Monday, November 30, 2009

Isu Mazhab Lagi.. (Temubual Dengan Ustaz Abu Zaki Ismail)


Berikut adalah temubual seorang wartawan Utusan dengan sahabat saya, Ustaz Abu Zaki Ismail mengenai isu perbezaan mazhab dalam Islam.

_________________

Dalami Bab Mazhab

KATA pepatah, “Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam”. Demikianlah dalam kehidupan kita bermasyarakat. Sudah pasti akan berlaku perbezaan pendapat. Malah dalam Islam perbezaan mazhab itu membawa rahmat.

Bagaimanapun, Allah melarang kita daripada mencemuh dan membuka aib orang lain sebagai mana firmannya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka... (al-Hujurat: 11)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Jabatan Usuluddin, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Abu Zaki Ismail bagi mengupas isu ini.

Baca seterusnya dalam Utusan Online di sini.

______________

p/s: Dipautkan juga di sini sebuah temubual yang baik (bahasa Arab) tentang ijtihad dan taklid mazhab bersama Syeikh Usamah 'Abdul Karim al-Rifa'i.

Hadith Musalsal Hari Raya

Bagi sesiapa yang ingin ijazah sanad hadith musalsal berikut daripada Syeikh 'Abdullah Muhammad 'Akur (حفظه الله) dari Jordan (lihat biografi beliau), silalah ke pautan ini (روض الرياحين) jika tidak, dianggap tidak sah pengijazahan hadith tersebut, dan mestilah dalam tempoh Hari Raya Korban ini (Jumaat, Sabtu, Ahad dan Isnin), jika tidak, tidak sah sifat musalsal hadith berkenaan dan dikira terputus. Setelah baca sanad dan matan, serta lafaz pengijazahannya, kena sebut (قَبِلْتُ) atau 'saya terima'.

Teks Ijazah:

الحمد لله والصلاة والسلام على سيدنا رسول الله؛

يقول الفقير؛ عبد الله محمد عكور (وهذا اسمي الحقيقي الذي سمانيه أبي) الشافعي مذهبا، الأشعري عقيدة، الشاذلي مشربا وطريقة، حدثني الشيخ محمد بن علوي المالكي في البيت الحرام في يوم عيد قال: قال: حدثنا والدي السيد علوي بن عباس المالكي رحمه الله تعالى في يوم العيد بالمسجد الحرام قال: حدثنا شيخنا عبد الستار الدهلوي في يوم العيد بالمسجد الحرام قال: حدثني بداره شيخي المسند علم الدين صالح بن عبد الله العود الشايقي المطلبي1305هـ سماعاً منه في يوم عيد فطر وأضحى ووليّ الله السيد الصالح عبد الله بن السيد نور الدين اليمني النهاري والسيد محمد بن علي الكناني المكيون كلهم قالوا: حدثني به في عيد بمكة السيد محمد بن خليل القاوقجي قال: أرويه عن محمد بن صالح العدوى السباعي في يوم عيد، عن الأمير الكبير، عن شيخه أحمد الحسن علي بن محمد السقاط، عن شيخه محمد بن عبد الرحمن بن عبد السلام بناني، عن أحمد بن الحاج، عن صاحب المنح وهو محمد بن عبد الرحمن بن عبد القادر الفاسي قال: حدثنا به شيخنا أبو سالم العياشي، عن الشيخ علي بن محمد الأجهوري قال: سمعت الشيخ بدر الدين حسناً الكرخي في يوم عيد الفطر قال: سمعت الجلال عبد الرحمن بن أبي بكر السيوطي في يوم عيد الفطر قال: أخبرني الحافظ تقي الدين أبو الفضل محمد بن محمد بن فهد الهاشمي في يوم الفطر بين الصلاة والخطبة، أخبرنا الحافظ أبو حامد محمد بن عبد الله بن ظهيرة القرشي سماعاً عليه في يوم عيد الفطر قال: أخبرنا تقي الدين أبو عبد الله محمد بن احمد بن عبد المعطي الأنصاري سماعاً عليه في يوم عيد الفطر قال: أخبرنا أبو عمرو عثمان بن محمد التوزري سماعاً عليه في يوم عيد الفطر قال: أخبرنا أبو الحسن علي بن هبة الجميزي سماعاً عليه في يوم عيد الفطر قال: أخبرنا الحافظ أبو طاهر السِّلفي سماعاً عليه في يوم عيد الفطر قال: أخبرنا أبو محمد عبد الله بن علي الآبنوسي البغدادي في يوم عيد قال: أخبرنا القاضي أبو الطيب الطبري في يوم عيد قال: أخبرنا أبو احمد ابن الغطريف بجرجان في يوم عيد قال: اخبرنا ابن زاهر الوراق في يوم عيد الأضحى قال: اخبرنا أبو عبد الله محمد بن أخت سليمان بن حرب قال: أخبرنا بشير بن عبد الوهاب الأموي قال: أخبرني وكيع الجراح في يوم عيد قال: أخبرنا سفيان الثوري في يوم عيد قال: أخبرنا بن جريح في يوم عيد قال: أخبرنا عطاء بن أبى رباح في يوم عيد قال: أخبرنا بن عباس في يوم عيد قال : شهدت مع رسول الله صلى الله علي وسلم في يوم عيد فطر أو أضحى، فلما فرغ من الصلاة أقبل علينا بوجهه فقال:
أيها الناس قد أصبتم خيراً فمن أحب أن ينصرف فلينصرف ومن أحب أن يقيم حتى يشهد الخطبة فليقم .

قال السيوطي: غريب بهذا السياق ، وروى ابن ماجة نحوه، أخرجه الديلمي في الفردوس مسلسلا، ورواه أبو داود والنسائي .

وقد أجزت أهل الرياحين ومن مر بالمنتدى بروايته
[Dan saya telah ijazahkan kepada ahli forum al-Rayyahin dan sesiapa yang melayari forum ini untuk meriwayatkannya]
أجزت كل طالب علم بهذا الحديث الشريف ليرويه عني .
[Saya ijazahkan kepada setiap penuntut ilmu dengan hadith yang mulia ini untuk ia meriwayatkannya daripada saya]

Wednesday, November 25, 2009

Mengimbas Kembali Tentang Syeikh al-Sya'rawi رحمه الله


Rakaman dalam youtube ini pernah saya lihat sendiri masa disiarkan di TV Mesir dulu sebelum kewafatan Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi. Tokoh ulama tafsir, dakwah, dan sufi yang hampir kesemua kawan dan lawan tunduk dan hormat kepada beliau kerana kekuatan bicara dan hujahnya. Ketika menontonnya, rasa kagum menyelubungi diri melihat seorang ulama yang mengembalikan kenangan terhadap tokoh-tokoh agung ulama silam dalam berdepan dengan pemerintah. Namun, saya tidak menyimpan butiran penuh tentang apa yang diwasiatkan kepada Presiden Muhammad Hosni Mubarak tersebut. Hinggalah saya melihatnya di blog Ustaz al-Joofre teks terjemahan wasiat berkenaan (klik sini). Kepada beliau saya ucapkan terima kasih (walaupun dah lama terbit di blognya).

Wasiat Kepada Pemimpin

"Dan sesungguhnya aku (Sheikh Mutawalli Sya’rawi).. wahai Tuan Presiden, aku berdiri di sudut ini untuk menerima pahala dari Allah. Aku tidak menghabiskan sisa-sisa hidup aku menjadi munafiq. Aku tidak akan mempamerkan diri aku ini dengan perkara-perkara yang menipu. Tetapi aku ingin memberitahu satu perkara kepada umat semuanya. Sama ada daripada pihak kerajaan atau parti pembangkang ataupun penyokong dan bangsa. Aku meminta maaf jika aku ucapkan sesuatu yang kamu semua tidak suka. Aku ingin semuanya tahu bahawa kekuasaan itu di tangan Allah. Allah memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Dia suka. Maka janganlah ada komplot untuk mendapatkan kekuasaan itu. Dan janganlah ada tipu helah (penipuan) untuk sampai kepadanya (kekuasaan). Allah Taala telah menceritakan dialog antara Namrud dan Nabi Ibrahim. Apa yang Allah Taala kata? “..Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya (sedangkan dia dalam kekafiran), kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan (Namrud)…” – (Surah al-Baqarah:258, al Quranul Karim)

Maka kekuasaan itu Allah beri kepada sesiapa yang dia mahu. Maka jangan kamu melakukan tipu helah terhadap Allah. Dan jangan kamu membuat komplot (penipuan) terhadap Allah. Kerana seseorang tidak akan mendapat kekuasaan di dalam kerajaan Allah kecuali dengan kehendak Allah. Kalau dia seorang yang adil, maka manusia akan mendapat manfaat dengan keadilannya. Dan sekiranya dia seorang yang zalim, maka dia menjadi hodoh dengan kezalimannya dan Allah akan menjadikannya buruk di dada-dada manusia. Maka disebabkan Allah menjadikan dia buruk di dada manusia, rakyat akan membenci setiap orang yang zalim walaupun dia tidak terlintas membenci pemerintah itu. Aku berkata kepada kamu sekalian, alhamdulillah, telah jelas kebenaran pada kata-kata Tuhan berdasarkan dengan peristiwa-peristiwa yang telah terjadi. Bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :“..Wayamkuruna wayamkurullah..” (dan mereka merancang perkara yang jahat dan Allah juga turut merancang). Dan bagaimana kita hendak mentafsirkan kata-kata Allah :..Innahum yakiduna kaida wa akidu kaida..” (Sesungguhnya mereka membuat tipu daya dan Allah membuat tipu daya juga).

