Pages

Thursday, July 22, 2010

Sorotan Seminar Asha'irah di UM

Saya mengharap seminar tentang faham Asha'irah yang berlangsung selama 3 hari, 20-22 Julai ini dapat mencapai objektifnya dan mampu menjelaskan kepada masyarakat akademik khususnya, termasuk aliran-aliran kontra tentang hakikat sebenar aliran Asha'irah yang merupakan kelompok terbesar Ahli Sunnah wal Jamaah pada masa dahulu dan kini. Tidak dinafikan jika ada pihak yang tidak gemar seminar ini diadakan. Namun, "jika tidak dipecahkan ruyong, manakan dapat sagunya", kerana masih ada yang tidak mengerti apakah hakikat faham Asha'irah itu sebenarnya, malah ada yang tidak mengenal secara benar siapa dia Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari r.a. yang menjadi panutan Asha'irah ini.

Kekeliruan Aliran Kontra

Saya melihat sehingga kini masih ada yang menganggap bahawa fahaman Asha'irah adalah fahaman yang disadur daripada fahaman Jahmiyyah atau Muktazilah yang menafikan sifat-sifat Allah SWT serta menetapkan takwil terhadapnya. Ada juga yang menganggap bahawa Asha'irah adalah aliran yang menyeleweng daripada mazhab imam mereka sendiri, Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari r.a. Kononnya Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari melalui tiga peringkat perubahan akidah, iaitu peringkat Muktazilah, peringkat Kullabiyyah dan peringkat Salafiyyah. Di hari pertama seminar, ada juga yang cuba membangkitkan kekeliruan ini.

Padahal kesemua tanggapan dan kekeliruan tersebut adalah tidak benar. Mana mungkin orang yang di luar sesuatu mazhab lebih arif mengenainya berbanding orang yang di dalam mazhab berkenaan. Tentunya bagi menjelaskan sesuatu mazhab, pandangan-pandangan diambil daripada tokoh-tokoh dalam mazhab tersebut. Maka yang mengatakan faham Asha'irah ini adalah faham Jahamiyyah adalah tidak benar samasekali kerana Jahmiyyah menetapkan takwil mutasyabihat, sedangkan Asha'irah menetapkan tafwidh dan mengharuskan takwil menurut syarat-syaratnya yang muktamad. Lihat perbezaan ibarat saya antara "menetapkan takwil" dan antara "menetapkan tafwidh dan mengharuskan takwil dengan syarat-syaratnya".

Begitu juga yang mengatakan Imam al-Asy'ari melalui 3 peringkat peralihan akidah adalah suatu kekeliruan. Ini tidak pernah disebut oleh mana-mana tokoh Asha'irah sendiri sehinggalah ia difatwakan oleh aliran yang berlawanan dengannya. Hakikatnya Imam al-Asy'ari hanya melalui 2 peringkat peralihan sahaja, iaitu peringkat Muktazilah dan peringkat Ahlus Sunnah.

Kitab al-Ibanah

Kitabnya yang menjadi perselisihan hangat dalam soal ini ialah al-Ibanah. Namun kitab al-Ibanah yang sampai kepada kita hari ini mempunyai berbagai versi yang agak berbeza isi kandungannya. Versi cetakan yang paling baik ialah yang ditahkik oleh Dr. Fawqiyyah Husayn kerana ketelusannya dalam membuat komparatif antara beberapa manuskrip kitab al-Ibanah dan ternyata kemudian bahawa versi-versi cetakan lain tidak dapat dipegang keabsahannya.

Tidak dinafikan ada sebahagian Asha'irah mutaakhirin yang menafikan kitab al-Ibanah sebagai karya al-Asya'ri. Namun ramai juga dari kalangan mereka yang mengatakan sebaliknya dengan mengemukakan hujah-hujah kukuh yang munasabah, antaranya ia adalah sebagai tulisan awal sesudah perpindahan al-Asy'ari dari mazhab Muktazilah kepada mazhab Ahlus Sunnah di mana pada masa itu beliau menghadapi dua kelompok kontra Ahlus-Sunnah yang amat berpengaruh iaitu Muktazilah (termasuk Jahmiyyah) dan Musyabbihah (termasuk Barbahariyyah) yang mendakwa membawa akidah Imam Ahmad bin Hanbal. Maka beliau secara sarih mengatakan mengikut pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dengan tujuan untuk membersihkan namanya daripada palitan tasybih dan tajsim. Beliau seterusnya konsisten mendokong mazhab Ahlus Sunnah ini berdasarkan metode ahli kalam dengan menyusun berbagai kitab, dan antara pendapat-pendapatnya yang mutakhir telah dihimpunkan oleh Ibn Furak di dalam kitab "Maqalat al-Imam Abi al-Hasan al-Asy'ari".

