Sunday, November 28, 2010

Hadis Menyapu Air Di Tengkok Ketika Wuduk (2)


(Baca bahagian satu dulu)

Meningkat Kepada Hasan?

Al-‘Allamah Ahmad ibn Hajar al-Haytami (w. 974H) mengulas hadith ini dengan dua ulasan yang kelihatan berlainan di dalam dua kitabnya. Iaitu dalam kitab (المنهاج القويم شرح المقدمة الحضرمية), beliau menyatakan: “Tidak sabit mengenainya suatu apa pun, bahkan kata al-Nawawi ianya bidaah, dan hadith: “Menyapu tengkok itu adalah aman dari belenggu”, adalah palsu, tetapi hukum ini disanggah bahawa hadis berkenaan bukannya palsu.

Manakala dalam kitab (تحفة المحتاج في شرح المنهاج), al-Haytami menyebut: “Mengenai menyapu tengkok ada khilaf. Pendapat yang rajih ialah ianya tidak dituntut/disunatkan. Ada yang menyanggah bahawa hadisnya dapat diamalkan dalam bab fadha’il, dan menolak dengan apa yang telah lalu disebutkan tadi (yakni terdapat beberapa jalan riwayat). Sepertimana yang diisyaratkan oleh kata-kata pengarang (yakni al-Nawawi) bahawa khabar kedua-duanya adalah palsu. Maka dengan andaian ianya selamat dari kepalsuan, ianya adalah sangat daif, justeru tidak dapat diamalkan.

Namun Syeikh ’Abd al-Hamid al-Makki al-Syarwani (w. 1301H) dalam kitabnya (حاشية على تحفة المحتاج بشرح المنهاج) menukilkan dari Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani (w. 1194H) (mungkin dari kitabnya: الحواشي المدنية على شرح المقدمة الحضرمية) sebagai mengulas kata-kata al-’Allamah al-Haytami di atas dengan katanya:

وَالْحَاصِلُ أَنَّ الْمُتَأَخِّرِينَ مِنْ أَئِمَّتِنَا قَدْ قَلَّدُوا الْإِمَامَ النَّوَوِيَّ فِي كَوْنِ الْحَدِيثِ لَا أَصْلَ لَهُ وَلَكِنْ كَلَامُ الْمُحَدِّثِينَ يُشِيرُ إلَى أَنَّ الْحَدِيثَ لَهُ طُرُقٌ وَشَوَاهِدُ يَرْتَقِي بِهَا إلَى دَرَجَةِ الْحَسَنِ فَاَلَّذِي يَظْهَرُ لِلْفَقِيرِ أَنَّهُ لَا بَأْسَ بِمَسْحِهِ اهـ.

Terjemahan: Wal hasil, sesungguhnya para mutaakhirin dari kalangan imam-imam kami (fuqaha’ Syafi’iyyah) mengikut Imam al-Nawawi mengenai kedudukan hadis tersebut tiada asalnya. Tetapi kata-kata para muhaddithin menunjukkan bahawa hadis berkenaan mempunyai beberapa jalan riwayat dan sokongan yang dapat meningkatkannya kepada darjat hasan. Maka pendapat yang zahir kepada al-faqir (Syeikh al-Kurdi) ini ialah tiada halangan bagi menyapunya.

Kenyataan Syeikh al-Kurdi di atas dan pewartaan Syeikh al-Syarwani darinya bahawa hadis menyapu air ke tengkok itu dapat meningkat kepada darjat hasan kelihatan menyanggah kata-kata para ulama yang telah kita sebutkan sebelum ini, yang hanya mengatakan darjatnya antara daif dan palsu. Apa pun, nama Syeikh ’Abd al-Hamid al-Syarwani dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi ini dapat dimasukkan ke dalam senarai ulama Syafi’iyyah yang menghukumkan amalan tersebut sebagai sunat atau mustahab.

Saturday, November 27, 2010

Hadis Menyapu Air Di Tengkok Ketika Wuduk

Mukadimah

Dalam perkara kecil sebegini barangkali dilihat remeh oleh setengah pihak dan menganggap tidak perlu dibincangkan. Namun dengan melihat lebih jauh, ia sebenarnya bukan sekadar satu perkara remeh, sebaliknya ia mengajar kita untuk memahami beberapa perkara penting dan objektif besar seperti metode berfikir para ulama, metode pendalilan mereka, sensitiviti dalam belajar serta beramal, sifat toleransi dalam beragama, keunikan ilmu sanad dan sebagainya. Ini natijahnya akan dapat menghindarkan diri kita dari sifat taksub dan gopoh menuding orang lain. Maka perkara yang kecil atau remeh seperti ini sebenarnya hanya sebagai suatu model atau sampel.

Berbalik kepada topik asal, antara dalil masyhur menyapukan air ke tengkok ketika wuduk ialah hadis yang berbunyi:

مسح الرقبة أمان من الغل يوم القيامة

Terjemahan: “Menyapu tengkok itu (akan memperoleh) aman dari belenggu pada hari kiamat kelak”.

