"Maaf sekiranya soalan saya ini agak menukik (maksudnya bersifat tajam).. iaitu Syeikh Yasin al-Fadani ada mengatakan tentang Syeikh Nasiruddin al-Albani sebagai dhal mudhil (sesat lagi menyesatkan), maka apakah pandangan ustaz mengenainya?" Soal seorang mahasiswa Indonesia.
Memang agak 'menukik' kerana soalan itu didengar oleh semua hadirin yang ada, termasuk pembentang-pembentang kertas kerja yang terdiri daripada profesor-profesor, doktor-doktor, para pensyarah, para pengkaji/ penyelidik, dan para mahasiswa universiti. Dan soalan yang ditujukan kepada saya itu pastinya perlu dijawab kerana kertas kerja saya berhubung tentang Syeikh Yasin Padang.
Malah saya juga tahu bahawa di UKM ini ada pendokong-pendokong Syeikh al-Albani, atau orang-orang yang melihat al-Albani sebagai tokoh hadith yang tidak wajar direndah-rendahkan. Maka jawapan saya itu pastinya ditunggu-tunggu oleh semua orang yang hadir.
Dalam situasi yang kurang enak ini saya perlu berhati-hati mengeluarkan jawapan bagi soalan tersebut. Saya tidak mahu dilihat agak condong menghentam Syeikh al-Albani kerana tentunya orang akan mempersoal kelak siapa saya berani untuk mengkritik al-Albani. Walaupun beliau pada masa hayatnya banyak dikritik oleh ramai ulama hadith seperti Syeikh Habibur Rahman al-A'zami, Syeikh 'Abdullah al-Ghumari, Syeikh Ibrahim Mulla Khatir, Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh, Syeikh Hasan al-Saqqaf, Syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah dan lain-lain, terutama daripada aliran tradisional .
Manakala yang mempertahankan Syeikh al-Albani juga ramai, terutama murid-muridnya dan mereka yang beraliran 'Salafiyyah-Athariyyah-Wahhabiyyah'.
Sebelum pembentangan kertas kerja itu pun, ketika minum pagi ada yang bertanya saya tentang pandangan saya terhadap Syeikh al-Albani. Maka saya jawab ringkas: "Beliau adalah seorang penyelidik hadith". Kemudian saya tambah: "Ada syeikh yang telah mengkaji tentang hadith-hadith yang dihukum oleh al-Albani dan didapati ada 10,000 kesalahan". Pada masa itu saya agak kurang pasti sama ada beliau ialah Syeikh Ahmad Darwisy atau Syeikh 'Abdullah Muhammad 'Akur, lalu saya katakan namanya ialah Syeikh Ahmad Darwisy kerana beliau juga ada mengkritiknya. Padahal kenyataan itu adalah dari Syeikh 'Abdullah 'Akur, dan bilangan tersebut ialah bilangan tanaqudh (percanggahan fakta). Lihat sini.
Tatkala saya menjawab, nampaknya semua yang hadir senyap dan memasang telinga ingin mendengar jawapan. Jawab saya:
"Memang ada dikatakan kata-kata tersebut diungkapkan oleh Syeikh Yasin al-Fadani, namun tidak saya pasti sama ada ia dicatat dalam mana-mana karyanya atau ia hanya sebagai jawapan kepada pertanyaan anak muridnya lalu dituliskan kenyataan tersebut. Kritikan yang berlaku sesama ulama ini sebenarnya sudah berlaku sejak lama dahulu, seperti yang berlaku antara Imam Ahmad bin Hanbal dengan Imam al-Harith al-Muhasibi,... antara Imam Malik dengan Muhammad bin Ishaq imam Ahli al-Maghazi. Kritikan ini adakalanya agak berat seperti kritikan Imam Malik terhadap Ibn Ishaq sebagai kazzab (pendusta) sedangkan ianya tidak benar. Maka kritikan-kritikan sebegini perlu diteliti kembali apakah ianya benar terhadap orang yang dikritik. Ia disebut dalam ilmu al-jarh wat ta'dil sebagai kalam al-aqran, iaitu kritikan ulama yang hidup sezaman.
Kritikan-kritikan ini berpunca daripada banyak sebab.. antaranya ialah munafasah 'ilmiyyah iaitu pergeseran-pergeseran ilmiah yang berlaku di antara mereka. Maka berbalik kepada Syeikh al-Albani, kritikan Syeikh Yasin Padang itu kelihatan agak berat. Barangkali kerana Syeikh Yasin Padang melihatnya bukan sebagai ahli hadith kerana Syeikh al-Albani tidak mempelajari hadith mengikut tradisi ulama-ulama hadith, iaitu secara bertalaqqi kitab daripada kulit ke kulit,... dari awal hingga akhir serta menerima ijazah sanad. Ini yang dilalui oleh Syeikh Yasin Padang (sehingga guru-guru sanadnya sekitar 700 orang), manakala Syeikh al-Albani pula tidak mengikut tradisi demikian, malah beliau tidak mempunyai sebarang ijazah sanad kecuali daripada Syeikh Muhammad Raghib al-Tabbakh secara ijazah umum sahaja... wa Allahu a'lam..."
Saya tamatkan jawapan saya di situ.
___________
* Dengan nota:
Mereka semua telah kembali ke rahmatuLlah dan yang tinggal ialah hasil pemikiran mereka, maka bukan suatu kesalahan untuk kita membincangkan hasil pemikiran tersebut, dan bukan peribadi mereka, di samping kita mengucap tarahhum terhadap mereka.
- Situasi di atas memang benar-benar 'menukik'...
Mereka semua telah kembali ke rahmatuLlah dan yang tinggal ialah hasil pemikiran mereka, maka bukan suatu kesalahan untuk kita membincangkan hasil pemikiran tersebut, dan bukan peribadi mereka, di samping kita mengucap tarahhum terhadap mereka.
- Situasi di atas memang benar-benar 'menukik'...
1 comment:
Assalamualaikum! Isu kritikan dan celaan terhadap Al Baniy bukan sekadar 'tajrih bainal aqran', tetapi akibat kelancangan Al Baniy sendiri yang banyak mencela Ulama'besar. Antaranya Imam An Nawawi, Imam Ibnu Hajar Al Asqalani dan ramai lagi. Sehingga berani mengatakan alim itu bodoh, alim ini singkat aqal dsbnya. Celaan Al Baniy ini dikumpul dalam satu kitab yang dinamakan "Qamus Syatai'm Al Baniy'. Wa Allahu A'lam.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.