Pages

Wednesday, November 16, 2011

Takzim Syar‘i: Kecintaan, Bukan Pendewaan

Kedudukan syeikh/wali dalam tasawuf sering disalahertikan oleh orang yang memusuhinya. Faktornya datang sama ada dari prasangka yang buruk terhadap golongan sufi, ataupun berpunca dari tingkahlaku sesetengah pengikut sufi yang menyeleweng. Adab menghormati syeikh sering dikaitkan dengan pendewaan dan pemujaan (taqdis). Sedangkan asal adab ini diambil dari akhlak golongan yang dipuji dan diredai oleh Allah s.w.t. Amat banyak dalil yang menunjukkan bagaimana adab para sahabat yang tinggi terhadap baginda Rasulullah s.a.w.

Antaranya, ‘Urwah ibn Mas’ud pernah menggambarkan keadaan para sahabat r.a. bersama Nabi Muhammad s.a.w. Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya kepada al-Miswar ibn Makhramah dan Marwan, kedua-duanya berkata: ‘Urwah pun kembali kepada kaumnya. Dia berkata, “Wahai kaumku! Demi Allah, sesungguhnya aku telah beberapa kali diutus kepada raja-raja. Aku pernah diutus kepada Qaisar (Raja Rom), Kisra (Raja Parsi) dan Najasyi (Raja Habsyah). Demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang raja yang diagungkan oleh sahabat (rakyat)nya, seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Muhammad s.a.w. Demi Allah, tidaklah beliau berludah, kecuali ludahnya itu jatuh di atas telapak tangan seseorang daripada mereka. Lalu dia menggosok ludah itu ke muka dan kulitnya. Jika beliau menyuruh mereka, mereka berebut-rebut untuk melaksanakan perintahnya. Apabila beliau berwuduk, hampir saja mereka saling berbunuhan kerana merebutkan air wuduknya. Apabila mereka berbicara, mereka merendahkan suara di sisinya. Mereka juga tidak menajamkan pandangan kepadanya kerana membesarkannya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Para sahabat r.a. telah menggariskan satu bentuk takzim yang terus diikuti oleh generasi seterusnya terhadap baginda Rasulullah s.a.w. yang dapat kita istilahkan sebagai bentuk takzim yang syar’i. Takzim syar’i ini ialah satu bentuk kecintaan dan penghormatan dalam batas-batas yang diterima oleh syarak yang tidak mengeluarkan sifat seseorang manusia itu daripada sifat makhluk kepada sifat Khaliq. Ini juga adalah sebahagian daripada hakikat tawassul yang dibenarkan oleh syarak.

Baginda Rasulullah s.a.w. juga mengajar kita supaya menghormati para alim ulama, para wali Allah dan semua mereka yang mempunyai kedudukan dan hak untuk dihormati. Adakalanya sesetengah mereka lebih berhak untuk dihormati dan dikasihi oleh seseorang itu berbanding sesetengah mereka yang lain, terutama kerana keterikatan dan keterkaitan dalam hubungan yang disimpulkan. Maka hak yang lebih itu, tidak mungkin akan membawa kepada pendewaan dan pemujaan yang berlebihan melainkan jika dibawa oleh orang-orang yang jahil dan sesat. Orang mukmin yang waras dapat membezakan antara kedudukan Khaliq dan makhluk. Malahan golongan sufi yang masih mentah sekalipun dapat membezakan antara takzim yang syirik dan takzim yang syar’i.

Allah s.w.t. telah menetapkan sistem kedudukan dan martabat manusia yang berbeza agar mereka dapat saling berkerjasama dan hormat menghormati dalam membentuk kehidupan yang lebih sempurna dan tiada berlaku kacau bilau. Pendewaan dan pemujaan sesama manusia hanya terbentuk dalam minda golongan yang jahil tentang kesucian agama Islam itu sendiri. Tanpa ilmu dan pedoman, ia dapat membawa mereka masuk terjerumus ke dalam lembah kesyirikan.

Sayyidi Syeikh Ahmad bin Mustafa al-‘Alawi (w. 1351H), seorang syeikh Tariqat Syaziliyyah yang masyhur di Algeria, pernah ditanya tentang pandangan orang yang mengatakan bahawa mentakzim makhluk, merendah diri di hadapannya, dan menghina diri di ‘muka pintu’nya adalah dianggap sebagai satu bentuk peribadatan/penyembahan, dan penyembahan selain dari Allah pula adalah dianggap syirik sebagaimana makna syirik itu sendiri. Jika begitu, apakah jalan keluarnya?