Siapa yang terlintas di dalam kepalanya untuk menjadi pemerintah, aku nasihatkan supaya dia jangan meminta-minta. Akan tetapi menjadi kewajipannya menjadi pemerintah ketika mana dia dilantik. Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam; “..Siapa yang dilantik untuk sesuatu perkara, maka dia akan ditolong oleh Allah. Dan sesiapa yang meminta-minta sesuatu perkara, maka perkara itu akan menjadi beban kepadanya..”.

Wahai Tuan Presiden, aku ingin katakan satu perkara kepada engkau, mungkin ini adalah pertemuan terakhir kita!* (Sheikh Mutawalli Sya’rawi memegang bahu presiden Mesir dan berkata;) “..Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq (menunjukkan kepada kamu jalan yang benar). Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban (untuk menghadapi kami)..” ".

___________________
* Ketika beliau mengucapkan ini saya tergambar seolah-olah beliau sudah merasakan ajalnya sudah hampir. Dan memang benar, beliau kembali ke rahmatullah tidak lama kemudiannya.

Tuesday, November 24, 2009

500 Tokoh Muslim Berpengaruh Tahun 2009


Inilah terjemah judul sebuah buku terbaru sebagai penutup tirai 2009, (500 شخصية مسلمة لعام 2009) terbitan Markaz Abhath Rasmi Jordan. Ia merangkumi pelbagai bidang daripada agama hingga kepada media massa. Buku berkenaan dapat dirujuk di sini "The 500 Most Influential Muslims 2009" dalam format PDF.

Antaranya;

1. Muhammad Mahdi 'Akif, mursyidul 'am Ikhwan Muslimin Mesir.
2. Khalid Masy'al, ketua pergerakan Hammas.
3. Raja 'Abdullah bin 'Abdul 'Aziz, Raja Arab Saudi.
4. Hasan Nasrullah, pengerusi am Hizbollah.
5. Ayatollah 'Ali Khameini, mursyid tertinggi Revolusi Iran.
6. Raja Muhammad al-Sadis (Ke-6), Morocco.
7. Raja 'Abdullah al-Thani (Ke-2), Jordan.
8. Rejab Tayib Erdogan, perdana menteri Turki.
9. 'Ali al-Sistani, marji' Syiah Iraq.
10. Syeikh Sayyid Tantawi, Syeikhul Azhar, Mesir.
11. Syeikh Yusuf al-Qaradawi, ketua Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam.
12. Syeikh 'Ali Jum'ah, mufti Mesir.
13. Syeikh 'Abdul 'Aziz Al al-Syeikh, mufti Arab Saudi.
14. Fathullah Kolan, alim dan pendakwah Turki.
15. 'Amru Khalid, pendakwah Mesir.
16. 'Abdullah Gool, presiden Turki.
17. Syeikh 'Ali al-Sabuni, ahli tafsir al-Quran.
18. Syeikh 'Abdullah bin Bayyah, naib ketua Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam.
19. Dr. 'A'idh al-Qarni, pendakwah Arab Saudi.
20. al-Qadhi Taysir al-Tamimi, ketua Majlis Tertinggi Kehakiman Syar'i Palestin.
21. Muhammad Hosni Mubarak, presiden Mesir.
22. Muhammad Khatimi, mantan presiden Iran.
23. Syarifah Khidr, pengasas Jam'iyyah Jaza'iruna Algeria.
24. Syereen al-'Abadi, pemenang Nobel Iran.
25. Mustafa Husni, pendakwah muda.
26. Mu'iz Mas'ud, pendakwah muda.
27. Ahmad al-Syaqiri, pendakwah Sudan.
28. Dr. Zaghlul al-Najjar, tokoh sains Mesir.
29. A. B. J. 'Abdul Kalam, pencetus program nuklear India.
30. Dr. Ahmad Zuweil, tokoh sains, tinggal di Utara Amerika.
31. Muhamad al-Fatatiri, pengasas jaringan Islam Maxlim (?) di internet, tinggal di Finland.
32. Dr. Ahmad Kamal Abul Majd, tokoh media Mesir.
33. Muhammad Hasanain Haikal, jurnalis Mesir.
34. Fahmi Huwaidi, penulis dan pemikir Mesir.
35. Taha 'Abdul Rahman, ahli falsafah Morocco.
36. Dr. Taha Jabir al-'Ulwani, pemikir Iraq.

Dan lain-lain lagi.

Monday, November 23, 2009

Aliran Tajdid: Ke Mana..??

Keperluan Tajdid

Istilah Tajdid bermaksud memperbaharui agama supaya kembali kepada keadaan asalnya yang suci murni, atau kembali kepada landasan syariat yang betul, dan bukan dengan pengertian 'pembaharuan dalam agama', yakni mereka-reka perkara baru yang tiada asal dalam agama, yang sinonim dengan makna bidaah. Tajdid adalah penting agar keaslian dan ketulenan agama dapat dipelihara dan dijaga daripada dicemari anasir-anasir luar yang cuba merosakkannya. Bagi menyempurnakannya Allah SWT telah membangkitkan para mujaddid pada setiap kurun yang berusaha dan menggembleng tenaga bagi mengembalikan semula agama dan umat Islam kepada pegangan dan kedudukan asal yang sebenar. Demikianlah cara agama Islam dipulihara dan dijaga oleh Allah SWT sehinggalah tibanya hari kiamat kelak.

Justeru melaksanakan tajdid adalah satu usaha penting, dan ia tidak terbatas kepada suatu sudut tertentu sahaja, bahkan merangkumi pelbagai sudut dalam kehidupan umat agar tidak hanyut jauh daripada roh syariat yang sebenar. Maka ia menyeluruh kepada bidang politik, sosial, ekonomi, akademik, sains, institusi keluarga, akhlak dan sebagainya. Adapun dalam perkara-perkara agama yang sudah tetap dan disepakati antara ulama Islam, serta perkara yang harus berlaku perbezaan pandangan antara mereka kerana perbezaan sudut pandangan atau kaedah pengambilan hukum atau sebab-sebab lain yang diiktiraf, maka penggunaan kempen "tajdid" menurut penulis tidak memberi banyak natijah yang positif, bahkan lebih banyak mencipta natijah yang negatif. Ini berbeza jika ia dilakukan menurut saluran yang betul, dengan menganggap pendapatnya itu yang terbaik, dengan kemungkinan berlaku salah dan silap padanya, serta tidak memaksa orang lain menuruti, sebagai contoh.

Tiga Isu Utama

Namun, apa yang berlaku ketika ini ialah sebaliknya, iaitu penggunaan kempen "tajdid" terhadap perkara-perkara yang tersebut. Tentunya natijah yang dihasilkan bukan sepertimana yang diingini oleh kita. Secara spesifiknya agar kita dapat memahami isu yang berlaku, saya sebutkan tiga perkara yang merupakan isu besar dalam soal ini sepertimana berikut;
1. Pegangan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah.
2. Pegangan fiqh empat mazhab yang masyhur, al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Syafi'iyyah dan al-Hanabilah.
3. Pegangan tasawuf, serta aliran-aliran Tariqat Sufiyyah yang muktabar.

Jika kempen "tajdid" digunakan untuk menolak akidah aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah, taklid kepada mana-mana mazhab fiqh, dan menghapuskan tariqat-tariqat sufiyyah, ia adalah suatu yang kurang waras dan tidak rasional. Walaupun dengan alasan kononnya yang perlu ditegakkan ialah akidah Salaf, fiqh al-Quran dan hadith, serta akhlak Salaf (walaupun yang ini kurang diberi fokus oleh mereka) dan membanteras khurafat dan bidaah sufiyyah. Ini kerana perkara-perkara tersebut adalah suatu yang nisbi disebabkan kesemuanya adalah bersumber daripada ulama-ulama Salaf itu sendiri dengan metode masing-masing yang pelbagai, dan kesemuanya juga adalah berpandukan kepada al-Quran dan hadith.

Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab (m. 1206H) sendiri dalam menyebarkan akidah tidakpun menyatakan bahawa aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah perlu ditolak sepenuhnya, kerana perselisihan utama adalah dalam perkara sifat-sifat Allah SWT sahaja. Itupun sebenarnya yang diperselisihkan ialah keharusan takwil atau tidak, kerana asal penerimaan kepada zahir nas adalah sama. Begitu juga dalam bidang fiqh, beliau tidak menolak taklid kepada mazhab secara total kerana beliau dan pengikut-pengikutya adalah penganut mazhab Hanbali dengan kecenderungan memilih pendapat-pendapat Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim. Apa yang ditangani oleh beliau ialah ketaksuban kepada mazhab. Dan beliau tidak pun mengisytiharkan bahawa semua tariqat sufiyyah adalah bidaah dan sesat serta perlu dihapuskan sepenuhnya, kerana yang diperangi oleh beliau ialah dalam masalah tawassul, istighathah, ziarah kubur dan pemujaan terhadap ahli kubur (yakni para wali Allah SWT), (itupun ada ikhtilaf ulama). Walaupun gerakan beliau dan pengikutnya agak ekstrim dalam menggelar diri mereka sebagai 'muslimun' dan musuh-musuh mereka (kerajaan 'Uthmaniyyah dan sekutunya) sebagai 'musyrikun', namun apabila berhadapan dengan 'kafirun' tentera penjajah British mereka membuat perdamaian dengan mereka.

Apa yang dilaksanakan oleh beliau sebenarnya adalah pemikiran yang sama yang dicetuskan oleh Ibn Taymiyyah (رحمه الله) lama sebelum munculnya Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab yang mengikut jejaknya kemudian. Fatwa-fatwa mereka dalam soal ini sahaja yang mencetus polemik yang hangat, tanpa menafikan sumbangan mereka dalam isu-isu dan perkara-perkara lain. Sebab itu sebahagian ulama yang mu'tadil (bersikap toleransi) mengambil pandangan-pandangan mereka yang bernas dan mengenepikan pendapat-pendapat mereka yang ganjil.

Demikian penjelasan tentang gerakan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab yang dianggap sebagai "tajdid", yang jelas menunjukkan bahawa beliau tidak melaksanakan kempen "tajdid"nya untuk menghapuskan sepenuhnya tiga perkara utama tersebut, yang merupakan panutan dan pegangan majoriti ulama Islam. Ini kerana ianya adalah suatu yang tidak waras dan tidak rasional. Apa yang dilaksanakan oleh beliau dan pengikutnya adalah berdasarkan persepsi mereka terhadap situasi pada masa itu. Justeru, meskipun meninggalkan kesan-kesan yang negatif, tidak dinafikan juga kesan-kesan positif yang dilahirkan oleh mereka, seperti penyatuan Semenanjung Arab dan kesedaran terhadap agama.

"Tajdid" Yang Mengelirukan

Bagaimanapun, lama-kelamaan setengah pengikut beliau (atau kebanyakan barangkali) kemudian melihat bahawa gerakan dakwah mereka perlu difokuskan untuk menghapuskan ketiga-tiga perkara berkenaan. Kononnya, umat Islam perlu kepada "tajdid" terhadap ketiga-tiga aspek ini, iaitu kembali kepada tauhid akidah Salaf, fiqh al-Quran dan hadith, yakni menolak taklid kepada mazhab-mazhab fiqh serta menolak tariqat-tariqat tasawuf muktabar. Sedangkan hal ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana mujadid sejak 1400 tahun yang lalu! Bagi merealisasikannya mereka mengemaskini asas-asas yang telah diletakkan oleh Ibn Taymiyyah dan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab serta mengaplikasikannya seperti dalam soal bidaah, talfiq mazhab, perkara-perkara yang membatalkan akidah dan seumpamanya. Secara rumusan, tanggapan mereka ini dalam menggunakan istilah "tajdid" terhadap ketiga-tiga aspek ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh ramai ulama Islam kerana faktor-faktor yang telah dijelaskan tadi.

Apa yang dikhuatiri berlaku di Malaysia pada masa ini ialah pemikiran tersebut cuba diketengahkan oleh setengah orang yang menyangka bahawa itu adalah "tajdid", padahal sebenarnya ia hanyalah acuan suatu mazhab yang mempunyai pendirian-pendirian dan pandangan-pandangan yang tersendiri. Jika memperlekehkan pengamal-pengamal mazhab Syafi'i di Malaysia misalnya, kerana ada pendapat-pendapat Imam al-Syafi'i (رحمه الله تعالى ورضي عنه) yang tidak releven dengan situasi semasa, lalu terpaksa menggunakan pendapat-pendapat mazhab lain, dan menganggapnya sebagai bukti bahawa perlu kepada "tajdid" dan tidak perlu taklid kepada mazhab... maka ini bukanlah dinamakan "tajdid" yang sebenarnya. Ini kerana ianya adalah soal fiqh, yang tidak kaku beku dan boleh berubah mengikut perbezaan situasi dan perubahan masa. Ia hanyalah persoalan fiqh yang dapati ditangani oleh cendikiawan ulama-ulama Syafi'i sendiri menurut usul mazhab yang dipegang oleh imam mereka, dan tidak timbul soal "tajdid" untuk meninggalkan mazhab kerana sudah lapuk.

Jika demikianlah pemikiran yang cuba dibawa oleh aliran "tajdid" ini di Malaysia, maka dikhuatiri natijah yang negatif lebih banyak berbanding natijah yang positif. Di samping merugikan tenaga dan masa yang seharusnya digemblengkan untuk kekuatan umat Islam dan mengembalikan kegemilangannya. Sedang dalam masa yang sama "tajdid" amat diperlukan dalam soal iman, dakwah, akhlak, moral, sosial, institusi keluarga, akademik, ekonomi, politik, sains, media dan sebagainya yang lebih perlu diberikan penekanan, tumpuan dan perhatian.

والله أعلم

Friday, November 20, 2009

Selawat Nabi Khidr عليه السلام

صلاة سيدنا الخضر عليه السلام على سيدنا رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم من أوراد الأشراف المهدية للشيخ صلاح الدين القوصى رضى الله عنه ، وهى :



اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد الرسول الأمين، وعلى آله وأصحابه، وأنصاره وأزواجه، وذرياته وأهل بيته، والمؤمنين والمؤمنات، والمسلمين والمسلمات، الأحياء منهم والأموات، أفضل وأجل صلواتك وصلوات خلقك أجمعين، من ابتداء الدنيا إلى ما لا نهاية، صلاة وسلاما تعافينا بها فى الدنيا والآخرة من كافة أنواع البلا، عفوا منك وإحسانا، فإنا لا نستحق ذلك، ولكن مغفرتك ورحمتك أوسع وأجل وأعلى، وتجعلنا بها لمجاورة الرسول فى مأوى العز أهلا، صلى الله عليه وعلى آله وعلى كل من آمن به وقال قولا فصلا.

Thursday, November 19, 2009

Gerakan Wahhabiyyah dan Ulama Melayu Tradisional (2)

11. Berdasarkan kajian menunjukkan pengaruh Wahhabiyyah pada peringkat awal di kalangan masyarakat Melayu sebenarnya lebih kepada pengaruh pemikiran Salafiyyah ala Muhammad 'Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha, dan bukannya sepertimana pemikiran Wahhabiyyah moden sekarang ini. Demikian juga di Indonesia, di mana kelompok Muhammadiyyah yang mendokong aliran Salafiyyah ala Muhammad 'Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha adalah berbeza dengan kelompok Salafiyyah Wahhabiyyah Indonesia. Syeikh Abu Bakar al-Asy'ari (m. 1390H) contohnya adalah lulusan Universiti al-Azhar di Mesir. Begitu juga Syeikh Tahir Jalaluddin (m. 1956).

12. Mufti Kelantan, Haji Musa 'Abdul Samad (m. 1357H) yang juga terpengaruh dengan aliran ini, meskipun belajar di Mekah, namun beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Syeikh Muhammad Rasyid Ridha. Bagaimanapun yang peliknya, beliau adalah pengikut Tariqat Ahmadiyyah yang diambilnya daripada Syeikh Muhammad al-Dandarawi, dan telah menterjemahkan kitab 'Aqd al-Darr al-Nafis yang merupakan manaqib Syeikh Ahmad bin Idris oleh Syeikh Ibrahim al-Rasyid, dan juga menterjemah Manaqib Sayyidi Ibrahim al-Rasyid oleh Syeikh Isma'il al-Nawwab.

13. Fatwa-fatwa Mufti Haji Musa telah menerima kritikan oleh ramai ulama antaranya oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani (m. 1376H), Syeikhul Islam Selangor dan Mufti Haji Ibrahim Muhammad Yusuf (m. 1374H) yang menjadi mufti Kelantan kemudiannya. Tengku Mahmud Zuhdi telah mengarang kitab Tazkiyah al-Anzar wa Tasfiyah al-Afkar, manakala Mufti Haji Ibrahim pula telah menulis risalah 'Jiwa Amalan'. Kitab Tazkiyah al-Anzar telah diberi kata aluan oleh ramai ulama yang menyokong antaranya, Syeikh Muhammad Mukhtar 'Atarid Bogor, Syeikh 'Abdul Qadir Mandailing, Syeikh Muhammad Nur al-Fatani, Syeikh Pak Da 'El, dan lain-lain.

14. Antara tokoh Negeri Sembilan yang menolak aliran ini ialah Syeikh Muhammad bin Nasib, Qadhi Besar Seremban yang telah menulis risalah 'Kebatilan Kaum Muda'. Beliau mempunyai hubunngan yang erat dengan Mufti Negeri Sembilan, Syeikh Ahmad bin Muhammad Sa'id Linggi (m. 1382H).

