Pages

Saturday, June 11, 2011

Syarah Hadis al-Nughair

Matan Hadis

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُ عَلَيْنَا، وَلِي أَخٌ صَغِيرٌ يُكْنَى أَبَا عُمَيْرٍ، وَكَانَ لَهُ نُغَرٌ يَلْعَبُ بِهِ، فَمَاتَ، فَدَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَرَآهُ حَزِينًا، فَقَالَ: مَا شَأْنُهُ؟ قَالُوا: مَاتَ نُغَرُهُ. فَقَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ؟ رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي وابن ماجه واللفظ لأبي داود: 4318.

Terjemahan

Dari Anas bin Malik RA katanya: Rasulullah SAW sering menjenguk kami, dan aku mempunyai seorang adik lelaki kecil yang dipanggil Abu ‘Umair. Dia mempunyai seekor burung kecil dan selalu bermain dengannya. Suatu ketika burung itu mati. Maka suatu hari Rasulullah SAW menjenguknya dan melihatnya sedang bersedih. Lalu baginda bertanya: Apa hal dengannya? Orang-orang menjawab: Burung kecilnya telah mati. Lantas baginda bertanya kepadanya: Wahai Abu ‘Umair, apa yang dibuat oleh si-burung kecil? (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Syarah Hadis

Abu ‘Umair adalah kunyah (nama panggilan) bagi Hafs bin Zaid bin Sahl al-Ansari. Beliau adalah saudara seibu Anas bin Malik r.a., dan ibu mereka adalah Ummu Sulaim binti Malhan. Beliau telah wafat sewaktu masih kecil di masa Nabi SAW masih hidup lagi. Seolah-olah seperti kematian burung belaan kesayangannya itu juga adalah tanda bagi kehampiran ajalnya yang telah dapat dibaca oleh Nabi SAW. Lantas Nabi SAW menghampirinya bagi menghiburkannya dari kesedihan dan rasa duka. Sebab itu, Nabi SAW memanggilnya dengan Abu ‘Umair, kerana ‘Umair adalah isim tasghir (kata nama bagi menyifatkan kecil atau sedikit) kepada ‘umr, yakni umur atau usia, seolah-olah Nabi SAW tahu bahawa umurnya tidak panjang. Agar sepadan dengan panggilan ‘Umair, maka baginda telah menyebut kalimah nughar itu dengan sebutan isim tasghir juga, iaitu nughair kerana hayat burung tersebut juga tidak panjang.

Burung kecil dalam hadis ini disebut nughar. Dalam bahasa Inggeris, ia disebut finch. Burung finch mempunyai pelbagai spesis, di antaranya yang tinggal di Semenanjung Tanah Arab. Ada yang menterjemahkan nughar dalam hadis ini sebagai burung pipit (lihat bawah). Namun sebenarnya, burung ini seperti jenis burung pipit, namun ia agak berbeza sedikit kerana paruhnya berwarna merah. Ada pengkaji yang menyebut jenisnya secara spesifik, iaitu jenis trumpeter finch kerana ianya banyak di Hijjaz (lihat atas). Wallahu a'lam.

Menurut Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah, ada ulama yang telah mensyarahkan hadis ini di dalam sebuah karya khusus, dan telah mengeluarkan daripadanya lebih dari 60 faedah dan pengajaran. Beliau ialah Abu al-‘Abbas Ahmad Ibn al-Qas al-Tabari al-Syafi’i (Fath al-Bari, 10/481). Ada pula yang telah mengeluarkan daripadanya lebih dari 300 faedah (al-Taratib al-Idariyyah oleh ’Abd al-Hayy al-Kattani, 2/150). Dikatakan, Ibn al-Sabbagh telah membawakan di dalam sebuah majlis pengajiannya di Miknasah, Maghrib, sebanyak 400 faedah daripada hadis ini! (Nafh al-Tayyib oleh al-Maqqari, 6/215). Allah… Allah…

Di antara faedah dan pengajaran daripada hadis di atas ialah:

- Pada hadis ini terdapat suatu hukum, iaitu boleh memberi kepada anak-anak kecil berupa binatang belaan kesayangan untuk dijadikan teman bermain. Maka membela dan memiliki binatang kesayangan seperti burung, ikan, kucing dan sebagainya hukumnya adalah harus. Asalkan bukan dengan tujuan untuk diseksa.

