Pages

Friday, February 26, 2010

Sanjungan Buat Rasulullah SAW Dalam Syair-syair Parsi

Mawlana Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi di dalam kitabnya ‘al-Tariq ila al-Madinah al-Munawwarah’ di bawah judul ‘Penyair-penyair Ajam Dalam Menyanjung Penghulu Arab dan Ajam (1)’ (h. 97) telah memuatkan beberapa petikan syair Parsi yang digubah oleh penyair-penyair terkenal berkaitan pujian dan sanjungan terhadap baginda Rasulullah SAW. Syair-syair tersebut diterjemahkan oleh beliau daripada bahasa Parsi kepada bahasa Arab. Manakala saya pula di dalam entri kali ini, cuba untuk menterjemahkan syair-syair versi Arab tersebut kepada bahasa Melayu. Tentunya berlaku banyak kekurangan di sana-sini. Saya turut tidak menafikan kemungkinan jika terjemahan ini lari jauh dari maksud asal para penyair tersebut. Maka mohon bagi sesiapa yang dapat menterjemahkan dengan lebih baik, atau lebih puitis, agar tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan.


1. Syeikh Sa’di (m. 691H)

“Si anak yatim yang lahir dan hidup ummi

Tidak pernah belajar al-Quran di sekolah

Mampu menyalin gedung ilmu banyak bangsa dunia

Lalu disaring nilai murni dan unsur hidupnya

Lantas membina pula sebuah gedung baru

Yang menjadi sumber ilmu dan makrifat

Bak sumur penghilang dahaga

para pengembara dan para pengunjung...”.


2. Syeikh Fariduddin Muhammad al-’Attar (m. 627H)

“Sesungguhnya bagi baginda itu ada satu hak

– kerana beliau dinamakan dengan nama baginda yang mulia –

Dan orang-orang mulia memelihara anak-anak

yang dinamakan dengan nama mereka

Juga mengetahui hak itu...”.


3. al-Amir Khasru

“Sesungguhnya nafas dan akhlaknya

telah meniupkan kehidupan

pada bangsa Arab yang sedang nazak

Yang memadamkan pada masa sama

obor Abu Lahab yang menyala-nyala

yang hampir-hampir meratah semua pohon hijau dan kering

Sesungguhnya baginda telah sampai dalam dua langkah

Dari alam ini ke alam sana

Dalam kembara dari alam benda ke alam rohani...”.


4. Mawlana ’Abdul Rahman al-Jami (m. 898H)

“Wahai yang empunya keturunan Arab

dan gelarannya ummi

Sungguh telah tunduk setia mentaatimu

serta akur dengan ketuananmu

seluruh bangsa Arab dan Ajam secara saksama

Sungguh kefasihanmu telah memberi kesan bangsa Arab

dan keindahanmu telah memiliki hati bangsa Ajam

Tidak memudaratkanmu kerana tidak tahu membaca dan menulis

Lalu dengan usahamu serta kebangkitanmu

Maka yang ummi bisa belajar

dan yang jahil bisa cemerlang

Denganmu sahifah amalan menjadi putih

Cahayamu menyinar dalam kegelapan

Maka tidak mengapa jika engkau

tidak melakar dakwat hitam di atas lembaran putih

atau mencantum lembar hitam kepada lembar hitam yang lain…”.


5. ’Arfi (m. 999H)

“Tidak mungkin seseorang itu bisa berdendang

Memuji raja-raja dan sultan-sultan

Dalam masa yang sama memuji Rasul al-Amin

Penghulu golongan awal dan akhir

Adalah biadap dan kurang intirasa

Bila seorang insan itu menghimpun dua pujian

Malah punya dua jiwa yang serupa

Jiwa untuk menyanjung sultan-sultan Ajam

Juga jiwa untuk menyanjung penghulu Arab dan Ajam…”.


6. al-Qudsi (m. 1056H)

“Pernah sekali kusandarkan diriku pada seekor anjing

Daripada anjing-anjing kampungmu

Lantas aku tersedar dan kutundukkan kepala

dek rasa malu, seraya aku berkata:

Ini adalah biadap dan kurang zauq…”.