Demikianlah sedikit yang saya dapat catatkan berkaitan pengaruh gerakan Wahhabiyyah ini selepas kematian Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab pada tahun 1206H sehingga ke sekitar tahun 1400H (iaitu dalam tempoh hampir 200 tahun), serta hubungannya dengan reaksi ulama Melayu tradisional.

والله أعلم

Wednesday, November 18, 2009

Gerakan Wahhabiyyah dan Ulama Melayu Tradisional

Ini hanyalah secebis rumusan yang saya perolehi daripada beberapa blog rakan serta kajian saya sendiri untuk kita merenungi kembali sejarah dahulu bagi memahami apa yang berlaku, khususnya tempoh antara masa sesudah kematian Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab sehingga kebangkitan kembali ulama-ulama Wahhabiyyah selepas tahun 1343H. Sejarah adalah penting sebagai panduan untuk kita merancang dan mengurus masa depan.

1. Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab telah meninggal dunia pada tahun 1206H. Maka gerakan dakwahnya diteruskan oleh pengikut-pengikut beliau sesudah itu. Bagaimanapun, gerakan ini tidak terus kuat kerana ia tetap mengalami pasang surutnya.

2. Syeikh Ahmad al-Fatani (m. 1325H) menyebut di dalam kitabnya 'Hadiqatul Azhar': “Dan masuk mereka akan Makkah pada tahun 1220H. Dan telah menghasarkan [mengepung] mereka itu akan Makkah hingga lapar ahlinya dan makan setengah mereka itu akan anjing. Kemudian masuk mereka itu akan dia dan merentah mereka itu padanya 7 tahun. Dan adalah pada masa itu Daulah ‘Aliyyah 'Uthmaniyyah di dalam huru-hara yang amat sangat.” Kata beliau lagi: “Kemudian keluar titah daripada Sultan (Khalifah) kepada Muhammad Ali Pasha, Raja Masir dengan suruh memerangkan mereka itu. Maka diperangkan mereka itu hingga dibinasakan dan dihilangkan daulah mereka itu dan ditawankan raja mereka itu yang bernama 'Abdullah ibnu Sa'ud dan beberapa perdana menterinya dan dibawakan mereka itu ke Masir, kemudian ke Istanbul. Maka diarakkan mereka itu kemudian dibunuhkan mereka itu”. (Rujukan blog al-Ashairah)

3. Peristiwa tersebut mungkin berlaku pada tahun 1233H, di mana gerakan mereka telah ditewaskan oleh kerajaan 'Uthmaniyyah, sepertimana yang disebut oleh Ibn 'Abidin (m. 1252H) di dalam kitabnya 'Raddul Muhtar'. Setelah itu, Mekah dan Madinah dikuasai semula oleh aliran tradisional sehinggalah tahun 1343H.

4. Syeikh 'Uthman Jalaluddin (m. 1371H) menyatakan di dalam kitabnya 'Matali' al-Anwar' (h. 170) bahawa dari tahun 1311H sehingga tahun 1342H ulama-ulama Mekah masih mengikut pengajian tradisi berdasarkan mazhab-mazhab fiqh dan akidah Asy'ariyyah-Maturidiyyah. Namun pada tahun 1343H, Mekah dan Madinah telah mula dikuasai oleh gerakan Wahhabiyyah dengan naiknya Raja 'Abdul 'Aziz Al Su'ud ke tampuk pemerintahan. Maka bermula dari itu ulama-ulama Wahhabiyyah menyebarkan secara besar-besaran pengaruh mereka sehingga pengajian-pengajian tradisi kemudiannya mula disingkir dan menjadi terpencil. Apabila Syeikh 'Uthman pulang kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1351H, beliau mendapati fahaman tersebut telahpun menular di kalangan masyarakat Melayu. (Rujukan blog al-Fanshuri)

5. Tidak sedikit juga yang cuba menerapkan fahaman ini di kalangan masyarakat Melayu. Antara tokoh-tokohnya ialah seperti Syeikh Abu Bakar al-Asy'ari dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin. Maka, ramai ulama tradisional dengan bersikap defensif bangkit mengkritik fahaman baru ini. Antara tokoh-tokohnya ialah Syeikh 'Abdullah Fahim, mufti Pulau Pinang, Syeikh Yusuf Syihabuddin (m. 1973), mufti Selangor, Syed 'Alwi bin Syed Tahir al-Haddad (m. 1962), mufti Johor, Syeikh Muhammad Fadhlullah Suhaimi dan lain-lain.

6. Antara satu contoh konflik yang berlaku di antara dua aliran ini ialah sebuah polemik yang hangat pernah berlaku di antara Syeikh Abu Bakar Haji Hasan (m. 1938), bekas kadi Muar dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi mengenai solat sunat qabliyyah Jumaat. Syeikh Muhammad Tahir telah menyusun sebuah risalah yang menyatakan bahawa solat sunat qabliyyah Jumaat sebenarnya tidak sunnah. Risalah ini diberi judul: ‘Tazkirah Muttabi‘i al-Sunnah fi ma Yaf‘al Qabl wa Ba‘d al-Jumu‘ah’. Lalu kenyataan tersebut dibantah oleh Syeikh Abu Bakar di dalam bukunya ‘Taman Persuraian’ mempertahankan bahawa ianya adalah sunnah. Syeikh Muhammad Tahir kemudian mempertahankan pendapatnya itu di dalam buku lain berjudul ‘Huraian yang Membakar Taman Persuraian Haji Abu Bakar’ dan ‘Ta’yid Tazkirah Muttabi‘i al-Sunnah fi al-Rad ‘ala al-Qa’il bi Sunniyyah Rak‘atayn Qabl al-Jumu‘ah’. Syeikh Abu Bakar kemudian sekali lagi menolak pandangan beliau dengan buku lain berjudul ‘Taufan yang Memalui Atas Huraian Haji Tahir al-Minkabawi’ ( 1932).

7. Kita tidak mendapati tokoh-tokoh Wahhabiyyah yang menonjol secara popular dalam tempoh antara sesudah kematian Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab sehingga munculnya tokoh-tokoh mutaakhirin Wahhabiyyah, iaitu seperti Syeikh 'Abdul 'Aziz bin Baz, Syeikh al-Albani, Syeikh al-'Uthaymin, Syeikh al-Fawzan, Syeikh Bakar Abu Zayd dan lain-lain. Barangkali ini disebabkan oleh kesibukan mereka dalam tempoh tersebut dengan berperang atau kemerosotan pengaruh mereka di kalangan umat Islam. Dengan itu dapatlah kita fahami, kenapa kebanyakan pendapat-pendapat dan fatwa-fatwa mutaakhirin ini yang ditaklid dan dipegang oleh pengikut-pengikut Wahhabiyyah pada masa sekarang, selain tokoh pengasas gerakan itu sendiri. Kelompongan ini membuktikan bahawa aliran tradisional yang merupakan jumhur ulama pada ketika itu masih berpengaruh secara kuat di Hijjaz.

8. Namun pemikiran Wahhabiyyah ini tetap wujud walaupun dalam kedudukan yang lemah. Ada di antara ulama tradisional yang menangani mereka secara berdebat, seperti yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad bin Idris (m. 1253H) yang berdebat dengan sebahagian pengikut Wahhabiyah yang antaranya bernama al-Kubaybi. Syeikh Ahmad akhirnya berjaya mematahkan hujah mereka. (مناظرة سيدنا الشريف أحمد بن إدريس رضي الله عنه مع علماء الوهابية) (Rujukan)

9. Dalam era kemerosotan Wahhabiyyah ini, kebanyakan aktiviti mereka hanya terbatas di daerah Najd sahaja. Sehinggakan Syeikh Muhammad Rasyid Ridha melihat tidak ada wakil ulama Mazhab Hanbali di Mekah, lalu beliau menyuruh salah seorang ulama yang bermazhab Hanbali agar menjadi mufti Mazhab Hanbali di sana.

10. Fahaman Wahhabiyyah pada awal kebangkitannya selepas tahun 1343H banyak dipengaruh oleh pemikiran-pemikiran Muhammad 'Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha yang mungkin sedikit berbeza dengan tokoh-tokoh mutaakhirin mereka kemudiannya yang lebih jelas dan sepakat dalam banyak pandangan. Antara tokoh-tokoh awalnya pada masa sesudah kebangkitan itu ialah Syeikh 'Abdul Rahman al-Sa'di, Syeikh Amin al-Syanqiti, Syeikh 'Abdul Zahir Abu al-Samah (m. 1370H), Syeikh Muhammad 'Abdul Razzaq Hamzah (m. 1392H), dan lain-lain. Kebangkitan ini menimbulkan banyak polemik kemudiannya di antara fahaman Wahhabiyyah dan golongan jumhur ulama Islam yang berterusan sehinggalah sekarang ini...

