Thursday, April 29, 2010

Majlis Maulidur Rasul SAW & Haul Syeikh 'Abdul Qadir Al-Jilani


Tarikh: 15hb. Mei 2010.

Masa: 5.00 ptg – 9.00 mlm.

Lokasi: Masjid Negara, KL.

Penceramah:

  1. Dr. Muhammad ‘Uthman el-Muhammady (ISTAC).
  2. Al-Habib ‘Umar Hamid al-Gailani (Makkah).
  3. Sayyid ‘Abbas bin Sayyid ‘Alawi al-Maliki al-Hasani (Makkah).
  4. Prof. Dr. Ahmad ‘Umar Hashim (Mantan Rektor Universiti Al-Azhar, Mesir).
  5. Al-Habib Hassan bin Mohammad bin Salim al-Attas (Masjid Ba’alawi, Singapura).
  6. Syeikh Afeefuddin ‘Abdul Qadir al-Jaylani (Pengerusi Amanah Al-Wariseen).
  7. Prof. Dr. Ahmad Obaid al-Kubaisi (Iraq).

Friday, April 16, 2010

Rektor Baru Universiti al-Azhar


Walaupun sudah lama meninggalkan bumi Mesir, namun hati-hati mereka yang pernah duduk di sana pasti sukar untuk melupakannya. Pasti sekali-sekala akan menjenguk juga di internet melihat tentang berita-berita terbaru mengenai perkembangan yang berlaku di sana, khususnya berhubung tentang al-Azhar, ulama-ulamanya dan fatwa-fatwa mereka.

Setelah kewafatan Syeikh Tantawi, Syeikh Ahmad Tayyib yang memegang jawatan rektor al-Azhar telah diangkat naik sebagai Syeikhul Azhar. Syeikh Tayyib dikenali sebagai antara ulama berkot dan bertali leher. Maka jawatan rektor al-Azhar menjadi kosong sehinggalah baru-baru ini, Dr. Abdullah al-Husaini dilantik untuk mengisi jawatan berkenaan. Beliau juga termasuk antara ulama berkot dan bertali leher. Nampaknya ada kemungkinan dan tidak mustahil jika suatu hari nanti al-Azhar akan hilang identitinya yang terkenal dengan ulama-ulama yang berjubah dengan serban berketayap merahnya. Apa yang dikhuatirkan, campur tangan politik ini mampu mencorak hala tuju sesuatu institusi demi kepentingan sesuatu pihak tertentu sahaja, dan bukan lagi bebas untuk bersuara melaungkan kebenaran. والله المستعان

Dr. Abdullah al-Husaini sebelum ini adalah timbalan rektor al-Azhar, bahagian hal-ehwal pendidikan dan pelajar. Berkelahiran tahun 1946 dan beliau berkelulusan Ph.D. dalam bidang Bahasa Arab. Antara karya dan buku susunannya ialah: Tazkir al-Mu'annath Bayna al-Qiyas wa al-Sama', Tahqiq al-Makhtutat wa Qawa'iduhu wa Khatawatuhu, tahkik Syarh Alfiyyah Ibn Malik oleh al-Syatibi dan lain-lain.

Jawatan penting agama tertinggi di Mesir selain Syeikhul Azhar, Mufti Negara, dan Rektor Universiti al-Azhar ialah jawatan Syeikh Masyayikh al-Turuq al-Sufiyyah (Pengerusi Syeikh-Syeikh Tariqat Sufi). Perlantikan terbaru diberikan kepada Syeikh 'Abdul Hadi Ahmad 'Abdul Hadi al-Qasbi.


Rujukan:
- al-Dustur.
- Akhbar Misr.


Wednesday, April 14, 2010

Haul Syeikh Wan Mohd. Shaghir Ke-3




Haul SYEIKH WAN MOHD. SHAGHIR yang ke-3


akan diadakan di Yayasan al-Fathaanah, Mempawah, Kalimantan Barat, Indonesia.

Tarikh majlis haul tersebut ialah pada ; 7 - 11hb. Jun 2010.

Kepada sesiapa yang berminat untuk pergi secara rombongan, sila berhubung dengan;


Cikgu Saiful ; 019-2480 342.


Terima kasih.

Tuesday, April 13, 2010

Kewujudan Wali Abdal

Soalan:

Boleh ustaz terangkan lebih mendalam mengenai golongan wali Abdal, Nujaba’ dan Awtad?

Jawapan:

Sebagai jawapannya adalah seperti berikut;

Siapa Abdal?

Abdal ialah jamak bagi kalimah badal atau bidl (بدل), juga disebut badil (بديل) yang dijamakkan dengan kata budala’ (بدلاء). Iaitu suatu kumpulan/golongan dari kalangan para wali Allah SWT, apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia, maka Allah akan menggantikan tempatnya dengan seorang wali yang lain. Mereka ini wujud pada setiap zaman, dan realiti menunjukkan bahawa darjat kewalian ini adalah satu peringkat tertinggi dalam bidang/alam kerohanian. Dikatakan, mereka adalah daripada kumpulan para wali Allah yang dengan merekalah diminta daripada-Nya untuk diturunkan hujan, mengalahkan musuh serta dijauhkan daripada bala dan azab. Juga diriwayatkan, mereka ini berada di Syam (kini Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan).

Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa mereka adalah salah satu kumpulan ulama hadith. Sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal apabila dikatakan kepadanya: Adakah bagi Allah s.w.t. memiliki Abdal di dunia ini? Beliau menjawab: Ya. Dikatakan kepadanya: Siapakah mereka? Beliau menjawab: Jika bukan ulama hadith itu Abdal , maka aku tidak mengetahui adakah Allah itu mempunyai Abdal.

Hadith Abdal Mutawatir

al-Imam al-Sayyid Muhammad bin Ja’far al-Kattani (w. 1345H) dalam Nazm al-Mutanathir Min al-Hadith al-Mutawatir dan al-‘Allamah al-Sayyid ‘Abdul ‘Aziz bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1418H) dalam Ithaf Zawi al-Fada`il al-Musytahirah. Bima Waqa’a Min al-Ziyadat Fi Nazm al-Mutanathir ‘Ala al-Azhar al-Mutanathirah menukilkan daripada Imam al-Suyuti RAH mengenai kemutawatiran hadith kewujudan Abdal katanya : Ianya mencapai had mutawatir ma’nawi, tidak mustahil.

Bagaimanapun, baik al-Kattani mahupun al-Ghumari hanya merekodkan sembilan orang sahabat Nabi S.A.W. sahaja yang meriwayatkannya. Menurut kajian Imam al-Suyuti dalam al-Khabar al-Dal yang lebih terperinci, hadith-hadith ini didapati diriwayatkan daripada 14 orang sahabat, 3 mursal tabi’in dan juga banyak athar-athar tabi’in dengan sanad antara sahih, hasan, daif dan juga sangat daif.

Antaranya, diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dengan sanad yang sahih daripada ‘Ubadah bin al-Samit daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda s.a.w. bersabda: “Al-Abdal bagi umat ini seramai 30 orang, yang seumpama Nabi Ibrahim Khalil al-Rahman, setiap kali meninggal seorang lelaki daripada mereka, Allah akan menggantikan tempatnya lelaki yang lain.” (Musnad Ahmad: 5/322)

Bilangan Abdal

Bilangan mereka juga berbeza-beza menurut riwayat-riwayat yang direkodkan, ada yang menyebut 7, 30, 40 dan 60. Perbezaan ini menurut Imam Ibn ‘Abidin ialah; riwayat yang menyebut bilangan yang banyak adalah nisbah kepada jumlah semua, manakala yang menyebut bilangan yang sedikit adalah nisbah kepada bilangan pemimpin/ketua bagi kumpulan wali Allah tersebut.

Istilah-istilah Kewalian

Istilah Abdal adalah yang banyak digunakan dalam riwayat-riwayat berkenaan. Namun, ada juga dalam setengah jalan-jalan riwayat yang diriwayatkan menyebut istilah-istilah lain seperti al-Budala’, al-Awtad, al-Nujaba’, al-Akhyar, al-‘Asab, al-‘Asa’ib, al-Rufaqa’, dan al-Sabiqun. [Definisi masing-masing dapat dirujuk dalam kitab-kitab tasawuf, atau ensiklopedia/kamus istilah yang ada membincangkannya]

Manakala istilah al-Qutb atau al-Ghawth tidak termasuk dalam hadith-hadith mengenai Abdal yang sedang dibincangkan, kerana ianya menurut pengamatan saya bersandarkan kepada hadith Tajdid, di mana Allah Ta’ala akan membangkitkan pada awal setiap kurun orang yang memperbaharui agama-Nya.

Bukan Perkara Akidah

Perlu dicatatkan, meskipun sebahagian ulama menolak kewujudan wali abdal ini, namun perlu diingatkan bahawa sama ada kita menolak atau mengakui wujudnya mereka, ia tidaklah menjejaskan akidah kita sama sekali. Manakala hadith-hadith ini adalah hujah dan sandaran bagi mereka yang mempercayai kewujudannya. Bagaimanapun, perkara ini adalah termasuk soal kerohanian yang mesti dirujuk kepada mereka yang berkeahlian, dan mengaitkan hal ini di kalangan mereka yang jahil dengan perkara-perkara bidaah serta khurafat sewajarnya dielak dan dijauhkan sama sekali.