Kedudukan Pengamalannya Antara Sunat dan Bidaah

Para ulama hadis berselisih mengenai taraf hadis ini antara darjat da’if dan palsu. Menurut sebahagian ulama hadis, hadis ini bertaraf da’if, namun demikian ia boleh diamalkan dalam Mazhab Hanafi kerana bagi mereka keda’ifan hadis tersebut tidak berat dan telah diperkuatkan dengan beberapa sokongan. Hukum mengamalkannya adalah sama ada sunat atau mustahab. Imam al-Laknawi ada membahaskan kedudukan hadis ini dan hukum mengamalkannya secara khusus di dalam kitab beliau berjudul (تحفة الطلبة في تحقيق مسح الرقبة). Perkara ini juga diamalkan oleh sebahagian ulama Mazhab al-Syafi’i sebelum Imam al-Nawawi (w. 676H).

Namun dalam pandangan ramai ulama Mazhab al-Syafi’i mutaakhirin selepas Imam al-Nawawi pula menganggap perkara tersebut tidak disunatkan, bahkan bidaah. Ini kerana hadis tersebut dianggap sebagai palsu dan bukan lagi da’if. Kata al-Nawawi dalam Syarh al-Muhazzab: Hadith ini palsu bukan dari sabdaan Rasulullah SAW. Kata beliau lagi dalam ulasannya ke atas kitab al-Wasit: Ini hadith (batil) palsu, sesungguhnya ia adalah dari kata-kata sebahagian salaf. Kata beliau lagi: Tidak sah dari Nabi SAW mengenai menyapu tengkok suatu apa pun. Dan ianya bukan sunnah, bahkan ia adalah suatu bidaah. Tidak disebut oleh al-Syafi’i mahupun majoriti sahabat-sahabat (ulama-ulama al-Syafi’i). Ia hanya disebut oleh Ibn al-Qas (Abu al-’Abbas Ahmad al-Tabari, w. 335H) dan sekumpulan kecil ulama. Ia adalah suatu kesilapan kerana sabda baginda SAW: ”Maka barangsiapa yang menambah atas yang demikian (anggota-anggota wuduk yang biasa), maka ia telah berbuat buruk dan zalim”.

Kata Syeikh Isma’il al-’Ajluni di dalam (كشف الخفاء ومزيل الالباس عما اشتهر من الاحاديث على ألسنة الناس), no. 2300: Adapun menurut mazhab ulama Syafi’iyyah maka ia tidak mustahab menurut pendapat yang rajih, sebagaimana yang dikoreksikan oleh al-Nawawi dan menukilkannya dari ramai ulama, yang menyalahi pendapat al-Rafi’i (w. 623H), yang mengikut pandangan Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam al-Wasit dan tokoh-tokoh lain yang mengatakan sunat berbuat demikian.

Imam al-Ghazali pula mengikut pendapat al-Qadhi Husain (w. 462H), meskipun beliau menyebut bahawa menyapu tengkok itu tidak terdapat sunnah mengenainya. Demikian juga pendapat al-Furani dari kalangan ulama al-Syafi’iyyah. Kata al-Qadhi Abu al-Tayyib: Tidak terdapat sunnah yang sabit tentangnya. (al-Badr al-Munir)

Imam al-Ghazali turut menyebutnya dalam kitab Ihya’ ’Ulum al-Din (1/259). Beliau adalah antara ulama Mazhab al-Syafi’i yang mencatat hadis ini dalam karya mereka, yang sekaligus menunjukkan bahawa mereka menganjurkan pengamalannya. Malah amat ramai ulama yang memberi tumpuan kepada kitab Ihya’, sama ada mengajar, atau mempelajarinya, atau meringkaskannya, atau mensyarahkannya, atau menterjemahkannya kepada bahasa lain. Sudah tentu hadith tersebut secara tidak langsung turut dipelajari dan diamalkan oleh mereka, atau sebahagian dari mereka.

Ibn al-Mulaqqin di dalam kitabnya (البدر المنير في تخريج الأحاديث والأثار الواقعة في الشرح الكبير) (hadith 47), meskipun mengatakan hadith ini sangat gharib dan tidak ditemukan sumbernya selepas diperiksa, namun beliau tidak menolak pendapat Ibn al-Rif’ah (w. 735H) dalam al-Matlab yang menyokong Imam al-Baghawi (w. 510H) yang mengatakan mustahab mengamalkannya berpandukan hadith atau athar, kerana tidak ada ruang untuk menggunakan kias dalam perkara tersebut. Jika hadithnya palsu pun, ia adalah athar dari sebahagian salaf. Bagaimanapun ulama terdahulu merestui sanad hadith tersebut sebagai bukan palsu. Kata Ibn al-Rif’ah lagi: Pendapat yang lebih hampir di sisiku ialah jika ia bukan sunat, maka ia adalah mustahab.

Imam al-Haramain (w. 478H) menghikayatkan dari gurunya bahawa ia adalah sama ada sunat ataupun suatu adab. Lihat juga Hawasyi Syeikh al-Syarwani.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab (التلخيص الحبير في تخريج أحاديث الرافعي الكبير) dilihat seolah-olah menyokong ulama-ulama yang mengatakannya sebagai mustahab atau sunat. Beliau cuba menafsirkan bahawa Imam al-Baghawi kemungkinan berpegang kepada hadith berikut yang bersanad daif:

مَا رَوَاهُ أَحْمَدُ وَأَبُو دَاوُد مِنْ حَدِيثِ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ: أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ رَأْسَهُ حَتَّى بَلَغَ الْقَذَالَ وَمَا يَلِيهِ مِنْ مُقَدَّمِ الْعُنُقِ.