Tuesday, November 17, 2009

Taubat, Langkah Pertama Kekuatan Ummah

Matan hadith:

عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏عَنْ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ: ‏ ‏إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً ‏ ‏نُكِتَتْ ‏ ‏فِي قَلْبِهِ ‏ ‏ نُكْتَةٌ ‏سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ ‏ ‏نَزَعَ ‏ ‏وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ ‏ ‏سُقِلَ ‏ ‏قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ وَهُوَ ‏ ‏الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ: ((كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ)). (أخرجه الترمذي (3257)، وقَالَ: ‏ ‏هَذَا ‏ ‏حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. ‏و أَحْمَدُ (7611)، وَالنَّسَائِيُّ وَابْنُ مَاجَهْ (4234)، وَابْنُ حِبَّانَ وَالْحَاكِمُ وَقَالَ: صَحِيحٌ عَلَى شَرْطِ مُسْلِمٍ ).

Terjemahan:

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW sabdanya: “Sesungguhnya seorang hamba apabila ia membuat suatu dosa, akan terbekas di hatinya satu titik hitam. Maka jika ia sedar, beristighfar dan bertaubat, akan bersihlah kembali hatinya. Jika ia kembali melakukannya, akan bertambah pada titik hitam tadi (sedikit demi sedikit) sehingga ia menyelubungi hatinya. Dan itulah ”karat” yang telah disebut oleh Allah: Tidak sekali-kali, bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan apa (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan (al-Mutaffifin: 14)”.

Huraian:

Demikian keadaan hati yang digambarkan oleh Rasulullah SAW. Maka bagi orang yang sentiasa kembali kepada Allah dengan memohon ampun dan istighfar, maka itulah orang yang diberi taufik oleh-Nya. Adapun orang yang sentiasa bergelumang dengan maksiat dan gemar melakukannya, maka ia tidak akan rasa berdosa lagi, dan orang seperti ini adalah orang yang jauh dari rahmat Allah SWT. Lebih membimbangkan jika ia tidak diilhamkan untuk kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya, maka ia dikhuatiri akan mati dalam keadaan su’ul khatimah (mati dengan buruk). Wal’iyazu billah.

Taubat adalah langkah pertama bagi mengembalikan kekuatan umat ini. Masyarakat kita pada hari ini perlu disedarkan dengan punca-punca dosa dan ejen-ejen maksiat yang sudahpun bercampur gaul dan mengelilingi kehidupan kita pada hari ini. Kemudian perlu disedarkan dengan peri pentingnya bertaubat setiap hari. Bukan sekadar beristighfar di mulut, bahkan ia mesti diserapkan masuk ke dalam hati. Jika Nabi SAW yang maksum beristighfar sehingga 100 kali setiap hari, tentu kita boleh fikir dan bandingkan dengan diri kita yang tidak maksum hanya beristighfar 3 kali setiap kali solat, atau 15 kali sehari. (Itupun kalau berzikir lepas solat, ada yang lepas salam je terus angkat kaki... miskiin...)

Atas keluasan rahmat Allah, bertaubat daripada dosa dengan sebenar-benarnya dapat membersihkan diri seseorang itu, sepertimana sabda Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud RA:

التَّائِبُ مِنْ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ. (رواه ابن ماجه (4240وَفِي الْمَقَاصِد الْحَسَنَة: رَوَاهُ اِبْن مَاجَهْ وَالطَّبَرَانِيُّ فِي الْكَبِير وَالْبَيْهَقِيُّ فِي الشُّعَب مِنْ طَرِيق أَبِي عُبَيْد بْن عَبْد اللَّه بْن مَسْعُود عَنْ أَبِيهِ رَفَعَهُ وَرِجَاله ثِقَات بَلْ حَسَّنَهُ شَيْخنَا – أي ابن حجر - يَعْنِي لِشَوَاهِدِهِ وَإِلَّا فَأَبُو عُبَيْدَة جَزَمَ غَيْر وَاحِد بِأَنَّهُ لَمْ يَسْمَع مِنْ أَبِيهِ. - السندي ‏)

Terjemahan: ”Orang yang bertaubat daripada dosa adalah seumpama orang yang tiada dosa baginya”.

Seorang hamba yang bertaubat sangat disukai oleh Allah SWT, dan Dia membuka pintu taubat-Nya kepada sesiapa sahaja selama mana nyawa orang tersebut belum sampai ke halkumnya (ketika nazak). Nabi SAW ada menceritakan sebuah cerita yang menarik berkaitan dengan taubat ini, daripada riwayat al-Bukhari (3470) dan Muslim (2766), iaitu sabdanya;

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di antara orang yang hidup sebelum kamu, ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang manusia. Lalu dia mencari seorang yang paling alim untuk bertanya hal dirinya. Maka orang menunjukkan kepadanya seorang pendita. Orang itu lalu mendatangi pendita itu lalu bertanya, bahawa dia telah membunuh 99 orang manusia, apakah masih boleh dia bertaubat kepada Tuhan? Pendita itu menjawab: "Tidak". Maka pendita itu pun dibunuhnya sehingga genap 100 orang. Lalu dia mencari lagi orang yang paling alim di permukaan bumi ini. Dia kemudian ditunjukkan orang kepada seorang yang paling alim, dan banyak serta luas pengetahuannya. Lalu katanya, dia sudah membunuh 100 orang manusia, masih dapatkah dia bertaubat kepada Tuhan? Orang alim itu menjawab: "Ya, dan tidak ada satu halangan baginya untuk bertaubat. Tetapi berpindahlah ke suatu negeri ini, kerana di negeri itu ramai manusia yang baik-baik yang selalu beribadat menyembah Allah. Beribadatlah bersama-sama mereka. Dan jangan kembali lagi ke negerimu kerana negerimu itu negeri yang buruk (ramai orang jahat)”. Orang itu pun berangkatlah meninggalkan kampung halamannya ke negeri yang ditunjukkan itu. Di tengah-tengah perjalanan, tiba-tiba orang itu meninggal dunia. Lalu berselisihlah mengenai orang itu antara Malaikat Rahmat dan Malaikat 'Azab. Berkata Malaikat Rahmat: "Orang ini matinya dalam keadaan bertaubat sedang menghadapkan seluruh jiwanya kepada Tuhan". Dan berkata Malaikat 'Azab: "Orang ini tidak ada kebaikan sedikit pun”. Tiba-tiba turun satu Malaikat lain berbentuk seorang manusia biasa. Malaikat Rahmat dan Malaikat 'Azab pun mengangkat Malaikat ini menjadi hakim antara mereka. Lalu malaikat ini memerintahkan untuk mengukur jarak antara tempat kematian itu dengan tempat yang dituju dan tempat asalnya. Ketempat mana yang dia lebih dekat, maka itulah yang menentukan apakah orang ini termasuk sebahagian Malaikat Rahmat atau Malaikat 'Azab. Setelah diukur, ternyata ia lebih dekat ke tempat yang dituju. Maka orang itu dibawalah oleh Malaikat Rahmat”.

Dalam satu riwayat menerangkan ; bahawa orang itu ketika hampir meninggal dunia menolak dadanya hendak menuju ke arah negeri tersebut. Di dalam riwayat lain diterangkan ; bahawa ketika kedua Malaikat itu sedang mengukur jarak, Allah lalu memerintahkan kepada bumi yang berada di antara tempat itu dengan tempat yang dituju supaya menjadi lebih dekat.

Saturday, November 14, 2009

3 Aliran Pemikiran Besar Menurut Imam ‘Abdul Halim Mahmud

Tiga Aliran Pemikiran Besar Menurut Imam ‘Abdul Halim Mahmud

Dalam kerencaman hidup manusia di atas muka bumi pada masa kini, kepelbagaian arus pemikiran dalam kelompok akademik Islam terus berjalan berterusan tanpa hentinya. Ada sudut yang positif, secara dominannya, dan ada sudut yang negatif. Jika kita kembali merentas sejarah ke belakang, kita akan dapati apa yang berlaku pada masa kini adalah kesinambungan daripada masa lampau. Dalam bidang fiqh, sejarah telah merakamkam persaingan hebat antara dua aliran pemikiran besar, iaitu Madrasah Ahli Al-Ra’yi dan Madrasah Ahli Al-Hadith.

Manakala dalam bidang akidah, sejarah telah menyaksikan pertembungan kritikal antara dua aliran pemikiran besar juga, iaitu kelompok Ahlus Sunnah dan kelompok Muktazilah. Menurut Imam ’Abdul Halim Mahmud (m. 1978), bekas Syeikhul Azhar dahulu, dalam disiplin pemikiran umum dan falsafah Islam, dua kelompok tersebut juga disebut sebagai Nassiyyun (ahli nas) dan ’Aqliyyun (ahli akal). Di samping keduanya, terdapat sebuah lagi kelompok penting yang mencorakkan disiplin pemikiran Islam iaitu kelompok Basiriyyun (ahli basirah).