Karya-karya Mengenai Abdal

Antara kitab-kitab yang disusun oleh para ulama mengenai kewujudan Abdal ialah:

  1. al-Khabar al-Dal ‘ala Wujud al-Qutb wa al-Awtad wa al-Nujaba’ wa al-Abdal oleh al-Hafiz al-Suyuti. [Lihat juga dalam al-Hawi lil Fatawi]
  2. Nazm al-La’al fi al-Kalam ‘ala al-‘Abdal oleh al-Hafiz al-Sakhawi.
  3. Hilyah al-Abdal oleh al-Syaikh al-Akbar Ibn al-‘Arabi al-Hatimi.
  4. Ijabah al-Ghawth bi Bayan Hal al-Nuqaba wa al-Nujaba wa al-Abdal wa al-Awtad wa al-Ghawth oleh Imam Ibn ‘Abidin al-Hanafi al-Syami.
  5. al-Qawl al-Dal ‘ala Hayah al-Khidr wa Wujud al-Abdal oleh al-‘Allamah Nuh bin Mustafa al-Rumi.
  6. al-Ihtifal bi Thubut Hadith al-Abdal oleh Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh.

Ini tidak termasuk para ulama yang merekodkannya dalam kitab-kitab mereka seperti Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya’rani, al-‘Allamah al-Munawi dalam Faydh al-Qadir, al-‘Allamah Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah, al-‘Allamah Isma’il al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’, al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fatawanya, al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haytami dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah, al-‘Allamah Sibghatullah al-Madrasi dalam Zayl al-Qawl al-Musaddad, Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim dalam Usul al-Wusul, Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dan lain-lain.

Tokoh-tokoh Yang Disebut Sebagai Wali Abdal

Tidak semestinya mereka ini adalah orang-orang yang dikenali namanya, kerana ramai di antara mereka yang tidak diketahui melainkan oleh Allah SWT sahaja. Bagaimanapun berdasarkan kajian, saya mendapati amat banyak tokoh-tokoh yang disebut sebagai wali Abdal dalam kitab-kitab manaqib, rijal, tabaqat dan juga sejarah. Antaranya ialah;

  1. Farwah bin Mujalid.
  2. al-Hasan al-Basri.
  3. Hammad bin Salamah
  4. ‘Uthman bin ‘Umar bin Khafif al-Muqri.
  5. ‘Abdul Wahhab bin ‘Ali ibn Sakinah.
  6. Ibrahim bin Hani’.
  7. Yahya bin Sulaim.
  8. Musa bin A’yun.
  9. al-Mustamir al-Ayadi.
  10. ‘Ali bin Abi Bakr al-Kindi.
  11. al-Rabi’ bin Nafi’.
  12. ‘Abdul ‘Aziz al-Qasmali.
  13. Muhammad bin Yazid al-Kala’i.
  14. Bisyr bin al-Harith al-Hafi.

Wallahu a‘lam.

Friday, April 9, 2010

‘Penyeberangan’ Dan Permastautinan Manusia Di Alam Ghaib?


1. Apa yang ingin saya bincangkan di sini adalah mengenai perkara ghaib yang mana kita tidak diberikan ilmu pengetahuan mengenainya oleh Allah SWT melainkan sedikit sahaja. Dalam akidah Islam secara umum, Allah SWT meminta kita agar beriman dengan perkara-perkara ghaib yang disampaikan melalui kitab-Nya dan juga rasul-Nya. Namun, persoalan yang ingin diketengahkan ini barangkali adalah satu persoalan yang jarang dikupas dan diketengahkan. Ianya mengenai satu persoalan dalam hubungan antara alam manusia dan alam ghaib, iaitu tentang ‘penyeberangan’ dan kewujudan manusia di alam ghaib, dalam ertikata kehidupan sebagaimana manusia biasa yang hidup di alam zahir ini. Perbincangannya sama sekali tidak termasuk kehidupan manusia yang telah mati di alam roh. Pada pendapat saya tidak salah ianya dibincangkan, kerana menurut hemat saya ia dapat memahamkan kita dengan banyak masalah dan persoalan yang berlaku di sekitar hidup manusia yang berkait hubungan antara dua dimensi, alam zahir dan alam ghaib, khususnya berhubung soal kerohanian. Bagaimanapun, persoalan ini tentu menjadi pertikaian di kalangan ahli ilmu. Barangkali ada yang menolaknya, di samping ada juga yang menerimanya. Banyak hujah yang mungkin dapat menyokong orang yang menolak kemungkinan tersebut. Namun tidak kurang juga hujah-hujah orang yang tidak menolak kewujudan dan kebarangkaliannya. Malah cerita-cerita yang dikisahkan juga amat banyak.

2. Tiada siapa yang menafikan mengenai ‘penyeberangan’ makhluk dari alam ghaib ke alam zahir kerana bukti-bukti mengenainya sangat banyak, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran tentang khidmat jin terhadap Nabi Sulaiman AS, tugasan Jibril AS menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasul, rombongan jin datang bertemu Nabi SAW untuk mendengar al-Quran, hadith mengenai Nabi SAW menangkap syaitan/jin ifrit yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, begitu juga kisah Abu Hurairah RA menangkap syaitan dan mengajarnya ayat al-Kursi sebagai pelindung, dan sebagainya. Namun persoalannya, bolehkah berlaku ‘penyeberangan’ manusia dari alam zahir ke alam ghaib? Sebagai jawapannya, mungkin kita boleh perhatikan fakta-fakta yang akan saya kemukakan satu persatu sepertimana berikut. Pertamanya, boleh kita katakan perpindahan pertama manusia ‘menyeberang’ dari alam ghaib ke alam zahir ialah perpindahan Nabi Adam AS dan Hawwa yang diturunkan oleh Allah SWT daripada syurga ke atas muka bumi ini. Zahir nas menunjukkan bahawa mereka ‘menyeberang’ dalam keadaan sedar dan jaga.

