dan memelihara pusaka ilmu datuknya, al-Sayyid al-Habib 'Alawi al-Haddad (foto bawah). Bapa beliau, Habib Hamid al-Haddad juga merupakan ulama dari kalangan keluarga Ba'alawi (biografinya di sini). Antara anak-anak Habib Ahmad; ialah Habib Husain, Habib Hasan dan Habib 'Alawi.

اللهم ارحمه واغفر له وتقبله في الصالحين، واخلفه على أهله ومحبيه في الغابرين. اللهم اجعل كتابه في عليين واكتبه عندك في الصالحين، واغفر لنا وله يا رب العالمين.

Biografi beliau di Taman Habaib.

Rakaman Nadir Syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah

Daripada tahun 2004 sehingga saya selesai menyiapkan master saya pada tahun 2008 berkenaan tokoh ulama, Syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah (m.1997) رحمه الله, teringin sekali saya nak melihat rakaman wajah dan suara beliau, namun tidak ada rezeki. Baru hari ini saya berpeluang menemuinya melalui youtube, الحمد لله, iaitu rakaman majlis ilmu yang disampaikan oleh beliau di Morocco di hadapan Sultan Hasan. Beliau pernah menyampaikan beberapa pengajian di sana, dan teks-teks pengajian tersebut telah diterbitkan bersama himpunan siri pengajian yang lain berjudul 'al-Durus al-Hasaniyyah'.

Monday, August 10, 2009

Rakaman Nadir Sayyidi Syeikh 'Abdullah al-Ghumari

Bagi yang tidak mengenali beliau mungkin tidak berasa apa-apa. Namun bagi yang mengenalinya pasti sangat teruja dengan rakaman pendek ini. Saya telah lama mengenal beliau melalui tulisan-tulisannya semenjak di Mesir lagi. Beliau adalah tokoh besar hadith dan sufi sekaligus. Abangnya, Syeikh Ahmad al-Ghumari dan adiknya Syeikh 'Abdul 'Aziz al-Ghumari juga adalah tokoh-tokoh ulama hadith besar. Mereka bertiga telah menyusun dan menghasilkan ratusan buah kitab dalam pelbagai disiplin ilmu. Rakaman video pendek ini mungkin adalah rakaman nadir yang jarang ditemukan yang dapat 'menceritakan' sekelumit daripada kehidupan al-'Allamah al-Sayyid 'Abdullah al-Ghumari. Adiknya, Syeikh 'Abdul 'Aziz (juga ada beberapa rakaman beliau dalam youtube) tiba di bahagian akhir rakaman tersebut. رحمهم الله

Bagaimana Berinteraksi Dengan Hadith?

Setelah sekian lama saya mendengar nama Syeikh Muhammad 'Awwamah, sebagai pewaris ilmu dan pemikiran al-Marhum Syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah, tokoh ulama yang saya minati itu, barulah kini saya menemui rakaman wajah dan suara beliau. الحمد لله. Isu yang dibincangkan ialah tentang 'bagaimana berinteraksi dengan hadith Nabi SAW?'. Rujukan asal saya pautkan pada judul di atas, yang siap dengan teksnya sekali.

Mazhab Dr. Yusuf al-Qaradhawi



Dr. Yusuf al-Qaradhawi merupakan antara ulama yang berjaya menarik perhatian ramai ulama dan ahli akademik terhadap aliran pemikiran yang dibawanya. Ini kerana metod beliau sejak dari mula adalah bersikap sederhana dan toleran di dalam mengupas isu-isu berkaitan Islam, selain kemampuan ilmu pengetahuannya yang cukup luas. Kesan daripada acuan pemikiran dakwah Imam Hasan al-Banna ketara pada pemikiran beliau. Syeikh al-Qaradhawi digelar sebagai 'Pemimpin Aliran Sederhana' (رائد المدرسة الوسطية) dalam pemikiran Islam. Beliau berjaya menarik aliran Asy'ariyyah sederhana dan aliran Salafiyyah sederhana terhadap wawasan pemikirannya, meskipun ada segelintir yang ekstrim daripada kedua-dua aliran tersebut yang menganggapnya sebagai sesat dalam fatwa-fatwanya.

Inilah kesederhanaan Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Dalam sebuah majlis beliau pernah berseloroh demikian: "Saya adalah salafi, ala sufi, ala asy'ari". Katanya lagi: "Ada orang bertanya saya: Apa mazhab tuan? Lalu jawab saya: Saya masuk ke al-Azhar sebagai hanafi. Adapun sehingga sekarang saya adalah hanafasya'i", maksudnya mazhab hanafi campur syafi'i. Lantas ketawalah semua yang ada di dalam dewan majlis itu dengan gurauan Syeikh al-Qaradhawi tersebut.

Beliau menceritakan sebabnya demkian: "Ketika saya nak mendaftar di al-Azhar, orang yang mendaftarkan saya pada masa itu ialah salah seorang alim dari tempat kami Safat Turab, wilayah Gharbiyyah (Delta Nil) bernama Syeikh 'Abdul Muttalib al-Bitti rah. Ketika beliau menulis pendaftaran berkenaan, tiba pada ruangan 'mazhab'. Pada mulanya saya nak menyebut kepada beliau: Tuliskan mazhab syafi'i, tetapi tiba-tiba beliau berkata terlebih dulu: Apa pendapat kamu ya Syeikh Yusuf kamu jadi hanafi seperti saya? Lalu jawab saya: Baiklah kalau begitu saya hanafi seperti tuan. Maka jadilah saya bermazhab hanafi secara tak sengaja". Kata beliau dengan tersenyum.