Praktis tokoh-tokoh Asha'irah yang datang selepas itu dalam kurun ke-4, ke-5, ke-6 dan seterusnya terhadap metode Imam al-Asyari jelas membuktikan bahawa kekeliruan yang disebutkan di atas tadi adalah tertolak. Jelas menurut satu pepatah Arab: "Tuan rumah adalah lebih arif dengan isi dalam rumahnya sendiri".

Konsep Tafwidh

Inilah faham Asha'irah yang cuba diketengahkan dalam seminar ini. Barangkali ada yang sudah memahami itu dari kalangan kontra-Asha'irah, namun mereka tidak sepakat pula terhadap konsep tafwidh yang digunapakai oleh Asha'irah. Mereka lebih senang dengan konsep ithbat zahir nas dengan kata-kata lampiran "tanpa kayfiyyat" dengan dakwaan ia adalah fahaman para Salaf. Ini bertentangan dengan faham golongan Salaf menurut Asha'irah kerana zahir nas meskipun dengan kata-kata lampirannya itu tidak menutup pintu tasybih dan tajsim, bahkan ia dapat membawa kepada tasybih dan tajsim itu sendiri kerana zahir kalimah menunjukkan kepada anggota badan atau juzuk suatu jisim atau penyerupaan dengan makhluk. Dan ini mustahil bagi Allah SWT.

Golongan Salaf menurut Asha'irah berpegang kepada tafwidh dengan pengertian 'takwil ijmali', iaitu zahir nas bukan sepertimana makna yang terbayang pada akal manusia, tetapi ia adalah suatu makna yang diketahui hakikatnya oleh Allah SWT. Manakala tidak ada nas yang jelas mengharamkan takwil yang berbetulan dengan syarak dan kaedah bahasa Arab, maka Asha'irah telah mengharuskannya dengan syarat-syarat tertentu yang dinamakan 'takwil tafsili'. Bahkan ada dinukilkan dari sebahagian para Salaf yang menggunakan 'takwil tafsili' ini seperti Ibn 'Abbas r.a., Mujahid, Ibn al-Mubarak, Ahmad bin Hanbal, al-Bukhari dan lain-lain. Ini menguat dan mengukuhkan lagi metode yang dipilih oleh Asha'irah.

Peranan Akal

Perbahasan yang halus ini barangkali tidak difahami oleh sebahagian orang yang hanya ber'akidah ikut-ikutan' sahaja. Perlu diingatkan bahawa keampuhan hujah tidak sekadar bergantung pada naqal semata-mata tanpa aqal, tetapi ia memerlukan kepada gabungan naqal dan aqal sekaligus. Inilah kekuatan pegangan mereka yang disebut oleh al-Quran sebagai 'Ulul-Albab'. Perlu disedari bahawa akal juga memainkan peranan penting dalam ilmu akidah, terutama di dalam menghadapi berbagai aliran-aliran pemikiran semasa yang bertentangan dengan akidah yang benar.

Saya amat tertarik dengan ucapan Prof. Dr. Deen Muhammad Sahib, dari Universiti Qatar dalam ucaptama seminar yang membuat komparatif antara Metode Ash'ari dan Metode Salafi-Wahhabi.

Menurutnya, Metode Ash'ari mampu menghadapi tentangan-tentangan musuh dan mempertahankan akidah Islam kerana ianya:

- menghimpunkan secara harmoni antara aqal dan naqal.
- beriltizam dengan nas dan mampu menangani realiti.
- tidak mengkafirkan ahli qiblat.
- berpegang dengan firman Allah Taala: (ليس كمثله شيئ) sebagai suatu kaedah yang muhkam.
- beriltizam dalam menafikan makna zahir yang terlintas dari segi bahasa, dan menggunakan takwil menurut neraca syarak, kaedah bahasa Arab, uslub ilmu bayan dan hukum akal yang qat'i.
- berpegang pada tanzih dan menolak tasybih dan tajsim serta semua yang dapat mendorong ke arahnya.
- mengambil kira faktor penyanggah yang qat'i lagi sabit.
- menyatupadukan antara uluhiyyah dan rububiyyah serta tidak mengasingkan kedua-duanya.
- beriltizam dengan konsep baharunya sesuatu selain Allah Taala.