3. Seterusnya, kenyataan tentang Nabi ‘Isa AS diangkat ke langit oleh Allah SWT dalam usia 33 tahun, dan baginda akan turun semula ke bumi di akhir zaman kelak bagi memimpin umat Muhammad SAW menegakkan keadilan dan menghapuskan kebatilan. Baginda belum lagi diwafatkan oleh Allah SWT sehinggalah tiba masanya kelak, iaitu setelah turun semula ke bumi dan membunuh Dajjal. Riwayat mengenai perkara ini adalah mutawatir, meskipun ada golongan yang kurang berilmu di kalangan orang Islam yang mengatakan bahawa Nabi ‘Isa AS telah pun wafat, sepertimana kepercayaan orang Kristian. Pendapat mereka ini adalah tertolak sama sekali, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam al-Kasymiri dalam al-Tasrih, Syeikh al-Kawthari dalam Nazrah ‘Abirah, al-‘Arabi al-Tabbani dalam I’tiqad Ahl al-Iman dan lain-lain. Ini menunjukkan bahawa Nabi ‘Isa AS dapat ‘menyeberang’ dari alam zahir ke alam ghaib dan sebaliknya dalam keadaan sedar dan jaga.

4. Bagi mereka yang mengatakan Nabi Khidir AS masih hidup meyakini bahawa baginda adalah manusia yang diberikan keistimewaan oleh Allah SWT dan dapat hidup di dimensi yang lain. Majoriti ulama yang mencebur bidang kerohanian menyatakan tentang kewujudan Nabi Khidir AS dan ramai yang telah bertemu dengannya. [Lihat contohnya, kitab Tabaqat al-Khidhriyyin oleh Syeikh Muhyiddin al-Tu’mi]

5. Antaranya, Nabi Muhammad SAW telah diberikan keizinan oleh Allah SWT untuk ‘menyeberang’ secara langsung dari alam zahir ke alam ghaib dengan jasad manusiawinya dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang masyhur hingga dapat sampai ke Sidratul Muntaha. Malah baginda diperintahkan agar mengkhabarkannya kepada orang ramai, dan tidak menyembunyikan peristiwa yang sangat ajaib itu.

6. Nabi SAW juga pernah ‘menyeberang’ masuk ke alam jin dan membacakan al-Quran kepada mereka, seperti yang diceritakan oleh Ibn Mas’ud RA: Kami bersama Rasulullah SAW pada suatu malam, lalu tiba-tiba kami kehilangan baginda, dan kami pun pergi mencarinya di merata tempat di wadi dan lerengan bukit, hinggakan kami berkata: Baginda telah diculik jin atau pun dibunuh… (hadith riwayat Muslim no. 682 dan Abu Dawud).

7. Nabi SAW pernah menceritakan mengenai seorang lelaki yang bernama Khurafat.

عن عائشة قالت: حدث رسول الله صلى الله عليه وسلم نساءه ذات ليلة حديثا. فقالت امرأة منهن: يا رسول الله كان الحديث حديث خرافة. فقال : أتدرون ما خرافة إن خرافة كان رجلا من عذرة أسرته الجن في الجاهلية فمكث فيهن دهرا طويلا ثم ردوه إلى الإنس فكان يحدث الناس بما رأى فيهم من الأعاجيب فقال الناس حديث خرافة.

(رواه أحمد في مسنده برقم 24085، والترمذي في شمائله برقم 252 وأبو يعلى في مسنده برقم 4442، وقال شعيب الأرنؤوط : إسناده ضعيف لضعف مجالد بن سعيد وللاختلاف عليه في وصله وإرساله، ولكن أخرجه الطبراني في الأوسط برقم 6068 – من وجه آخر عن أنس بن مالك عن عائشة، وفيه: فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إن أصدق الحديث حديث خرافة رجل من بني عذرة سبته الجن وكان يكون معهم فإذا استرقوا السمع أخبروه فيخبر به الناس فيجدونه كما قال).

Kisahnya, beliau telah diculik oleh jin dan masuk ke dimensi mereka. Lalu beliaupun melihat berbagai keajaiban yang tidak pernah dilihatnya di dunia nyata. Apabila beliau pulang semula ke alam zahir, beliau pun menceritakan kepada orang apa yang dilihatnya semasa di alam jin. Maka orang pun berkata: Cerita-cerita Khurafat. Apabila Nabi SAW tidak menafikan kebenaran kisah tersebut, jika sah hadith ini, maka jelaslah bahawa ‘penyeberangan’ manusia masuk ke alam ghaib adalah satu perkara yang mungkin dan boleh berlaku.