Terjemahan: Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud dari hadith Talhah bin Musarrif dari bapanya, dari datuknya, bahawa beliau melihat Nabi SAW menyapu kepalanya sehingga sampai ke belakang kepala dan bahagian yang hampir dengannya dari hadapan leher.

Al-Hafiz Ibn Hajar kelihatan menyokong Ibn al-Rif’ah, iaitu walaupun dalil athar yang dikemukakan bersifat mawquf, namun ianya mempunyai hukum marfu’, kerana kata-kata sedemikian tidak diungkapkan melalui pandangan peribadi, maka ia menurut alasan ini adalah mursal. Athar dari sebahagian salaf tersebut ialah:

مَا رَوَاهُ أَبُو عُبَيْدٍ فِي كِتَابِ الطُّهُورِ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ مَهْدِيٍّ عَنْ الْمَسْعُودِيِّ عَنْ الْقَاسِمِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ مُوسَى بْنِ طَلْحَةَ قَالَ: "مَنْ مَسَحَ قَفَاهُ مَعَ رَأْسِهِ وُقِيَ الْغُلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ".

Terjemahan: Diriwayatkan oleh Abu ’Ubaid dalam kitab al-Tuhur dari ’Abd al-Rahman bin Mahdi dari al-Mas’udi dari al-Qasim bin ’Abd al-Rahman dari Musa bin Talhah katanya: ”Barangsiapa yang menyapu tengkok sebelah atasnya berserta kepalanya akan dipelihara dari belenggu pada hari kiamat kelak”.

Sebagai tambahan, ada dinyatakan dalam kitab Hidayah al-Salikin oleh Syeikh ’Abd al-Samad al-Falimbani yang ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fatani (hlm. 16, cetakan al-Matba’ah al-Miriyah, Makkah al-Mahmiyyah, tahun 1298H) pada bab wuduk disebut: Kemudian engkau sapu batang lehermu kerana sabda Nabi SAW: ”Bermula menyapu leher itu sentosa daripada belenggu pada hari kiamat ”. Barangkali yang dimaksudkan batang leher itu ialah bahagian atas tengkok.

Kedudukan Hadisnya Antara Da’if dan Palsu:

Ulama berbeza pendapat sama ada ianya hadis palsu atau hadis da’if. Imam al-Nawawi dalam Syarh al-Muhazzab menyatakan ianya sebagai palsu.

Syeikh Muhammad Darwisy al-Hut mengatakannya sebagai palsu dalam (أسنى المطالب في أحاديث مختلفة المراتب) no. 1304. Al-Syawkani memuatkan hadith ini dalam kitab (الفوائد المجموعة في الأحاديث الموضوعة) no. 29, namun setelah menyatakan al-Nawawi menghukumnya sebagai palsu beliau menyebut: Ibn Hajar telah membincangkannya di dalam kitab al-Talkhis yang menunjukkan bahawa ianya bukan palsu.

Kenyataan al-Nawawi juga dibantah oleh al-Mulla ’Ali al-Qari dalam (الأسرار المرفوعة في الأخبار الموضوعة المعروف بالموضوعات الكبرى) no. 434, katanya: Akan tetapi diriwayatkan oleh Abu ’Ubaid al-Qasim dari al-Qasim bin ’Abd al-Rahman dari Musa bin Talhah katanya: ”Barangsiapa yang menyapu tengkoknya berserta kepalanya akan dipelihara dari belenggu”. Hadis ini mawquf, namun ianya dalam hukum marfu’ kerana kata-kata seumpama itu tidak diungkapkan melalui pandangan peribadi, dan dapat menguatkannya juga hadis yang diriwayatkan secara marfu’ dari Musnad al-Firdaus dari hadis Ibn ’Umar, tetapi dengan sanad da’if. Hadis da’if dapat diamalkan dalam fada’il al-a’mal secara sepakat. Oleh itu, imam-imam kami (fuqaha’ Mazhab Hanafi) menyatakan bahawa menyapu tengkok itu adalah mustahab atau sunat.

Beliau menambah dalam kitab (فتح باب العناية بشرح كتاب النقاية): Sesungguhnya kami riwayatkan (melalui al-Tabarani) dari Ka’ab bin ‘Amru al-Yami bahawa Nabi SAW berwuduk lalu menyapu dengan kedua-dua tangannya dari depan hujung kepalanya sehingga sampai ke bawah leher dari balik tengkoknya. (hlm. 49)

Al-’Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (المغني عن حمل الأسفار) menyatakan: Dikeluarkan oleh Abu Mansur al-Daylami dalam Musnad al-Firdaus dari hadis (Ibn) ’Umar, dan ianya adalah da’if.

