Pages

Friday, December 31, 2010

Tuesday, December 28, 2010

Risalah Ibn Fairuz (w. 1216H) Yang Sezaman Ibn 'Abd al-Wahhab (w. 1206H) Dengan Ijazah Pentahkik (2)

Pentahkik risalah Ibn Fairuz, Syeikh al-Azhari al-Maliki al-Asy'ari (demikian gelaran-gelarannya tanpa nama), moderator Muntadayat Rawdh al-Rayyahin dan Muntada al-Azhariyyin, telah meriwayatkan risalah tersebut dari gurunya, Syeikh 'Abd al-Ra'uf al-Dimasyqi. Sanad tersebut dicatatkan di bahagian mukadimah risalah.


Syeikh al-Azhari telah berkenan untuk mengijazahkan sanad risalah tersebut khusus kepada ahli-ahli laman forum al-Azhariyyin . Maka sesiapa yang ingin meriwayatkan sanad risalah di atas hendaklah menjadi ahli laman forum berkenaan. Demikian lafaz ijazahnya:


Linknya telah dipautkan pada entri lepas.

Monday, December 27, 2010

Risalah Ibn Fairuz (w. 1216H) Yang Sezaman Ibn 'Abd al-Wahhab (w. 1206H) Untuk Dimuat-Turun!!


Pentahkik risalah al-Radd ‘ala man Kaffara Ahl al-Riyadh wa Ghairahum min al-Muslimin oleh Syeikh Muhammad Ibn Fairuz al-Hanbali (الرد على من كفر أهل الرياض وغيرهم من المسلمين لشيخ الإسلام محمد ابن فيروز الحنبلي), Syeikh al-Azhari berkata (terjemahannya):

Ketika kami masih muda, kami membaca buku-buku Ibn ‘Abd al-Wahhab seperti kitab al-Tawhid dan juga Kasyf al-Syubuhat. Dan kami menyangka bahawa yang beliau maksudkan dengan orang-orang kafir dan orang-orang musyrik itu ialah orang-orang kafir Quraisy dan yang seumpama mereka. Kemudian selepas itu, baru kami tahu bahawa yang beliau maksudkan ialah orang-orang Islam di zamannya, terutama para ulama dari kalangan mereka!

Kitab-kitab beliau membayangkan kepada orang yang tidak membelek sejarah bahawa patung dan berhala telah kembali semula ke Tanah Arab! dan bahawa undang-undang Islam telah terhapus di masanya! Tetapi para ulama yang membantahnya telah menerangkan penjelasan yang sebalik dari itu, dan mereka membuktikan situasi yang bertentangan dengan kata-katanya. Di antara ulama termasyhur yang membantahnya ialah Syeikh al-’Allamah Ibnu Fairuz al-Hanbali.

Beliau adalah ulama paling masyhur yang berani bersemuka dengan golongan Wahhabi serta menyanggah mereka. Mekipun Ibnu Fairuz masyhur diketahui mengkritik golongan Wahhabi, namun kritikan-kritikannya itu tidak banyak ditemukan. Tampaknya seolah-olah manuskrip-manuskrip tanggapannya itu telah dihapuskankan di Najd dan juga Al-Ahsa’, namun kami masih berfikir bahawa sebahagian kritikan-kritikan tersebut masih ada di sebahagian perpustakaan-perpustakaan persendirian.

Risalah ini adalah antara risalah-risalah yang kami akan suakan buat para pelajar ilmu, yang muncul buat pertama kalinya berdasarkan pengetahuan saya yang cetek. Saya tidak tahu setakat ini bahawa risalah Ibn Fairuz ini pernah dicetak sebelum ini, kecuali sebuah nazam yang bernama; al-Risalah al-Mardhiyyah fi al-Radd ’ala al-Wahhabiyyah, yang di awalnya menyebut: (سلام فراق لا سلام تحية). Tetapi risalah yang disajikan kepada anda ini sekarang adalah dalam bentuk karangan dan bukannya nazam.

Menurut pendapat peribadi saya, bahawa Ibn Fairuz telah berjaya dalam risalah ini dengan begitu sukses sekali dalam menerangkan kesalahan yang dilakukan oleh golongan Wahhabi terhadap hak orang-orang Muslim dari kalangan penduduk Riyadh dan lain-lainnya. Kejayaan ini dilihat dari sudut kesantaian Ibn Fairuz dalam memudahkan ungkapan dalam penulisannya ini, sehingga risalahnya itu menjadi dekat kepada masyarakat biasa, sebagaimana ia juga dekat dengan khalayak akademik. Dan beliau telah memuatkannya dengan bukti-bukti. Antara keistimewaan risalah ini ialah ia berbeza dalam memberi keterangan tentang situasi penduduk Riyadh di zamannya, di mana penjelasan tersebut tidak akan dapat anda lihat dalam mana-mana kitab lain.

Ibnu Fairuz telah menjelaskan, bahawa situasi mereka sebenarnya tidak sebagaimana yang digambarkan oleh golongan Wahhabi. Risalah ini adalah sebuah karya sejarah nadir yang wajar diambil manfaat oleh para sejarawan Najd masa kini bagi menghapuskan imej hitam yang dilakarkan oleh golongan Wahhabi terhadap kota Riyadh dan kawasan sekitarnya.

Kita juga dapat perhatikan, bahawa Ibn Fairuz berbicara dalam risalahnya ini mengenai perkara-perkara asas agama seumpama abjad a b c, seolah-olah seperti beliau mengajar seorang anak kecil atau seseorang yang jahil akan prinsip-prinsip asas ilmu pengetahuan agama, dan perlahan-lahan membawanya kepada kebenaran dan cahaya. Ibn Fairuz tidak memberatkan risalahnya dengan perbahasan-perbahsan ilmiah yang halus berkaitan kubur, tawassul dan juga istighasah.

Beliau juga tidak membuang masa dengan kata-kata yang sulit berbelit, tetapi mengambil jalan dan lorong yang jelas terang dalam menjelaskan keburukan yang dilakukan oleh golongan Wahhabi. Dalam pendahuluan kami bagi risalah ini mengandungi lebih penjelasan lagi, insya’ Allah. Berikut adalah risalah Ibn Fairuz berkenaan untuk dimuat turun:


http://www.4shared.com/document/b4HC..._________.html


Rujukan asal: al-Azhariyyin.

