Wednesday, February 20, 2013

Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji رحمه الله


Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji

إنا لله و إنا إليه راجعون

As-Syeikh al-‘Allamah al-Kabir al-Mursyid Syeikh Wahbi bin Sulaiman al-Ghawiji al-Hanafi al-Albani adalah seorang alim besar berketurunan Albania. Beliau telah meninggal dunia di UAE (United Arab Emirates) pada 19hb. Februari 2013.

Syeikh Wahbi dilahirkan pada tahun 1923 di Shkodra, Albania. Beliau mula belajar daripada ayahnya sendiri, Syeikh Sulaiman al-Ghawiji (juga merupakan guru Syeikh Syu‘aib al-Arnaout), Syeikh Syaaban ad-Dumanuri dan lain-lain. Pada tahun 1937, beliau berhijrah bersama bapa dan keluarganya ke Syria bagi menyelamatkan nyawa dan agama mereka. Dalam tahun yang sama, bapanya telah meyuruh beliau menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir. Pada tahun 1947, beliau berjaya menghabiskan pengajiannya di sana. Antara guru-gurunya di Mesir ialah: Syeikh Muhammad Khidr Husain, Syeikh Muhsin Abu Daqiqah, Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari, Syeikh Muhammad ‘Ali as-Sayis dll.

Antara guru-gurunya di Syria ialah; Syeikh Hasan Habannakah al-Maidani, Syeikh Muhammad Salih al-Farfur, Syeikh Muhammad Abu al-Yusr ‘Abidin, Syeikh ‘Abdul Wahhab Dibs-wazait dll.

Setelah pulang ke Dimasyq, Syria, beliau telah mengajar di beberapa sekolah agama di Halab dan juga di Fakulti Syariah di Dimasyq. Selain mengajar pengajian umum di masjid-masjid sekitar Dimasyq. Pada tahun 1966, beliau telah berpindah ke Riyadh, Arab Saudi dan mengajar di sana. Setahun kemudian, beliau berpindah pula ke Madinah Munawwarah dan mengajar di sana dalam tempoh 5 tahun.

Pada tahun 1974, beliau kembali semula ke Dimasyq. Namun, pada tahun 1980, sekali lagi beliau kembali mengajar di Madinah untuk tempoh 2 tahun. Beliau juga pernah mengajar di ‘Amman, Jordan untuk tempoh 2 tahun. Antara tahun 1988-2001, beliau telah bertugas pula di Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Dubai, UAE. Dan setelah itu, beliau kembali semula ke Dimasyq.

Syeikh Wahbi amat mengambil berat pelajar-pelajar yang berasal dari Albania di Syria. Beliau pernah sekali melawat bumi kelahirannya, Albania pada tahun 1991, setelah 54 tahun meninggalkannya.

Beliau telah meninggalkan banyak hasil karya dalam bidang akidah, fiqh, pendidikan, ulum al-Quran dll. sama ada dalam bahasa Arab mahupun dalam bahasa Albania. Beliau telah mengarang 35 buah kitab dalam bahasa Albania dan menterjemahkan 6 buah kitab Arab. Manakala karyanya dalam bahasa Arab melebihi 20 buah kitab. Antaranya:
1. (من قاضايا المرأة المسلمة)
2. (أركان الإيمان)
3. (أبو حنيفة النعمان)
4. (جابر بن عبد الله)
5. (سلسلة أركان الإسلام)
6. (الكافي في الفقه الحنفي)
7. (محمد رسول الله صلى الله عليه وسلم)
8. (كلمة علمية هادية حول إذا صح الحديث فهو مذهبي)
9. (كلمة علمية هادية في البدعة وأحكامها)
10. (محاضرات في تاريخ الفقه الإسلامي)
11. (لباس المرأة وزينتها)
12. (مسائل في علم التوحيد)
13. (الحياة الآخرة أحوالها وأهوالها)
14. (كشف شبهات من زعم حل أرباح القروض المصرفية)
15. (المرأة المسلمة وليس الذكر كالأنثى)
16. (عقود الجواهر المنيفة)
17. (سهام طائشة عن الفقه)
18. Tahqiq (منح الروض الازهر في شرح الفقه الاكبر للعلامة الملا علي القاري).
19. Tahqiq (ملتقى الأبحر في الفقه الإسلامي وأصوله للعلامة إبراهيم بن محمد بن إبراهيم الحلبي).
20. Tahqiq (فضائل القرآن لأبي عبيد القاسم بن سلام الهروي).
21. Tahqiq (مَحْق التقوُّل في مسألة التوسل للعلامة المحقق محمد زاهد الكوثري).
22. Tahqiq (إيضاح الدليل في قطع حجج أهل التعطيل للعلامة بدر الدين بن جماعة).

