Wednesday, April 27, 2011

Buku Comel Dr. al-Akiti...



Ada beberapa buah buku yang berjaya menarik hati saya untuk dibeli pada Pesta Buku (PBAKL 2011) kali ini. Antaranya ialah sebuah buku atau sesuai juga dikatakan sebagai risalah yang kecil comel dalam sekitar 40 halaman sahaja berharga RM5.00 (belum diskaun). Tajuknya agak klise. Jika ia ditulis oleh seorang penulis yang tidak atau belum terkenal namanya, mungkin saya tidak membelinya.

Tuesday, April 26, 2011

Allah...Allah... Nur...Nur...

Rakaman majlis khatam kitab al-Syama'il al-Muhammadiyyah di Masjid al-Azhar, Kaherah pada 20 April 2011 (bersamaan dengan Mawlid al-Rasul SAW mengikut tahun syamsi).

Alhamdulillah... Majlis seumpama ini hidup semula di Mesir kebelakangan ini sesudah ia mati di sana, bahkan di Universiti al-Azhar sendiri buat sekian lamanya... Allah, Allah, ... Majlis nur, nur...

Mudah-mudahan suasana ini juga berkembang di Malaysia... Amin, amin, amin...




Antara tokoh-tokoh ulama yang hadir ialah:

  1. Syeikh Dr. ‘Ali Jum’ah, mufti besar Mesir.
  2. Syeikh al-Muhaddith Mohammed Ibrahim ‘Abdul Ba’ith al-Kattani.
  3. Syeikh Dr. Hasan al-Syafi’i.
  4. Syeikh Dr. Muhammad Zaki al-Din Abu al-Qasim.
  5. Syeikh Dr. Saad Jawish, profesor hadis di Universiti al-Azhar.
  6. Syeikh Dr. Taha al-Dusouqi Hubaisyi, ketua jabatan Tauhid dan Falsafah.
  7. Syeikh Dr. Jamal Farouq, profesor di Fakulti Dakwah.
  8. Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr, pensyarah Sahih Al-Bukhari di Masjid Al-Azhar.
  9. Syeikh Mu’awadh ‘Awadh Ibrahim, yang berusia hampir seratus tahun.
  10. Syeikh Muhammad ’Abd al-Rahim Badr al-Din.
  11. Syeikh Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari, dan lain-lain.

Friday, April 22, 2011

Pemikir Islam Dr. Mustafa al-Shak’ah رحمه الله تعالى


Pemikir besar Islam Dr. Mustafa al-Shak’ah, telah meninggal dunia pada 20 April 2011, dalam usia 94 tahun, setelah sepanjang hayatnya menyumbang usaha dan berbakti demi membela agama Islam. Beliau adalah anggota Institut Penyelidikan Islam dan Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam, Mesir dan juga merupakan seorang profesor sastera dan pemikiran Islam.

Beliau dikenali dengan pendirian-pendirian tegas dan pendapat-pendapat beraninya dalam menegakkan kebenaran, dan merupakan salah seorang pemikir yang amat bersemangat memperjuang dan mempertahankan Islam. Beliau banyak menulis berkaitan sastera dan Islam, dan bukunya yang terkenal ialah "Islam Bila Mazahib" (Islam Tanpa Mazhab – telah diterjemah ke bahasa Melayu), yang menyeru terhadap kesatuan umat Islam dengan pelbagai mazhabnya, serta menentang taksub buta yang membawa kepada perbalahan dan perpecahan. Selain usaha-usaha beliau dalam memelihara keunggulan bahasa Arab, dan membangkang terhadap pindaan undang-undang keluarga dan undang-undang kanak-kanak yang bertentangan dengan syariat Islam.

Dr. Mustafa Mohammed al-Shak’ah lahir pada bulan Ogos 1917, di Wilayah Gharbiyyah, Mesir. Beliau telah memperoleh ijazah BA-nya dari Cairo University tahun 1944. Kemudian ijazah kedoktorannya dalam bidang sastera tahun 1954.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di peringkat sekolah menengah dalam tempoh (1944 1949). Kemudian sebagai pakar perancangan sosial (1949 1956) sehingga mendaftar diri bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sastera, Universiti Ain Shams, Mesir tahun 1956. Kemudian diangkat pula sebagai Dekan Fakulti. Beliau kemudian bertugas sebagai seorang penasihat budaya di Washington (1960 1965). Setelah itu dipinjamkan untuk mengajar di Universiti Arab Beirut, Lubnan dan kemudian pula di Universiti Umm Durman di Sudan. Beliau juga pernah menjawat sebagai Dekan Fakulti di Universiti Emerates, UAE.