Beliau menjawab: Jika mentakzim makhluk dan merendah diri di hadapannya dianggap sebagai syirik kepada Allah, nescaya akan gugurlah kehormatan para nabi dan rasul a.s., dan juga kehormatan para pengikut mereka dari kalangan imam-imam Islam, dan nescaya manusia akan menjadi cacamerba, di mana tidak ada perbezaan antara orang yang mulia dan orang yang hina, serta orang yang mengikut dan orang yang diikuti. Pada hal, syariat yang mulia telah datang kepada kita dengan prinsip yang bertentangan dengan prinsip tersebut di atas satu garis yang lurus. Justeru, kami tidak akan memanjangkan kata-kata bagi menguatkan hujah kami tentang masalah ini, kerana perkara ini adalah jelas.

Dalam erti kata lain, apa yang dilihat oleh golongan ini bahawa mentakzim makhluk itu dianggap dapat mencemarkan ketauhidan, nescayalah Allah tidak akan menyuruh para malaikat bersujud kepada Adam. Maka mereka pun bersujud, sedang mereka adalah golongan yang suci dari melakukan sebarang bantahan, apatah lagi kesyirikan. Tidak syak lagi bahawa bersujud itu adalah sehabis-habis batas merendah dan menghina diri serta mentakzim, maka hak bersujud itu tidak dapat diberikan melainkan hanya kepada Allah sahaja. Apakah ada orang yang sanggup mengatakan; bahawa Allah telah mensyariatkan bagi para malaikat itu menyembah yang selain-Nya dengan sebab suruhan-Nya kepada mereka untuk bersujud? Maha suci Allah, jika ada seorang mukmin yang mengatakan demikian.

Dan juga, jika perkara yang seumpama ini dapat menandingi martabat tauhid yang suci, nescaya tidak akan sujud Yakub a.s. yang bersifat siddiq, isteri dan sebelas orang anak-anaknya kepada Yusuf a.s. sepertimana yang dikhabarkan oleh Allah tentang mereka di dalam al-Quran. Dan juga, apakah ada orang mukmin yang percaya bahawa mereka semua telah pun syirik kerana sujudnya mereka itu kepada Yusuf, dan Allah menggugurkan amalan mereka dengan sebab itu? Tidak sekali-kali, dan seribu kali tidak.

Namun, kami tidak mahu untuk mensabitkan dengan kisah tersebut akan keharusan bersujud kepada makhluk, di samping kita sendiri tiada sebarang makluman pun tentang kaifiatnya. Dan had batasan seseorang itu, kita percaya bahawa tiada persaingan antara mentakzim makhluk - jika sahih nisbahnya kepada Allah (seperti utusan Allah, rumah Allah, wali Allah dsb) - dan antara mentakzim Allah ‘azza wajalla, bahkan kita percaya mentakzim makhluk itu adalah untuk mentakzim Allah jua, atas batasan firman-Nya: “Sesiapa yang mentaati Rasul sesungguhnya ia telah mentaati Allah” (al-Nisa’: ayat 80), atas dasar bahawa terkandung juga di dalam nas tersebut makna; sesiapa yang mentakzim Rasul, sesungguhnya ia telah mentakzim Allah. Dan tidak kami maksudkan dengan takzim di sini melainkan takzim yang syar’i. Dan takzim syar’i itu ialah kamu menyerahkan bersamanya kedudukan Khaliq kepada Allah ‘azza wajalla dan kedudukan makhluk pula kepada yang selain-Nya. Ini berdasarkan satu ibarat.

Manakala dengan ibarat lain, jika keengganan untuk mentakzim makhluk dan bersikap tidak peduli dengan kedudukannya itu dianggap suatu kemuliaan dan dianggap memelihara tauhid yang suci kepada Allah ‘azza wajalla, nescaya Iblis-lah yang akan berjaya merebut keistimewaan itu sebelum sesiapa pun jua, kerana dialah pendakwa pertama yang mengetengahkan prinsip tersebut. Dan menurut fikiran saya, dia masih lagi mengekalkannya hingga kini. Secara umumnya, takzim yang syar’i kepada golongan pilihan Allah itu apabila terangkat daripada hati – wal ‘iyazu biLlah - tidak akan ada lagi yang tinggal selepasnya melainkan hanya penghinaan (kepada mereka pula). Semoga Allah memelihara kita. Wassalam.