Manakala Metode Salafi-Wahhabi tidak mampu untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa dan global kerana ianya berciri :

- takfir.
- kebekuan/kejumudan akal.
- tertutup.
- menafikan sejarah.
- sempit.
- mengasingkan rububiyyah daripada uluhiyyah.
- memberi tumpuan kepada islah akidah yang telah disepakati oleh jumhur umat Islam selama 1000 tahun, dan mengabaikan pula islah pelbagai sudut sosial masyarakat.
- menentang pemikiran logik.

Beliau turut menyarankan dua buah buku yang ditulis oleh dua orang sarjanawan ulung dunia Islam agar dibaca, diteliti, diterjemahkan dan dikembangkan idenya secara lebih meluas, iaitu;

1. Mawqif al-'Aql wal-'Ilm wal-'Alam min Rabb al-'Alamin wa 'Ibadih al-Mursalin oleh Syeikhul-Islam Mustafa Sabri.

2. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC))(1995).

Gagasan Ahlus Sunnah Asha'irah Moden

Alhamdulillah, ada lebih dari 40 kertas kerja yang dikemukakan dalam seminar ini yang ditulis oleh ramai sarjana dan pengkaji dari berbagai bidang seperti akidah, tafsir, hadith, fiqh, sejarah, dakwah, falsafah, tasawuf dan lainnya, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Ada nama-nama yang sudah dikenal dan ada nama-nama yang masih baru. Antara nama-nama yang biasa didengar bagi saya ialah seperti Dr. Sulaiman bin Ibrahim al-Baruhi, Ustaz Muhammad Uthman el-Muhammady, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Hamat, Dr. Khalif Muammar A. Harris, Prof. Madya Mohamad Kamil Hj. Ab. Majid, Prof. Madya Dr. Asmadi Mohd Naim, Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi bin Wan Abdullah, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dan Prof. Madya Dr. Mudasir Rosder .

Barangkali ada yang menganggap bahawa seminar ini bertujuan untuk menghentam Ibn Taymiyyah dan Muhammad bin 'Abdul Wahhab sebagai dua tokoh yang sering menjadi rujukan aliran kontra dalam masalah akidah. Tentunya tuduhan ini tidak benar, kerana Ibn Taymiyyah mahupun Ibn 'Abdul Wahhab, serta para pengikut mereka (Taymiyyun dan Wahhabiyyun) mempunyai kebebasan untuk mengkritik lawan dan menyuarakan pandangan mereka, maka apakah pihak lawan mereka tidak punya kebebasan untuk bangkit dan mempertahankan diri? Ini adalah percaturan yang tidak waras. Jika yang dikritik oleh Ibn Taymiyyah dan Ibn 'Abdul Wahhab itu ialah pemikiran-pemikiran dan pandangan-pandangan lawan, begitu juga apa yang dikritik oleh pihak lawan mereka - dan maksud di sini ialah Asha'irah - adalah pemikiran-pemikiran dan pandangan-pandangan Ibn Taymiyyah dan Ibn 'Abdul Wahhab, mahupun para pengikut mereka yang dilihat tidak benar, bukan lain atau peribadi.

Tidak timbul soal menghentam dan memukul siapa kerana inilah kefahaman masing-masing dalam mematuhi tuntutan dan kehendak syariat. Maka yang dilihat sebagai batil - di luar lingkungan Ahlus Sunnah wal Jamaah - perlu ditegur dan diberi nasihat. Apa yang menjadikan situasi lebih serius sebenarnya adalah berpunca dari sikap melampaui batas dan masalah kedangkalan ilmu. Melampau batas dalam apa jua situasi dan dari mana jua munculnya adalah suatu yang negatif dan dicela. Soal melampau ini kadangkala begitu halus, dan ia perlu dilihat sebagai suatu barah yang perlu dirawat dengan segera sebelum ianya semakin parah.

Mudah-mudahan kita dijauhkan oleh Allah Taala daripada penyakit ini, dan semoga Allah s.w.t. memelihara kita golongan Ahlus Sunnah wal-Jamaah. Amin.

Saturday, July 10, 2010

Sosok Hidup Sasterawan Nora


Maaf jika kali ini saya mahu bicara tentang sastera. Suatu dunia yang dianggap sunyi dan terpinggir oleh sesetengah orang. Namun dianggap unik oleh setengah yang lain.

Sudah lama tidak menulis di blog, tiba-tiba berbicara tentang sastera? Dulu saya adalah pelajar aliran sastera. Aliran yang dianggap tidak menjamin masa depan. Dipandang oleh rakan-rakan dari aliran sains sebagai kelas kedua.