Hadis ini dikategorikan oleh Taj al-Din al-Subki dalam hadis-hadis al-Ihya’ yang tidak ditemukan sanadnya oleh beliau, atau (الأحاديث التي في الإحياء ولم يجد لها إسنادا). Ungkapan ini lebih ’ringan’ berbanding ungkapan yang disebut oleh setengah pengkaji (أحاديث الإحياء التي لا أصل لها) iaitu hadis-hadis al-Ihya’ yang tidak ada sumber asalnya, yang ’berat’ menunjukkan kepada hukum palsu. Ini kerana jika tidak ditemui sanadnya oleh al-Subki, bolehjadi sanad tersebut ditemui oleh orang lain pula, cuma tidak sampai kepada kita.

Hampir serupa juga dengan isu kata-kata Ibn al-Salah ketika mengulas kitab al-Wasit: ”Hadis ini tidak dikenali di sisi ahli hadith datang dari Rasulullah SAW, dan ia adalah dari kata-kata sebahagian salaf”. Dalam ertikata lain, mereka tidak terus menghukumnya sebagai palsu kerana sifat berhati-hati mereka.

Syeikh Muhammad bin Khalil al-Qawuqji walaupun menyebutkannya dalam kitab beliau (اللؤلؤ المرصوع فيما لا أصل له أو بأصله موضوع) no. 504, namun beliau mengulas; bahawa ada diriwayatkan secara mawquf dari Musa bin Talhah, malah terdapat dalam Musnad al-Firdaus dari hadis Ibn ’Umar dengan sanad yang daif. Oleh itu, imam-imam kami (fuqaha’ Mazhab Hanafi) memustahabkan menyapu tengkok, wa Allahu a’lam.

Menurut Ibn ’Arraq dalam (تنزيه الشريعة المرفوعة عن الأحاديث الشنيعة الموضوعة) no. 35: Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam Tarikh Asbahan dari hadith Ibn ’Umar dengan lafaz: ”Barangsiapa yang berwuduk dan menyapu lehernya ia tidak akan dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada hari kiamat kelak”. Kata al-Hafiz al-’Iraqi: Dalam sanadnya ada Abu Bakr al-Mufid, guru Abu Nu’aim. Kata al-Hafiz al-’Iraqi: Beliaulah punca rosaknya. Ibn al-Salah telah mendahului al-Nawawi dalam mengingkarinya dan berkata: Tidak diketahui sebagai marfu’, dan sesungguhnya ia adalah kata-kata sebahagian salaf. Kata al-’Iraqi lagi: Ya, ada diriwayat tentang menyapu tengkok dari hadis Wa’il bin Hajar mengenai sifat wuduk Nabi SAW yang dikeluarkan oleh al-Tabarani dan al-Bazzar dalam al-Kabir dengan sanad yang tiada halangan (لا بأس به), wa Allah a’lam.

Rumusan

Berdasarkan kepada pendapat para ulama Hanafi dan antara yang tersebut di atas adalah seperti Imam al-Laknawi, al-Mulla ’Ali al-Qari, al-Qawuqji dan lain-lain, serta sebahagian ulama Syafi’i, seperti al-Rafi’i, Ibn al-Qas, Imam al-Haramain, al-Ghazali, Ibn al-Rif’ah, al-Baghawi, al-Qadhi Husain, al-Furani, al-Hafiz Ibn Hajar, al-Falimbani dan lain-lain, saya berpendapat hukum menyapu air di tengkok ketika wuduk adalah mustahab diamalkan dan bukannya suatu bidaah. Antara metode yang saya gemari ialah metode al-Hafiz Ibn Hajar iaitu tidak menghukum sesuatu hadith itu sebagai palsu jika dirasakan ianya mempunyai asalnya berdasarkan dalil-dalil sokongan. Maka hadis tersebut meskipun daif tetapi dengan jalan-jalan yang menyokongnya menunjukkan bahawa ianya tidak palsu dan perbuatan tersebut ada asalnya. Tidak benar jika dikatakan ia hanya boleh diamalkan oleh orang Mazhab Hanafi sahaja, kerana ia juga telah diamalkan oleh sebahagan ulama Mazhab Syaf’i sepertimana yang kita saksikan, dan masih dapat dikatakan tidak keluar dari mazhab tersebut. Oleh kerana ianya suatu khilaf, maka terpulanglah kepada kita sama ada mahu mengamalkannya ataupun tidak.

Wa Allahu a’lam.

Sunday, November 21, 2010

Siri Ceramah Syeikh al-Buti حفظه الله

Sebelum ini ada beberapa kali Syeikh al-Buti tidak jadi datang ke Malaysia kerana masalah kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk bermusafir jauh. Beliau hanya menghantar anaknya, Dr. Tawfiq sahaja yang datang mewakilinya. Tetapi mudah-mudahan kali ini beliau diberikan kesihatan oleh Allah SWT dan dapat meluangkan masa buat sekian kalinya untuk datang ke sini. Amin.

