Allah SWT telah menjamin di atas lisan Rasul-Nya SAW bahawa akan kekal satu kumpulan di kalangan umatnya berada di atas kebenaran sehingga tibanya hari kiamat kelak, walau apa jua pun aral yang menghalang dan mendatang kepadanya. Ini adalah jaminan bahawa intipati ajaran Islam itu pasti terpelihara dan dijaga oleh Allah SWT. Namun, hakikatnya kebenaran tersebut bukanlah dimiliki oleh satu pihak sahaja daripada berbagai-bagai pihak di kalangan umat Islam, tetapi ianya dimiliki dan dikongsi bersama oleh mereka.
Perasaan tamak dan loba dengan mengatakan bahawa kebenaran itu adalah milik pihaknya semata-mata, adalah suatu perbuatan yang mengundang bahaya, apatah lagi jika dilakukan tanpa cermat. Kenapa harus mahu tamak dan haloba? Jawapannya kerana itulah tabiat manusia, walaupun dalam perkara mencari kebenaran sekalipun.
Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). (al-Ma'arij: 19)
Pencarian tersebut walaupun asasnya didasari oleh keinginan untuk membuktikan rasa pengabdian, memberikan kebaktian, merebut rasa redha Tuhan, dan mendapatkan ganjaran syurga yang dijanjikan-Nya. Bagaimanapun, keinginan-keinginan yang mulia ini bukanlah mudah untuk dikecap seumpama melalui jalan yang terbentang lurus dan selesa. Ini kerana telah disediakan di sana berbagai halangan yang perlu ditempuh dan dilalui dengan sukar. Antara halangan terbesar dalam menempuh laluan ujian ini ialah perangkap syaitan dan hasutan hawa nafsu.
Sejarah telah membuktikan betapa ramai mereka yang tersungkur demi merealisasi keinginan-keinginan tersebut. Sebut sahaja ; Syiah, Khawarij, Batiniyyah, Qadariyyah, Jabariyyah, Muktazilah, Jahmiyyah, Mujassimah, golongan sufi yang sesat, pemalsu hadith yang jahil dan sebagainya. Justeru, sebagai pengajarannya perlulah kita mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku. Maka kita perlu kembali kepada wahyu yang agung dengan membuat penelitian yang lebih cermat dan halus. Berhati-hatilah dalam mengaplikasikannya agar keinginan-keinginan tersebut dapat direalisasikan dengan sempurna dan jaya.
Maka carilah titik persamaan dan kendurkanlah rasa keakuan, kerana sudah pasti kebenaran itu milik bersama.
2 comments:
salam ustaz maaf menggangu nak tanya yang off topik
ada satu ustaz bagitau saya, takhrij hadith kurang sesuai dibuat ada buku utk bacaan umum, sesuai utk buku akademik. alasanya takut fitnah pasal banyak amalan2 sekarang macam doa2, dll hadithnya tak sahih, adabyk yang mursal, kalau di Ta'yin kan dalam buku tu nanti ada pembaca yang tak paham langsung taknak amal dah
soalan: betul ke banyak amaln kita ni dari sumber hadith yang tak sahih/ mursal? mintak pandangan ustaz sket
tq
Pandangan ustaz tu berdasarkan rasional yang dikhuatirinya, namun penjelasannya perlu kepada perincian bukan umum begitu sahaja.
Kalau kitab2 klasik, sebaiknya pengajar kitab tersebut perlu mahir dengan darjat hadith2 supaya dapat menerangkan kedudukan sebenar hadith2 di dalamnya. Walaupun dalam kitab mengatakan hadith, tetapi ulama hadith mengatakan bukan hadith maka kita perlu membetulkannya. Pengarang kitab tidak salah kerana dia mungkin tidak tahu, tetapi kita yang salah kerana tidak membetulkannya. Manakala soal pengamalan hadith sedemikian pula perlu dilihat daripada aspek mana, jika setakat doa dan zikir atau ibadah ruhiyyah dan qalbiyyah masih dapat diamalkan di bawah nas umum walau tanpa kita mengatakannya sabit dari Nabi SAW, tetapi jika berkait dengan ibadah badaniyyah seperti solat2 tertentu maka ini perlu kepada nas yang sabit.
Saya berpendapat tidak ada masalah jika takhrij dibuat terhadap kitab2 tersebut dalam bentuk yang saya terangkan, ibarat menarik rambut daripada tepung... Banyak kajian sudah mula dijalankan dan kalau boleh saya katakan, sesetengah kitab klasik ini didapati 50% daripada hadith2nya adalah sahih dan hasan, manakala bakinya daif dan yang palsu sekitar 10%-20%. Maka anggaran ini menunjukkan tanggapan bahawa kebanyakan amalan kita bersumber dari hadith2 tidak sahih adalah tidak benar sama sekali.Malah hadith daif sekalipun masih dapat diamalkan di bawah bab fadha'il amal.
Perlu diketahui, sebenarnya masih ada banyak amalan dari hadith2 yang sabit yang belum kita amalkan, maka tidak perlu takut jika orang meninggalkan beramal dengan hadith2 yang tak sahih, asalkan kita menggantikannya dengan yang lain yang sahih dan tidak membiarkannya begitu sahaja. Bagaimanapun, setakat pengetahuan saya, kebanyakan amalan kita masih didasari oleh dalil-dalil dan nas-nas yang diiktiraf. Justeru, tanggapan berkenaan seperti yang dipertanyakan adalah tidak tepat. Saya tetap berpendapat takhrij amat perlu dibuat.
Itu yang berkait dengan kitab2 klasik. Manakala bagi kitab2 moden pula sudah sampai masanya takhrij hadith perlu dibuat kerana ianya sebagai penjamin kepada autoriti pengarang. Jika tidak, saya mencadangkan agar buku2 seperti itu lebih baik tidak dijadikan pegangan dan rujukan penting.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.