Menurutnya lagi, beliau mempelajari semua mazhab ketika di al-Azhar. Kata beliau: "Saya mempelajari mazhab hanafi, dan selepas itu saya mempelajari kesemua mazhab. Saya juga mempelajari akidah Asy'ariyyah ketika di Maahad Diniyyah dan juga di Fakulti Usuluddin. Akan tetapi saya pergi lebih luas, lalu saya pelajari juga akidah Salafiyyah.. Saya pelajari al-Ghazali dan saya juga pelajari Ibn Taimiyyah".

Tambahnya lagi: "Pelajaran yang mula-mula saya pelajari ialah pada al-Ghazali, dan selepasnya baru saya pelajari Ibn Taymiyyah. Saya kagum dengan Ibn Taimiyyah, akan tetapi saya tidak menolak al-Ghazali secara langsung. Saya merujuk kepada pihak yang ini dan juga kepada pihak yang ini. Dan seorang muslim itu memilih daripada tiap-tiap sesuatu, apa yang paling baik ada padanya, dan tidak mengkafirkan seseorang melainkan dengan perkara yang qat'i (pasti dalam agama)".

(Rujuk pautan pada judul)

Sunday, August 9, 2009

Pemuda yang Akan Dibunuh Dajjal Sudah Muncul?

Matan Hadith:

أخرج البخاري في صحيحه عن أبي سعيد الخدري قال: حدثنا رسول الله صلى الله عليه وسلم يوما حديثا طويلا عن الدجال ، فكان فيما يحدثنا به أنه قال : ( يأتي الدجال ، وهو محرم عليه أن يدخل نقاب المدينة ، فينزل بعض السباخ التي تلي المدينة ، فيخرج إليه يومئذ رجل ، وهو خير الناس ، أو من خيار الناس ، فيقول : أشهد أنك الدجال الذي حدثنا رسول الله صلى الله عليه وسلم حديثه ، فيقول الدجال : أرأيتم إن قتلت هذا ثم أحييته ، هل تشكون في الأمر ؟ فيقولون : لا ، فيقتله ، ثم يحييه ، فيقول : والله ما كنت فيك أشد بصيرة مني اليوم ، فيريد الدجال أن يقتله فلا يسلط عليه ) . - الرقم: 7132 ومسلم: 5229

Terjemahan dan Huraian:

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menceritakan kepada kami pada satu hari, cerita yang panjang tentang Dajjal. Antara perkara yang baginda ceritakan kepada kami ialah sabdanya: Dajjal akan datang sedangkan dia tidak dapat memasuki jalan-jalan dan lereng-lereng bukit di Madinah maka dia berhenti di kawasan tanah yang gersang (tiada tumbuhan) yang terletak berdekatan Madinah. Maka keluar pada hari itu seorang lelaki yang paling baik atau (keraguan rawi) antara manusia yang baik, lalu lelaki itu berkata kepada Dajjal: Aku bersaksi sesungguhnya engkau ini adalah Dajjal sebagaimana yang telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya. Dajjal pun berkata: Apa pendapat kamu sekalian sekiranya aku mematikan yang ini kemudian aku menghidupkannya semula? Adakah kamu ragu-ragu tentang perkara itu? Orang-orang menjawab: Tidak. Maka Dajjal pun membunuhnya, kemudian menghidupkannya semula. Lalu lelaki itu berkata sebaik sahaja Dajjal menghidupkannya: Demi Allah, aku lebih yakin tentang dirimu sekarang ini dari apa yang aku tahu sebelum ini. Lantas Dajjal pun ingin membunuh lelaki itu tetapi tidak berjaya. (al-Bukhari: 7132 dan Muslim: 5229)

Menurut Abu Ishaq, murid Imam Muslim: Dikatakan lelaki tersebut ialah Nabi Khidir AS. Mungkin ini bersandarkan kepada pendapat Ma'mar di dalam kitab Jami'nya, kata beliau : Dikhabarkan padaku bahawa orang yang dibunuh oleh Dajjal itu ialah Khidir. Namun, Ibn al-'Arabi mengkritik dakwaan berkenaan katanya: Dakwaan ini tidak ada buktinya. (Lihat: Ibn Hajar dalam Fath al-Bari)

Ada juga yang mengatakan, lelaki tersebut ialah Imam Mahdi. Pendapat ini juga tidak ada dalilnya, kerana hadith sahih di atas hanya menyebut seorang lelaki (رجل) dari kalangan orang mukmin yang terbaik. Justeru, tidak perlu ditentukan siapakah lelaki berkenaan berdasarkan hadith al-Bukhari dan Muslim di atas. Yang pastinya, dia adalah seorang wali dan wira yang hebat.

Di internet melalui youtube, telah tersebar rakaman di bawah ini tentang kisah seorang bayi yang lahir di Gaza, Palestin kira-kira 4 tahun lalu dan bercakap bahawa dia adalah lelaki yang akan dibunuh oleh Dajjal dan dihidupkan kembali olehnya. Subhanallah.. bayi bercakap? Jika benar, ia adalah karamah pertama baginya sehinggalah dia akan menzahirkan karamah besar sebagai mukjizat daripada perkhabaran Nabi SAW apabila dia akan berhadapan dengan Dajjal tanpa rasa gentar sedikitpun.

Sama ada kita nak percaya atau tidak, yang pasti dunia sudah tiba di penghujungnya dan tanda-tandanya sungguh banyak. Bukan soal percaya atau tidak, tetapi apakah persediaan kita sekarang ini? Wallahu a'lam.