- Sehubungan dengan itu, jual belinya juga dikira harus. Namun, ulama berbeza pendapat mengenai jual beli kucing kerana terdapat larangan tentangnya. Kebanyakan ulama dari mazhab yang empat mengharuskannya. Manakala sebahagian ulama pula mengharamkannya, seperti Imam Ahmad (dalam salah satu riwayat darinya), al-Bayhaqi, al-Nawawi, Ibn al-Qayyim, al-Syawkani, mazhab Zahiriyyah dan lain-lain.

- Termasuk juga, harus menyediakan tempat bagi binatang belaan tersebut seperti sangkar, akuarium dan sebagainya. Maka jual belinya juga dikira harus.

- Harus memberi barang yang dapat menggembirakan dan menghiburkan anak-anak kecil, seperti barang permainan, anak patung dan seumpamanya. Dan wang yang dibelanjakan dianggap bukan pada perkara yang sia-sia, asalkan tidak berlaku boros dan membazir.

- Hadis ini menunjukkan akhlak mulia Rasulullah SAW yang tidak berbelah bahagi di antara orang-orang yang ada di sekelilingnya. Keramahan, keakraban dan perhatian baginda terserlah terhadap semua orang, baik yang dewasa mahupun yang kanak-kanak. Kemesraan baginda ini sentiasa disesuaikan dengan setiap keadaan.

- Harus memberi gelar kepada seorang anak kecil secara kunyah (nama panggilan), seperti Abu ‘Umair di atas, yang bermaksud ‘bapa ‘Umair’, walaupun beliau masih kecil dan pastinya tidak mempunyai anak yang bernama ‘Umair, yang dalam bahasa Arab dikenal sebagai isim tasghir. Ia adalah adat kebiasaan orang Arab, namun adat ini tiada dalam masyarakat Melayu.

- Menurut Imam al-Tirmizi, hadis di atas menunjukkan bahwa Rasulullah SAW bergurau, iaitu dengan memanggil seorang anak kecil dengan panggilan Abu ’Umair. Baginda juga tahu burung kecil itu telah mati, tapi baginda masih bertanya kepada anak kecil tersebut mengenainya. Ajaran Islam bukanlah bersifat pasif dan kaku. Justeru, bersenda gurau adalah harus, asalkan ianya tidak melampaui batas.

- Kita tidak boleh bersifat sombong dan takbur. Apatah lagi sebagai seorang pemimpin (keluarga, kampung, daerah, negeri, dsb) dan perlu bercampur gaul dengan pelbagai lapisan orang di bawah pimpinannya, walaupun hanya seorang anak kecil.

- Para ulama dan ahli ilmu perlu bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat dan berinteraksi dengan mereka berdasarkan tahap akal pemikiran masing-masing. Sesuatu penyampaian haruslah disesuaikan dengan kedudukan orang yang mendengarnya. Harus juga bagi mereka membawa ilmu kepada orang yang dapat memanfaatkannya.

Wallahu a’lam.

4 comments:

al-fagir abu zahrah said...

Assalamu'alaikum,
Ustaz, mohon untuk al-fagir kongsikan di blog nanti ya. Insyaallah beserta dengan adab2 nukilan. :)

Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta'ala said...

تفضل يا سيدي

Anonymous said...

Assalamu alaikum ustaz,

Ana mohon izin untuk panjangkan manfaat kupasan ustaz di blog ana ya. Bahkan ana letakkan blog ustaz sebagai bahan bacaan di blog ana.

atas keizinan ustaz ana ucapkan jazakaLlahu khairal jaza'.

Unknown said...

Assalamualaikum ustaz,

ana mohon izin untuk kongsikan ilmu di facebook ya.

ana dahulukan dengan jazakallahu khairal jaza'.

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.