Friday, December 24, 2010

Selawat Syifa’: Kekeliruan Berterusan Kesan Kedangkalan Akal

Seorang sahabat bertemu saya dan berkata, "Di Klang sekarang ada ustaz yang sibuk mengempen selawat syifa’ itu syirik. Ramai orang jadi keliru dan jadi isu...”.

Saya menggeleng hairan, masih ada orang yang gemar membawa isu sebegini. Maksudnya isu yang sudah sedia maklum bahawa ia boleh mengelirukan malah memecahkan masyarakat serta hukumnya pula bukan hukum yang disepakati ulama, tapi masih terus dicanangkan. Bahkan sesetengahnya tidak tahu mendalam pun akan hujung pangkal, dan atas bawah tentang kedudukan apa yang keluar dari mulutnya. Kalau ulama yang diikutinya berkata: ”Mengandungi unsur syirik”, maka kita akan lihat pengikutnya terus langsung berkata menurut faham akalnya: ”Syirik”, tanpa berlapik lagi. Sedangkan perkara syirik adalah perkara amat besar yang boleh jatuh kepada kafir, maka tuduhan syirik kita itu samalah seperti kita mengkafirkan orang lain juga... wal ’iyazu biLlah.

Ini baru selawat syifa’ yang dihukum syirik, yang sebenarnya fatwa tersebut sudahpun keluar dahulu di Arab Saudi, dan mereka ini cuma pak turut sahaja. Belum lagi selawat Dala’il al-Khairat, Qasidah Burdah, Barzanji dan lain-lain yang sudahpun dihukum mengandung syirik oleh ulama di sana. Tinggal tunggu sahaja kader-kadernya di sini. Walaupun sudah ada ditulis dalam laman-laman web dan blog-blog, cuma tiada digazetkan ...


Teks Selawat Syifa’

Terjemahan:

“Ya Allah, berilah selawat (rahmat) ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w., penyembuh hati-hati dan pengubatnya, dan penyejahtera badan dan penawarnya, dan juga cahaya penglihatan dan sinarnya, serta berilah juga selawat (rahmat) ke atas ahli keluarga dan sahabatnya, begitu juga barakah dan salam”.

Punca Kekeliruan

Pada 29 Januari 2007, setelah kononnya meneliti dan membahaskan secara teliti mengenai selawat syifa’, Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis sebulat suara membuat keputusan bahawa selawat syifa’ yang diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat telah didapati tidak bersumberkan daripada apa-apa sumber Islam yang muktabar iaitu nas-nas al-Quran atau as-Sunnah. Bahkan kandungan selawat ini amat mengelirukan dan bercanggah dengan prinsip-prinsip aqidah Islam kerana memberikan unsur-unsur ketuhanan kepada baginda ar-Rasul saw. Adapun andaian-andaian sesetengah pihak dalam membela maksud selawat tersebut tidak dapat diterima dari segi ilmiahnya. Asas pertimbangan pengeluaran fatwa ialah Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis di dalam membuat keputusan berkaitan Hukum Selawat Syifa’ telah menghalusi kertas kerja dari Dr. Azwira bin Abdul Aziz (Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia/ Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis) berjudul Menilai Salawat Syifa’.

Fatwa tersebut juga disiarkan dalam Buletin Jabatan Mufti Negeri Perlis, Suara al-Sunnah, Bil. 1 April 2007. Kemudian tersebar di banyak laman internet. Antara laman web yang menghukum syirik kepada selawat syifa :

1. http://soaljawab.wordpress.com - dipunyai oleh masri, muslimz87, atau blognya yang diperbaharui iaitu lobaitampin.blogspot

2. http://bahaya-syirik.blogspot.com - dipunyai oleh Nawawi Subandi (nama yang sedang naik) yang juga menulis blog bagi FIQH SUNNAH, ia meringkaskan artikel Menilai Salawat Syifa' tulisan Dr. Azwira Abdul Aziz.

3. http://al-fikrah.net .

4. Cuba tengok juga Rasul Dahri!!


Bantahan Para Pengamal


Oleh kerana masalah ini berkait rapat dengan amalan Darus Syifa’, maka untuk memperjelaskan tentang kekeliruan ini, pada hari Ahad 20 Mei 2007, Webmaster Darussyifa’ telah menyiarkan penjelasan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din yang telah menerangkan penjelasannya dengan panjang lebar.

Antara yang ditulis dalam entri tersebut dengan sedikit ringkasan (entri asal):

Akhir-akhir ini terdapat golongan tertentu yang mempertikaikan bacaan Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah. Mereka mengatakan bahawa mengamalkan selawat-selawat ini boleh membawa kepada syirik kerana membesarkan Nabi Muhammad s.a.w. lebih daripada Allah SWT. Untuk memperjelaskan tentang kekeliruan ini, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah menerangkan dengan panjang lebar (sila lihat rakamannya).


Dalam buku Doa & Rawatan Penyakit yang dikarang bersama oleh Y.Bhg Dato’ Dr. Haron Din dan Dr. Amran Kasimin menterjemahkan makna Selawat Syifa’ seperti berikut; “Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya”.


Dalam terjemahan makna ini ada sedikit timbul kekeliruan kerana menyebut “Muhammad s.a.w. yang menyembuhkan hati-hati”. Persoalannya siapa yang memberi kesembuhan. Dalam terjemahan ini jika dibaca secara langsung memang ada sedikit kekeliruan kerana seolah-olah Nabi Muhammad yang menyembuhkan hati-hati.


Dalam persoalan Selawat Syifa’ ini Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menjelaskan seperti berikut; di dalam kamus Bahasa Arab yang masyhur iaitu Kamus al-Munjid, perkataan “Tib” adalah bermaksud “’ilaj” iaitu di dalam bahasa Melayu bermakna “Ubat” atau “Penawar”. Ia bukan bermaksud “Syafi” iaitu menyembuhkan. Dengan itu kalau diterjemahkan: Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi penawar kepada hati-hati”.