* Ungkapan yang berupa majaz ini adalah bagi menunjukkan rasa penuh rendah diri si penyair.


7. Asadullah Khan Ghalib (m. 1285H)

“Jari jemarinya tak pernah memegang pena

Namun ia telah mencoret lakaran

Yang tak mampu dilakar oleh pena-pena sejarah

Tidaklah dijejakkan tapak kakinya di atas padang pasir

Melainkan ia pasti bertukar menjadi taman yang hijau

Manis tuturnya menjadikan si kafir seorang muslim

Juga si zindik seorang mukmin

Ia telah menyuluh dunia dengan cahaya agama

Menyelamatkan para mukminin dari azab pembalasan

Memerdekakan hamba dari penyembahan berhala

Memakmurkan alam dengan sebuah rumah

Itulah rumah iman

Yang mencairkan hati-hati musuh dan jiwa-jiwa yang begitu keras

Tidaklah hairan, kerana sebiji batu bendul rumahnya

Mampu mencairkan besi dan melembutkan yang keras kaku

Ia beriktikaf di mihrab, sedang hatinya

tergantung dengan semua makhluk Allah…”.


8. Mas’ud ’Ali al-Mihwi

“Fitrah telah menyingkap cadur dari wajahnya

Dan terpamerlah ia dalam rupa paras yang paling indah

Lalu melaksana rutin musim kembang

Lantas bumi dipakaikan pakaian merah

Dari bunga-bungaan dan juga mawar

Semua itu, demi kebangkitan Muhammad SAW

Sungguh pandangan matanya itu

Umpama campuran kimia

Yang menukarkan tanah hitam yang tiada nilai

Kepada emas tulen yang berkilau

Dialah penghulu yang mampu

tanpa bala tentera dan soldadu

Menjadikan kaum yang tiada haluan di pedalaman

Sebagai raja-raja yang mentadbir alam

Serta sarjana-sarjana yang mengajar umat manusia…”.


Sunday, February 21, 2010

Menghayati Kehebatan Rasulullah SAW

Kewajipan Mentakzim Rasulullah SAW

Kata al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitabnya al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa (j. 2, h. 35-36): Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta memulia dan mengagungkannya adalah lazim (wajib), sebagaimana hal keadaan pada masa hidupnya. Dan yang demikian itu adalah ketika menyebut baginda SAW, menyebut hadith dan sunnahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabatnya.

Kata Abu Ibrahim al-Tujibi: Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut baginda SAW atau disebut nama baginda SAW di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam dari bergerak serta merasakan kehebatan baginda SAW dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia sendiri berada di hadapan baginda SAW, serta beradab sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita.

Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Beginilah akhlak para salafussoleh dan imam-imam kita dahulu (رضي الله عنهم).


Akhlak Para Salaf Terhadap Rasulullah SAW

Imam Malik RA pernah bertemu Ayyub al-Sakhtiyani, seorang perawi hadith yang masyhur, katanya: “Apabila disebutkan Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya”.

Kata Mus‘ab bin ‘Abdullah: Imam Malik apabila menyebut Nabi SAW akan berubah warna rupanya dan menundukkan kepala sehingga menyukarkan hal tersebut kepada orang-orang yang duduk bersamanya. Lalu pada suatu hari beliau ditanya mengenai hal berkenaan, maka jawab beliau:

“Sekiranya kamu sekalian melihat apa yang aku lihat, nescaya kamu sekalian tidak akan hairan kepadaku terhadap apa yang kamu lihat.

Aku pernah melihat Muhammad bin al-Munkadir, dan beliau adalah penghulu para qurra’, hampir-hampir tidak pernah kami bertanya kepadanya mengenai sesuatu hadith pun melainkan beliau akan menangis sehingga kami berasa kasihan terhadapnya.

Aku pernah melihat Ja‘far bin Muhammad - al-Sadiq -, dan beliau seorang yang banyak bergurau dan tersenyum, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, rupa beliau akan berubah menjadi kekuningan (kerana pucat), dan tidak pernah aku melihatnya meriwayatkan hadith dari Rasulullah SAW melainkan dalam keadaan suci.