Saturday, August 8, 2009

Langkah & Usaha Pencegahan... Insya' Allah

Ada beberapa entri saya yang berkaitan amalan untuk menghindari wabak, tetapi tidak dimuat dalam satu entri. Lalu saya teringin untuk senaraikan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah wabak yang terdapat dalam beberapa blog masuk ke dalam satu entri. Namun, rupa-rupanya Ustaz Abu Zahrah dari blog al-Fanshuri dah berbuat demikian. Maka tak perlu rasanya saya mengulang suatu kerja yang telah dibuat untuk kali kedua bagi menjimatkan tenaga dan masa. Justeru, saya pautkan sahaja entri beliau tersebut di SINI.

Selain itu, ada juga amalan yang dipanjangkan oleh Dato' Hj. Mohd. Murtadza, mantan Mufti Negeri Sembilan di dalam blognya, yang saya perturunkan teksnya di bawah ini.

Alhamdulillah, doa ini juga sama dengan doa yang pernah diperturunkan oleh al-marhum datuk saya, Kiyai Hj. Hussin bin Hj. Abbas dahulu. Cuma tiada tambahan selawat sepertimana di atas. Ada juga yang mencatatkannya dengan lafaz yang agak pendek sedikit seperti di bawah.


Semoga dimanfaatkan.

Kewafatan Syeikh Muhyiddin al-Kurdi (رحمه الله)

Syeikh Muhyiddin al-Kurdi adalah salah seorang ulama besar qiraat di Dimasyq, Syria. Beliau telah meninggal dunia semalam, Jumaat selepas solat maghrib, 7 Ogos 2009 bersamaan 16 Syaaban 1430H dalam usia 97 tahun, atau 100 tahun dengan kiraan hijrah. Beliau banyak menghabiskan hidupnya dengan berkhidmat kepada al-Quran, masya' Allah. Biodata beliau terdapat dalam kitab Tarajim al-Qurra' oleh Syeikh Ilyas al-Barmawi. (klik sini, sini, atau sini)

Gambar di bawah adalah tokoh-tokoh qurra' daerah Syam dengan gambar Syeikh Muhyiddin al-Kurdi di tengah-tengahnya.

Friday, August 7, 2009

Bidaah Tariqat 'Alawiyyah.. Bukan Ajaran Tasawuf!


Tariqat 'Alawiyyah dari Algeria kini baru sahaja selesai daripada upacara sempena memperingati 100 tahun tariqat berkenaan (1909-2009). Tariqat ini dipimpin oleh Syeikh Khalid bin Tunis (foto bawah). Namun dalam upacara yang disertai sekitar 5000 orang tersebut banyak berlaku perkara-perkara bidaah, seperti percampuran lelaki dan perempuan, serta penayangan video yang menunjukkan gambar Nabi SAW, Abu Bakar dan 'Umar dengan beberapa malaikat sedang terbang di awangan, kecuali wajah 'Nabi' dikaburkan. (klik sini, dan sini)


Syeikh Khalid bin Tunis juga pernah berfatwa bahawa hijab (tudung) bagi perempuan bukanlah kewajipan agama (dharurah diniyyah), dan tidak difardhukan memakainya kepada wanita secara tegas. Beliau juga berdegil dengan teguran dan kritikan Jam'iyyah al-'Ulama' al-Muslimin Algeria terhadap kitabnya (الصوفية الإرث المشترك) yang mengandungi gambar-gambar lukisan Nabi SAW. (klik sini, sini, dan sini, dan sini) Dalam perkembangan terkini, semakin ramai ulama yang meminta agar kitab tersebut ditarik balik penjualannya. Dalam ertikata lain, supaya diharamkan dari disebarkan kepada masyarakat. (klik sini)


Sudah tentu ini memberi ruang dan peluang kepada musuh-musuh Tasawuf dan tariqat-tariqat sufi bagi menghentam dan mengkritiknya habis-habisan, kerana bagi mereka dianggap sebagai punca bidaah dan khurafat. Malah ada yang memberi komentar, inilah jadinya kesan kerana tasawuf bersumberkan dari agama Kristian dan Hindu! لا حول ولا قوة إلا بالله. Bak kata pepatah, umpama kerbau seekor membawa lumpur, habis semua terpalit. Secara jelas, apa yang dibuat oleh tariqat berkenaan bukanlah dari ajaran tasawuf yang sebenar. Agaknya jika Syeikh Ahmad al-'Alawi (foto kanan), pengasas tariqat tersebut masih hidup pasti beliau juga tidak redha dengan apa yang dilakukan oleh para pengikutnya sekarang. Ini kerana ajarannya masih berpegang dengan ajaran tasawuf yang sahih.

Nampaknya, 'guru-guru' penulis di dalam laman forum Rawdh al-Rayyahin juga turut mengecam apa yang berlaku di sana, Seperti Dr. Hamzah al-Kattani, Dr. Muhib al-Sya'rani dan lain-lain. (klik sini)

Al-Awa’il al-Sunbuliyyah: Kitab Sanad yang Masyhur

Muka awal manuskrip al-Awa'il al-Sunbuliyyah.

Biografi Penyusun

Penyusun kitab ialah Syeikh Abu al-Khayr Muhammad Sa‘id ibn Muhammad Sunbul al-Qurasyi al-Makki al-Syafi‘i. Beliau berasal daripada Mekah, dan merupakan salah seorang ulama besar mazhab Syafi’i di Mekah. Beliau pernah menjawat tugas bagi hal-ehwal fatwa dan pengajaran bagi mazhab Syafi’i di Masjidil Haram. Beliau telah menghasilkan beberapa buah karya. Antara tulisan buah tangannya selain kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah kitab Isnad Muhammad Sa‘id, kitab Thabat dan lain-lain. Beliau telah meninggal dunia di Taif pada tahun 1175 H.