‘Iktikad kita perlu diperbetulkan supaya tidak syirik kepada Allah SWT. Allah SWT sahaja yang boleh memberi kesembuhan. Kesembuhan hanya milik Allah SWT. Semoga Allah SWT sentiasa menjauhkan kita daripada syirik kepada-Nya.

Menolak Tuduhan Syirik

Mungkin menghairankan bila orang berkata, “air sejuk ini penawar dahaga”, “surat anaknya sebagai pengubat rindu”, ”ubat ini penawar penyakit saya” dan sebagainya, kita tidak kata ia telah berbuat syirik. Tapi bila kita kata, ”Nabi Muhammad saw sebagai pengubat hati-hati manusia”, ”Nabi Muhammad saw sebagai penawar penyakit rohani manusia”, terus dikatakan kita telah berbuat syirik!! Sedangkan air sejuk, surat, ubat dan lain-lain itu semua adalah makhluk belaka, namun kita benarkan ungkapan penawar dan pengubat. Tetapi Nabi Muhammad saw yang merupakan sebaik-baik makhluk secara mutlak menurut iktikad Ahlus Sunah Wal Jamaah pula kita larang ungkapan tersebut. Padahal kita semua tahu ianya diungkap secara majazi.

Maka, bagaimana kita benarkan makhluk-makhluk yang bertaraf rendah itu lebih mulia dan lebih baik dari makhluk yang paling tinggi tarafnya di sisi Allah SWT secara mutlak?! Maksud makhluk (yang dicipta) di sini ialah apa sahaja yang selain Khaliq (Pencipta iaitu Allah SWT) dan Nabi Muhammad saw adalah makhluk yang paling afdhal secara mutlak menurut iktikad kita Ahlus Sunah Wal Jamaah.

Mari kita lihat makhluk-makhluk lain yang dinyatakan sendiri oleh Nabi SAW sebagai penawar atau pengubat. Dan fikirkan adakah semuanya itu yang merupakan makhluk terlebih afdhalnya sebagai penawar dan pengubat (khususnya rohani) berbanding Nabi saw, tuan penghulu seluruh makhluk, ketua semua manusia, pemberi syafaat, penghilang duka sengsara dan penyelamat mereka dari neraka Allah.

Di antara hadith-hadith tersebut ialah tentang;

1. Susu lembu

رَوَى الْحَاكِمُ فِي الْمُسْتَدْرَكِ (7423) عَنْ عَبْدِ الله بن مسعود ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم قَالَ : مَا أَنْزَلَ الله مِنْ دَاءٍ إِلاَّ وَقَدْ أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً ، وَفِي أَلْبَانِ الْبَقَرِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ.

وَقَالَ : صَحِيحٌ عَلَى شَرْطِ مُسْلِمٍ ، وَلَمْ يُخْرِجَاهُ. ووافقه الذهبي. وفي رواية له (8224): عليكم بألبان البقر فإنها ترم من كل شجرة و هو شفاء من كل داء. "ترم" : أى تجمع وتأكل . وقال: هذا حديث صحيح الإسناد و لم يخرجاه، قال الذهبي قي التلخيص : صحيح.

2. Sana (sejenis tumbuhan) dan sanut (madu dalam geriba, atau jintan putih)

أخرج الحاكم (7442) عن إبراهيم بن أبي عبلة قال : سمعت أبا أبي ابن أم حزام وكان قد صلى مع رسول الله صلى الله عليه و سلم الصلاتين يقول : سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول : عليكم بالسنا والسنوت فإن فيهما شفاء من كل داء إلا السام قيل : يا رسول الله وما السام ؟ قال : الموت.

قال: هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه. قال الذهبي قي التلخيص : عمرو بن بكر اتهمه ابن حبان. "السنا" : هو نبت يتداوى به له إذا يبس زَجَل . "السَّنُّوت" : قيل هو العسل ، وقيل الرُّبُّ ، وقيل الكمُّون.

وأخرجه ابن ماجه (2/1144 ، رقم 3457) قال البوصيرى (4/58) : إسناده ضعيف. والحاكم (4/224 ، رقم 7442) وقال : صحيح الإسناد . وابن عساكر (27/75) . وابن منده ، والطبرانى ، والحاكم ، وابن السنى ، وأبو نعيم فى الطب ، والبيهقى ، عن أبى عبد الله ابن أم حرام قال ابن منده : غريب. وأخرجه أيضًا : الديلمى (3/26 ، رقم 4053) . وله شاهد عن أنس: ثلاث فيهن شفاء من كل داء إلا السام السنا والسنوت. قال محمد ونسيت الثالثة. أخرجه النسائى فى الكبرى (4/373 ، رقم 7577) ، والضياء (6/237 ، رقم 2255)، وسمويه.

3. Bekam

أخرج الحاكم (7475) وأبو داود (3363) عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من احتجم لسبع عشرة من الشهر كان له شفاء من كل داء.

قال الحاكم: هذا حديث صحيح على شرط مسلم ولم يخرجاه، ووافقه الذهبي.

4. Talbin (sejenis cairan tepung, sup)

أخرج الْحَارِثُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي أُسَامَةَ : عَنْ إِسْحَاقَ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم أَنَّهُ قَالَ: فِي التَّلْبِينِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ.

كذا في إتحاف الخيرة المهرة بزوائد المسانيد العشرة للحافظ أحمد بن أبي بكر بن إسماعيل البوصيري، رقم 3882. والتَّلْبِينَةُ : حِسَاءٌ مِنْ دَقِيقٍ ، أَوْ نُخَالَةٍ يُشْبِهُ اللَّبَنَ فِي رِقَّتِهِ.

5. Habbah al-Sawda’, atau Syuniz

عن أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، أَنَّه سَمِعَ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم، يَقُولُ: فِي الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلاَّ السَّامَ.

أخرجه البخاري ومسلم. وفي رواية: الشُّونِيزُ دَوَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلاَّ السَّامَ وهو الموت. (أخرجه ابن السنى فى الطب ، وعبد الغنى فى الإيضاح عن بريدة والترمذى عَنْ أَبى هُرَيْرَةَ موقوفا ، 4/402 رقم 2070) الشُّونِيزُ: أى الحبة السوداء ، وهى حبة البركة .