Pernah ‘Abdul Rahman bin al-Qasim menyebut Nabi SAW, lalu kami lihat kepada warna rupanya seolah-olah telah keluar darah daripadanya (kerana pucat lesi), dan lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah SAW.

Aku juga pernah datang kepada ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Zubair, apabila disebut di sisinya Rasulullah SAW beliau akan menangis sehingga tidak tinggal lagi air mata di matanya.

Aku pernah melihat al-Zuhri, dan beliau adalah orang yang paling ramah dan mesra, namun apabila disebut di sisinya Nabi SAW, maka dia seolah-olah tidak mengenali kamu dan kamu tidak mengenalinya.

Aku juga pernah datang kepada Safwan bin Sulaim, dan beliau adalah dari kalangan ahli ibadah, namun apabila beliau menyebut Nabi SAW, beliau akan menangis dan terus-terusan menangis sehingga orang-orang akan bangun dan meninggalkannya”.

Al-Hafiz al-Sakhawi mengulas dalam kitabnya al-Qawl al-Badi‘ (h. 350): Maka jika kamu amati benar-benar hal ini, kamu akan tahu apa yang wajib ke atasmu dari rasa khusyuk, tunduk, hormat, beradab dan tekun mengucapkan selawat dan salam apabila menyebut nama baginda SAW atau mendengar namanya yang mulia.

صلى الله عليه وسلم تسليماً كثيراً كثيراً كثيراً


Saturday, February 20, 2010

Mawlid al-Mustofa SAW di Yayasan Sofa


Syafaat-Syafaat al-Habib al-Syafi' (2)


Barangkali dapat dimasukkan ke dalam senarai syafaat-syafaat baginda Rasulullah SAW sebagai tambahan kepada senarai al-Hafiz al-Sakhawi dalam entri lepas ialah ;


12. Orang yang cintakan Ahlul Bait (keluarga Nabi SAW).

Ini berdasarkan hadith yang berbunyi:
شفاعتي لامتي من أحب أهل بيتي وهم شيعتي
Terjemahan: "Syafaatku untuk umatku bagi orang yang cintakan Ahli Baitku, dan mereka adalah pengikutku". (Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (1/257) daripada Saidina 'Ali RA. Lihat: Kanz al-'Ummal, no. 34,179)

Suruhan mencintai Ahli Bait Nabi SAW adalah satu perkara yang sudah dimaklumi secara jelas daripada hadith-hadith sahih, dan tentunya hadith di atas dapat memberi sedikit motivasi lagi dalam mengamalkannya. Mengapa tidak, sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda: (المرء مع من أحب), yang bermaksud, "Seseorang itu akan bersama siapa yang dicintainya".

13. Orang yang mengamalkan doa ini selepas setiap solat fardhu.

Disebut oleh al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi' (h. 252) - mengenai berselawat selepas solat - sebuah hadith dari Abu Umamah RA yang berbunyi:
من دعا بهؤلاء الدعوات في دبر كل صلاة مكتوبة حلت له الشفاعة مني يوم القيامة: اللهم أعط محمدا الوسيلة واجعل في المصطفين محبته وفي العالمين درجته وفي المقربين داره
Terjemahan: "Barangsiapa yang berdoa dengan doa ini selepas setiap kali solat fardhu, halal baginya syafaat dariku pada hari kiamat kelak, iaitu: (اللهم أعط محمدا الوسيلة واجعل في المصطفين محبته وفي العالمين درجته وفي المقربين داره)". Kata beliau: Diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir dan di dalam sanadnya ada Muttarih bin Yazid, seorang perawi da'if. al-Munziri juga memuatkan hadith ini di dalam kitabnya al-Targhib wa al-Tarhib (2/375) dengan lafaz tamridh (isyarat da'if).


14. Orang yang berselawat dengan selawat ini.

عن رويفع بن ثابت الأنصاري قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من قال: اللهم صلِّ على محمَّد وأنْزِلْهُ المَقْعَدَ المُقَرَّبَ عندَك يومَ القيامةِ، وجبت له شفاعتي.