Demikian jawapan Sayyidi Syeikh Ahmad bin Mustafa al-‘Alawi رحمه الله. Beliau menegaskan bahawa takzim yang syar’i itu bukanlah takzim syirik seperti yang didakwa oleh sesetengah orang. Disiplin kesufian amat menekankan ketauhidan yang suci kepada Allah s.w.t. melalui zikir nafi dan ithbat di bawah bimbingan guru yang perlu ditunaikan hak adab-adabnya. Maka, dari mana pula datangnya pendewaan dan pemujaan (taqdis) atau takzim syirik itu??

Wallahu a’lam.


Monday, November 14, 2011

Imam al-Kawthari dan Tradisi Periwayatan Hadis


Imam Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari bukan sahaja seorang yang alim dalam bidang fiqh, usul dan akidah, bahkan beliau juga seorang yang alim dalam bidang hadis. Kitab sanadnya, al-Tahrir al-Wajiz yang ditahkik oleh al-‘Allamah Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah adalah antara bukti kenyataan ini.

Ada satu kisah tentang Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari yang sudah lama ingin saya kongsikan kerana di dalamnya mengandungi satu iktibar yang boleh kita renungkan. Iaitu suatu gambaran tentang kesungguhan dalam memastikan persambungan tradisi periwayatan hadis dalam satu situasi zaman di mana para pelajar dan para ilmuwan di al-Azhar, Mesir pada masa itu sudah tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang penting. Tradisi periwayatan hadis pada waktu itu sudah kurang popular, tidak lagi sepertimana di zaman-zaman sebelumnya.

Syeikh Dr. Muhammad Rajab al-Bayyumi (1923 - 2011) pernah menceritakan pengalamannya bersama ‘Allamah al-Syam Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Maghribi (1868 - 1956), murid Muhaddith al-Syam Syeikh Badr al-Din al-Hasani dan salah seorang sahabat Syeikh Muhammad ‘Abduh, yang pernah membawanya ke suatu majlis ilmu khas.

Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Maghribi telah mengajaknya untuk berziarah ke rumah seorang alim besar. Maka, makluman tersebut amat menggembirakan Syeikh Rajab kerana beliau akan dapat berpeluang untuk bertemu salah seorang dari tokoh-tokoh ulama besar pada masa itu.

Cerita Syeikh Rajab, maka kereta mereka pun membelah dengan pantas jalan-jalan di Kaherah, melalui ‘Abbasiyyah, Qubbah, Zaytun dan Matariyyah sehinggalah mereka sampai ke ‘Azbah al-Nakhl yang pada masa itu hanya sebuah kampung kecil sebelum berkembang di situ kawasan perumahan penduduk dengan begitu pesat kemudiannya.

Syeikh al-Maghribi pun meminta pemandu kereta berhenti di hadapan sebuah bangunan kecil. Mereka kemudian menuju ke pintunya, dan Syeikh al-Maghribi pun membukanya dengan perlahan. Setelah itu, mereka menuju ke sebuah bilik di tingkat pertama, dan beliau pun mengetuk pintunya secara perlahan dengan jari seperti orang yang sedang meminta izin. Seterusnya beliau pun masuk, dan saya hanya mengekori di belakangnya.

Maka kami menemui seorang alim yang disegani sedang duduk bersila di atas sebuah kerusi empat segi. Di hadapannya pula, ada seorang alim yang disegani juga sedang duduk di atas lantai. Beliau memegang sebuah nuskhah kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik sambil membaca isinya dengan penuh rasa hormat. Lantas Syeikh al-Maghribi pun duduk dengan penuh khusyuk di belakang alim yang membaca tersebut, dan beliau juga meminta saya duduk. Maka saya pun duduk di sebelahnya. Dan kami hanya mendengar bacaan alim berkenaan.

Namun, saya berada dalam perasaan bingung dan hairan, kerana majlis tersebut hanyalah majlis mendengar, dan syeikh alim yang mengepalai itu pula hanya diam tanpa bercakap apa-apa. Malah tidak kelihatan pada mereka berdua pun sebarang reaksi di atas kehadiran dua orang tetamu di situ. Di mana si pembaca hanya terus membaca, manakala si pendengar hanya diam membisu. Sehinggalah berlalu hampir satu jam, akhirnya si pembaca pun bangun, lalu berjabat tangan dengan syeikh yang sedang duduk. Seterusnya beliau menuju pula kepada kami, lalu berjabat tangan dengan Syeikh al-Maghribi dengan penuh rasa kasih, serta berjabat tangan dengan saya pula dengan penuh mesra.