6. Biji sawi

حديث: عليكم بالثُفَاء فإن الله جعل فيه شفاء من كل داء (رواه ابن السنى ، وأبو نعيم عن أبى هريرة). "الثفاء" : هو حب الخردل وهو نبات عشبى صريف .

7. Air zam-zam

عن صفية قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم : ماء زمزم شفاء من كل داء. أخرجه الديلمى (4/152 ، رقم 6471) . ويشهد له حديث: ماء زمزم لما شرب له.

رواه أخرجه أحمد (3/357 ، رقم 14892) ، وابن ماجه (2/1018 رقم 3062) قال البوصيرى (3/209) : هذا إسناد ضعيف لضعف عبد الله بن المؤمل . والحكيم (2/222) ، وسمويه ، والبيهقى (5/148 ، رقم 9442) عن جابر. وأخرجه البيهقى فى شعب الإيمان (3/481 ، رقم 4127)عن ابن عمرو.

8. Kam’ah (sejenis cendawan)

رَوَاهُ أَبُو يَعْلَى الْمَوْصِلِيُّ : عَنِ ابْنِ بُرَيْدَةَ ، عَنْ أَبِيهِ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم : الْعَجْوَةُ مِنْ فَاكِهَةِ الْجَنَّةِ ، وَالْكَمْأَةُ دَوَاءٌ لِلْعَيْنِ وَالشُّونِيزُ دَوَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلاَّ الْمَوْتَ. وله شواهد تقويه.

9. Tamar ‘Ajwah

أخرج الترمذي (1992) عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْعَجْوَةُ مِنْ الْجَنَّةِ وَفِيهَا شِفَاءٌ مِنْ السُّمِّ وَالْكَمْأَةُ مِنْ الْمَنِّ وَمَاؤُهَا شِفَاءٌ لِلْعَيْنِ.

قَالَ: وَفِي الْبَاب عَنْ سَعِيدِ بْنِ زَيْدٍ وَأَبِي سَعِيدٍ وَجَابِرٍ وَهَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ وَهُوَ مِنْ حَدِيثِ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرٍو وَلَا نَعْرِفُهُ إِلَّا مِنْ حَدِيثِ سَعِيدِ بْنِ عَامِرٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرٍو. وأخرجه النسائي في الكبرى (6716) عَنْ أَبِي سَعِيد وَجَابِر بن عبد الله عَنْ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال " الْعَجْوَة مِنْ الْجَنَّة , وَهِيَ شِفَاء مِنْ السُّمّ.

10. Sedekah

حديث رسول الله - صلى الله عليه وسلم -: (داووا مرضاكم بالصدقة).

وهو حسن. وفي كشف الخفاء ومزيل الالباس عما اشتهر من الاحاديث على ألسنة الناس للعجلوني، إسماعيل بن محمد الجراحي، 1148: (حصنوا أمولكم بالزكاة ، وداووا مرضاكم بالصدقة ، وأعدوا للبلاء الدعاء) قال ابن الغرس: ضعيف، لكن ورد له شواهد ، وقال في المقاصد: رواه الطبراني وأبو نعيم والعسكري والقضاعي عن ابن مسعود مرفوعا اهـ، قلت: وزاد البيهقي في الشعب عن أبي أمامة ، والطبراني وأبو الشيخ عن سمرة بن جندب، والديلمي عن ابن عمر، وله عن أنس مرفوعا: ما عولج مريض بدواء أفضل من الصدقة.

11. Madu Lebah

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ابن مسعود رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-: «عَلَيْكُمْ بِالشِّفَائَيْنِ الْعَسَلِ وَالْقُرْآنِ ».

أخرجه ابن ماجه (2/1142 ، رقم 3452) ، قال ابن كثير فى تفسيره (2/577) : هذا إسناد جيد . وقال البوصيرى (4/55) : هذا إسناد صحيح رجاله ثقات . والحاكم (4/222) وقال: 8225 - هذا حديث صحيح على شرط الشيخين ولم يخرجاه ووافقه الذهبي، 7435 - هذا إسناد صحيح على شرط الشيخين ولم يخرجاه ووافقه الذهبي. وأيده قوله تعالى: يَخْرُجُ مِنْ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ. [النحل:69]

Pada hemat saya, sekiranya makhluk-makhluk tersebut sebagai syifa’, maka makhluk yang paling terbaik sebagai syifa’ ialah Junjungan Nabi Besar Muhammad SAW. Adapun al-Quran, ianya juga syifa’, namun ia adalah kalam Allah dan bukannya makhluk sebagaimana iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Jika kita lihat dalam selawat syifa’ tersebut, kalimah tibb digandingkan bersama kalimah dawa’, kalimah ’afiyah bersama kalimah syifa’ dan kalimah nur bersama kalimah dhiya’. Jika kalimah dawa’ dan syifa’ sudah jelas sebagaimana menurut hadith-hadith di atas, maka kalimah tibb dan ’afiyah hanya dikiaskan sahaja kerana kedua-duanya saling bersambungan ('ataf).

Adapun Nabi SAW sebagai nur, maka ini diambil dari ayat al-Quran:

قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ (15)

Di mana sebahagian ahli tafsir mentafsirkan nur itu sebagai Nabi Muhammad SAW (lihat al-Alusi misalnya). Maka kalimah dhiya’ itu hanya dikiaskan sahaja kerana ianya saling bersambungan. Maka tiada masalah sebenarnya pada selawat yang penuh barakah ini.

Imam al-'Allamah al-Mufassir Syaikh Ahmad al-Sowi al-Khalwati (w. 1241H) dalam mensyarahkan makna selawat ini telah membuat kesimpulan antaranya:-

"Maknanya secara menyeluruh ialah bahawasanya Allah ta`ala menjadikan atas tangan baginda s.a.w. (sebab) untuk menolak kemudaratan yang zahir dan yang batin, yang berupa urusan akhirat maupun urusan dunia, sebagaimana telah dijalankan (dijadikan) atas tangan baginda (sebab bagi) berbagai manfaat. Inilah maknanya tashrif Allah bagi baginda di dunia dan di akhirat, atas batasan yang difirmankan Allah ta`ala pada hak Nabi 'Isa a.s.: "Dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinKu" (surah al-Maaidah:110), maka apa yang tsabit berlaku pada Sayyidina 'Isa a.s., maka ianya juga (harus terjadi atau dijadikan) bagi Junjungan Nabi s.a.w. dengan berlebih lagi."

