Saturday, June 29, 2013

Prof. Dr. Ibrahim ‘Abdur Rahman Khalifah رحمه الله


Universiti al-Azhar kehilangan lagi seorang tokoh yang disegani dalam bidang ilmu al-Quran dan tafsir iaitu Prof. Dr. Ibrahim ‘Abdur Rahman Khalifah. Beliau dianggap sebagai syeikhul mufassirin di Mesir. Beliau meninggal dunia pada hari Sabtu 13hb. Syaaban 1434H bersamaan 22 /6/2013 yang lalu dalam usia kira-kira 72 tahun. 

Dilahirkan pada tahun 1940 di daerah Kafr as-Syeikh, Mesir. Beliau telah menghafal al-Quran semasa kanak-kanak lagi. Beliau mempelajari pelbagai ilmu di al-Azhar sehinggalah berjaya ke peringkat Ph.D dalam bidang Tafsir dan ‘Ulum al-Quran pada tahun 1973.

Antara tugas yang disandangnya ialah sebagai ketua Jabatan Tafsir di Fakulti Usuluddin, Kaherah. Beliau pernah bertugas di Universiti Yarmouk, Jordan. Sebelumnya beliau juga pernah dipinjamkan ke Arab Saudi dan Algeria (Universiti al-Amir ‘Abdul Qadir).

Dr. Ibrahim menjadi tempat rujukan bagi berbagai permasalahan ilmu manqul dan ma‘qul yang rumit. Keluasan ilmunya disanjung oleh ramai tokoh ilmuwan. Antaranya, Syeikh al-‘Allamah Sa‘id Fudah menyanjung dalam laman forumnya: “Syeikh kami, al-‘Allamah, al-Usuli, al-Mufassir, al-Balaghi, yang mahir dalam pelbagai seni ilmu sama ada yang manqul dan ma‘qul, yang tidak pernah kami lihat orang lain yang seumpamanya di zaman ini, Syeikh Dr. al-‘Allamah, baki golongan Salaf dari kalangan muhaqqiqin,…”, “… Saya sering merujuk kepada beliau dalam berbagai permasalahan ilmu yang sukar. Saya akan meminta pandangannya dalam hal-hal kemusykilan dan isu-isu rumit yang dihadapi, yang memang memerlukan pandangan tokoh-tokoh besar seumpama beliau”.

Hasil Karya:
Antara karya yang dihasilkannya;
  1. (تفسير سورة النساء تفسيرا تحليليا)
  2. (تفسير سورة النور)
  3. (حواشيه على تفسير الإمام النسفي)
  4. (الدخيل في التفسير)
  5. (منة المنان في علوم القرآن)
  6. (التفسير الموضوعي )
  7. (دراسات في القرآن)
  8. (موسوعة علوم القرآن الكريم)
  9. (الإحسان في علوم القرآن)
  10. (دراسات في مناهج المفسرين)
  11. (الشجاعة الأدبية في القرآن)
  12. (حقوق المرأة وواجباتها في القرآن)
  13. (المعية في القرآن)
  14. dan lain-lain lagi..
 Faedah Ilmiah:
Sebagai pati kepada kepakaran dan pengalamannya, beliau pernah ditanya tentang apakah kitab tafsir yang terbaik untuk dibaca bagi orang yang ahli dan orang yang bukan ahli? Jawabnya, “Bagi orang yang ahli hendaklah membaca kitab tafsir yang paling lengkap dan padat perbahasannya dalam semua sudut iaitu tafsir Ruh al-Ma‘ani oleh al-Alusi. Begitu juga sebelumnya kitab Irsyad al-‘Aql al-Salim oleh al-‘Allamah Abu as-Su‘ud. Ia juga perlu membaca kitab yang bersifat klasik dan moden iaitu tafsir at-Tahrir wat Tanwir oleh Ibn ‘Asyur. Kitab-kitab ini adalah kitab-kitab tafsir yang unggul dan berharga bagi orang yang ahli. Manakala bagi orang yang bukan ahli, boleh membaca kitab-kitab yang ia mampu seperti Tafsir al-Jalalain dan at-Tafsir al-Wadhih oleh Syeikh Muhammad Hijjazi, sebuah kitab tafsir yang mudah. Mungkin juga boleh membaca tafsir Dr. Wahbah az-Zuhaili berjudul al-Wasit...”.