Pertembungan ketiga-tiganya berlangsung secara berterusan di dalam sejarah Islam, sama ada secara disedari ataupun tidak. Kata Imam ’Abdul Halim Mahmud: ”Permusuhan berterusan antara Nassiyyun yang diwakili oleh Imam Ahmad, Basiriyyun yang diwakili oleh Imam al-Muhasibi dan ’Aqliyyun yang diwakili oleh kaum Muktazilah. Antara perkara yang menghairankan ialah mana-mana kekuatan tersebut tidak jatuh tersungkur begitu sahaja, bahkan ia kekal kuat dan berterusan dalam bertempur dan berjuang sehingga ke hari ini.

Pemikiran al-Muhasibi terus bersambung dan terjasad secara realistik pada Imam al-Ghazali. Kemudian selepasnya, pada baki golongan Sufiyyah pula sehingga ke zaman sekarang. Tokoh yang mewakilinya dalam gaya baru dan idea bernas ialah al-marhum Syeikh ’Abdul Wahid Yahya, yang telah meninggal dunia di awal separuh yang kedua kurun ini.

Pemikiran Imam Ahmad terus bersambung dan terjasad secara realistik pada Imam Ibn Taymiyyah yang meletakkan mantik padanya serta mengukuhkan asas dan usulnya. Ia terus kuat sehingga ke zaman kita sekarang, dan tokoh yang mewakilinya secara semangat ialah al-marhum Syeikh Rasyid Ridha.

Pemikiran Muktazilah juga terus bersambung, namun adakalanya ia lemah dan adakalanya ia kuat, sehinggalah muncul Jamaluddin al-Afghani, lalu beliau menolaknya dengan kuat keluar ke alam zahir. Syeikh Muhammad ’Abduh adalah antara faktor terpenting dalam mengembangkannya secara perlahan dan halus yang hampir-hampir tersembunyi, atau hampir-hampir memakai pakaian Salafiyyah. Sesudah beliau, panji-panji dibawa oleh al-marhum Syeikh al-Maraghi dan al-marhum Syeikh Mustafa ’Abdul Raziq. Pemikiran Imam Muhammad ’Abduh ini terjasad secara realistik pada mereka berdua, bukannya pada Syeikh Rasyid Ridha, sebagaimana yang disangka oleh ramai orang.

Ketiga-tiga kekuatan ini terus berkonflik sehinggalah ke masa kita ini, dan kami percaya ianya akan terus berlangsung. Ini kerana ianya mewakili kecenderungan fitrah yang wujud pada umat manusia. Maka ada setengah mereka yang bersifat realiti, yang menuju kepada nas dan tidak mahu, ataupun ia tidak membolehkannya untuk berjalan kepada yang lebih jauh daripada itu. Setengah mereka pula menjaga sahsiahnya secara kuat dan tegas tanpa kompromi, maka ia adalah ’aqli atau i’tizali. Dan setengah mereka pula berperasaan halus, tipis pancainderanya dan bersifat kemalaikatan, maka ia adalah basiri atau sufi.

Tiga kecenderungan ini berdiri di atas fitrah yang berbagai. Fitrah-fitrah ini pula akan berterusan pada umat manusia selamamana wujud di atas muka bumi ini individu-individu daripada jenis insan. Dari sinilah kesilapan mereka yang memerangi tasawuf, atau i’tizal (cara berfikirnya sahaja), atau nassiyyun dengan cita-cita untuk menghapuskan salah satu aliran daripada aliran-aliran ini”. (Alhamdulillah Hazihi Hayati, h. 129-130)

Friday, November 13, 2009

Pedang Teknologi Nano al-Ayyubi


Entri ini saya kutip daripada blog Pemuda Iman. Pada hemat saya, ia amat menarik.

Pedang Nano Salahuddin al-Ayyubi

Penulis: Ahmad Faiz bin Abdul Latip - B.Sc, M.Sc (Kimia)


Sejauh mana kita semua mengenali sudut hidup pahlawan Islam terunggul lewat peperangan salib, Salahuddin Al-Ayyubi? Beliau sangat terkenal sebagai sosok kukuh yang berjaya menghantar rasa gerun dan hormat kepada tentera-tentera musuh. Lebih manis lagi, peribadi inilah yang telah memimpin pembebasan Tanah Suci Ketiga umat Islam daripada cengkaman Kristian hampir seratus tahun lamanya.

Keistimewaan Salahuddin Al-Ayubi telah dibongkar oleh Prof. Dr. Peter Paufler dan kumpulannya di Teknikal Universiti Dresden, Jerman apabila mereka menemui TIUB KARBON NANO (carbon nanotube) di dalam pedang yang digunakan oleh Salahuddin Al-Ayubi dan tentera-tentera Islam dalam peperangan salib. Carbon nanotube inilah yang telah menjadikan pedang-pedang pejuang Islam sangat istimewa; SANGAT TAJAM tetapi MUDAH LENTUR. Penemuan ini telah diterbitkan oleh jurnal Nature (antara jurnal saintifik paling berpengaruh di dunia) tahun 2006: www.nature.com.

* (nota: perlu langganan pembaca) atau sila rujuk ulasan yang berkaitan oleh Royal Society of Chemistry, UK di: www.rsc.org.

Kunci kepada teknologi nano pedang mujahidin Islam ini terletak kepada teknik pembuatannya yang unik. Besi mentah dari Damsyik, Syria telah dicampur dengan wootz dari India yang membekalkan peratusan unsur Karbon (Carbon) yang sesuai lalu menukarkan campuran bahan-bahan tadi kepada cementite yang bersifat rapuh. Cementite seterusnya dibakar pada suhu amat tinggi dan ditambah dengan unsur-unsur seperti Kromium, Mangan, Kobalt dan beberapa unsur lain yang melengkapkan sifat-sifat sebilah pedang setiawan: TAJAM lagi LENTUR. Sayang sekali, teknologi ini hilang begitu sahaja menginjak kurun ke-18 seiring dengan kepupusan bijih besi dan unsur-unsur penguat pedang tadi.

Tentera-tentera salib terkedu saat-saat “perkenalan” mereka dengan pedang nano pejuang Islam! Pedang nano Salahuddin Al-Ayyubi yang berwarna kebiru-biruan dengan larik-larik mengufuk di sepanjang bilahnya telah “mengajar” pedang lebar Inggeris kepunyaan Raja Richard I (kepala tentera salib) akan erti kehebatan teknologi Islam pada zaman itu seperti yang dihikayatkan oleh Sir Walter Scott di dalam bukunya “The Talisman”. Perumpamaan yang dilontarkan ialah pedang Salahuddin ini mampu membelah dua kain sutera di udara begitu sahaja manakala jika ia ditetakkan kepada batu pejal, magnitud ketajamannya sama sekali tidak terjejas!

Masih tercari-cari model untuk berjaya dalam hidup? Teladanilah kualiti Salahuddin al-Ayyubi. Pahlawan agama ini malah seorang ilmuwan dan ahli ibadat; sangat menjaga solat berjemaah, gemar mendengar hadis Rasulullah SAW, hidup zuhud, pemurah dan ceria tetapi gagah berani di medan perang. Riwayat-riwayat mengenai Salahuddin al-Ayyubi boleh dikutip, di antaranya menerusi buku Al-Bidayah wa Al-Nihayah karangan Imam Ibnu Kathir dan Siyar A’lam Al-Nubala’ karya Imam Al-Zahabi. Sungguh! Pedang nano hanyalah sebilah besi biasa dan tidak bermakna melainkan ia berada di tangan hamba Allah yang berkualiti seperti Salahuddin Al-Ayyubi!

- Ahmad Faiz bin Abdul Latip

* Sila lihat peribadi Salahuddin dengan lebih dekat di Wikipedia.

Thursday, November 12, 2009

Prof. Dr. Farid al-Ansari رحمه الله


Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Rekod kematian ahli ilmu pada tahun ini bertambah lagi, meskipun saya agak terlewat merekodkan maklumat ini dalam blog. Dr. Farid al-Ansari ialah ketua Jabatan Pengajian Islam dan pensyarah Usul al-Fiqh dan Maqasid al-Syari'ah di Kuliah al-Adab, Universiti al-Mawla Isma'il, Morocco. Beliau telah meninggal dunia pada 5hb. November yang lalu dalam usia 49 tahun. (Rujukan Islam Online)

Antara karya-karyanya ialah:
1- قناديل الصلاة ’’كتاب في المقاصد الجمالية للصلاة‘‘ - 2000م
2- الفجور السياسي والحركة الإسلامية بالمغرب: دراسة في التدافع الاجتماعي. -2000م
3- المصطلح الأصولي عند الشاطبي -أطروحة دكتوراه
4- جمالية التدين ’’كتاب في المقاصد الجمالية للدين
5- البيان الدعوي ونفسية الصدام السياسي
6- الدين هو الصلاة والسجود لله باب الفرج
7- الفطرية
8- سيماء المرأة في الإسلام بين النفس والصورة diterjemah ke bahasa Perancis: Les secrets du Hidjab.
11- التوحيد والوساطة في التربية الدعويةالجزء الأول-الجزء الثاني 1995
17- انحراف استنصامي في الفكر والممارسة
18- بعثة التجديد المقبلة
19- من الحركة الإسلامية إلى دعوة الإسلام
20- كشف المحجوب
21- آخر الفرسان

Pemikiran beliau juga dapat ditelaah di laman web alfetria.com dan juga blognya: http://faridalansari.maktoobblog.com/.

