1- Pertamanya, tokoh yang akan dibicarakan ini mempunyai kaitan dengan aliran-aliran pemikiran yang bertelagah pada masa kini. Justeru saya mengharapkan tulisan ini dibaca dengan tenang, fikir dan sabar. Antara objektif saya sama sepertimana dalam tulisan-tulisan lain iaitu berbentuk defensif terhadap pendirian yang saya percayai dan memberi kefahaman terhadap kekeliruan yang berlaku menurut sekadar keupayaan saya, serta yang paling penting bertujuan meredakan pertentangan yang amat sengit antara aliran-aliran pemikiran ini agar ianya berlaku di dalam adab-adab yang betul, demi merealisasikan matlamat perpaduan ummah. Sebenarnya sudah banyak topik ini ditulis orang, namun ini adalah pandangan saya.
2- Nama tokoh ini popular dengan panggilan Ibn 'Arabi, namun beliau sendiri sebenarnya menuliskan namanya Ibn al-'Arabi (ada 'al-'), sama dengan gelaran Ibn al-'Arabi al-Maliki, tokoh mazhab Maliki yang masyhur. Manakala tokoh kita ini bermazhab Zahiri. Para peminatnya menggelarkan beliau "al-Syeikh al-Akbar" dan menganggapnya seorang wali besar. Namun, sebaliknya para pembencinya menganggap beliau sebagai seorang zindiq, sesat dan kafir. Dua pandangan yang sangat kontra antara satu sama lain.
3- Beliau adalah tokoh yang menjadi idola kebanyakan ahli sufi, walaupun ada antara ahli sufi yang mengkritiknya dan tidak mengiktiraf beliau sebagai wali. Justeru amat banyak kita dapati di dalam rujukan-rujukan yang berbentuk tasawuf memberikan rasa hormat dan kagum terhadap pandangan-pandangan Ibn 'Arabi ini. Malah ramai ulama yang menyusun kitab khusus untuk mempertahankan kredibiliti dan ketokohan beliau daripada serangan para pengkritiknya seperti Imam al-Suyuti, al-Fairuzabadi dan lain-lain. Secara umumnya pada masa sekarang jumhur ahli sufi dan kebanyakan aliran tradisional adalah di atas kepercayaan pada kewalian Ibn 'Arabi serta menyanjung beliau. Antara tokoh semasa yang menulis tentang ketokohan beliau ini di dalam kitab mereka atau di dalam kitab khas ialah; guru kami, Prof. Dr. Judah Abu al-Yazid al-Mahdi, naib rektor Universiti al-Azhar sekarang, di dalam bukunya (بحار الولاية المحمدية في مناقب أعلام الصوفية), al-'Allamah Syeikh 'Abdullah al-Talidi, tokoh ulama hadith Maghribi, di dalam bukunya (المطرب بمشاهير أولياء المغرب), Prof. Zakaria Stapa, UKM dan ramai lagi.
4- Itu adalah hakikat di dalam aliran tradisional. Manakala di sisi aliran yang bertentangan iaitu aliran "tajdid" (wahabi, salafi etc.) mereka menganggap Ibn 'Arabi adalah tokoh zindiq besar yang perlu diperangi pemikirannya habis-habisan. Idola mereka dalam medan ini ialah Ibn Taymiyah. Ini kerana Ibn Taymiyah adalah antara orang yang lantang menyelar pemikiran Ibn 'Arabi, walaupun beliau pada mulanya amat mengkagumi tulisan-tulisannya. Namun setelah membaca kitab 'al-Fusus' beliau bertukar fikiran kepada mengkufurkan Ibn 'Arabi. Secara umumnya, sehingga sekarang serangan aliran "tajdid" terhadap aliran tradisional adalah juga berkaitan dengan perselisihan dalam kefahaman ini. Mana-mana ulama yang mendokong atau menyokong fahaman Ibn 'Arabi mudah sahaja dihukumkan mereka sebagai sesat dan bidaah! Walaupun mereka itu terdiri daripada sejumlah besar ulama dan tokoh ummah...