Beliau giat menulis karya sastera dan agama, seperti:

  1. فنون الشعر في مجتمع الحمدانيين "Seni Syair Masyarakat Hamdani".
  2. بديع الزمان الهمذاني رائد القصة العربية والمقالة الصحفية "Bediuz Zaman al-Hamadani: Pelopor Cerita dan Makalah Akhbar Arab".
  3. أبو الطيب المتنبِّي في مصر والعراق "Abu al-Tayyib al-Mutanabbi di Mesir dan Iraq".
  4. معالم الحضارة الإسلامية "Ciri Tamadun Islam".
  5. Imam al-Syafi'i.
  6. Imam Ahmad bin Hanbal.
  7. Kumpulan Makalah Tentang Pengajian Islam (dalam bahasa Inggeris).
  8. Pendidikan dan Pembelajaran di Dunia Arab (dalam bahasa Inggeris).

Dr. Mustafa al-Shak'ah telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan, antaranya: Anugerah Republik Mesir Kelas IV, pada tahun 1959, Anugerah Republik Mesir Kelas II pada tahun 1977, dan Anugerah Kehormat Negara dalam bidang sastera dari Dewan Tertinggi Kebudayaan, Mesir pada tahun 1989.

Sumber: Islam Today.

Ustaz Hj. Hambali bin Abdul Salam رحمه الله تعالى


Ustaz Hambali adalah antara tokoh pendidikan yang terkenal di negeri Selangor. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 20 April 2011 selepas Asar. Solat jenazah beliau dilakukan di Masjid Asy Syarif Meru pada pagi Khamis 21 April 2011. Semoga rohnya mendapat rahmat dari Allah SWT.


Berikut adalah petikan biografi beliau dari Prosiding Seminar Tokoh Ulama Selangor 2008:

Beliau dilahirkan pada 12 Disember 1931 di Meru, Klang. Ustaz Hj. Hambali Abdul Salam mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Binjai, Meru Klang dari tahun 1938 sehingga 1945. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ke Al-Madrasah Al-Junid di Singapura antara tahun 1951 hingga 1945 atas sokongan kuat daripada gurunya yang dapat mengesan kepetahan beliau berkomunikasi dalam bahasa Arab. Pada sekitar tahun 1982 hingga 1986 beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang pengajian Islam.

Beliau merupakan anak didik Syeikh Ustaz Mahmud Arif Al-Bukhari yang terkenal itu sekitar 1948 hingga 1950 di Marthail ’Ulum yang kemudian dikenali sebagai Kolej Islam Klang. Selain daripada itu, beliau juga sempat berguru dengan Ustaz Ahmad Mohammad Sonhaji, Ustaz Abdul Hakim Azhari (abang kepada Dato’ Haji Hassan Azhari) serta Dato Haji Hassan Azhari sendiri dan Dato’ Syeikh Ismail yang mengajar Talaqqi Musyafahat sehingga beliau berjaya mendapat sijil pengiktirafan Syaikhul Maqari’ sebagai ijazah sanad.

Ustaz Hj. Hambali telah memulakan tugas sebagai guru agama pada tahun 1954 di Sekolah Hishamuddin Kampung Jawa Klang. Setelah mencurahkan bakti dalam mendidik anak watan, beliau beralih kerjaya sebagai kerani kepada dua orang Nazir di Klang iaitu Ustaz Ali Abu Bakar dan Ustaz Ismail Mohammad pada tahun 1958. Pada tahun 1974, Ustaz Hj Hambali kembali bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Agama Klang dan Sekolah Menengah Agama Rendah Hishamuddin sehingga penghujung 1981 serta memegang jawatan sebagai guru penolong kanan. Beliau mengakhiri perkhidmatan dalam dunia pendidikan sebagai guru besar di Sekolah Menengah Agama Jeram yang mana beliau merupakan pengasas sekolah tersebut.