Kemudian kami semua menuju kepada syeikh besar tadi, lalu si pembaca dan Syeikh al-Maghribi mengucup tangannya dengan penuh rasa hormat. Maka saya pun hanya mengikut perbuatan mereka itu. Namun begitu, saya tidak faham apa-apa tentang apa yang sedang saya saksikan.

Apabila tibanya waktu pulang, saya terus menemani Syeikh al-Maghribi dalam keadaan kehairanan dan rasa takjub. Dan beliau perasan dengan persoalan yang menyelubungi benak saya itu.

Lalu beliau bertanya, “Tidakkah kamu kenal tuan alim besar Syeikh Yusuf al-Dijwi [al-Maliki] (1870 - 1946), salah seorang anggota Jemaah Ulama Besar al-Azhar, dialah orang yang hanya mendengar tadi. Dan tidakkah pula kamu kenal alim besar Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari [al-Hanafi] (1879 - 1952), wakil Ulama Islam dalam era Khilafah ‘Uthmaniyyah, dialah orang yang membaca tadi. Dan majlis itu mempunyai satu tujuan bermakna, di mana rantaian periwayatan kitab al-Muwatta’ dari Imam Malik tidak pernah terputus hinggalah ke hari ini, di mana golongan khalaf berterusan meriwayatkannya dari golongan salaf sehinggalah bersambung dengan Imam Malik...”

Setelah mendengar penjelasan Syeikh al-Maghribi yang panjang lebar, Syeikh Rajab yang masih muda pun berasa ingin memperolehi ijazah al-Muwatta’ dari Syeikh Yusuf al-Dijwi, namun Syeikh al-Maghribi berkata setelah memaklumkan mereka hadir hanya untuk mengambil barakah sahaja, katanya:

“Itu satu keinginan yang baik. Akan tetapi ia agak sukar ditunaikan bersama Syeikh Yusuf al-Dijwi kerana beliau tidak akan berjabat tangan untuk ijazah melainkan dengan orang yang membaca kitab al-Muwatta’ secara lengkap tanpa terkurang satu huruf pun. Sedangkan beliau sedang sakit, dan tidak mungkin beliau akan memulakan semula majlis periwayatan untuk sesiapa pun lagi selepas Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari. Ini kerana beliau adalah sahabatnya yang paling dihormati, dan beliau telah memintanya untuk membaca, lantaran itu Syeikh Yusuf al-Dijwi terpaksa menerimanya, sedangkan sakit beliau menghalangnya untuk duduk berterusan selama berjam-jam melainkan dengan penuh rasa kesukaran...”. (Sumber: Majalah al-Manhal, Julai-Ogos 1991)

Lihatlah bagaimana kesungguhan para alim ulama ini berusaha mengekalkan kesinambungan tradisi periwayatan hadis walaupun dalam keadaan usia yang kian meningkat dan situasi kesihatan yang kurang baik. Tradisi sebegini sebenarnya melatih kesabaran, sifat merendah diri, hormat menghormati, rasa cinta terhadap Nabi s.a.w. dan segala adab yang baik.

Bagaimana pula dengan kita pada hari ini?

Mudah-mudahan tradisi periwayatan hadis sebegini akan kembali semula kegemilangannya sepertimana di zaman-zaman para alim ulama dahulu, terutama dalam pusat-pusat pengajian dan institusi-institusi pendidikan pada masa sekarang ini. Bukan sekadar keberkatan yang kita cari – sepertimana yang didakwa oleh sesetengah orang yang keliru – tetapi adalah hasil daripada majlis-majlis tersebut dalam memelihara integriti ilmu, serta menerapkan adab-adab mulia dan nilai-nilai tinggi dalam diri seseorang pelajar mahupun ilmuwan. Inilah yang telah membentuk banyak sahsiah hebat dan ulama rabbani pada masa dahulu.

Wallahu a’lam.

Monday, November 7, 2011

Nadwah Tentang Imam al-Kawthari


Selamat Hari Raya 'Id al-Adha...!

Alhamdulillah, setelah berharap ada orang yang mengupload ke youtube nadwah tentang Imam al-'Allamah Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari (m. 1952M) di al-Azhar, Mesir pada 26 Oktober lalu, akhirnya telah tertunai juga. Dapatlah meluas sedikit manfaatnya..

Namun, tiada khidmat terjemahan bahasa Melayu bagi yang tidak memahami bahasa Arab..

Sumber asalnya di sini.


Wednesday, November 2, 2011