Di antara murid-muridnya yang terkenal ialah anak beliau sendiri, Muhammad Tahir Sunbul (m.1218H), Muhammad Sa‘id Safar al-Madani (m.1194H), Syeikh Isma‘il bin ’Abdullah al-Naqsyabandi (m.1182H), Muhammad ibn Sulayman al-Kurdi al-Madani (m.1192H), Mustafa bin Muhammad al-Rahmati (m.1205H), Muhammad al-Murtadha al-Zabidi, pensyarah Ihya’ ’Ulumiddin (m.1205H) dan lain-lain lagi. (Lihat: Khayr al-Din al-Zirikli, al-A‘lam, j. 6, h. 140. Muhammad ‘Abd al-Hay ibn ‘Abd al-Kabir al-Kattani, Fihris al-Faharis wa al-Athbat wa Mu‘jam al-Ma‘ajim wa al-Musalsalat, j. 1, h. 100-102. Muhammad ‘Abd Allah Al Rasyid, Imdad al-Fattah bi Asanid wa Marwiyyat al-Syaykh ‘Abd al-Fattah. h. 588-589).

Latarbelakang Kitab

Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ialah sebuah kitab kecil yang menghimpunkan hadith-hadith pertama yang terdapat di dalam 43 buah kitab hadith, yang diriwayatkan oleh Syeikh Muhammad Sa‘id secara bersambung sanadnya sampai kepada penyusun-penyusun kitab berkenaan. Ini termasuklah al-Kutub al-Sittah, Sunan al-Darimi, Muwatta’ Malik, Musnad Imam Abu Hanifah, Musnad Imam al-Syafi’i, Musnad Imam Ahmad, Sunan al-Daraqutni, Sunan Sa’id bin Mansur, Musannaf Ibnu Abi Syaibah, Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, Musnad al-Tayalisi dan lain-lain.

Tujuan kitab al-Awa’il seperti ini disusun ialah bagi memudahkan penyusunnya mengijazahkan kitab-kitab hadith yang diriwayatkan kepada murid-muridnya atau sesiapa sahaja yang ingin meminta ijazah daripadanya dan layak. Maka sesiapa yang meriwayatkan kitab al-Awa’il ini bermakna sanadnya bersambung secara langsung dengan penyusun-penyusun kitab hadith yang tersebut, seterusnya bersambung dengan Rasulullah SAW. Syeikh Muhammad Sa‘id telah meriwayatkan semua kitab-kitab tersebut daripada guru-gurunya, yang nama mereka seperti berikut; Syeikh Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (juga guru Syah Waliyullah al-Dihlawi), Syeikh ‘Id ibn ‘Ali al-Azhari (murid Syeikh ’Abdullah bin Salim al-Basri), Syeikh Ahmad al-Nakhli al-Makki dan Syeikh ‘Umar ibn Ahmad ibn ‘Aqil al-Saqqaf. Beliau juga menambah kemudiannya beberapa hadith daripada beberapa kitab hadith lain yang hampir berjumlah 30 buah. Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini masyhur digunakan di daerah Hijjaz dan juga benua kecil India sejak kurun ke-12 Hijrah. (Muhammad ‘Abd al-Hay ibn ‘Abd al-Kabir al-Kattani, ibid., j. 1, h. 100-101). (Klik sini atau ملف وورد)

Sanad Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani

Kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini telah menerima tumpuan daripada ramai ahli ilmu dan para pencari sanad. Ini dapat dilihat sebagai contohnya di dalam sanad Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani (foto kanan), di mana beliau telah meriwayatkan kitab ini daripada hampir 40 orang syeikh yang dihimpunkan kesemua sanad mereka di dalam risalah kecil berjudul : (النفحة المسكية في الأسانيد المتصلة بالأوائل السنبلية). Jumlah keseluruhan perawi yang terdapat di dalam risalah ini adalah sekitar 190 orang, iaitu antara murid-murid Syeikh Muhammad Sa‘id Sunbul sehingga guru-guru Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. رحمهم الله تعالى Kebanyakan mereka terdiri daripada alim ulama besar yang berasal dari berbagai tempat seperti Hijjaz, Syria, Mesir, Maghribi, Yaman, India, dan juga Nusantara.

Tahkik Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah

Kitab ini telah menerima perhatian daripada ramai ahli ilmu. Ada yang memberi huraian terhadapnya seperti Syeikh Ahmad ibn ‘Uthman al-‘Attar, dan ada juga yang mentahkik isi kandungannya, antaranya ialah Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (foto kanan). Beliau telah meriwayatkan kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini melalui rantaian sanad keluarga Sunbul, iaitu daripada Umm Tahir ‘A’isyah Sunbul (m. 1415H), daripada bapanya Syeikh Muhammad Tahir Sunbul (m. 1343H) (foto kanan bawah), daripada bapanya ‘Umar Sunbul, daripada bapanya ‘Abd al-Muhsin Sunbul (m. 1266H), daripada bapanya Muhammad Tahir Sunbul (m. 1218H), daripada bapanya Syeikh Muhammad Sa‘id Sunbul, penyusun kitab tersebut. (Muhammad ‘Abd Allah Al Rasyid (1999), op.cit., h. 589)

Kitab ini sebenarnya sudah dicetak banyak kali, namun edisi yang ditahkik oleh Syeikh ‘Abd al-Fattah ini agak berbeza dengan edisi-edisi cetakan yang lainnya kerana beliau turut melampirkan beberapa tambahan yang dibuat oleh penyusunnya sendiri yang belum pernah dicetak sebelumnya.