Selain aktif dalam bidang pendidikan, Ustaz Hj. Hambali juga bergiat aktif dalam kegiatan berdakwah. Beliau banyak menghabiskan masa dengan menyampaikan syarahan agama, menjalankan pelbagai kelas pengajaran agama dan mengajar tilawah secara talaqqi. Beliau merupakan panel hakim Majlis Tilawah peringkat mukim, daerah dan negeri serta Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat daerah dan negeri. Beliau juga merupakan Imam Besar dan Nazir Masjid Al-Syarif, Meru, Klang (1991 - 1998).

Ustaz Hj. Hambali Abdul Salam telah mendirikan rumahtangga dengan Hajjah Kalsom binti Paidi dan telah dikurniakan seramai 7 orang cahayamata yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 4 orang perempuan yang berjaya dalam bidang kerjaya masing-masing. Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Selangor (1995) dan dikurniakan pelbagai pingat, serta penerima Anugerah Kehormat Konvokesyen Keenam Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (2003).

رحمه الله تعالى

Friday, April 15, 2011

Antara Hak-Hak Ahlul Bait Nabi SAW


Sekadar perkongsian bersama, berikut adalah petikan sebahagian kecil dari penulisan ilmiah pelajar di bawah seliaan saya, Syed Husaini bin Syed Hassan berkaitan hak-hak dan keutamaan Ahlul Bait. Saya telah membuat sedikit olahan ke atasnya.

------------------------------------

Antara Hak-Hak Ahlul Bait:

1. Menerima Cinta dan Kasih Sayang Dari Umat Islam


Firman Allah SWT:

قُلْ لاَّ أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلاَّ الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَى

Maksudnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah ke atasnya (tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu), kecuali (yang aku minta hanyalah) kasih sayang pada pertalian keluarga/kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu)”. Al-Syura (42) : 23


Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa orang-orang yang dimaksudkan dengan ayat di atas ialah orang-orang yang wajib dikasihi dan ditaati serta diikuti perjalanan hidup mereka. Ahli-ahli tafsir, hadis dan sirah telah meriwayatkan bahawa yang dimaksudkan dengan qarabat Nabi SAW dalam ayat ini ialah 'Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. (Dr. Mahfodz bin Mohamed. 1989. Ahl al-Bayt Dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Kuala Lumpur: Pustaka Warisan. Hlm.15)

Tuesday, April 12, 2011

Renungkan Sejenak Kekerdilan Kita

Tinggalkan sebentar dulu memikir tentang dunia akhir zaman yang penuh huru-hara ini... tentang kemelut politik yang menjengkelkan...

tentang peperangan dan pembunuhan yang tak berkesudahan... tentang ketamakan dan kerakusan nafsu manusia...

tentang kebejatan akhlak dan moral manusia... tentang cuaca dunia dan bencana alam yang tidak menentu...

tentang pencemaran alam dan kemusnahan ozon... tentang ideologi dan teologi batil yang mendukacitakan... dan pelbagai lagi.

Fikirkanlah dulu sejenak tentang siapa kita dan apa nilai diri kita di alam fana ini. Apa tujuan hidup kita dan sejauhmana kedudukan kita di sisi Tuhan Semesta Alam ini...

Lihatlah betapa kecil dan kerdilnya kita...


Note: 1 light year is equal to exactly 9,460,730,472,580.8 km (about 9.5 trillion km) or 5,878,625,373,183.608 miles (about 6 trillion miles). 1 light second = 186,000 miles.

Perhatikan hadith Nabi SAW: 'Tidaklah langit yang tujuh dibandingkan dengan Kursi melainkan seperti sebentuk cincin yang tercampak di atas tanah padang yang luas. Dan kelebihan 'Arasy ke atas Kursi pula adalah seperti kelebihan padang yang luas ke atas sebentuk cincin'. (Sahih Ibn Hibban)


Allahu Akbar...

Para saintis Barat hanya percaya kejadian-kejadian Tuhan yang bersaiz gadang dan berskala mega ini setelah mengkaji dan menemuinya melalui kecanggihan teknologi sains pada masa kini.

Namun umat Islam sejak lebih 1400 tahun dahulu hanya percaya dengan semata-mata perkhabaran Nabi SAW sahaja serta membenarkannya dengan penuh keimanan. Mereka yakin dengan kekuasaan Allah Taala dan tiada apa yang mustahil bagi-Nya.

