Barangkali orang yang ingin menghapuskan aliran Salafiyyah 100% adalah orang yang tidak realistik kerana motto mereka yang mudah iaitu 'berpegang kepada al-Quran dan sunnah berdasarkan fahaman salafus soleh' (tentunya menurut acuan dan kefahaman mereka) amat diyakini sepenuhnya oleh mereka. Namun, impian tersebut dikira realistik jika ingin mengubah cara pemikiran aliran tersebut dari sikap keras dan ekstrem kepada sikap sederhana dan terbuka. Dari Salafiyyah Takfiriyyah (pengkafir) kepada Salafiyyah Mu'tadilah (toleransi) yang dapat menerima perbezaan pendapat yang sah, walaupun dalam isu-isu yang paling mencabar demi memastikan keharmonian dan perpaduan ummah.
Syeikh Muhammad Hassan, tokoh pendakwah popular dari Jamaah Ansar al-Sunnah Mesir mula dilihat cenderung ke arah berkenaan. Beliau boleh dianggap dalam kalangan aliran Salafiyyah yang mula condong kepada sifat sederhana dan toleran. Pada Selasa lepas (10 Mei), beliau telah mengadakan pertemuan buat pertama kalinya dalam sejarah 'perang dingin' ini dengan Syeikhul Azhar Dr. Ahmad al-Tayyib dan juga Mufti Mesir Dr. 'Ali Jum'ah bagi membincangkan soal perpaduan dan isu fitnah.
Syeikh Muhammad Hassan dan Mufti 'Ali Jum'ah
Syeikhul Azhar dan Syeikh Muhammad Hassan
Sebelum itu (pada 3 Mei), Dr. Muhammad Badi', mursyid am Ikhwan Muslimin Mesir turut mengadakan pertemuan buat pertama kalinya dengan Syeikhul Azhar Dr. Ahmad al-Tayyib bagi membincangkan soal kerjasama dan perpaduan. Alhamdulillah, ramai yang menyambut baik sesi-sesi pertemuan dan dialog ini. Nampaknya banyak aliran pemikiran Islam di Mesir mula melihat kepentingan bersatu padu bagi membina sebuah masyarakat Islam yang lebih baik dan cemerlang. Masing-masing juga akur dengan ketuanan al-Azhar yang sudah bertapak lebih dari 1000 tahun agar terus dipelihara dengan baik. Mudah-mudahan bunga-bunga harapan ini juga dapat menjalar ke tempat-tempat lain.
P/S: Pertemuan Syeikh Muhammad Hassan (Salafi) dengan Mufti Dr. 'Ali Jum'ah (Sufi) mengingatkan saya kepada pertemuan Syeikh al-Habib 'Ali al-Jufri (Sufi) dengan Syeikh Dr. 'A'idh al-Qarni (Salafi) yang juga pernah dimuatkan dalam blog ini dahulu (lihat sini).
1 comment:
semoga Allah Memberi rahmat kepada kita
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.