8. Kisah Tamim al-Dari RA dalam hadith al-Jassasah merupakan satu lagi bukti berlaku ‘penyeberangan’ ini, di mana beliau pernah menaik kapal bersama 30 orang dari kabilah Lakhm dan Juzam. Lalu mereka dipermainkan oleh ombak hingga berada di tengah lautan selama satu bulan. Sampai mereka terdampar di sebuah pulau di tengah lautan tersebut saat tenggelamnya matahari. Mereka pun menaiki perahu-perahu kecil dan memasuki pulau tersebut hingga menjumpai seekor binatang yang berambut sangat lebat dan banyak bulu. Mereka tidak tahu mana depan dan mana belakangnya, karena demikian lebat bulunya. Mereka pun berkata: ‘Apakah kamu ini?’ Ia menjawab: ‘Aku adalah al-Jassasah.’ Mereka mengatakan: ‘Apa al-Jassasah itu?’ Ia mengatakan: ‘Wahai kaum, pergilah kalian kepada laki-laki yang ada di biara itu. Sesungguhnya ia sangat merindukan berita kalian…’. Dipendekkan cerita, Nabi SAW bersabda: ‘Sesungguhnya cerita Tamim menakjubkanku, di mana sesuai dengan apa yang kuceritakan kepada kalian tentangnya (Dajjal), serta tentang Makkah dan Madinah. Ketahuilah bahwa ia berada di lautan Syam atau lautan Yaman. Tidak, bahkan dari arah timur ianya. Dari arah timur ianya. Dari arah timur ianya. Dan baginda mengisyaratkan dengan tangannya ke arah timur.’ (Hadith riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasa’i dalam al-Kubra, Ibn Majah dan Ahmad). Pulau yang dinyatakan dalam hadith di atas tentunya berada di dimensi yang lain, kerana jika tidak pasti manusia sudah menemuinya dengan kecanggihan teknologi yang ada sekarang ini dan mewartakannya sebagai Pulau Dajjal misalnya.

9. Ada dibincangkan oleh para ulama mengenai kemungkinan berlaku perkahwinan antara manusia dan jin. Ada yang menafikan, dan ada yang mengharuskan kemungkinannya berdasarkan kes-kes yang berlaku. Syeikh Muhammad bin ‘Abdullah al-Syibli (m. 769H) dalam kitabnya (آكام المرجان فى احكام الجان) menyatakan pernikahan manusia lelaki dengan jin perempuan, dan sebaliknya adalah mungkin. Namun, ada diriwayatkan bahawa Nabi SAW melarang dari menikahi jin, dan di kalangan tabi’in pula ada yang mengatakan hukumnya adalah makruh, manakala para ulama fiqh mengatakan bahawa hukumnya tidak harus. Bagaimanapun, bentuk kemungkinan sedemikian merupakan bukti terhadap ‘penyeberangan’, meskipun di luar adat kebiasaan dan kenormalan alam tabii.

10. Banyak peristiwa yang berlaku berhubung ‘penyeberangan’ manusia dari alam zahir ke alam ghaib dan sebaliknya. Namun, jika berlaku ‘penyeberangan’, bolehkah manusia hidup terus di alam tersebut, dalam ertikata membesar, berkahwin, beranak pinak dan mati di sana. Seringkali kita dengar seperti peristiwa manusia yang tersesat di dimensi yang berbeza, jin menculik manusia baik dewasa mahupun kanak-kanak, menyorokkan mereka, mengambil bayi dan sebagainya. Ada yang dapat kembali semula dan ada yang tidak. Malah peristiwa sebegini kemungkinan sudah berlaku sejak sekian abad lamanya. Maka berkemungkinan besar mereka yang tidak kembali itu terus hidup di alam tersebut. Berkemungkinan juga mereka dapat bertemu dengan manusia-manusia lain yang senasib dan dapat membina kehidupan ‘masyarakat’ manusia di alam sana. Barangkali juga, sesekali berlaku perhubungan secara rohani dengan dunia nyata, sehingga mereka ini dikenali dengan panggilan ‘Rijalul Ghaib’ (orang ghaib).

11. Kewujudan ‘Rijalul Ghaib’ turut menjadi perselisihan di kalangan ahli ilmu. Sebahagian ulama menolak kewujudan mereka kerana tiada dalil yang kukuh mengenainya. Bagaimanapun, di sana wujud golongan wali Abdal, Nujaba’ dan Awtad yang termasuk dalam kategori Rijalul Ghaib’, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam al-Suyuti dalam risalahnya (الخبر الدال على وجود القطب والأوتاد والنجباء والأبدال). Ini bersandarkan kepada banyak riwayat hadith dengan berbagai darjat antara sahih, hasan, daif, dan juga mawdhu’ (palsu), meskipun ada yang cuba menghukumkan kesemua riwayat ini sebagai batil. Antaranya diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Ubadah bin al-Samit daripada Nabi s.a.w. bahawasanya baginda s.a.w. bersabda: “Al-Abdal bagi umat ini seramai 30 orang, yang seumpama Nabi Ibrahim Khalil al-Rahman azza wa jalla, setiap kali meninggal seorang lelaki daripada mereka, Allah akan menggantikan tempatnya dengan lelaki yang lain.” (Musnad Ahmad: 5/322) [Lihat kitab (الاحتفال بثبوت حديث الأبدال) oleh ‘Allamah Muhaddith Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh]