5- Dari sudut yang lain, sebahagian aliran tradisional bertindak mempertahankan pendirian mereka lalu membawa pula kepada membongkar kesalahan-kesalahan Ibn Taymiyyah. Natijahnya mereka melihat Ibn Taymiyyah sebagai seorang tokoh yang sesat serta keliru, dan sebagai penganut ajaran Mujassimah (Tuhan bersifat makhluk). Nah, suatu gambaran yang berbeza daripada yang diberikan oleh pemintanya sebagai "mujaddid" dan "Syeikhul- Islam". Maka percaturan sengit ini berterusan sehinggalah sekarang ini dan jika tidak ditangani ianya akan menjadi lebih mudarat.
6- Penyelesaian secara teori mudahnya bagi merealisasikan matlamat perpaduan antara aliran-aliran ini ialah jika semua ahli sufi dan aliran tradisional dapat menerima Ibn Taymiyyah, setidak-tidaknya menerima pemikirannya yang bernas dan mengenepikan pandangannya yang ganjil, dan semua golongan "tajdid" (salafi, wahabi, islahi, etc.) dapat menerima Ibn 'Arabi, setidak-tidaknya mengakui kedudukan istimewa beliau di dalam jiwa ahli sufi dan menerima alasan-alasan yang diberikan oleh mereka seperti syatahat dan tulisan-tulisan yang diselewengkan oleh musuh, maka jika ini dapat dilaksanakan bererti satu harapan baru dan satu langkah yang baik ke arah penyatuan ummah.
7- Perkara yang saya huraikan ini juga ada disentuh oleh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti di dalam bukunya "al-Salafiyyah". Malah saya melihat sebahagian ulama yang telahpun berbuat demikian yang sewajarnya dicontohi dan diteladani oleh kita semua sepertimana yang dapat dilihat dalam tulisan-tulisan mereka yang mengambil pandangan dan pemikiran bernas Ibn 'Arabi dan Ibn Taymiyyah sekaligus, seperti 'Allamah al-Syam Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi al-Dimasyqi, Syeikhul-Hadith Mawlana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, Mufti Mesir Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf dan lain-lain. Termasuklah Syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah, tokoh kajian master saya, saya dapati beliau amat menghormati pendirian ahli-ahli sufi dan tidak merendahkan martabat mana-mana tokoh tasawuf apabila nama mereka disebutkan, termasuklah Ibn 'Arabi. Seingat saya ada dua tempat beliau memetik kata-kata bernas Ibn 'Arabi di dalam nota kaki Risalah al-Mustarsyidin kerana menyokong kata-kata berkenaan, melalui petikan kitab Faidhul Qadir oleh Imam 'Abdul Ra'uf al-Munawi.
8- Sebahagian ulama yang mengkritik Ibn Taymiyyah amat berhati-hati dalam mengkritiknya kerana yang dikritik ialah pemikirannya, bukan peribadinya seperti guru kami, Syeikh Dr. Mahmud Sa'id Mamduh, Dr. Salahuddin al-Idlibi, Dr. 'Umar 'Abdullah Kamil, al-Marhum Imam Dr. al-Sayyid Muhammad 'Alawi al-Maliki dan lain-lain. Justeru mereka mengucapkan tarahhum (menyebut rahimahullah atau rahmatullah 'alaih) apabila menulis nama Ibn Taymiyyah. Inilah adab yang betul dalam berbeza pendapat. Maka, perlu kita tanyakan apakah golongan "tajdid" ini berbuat demikian apabila menulis nama Ibn 'Arabi ketika mengkritiknya???!!!... Inilah pendirian dan pandangan saya (وما توفيقي إلا بالله). Wallahu a'lam.
________________
Pautan-pautan lain:
2 comments:
Idea yg sgt bernas.
Jzzk.
Isu serupa pernah saya tulis 11 tahun dulu ketika di Mesir dan disiarkan dalam Suara Kampus Tanta bertajuk 'Perang Dingin Sufi-Salafi'. Sayangnya masa tu saya tiada disket. Jika tidak mungkin saya dapat siarkan semula di blog ini.
ما شاء الله كان...
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.