I
29hb. Nov. 2010
(Masjid Shah Alam)

II
30hb. Nov. 2010
(Masjid KUIS)

Thursday, November 18, 2010

Wacana Ilmu di Masjid al-Azhar KUIS

Penyampai: al-Fadhil Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki
Tajuk: Adab Serta Akhlak Menuntut dan Menyampaikan Ilmu
Tarikh: 26hb. November 2010 (Jumaat malam Sabtu)


SEMUA DIJEMPUT HADIR.


p/s: Terima kasih kepada Blog Jom Talaqqi.
-------------------------------

Peta lokasi KUIS & Masjid al-Azhar:




Syeikh Muhammad Namr al-Khatib al-Husaini dan Syeikh Muhsin Bu-Khadhrah al-Hasani al-Sanusi رحمهما الله


Pertamanya, saya ucapkan Selamat Hari Raya 'Idul Adha.

Keduanya, tentang kewafatan dua orang lagi ulama Islam yang kedua-duanya juga berusia panjang, dan kedua-duanya ini dari keturunan Ahlul Bait, iaitu Syeikh Muhammad Namr al-Khatib al-Sayyadi al-Rifa'i al-Husaini dan Syeikh Muhsin bin Ruwayfi' Bu-Khadhrah al-Masyisyi al-Idrisi al-Hasani al-Sanusi.

Syeikh Muhammad Namr meninggal dunia dalam usia kira-kira 100 tahun di Madinah al-Munawwarah pada hari 'Idul Adha (hari Selasa lepas). Beliau adalah seorang syeikh mujahid murabbi yang banyak menghabiskan hayatnya untuk ilmu, dakwah dan jihad. Dilahirkan di Hayfa, Palestin dari kalangan keluarga besar Al al-Khatib yang masyhur dari keturunan Ahlul Bait dan ramai ulama yang muncul darinya.


Beliau adalah lulusan Universiti al-Azhar, Mesir dari Fakulti Usuluddin, dan antara guru-gurunya ialah: Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti'i, Syeikh Yusuf al-Dijwi, Syeikh Ibrahim al-Samaluti dan lain-lain. Beliau pernah ditangkap serta dipenjara dan mengatur gerakan jihad terhadap penjajah sehingga tahun 1948 akibat terkena tembakan yang menyebabkannya terpaksa mendapat rawatan lama.
Beliau banyak menziarahi negara-negara Islam sambil menerangkan tentang bahaya Zionisme dan propaganda penjajah.


Syeikh Muhammad Namr pernah mengajar di Fakulti Syariah dan Kesusasteraan di Baghdad, Iraq, Institut Pengajian dan Penyelidikan Tinggi di Tunisia dan Universiti Islam Libya serta Universiti Islam Madinah al-Munawwarah. Setelah bersara beliau membuka tempat tinggalnya kepada para penuntut ilmu dan para ilmuwan yang dahagakan ilmu pengetahuan yang datang dari pelbagai tempat di dunia Islam.
Antara karya-karyanya ialah:

1- من هدي القرآن

2- أحداث النكبة

3- من أثر النكبة

4- الإيمان طريقنا إلى النصر

5- المدخل لدارسة النطق

6- حقيقة اليهود والمطامع الصهيونية

7- فلسفة الحج

8- مرشد الدعاة

9- الإسلام دين هداية

10- أبحاث تمهيدية في العقيدة الإسلامية

11- من نور الإسلام

12- موقف الدين من العلم.وتحت الطبع

13- فلسفة العبادة في الإسلام

14- شهور في المغرب الأقصى

15- قبس من نور الإسلام

16- محاضرات إسلامية

17- من علوم القرآن

18- أحسن الحديث

19- دراسات في الفلسفة الإسلامية

20- شخصيات عرفتها

21- الفلسفة الإسلامية من مصادرها الأصلية

22- فتاوي إسلامية

23- تاريخ الفقه الإسلامي

24- أسئلة وأجوبتها

25- مقدمات في الفلسفة

26- النصرانية في القرآن وكما فهمها المفسرون

27- أيام في الباكستان

28- ابن عرفه عالم المغرب

29- عام في تونس وليبيا.


Rujukan: Rabitah Ulama Syria dan Muntada al-Hiwar al-Islami.

-----------------------

Manakala Syeikh Muhsin pula, meninggal dunia dalam usia 120 tahun! pada hari Arafah lalu (hari Isnin). Beliau dilahirkan pada tahun 1308H, dan pernah bertemu dengan Imam al-Mahdi bin al-Sanusi (w. 1320H) ketika berumur 5 tahun. Bapanya, Sayyid Ruwayfi’ adalah salah seorang mujahidin bersama Imam Sayyid Ahmad al-Syarif al-Sanusi.


Beliau pernah belajar dan menerima ijazah daripada Imam Sayyid Ahmad bin ’Abdul Qadir al-Rifi (w. 1329H), murid Imam Mujahid Sayyid Muhammad bin ’Ali al-Sanusi (w. 1276H) ketika berusia 15 tahun lebih kurang, serta mengambil Tariqat Sanusiyyah dari Imam Sayyid Ahmad al-Syarif al-Sanusi (w. 1351H) (lihat biografinya).

رضي الله تعالى عنهم

Rujukan: Rawdh al-Rayyahin.

Sunday, November 14, 2010

Syeikh 'Abd al-Rahman Muhammad al-Jilali رحمه الله

عبد الرحمن الجيلالي

Beliau adalah seorang tokoh ulama Algeria yang diberikan oleh Allah Taala umur panjang, di mana beliau telah meninggal dunia pada malam Jumaat lalu (11/11/2010) dalam usia kira-kira 103 tahun.