12. Antara yang mendorong saya menulis tentang persoalan ini ialah kekerapan seorang sahabat karib saya, seorang yang rajin beramal yang barangkali sudah bertemu dengan mereka, mengatakan bahawa mereka adalah manusia seperti kita, bukan jin, bunian, malaikat atau seumpamanya yang dijadikan dari selain unsur tanah. Beliau dengan pasti menjelaskan bahawa mereka adalah manusia, cuma mereka hidup di dimensi yang berbeza dan bukan di alam nyata sebagaimana manusia biasa yang lain.

13. Ada cerita yang baru diceritakan kepada saya oleh seorang kawan, pengamal perubatan Islam, mengenai sepasang suami isteri, di mana bayi mereka telah diambil oleh jin, namun ibunya telah memberikan syarat bahawa bayi tersebut mesti dipulangkan setiap hari untuk disusukan olehnya. Maka syarat tersebut ditepati di mana bayi tersebut dipulangkan sementara untuk disusukan dan kemudian diambil kembali sebelum terbit fajar. Apa yang menghairankan hanya si-ibu sahaja yang dapat melihat bayinya itu. Lalu ia terus dibela oleh mereka dan kini kanak-kanak tersebut sudah berusia 10 tahun dan enggan balik kepada ibunya di alam zahir.

14. Manusia adalah makhluk Allah SWT yang dijadikan oleh-Nya dengan sebaik-baik kejadian (fi Ahsani Taqwim). Maka tidak mustahillah jika pada diri manusia itu tersimpan berbagai rahsia yang tidak diketahui oleh manusia itu sendiri. Kemampuan roh manusia juga adakalanya dapat melebihi dari jangkauan akal dan ukuran logik. Ditambah lagi dengan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah SWT bahawa tiada suatu apa pun yang mustahil bagi-Nya. Malah amat banyak rahsia-rahsia alam yang belum kita ketahui kecuali sedikit sahaja, dan adakalanya menghairankan ahli-ahli sains untuk menghuraikannya. Maka berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, saya berpendapat ‘penyeberangan’ manusia ke alam ghaib dan kewujudan mereka di sana adalah mungkin. Jika sudah jelas fakta-fakta mengenai berlakunya ‘penyeberangan’ manusia ini, maka tidak mustahil pula berlakunya permastautinan mereka di sana. Wallahu a’lam…

Tuesday, April 6, 2010

Kecemerlangan, Kegigihan dan Keasyikan Ulama (2)

Antara kitab menarik mengenai kecemerlangan dan kegigihan ulama serta keasyikan mereka terhadap ilmu ialah kitab Sur’ah al-Qira’ah wa al-Sabr ‘ala al-Sama’ oleh Dr. Muhammad ibn ‘Azuz (2007). Di bawah ini saya senaraikan sebahagian dari ringkasan maklumatnya.

1. Membaca kitab dalam satu majlis.

  1. Imam Ishaq bin Ibrahim bin Rahawaih (m. 238H). Beliau mengulang semula kepada Ibrahim bin Abi Talib apa yang dibacanya dalam sebuah majlis sambil bersandar pada bingkai pintu rumahnya.
  2. Imam Abu ‘Isa al-Tirmidhi (m. 279H). Beliau membaca 2 juzuk kitab hadith daripada hafalannya kepada seorang syeikh dalam satu majlis.
  3. al-Hafiz Ibrahim bin Muhammad al-Hadhrami al-Qurtubi (m. 396H). Beliau menyempurnakan 52 juzuk kitab hadith dalam majlis pengajiannya antara zohor dan asar setiap hari.
  4. al-Hafiz Ahmad bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abdullah al-Khawlani (m. 430H). Beliau membaca sebuah kitab dari hafalannya dalam satu majlis.
  5. al-Qadhi ‘Iyadh (m. 544H). Beliau membaca sebuah kitab dalam dua jilid dalam masa satu malam.
  6. al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn ‘Asakir (m. 571H). Beliau membaca dari hafalannya kitab al-Ba’thu wa al-Nusyur oleh Ibn Abi Dawud dalam satu majlis.
  7. al-Hafiz Abu Musa al-Madini (m. 581H). Beliau menghafal kitab ‘Ulum al-Hadith oleh al-Hakim dan membacanya di hadapan Isma’il al-Taymi dalam satu majlis.
  8. al-Hafiz Abu ‘Abdillah Ibn al-Hanbali (m. 657H). Beliau membaca kitab al-Muntakhab di hadapan Ibn al-Jawzi dari hafalannya dalam satu majlis.
  9. Imam Ibn Daqiq al-‘Id (m. 702H). Adakalanya beliau menelaah pada sepanjang malam satu atau dua buah jilid kitab.
  10. al-Hafiz Ahmad bin ‘Abdul Halim ibn Taymiyyah (m. 728H). Beliau telah menghafal kitab Jannah al-Munazir dalam satu hari.
  11. al-Hafiz Siraj a-Din al-Bulqini (m. 805H). Beliau pernah berkata: “Adakalanya saya menelaah satu jilid kitab seluruhnya dalam satu masa dan habis sebelum isyak”.
  12. al-Hafiz Abu al-Qasim ‘Abdul ‘Aziz bin Musa al-‘Abdusi al-Fasi (m. 837H). Beliau telah membaca Sahih al-Bukhari dalam masa sehari.
  13. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 852H). Beliau telah membaca kitab al-Mu’jam al-Saghir oleh al-Tabarani dalam satu majlis antara solat zohor dan asar.
  14. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti (m. 911H). Beliau telah mempelajari kitab Musnad al-Syafi’i daripada al-Qamsi dalam masa sehari.
  15. ‘Allamah Abu Bakr Ahmad Ba‘alawi (m. 1053H). Beliau telah menelaah satu jilid kitab besar seluruhnya dalam masa sehari atau semalam.
  16. ‘Allamah Syamsuddin al-Babili al-Qahiri (m. 1077H). Tidak terjatuh pandangannya ke atas sesuatu dan sebelum beliau mengalihkan pandangannya itu melainkan beliau telah pun dapat menghafalnya secara mantap di dalam satu majlis.