- Petikan dari Bahrusshofa.

Konsep Sebab

Benda-benda yang disebutkan dalam hadith-hadith di atas itu semua adalah sebab. Demikian juga Nabi Muhammad SAW, baginda adalah sebab yang ditentukan oleh Allah SWT ke atas makhluk-Nya. Jika kita menyatakan perkara-perkara tersebut sebagai sebab, tetapi Nabi Muhammad SAW pula bukan sebagai sebab, maka rosaklah akidah kita. Bagaimana pula kita akan mendapatkan syafaat baginda di hari akhirat kelak? Jika kita katakan perkara-perkara tersebut sebagai sebab penyembuh, penawar dan pengubat namun yang memberi kesan ialah Allah SWT, maka begitulah juga iktikad kita dengan Nabi Muhammad SAW sebagai sebab penyembuh, penawar dan pengubat.

Justeru, Selawat Syifa’ ini sebenarnya adalah sejenis tawassul kepada Allah SWT bagi menunaikan hajat berkaitan. Bahkan seluruh pensyariatan selawat ke atas baginda Nabi SAW pada hakikatnya adalah juga sejenis tawassul kepada Allah SWT dengan diri baginda SAW yang diangkat darjatnya oleh Allah SWT tinggi di sisi-Nya.

Jika kita telah memulakan selawat tersebut dengan menyebut nama Allah, ”Ya Allah...”, (Allahumma...), maka bagaimana dapat masuk akal untuk menghukumkan selawat tersebut sebagai syirik??? Apakah kita memohon kepada Tuhan Penyembuh agar berselawat atau memberi rahmat kepada tuhan penyembuh seperti-Nya??? La hawla wala quwwata illa biLlah. Akal apa ini?? Saya yakin orang Islam paling jahil sekalipun tahu bahawa Nabi SAW itu bukan tuhan, tetapi adalah sebagai sebab, dan kekasih-Nya.

Amalan Para Ulama

Selawat ini telah diamalkan oleh ramai ulama tersohor, antaranya ialah al-’Allamah Sayyid Muhammad ’Alawi al-Maliki yang disajikan dalam buku wiridnya, Syawariq al-Anwar min Ad’iyah al-Sadah al-Akhyar, hlm. 95.

Selawat Syifa’ ini, selain amalan Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din, ia juga merupakan wirid Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan. Sila lihat visual ini;

- Lihat juga sini.

Secebis Renungan

Sebagai menutup bicara, selalu kita dengar kisah karamah diceritakan oleh orang dari orang lain. Tetapi di sini ada sebuah kisah yang sejenisnya, diceritakan dan dituliskan sendiri oleh tuannya di sebuah laman forum, Muntadayat Rawdh al-Rayyahin berhubung kait dengan perbincangan kita, iaitu Nabi SAW sebagai sebab penyembuh (jadi sanadnya kuat). Kata Syeikh ‘Abdullah Muhammad ‘Akur, salah seorang ahli ilmu yang soleh dari Jordan:

دخلت لغرفة العمليات الجراحية في مدينة الحسين الطبية في عمان لإجراء عملية، وليلة العملية قبل الدخول: رايت المصطفى صلى الله عليه وسلم في أجمل صورة، ما رأيت اجمل منه قط، أبيض مشربا بالحمرة، وعيناه تميلان الى الخضرة وبعد أن سلمت عليه ورد عليّ السلام توسلت به في الشفاء، فأجاب الطلب تكرما، ولما أجريت العملية وهي من عمليات الدرجة الأولى، (أي من أصعب العمليات) أفاد الدكتور بأن العملية كانت ميسرة جدا. وأنا الآن بحمد الله قد حصل لي الشفاء ببركة دعاء المصطفى صلى الله عليه وسلم،

"Saya pernah memasuki bilik bedah di Bandar Perubatan al-Husain (King Hussein Medical City) di Amman untuk menjalani proses pembedahan (sekitar September 2009), dan pada sebelah malamnya sebelum operasi pembedahan, saya telah (bermimpi) melihat Nabi saw dalam gambaran yang paling indah, saya tidak pernah sama sekali melihat orang yang paling indah lebih dari itu. Baginda berkulit putih kemerahan, dan kedua-dua matanya cenderung berwarna hijau, dan selepas saya memberi salam kepada baginda dan baginda menjawab salam itu, lalu saya pun bertawassul dengan baginda bagi memohon penyembuhan, dan baginda pun dengan murah hatinya menunaikan permintaan tersebut. Setelah operasi pembedahan berlangsung, yang merupakan salah satu operasi pembedahan peringkat pertama (yakni operasi pembedahan yang paling sukar), doktor terlibat melaporkan bahawa proses pembedahan tersebut berjalan dengan sangat mudah sekali. Dan saya sekarang, alhamduliLlah telahpun sembuh dengan berkat doa Nabi saw”.

WaLlahu a'lam.

Sunday, December 19, 2010

Mantan Mufti Jordan Kembali Ke RahmatuLlah..

Telah kembali ke rahmatullah pagi tadi, 19 Disember 2010, Samahatus Syeikh Nuh 'Ali Salman al-Qudah, mantan mufti Jordan, dalam usia sekitar 71 tahun. Beliau adalah kelahiran tahun 1939 di 'Ain Jina, Muhafazah 'Ajlun. Bapanya Syeikh 'Ali al-Qudah adalah faqih mazhab Syafi'i. Beliau menerima ijazah dari ramai ulama-ulama Syam, terutama Syeikh 'Ali al-Daqr. Antara guru-guru Syeikh Nuh al-Qudah yang lain ialah: Syeikh 'Abd al-Karim al-Rifa'i, Syeikh 'Abd al-Razzaq al-Himsi, Syeikh Mahmud al-Rankusi, Syeikh al-Murabbi Muhammad al-Hasyimi, dan lain-lain. Dari Syeikh Muhamad al-Hasyimi beliau mengambil Tariqat Syaziliyyah.