Beliau adalah seorang pakar dalam bidang Fiqh Maliki dan sejarah Islam, dan pernah meraih Anugerah Besar Kesusasteraan Algeria pada tahun 1960. Dilahirkan pada tahun 1908 dan mendapat pendidikan di tangan ulama-ulama zamannya seperti 'Abd al-Hamid bin Samaya, al-Zuraybi al-Azhari, al-Hafnawi dan lain-lain. Beliau telah menghafaz al-Quran sebelum usia 14 tahun.

Antara sumbangan-sumbangan besarnya ialah menghimpunkan sejarah Algeria secara lengkap yang diberi judul "Tarikh al-Jaza'ir", selain mengarang kitab-kitab lain dalam bidang usuluddin dan fiqh Islam. Beliau juga menerima Anugerah Doktor Kehormatan daripada Universiti Algeria pada tahun 2003.

Rujukan:

Algeria Press Service.

Rawdh al-Rayyahin.

Saturday, November 13, 2010

Ijazah Ratib Imam al-Haddad (2)

Dalam ijazah sanad Ratib Imam al-Haddad dan karya-karyanya dalam entri yang lepas hanya mengandungi 3 orang perantara sahaja yang menjadikannya dapat dianggap sebagai sebuah sanad tinggi (isnad 'ali).

Ini berbeza sama sekali dengan ijazah sanad yang diberikan oleh Syeikhuna al-Habib Muhsen bin Hamed al-Haddad (حفظه الله) semasa Majlis Haul Imam al-Haddad pada tahun lalu di Masjid al-Bukhari, Kuala Lumpur pada 7hb. Zulqaedah 1430H bersamaan 25hb. Oktober 2009, di mana ianya mengandungi 8 orang perantara yang menjadikannya dapat dianggap sebagai sebuah sanad rendah (isnad nazil).

Bagaimanapun, ianya mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak ada pada sanad lain kerana sanad tersebut adalah riwayat secara berantai dengan keturunan Imam al-Haddad (musalsal bi al-aba'). Demikian adalah rantaian sanad berkenaan:


* Ratib al-Haddad & Terjemahannya di al-hawi.net.

Wednesday, November 10, 2010

Lafaz Ijazah Ratib al-Haddad Oleh Syeikhuna al-Habib 'Umar


Saya cuba menulis semula lafaz ijazah Ratib Imam al-Haddad dan karya-karyanya oleh Syeikhuna al-Habib 'Umar (حفظه الله) ketika di Masjid Negeri, Shah Alam tempoh hari. Mohon daripada para ustaz, para mu'allim membetulkan kesalahannya jika ada, kerana al-faqir ini bukanlah seorang yang begitu mahir. JazakumuLlahu khayra...

Ijazah ini mungkin menghairankan sebahagian para hadirin yang barangkali baru pertama kali mendengarnya, kerana antara Syeikhuna al-Habib 'Umar (kini 1431H) dengan Imam al-Haddad (w. 1132H) hanya berselang dengan 3 orang sahaja. Sahabat kami, Ustaz Fauzi 'Abdul 'Aziz al-Yamani juga tidak pernah mendengarnya sedangkan beliau telah sekian lama mendampingi Syeikhuna. Tiga tokoh perantara tersebut yang dinyatakan oleh beliau ialah:

1- al-Habib 'Umar bin 'Alawi al-Kaf (Lihat biografi beliau).
2- al-Mu'allim 'Umar bin 'Abdullah Ba-Gharib.
3- al-Imam Hamid bin 'Umar Hamid.

Demikian lafaz ijazahnya:


* Lihat sebahagian petikan ceramah Syeikhuna al-Habib 'Umar di blog Bahrus Shofa, dan lafaz ijazah berkenaan.

* Terima kasih kepada Ustaz Abu Zahrah yang sudi berkongsi info dan memperbetulkan sedikit kesalahan di atas. جزاه الله خيرا

* Download Ratib al-Haddad (Full Arabic) dan Terjemahan.

Tuesday, November 9, 2010

Dr. Muhammad 'Abduh Yamani

رحمه الله تعالى رحمة واسعة

Beliau meninggal dunia semalam, 8hb. November 2010 di Makkah al-Mukarramah akibat sakit jantung.

Beliau dilahirkan di Makkah pada tahun 1940 (1359H). Beliau mula belajar dan menimba ilmu di al-Haram al-Makki serta di Madrasah al-Falah hingga tamat tahun 1383H.

Beliau adalah pakar dalam bidang geologi, di mana beliau memperoleh sarjana mudanya dalam bidang tersebut dari Universiti Riyadh pada tahun 1387H, manakala master dan Ph.D.nya (tahun 1390H) dari Universiti Cornail, di US dalam bidang yang sama. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Penerangan Arab Saudi antara tahun (1395-1403H).