وإنا لله وإنا إليه راجعون 
رحمه الله تعالى رحمة واسعة

Rujukan:
-          tafsir.net
-          aslein.net


Syeikh Subhi as-Samarra’i رحمه الله


Merujuk kepada Laman Syeikh Dr. ‘Abdul Malik as-Sa‘di pada tarikh 27hb. 06 tahun 2013, diberitahukan seorang tokoh hadis Iraq, Syeikh Subhi as-Samarra’i telah kembali ke rahmatullah.

Beliau ialah Muhaddith ‘Iraq Syeikh Subhi bin Jasim bin Humayyid al-Badri al-Husaini as-Samarra’i, silsilah keturunannya sampai kepada Sayyiduna Husain bin ‘Ali RA. Lahir pada tahun 1936 di Baghdad.

Antara guru-gurunya ialah Syeikh al-Munla Kazim as-Syaikhili al-Hanafi, Syeikh ‘Abdul Karim Abu as-Sa‘iqah as-Syaikhili al-Hasani, Syeikh ‘Ubaidullah bin ‘Abdus Salam al-Mubarakpuri, Syeikh Habibur Rahman al-A‘zami, Syeikh Muhammad al-Hafiz bin ‘Abdul Latif at-Tijani, Syeikh Muhammad as-Syazili an-Nifar, Syeikh Syakir bin Mahmud al-Badri al-Husaini, Syeikh Muhammad ‘Abdul Wahhab al-Buhairi, Syeikh Mahmud Nuruddin al-Barifakani al-Kurdi dan lain-lain.

Meskipun beliau cenderung kepada aliran Salafiyyah Wahhabiyyah, beliau dilihat masih berpendirian adil dan bersifat toleransi terhadap jumhur Ahlus Sunnah. Beliau seorang yang pemurah dari segi ilmu, harta dan kitab terhadap para pelajar hadis. Perpustakaan peribadinya menyimpan berbagai salinan manuskrip bernilai yang dikutip daripada pelbagai perpustakaan besar di Iraq, Syria, Turki, Mesir, Morocco, Berlin, Brinston dan lain-lain, termasuk karya-karya Syiah Rafidhah di Najaf. Perpustakaan peribadinya ini menjadi tumpuan para pelajar dan pengkaji untuk menelaah pelbagai manuskrip dan kitab agama.

Antara aktiviti pengajiannya ialah; di Masjid Asifiyyah, beliau mengajar Sahih al-Bukhari, ‘Umdah al-Ahkam, Ma‘rifah ‘Ulum al-Hadith oleh al-Hakim dan kitab at-Tauhid. Di Masjid 12 Rabi‘ul Awwal, di ar-Rasafah, tempat beliau bertugas sebagai imam dan khatib, beliau mengajar al-Kutub as-Sittah, Muwatta’ Malik, Musnad Ahmad, Tafsir al-Baydhawi, Mukhtasar Khalil, Matan al-Ghayah wa at-Taqrib, Minhaj an-Nawawi, Mukhtasar al-Khiraqi, Zad al-Mustaqni‘, Ghayah al-Wusul, an-Nubzah al-Kafiyah oleh Ibn Hazm, al-‘Aqidah at-Tahawiyyah, Nuzhah an-Nazar, Mukhtasar Ibn Kathir, Tadrib ar-Rawi, dan lain-lain. Di Masjid Haji Mahmud al-Banyah, beliau mengajar al-Kutub as-Sittah, Mustadrak al-Hakim, Syama’il at-Tirmizi, Fath al-Mughith, Bulugh al-Maram, al-Kifayah oleh al-Khatib, al-Arba‘in an-Nawawiyyah dan lain-lain. Ada beberapa lagi masjid tempat beliau mengajar dengan kitab-kitab yang berlainan. Beliau juga pernah mengajar Sahih al-Bukhari dan Sunan at-Tirmizi di Masjidil Haram, Makkah. Beliau turut diundang untuk mengajar atau menyampaikan syarahan di pelbagai institusi pengajian tinggi di Iraq, Arab Saudi, Pakistan dan lain-lain.