Terjemahan: Daripada Ruwaifi‘ bin Thabit al-Ansari katanya : Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang membaca: (اللهم صل على محمد وأنزله المقعد المقرب عندك يوم القيامة) wajib baginya syafaatku”.

Kata al-Sakhawi dalam al-Qawl al-Badi' (h. 65) : Diriwayatkan oleh al-Bazzar, Ibn Abi 'Asim, Ahmad bin Hanbal, Isma'il al-Qadhi, al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (no. 4480) dan al-Mu‘jam al-Awsat (no. 3285, katanya: Bersendirian Ibn Lahi‘ah dalam meriwayatkannya), Ibn Basykuwal dalam al-Qurbah dan Ibn Abi al-Dunya dalam al-Du'a' dengan lafaz (المُقَرَّبَ عندَك في الجنة، حلت له شفاعتي يومَ القيامةِ), dan sebahagian isnad mereka adalah hasan, sebagaimana kata al-Munziri. (tamat nukilan)


Ulasan:

Sekiranya ada yang menyatakan bahawa semua riwayat ini da'if, namun sebagaimana yang ditaqrirkan oleh para muhaqqiqin dari kalangan ulama hadith bahawa hadith da'if dapat diamalkan dalam bab fadha'il (motivasi) dengan beberapa syarat, antaranya tidak beriktikad ianya sabit sahih daripada Nabi SAW tetapi beriktikad dalam mengamalkannya bagi tujuan berhati-hati (الاحتياط).

Maksudnya, makna yang terkandung dalam hadith tersebut diamalkan kerana berhati-hati agar kita tidak meninggalkan satu perkara yang kemungkinan diucapkan oleh baginda SAW, lalu ia menjadi satu kerugian buat kita, dan juga agar kita tidak menghalang diri sendiri dari mendapatkan kelebihannya di atas kemurahan dan kurniaan Allah SWT, lebih-lebih lagi jika makna hadith dikuatkan oleh banyak hadith-hadith sahih yang lain, atau selagi tidak meruntuhkan mana-mana hukum/nas yang sabit.


Wallahu a'lam.

Thursday, February 11, 2010

Syafaat-Syafaat al-Habib صلى الله عليه وعلى آله وسلم


Al-Hafiz al-Sakhawi (رحمه الله) mencatatkan dalam kitabnya al-Qawl al-Badi' (h. 277-278):

Baginda SAW memiliki beberapa syafaat, iaitu:

1. Syafaat agung (al-syafa'ah al-'uzma) pada hari kiamat kelak bagi seluruh makhluk di padang Mahsyar, untuk Allah tunjukkan kepada mereka keadaan yang sedang mereka hadapi, agar dimulakan penghakiman. Dan inilah maqam terpuji (al-maqam al-mahmud) yang seluruh golongan awal dan akhir memuji baginda kerananya.

2. Syafaat untuk orang yang masuk syurga dari kalangan umatnya tanpa hisab.

3. Syafaat untuk kaum penderhaka yang masuk ke dalam neraka kerana dosa-dosa mereka, lalu mereka dikeluarkan.

4. Syafaat untuk kaum yang layak masuk ke dalam neraka, lalu mereka tidak jadi dimasukkan ke dalamnya.

5. Syafaat bagi kaum yang dihalang oleh kesalahan-kesalahan mereka untuk memasuki syurga.

6. Syafaat untuk kaum daripada ahli syurga bagi menaikkan darjat mereka, lalu diberi kepada setiap mereka apa yang layak baginya.