2. Membaca kitab dalam dua majlis.

  1. ‘Allamah Muhammad bin al-Hasan bin Salam (m. 630H). Beliau telah mempelajari kitab ‘Ulum al-Hadith oleh al-Hakim daripada Ibn Sasri al-Dimasyqi di dalam 2 majlis.

3. Membaca kitab dalam tiga majlis.

  1. al-Khatib al-Baghdadi (m. 463H). Beliau telah mempelajari seluruh kitab Sahih al-Bukhari daripada Isma’il al-Hairi di dalam 3 majlis.
  2. ‘Allamah Talhah bin Muzaffar al-‘Althi (m. 593H). Beliau telah membaca kitab Sahih Muslim di dalam 3 majlis.
  3. ‘Allamah Syarafuddin al-Fazari (m. H). Beliau telah membaca kitab Masyyakhah Ibn al-Bukhari di Dimasyq dalam 3 majlis yang dihadiri oleh 1000 orang.
  4. ‘Allamah Majduddin al-Fairuzabadi (m. 816H), pengarang al-Qamus. Beliau telah mempelajari kitab Sahih Muslim daripada Nasiruddin ibn Jahbal di Dimasyq antara Bab al-Nasr dan al-Faraj berhadapan tempat capal Nabi SAW dalam masa 3 hari.

4. Membaca kitab dalam empat majlis.

  1. ‘Allamah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad al-Ba’labakki (m. 800H). Beliau membacakan kepada para ahli hadith kitab al-Muntakhab Min Musnad ‘Abd bin Humayd di dalam 4 buah majlis.

5. Membaca kitab dalam lima majlis.

  1. ‘Allamah ‘Abdul Ghani bin ‘Abdul Wahid al-Maqdisi (m. 600H). Beliau telah mempelajari kitab al-Muhaddith al-Fasil oleh al-Ramahurmuzi daripada Abu Tahir al-Silafi di dalam 5 buah majlis.
  2. ‘Allamah Ahmad bin Muhammad al-Qastallani (m. 923H). Beliau telah membaca kitab Sahih al-Bukhari di dalam 5 buah majlis.

6. Membaca kitab dalam masa enam hari atau dalam enam majlis.

  1. al-Hafiz Abu ‘Abdillah al-Zahabi (m. 748H). Beliau telah mempelajari kitab Sirah Ibn Hisyam daripada al-Abarquhi dalam masa 6 hari.
  2. al-Hafiz Abu al-Fadhl al-‘Iraqi (m. 806H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih Muslim daripada Muhammad bin Isma’il bin al-Khabbaz di dalam 6 buah majlis.
  3. ‘Allamah Burhanuddin Ibrahim bin Muhammad al-Biqa’i (m. 935H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari seluruhnya daripada Badruddin al-Ghazzi dalam masa 6 hari.

7. Membaca kitab dalam masa lapan hari.

  1. al-Malik al-Asyraf Musa bin Muhammad bin Ayyub (m. 635H). Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dengan bacaan Musnid al-Syam al-Husain bin al-Mubarak Ibn al-Zubaidi dalam masa 8 hari di Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah, Dimasyq.
  2. ‘Allamah Burhanuddin al-Abnasi (m. 802H). Beliau telah mempelajari kitab Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud daripada Ibn Amilah di Dimasyq dalam masa 8 hari.