Sanad al-Faqir

Alhamdulillah, saya telah meriwayatkan kitab al-Awa’il al-Sunbuliyyah ini daripada guru kami, al-’Allamah al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh, yang meriwayatkannya daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. Namun beliau tidak menyebut kesemua sanad Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, dan hanya menyebut jalur riwayatnya daripada Sayyid Zaki bin Ahmad al-Barzanji al-Madani (foto kanan), daripada bapanya al-Mufti Sayyid Ahmad bin Isma’il al-Barzanji, daripadanya bapanya Sayyid Isma’il bin Muhammad al-Hadi al-Barzanji, daripada Syeikh Khalid bin Hasan al-Kurdi, daripada Syeikh Muhammad bin ’Abdur Rahman al-Kazbari, daripada Syeikh Muhammad ibn Sulayman al-Kurdi al-Madani, daripada penyusunnya sendiri Syeikh Muhammad Sa‘id Sunbul. رحمهم الله تعالى جميعا

* p/s: Dilarang menerbit semula kecuali dengan izin penulis, atau memberi kredit kepada penulis demi amanah ilmiah.

Thursday, August 6, 2009

Syeikh Ibrahim al-Batawi 1924-2009

Beliau ialah Syeikh Tariqat Syaziliyyah Batawiyyah, Mesir. Namun beliau bukanlah seorang alim yang masyhur. Dan kemasyhuran pun bukanlah syarat sebagai tanda kehebatan seseorang. Meskipun beliau tinggal di Mesir, tetapi tiada sebarang maklumat berkaitan dengannya di internet dalam bahasa Arab. Yang peliknya ada dalam bahasa Inggeris, dalam laman sesawang muridnya di Amerika, Syeikh Abdullah Nooruddeen Durkee (khalifah in the Western Hemisphere of Shaykh Ibrahim Muhammad al-Battawi). (klik sini)

Syeikh Ibrahim adalah bekas pensyarah Falsafah Islam di Universiti al-Azhar selama 25 tahun. Setelah bersara beliau meneruskan aktiviti mengajar dan mengendalikan zawiyah tariqatnya di Syari' al-Azhar, Kaherah sehinggalah beliau wafat.

Salah seorang muridnya, Ibrahim Hakim Al-Shaghouri menulis: "...this 14th day of the holy month of Rajab [1430H], our grandshaykh passed away into the Mercy and Pleasure of Allah Most High and His Loving Care, due to liver complications in the hospital... inna lillahi wa inna ilayhi raji'un! If a number of you have not heard of him, it is because he chose to live a life based on the principle of hiding and erasing yourself to instead show a reflection of Allah's Attributes, and indeed anyone who came into contact with the gentle tranquility and effacing humility of his being knew that he was one of those that Allah chose to guard under His veils of jealousy. His entire life - from when he was conscious of his surroundings until his passing away at an age exceeding 80 years - was truly spent entirely for Allah. He was a man of gentle compassion, of piercing knowledge, of impeccable character, of deep contemplation, of generous hands to the point of being brave with his generosity, of genuine care and concern for those under his training and for the Muslims in general, fierce against falsehood and unbridled lust for the Dunya, preferring the simple and elegant over the extravagant and vulgar, and one who was fully pleased and content with Allah being Allah...".

رحمه الله تعالى

Wednesday, August 5, 2009

Malam Nisfu Sya'ban: Ada Kelebihannya?

Sangat banyak telah dibincangkan oleh ulama tentang kelebihan malam Nisfu Sya'ban ini. Hampir setiap tahun isu sebegini timbul. Maklumlah setahun sekali, ada yang terlupa. Lebih-lebih lagi dekad kebelakangan ini apabila semakin ramai 'orang-orang pandai' muncul. Maka ada yang menafikannya, meskipun ramai yang mensabitkannya.

Sebenarnya sudah banyak karya-karya yang telah dihasilkan oleh ulama berhubung kelebihan Nisfu Sya'ban ini, antaranya ialah;

1) فضل النصف من شعبان لفقيه الحرم المكي محمد ابن إسماعيل بن أبي الصيف اليمني الشافعي - ت 609 هـ ، ويقال لكتابه : فضائل شعبان .
2) ما جاء في شهر شعبان للحافظ أبي الخطاب ابن دحية الأندلسي - 633 هـ .
3) ليلة النصف من شعبان وفضلها للحافظ أبي عبد الله محمد بن سعيد الدُّبَيْثي - ت 637 هـ .
4) تحلية الشبعان فيما روي في ليلة النصف من شعبان للحافظ شمس الدين محمد بن طولون الصالحي الدمشقي - ت 953 هـ .
5) الإيضاح والبيان لما جاء في ليلة النصف من شعبان للشيخ العلامة ابن حجر الهيتمي الفقيه الشافعي - ت 975 هـ .
6) مواهب الكريم المنّان في الكلام على أوائل سورة الدخان وفضائل ليلة النصف من شعبان للشيخ الفقيه نجم الدين محمد بن أحمد الغيطي الشافعي - ت 981 هـ .
7) الكشف والبيان عن فضائل ليلة النصف من شعبان للشيخ سالم السنهوري المالكي - من علماء القرن العاشر الهجري .
Kalau tak silap saya risalah ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Ustaz Fuad Kamaluddin al-Maliki, Rembau.
8) رسالة في فضل ليلة النصف من شهر شعبان للشيخ العلامة محمد حسنين مخلوف العدوي الأزهري المالكي - ت 1355 هـ .
9) حسن البيان في ليلة النصف من شعبان للعلامة المحدِّث الشيخ عبد الله بن الصِّديق الغماري - ت 1413 هـ .
10) منحة الرحيم الرحمن في بعض ما ورد في ليلة النصف من شعبان للشيخ محمود إبراهيم آل محمود البحريني
11)
ليلة النصف من شعبان في ميزان الإنصاف العلمي وسماحة الإسلام للشيخ محمد زكي إبراهيم (untuk muat turun klik sini)
12) ماذا في شعبان؟ للسيد محمد بن علوي المالكي الحسني