7. Syafaat untuk orang yang mati di Madinah al-Munawwarah.

8. Syafaat untuk orang yang menziarahi kubur baginda SAW.

9. Syafat untuk membuka pintu syurga, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim.

10. Syafaat untuk orang yang menjawab azan.

11. Syafaat untuk kaum dari kalangan kuffar yang pernah berkhidmat terhadap baginda SAW, atau pernah terbit daripada mereka satu bentuk khidmat terhadap hak baginda SAW, maka akan diringankan azab mereka dengan syafaat baginda SAW. (seperti Abu Talib)


Dua syafaat yang awal di atas adalah termasuk khasa'is (khususiyyat) baginda SAW. Manakala syafaat yang ke-4 dan ke-6 di atas, harus dikongsi juga oleh orang lain dari kalangan anbiya', ulama', dan awliya', menurut al-Nawawi dalam kitab al-Rawdhah. Syafaat pertama tadi tidak dibantah oleh seorangpun dari kalangan kumpulan-kumpulan umat Islam. Demikian juga tidak ada khilaf mengenai yang ke-6. Adapun yang ke-2, kaum Muktazilah mengkhususkannya bagi orang yang tiada tanggungan ke atasnya, dan mereka juga mengingkari yang ke-3. Akan tetapi, kedua-duanya telah disepakati oleh seluruh Ahlus Sunnah dalam menerimanya disebabkan kesabitan hadith-hadith yang banyak mengenainya. (tamat nukilan)

Wallahu a'lam.


Ya Allah, janganlah jadikan kami terhalang daripada syafaat Nabi-Mu...

Tuesday, February 9, 2010

Sifat Rahmat Rasulullah SAW

Matan Hadith

عن عَبْد اللَّهِ ‏ بن مسعود قال: كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَحْكِي نَبِيًّا مِنْ الْأَنْبِيَاءِ ضَرَبَهُ قَوْمُهُ فَأَدْمَوْهُ وَهُوَ يَمْسَحُ الدَّمَ عَنْ وَجْهِهِ وَيَقُولُ :‏ ‏اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُون.

Terjemahan:

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA katanya: Seolah-olah aku lihat Nabi SAW menceritakan seorang nabi yang dipukul oleh kaumnya, sambil dia menyapu darah dari wajahnya dia berkata: “Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui”. (Muttafaq ‘alayh: al-Bukhari, no. 3218 & 6417 dan Muslim, no. 3347)

Syarah Hadith:

· Dalam riwayat Sahl bin Sa’d al-Sa’idi RA bahawa Rasulullah SAW berdoa:

‏اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُون.

Terjemahan: “Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui”. (Riwayat al-Tahawi, al-Fasawi, Ibn Hibban, al-Tabarani dan al-Bayhaqi, dengan perawi-perawi sahih)

· Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (11/196): Maksud mengampunkan dalam hadith ialah memaafkan apa yang mereka lakukan terhadap dirinya, bukan menghapuskan dosa mereka seluruhnya, kerana dosa kekufuran tidak dapat dihapuskan. Atau maksud kata-kata; ampunilah mereka itu ialah berilah mereka petunjuk terhadap Islam yang layak dengannya mereka beroleh keampunan. Atau maknanya; ampunilah mereka sekiranya mereka memeluk Islam. Wallahu ta’ala a’lam.

· Lihat betapa besarnya sifat rahmat para nabi AS terhadap umat mereka. Dalam melaksanakan misi dakwah mereka, tidak ada yang tersimpan dalam hati mereka melainkan rasa kasih sayang dan belas kasihan terhadap umat manusia agar mereka menyedari tujuan kewujudan hidup mereka di atas muka bumi ini, lantas mereka dapat memantapkan keimanan dan amalan soleh supaya mereka terselamat kelak daripada azab api neraka di akhirat nanti. Sifat rahmat para nabi AS ini didahului oleh penghulu mereka, Nabi Muhammad SAW kerana baginda telah ditabalkan oleh Allah SWT sebagai “rahmatan lil-’alamin”. Banyak ayat al-Quran yang memberi makna sebegini jika kita renungkan dengan teliti.