Syeikh Subhi merupakan presiden Pertubuhan al-Adab al-Islamiyyah Iraq. Beliau amat berpegang kuat dengan sunnah dan ia menjadi topik utama bual bicaranya. Beliau telah mentahkik berbagai kitab-kitab hadis, di samping menyusun kitab-kitab mengenai ilmu hadis.

Antara karya-karya yang ditahkiknya;

  1. (ما لا يسع المحدث جهله لإبي حفص عمر الميانشي)
  2. (الخلاصة في أصول الحديث للطيـبي)
  3. (علل الترمذي الكبير بترتيب أبي طالب القاضي).
  4. (شرح علل الترمذي لابن رجب الحنبلي).
  5. (تسمية فقهاء الأمصار من الصحابة فمن بعدهم للنسائي)
  6. (الطبقات للنسائي)
  7. (تسمية من لم يرو عنه غير راو واحد للنسائي).
  8. (مختصر نصيحة أهل الحديث للخطيب البغدادي)
  9. (الرحلة في طلب الحديث للخطيب البغدادي)
  10. (الإجازة للمعدوم والمجهول للخطيب البغدادي)
  11. (مراسيل ابن أبي حاتم الرازي اعتناء وتقديم)
  12. (المدرج إلى المدرج للسيوطي)
  13. (تذكرة المؤتسي فيمن حدّث ونسي للسيوطي)
  14. (رواية الأكابر عن الأصاغر للباغندي)
  15. (رواية الأقران لابن حيويه)
  16. (تصحيفات المحدثين للعسكري)
  17. (تاريخ التصحيف للعسكري)
  18. (تاريخ الثقات لأبي حفص عمر بن شاهين)
  19. (الكامل في الضعفاء لابن عدي الجرجاني)
  20. (كتاب الضعفاء والمتروكين لأبي الحسن الدراقطني)
  21. (أحوال الرجال لأبي إسحاق إبراهيم بن يعقوب الجُوزجاني)
  22. (الكشف الحثيث عمن رمي بوضع الحديث لسبط ابن العجمي برهان الحلبي)
  23. (ذيل على ميزان الاعتدال لأبي الفضل العراقي)
  24. (تهذيب الأجوبة لابن حامد الحنبلي)
  25. (سؤالات المروذي والميموني وصالح لأحمد)
  26. (سؤالات أبي القاسم البغوي لأحمد)
  27. (سؤالات الآجري لأبي داود)
  28. (سؤالات إسحاق بن منصور الكوسج لأحمد وإسحاق بن راهويه)
  29. (بحر الدم لابن عبد الهادي)
  30. (تخريج أحاديث المنهاج للبيضاوي تأليف العراقي)
  31. (تخريج أحاديث المواقف للسيوطي)
  32. (تخريج أحاديث العقائد للسيوطي)
  33. (تخريج حديث أبي عمير)
  34. (موافقة الخُبْر الخَبَر في تخريج أحاديث المنهاج والمختصر)
  35. (الأحكام الوسطى لعبد الحق الأشبيلي)
  36. (انتقاض الإعتراض للحافظ ابن حجر)
  37. (اختلاف الفقهاء لمحمد بن نصر المروزي)
  38. (شعار أصحاب الحديث لأبي أحمد الحاكم)
  39. (كتاب الأشربة للإمام أحمد بن حنبل)
  40. (مسند عبد الله بن المبارك)
  41. (المنتخب من مسند عبد حميد)
  42. (مسند المقلين من الأمراء والسلاطين لتمام الرازي)
  43. (فضائل الكتاب الجامع لأبي عيسى الترمذي لعبيد بن محمد الإسعردي)
  44. (بستان المحدثين للشاه عبد العزيز الدهلوي)
Antara kitab-kitab yang disusun;