Beliau juga pernah belajar dengan ramai ulama-ulama Dimasyq di Fakulti Syariah, Dimasyq, seperti Syeikh Mustafa al-Zarqa, Dr. Wahbah al-Zuhayli, Syeikh 'Abd al-Rahman al-Sabuni, Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Fawzi FayduLlah dan lain-lain. Beliau bergraduan dari fakulti tersebut pada tahun 1965. Antara rakannya pada masa itu ialah al-Muhaddith Syeikh Muhammad 'Awwamah. Pada tahun 1972, beliau dilantik sebagai mufti Tentera.

Pada tahun 1977 beliau ke Kaherah, Mesir dan menimba ilmu dari ulama-ulamanya seperti Syeikh 'Abd al-Ghani 'Abd al-Khaliq, Syeikh Hasan al-Syazili dan juga Syeikhul Azhar pada masa itu Syeikh 'Abd al-Halim Mahmud. Beliau berjaya memperolehi ijazah masternya dari Universiti al-Azhar di bawah seliaan Syeikh Muhammad al-Anbabi dengan tajuk (قضاء العبادات والنيابة فيها) pada tahun 1980. Manakala ijazah kedoktorannya pula diperolehi dari Universiti Islam Muhammad bin Su'ud di Riyadh pada tahun 1986 dengan tajuk (إبراء الذمة من حقوق العباد).

Sepanjang tugasnya sebagai mufti, beliau telah mengeluarkan ribuan buah fatwa berkaitan agama dan juga manusia. Pada tahun 1996 beliau menjadi duta Kerajaan Jordan di Iran sehingga tahun 2001. Pada tahun 2004, beliau bertugas dalam bidang penfatwaan di Emirates dan juga sebagai penasihat Menteri Keadilan, Wakaf dan Hal-Ehwal Islam sehingga tahun 2007. Pada tahun tersebut beliau dilantik sebagai mufti am Kerajaan Jordan sehinggalah beliau bersara pada bulan Februari 2010 yang lalu.

Antara karya-karya beliau ialah;

* قضاء العبادات والنيابة فيها.

* إبراء الذمة من حقوق العباد.

* محاضرات في الثقافة الإسلامية.

* المختصر المفيد في شرح جوهرة التوحيد.

* شرح المنهاج في الفقه الشافعي.

* كيف تخاطب الناس.

* لم تغب شمسنا بعد.

* صفات المجاهدين.

* مولد الهادي صلى الله عليه وسلم.

Rujukan:

------------------------------

Petikan Khutbah Syeikh Nuh al-Qudah:


Sila lihat sini.

Dr. Hasan Diya' al-Din 'Itr رحمه الله


Dr. Hasan Diya' al-Din bin Muhammad bin Hasan 'Itr al-Halabi, kemudian al-Makki, juga al-Madani adalah adik-beradik kepada Syeikh Muhaddith Dr. Nur al-Din 'Itr. Beliau meninggal dunia semalam, Sabtu, 12 Muharram 1432H (18 Dec. 2011) di al-Madinah al-Munawwarah sebelum waktu zohor dalam usia kira-kira 70 tahun. Jenazahnya dikebumikan pagi tahun di Perkuburan Baqi'. Beliau menghidapi penyakit kanser sejak 2 tahun lalu.

Beliau juga adalah anak saudara kepada al-'Allamah al-Rabbani Syeikh 'Abdullah Siraj al-Din. Dr. Hasan adalah bekas graduan Fakulti Syariah Dimasyq. Beliau memperolehi ijazah masternya di Universiti al-Azhar dengan tajuk berkaitan al-Ahruf as-Sab'ah. Kemudian memperolehi ijazah kedoktoran dengan judul (نبوة محمد صلى الله عليه وسلم في القرآن وبينات المعحزة الخالدة). Kemudian beliau mengajar di Universiti Umm al-Qura, Makkah. Setelah itu berpindah seketika ke Fakulti Pengajian Islam, Jami'ah al-Majid di Dubai, sebelum berpindah ke Universiti Taybah di Madinah al-Munawwarah.

Antara karya-karya beliau:
1. Tahkik kitab "Funun al-Afnan fi 'Uyun 'Ulum al-Quran" oleh Ibn al-Jawzi.
2. Wahyu Allah: Haqa'iq wa Khasa'is fi al-Kitab wa al-Sunnah (1984).
3. Tahkik "Tafsir Surah al-Mulk" oleh al-'Allamah Ahmad bin Sulaiman ibn Kamal Basya (1986).


ونسأل الله عزوجل أن يتغمده بواسع رحمته ويغدق على قبره شآبيب مغفرته
وإنا لله وإنا إليه راجعون


Rujukan:

Thursday, December 16, 2010

Hadis Meluaskan Nafkah Kaum Keluarga Pada Hari 'Asyura'

Ada yang bertanya saya mengenai kedudukan hadis ini, walaupun ianya mungkin biasa didengar bagi sesetengah orang. Matan hadis yang akan kita bicarakan ini adalah berbunyi demikian:

حديث رسول الله -صلى الله عليه وسلم- : « من وسع على عياله فى يوم عاشوراء وسع الله عليه فى سنته كلها » وفي رواية: من وسَّعَ على عياله في النفقة يومَ عاشوراء ، وسَّعَ الله عليه سائر سَنَتِهِ. قال سفيان: إنا قد جربناه، فوجدناه كذلك.

Terjemahan hadis Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang meluaskan (belanja) kaum keluarganya pada hari 'Asyura', maka Allah akan melapangkannya pada tahun tersebut seluruhnya". Dalam satu riwayat: "Barangsiapa yang meluaskan nafkah kaum keluarganya pada hari 'Asyura', maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun tersebut". Kata Sufyan: Sesungguhnya kami telah mengujinya, lalu kami dapati ianya benar.