Wednesday, November 11, 2009

Mufti Selangor Mengkritik Kaum Muda


Syeikh Yusuf bin Syihabuddin (1889 - 1973M) adalah mufti pertama kerajaan negeri Selangor (1952-1968M) pada zaman Sultan Selangor al-Marhum Sultan Hishamuddin. Antara karya-karyanya ialah:

1. Irshad al-Ummah ila al-Mazahib al-Arba’ah.

2. Mukhtasar min Anwar al-Quran fi Radd Mutanabbi’ al-Qadiyan.

3. Sekitar Hukum Memungut Zakat.

4. Kifayah al-Salik wa Bulghat al-‘Abid al-Nasik.

Kitab Irshad al-Ummah ila al-Mazahib al-Arba’ah adalah kitabnya dalam menolak fahaman kaum muda yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor dan selesai disusun oleh beliau pada 8hb. Mac tahun 1957. Ini bermakna pada zaman beliau telah berlaku perselisihan antara ulama tradisional dan kaum muda. Realiti yang berlaku pada zaman seterusnya menunjukkan penyebaran fahaman kaum muda ini di Selangor tidaklah begitu luas dan bertahan lama.


Kata Syeikh Yusuf bin Syihabuddin Selangori di awal kitab tersebut (h. 2-3): "Sungguhnya setengah daripada orang yang menjalankan kebinasaan pada agama Islam zaman yang akhir ini mereka berpegang ia pada alasan mengata ketiadaan harus taqlid bagi salah satu dari ulama’ al-mujtahidin (mazhab yang empat) ; al-Hanafi Nu’man bin Thabit, al-Maliki Malik bin Anas, al-Syafi’i Muhammad bin Idris, al-Hanbali Ahmad bin Hanbal رضوان الله عليهم

Dan katanya wajib ijtihad sehingga pada furu’ al-syari’ah (hukum fiqh) pun, dan semua orang Islam, kerana mengikut kata-kata orang alim pemuda-pemuda sekarang, dan bekerjalah mereka itu menghamburkan pekerjaan yang merosakkan agama dengan membuat risalah-risalah dan bersyarah ke sana ke mari dengan mengatakan kita berpegang kepada Quran dan Sunnah (hadith). Setengah daripadanya dengan mendengar syarahan itu tiadalah mereka itu menghiraukan lagi dengan perkataan ulama al-mujtahidin dan pengikut-pengikut mereka itu daripada ulama-ulama al-a’lam, dan hanya diambil kebilangan sahaja dengan barang yang zahir baginya daripada Quran dan Sunnah (hadith) dengan tiada lagi berpegang dengan syarat-syarat imam mujtahidin , dan tiada memandang kepada wujud yang menegahkan dan yang menahankan bagi yang demikian itu, atau tiadanya. Dan mentafsirkan ia akan beberapa ayat Quran dan hadith dengan akal sendiri. Mereka inilah yang dikehendaki oleh hadith meriwayatkan Ibnu ’Abbas (رضي الله عنهما) dengan katanya: (آفات العلم ثلاثة: فقيه فاجر، وإمام جائر، ومجتهد جاهل), Bermula kebinasaan ilmu itu tiga: faqih yang jahat, sultan yang zalim dan orang yang mujtahid yang jahil”.


Ulasan:

Hadith berkenaan disebut oleh Imam al-Suyuti di dalam al-Jami' al-Kabirnya dengan lafaz : (آفة الدين ثلاثة‏:‏ فقيه فاجر، وإمام جائر، ومجتهد جاهل‏.‏ ), "Kebinasaan agama itu tiga ...", dari riwayat al-Daylami daripada Ibn 'Abbas RA. Syeikh al-'Ajluni yang memuatkan hadith ini dalam kitabnya (كشف الخفاء ومزيل الإلباس عما اشتهر من الأحاديث على ألسنة الناس) tidak mengulas apa-apa tentang darjatnya. Namun, sedia dimaklumi oleh para pengkritik hadith bahawa kitab al-Daylami adalah dalam kategori sumber bagi hadith-hadith da'if.

Wa Allahu a'lam.

Tuesday, November 10, 2009

Kecintaan Uhud

Dalam sebuah hadith sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim disebut: ((‏إِنَّ ‏ ‏أُحُدًا ‏ ‏جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ)), maksudnya: "Sesungguhnya Uhud adalah bukit yang mencintai kami dan kami juga mencintainya". Kecintaan bukit Uhud kepada Nabi SAW mungkin dapat difahami dengan gambar-gambar dari Google Earth di bawah ini, yang membentuk tulisan (محمد). Subhanallah..







Monday, November 9, 2009

Mempertahan Kredibiliti Syeikh al-Nabhani


Dalam tulisan Dr. Asri pada dua ahad yang lalu telah memetik kata-kata Prof. Hamka yang mengkritik Mufti Johor. Dalam tulisan yang sama Hamka turut menkritik Syeikh al-Nabhani, seorang tokoh ulama sufi yang terkenal di Lubnan. Maka saya merasakan perlu untuk menjelaskan kedudukan Syeikh al-Qadi Yusuf bin Ismail an-Nabhani (1849 - 1932) agar sahsiah beliau tidak terus dipandang rendah oleh mereka yang jahil tentang diri sufi besar ini. Meskipun yang membenci dan memusuhinya sebagai juara tasawuf tetap memandangnya dengan cemuh dan jelik.

Kata Prof. Hamka: "Bersama dengan penghinaan kepada Wahhabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam kerajaan Turki. Bukunya Shawahidul Haq penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan. kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum tua. Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah, maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak".

''Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau ini pun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda". (Prof. Hamka, Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s 76). (Petikan Utusan Online)


Ulasan

Syeikh al-Nabhani hidup sezaman dengan tokoh-tokoh aliran Salafiyyah dan islah/tajdid yang terkenal iaitu Muhammad ’Abduh (m. 1323H), dan muridnya Muhammad Rasyid Ridha (m. 1354H) di Mesir, Mahmud Syukri al-Alusi (m. 1342H) di Iraq, ’Abdullah bin Idris al-Sanusi al-Fasi (m. 1350H) di Maghribi, serta Syamsul Haq Muhammad al-’Azimabadi (m. 1329H) di India. Mereka ini banyak menerima kritikan dan tentangan dari ulama-ulama aliran tradisional yang merupakan majoriti ulama Islam pada masa itu. Justeru, adakalanya situasi agak tegang antara dua buah aliran ini dan adakalanya agak kendur. Malah Syeikh al-Nabhani sendiri pernah menerima Syeikh ’Abdullah al-Sanusi bertamu dan bermalam di rumahnya, serta meriwayatkan sanad daripada beliau. (Sa’adah al-Darain, h. 483)

Syeikh al-Nabhani merupakan seorang ulama yang agak keras dan tegas terhadap lawannya terutama dalam mempertahankan pegangan dan prinsipnya serta aliran tradisional. Dalam beberapa tulisannya beliau mengkritik Jamaluddin al-Afghani, Muhammad ’Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha dengan amat tajam dan mungkin keterlaluan seperti dalam al-Ra’iyyah al-Sughra fi Zamm al-Bid’ah wa Ahliha wa Madhi al-Sunnah al-Gharra’. Maka tidak hairan jika beliau turut dikritik semula oleh pendokong-pendokong aliran lawannya. Antaranya dalam kitab (غاية/نيل الأماني في الرد على النبهاني) dan (الآية المبرى على ضلالة في الرائية الصغرى) oleh Mahmud Syukri al-Alusi serta kitab (الداهية الكبرى على الرائية الكبرى) oleh seorang pengkritik lain. (lihat juga kisah lanjut dalam tulisan Syeikh Ibrahim ‘Atwah ‘Awadh dalam mukadimah Jami’ Karamat al-Awliya’, j. 1, h. 7).

Malah muridnya, Syeikh ’Abdul Hafiz al-Fasi selain menyanjung, turut mengkritik gurunya itu dalam Mu’jam al-Syuyukh (h. 254-255). Namun tidak bermakna kritikan itu dapat diterima bulat-bulat kerana para pengkaji yang meneliti tulisan-tulisan Muhammad ’Abduh dan Rasyid Ridha turut mendapati kritikan al-Nabhani itu ada alasannya meskipun agak melampaui had. Ini kerana kecenderungan pemikiran mereka kepada metode aliran 'aqlaniyyah (rasional akal) yang dipelopor oleh Muktazilah sehingga didapati dalam tulisan-tulisan mereka menolak hadith-hadith yang sahih, malah terdapat juga tafsiran ayat al-Quran yang pelik. Walau bagaimanapun, dikatakan Syeikh Rasyid Ridha kemudian menumpukan minatnya terhadap bidang hadith di akhir hayat beliau.