· Besarnya peranan Rasulullah SAW terhadap seluruh alam ini serta tingginya kedudukan baginda di sisi Allah SWT ini adalah sesuatu yang perlu kita fahami dan renungkan. Sifat rahmat baginda SAW adalah sifat yang perlu diteladani dan ikuti. Demikianlah sikap para salaf dan solihin yang menurut jejak Rasulullah SAW dalam setiap langkah baginda. Di antara bukti rasa kasih sayang dan belas kasihan mereka terhadap umat manusia demi keselamatan mereka sendiri di akhirat kelak ialah misi-misi jihad, dakwah dan tarbiyah yang dijalankan oleh mereka yang dapat kita saksikan di sepanjang lembaran sejarah umat Islam.

· Apabila ramai umat Islam semakin jauh daripada tuntutan syariat dan landasan yang benar, maka usaha dakwah dan tarbiyah turut difokuskan secara utama kepada mereka. Selain ‘masalah dalaman’ iaitu masalah moral dek nafsu dan dakyah syaitan, umat Islam turut menghadapi ‘masalah luaran’ seperti perpecahan sesama ummah dan serangan musuh. Maka kesemuanya ini menuntut para ulama dan solihin menerapkan sifat rahmat terhadap mereka.

· Ada di antara mereka berdoa dalam mengharapkan rahmat, kebaikan dan kesejahteraan kepada umat Muhammad SAW sedemikian:

اللهم ارحَمْ أمة محمد r، اللهم أصلِحْ أحوال أمة محمد r، اللهم فرّجْ عن أمة محمد r.

Terjemahan: “Ya Allah, kasihilah umat Muhammad. Ya Allah, perbaikilah hal-ehwal umat Muhammad. Ya Allah selamatkanlah umat Muhammad”.

Doa tersebut diriwayatkan daripada Ma’ruf al-Kurkhi, katanya: “Barangsiapa yang mengucapkannya setiap hari, akan dituliskan oleh Allah dari kalangan Abdal (wali Allah peringkat elit)”. Dalam riwayat lain disebut: “Tiga kali setiap hari”. (Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 7/248) Namun dalam kitab al-Hawi oleh al-Suyuti (2/436) disebut: “Sepuluh kali setiap hari”.

· Doa yang seumpama ada dicatat oleh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari dalam kitab Lata’if al-Minan (h. 99) daripada Imam Abu al-Hasan al-Syazili tetapi lafaznya seperti berikut:

اللهم اغفرْ لأمة محمد r، واللهم ارحَمْ أمة محمد r، واللهم استر أمة محمد r، اللهم اجبر أمة محمد r.

Terjemahan: “Ya Allah, ampunilah umat Muhammad. Ya Allah, kasihilah umat Muhammad. Ya Allah, tutuplah keaiban umat Muhammad. Ya Allah perbaikilah umat Muhammad”.

Katanya: “Ini adalah doa al-Khidir. Barangsiapa yang mengucapkannya setiap hari, akan dituliskan dari kalangan Abdal”.

· Ada diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dalam Tafsirnya daripada ’Ubaid bin ’Umair al-Laithi, katanya: Diceritakan bahawa kaum Nabi Nuh AS telah menangkapnya lalu dijerut lehernya sehingga baginda pengsan. Apabila telah sedar baginda berdoa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُون.

Manakala Ibn ’Asakir dalam Tarikh Dimasyq menyebut:

اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُون.

· Ibrahim bin ’Isa apabila telah selesai bersolat waktu dinihari, beliau berdoa bagi orang Yahudi, Nasrani serta Majusi (memohon hidayah dan petunjuk) katanya:

اللَّهُمَّ اهْدِهِم

“Ya Allah, berilah petunjuk buat mereka”. Apabila telah selesai berdoa pula beliau mengangkat kedua tangannya berkata: Ya Allah, sekiranya Engkau memasukkan aku ke dalam neraka maka besarkanlah fizikal tubuhku sehingga tidak ada lagi tempat bagi umat Muhammad SAW di dalamnya”. (Hilyah al-Awliya’ 10/393)

· Malik bin Dinar pernah berkata: Kalaulah aku ada pembantu-pembantu, nescaya akan aku utuskan mereka semua menyeru di serata dunia seluruhnya: Wahai manusia, api neraka! Api neraka!

