Tuesday, May 5, 2015

Dr. Sulaiman bin Ibrahim al-Baruhi رحمه الله


Beliau telah kembali ke rahmatullah pada jam 12 tengah hari, Isnin 4 Mei 2015 bersamaan 15 Rejab 1436H dalam usia 50 tahun. Sebelum ini beliau mengalami sakit batu karang di bahagian hempedu dan telah menjalani rawatan. Namun, sudah takdir Allah kesihatan beliau semakin merosot sehinggalah beliau koma tidak sedarkan diri pada 17 April lalu yang membawa kepada kematian beliau. Jenazah beliau telah diterbangkan pada hari Selasa dari Brunei ke Semenanjung Malaysia dan disembahyangi di Masjid UKM serta dikebumikan di perkuburan Sg. Tangkas, berdekatan Taman Universiti, Bangi.

Dr. Sulaiman dilahirkan pada 2 Mac tahun 1965 di Terengganu. Beliau adalah bekas pelajar Kolej Islam Klang dan merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan aktif. Beliau kemudian menyambung pelajarannya ke Universiti al-Azhar, Mesir di peringkat sarjana muda sehingga ke peringkat master.

Ketika zaman belajar, beliau juga seorang munsyid yang banyak mendendangkan lagu-lagu islamis. Ketika di Universiti al-Azhar, beliau pernah menggubah seni kata berikut yang berjudul ‘Sinaran al-Azhar’:

Sinaran Azhar penyuluh alam
Menyingkapi kejahilan
Sinaran Azhar engkau lambang
Keagungan kemegahan kami

Kemuliaan Islam telah dikembalikan
Dengan hidayah Al-Azhari
Di sana fajar menyinsing megah
Mengibar panji sinaran Islam.

Beliau menyambung pengajian ke peringkat Ph.D di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Di samping bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan,  Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Kemudian beliau ke Brunei bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Usuluddin (Akidah dan Dakwah), Universiti Islam Sultan Syarif Ali.

Memandang kepada kepakarannya, beliau pernah dilantik menjadi anggota majlis Jilsah Turuq Sufiyyah Negeri Sembilan. Bagi yang mengenalinya, Dr. Sulaiman merupakan seorang yang lemah lembut, tutur kata dan kelakuannya. Beliau seorang yang disenangi kerana peribadi dan pergaulannya yang baik dengan sesiapa sahaja. Beliau tidak pernah meninggikan suara atau memarahi sesiapa. Apabila beliau bertutur dalam bahasa Arab, ayatnya amat teratur, fasih dan jelas makhraj hurufnya.

Antara hasil penulisan beliau ialah:

  1. (الطرق الصوفية في ماليزيا وأثرها على الدعوة الإسلامية) tesis master di Fakulti Dakwah Islamiyyah, Universiti al-Azhar di bawah seliaan Prof. Dr. Muhammad ‘Abdul Mun‘im al-Barri tahun 1996. Tesis ini kemudian dicetak oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada tahun 2002. Tapi sayang, entah di mana silapnya karya yang sangat penting ini telah disenarai sebagai 'haram' oleh Jakim.
  2. Manhaj Dakwah Al-Syaykh Ibn 'Ata' Allah Al-Sakandariy dan Pengaruhnya di Malaysia. Thesis (Ph.D) Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2005.
  3. Al-Madkhal ila al-Tasawwuf al-Islami (2002). Shah Alam: Karisma Publications Sdn Bhd.
  4. (دراسة لمنهج الصوفية في الدعوة إلى الله في عالم الملايو) kertas kerja yang dibentang di Muktamar Sufi Sedunia yang Pertama pada 24-26 September 2011 di Pusat Muktamar Universiti al-Azhar, Mesir (http://www.soufia-hd.net/showthread.php?t=634).
  5. Tahkik Kitab Al-Aurad Al-Qusysyasyiyyah - Wirid Selepas Solat, al-Syeikh Abdul Rauf Singkel. Dengan disemak dan ditashih oleh Sahibus Samahah Dato Mohd Murtadza bin Haji Ahmad (diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus tahun 2006).
  6. Syarah Hikam Pengaruhnya Kepada Masyarakat Islam di Malaysia.
  7. Al-Tariqah al-Naqsyabandiyyah Fi al-Alam al-Malayuwiy Wa Maliziya: Mujaz Tarikhiha Wa Nasy’atiha Wa Intisyariha, Jurnal Korea Journal Of Islamic Culture, (diterbitkan oleh Korea Institute of Islamic Culture) Vol II, no: 1. 1998.
  8. Tasawwur Konsep Ketuhanan Dalam Agama Yahudi. Al-Mau'izah (Jurnal Pengajian Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia), Jilid 7, 1999.
  9. Al-Madkhal al-Wajiz Ila Tarikh al-Tariqah al-Shaziliyyah Fi al-Alam al-Malayuwiy Wa Maliziya, Jurnal al-Islamiyyat (diterbitkan oleh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia), Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Volume 22. 2001.

Masyarakat Islam Malaysia kehilangan lagi seorang tokoh ilmuwan yang banyak memberi sumbangan kepada ummah, khususnya dalam bidang dakwah dan tasawuf. Semoga Allah SWT merahmati roh beliau dengan limpahan rahmat yang luas. Amin…