  1. (الكمال في تاريخ علم الرجال)
  2. (فن تخريج الأحاديث)
  3. (تخريج الأحاديث الواردة في كتاب محمد بن عبد الوهاب في رده على الرافضة)
  4. (مجموعة إجازاتي في السنة المشرفة)
  5. (حاشية عل الرسالة المستطرفة)
  6. (وجوب طاعة الرسول صلى الله عليه وسلم وأقوال أصحاب المذهب المتبوعة والصوفية في التمسك بها ونبذ ما سواها من الآراء)
  7. (شرح سنن ابن ماجه القزويني)
  8. (لطائف المنن في زوائد المستدرك على الصحيحين والسنن)
Sanad-sanad beliau telah dihimpunkan dalam beberapa buah kitab oleh murid-muridnya, seperti kitab Syeikh Muhammad Ziyad at-Tuklah berjudul (اللمعة في إسناد الكتب التسعة), kitab Syeikh Muhammad bin Ghazi bin Dawud al-Qurasyi al-Baghdadi berjudul (نعمة المنان في أسانيد شيخنا أبي عبد الرحمن ) dan juga kitab Badr bin ‘Ali bin Tami al-‘Utaibi berjudul (تحفة السامع والرائي بأسانيد الشيخ السيد صبحي السامرائي).

رحمه الله تعالى


Friday, June 28, 2013

Amalan Yang Menyebabkan Malapetaka Ditangguhkan

Hadis: Amalan Yang Menyebabkan Malapetaka Ditangguhkan

Soalan:

Assalamualaikum, nak tanya pasal hadis ni, boleh tolong tahkik tak?

Anas menceritakan beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :-
“ALLAH S.W.T BERFIRMAN : AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA KE ATAS SESUATU DAERAH APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KE MASJID, KASIH ANTARA SATU SAMA LAIN DEMI ALLAH DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN PADA WAKTU TENGAH MALAM”.

Terima Kasih.

Jawab:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Terjemahan di atas boleh jadi cuma makna hadis sahaja, sedang lafaz asalnya adalah sepertimana yang akan dinyatakan di bawah. Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Abu as-Syeikh, al-Bayhaqi dalam Syu‘ab al-Iman, Ibn an-Najjar dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil daripada Anas RA. Namun, pada sanadnya terdapat seorang perawi daif, iaitu Salih al-Murri. Matan dan maksudnya;
روي عن أنس بن مالك قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إنّ الله يقول: إني لأهم بأهل الأرض عذابًا فإذا نظرتُ إلى عُمَّار بيوتي والمتحابين فيَّ والمستغفرين بالأسحار صرفتُ عذابي عنهم.
(أخرجه أبو الشيخ والبيهقي فى شعب الإيمان وابن النجار وابن عدي في الكامل، وفي إسناده صالح بن بشير المري ضعيف، وقال النسائى وغيره : متروك)
Terjemahan:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: Sabda Rasulullah SAW: Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku adakalanya ingin sekali mengazab penduduk bumi, namun apabila Aku melihat orang-orang yang memakmurkan rumah-rumah-Ku, orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, dan orang-orang yang beristighfar di waktu dinihari, Aku pun menangguhkan azab-Ku terhadap mereka”.

Bagaimanapun, hadis tersebut disokong oleh dua riwayat lain; yang satunya ditemukan dalam kitab al-Musannaf susunan al-Hafiz ‘Abd ar-Razzaq (no hadis: 4740) dan satu lagi dalam kitab al-Awliya’ susunan al-Hafiz Ibn Abi ad-Dunya (no hadis: 76). Namun, kedua-dua sanad hadis dalam kedua-dua sumber tersebut juga adalah daif.

Keterangannya sepertimana berikut:

1. ‘Abd  ar-Razzaq (w. 211H) meriwayatkan hadis ini dalam al-Musannafnya dengan sanadnya daripada seorang lelaki daripada kalangan kaum Quraisy serta lain-lain yang tidak disebutkan nama mereka (majhul) yang menyandarkan hadis ini kepada Nabi SAW.