· Lihat pula bagaimana kata-kata Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, katanya: Tumpuanku terhadap kamu sekalian adalah kerana Allah Taala. Teguranku terhadap kamu sekalian juga adalah kerana Allah Taala. Kalaulah aku mampu, akan kumasuk bersama setiap orang daripada kamu sekalian ke dalam kubur, dan aku jawabkan untuknya soalan Munkar dan Nakir dek kerana rasa kasih dan sayang terhadap kamu sekalian. (al-Fath al-Rabbani, h. 297)

· Demikianlah, sifat rahmat para nabi dan para wali Allah terhadap umat manusia. Semoga kita sama-sama dapat renungkan dan fahamkan. Agar kita tidak menjadi seperti orang yang disebut oleh Nabi SAW:

إِذَا قَالَ الرَّجُل:ُ هَلَكَ النَّاسُ، فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ. ‏

”Jika seorang lelaki berkata: Binasalah manusia, maka dia adalah yang paling binasa di antara mereka”. (Muslim, no. 4755 & Abu Dawud, no. 4331) Maksudnya kerana didasari oleh sifat ‘ujub, bangga diri serta menghina orang lain. Adapun jika menyebutnya dalam nada sedih dan dukacita terhadap kerosakan umat manusia, maka itu tidak mengapa. (lihat Syarah al-Nawawi)


Saturday, February 6, 2010

Kitab dan Fatwa Sekitar Mawlid Nabi SAW


Entri ini sekadar menyentuh tentang sebahagian hukum ulama yang mengharuskan sambutan mawlid Nabi SAW sahaja. Pendapat ulama yang menghukumkannya sebagai haram (bidaah sayyi’ah) tidak perlu dikemukakan. Mungkin ada yang berfikir, jika begitu anda tidak begitu ilmiah. Namun bagi saya, soal ilmiah tidak perlu dibangkitkan kerana sudah amat banyak ia dibahaskan oleh ulama. Maka rujuklah sahaja kepada perbahasan mereka serta hujah masing-masing. Mana yang selesa dengan pendapat kata harus, maka peganglah, dan mana yang selesa dengan pendapat kata tidak harus, maka ambillah. Tapi jangan sampai kepada membidaah dan menyesatkan orang lain pula, dan saya percaya bilangan mereka ini masih minoriti.

Sangat ramai ulama yang telah membincangkan tentang keharusan menyambut mawlid Nabi SAW ini. Mereka telah mengemukakan dalil-dalil tentang keharusan menyambutnya meskipun ianya tidak dilakukan pada zaman ulama Salaf. Namun menurut mereka, ketiadaan sesuatu hukum pada zaman ulama Salaf itu tidak bermakna semestinya ia sebagai suatu perkara yang dilarang. Berdasarkan dalil-dalil yang ada, ramai ulama yang membuktikan sambutan mawlid Nabi SAW tidak terkeluar daripada landasan syariat dan hukum yang diputuskan masih di dalam lingkungan kaedah usul-fiqh.

Di antara fatwa-fatwa ulama yang menyatakan keharusan menyambut mawlid Nabi SAW yang boleh dirujuk atau dimuat-turun di atas talian ialah;