Misalnya dikhabarkan, penghuni syurga yang paling rendah tingkatannya, sekaligus yang terakhir sekali memasuki syurga (setelah diazab) adalah semisal raja yang paling hebat dari raja-raja di dunia, bahkan diberikan kepadanya syurga yang sebesar 10 kali ganda dunia ini. (Hadith Riwayat Muslim). Tentunya 10 kali ganda bumi itu adalah teramat kecil jika dibandingkan dengan simulasi alam semesta yang dipaparkan di atas.

Juga diceritakan tentang saiz malaikat Jibril AS yang memiliki 600 sayap dan setiap sayapnya pula adalah seluas antara Timur dan Barat. (Hadith Riwayat Ahmad). Malaikat juga mempunyai tahap kelajuan cahaya yang luar biasa. Tiada manusia yang diberi keistimewaan tersebut kecuali Nabi Muhammad SAW sehingga membolehkan baginda SAW merentasi 7 petala langit dalam masa sebahagian malam sahaja.

Demikian juga kepantasan Buraq, haiwan yang ditunggang oleh Nabi SAW dalam peristiwa Isra' amat cukup menakjubkan kerana ianya memiliki kelajuan sejauh mata memandang atau kelajuan supersonik.

Masih banyak lagi ukuran-ukuran yang berskala super ini sama ada dari segi saiz atau jarak yang dirakam dalam al-Quran dan juga hadith-hadith, seperti sepohon pokok di syurga yang jaraknya umpama seorang penunggang kuda yang gagah dan pantas cuba untuk merentasinya selama 100 tahun, namun masih tidak dapat sampai ke penghujungnya. (al-Bukhari dan Muslim)


Allahu Akbar...

Jelas bahawa kita hanyalah makhluk kerdil yang selalu ingkar dan angkuh, dan sering lupa.

Kembali dan insaflah...

---------------------

* Bacaan tambahan:

Wednesday, April 6, 2011

Bahaya Pemikiran Ekstremis Agama

Dengan tumbangnya rejim Mubarak di Mesir, maka semua gerakan Islam, ahli agama dan orang agama di Mesir sudah tidak perlu bimbang lagi dengan sebarang kemungkinan tindakan penganiayaan ke atas mereka. Ini merupakan suatu perkembangan yang baik, namun apa yang tidak menyeronokkan ialah kebangkitan setengah golongan agama yang agak ekstrem. Dikhuatiri mereka akan menyuburkan perpecahan dalam kalangan masyarakat dengan beberapa tindakan mereka.

Antara yang terbaru ialah memusnahkan beberapa makam para wali dan ulama - yang memang banyak bertebaran di seluruh negara Mesir - kerana didakwa sebagai tempat-tempat BIDAAH dan SYIRIK. Malah mereka turut mengancam untuk meruntuhkan makam kepala Sayidina al-Husain RA. Padahal ramai alim-ulama Mesir dan al-Azhar semenjak dahulu tidak pun menghukumkannya demikian.

Isu inilah yang disentuh oleh al-‘Allamah Syeikh ‘Ali Jum’ah dalam khutbah yang lepas. Antaranya ada sebuah hadis yang disampaikan oleh beliau yang baru telinga saya dengar dan membuatkan saya merenung panjang, iaitu:

عن حُذَيْفَة بْن الْيَمَانِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : إِنَّمَا أَتَخَوَّفُ عَلَيْكُمْ رَجُلا قَرَأَ الْقُرْآنَ حَتَّى إِذَا رُئِيَ عَلَيْهِ بَهْجَتُهُ ، وَكَانَ رِدْءًا لِلإِسْلامِ اعْتَزَلَ إِلَى مَا شَاءَ اللَّهُ، وَخَرَجَ عَلَى جَارِهِ بِسَيْفِهِ، وَرَمَاهُ بِالشِّرْكِ.

أخرجه البزار (رقم 2793) وقال: إِسْنَادُهُ حَسَنٌ، وقال الهيثمى أيضاً (1/188): إسناده حسن. وابن حبان في صحيحه (رقم 81)، وأبو يعلى، والضياء المقدسي. الردء: العون والناصر. وفي شرح مشكل الآثار للطحاوي (865): ...قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَيُّهُمَا أَوْلَى بِالشِّرْكِ الْمَرْمِيُّ أَوِ الرَّامِي؟ قَالَ: لَا بَلِ الرَّامِي. وأخرجه الطبراني عن معاذ (20/88 ، رقم 169) بنحوه بلفظ: أخوف ما أخاف على أمتى ثلاث رجل... وذكر هذا أولهم.