Dr. Muhammad 'Abduh telah mengarang lebih 35 buah karya dalam bidang agama, sains dan lain-lain. Antara karyanya ialah:

علّموا أولادكم محبة رسول الله

علّموا أولادكم محبة آل بيت رسول الله

إنها فاطمة الزهراء

امرأة في قلب المصطفى السيدة خديجة الكبرى

لماذا لم يعبد رسول الله

كتاب عن نجاة الوالدين الكريمين

غزوة بدر الكبرى (وهو دراسة ميدانية جلوجية تاريخية تحليلية شاملة)

الأطباق الطائرة حقيقة أم خيال

السيدة عائشة

Lihat antara yang menarik dalam senarai bukunya ialah mengenai keselamatan ibu bapa Nabi SAW di akhirat kelak. Ada juga bukunya yang telah diterjemah ke bahasa Melayu, iaitu buku 'Allimu Awladakum Mahabbah Rasulillah SAW oleh Syed Abdul Ilah Ahmad al-Jufri.


---------------------
Rujukan:
Rawdh al-Rayyahin.


Monday, November 8, 2010

Syeikh Ahmad 'Umar al-Hujaynah al-Mujbiri

Usia 41 tahun barangkali satu tempoh usia yang dianggap muda, bagaimanapun itulah takdir Allah SWT, apabila tiba saatnya pasti ajal datang menjemput. Namun, alangkah bahagianya bila maut menjemput ketika dalam keadaan bersujud kepada Ilahi. Demikian yang berlaku kepada Syeikh Ahmad 'Umar, yang meninggal dunia akibat serangan jantung secara mengejut ketika bersolat di Masjid al-Haram, Makkah al-Mukarramah pada hari Selasa 2hb. November 2010 yang lalu. Syeikh Ahmad 'Umar merupakan pengiring jemaah haji Libya bagi tahun ini.

Beliau adalah salah seorang dari barisan ulama muda Libya pada masa ini, yang merupakan lepasan Institut Syeikh Ahmad Kuftaro, Syria. Beliau dilahirkan pada tahun 1969 di Benghazi, Libya. Syeikh Ahmad 'Umar memegang 2 degree iaitu dalam bidang akauntan (Universiti Qariyunus, 1992) dan bidang pengajian Islam (Universiti Islam Umm Durman, caw. Dimasyq, di Institut Syeikh Ahmad Kuftaro, 1998). Beliau juga memperoleh ijazah master dengan darjat cemerlang dalam bidang fiqh perbandingan di institut berkenaan tahun 2003.

Antara guru-gurunya ialah Syeikh Dr. Ahmad Amin Kuftaro, Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, Dr. Wahbah al-Zuhayli, Dr. Muhammad al-Zuhayli, Dr. Mustafa Sa'id al-Khin, Syeikh Usamah 'Abd al-Karim al-Rifa'i, Muhammad al-Murabit al-Mawritani dan lain-lain. Beliau juga menerima ijazah sanad dari al-Muhaddith Habib Allah al-Mazahiri, al-Muhaddith Muhammad 'Aqil, menantu Syeikh Muhammad Zakaria al-Kandihlawi, Syeikh Salman al-Nadwi al-Hasani, Dr. Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki dan lain-lain.

Beliau juga sempat mengarang beberapa karya antaranya:

«السلسلة الذهبية في مصادر السادة المالكية»،

و«الصيام فوائد وأسرار»،

و«الجمع بين الصلاتين في الفقه الإسلامي»،

و«أهم مشاكل الداعية في العصر الحديث»،

و«سدّ الذرائع في الشريعة الإسلامية»،

و«المسجد بين ما يريده الإسلام وبين واقعه المعاصر»،

و«مصطلحات وألقاب المذهب المالكي».

رحمه الله رحمة واسعة.

Rujukan:

Majma' Syeikh Ahmad Kuftaro.

Sunday, November 7, 2010

Buku Baru Metodologi Ahli Hadith

Penyusun:

Dr. Faisal bin Ahmad Shah
Mohd. Khafidz bin Soroni
Rosni binti Wazir

Harga: RM25


240 Halaman

Buku 'Manahij al-Muhaddithin: Metode dan Pendekatan Sarjana Hadith' membincangkan mengenai kategori dan jenis karya-karya hadith beserta metode yang diaplikasikan oleh sarjana hadith. Buku yang membahaskan 21 kategori karya hadith dengan kupasan metode kepada 40 buah karya hadith dianggap paling lengkap dan komprehensif pernah dihasilkan dalam bahasa melayu. Bab pertama buku ini membincangkan mengenai fungsi dan kedudukan hadith dalam Islam. Termasuk di bawah perbahasan bab ini juga ialah isu-isu berkaitan penolakan hadith pada masa kini.

Dalam bab kedua penulis membincangkan mengenai pengkaryaan hadith pada abad pertama dan kedua hijrah. Antara subtopik yang dibincangkan ialah keharusan penulisan hadith pada zaman Rasulullah dan kontroversi yang timbul mengenai hadith-hadith suruhan dan larangan. Turut dibincangkan ialah mengenai sahifah-sahifah yang ditulis oleh para sahabat dan dua kitab pertama yang dihasilkan pada kurun kedua iaitu Muwatta Malik dan Musnad al-Shafie. Kupasan mengenai Kutub al-Sittah pula dibincangkan melalui bab ketiga.