  1. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti (m. 911H) dalam kitabnya حسن المقصد في عمل المولد. (atau klik sini dalam format PDF)
  2. Al-‘Allamah al-Faqih Syihabuddin Ahmad bin Hajar al-Haitami (m. 974H) dalam kitabnya al-Ni‘mah al-Kubra ‘ala al-‘Alam fi Mawlid Sayyid Waladi Adam. (format PDF - klik judul)
  3. Risalah Jabatan Fatwa dan Penyelidikan, Da'irah Waqaf dan Hal Ehwal Islam, Dubai. (juga sini serta tambahan lain)
  4. Kalimah Imam Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi.
  5. Kalimah Imam Hasan al-Banna, pengasas Ikhwan al-Muslimin.
  6. Fatwa Dr. Yusuf al-Qaradawi.
  7. Fatwa-fatwa Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti.
  8. Risalah (حول الاحتفال بذكر المولد النبوي الشريف) oleh al-Marhum Imam al-Sayyid Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani.
  9. al-'Allamah Syeikh Muhammad 'Ali bin Husain al-Maliki al-Makki dalam kitabnya (الهدي التام في موارد المولد النبوي وما اعتيد فيه من القيام). (klik judul)
  10. al-'Allamah Dr. 'Umar 'Abdullah Kamil dalam risalahnya (الاحتفال بالمولد) . (klik judul)
  11. Fatwa Dr. Mahmud Ahmad al-Zain dan karya beliau (البيان النبوي عن فضل الاحتفال بمولد النبي) dalam format PDF (klik judul) atau sini.
  12. Fatwa Darul Ifta', Mesir. (atau sini)
  13. Fatwa al-'Allamah Syeikh 'Ali Jum`ah, mufti Mesir, dalam karya beliau al-Bayan (h.164). (petikan dari Bahrusshofa)
  14. Fatwa Prof. Dr. Muhammad 'Abdul Ghaffar al-Syarif.
  15. Kalimah al-Sayyid Yusuf Hasyim al-Rifa'i.
  16. Fatwa Syeikh Ahmad Syarif al-Na'san.
  17. Fatwa Syeikh 'Abdul Hadi al-Kharsah.
  18. Tuan Guru Haji Sulong @ Haji Muhammad Sulum bin 'Abdul Qadir al-Fathani dalam kitabnya Kitab Cahaya Islam - Gugusan Mawlid Sayyidil Anam SAW, yang ditulis tahun 1362H (1943M). (klik judul untuk baca ulasan kitab dalam Utusan Online)
  19. Makalah KH Muhyiddin Abdus Shomad.
  20. (مناقشات علمية لشبهات من حرم المولد النبوي) oleh Syeikh Ghaith bin 'Abdullah al-Ghalibi.
  21. (الاحتفال بذكرى المولد النبويّ في ميزان الكتاب والسنة) oleh Dr. Muhammad Aiman al-Jamal. (klik pada judul, setelah buka klik pada kalimah اضغط هنا yang pertama)
  22. Kalimah Dr. Hamzah al-Kattani - hafizahullah.
  23. Makalah-makalah al-Majlis al-'Ilmi al-A'la, Morocco.
  24. Ringkasan risalah Sayyid Hamid al-Mihdhar (الاحتفال بذكر النعم ..واجب).
  25. Syeikh 'Abdur Rahman bin 'Utsman bin Senik, atau Tok Selehor/Tok Selehong, pelopor mawlid di Kelantan. (klik sini)

*********************
Rujukan lain
(barangkali sebahagian isinya mungkin berulang):

1. Karya-karya Mawlid

2. Penulisan Kitab Mawlid Nabi SAW

3. Mawlid Sebagai Wasilah Dakwah.

4. Nukilan Syeikh al-Azhari. - juga sini.

5. Dalil-dalil Mawlid. - juga sini.

6. Artikel Yussamir Yusof.

7. 50 entri tentang mawlid dalam blog Ustaz Abu Muhammad, sahib 'Bahrusshofa'.

8. Pesantren dan Tradisi Mawlid - artikel bahasa Indonesia oleh Dr. Thoha Hamim (PDF).

9. Secubit Diskusi Terhadap Pembangkang Acara Maulid Nabi SAW - Ust. Abdul Raof. (atau sini, skrol pada tarikh 16 Feb. 2006)

10. Artikel HM Cholil Nafis, MA. (siri satu, siri dua)

11. Artikel A. Khoirul Anam (bahasa Indonesia).

12. 28 entri tentang mawlid dalam blog Ustaz Abu Zahrah, al-Fanshuri. 10 entri daripadanya adalah terjemahan risalah (حول الاحتفال بذكر المولد النبوي) oleh al-Marhum Imam Sayyid Muhammad bin 'Alawi al-Maliki.

13. Makalah 'Abdul Mun'im bin al-Siddiq.

14. Sejarah Mawlid.

15. Koleksi Mawlid di Laman Ahbab al-Keltawia (satu, dua, tiga).

16. Lagi Sekitar Mawlid. - juga sini.