13) استحباب إحياء ليلة النصف من شعبان وبدعية إنكارها لشيخنا العلامة محمود سعيد ممدوح (klik sini).

Demikian adalah sedikit daripada sekian ramai ulama yang membincangkan tentang keistimewaan Nisfu Sya'ban. Meskipun Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam fatwanya agak 'keberatan' dan tidak menyatakan secara yakin tentang kelebihan Nisfu Sya'ban ini (klik sini), namun ramai ulama yang mensabitkan secara jelas tentang kelebihannya. Lihat fatwa Dr. 'Ali Jum'ah yang agak sedikit berbeza gayanya dengan fatwa al-Qaradawi di sini. Ini kerana mengenai Nisfu Sya'ban ini telah diriwayatkan daripada ramai sahabat RA, iaitu; 'Abdullah bin 'Amru, Mu'az bin Jabal, Abu Hurairah, Abu Tha'labah, 'Awf bin Malik, Abu Bakar al-Siddiq, Abu Musa al-Asy'ari, dan A'isyah RA. Riwayat-riwayat tersebut ada yang dihukum sahih, hasan dan juga da'if oleh para ulama. Bagaimanapun, secara makna keseluruhannya menunjukkan bahawa waktu tersebut adalah sabit kelebihannya, dan bukan sepertimana waktu-waktu biasa. (sila klik sini, sini, sini, sini, sini, sini)

Berkaitan masalah ini juga terdapat perbahasan menarik oleh Syeikh 'Abdul Fattah al-Yafi'i yang membuat komparatif antara empat mazhab fiqh yang muktabar mengenainya. (klik sini, juga sini, atau sini) Syeikh Ibn Taymiyyah juga turut mengakui kelebihan malam Nisfu Sya'ban ini. (klik sini) Justeru, apabila hampir tiba malam tersebut, para ulama yang mewarisi tradisi menghidupkannya akan memberikan motivasi kepada masyarakat terhadapnya di dalam ceramah-ceramah dan khutbah-khutbah mereka. Lihat juga khutbah Jumaat Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti (klik sini) dan Syeikh Muhammad Abul Huda al-Ya'qubi, tokoh ulama muda dari Syria tentangnya. (klik sini)

Ada juga doa khas yang sering diamalkan orang pada malam tersebut (klik sini untuk teksnya), namun Dr. al-Qaradawi dalam fatwanya mengkritik beberapa isi kandungan doa berkenaan, yang sebelum itu juga pernah dikritik oleh al-Hafiz Syeikh 'Abdullah al-Siddiq al-Ghumari di dalam risalahnya. Bagaimanapun ia tetap menjadi perbincangan, dan meskipun demikian digalakkan doa-doa ma'thur yang lain serta beristighfar kepada Allah SWT.

Wallahu a'lam.

Tuesday, August 4, 2009

KUIS Tutup Kerana H1N1...!


Rasa macam tak percaya aje bila tiba-tiba Pihak Pengurusan KUIS mengumumkan jam 4.00pm tadi ;

OPERASI KUIS DITUTUP MULAI 4 OGOS HINGGA 10 OGOS 2009 UNTUK MENANGANI PENULARAN VIRUS H1N1.

Sebab dulu rasanya macam jauh aje nak tiba di depan mata kita (di Mexico). Alih-alih sudah sampai dan terasa bahangnya. Inilah kehendak dan kuasa Allah SWT. Semoga kita dapat mengharunginya dengan tabah. Ya Rabb... kurniakanlah kepada kami keafiatan dan kesihatan, dan jauhkanlah kami daripada wabak penyakit. Ya Allah... jadikanlah kami dari kalangan orang-orang yang bersabar dan bertakwa. Amin..

ISA.. Sudah Ribuan Tahun, Bukan 49

Saya tidak ingin menyentuh isu pemansuhan atau pengekalan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (Internal Security Act) 1960. Cuma ingin saya berkongsi maklumat bahawa perlaksanaan tindakan keselamatan dalam negeri ini sebenarnya sudah dipraktikkan oleh manusia sejak ribuan tahun dahulu. Mereka yang berkuasa punya hak kebebasan untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan negara, walaupun kadangkala dalam masa yang sama mereka menafikan hak kebebasan orang lain. Ini bergantung kepada kebijaksanaan berpolitik. Ketidakcerdikan adakalanya mendorong kepada kezaliman.

Penahanan tanpa bicara ini pernah berlaku kepada Nabi Yusuf AS apabila dia dilihat dapat menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat. Perhatikan firman Allah SWT;


Terjemahan:

(Zulaikha) berkata: "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan dan akan menjadi dari kalangan orang-orang yang hina." (32) Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". (33) Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (34) Kemudian timbullah fikiran bagi penguasa serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa. (35)

Ada tiga pendapat tentang tempoh penahanan Nabi Yusuf AS ini;

1- 7 tahun, menurut Ibn Juraij, Qatadah dan Wahb bin Munabbih.