Hadis ini berdasarkan kajian didapati telah diriwayatkan oleh lima orang sahabat Nabi SAW, iaitu:

  1. Abu Sa’id al-Khudri RA: iaitu riwayat Ibn Abi al-Dunya dalam al-’Iyal (no. 385), al-Hakim al-Tirmizi (3/14), al-Tabarani dalam al-Awsat (no. 9302), dan al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3794). Dalam sanadnya ada Muhammad bin Isma’il al-Ja’fari yang munkar al-hadith (al-Haythami, 3/189).
  2. Ibn Mas’ud RA: iaitu riwayat Ibn ’Adi (5/211), al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3792), dan Ibn Hibban dalam al-Du’afa’ (3/97), serta al-Tabarani dalam al-Kabir (no. 10,007) dengan lafaz: (من وسع على عياله يوم عاشوراء لم يزل فى سعة سائر سنته), dan dalam sanadnya ada al-Haysam bin al-Syaddakh yang sangat daif (al-Haythami, 3/189).
  3. Jabir RA: iaitu riwayat al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3791), kata beliau: Isnadnya daif. Juga diriwayatkan dalam al-Istizkar oleh Ibn ’Abd al-Barr dengan lafaz: (من وسع على نفسه وأهله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته), dan al-Hafiz Ahmad al-Ghumari menyatakan bahawa perawi-perawi sanadnya adalah perawi-perawi al-Sahih.
  4. Abu Hurairah RA: iaitu riwayat Ibn ’Adi dan al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3795).
  5. Ibn ’Umar RA: iaitu riwayat al-Daraqutni dalam al-Afrad dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Ruwat Malik.

Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khairabadi dalam kitabnya al-Marwiyyat fi Fadl Laylah al-Nisf min Sya’ban wa al-Tawsi’ah ’ala al-’Iyal Yaum ’Asyura’ fi Mizan al-Naqd al-Hadithi (hlm. 115) merumuskan bahawa hadis ini berdasarkan jalan-jalan riwayatnya adalah hasan li-ghairih. Hukum beliau ini bersepakatan dengan ramai ulama hadis yang tidak menolak hadith ini seperti al-'Iraqi, al-Sakhawi, al-’Ajluni, al-Suyuti, al-Munawi, Ibn 'Arraq dan lain-lain. Sebelum Dr. Abu al-Laith, al-Hafiz al-'Allamah Sayyid Ahmad al-Ghumari رحمه الله sebenarnya telahpun membincangkan takhrij hadis ini secara detail dan menghukumnya sebagai sahih di dalam risalah beliau: (هدية الصغراء بتصحيح حديث التوسعة يوم عاشوراء).

Maka dapatlah kita ketahui sejauhmana ketepatan pendapat orang yang menolak hadis ini, lalu mengatakan pengamalannya sebagai bidaah dan ditegah berbuat demikian. Antaranya disebut oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Siyam : Taisir al-Fiqh fi Dhau' al-Quran wa al-Sunnah (cet. ke 3. Beirut : Mu’assasah al-Risalah, 2001. hlm. 142-154. terjemahan oleh Kamin, al-ahkam.net) :

“Tidak didatangkan apa2 perkara di dalam hari 'Asyura' melainkan berpuasa, dan terdapat beberapa orang melakukan perkara seperti berhias, mandi, memakai celak, membelanjakan keluarga, menjadikannya musim atau perayaan dengan menyembelih binatang sembelihan, dan manusia meluaskan lagi. Kesemua ini tidak ada asalnya di dalam agama Allah, tidak ada sebarang dalil yang sahih”.

Al-Qaradawi turut menukilkan dari Ibn al-Qayyim :

"Hadith2 mengenai penggunaan celak pada hari 'Asyura', mencantikkan diri, membelanja keluarga, bersolat, dan lain2 yang mempunyai fadhilat, tidak sahih apa2 mengenainya, dan tidak ada satu hadith pun, dan tidak datang dari Nabi saw apa-apa darinya, selain dari hadith2 puasanya, dan menganggapnya batil",... dan misalnya : "Barangsiapa yang melapangkan (berbelanja) ke atas keluarganya pada hari 'Asyura', Allah swt akan melapangkannya sepanjang tahun", maka berkata Imam Ahmad : Hadith ini tidak sah”. (al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha'if, Dar al-Qalam, Beirut, ditahqiq oleh Abu Ghuddah, ms 111-113).

Beliau juga menukilkan dari Syeikh Ibn Taimiyah:

“Diriwayatkan di dalam hadith maudhu' (palsu) bahawa Nabi saw sesunguhnya bersabda: "Barangsiapa yang melapangkan kaum keluarganya pada hari 'Asyura', maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun". Semua riwayat mengenai Nabi saw (di dalam hal ini) adalah dusta, akan tetapi diketahui akan riwayat Sufyan bin Uyainah dari Ibrahim bin Muhammad bin Muntasyir, dari ayahnya berkata : "Telah sampai kepadaku seseungguhnya; barangsiapa yang melapangkan ahli keluarganya pada hari 'Asyura', maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun". [Majmu' Fatawa, Ibn Taimiyah, 25/229,300].”

Pendapat al-Qaradawi yang disadur dari Ibn Taimiyah dan Ibn al-Qayyim dengan katanya: “Tidak didatangkan apa2 perkara di dalam hari 'Asyura' melainkan berpuasa”, adalah sesuatu yang perlu dilihat semula. Penulis makalah Sejarah Dan Keutamaan Puasa `Asyura yang menyenaraikan 26 bidaah hari ’Asyura’ juga mencatatkannya dalam bidaah ke-20 dalam menyanggah tulisan Al-`Allamah Sheikh Daud Al-Fatani rahimahullah dalam kitabnya Jam`ul Fawaid (hlm. 135). Padahal beliau sendiri membentangkan kedudukan hadis tersebut di sisi ulama hadis sama ada sabit ataupun tidak, katanya:

Di samping itu banyak riwayat yang menerangkan tentang fadhilat melebihkan perbelanjaan ke atas isi rumah ini, antaranya ialah : At-Tabarani, Al-Baihaqi dan Ibnu Abdil Barr rahimahumullah telah meriwayatkan dari Abu Sa`id al-Khudri radhiallaahu `anhu katanya : "Sesiapa yang meluaskan pemberian (yakni melebihkan perbelanjaan) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka ALLAH akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu." Para muhaddithin (ahli hadith) berbeza pendapat tentang darjat hadith ini, ada yang mensahihkannya dan ada yang mendha`ifkannya. Imam As-Suyuti rahimahullah dalam "ad-Durarul-Muntansyirah" menyatakan bahawa hadith ini sahih.


Syeikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah dalam kitabnya "Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad" berkata bahawa Sufyan Ath-Thauri rahimahullah menjelaskan : "Kami telah mengamalkan hadith ini selama 50 atau 60 tahun, dan ia benar-benar sedemikian (yakni terjadi seperti yang dinyatakan dalam hadith tersebut, iaitu ALLAH meluaskan rezeki setahun itu)". Kata Yahya bin Sa'id pula : "Kami telah amalkan ini, maka kami dapati benar-benar berlaku" .


Namun begitu Asy-Syaibaniy rahimahullah berkata : "Semua jalur perawi hadith-hadith ini lemah. Al-`Iraqi rahimahullah berkata : Sebahagian jalur dari Abu Hurairah disahihkan oleh Al-Hafidz Ibnu Nasir, jadi menurutnya ini hadith hasan, sedangkan Ibnul Jauzi rahimahullah menulisnya di dalam kumpulan hadith palsu. (Tamyizut-Tayyib minal Khabith, no. 1472, Tanbihul Ghafilin, 1/367).


Sementara itu Imam As-Suyuti rahimahullah dengan tegas mengatakan : "Telah diriwayatkan tentang keutamaan meluaskan nafkah sebuah hadith dhaif, boleh jadi sebabnya adalah berlebihan di dalam mengagungkan-nya, dari satu sudut untuk menandingi orang-orang Rafidhah (Syi'ah) kerana syaitan sangat bercita-cita untuk memalingkan manusia dari jalan lurus. Ia tidak peduli ke arah mana dari dua arah mereka akan berpaling, maka hendaklah para pelaku bid'ah menghindari bid'ah-bid'ah sama sekali." (Al-Amru Bil Ittiba', hal.88-89).


Ibnu Rajab rahimahullah berkata dalam kitabnya "Lata’iful Ma’arif" halaman 53 : Hadith anjuran memberikan belanja lebih dari hari-hari biasa, diriwayatkan dari banyak jalan namun tidak ada satupun yang sahih. Di antara ulama yang mengatakan demikian adalah Muhammad bin Abdullah bin Al-Hakam Al-Uqaili rahimahullah, beliau berkata : Hadith itu tidak dikenali.


Ketika menerangkan qaidah-qaidah untuk mengenal hadith palsu, Al-Hafidz Ibnul Qayyim rahimahullah dalam kitab Al-Manarul Munif halaman 113 berkata : Hadith-hadith tentang bercelak pada hari `Asyura, berhias, bersenang-senang, berpesta dan solat di hari ini dan fadhilat-fadhilat lain tidak ada satu pun yang sahih, tidak satu pun keterangan yang kuat dari Nabi sallallahu ’alaihi wa sallam selain hadith puasa. Adapun selainnya adalah batil seperti hadith : "Sesiapa yang meluaskan pemberian (yakni melebihkan perbelanjaan) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka ALLAH akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu." Imam Ahmad rahimahullah mengatakan ketika ditanya : "Hadith ini tidak ada asalnya, ia tidak bersanad kecuali apa yang diriwayatkan oleh Ibnu `Uyainah dari Ibnul Muntasir, dan dia adalah orang Kufah, dia meriwayatkan dari seorang yang tidak dikenali." (Al-Ibda', Ali Mahfudz, 150)

Maka berdasarkan pembentangan tersebut, beliau terus memilih hukum palsu bagi hadis tersebut dan menyenaraikan amalan tersebut sebagai bidaah! Padahal beliau telah melihat ulama yang menghukumnya sebagai sahih, hasan, daif dan juga mawdu’. Dan setiap satunya pula perlu diselidik dan dibincangkan. Perlu diingat, dalam membincangkan perkara-perkara yang diperselisihkan (khilafiyyah) sebegini kita tidak harus menghukumkan tarjih (pilihan) pihak lawan sebagai bidaah dan tarjih (pilihan) kita pula sebagai sunnah. Jika penentuan sunnah-bidaah ini dibenarkan dalam bentuk sebegini (proses pentarjihan), maka habislah unsur bidaah tersebar dalam semua mazhab-mazhab fiqh muktabar yang ada kerana antara pendapat-pendapat kesemua mazhab tersebut pasti tidak lari dari pendapat yang rajih (yang tepat) dan pendapat yang marjuh (yang kurang tepat) berdasarkan neraca fiqh muqaranah (perbandingan).

Justeru setelah melihat kepada semua jalan-jalan riwayat hadis di atas yang diriwayatkan oleh imam-imam hadis muktabar, mungkin dapat kita katakan keterangan-keterangan yang menolak hadis ini adalah kerana tidak melihat kesemua jalan-jalan riwayat tersebut dan menyelidikinya secara rapi. Jika tidak pasti mereka meyakini bahawa hadis ini ada asalnya yang dapat dijadikan pegangan. Kaedah dalam ilmu ulum al-hadith membenarkan natijah ini.

Wallahu a’lam.

Sunday, December 12, 2010

Mawlana Marghub al-Rahman al-Deobandi رحمه الله

Mawlana Syeikh Marghub al-Rahman al-Bajnuri al-Deobandi adalah rektor Jami'ah Darul 'Ulum, Deoband, India, yang masyhur disebut sebagai 'al-Azhar India'.

Beliau telah meninggal dunia dalam usia 100 tahun! pada hari Rabu lepas, 2hb. Muharram 1432H, bersamaan 8 hb. Disember 2010.

Mawlana Marghub al-Rahman adalah rektor institusi tersebut sejak tahun 1982. Beliau sendiri adalah bekas graduan lepasan Darul 'Ulum pada tahun 1932 (1352H). Secara kebetulan pula beberapa ulama sebelum ini juga meninggal dunia dalam usia yang panjang. Subhanallah!

Maka hilanglah satu lagi mutiara Madrasah Deoband yang terkenal dengan ulama-ulama tersohornya (klik situ), seperti Mawlana Anwar Syah al-Kasymiri, Mawlana Mahmud Hasan al-Deobandi, Mawlana Rasyid Ahmad al-Gangohi, Hakim al-Ummah Mawlana Asyraf 'Ali al-Tahanwi, Mawlana Husain Ahmad al-Madani, Mawlana Syabbir Ahmad al-'Uthmani dan lain-lain. رحمهم الله تعالى


رحمه الله تعالى رحمة واسعة