8. Membaca kitab dalam masa hampir 10 hari atau lebih.

  1. ‘Allamah Muhammad bin Khalaf bin Rajih al-Maqdisi (m. 618H). Beliau telah mendengar kitab Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud dengan bacaan ‘Umar ibn Tabarzad dalam masa kurang daripada 10 hari.
  2. ‘Allamah Fadhl al-Rahman al-Hindi al-Naqsyabandi (m. 1313H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari daripada Muhammad Ishaq al-Dihlawi dalam masa beberapa belas hari.

9. Membaca kitab dalam 11 buah majlis.

  1. al-Munla Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (m. 1145H). Beliau telah mempelajari kitab al-Muwatta’ daripada Abu al-Asrar al-‘Ujaymi dalam 11 buah majlis.

10. Membaca kitab dalam 12 buah majlis.

  1. ‘Allamah ‘Ali bin ‘Abdullah bin Ahmad al-‘Alawi al-Tawqadi (m. 1199H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari daripada Murtadha al-Zabidi dalam 12 buah majlis di rumahnya.

11. Membaca kitab dalam 14 buah majlis.

  1. ‘Allamah Ahmad bin ‘Abdullah Ibn al-Imam al-Jaza’iri (m. 666H). Beliau telah mendengar kitab Sahih al-Bukhari dengan bacaan Ibn Ruzibah al-Baghdadi dalam 14 buah majlis.

12. Membaca kitab dalam 15 buah majlis.

  1. ‘Allamah Taqiyyuddin Ahmad bin ‘Ali al-Maqrizi (m. 845H). Beliau telah mendengar kitab Sunan Ibn Majah dengan bacaan Abu al-‘Abbas al-Jawhari dalam 15 buah majlis.

13. Membaca kitab dalam masa sebulan.

  1. ‘Allamah al-Hasan bin Ahmad Ibn Habal al-Daqqaq al-Salihi (m. 779H). Beliau membaca kitab al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani pada setiap bulan Ramadhan.
  2. ‘Allamah Muhammad ‘Abid al-Sindi (m. 1257H). Beliau telah membaca al-Kutub al-Sittah di al-Haram al-Nabawi (Masjid Nabawi, di Madinah) dalam masa sebulan secara riwayah (periwayatan), dan dalam masa 6 bulan pula secara dirayah (syarahan).
  3. ‘Allamah Muhammad bin ‘Ali al-Sanusi (m. 1076H). Beliau pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam masa sebulan, Sahih Muslim dalam masa 25 hari, dan kitab al-Sunan dalam masa 20 hari.

14. Beberapa ulama mutaakhirin, seperti;

  1. ‘Allamah Muhammad bin ‘Abdul Kabir al-Kattani (m. 1327H), [syeikh Tariqat Kattaniyyah, disebut ‘al-Syahid’ kerana meninggal dunia setelah dirotan 500 kali oleh pihak sultan Maghribi demi mempertahankan kebenaran]. Beliau pernah mengkhatamkan Sahih al-Bukhari di Jami’ al-Qurawiyyin, kota Fez yang dihadiri oleh ribuan orang. Beliau duduk daripada selepas solat subuh dan tidak bangun melainkan hampir pada waktu zohor.
  2. ‘Allamah Jamaluddin al-Qasimi (m. 1332H). Beliau pernah memperdengarkan Sahih Muslim secara riwayah dan dirayah dalam masa 40 hari.
  3. ‘Allamah ‘Abdul Hayy al-Kattani (m. 1382H). Beliau pernah mengajarkan kitab Sahih al-Bukhari secara tahkik di Jami’ al-Qurawiyyin dalam 50 buah majlis.

Monday, April 5, 2010

Kewafatan Syeikh Habib 'Abdul Qadir al-Saqqaf رحمه الله


إنا لله وإنا إليه راجعون

'Allamah Syeikh Habib 'Abdul Qadir bin Ahmad al-Saqqaf telah kembali semalam ke rahmatullah di Jeddah, Arab Saudi. Jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Jannah al-Ma'lah di Makkah.

Beliau dilahirkan pada tahun 1331H, maka usianya ketika meninggal dunia mengikut perkiraan hijrah tersebut (kini 1431H) ialah kira-kira 100 tahun. Beliau dikatakan sebagai seorang alim wali yang mencapai peringkat Qutbiyyah. Biografinya telah ditulis secara lengkap oleh anak murid beliau, 'Allamah Sayyid Abu Bakr bin 'Ali al-Masyhur al-'Adni dengan judul: ( جني القطاف في ترجمة الحبيب عبد القادر بن أحمد السقاف )

.
* Gambar-gambar sekitar penghormatan terakhir :





Semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama-sama golongan para nabi, siddiqin, syuhada', dan para salihin. Amin..


Rujukan:
- Rawdh al-Rayyahin (satu), (dua), (tiga).
- Catatan Ust. Muhammad al-Amin, yang berada di sana.
- Biografi beliau, dalam blog Bahrus Shofa.
- Biografi beliau, dalam blog al-Fanshuri.
- Biografi beliau, dalam blog Sahah al-Langkatiyah.
- Muntada al-Azhariyyin.