2- 12 tahun, menurut Ibn 'Abbas RA.

3- 14 tahun, menurut al-Dahhak. (Lihat: Tafsir al-Qurtubi)

Secara zahirnya, tindakan yang diambil oleh penguasa itu tidak dikritik oleh al-Quran. Meskipun demikian, tempoh antara 7 atau hingga 14 tahun itu bukanlah suatu tempoh yang sedikit dan agak zalim kerana kesalahan yang tidak terbukti. Sebenarnya isu yang sebenar bukanlah antara pemansuhan atau pengekalan akta keselamatan ini, tetapi adalah isu penyalahgunaan kuasa, kepentingan peribadi dan penganiayaan, jika ia benar-benar berlaku.

Wallahu a'lam.

Buku 50 Isu-isu Fiqh


Ada 50 masalah fiqh yang dibincangkan oleh Syeikh Muhammad ’Abdullah Abu Su’aylik di dalam kitab Masa’il Fiqhiyah lin-Niqasy ini. Beliau membincangkan setiap satu masalah secara detil dengan membawa pendapat-pendapat ulama serta dalil-dalil mazhab mereka. Kemudian beliau mentarjih (memilih) mana pendapat yang dilihatnya kuat dari segi pendalilan yang dikemukakan.

Di sini saya hanya pilih 5 daripada 50 masalah yang terkandung di dalam kitab tersebut, dengan hanya menyatakan pandangan yang ditarjihkan oleh beliau sahaja.

1- Bidaah dalam Islam:
Bidaah pada syarak ialah perkara baru yang bertentangan dengan syarak, iaitu sama ada kitab al-Quran mahupun sunnah. Adapun yang tidak bertentangan tidak dinamakan bidaah, dan dipraktik ke atasnya hukum-hakam yang lima sebagaimana yang dinyatakan oleh para fuqaha’. (Hlm. 11)

2- Hukum zikir berjamaah:
Harus berzikir dengan berjemaah secara mutlak kerana kuatnya dalil ulama yang mengharuskan, dan tidak ada dalil di sisi ulama yang menegahnya, dengan syarat tidak dimasuki perkara luaran lain yang membawa kepada larangan; seperti tarian ahli sufi, teriakan bidaah mereka, gendang mereka yang membuat malaikat lari serta percampuran lelaki dan perempuan. (Hlm. 16)

3. Hukum Mawlid Nabi SAW:
Meraikan Mawlid menurut takrif bidaah yang kami pilih, bukanlah suatu bidaah. Ia tidak disertai dakwaan anjuran syarak terhadapnya, atau galakan syarak dalam mengkhususkannya, atau menisbahkan apa yang bukan syarak dalam perkara ini kepadanya. Justeru itu, sambutan ini bukanlah termasuk perkara yang terpraktik padanya definisi bidaah menurut mana-mana sisi pandangan dalam pentakrifan bidaah, kerana telah sabit asalnya daripada sunnah dan banyaknya dalil yang menyokong kewujudan asalnya. (Hlm. 19)

4. Berubat dengan benda haram:
Haram berubat dengan benda-benda haram, kerana kekuatan dalilnya. (Hlm. 29)

5. Bertawassul dengan Nabi SAW:
Harus bertawassul dengan Nabi SAW selepas wafatnya dengan iktikad bahawa yang melaksanakan ialah Allah SWT, Dia-lah yang memberi dan menegah, berdasarkan hadith ’Uthman bin Hunaif RA. (Hlm. 34)

Monday, August 3, 2009

Ummu Sulaim... Wanita Tabah


Hadith terakhir yang disampaikan oleh Dr. Nur Abdi Gudle dalam pengajian Sahih al-Bukhari pada hari ini ialah hadith mengenai kisah Ummu Sulaim RA. Dalam nuskhah saya, hadith tersebut bernombor 1,301 daripada Kitab al-Jana'iz. Hadith ini sebenarnya dapat menyentuh hati di mana ketabahan dan kesabaran Ummu Sulaim yang tinggi sepatutnya dapat dicontohi. Namun orang yang jauh daripada alam kerohanian dan penyucian jiwa mungkin sukar untuk mencontohinya seperti dalam kisah ini.

Diriwayatkan bahawa anak sulungnya bersama Abu Talhah RA yang masih kecil meninggal dunia setelah menderita sakit beberapa lama. Ketika itu Abu Talhah tiada di rumah. Ummu Sulaim dengan tenang menghadapi kematian anaknya itu. Beliau memandikan, mengkafankan dan menutup anaknya itu dengan kain. Apabila Abu Talhah pulang ke rumah, dia menanyakan tentang keadaan anak kesayangannya itu, Ummu Sulaim hanya menjawab : “Dia kini sudah tenang dan sedang berehat.” Pada sangkaan Abu Talhah, anaknya itu telah sembuh. Kebetulan hari itu mereka berpuasa, maka Ummu Sulaim menyediakan makanan dan berbukalah mereka.

Tiba waktu malam, Ummu Sulaim berdandan dan bersolek serta mengenakan wangi-wangian dan melayan suaminya sehingga suaminya lupa untuk bertanyakan khabar anaknya itu. Sehinggalah keesokan harinya, Abu Talhah bersiap-siap untuk keluar, barulah Ummu Sulaim mengkhabarkan hal sebenarnya kepada Abu Talhah secara lembut. Mendengar itu, Abu Talhah pun merasa marah dan kecewa, lalu dia pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang berlaku antara dia dan isterinya. Tetapi sebaliknya Rasulullah SAW berdoa: “Semoga Allah memberkati kamu berdua pada malam kamu tadi.” Baginda SAW seolah-olahnya gembira dengan perbuatan Ummu Sulaim itu dan mendoakan mereka berdoa. Doa Rasulullah itu akhirnya dimakbulkan Allah SWT. Mereka kemudian dikurniakan ramai anak lelaki yang semuanya berjumlah sembilan orang. Kesemua mereka menjadi orang yang berilmu dan penghafal Al-Quran.