رحمه الله و غفر له و أعلى مقامه و ألحقه بالصالحين

Rujukan:
-          azahera.net
-          aslein.net
-          ar.wikipedia.org


Thursday, February 14, 2013

Dr. Syawqi Ibrahim, Mufti Baru Mesir


Dr. Syawqi Ibrahim ‘Abdul Karim ‘Allam


Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar yang dipengerusikan oleh  Syeikh Al-Azhar al-Imam al-Akbar Dr. Ahmad Tayyib pada hari Isnin lepas telah memilih Dr. Syawqi Ibrahim ‘Abdul Karim ‘Allam sebagai Mufti Republik Arab Mesir yang baru menggantikan Dr. ‘Ali Jum‘ah yang dijangka tamat tempoh perkhidmatannya akhir bulan ini. 

Dr. Syawqi Ibrahim adalah seorang profesor dan ketua Jabatan Fiqah Perbandingan di Universiti Al-Azhar cawangan Tanta. Beliau telah memperoleh undian tertinggi semasa proses pengundian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar tersebut. 

Selain beliau, Dr. ‘Atiyyah Sayyid, profesor Fiqah Perbandingan di Universiti Al-Azhar Kaherah dan Dr. Farhat ‘Abd al-‘Ati, profesor Fiqah Perbandingan di Universiti Al-Azhar masing-masing mendapat tempat ke-2 dan ke-3 dalam proses pengundian tersebut. Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar telah menetapkan beberapa syarat dalam proses pemilihan mufti yang baru. Antaranya, calon mestilah berlatarbelakangkan pendidikan al-Azhar semenjak kecil, mahir berbahasa Inggeris, seorang profesor dalam bidang syariah Islam, mempunyai pengetahuan Islam am yang luas, dan tidak melebih umur 60 tahun. 

Majlis Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar tersebut turut dihadiri oleh Dr. ‘Ali Jum‘ah dan Dr. Yusuf al-Qaradawi. Dimaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Mufti terdahulu, Dr. ‘Ali Jum‘ah akan tamat akhir bulan ini kerana beliau telah mencapai usia 61 tahun. Dr. Syawqi Ibrahim bakal diangkat menjadi Mufti Mesir yang ke-19.

 - Pelbagai sumber

Sunday, February 3, 2013

Syeikh Dr. Mahmud Ahmad az-Zain رحمه الله



Merujuk kepada beberapa laman web, dikhabarkan beliau telah meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada hari Khamis, 19 Rabiul Awwal 1434H bersamaan 31 Januari 2013 yang lalu.

Dr. Mahmud Ahmad az-Zain merupakan anak kelahiran kota alim ulama, iaitu kota Halab, Syria pada tahun 1372H (1953). Beliau tamat daripada sekolah Dar Nahdhah al-‘Ulum as-Syar‘iyyah di Halab (Madrasah Nabhaniyyah di Jami Kaltawiyyah) pada tahun 1974. Kemudian menyambung pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Mesir dalam Fakulti Bahasa Arab. Beliau telah berjaya memperolehi Sarjana License pada tahun 1978. Kemudian menyambung pula ke peringkat master dalam bidang balaghah sehingga lulus dengan tajuk disertasinya: (الآيات القرآنية في كتاب الإيضاح للخطيب القزويني - مسائل الخلاف ومواطن الاستشهاد) (1986). Seterusnya ke peringkat kedoktoran sehingga berjaya lulus dengan keputusan cemerlang dengan tajuk tesisnya: (المباحث البلاغية في تفسير الطبري - علم المعاني) (1993).

Antara tugas-tugas yang pernah disandangnya ialah pernah bertugas sebagai tenaga guru di Dar Nahdhah al-‘Ulum as-Syar‘iyyah. Antara tahun 1980 hingga 1985 pula, beliau pernah menjadi pegawai penyelia di Universiti Islam Madinah al-Munawwarah. Antara tahun 1997 hingga 2007, beliau bertugas sebagai ketua penyelidik di Dar al-Buhuth bagi kajian Islam dan menghidupkan turath di Dubai.

Antara karya-karya yang dihasilkannya ialah:
1. (حوار القرآن مع المخالفين أصوله وأساليبه)
2. (صلاة التراويح في سنة النبي صلى الله عليه وسلم وأصحابه والتابعين)
3. (رؤية الهلال واقع عشوائي أم اختلاف فقهي؟)
4. (عبادات نصف شعبان في سنة النبي صلى الله عليه وسلم وأصحابه)
5. (الدعاء بعد الصلاة المفروضة سنة أم بدعة؟)
6. (دفع الأوهام عن الصلاة على خير الأنام)
7. (سيدنا محمد ومعجزات الخلق العظيم)
8. (زيارة النبي صلى الله عليه وسلم أحكامها وآدابها)
9. (بين يدي رسالة اللامذهبية قنطرة اللادينية)
10. (فقه السلف في صلاة التراويح)
11. (التوسل في سنة النبي صلى الله عليه وسلم وأصحابه)
12. (البيان النبوي في المولد النبوي)
13. (مجالس الذكر)
14. (تيسير البيان عن إعجاز القرآن)
15. (زيارة النبي صلى الله عليه وسلم المختصر)

Laman rasmi beliau dapat dirujuk pada pautan berikut: http://www.dralzain.com/

رحمه الله تعالى رحمة  واسعة
Rujukan:
-          islamsyria.com
-          alkeltawia.com