عَنْ مَعْمَرٍ، عَنْ رَجُلٍ مِنْ قُرَيْشٍ وَغَيْرِهِ يُرْجِعُونَهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قَالَ اللَّهُ: «إِنَّ أَحَبَّ عِبَادِي إِلَيَّ الْمُتَحَابُّونَ فِيّ، الذينِ يُعَمِّرُونَ مَسَاجِدِي، وَيَسْتَغْفِرُونَ بِالْأَسْحَارِ، أُولَئِكَ الَّذِينَ إِذَا ذَكَرْتُ خَلْقِي بِعَذَابٍ ذَكَرْتُهُمْ، فَصَرَفْتُ عَذَابِي عَنْ خَلْقِي».
Maksudnya:
Daripada Ma‘mar daripada seorang lelaki Quraisy dan lain-lain yang merujukkan hadis ini kepada Nabi SAW sabdanya: Firman Allah: “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang paling Aku kasihi adalah orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, yang memakmurkan masjid-masjid-Ku dan beristighfar di waktu dinihari. Merekalah orang-orang yang jika Aku ingin mengazab makhluk-Ku, lalu Aku teringatkan mereka, maka Aku pun tangguhkan azab-Ku terhadap makhluk-Ku itu”.

Terdapat dalam sanad di atas perawi-perawi hadis yang tidak disebutkan namanya (majhul). Ini menjadikan sanad hadis tersebut daif kerana status mereka tidak diketahui. Tambahan lagi, ianya terputus dan tidak bersambung (mursal) kerana perawi-perawi hadis yang tidak bernama tersebut dari kalangan golongan tabiin yang tidak bertemu dengan Nabi SAW.

2. Ibn Abi ad-Dunya (w. 281H) meriwayatkan hadis yang serupa dalam kitab al-Awliya’ daripada Khalid bin Ma‘dan, seorang tabii yang dipercaya (thiqah) daripada Nabi SAW.

عَنْ خَالِدِ بْنِ مَعْدَانَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "إِنَّ أَحَبَّ عِبَادِي إِلَيَّ الَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي، الَّذِينَ يُعَمِّرُونَ مَسَاجِدِي، وَيَسْتَغْفِرُونَ بِالْأَسْحَارِ، أُولَئِكَ الَّذِينَ إِذَا أَرَدْتُ أَهْلَ الْأَرْضِ بِعُقُوبَةٍ أَوْ بِعَذَابٍ، ثُمَّ ذَكَرْتُهُمْ، صَرَفْتُ عُقُوبَتِي عَنْهُمْ مِنْ أَجْلِهِمْ".
Maksudnya:
Daripada Khalid bin Ma‘dan katanya: Sabda Rasulullah SAW: (Firman Allah:) “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang paling Aku kasihi adalah orang-orang yang berkasih sayang kerana Aku, yang memakmurkan masjid-masjid-Ku dan beristighfar di waktu dinihari. Merekalah orang-orang yang jika Aku ingin menghukum atau mengazab penduduk bumi, kemudian Aku teringatkan mereka, maka Aku pun tangguhkan hukuman-Ku terhadap penduduk bumi disebabkan mereka itu”.
  
Sanad hadis ini juga daif kerana ianya terputus dan tidak bersambung (mursal). Ini disebabkan Khalid bin Ma‘dan, walaupun seorang tabii yang dipercayai (thiqah), beliau tidak pernah bertemu dengan Nabi SAW.

Walaupun, ketiga-tiga sanad hadis ini daif, namun ia saling kuat menguatkan yang dapat menafikan tanda kepalsuan padanya. Mungkin juga dapat menaikkan darjatnya daripada daif kepada hasan li ghairih.

Sekurang-kurangnya, jika daif, hadis ini masih dapat diguna pakai dalam bab fadha’il amal sebagai motivasi buat kita, kerana hadis daif menurut jumhur ulama tidaklah ditolak sepenuhnya. Cuma jika ingin menyampaikannya, tidak menyandarkannya secara pasti kepada Nabi SAW seperti berkata: “Nabi SAW bersabda”, “Nabi SAW mengkhabarkan” dan seumpamanya. Memadailah memulakan hadis ini dengan kata-kata yang menunjukkan nilai daif seperti: “Ada disebut dalam sebuah hadis”, “Ada diriwayatkan dari baginda Nabi SAW” dan seumpamanya.

Isi penting daripada hadis tersebut ialah;
-          Kelebihan amalan mengimarah atau memakmurkan masjid-masjid.
-          Kelebihan amalan berkasih sayang kerana Allah Taala.
-         Kelebihan amalan beristighfar memohon ampun kepada Allah Taala di waktu dinihari (suhur).

Wallahu a‘lam.