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا -٧٤
(al-Furqan: 74)
"Our Lord! Grant unto us wives and offspring who will be the comfort of our eyes and give us (the grace) to lead the righteous."

Kisah-kisah Para Ulama (1)

Kisah Sayyid 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki dengan Syeikh 'Abdur Rahman bin Sa'di


Suatu ketika Sayyid 'Alawi duduk dalam halaqahnya di Haram Makki, dan sedang duduk di suatu sudut lain Syeikh 'Abdur Rahman bin Sa'di, pengarang sebuah kitab tafsir. Orang ramai pula sedang bersolat dan bertawaf. Dan di langit awan mendung sedang berarak. Kemudian hujan pun turun. Air hujan yang turun di atas Kaabah mengalir keluar melalui saluran mizab. Lantas ramai orang bergegas ke mizab tersebut untuk mendapatkan air daripadanya. Lalu mereka membasahkan baju dan badan mereka dengannya sebagai mengambil berkat.

Melihat hal itu, sekumpulan 'orang badwi' menegah mereka kerana menyangka ianya adalah syirik. Kata mereka: "Jangan, wahai orang-orang musyrik,.. syirik, syirik!". Lalu semua orang pun beredar dan menuju ke halaqah Sayyid 'Alawi. Mereka bertanya tentang perkara tersebut, dan beliau mengharuskannya. Lantas orang ramai pun pergi sekali lagi ke mizab tersebut. 'Orang-orang badwi' tadi pergi kepada halaqah Syeikh 'Abdur Rahman dan mengadu kepadanya. Lantas beliau pun pergi bertemu dengan Sayyid 'Alawi. Maka ramai orang berkumpul kepada dua orang ulama tersebut. Kata Syeikh Abdur Rahman: Betulkah tuan mengatakan kepada orang ramai bahawa dalam air hujan tersebut ada barakah? Jawab Sayyid 'Alawi: Bahkan, ada dua barakah. Balas Syeikh Abdur Rahman: Macammana demikian? Jawabnya lagi: Kerana Allah Ta'ala berfirman dalam kitab-Nya mengenai hujan (ونزلنا من السماء ما ء مباركا) "Dan Kami turunkan daripada langit air yang diberkati", dan mengenai Kaabah pula (إن أول بيت وضع للناس للذي ببكة مباركا) "Sesungguhnya rumah pertama Allah yang dibina untuk manusia ialah yang berada di Makkah lagi diberkati". Maka sekarang terkumpul dua barakah; barakah air hujan dan barakah baitullah ini.

Mendengar itu, Syeikh Abdur Rahman merasa takjub: Subhanallah, macammana kami boleh lupa hal ini? Lalu beliau pun berterima kasih kepada Sayyid 'Alawi dan meminta izin untuk beredar. Lantas kata Sayyid 'Alawi: Nanti dulu ya syeikh, tidakkah kamu lihat 'orang-orang badwi' itu menyangka bahawa apa yang dibuat oleh orang ramai itu sebagai syirik? Mereka tidak berhenti mengkafirkan orang dan melontar mereka dengan tuduhan syirik, sehingga melihat orang yang seumpama tuan yang dapat menegah mereka. Pergilah ke mizab dan ambil air hujan tersebut di hadapan mereka agar mereka membiarkan orang ramai. Kemudian Syeikh Abdur Rahman pun pergi ke mizab dan mengambil sendiri air hujan itu sebagai mengambil berkat. Akhirnya 'orang-orang badwi' tadi meninggalkan orang ramai setelah melihat syeikh mereka berbuat demikian.

Syeikh Abdur Rahman bin Sa'di duduk di tengah-tengah.

Kisah ini telah diceritakan oleh Syeikh 'Abdul Fattah Rawah al-Makki di dalam kitab Thabatnya. Lihatlah bagaimana akhlak para ulama dan keakuran mereka terhadap kebenaran apabila sudah nyata.

Syeikh Ahmad al-Hadi al-Tijani Kembali ke Rahmatullah

Pada hari Sabtu, 1hb. Ogos lepas, telah kembali ke rahmatullah Syeikh Ahmad bin al-Hadi al-'Alawi al-Tijani, al-Madani dalam usia 63 tahun. Beliau adalah pengarang kitab (منتهى السيل الجارف من تناقضات مشتهى الخارف) sebuah kitab yang menolak tohmahan Syeikh Muhammad al-Khidr al-Mayabi al-Syanqiti terhadap Tariqat Tijaniyyah , (كتاب في الرد على الدخيل الله والقنديل) dan lain-lain.

Beliau banyak beribadah di Masjid Nabawi dan tidak pernah terlepas solat di situ semenjak beliau duduk bermastautin di Madinah. Beliau juga banyak mengajar orang-orang yang datang kepadanya, sama ada di masjid ataupun di rumahnya sendiri.
رحمه الله رحمة واسعة ووسع له في مدخله ونقاه من خطاياه كما ينقى الثوب الابيض من الدنس وغسله بالماء والثلج والبرد وحشره في زمرة النبيين والصديقين والشهداء والصالحين