Namun saya yakin dunia sastera ini ada sumbangannya dalam kehidupan insan. Bahkan ia menjadi nadi yang mengepam ketenangan dalam tubuh ramai insan sama ada mereka sedar atau tidak. Apatah lagi jika disemai dengan acuan Islam.

Menyentuh sastera Islam atau yang berbau Islam, tidak ramai di tanah air nama-nama besar yang boleh disebutkan. Mungkin dapat dibilang dengan jari-jari sebelah tangan saja.

Beberapa hari lepas, saya membeli buku Di Tengah Kota: Memoir Sasterawan Nora (2010) oleh Haji Ali Haji Ahmad atau nama masyhur penanya NORA. Biasanya saya tidak ambil pusing dan kurang berminat jika ia cuma penulis biasa. Namun sasterawan yang ini ada nilai nostalgia yang tersendiri, terutama sajaknya yang masyhur itu; Sakaratul Maut. Tidak ramai pada masa dulu sasterawan yang terus terjun dalam medan dakwah, meskipun jalan dakwah yang dipilih Nora itu mengundang seribu tanda tanya.

Dalam masa beberapa hari saya habis membacanya kerana Nora 'tidak membenarkan' pembacanya menguap kebosanan. Nah, rupanya Nora sudah di takah usia emas, 83 tahun. Memoir setebal 295 halaman, memuatkan asam-garam dan pahit manis hidupnya selama 83 tahun! Tentunya banyak yang ditinggal.

Bagaimanapun, buku ini sudah cukup untuk menggambarkan gaya hidup Nora yang penuh sederhana, rendah diri, berhati mulia, mudah berpada, sabar, tenang, gigih, mesra dan penuh syukur.

Berbagai lapisan orang diimbau oleh Nora. Dari nama-nama besar sehingga nama-nama kecil, malah nama seorang pekerja Indon di sebuah warung makan sekalipun. Ada kenangan zaman Jepun di Johor Bahru, Johor sehinggalah ke terataknya kini di Rawang, Selangor.

Apa yang mengesankan saya ialah kehidupannya yang serba sederhana, kerana lumrah kerjaya sebagai penulis memang sukar untuk bisa menjadi kaya-raya. Bukan sekadar itu, bahkan oleh kerana pengorbanannya di dalam al-Arqam dahulu, sehingga usianya lebih 80 tahun beliau masih menanggung hutang dengan bank sebanyak RM60,000. Lantaran kerana tidak mampu membayar beliau menghadapi pula masalah rumahnya akan dilelong. Itu semua berlaku di takah usia mencecah 80 yang sepatutnya sudah bisa tenang beribadah seperti orang lain menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

Saya termenung lama membaca sajaknya, yang antara lain berbunyi (hlm. 238);
"Wahai rumahku syurgaku
Aku nak masuk juga
Aku nak bunuh syaitan dan jin taksubku
Aduh! Aduh!
Minyak wangi busuk taksub Sungai Penchala
Menggigit seluruh tubuhku..."

Inilah ujian Allah yang dihadapinya selain dari ujian-ujian lain. Antaranya, isterinya diserang strok menyebabkan dia tidak bisa lagi membuat kuih yang dijaja di sebuah pasar tani. Walaupun begitu mereka tetap redha dan pasrah.

Nora adalah tokoh sasterawan Islam yang hanya berkelulusan sekolah atap. Tetapi tinta penanya masih mengalir hingga ke takah usia kini. Inilah kisah suka-dukanya. Ada teladan dan pengajaran yang boleh diambil. Mungkin barangkali memoir ini adalah yang terakhir dari coretannya... Allah saja yang tahu.

Pautan lain:
- Catatan Sasterawan Osman Dol yang juga disiar dalam buku tersebut.

Friday, July 2, 2010

Seminar Yang Ditunggu!


Pada bulan Mei lepas telah berlangsung seminar antarabangsa di al-Azhar Mesir mengenai Imam al-Ash'ari dan peranannya dalam bidang akidah. Maka sebagai kesinambungan daripada seminar berkenaan akan berlangsung pada bulan ini seminar mengenai Asha'irah di UM, Kuala Lumpur. Ia adalah seminar yang amat ditunggu-tunggu sebenarnya oleh golongan Ahlus Sunnah di Malaysia daripada pihak ahli akademik di universiti dalam menyatakan pandangan mereka dalam isu-isu akidah, terutama yang berhubung dengan serangan daripada fahaman Taimiyyun.





Rujukan:
- Seminar PEMIKIR II