Terjemahan: Dari Huzaifah bin al-Yaman RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku takut ke atas kamu sekalian seorang lelaki yang membaca al-Quran sehingga apabila telah terlihat pada dirinya seri al-Quran itu, dan ia sebagai pembantu bagi agama Islam, dia pun mengasingkan diri sehingga masa yang dikehendaki Allah, lalu dia keluar kepada jirannya dengan pedang, serta melontarnya dengan tuduhan syirik”. (Riwayat al-Bazzar, Ibn Hibban, Abu Ya’la, dan al-Dhiya’. Kata al-Haythami: Isnadnya hasan)

Dalam riwayat al-Tahawi dan al-Tabarani: Aku bertanya: Ya Rasulullah, yang manakah lebih layak dengan tuduhan syirik itu, yang dilontar atau yang melontar? Jawab baginda: “Tidak, bahkan yang melontar”.

Sifat-sifat yang digambarkan oleh Nabi SAW dalam hadis ini iaitu seorang yang mahir dengan al-Quran sehingga terlihat kesan al-Quran itu pada dirinya serta mempunyai semangat yang tinggi untuk mempertahankan Islam, menunjukkan mereka ini adalah orang-orang yang semangat beramal dan berpegang dengan agama.

Namun sayangnya mereka ini punya kelemahan dari sudut kefahaman ilmu dan juga sifat warak (barangkali boleh disebut sebagai; kurang fiqh dan tasawuf). Lantaran itu, mereka mudah menuduh orang lain sebagai sesat dan melontarnya dengan tuduhan syirik. Sedangkan tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali. Sebab itu Rasulullah SAW menyatakan bahawa tuduhan syirik itu kembali kepada dirinya. Ini menunjukkan satu kejahilan terhadap dirinya kerana ia menyangka bahawa perkara yang dipercayainya itu sebagai suatu isu besar dan masalah pokok dalam agama, sedangkan pada hakikat sebenarnya ia hanyalah isu cabang.

Pasti kita tertanya-tanya masalah apa yang begitu serius sehingga orang tersebut berani menuduh saudaranya dengan tuduhan syirik, padahal ianya tidak sampai ke tahap itu. Orang yang dituduh tersebut pasti tidak menganggap ianya sebagai syirik dan maka itu ia mengamalkannya. Pada hemat saya, tidak ada masalah khilaf yang dapat menimbulkan gejala dahsyat seperti ini kecuali masalah TAWASSUL dan ISTIGHATHAH yang telah melalui tempoh perselisihan yang amat panjang dan hampir tidak berkesudahan. Bahkan telah mengorbankan nyawa yang tidak sedikit.

Masya’ Allah, ini merupakan satu mukjizat Nabi SAW dalam hadis di atas. Apa yang diberitakan oleh baginda SAW ini begitu persis dengan apa yang berlaku pada umatnya hinggalah ke hari ini. Kerana ada setengah golongan yang begitu mudah melontar orang lain dengan tuduhan syirik, padahal perkara tersebut hanyalah dalam masalah-masalah ranting sahaja.

Lihat contohnya bagaimana Imam Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله seorang tokoh ulama besar yang masyhur telah dituduh sebagai pendokong syirik oleh orang yang tidak sedikitpun gentar akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kelak terhadap perbuatannya kerana sifat angkuhnya. Dia menggelar Imam al-Maliki رحمه الله dalam judul bukunya: Mujaddid Millah ‘Amru ibn Luhayy wa Da’iyah al-Syirk fi Haza al-Zaman (Pembaharu Agama ‘Amru bin Luhayy si-Penyembah Berhala dan Pendakwah Syirik Di zaman Ini). La hawla wala quwwata illa biLlah...

Golongan seperti yang dinyatakan ini mestilah dihindari dan ditolak cara pemikiran mereka. Semangat agama yang kuat sahaja tidak cukup jika tidak dibekali dengan roh ilmu serta zikir.

Sunday, April 3, 2011

Khutbah Syeikh 'Ali Jum'ah Jumaat Lalu



Semoga Allah Taala memberi kekuatan kepada beliau yang sedang menghadapi berbagai dugaan dan cabaran.. Surat perletakan jawatannya sentiasa tersimpan di sakunya..