Mengkritik Jamaluddin al-Afghani, Muhammad ’Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha bukan bermakna akan rosak akidah seseorang itu secara sepenuhnya. Dengan meletakkan mereka di zon kebal kritikan adalah suatu yang tidak rasional. Apatah lagi jika situasi pada masa itu tidak sepertimana sekarang dalam mendapatkan maklumat. Penyertaan mereka dalam pertubuhan Freemason dan berbaik serta bersikap lunak dengan Barat/Inggeris mungkin antara penyebab yang mendorong kritikan terhadap mereka. Malah bukan sahaja al-Nabhani, bahkan ramai ulama-ulama tradisional yang bangkit mengecam mereka atas rasa keghairahan demi mempertahankan Islam. Antara yang kuat menentang aliran ini juga ialah Dr. Muhammad Muhammad Husain pemikir Mesir yang popular pada suatu masa dulu. (lihat dalam buku Dr. Muhammad Muhammad Husain: Buhuthuhu wa Mawaqifuhu, 1987).

Bagaimanapun kemudiannya mereka menyedari akan bahaya pertubuhan Freemason tersebut. Isu-isu seperti ini tentunya memberi peluang kepada musuh mereka menabur fitnah. Tidak mustahil jika apa yang disebut oleh Syeikh al-Nabhani hanyalah khabar-khabar yang disampaikan oleh mereka yang menentang gerakan islah Muhammad 'Abduh. Dengan tidak dapat dinafikan kekurangan Syeikh al-Nabhani dari sudut kekritisan terhadap maklumat-maklumat yang diterima, yang dapat dilihat dalam tulisan-tulisan beliau.

Seperkara lagi, menonjolkan mereka semata-mata sebagai berjasa terhadap Islam adalah suatu yang tidak adil kerana pada masa itu amat ramai ulama besar lain yang sezaman dengan mereka yang juga hidup demi berkhidmat kepada agama. Antaranya di Hijjaz, Falih bin Muhammad al-Zahiri (m. 1328H), ’Abbas bin ’Abdul ’Aziz al-Maliki (m. 1353H), Muhammad Mahfuz al-Tarmasi (m. 1338H), Muhaddith al-Haramain ’Umar Hamdan al-Mahrisi (m. 1368H), Mufti Syafi'iyyah di Mekah, 'Abdullah al-Zawawi (m. 1343H) dan lain-lain.

Di Syam, Jamaluddin al-Qasimi (m. 1332H), Mahmud Rasyid al-‘Attar (m. 1362H), Tahir bin Salih al-Jaza’iri (m. 1338H), al-Muhaddith al-Akbar Badruddin al-Hasani (m. 1354H), Syeikh Muhammad al-Zarqa (m. 1343H), Syeikh ’Isa al-Bayanuni (m. 1362H), Syeikh Abul Khair Ibn 'Abidin (m. 1343H) dan lain-lain. Di Maghribi, Syeikh Ja'far bin Idris al-Kattani (m. 1323H), Syeikh Muhammad bin Ja’far al-Kattani (m. 1345H), yang mempunyai hubungan persahabatan yang baik dengan al-Nabhani, al-Muhaddith Muhammad Habibullah al-Syanqiti (m. 1363H) dan lain-lain.

Di Mesir, Syeikhul-Azhar Salim al-Bisyri al-Maliki (m. 1335H), Mufti Mesir Muhammad Bakhit al-Muti’i (m. 1354H), Syeikh Yusuf al-Dujwi (m. 1365H), Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf (m. 1355H), Syeikhul Azhar Hasunah al-Nawawi (m. 1343H), Syeikh 'Abdul Majid al-Syarnobi (m. 1327H) dan lain-lain, termasuk Gerakan Ikhwan pimpinan Imam Hasan al-Banna. Di Yaman, Musnid Hadhramaut al-Habib Muhammad bin Salim al-Sari al-Ba’alawi (m. 1346H) dan ulama-ulama al-Ba’alawi di Tarim. Di India, Hakim al-Ummah Asyraf ’Ali al-Tahanuwi (m. 1362H), ‘Abdul Sattar al-Dihlawi (m. 1355H), Muhammad ’Abdul Baqi al-Laknawi (m. 1364H) dan ramai lagi, termasuk Gerakan Tabligh pimpinan Mawlana Muhammad Ilyas al-Kandihlawi.

Selain itu, ramai ulama yang meriwayatkan sanad daripada al-Nabhani antaranya, Syeikh ’Abdul Hayy bin ’Abdul Kabir al-Kattani (m. 1382H), Syeikh ’Abdul Hafiz al-Fasi (m. 1383H), Muhaddith Halab Muhammad Raghib al-Tabbakh, Syeikh Makki al-Kattani, Syeikh ’Alawi bin ’Abbas al-Maliki, dan al-Hafiz Ahmad al-Siddiq al-Ghumari (m. 1380H). Hubungan ‘Abdul Hayy al-Kattani dengan Syeikh al-Nabhani amat erat hingga beliau telah menyusun sebuah kitab sanad dengan judul (الاسعاف بالاسعاد الرباني في إجازة الشيخ يوسف النبهاني) pada tahun 1322H. Beliau menggelarkan gurunya itu sebagai Busiri al-‘Asr. (Fihris al-Faharis, j. 1, h. 185). Al-Nabhani juga banyak memuji dan menyanjung beliau sepertimana yang dapat dilihat dalam Jami’ Karamat al-Awliya’ (j. 1, h. 378-380).

Mungkin perkara-perkara ini tidak disedari oleh Prof. Hamka yang hidup sejak kecil sehingga beliau meninggal dunia di dalam kelompok Muhammadiyyah yang mendokong aliran Salafiyyah ala Muhammad 'Abduh tersebut. Dikhuatiri beliau hanya membaca dan menelaah bahan-bahan dari satu pihak sahaja tanpa membuat penelitian yang menyeluruh. Atau itulah pandangannya mewakili barisan islah Indonesia untuk bersama aliran Salafiyyah yang lain dalam mengkritik al-Nabhani. Misalnya kitab beliau Shawahidul Haq menerima pujian ramai ulama besar (aliran tradisional) yang dapat dilihat pada bahagian awal kitab, termasuk daripada dua orang bergelar Syeikhul Azhar, iaitu Syeikh 'Abdul Rahman al-Syirbini dan Syeikh 'Ali bin Muhammad al-Bablawi, serta Muhaddith Maghrib 'Abdul Hayy al-Kattani (rujuk sini).

Beliau hanyalah satu mata rantai dari sekian banyak mata rantai dari kalangan ulama yang mengkritik Ibn Taimiyyah dalam masalah tawassul dan ziarah di abad ke-14 Hijrah, selain Imam Muhammad Zahid al-Kawthari (m. 1371H), al-Hafiz Ahmad al-Ghumari, Syeikh 'Abdul Hayy al-Kattani, Syeikh Yusuf al-Dujwi, Muhammad al-'Arabi al-Tabbani (m. 1390H) dan lain-lain yang disepakati juga oleh ramai ulama-ulama di Mesir, Maghribi, Yaman, India, Nusantara dan lain-lain. Termasuk Mufti Johor yang dikritik oleh Hamka. Justeru, apakah Ibn Taymiyyah langsung tidak boleh dikritik?? Atau pendapatnya mesti betul?? Namun hakikatnya al-Nabhani tetap wujud dan hidup dengan puluhan karyanya yang penuh dengan sensitifiti dalam mempertahankan Islam, jiwa kerohanian serta kecintaan yang dalam terhadap Rasulullah SAW. (lihat ulasan Syeikhuna 'Isam Anas al-Zaftawi di sini).

Seruan "tajdid" dan "islah" jika difokuskan kepada pembaharuan ilmu dan kefahaman adalah suatu perkara yang sangat nisbi sehingga mampu mencetuskan konflik yang serius. Alangkah baiknya jika pendokong-pendokong "tajdid" atau "islah" ini memberi fokus kepada pembaharuan iman dan amal, yang mana umat Islam pada masa ini yang sedang mengalami masalah sosial yang kronik amat memerlukannya. Bukan dengan menambahkan kekalutan dan kecelaruan pemikiran umat. Wallahu a'lam.

رحمهم الله جميعا وجمعهم وإيانا في فسيح الجنان

************************

ِAntara kitab-kitab Syeikh al-Nabhani yang boleh dimuat-turun:

1. Wasail al-Wushul ila Syamail al-Rasul (SAW)
2. Muntakhab al-Shahihain min Kalami Sayyid al-Kaunain (SAW)
3. al-Ahadits al-Arbain fi Wujubi Tha'ati Amir al-Mu'minin
4. Jami' Karamat al-Auliya'
5. Jami'u al-Tsana' 'ala Allah
6. al-Dalalat al-Wadhihat 'ala al-Dalail al-Khairat
7. al-Arba'in Arba'in min Ahaditsi Sayyid al-Mursalin SAW
8. Kitab al-Istighatsah al-Kubra bi Asma'iLLah al-Husna
9. Ahsanu al-Wasail fi Nadhm Asmaa' al-Nabiy al-Kamil
10. Sabil al-Najah fi al-Hubb fiLLah wa al-Bugdh fiLLah


Pautan-pautan lain:

1. Wikipedia (english).

2. al-Hiwar al-Islami.

3. Mu'assasah Palestine.

4. Rawdh al-Rayyahin.