Manakala dalam bab keempat dan kelima pula sebanyak 20 jenis karya hadith dibincangkan antaranya al-Mustadrak, al-Mustakharjat, Gharib al-Hadith, Mustalah al-Hadith, al-Ma'ajim, Mukhtalif dan Musykil al-Hadith, Sharah al-Hadith, al-'Ilal, al-Mawdu'at dan sebagainya. Setiap karya yang dikenalkan dalam buku ini diulas secara komprehensif merangkumi biodata penulis, kandungan dan metode penulisan kitab.

Petikan dari: Imtiyaz Group.

Friday, November 5, 2010

Karya Rohani Imam Syah Waliyullah al-Dihlawi رحمه الله

Antara karya 'pelik' Imam Syah Waliyullah al-Dihlawi (w. 1176H) ialah kitab al-Durr al-Thamin fi Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW. Kitab ini mengandungi 40 buah 'hadith' yang diterima secara mimpi dan rohaniah oleh Imam Syah Waliyullah, bapanya dan juga lain-lain tokoh sufi seperti Syeikh Ahmad al-Nakhli, Syeikh Ahmad al-Qalqasyandi, Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan al-Syeikh al-Akbar Ibn 'Arabi yang disebut oleh beliau sebagai 'Ustaz al-Tahqiq'. Di antara ulama yang meriwayatkan kitab ini ialah Syaikhul Hadith Mawlana Syeikh Muhammad Zakaria al-Kandihlawi, tokoh hadith besar India dan salah seorang syeikh Tariqat Chistiyyah.

Imam Syah Waliyullah adalah antara tokoh ulama penting yang memainkan peranan dalam menghimpunkan antara ilmu syariat dan hakikat, serta hadith dan tasawuf dalam abad ke 12 Hijrah. Kehebatan ilmu hadithnya sama dengan kehebatan ilmu tasawufnya. Bahkan ramai ulama pada abad-abad ke 12, 13 dan 14 Hijrah yang berciri sedemikian rupa. Namun oleh kerana kesan pengaliran pemikiran ahli hadith moden (salafiyyah-athariyyah-wahhabiyyah) yang jumud dan rigid pada masa sekarang, maka mulalah kedengaran kini mereka yang merasa hairan dan pelik terhadap orang yang menggabungkan disiplin hadith dan tasawuf!.. Seolah-olah bagi mereka ahli hadith tidak sewajarnya mendekati ilmu tasawuf.

Supaya kita dapat meneliti sejauhmana ketinggian rohani Imam Syah Waliyullah dibawakan di bawah sebahagian dari petikan 'hadith-hadith' kitab tersebut.

Terjemahan: "Hadith keenam: Nabi SAW mengisyaratkan secara isyarat rohani yang ditujukan kepada si-faqir ini (Imam Syah Waliyullah) bahawa kehendak al-Haq (Allah) pada kamu ialah Allah Ta'ala akan menghimpunkan satu persatuan dari persatuan umat Islam yang dirahmati dengan sebab kamu".

Terjemahan: "Hadith kesepuluh: Daku bertanya Nabi SAW tentang mazhab-mazhab (fiqh) ini dan tariqat-taqiat (sufi) ini, manakah satu yang lebih utama di sisinya untuk dipegang dan disukai. Lalu melimpah ke atas hatiku dari baginda bahawa semua mazhab dan tariqat itu adalah sama, tiada lebih bagi salah satunya ke atas yang lain".
Terjemahan:
Hadith ke-14: "Bapaku mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau melihat Nabi SAW di dalam mimpi lalu baginda membai'ahnya dan mentalqinkannya zikir nafi dan ithbat (La ilaha illa Allah) sebagaimana menurut tariqat orang-orang sufi. Lalu beliau membai'ah daku sebagaimana Nabi SAW membai'ahnya, dan beliau mentalqinkan daku sebagaimana Nabi SAW mentalqinkannya".

Hadith ke-15: "Bapaku mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau pernah sakit, lalu beliau melihat Nabi SAW di dalam mimpi dan baginda bertanya: Bagaimana keadaan kamu hai anakku? Kemudian baginda memberinya khabar akan sembuh, dan memberinya dua helai rambut dari rambut janggutnya. Lalu beliaupun sembuh dari sakit serta merta, dan didapati di sisinya dua helai rambut berkenaan semasa jaga. Lalu beliau pun memberi kepadaku salah satunya, dan ia ada tersimpan di sisiku".

Hadith ke-16: "Bapaku memerintahkan daku dengan (mengamalkan) lafaz selawat ke atas Nabi SAW ini, iaitu: Allahumma Salli 'ala Muhammad al-Nabi al-Ummi wa Alihi wa Barik wa Sallim. Kata beliau: Daku membacanya di dalam mimpi kepada Nabi SAW dan baginda pun memujinya baik".

Terjemahan: "Bapaku mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau telah melihat di dalam mimpi Sayyidina Zakaria AS, lalu baginda mentalqinkannya zikir dengan nama Zat (ALLAH) yang sama seperti menurut Tariqat Naqsyabandiyyah, dan beliau pun mentalqinkannya kepadaku sebagaimana baginda mentalqinkannya".

Wallahu a'lam.

------------------

Lihat juga ulasan Ustaz Abu Muhammad berkaitan mimpi di Bahrus Shofa.