Pages

Friday, February 12, 2016

Tips Untuk Menguasai Bahasa & Sastera Arab



*Nasihat penting daripada sasterawan besar Arab, al-Adib al-Kabir al-‘Allamah Mustafa Sadiq ar-Rafi‘i (m. 1356H di Tanta, Mesir) kepada setiap orang yang ingin menguasai sastera Arab sama ada dari segi penulisan atau pun karangan.  

Nasihat beliau: “Jika aku ingin mewasiatkan kamu, maka aku mewasiatkan kamu supaya memperbanyakkan membaca al-Quran, merujuk kitab al-Kasysyaf (tafsir az-Zamakhsyari), kemudian mendalami sebuah kitab daripada kitab-kitab hadis seperti al-Bukhari atau selainnya. Seterusnya, bersungguh-sungguh membaca kitab-kitab Ibn al-Muqaffa‘ (Kalilah wa Dimnah, al-Yatimah dan al-Adab as-Saghir), kemudian risalah-risalah al-Jahiz, kitab al-Bukhala’, seterusnya Nahj al-Balaghah. Juga mengamati kitab as-Sina‘atain oleh al-‘Askari, al-Mathal as-Sa’ir oleh Ibn al-Athir, seterusnya banyakkan merujuk Asas al-Balaghah oleh az-Zamakhsyari. Di samping itu, jika tanganmu dapat mencapai kitab al-Aghani atau beberapa juzuk daripadanya, kitab al-‘Iqd al-Farid dan Tarikh at-Tabari, maka sudah sempurnalah bagimu kitab-kitab prosa Arab yang mantap.

            Bacalah sesuatu potongan kata-kata itu berkali-kali, kemudian perhatikan dan cuba ubah susun aturnya, seterusnya buangkan suatu ibarat atau suatu kalimah daripadanya dan letakkan pula daripada sisimu apa yang dapat menggantikannya, namun tidak merosakkannya. Berusahalah berbuat demikian. Sekiranya perkara tersebut sudah biasa bagimu, maka naiklah pula ke satu peringkat yang lain, iaitu kamu cuba menandingi potongan kata-kata tadi dengan suatu ungkapan kata-kata yang kamu sendiri tulis yang sama makna dan serupa gayanya. Sekiranya didapati ungkapan kata-katamu itu lemah (tata bahasanya), maka ambillah yang lain, dan begitulah seterusnya sehinggalah kamu dapat membawa ungkapan yang hampir sama dengan yang asal atau yang seumpamanya.

            Peruntukkanlah bagimu pada setiap hari satu atau dua pelajaran menurut cara ini. Mula-mula, bacalah suatu kitab yang mantap Arabnya kira-kira dalam setengah jam, kemudian pilihlah daripadanya satu potongan kata-kata. Lalu bacalah ia sehingga kamu benar-benar memahaminya. Seterusnya, cubalah menandinginya menurut cara yang telah disebutkan tadi; Pertama, ubah ibarat tersebut, kemudian keduanya, menandingi keseluruhan potongan kata-kata berkenaan. Berilah tumpuan sepanjang hari untuk membaca dan mengulangkaji. Apabila kamu berasa letih, tinggalkanlah dahulu membaca atau kerja itu sehinggalah kamu berasa relaks. Kemudian, baru kembali melakukannya semula. Janganlah kamu abaikan aspek memerah akal fikiran, membuat gambaran dan imaginasi yang baik.

              Ini kaedahnya, dan aku tidak nampak bagimu ada yang lebih baik daripada itu. Jika kamu diberikan taufik, kemungkinan kamu akan dapat meraih kecemerlangan dalam tempoh setahun.
             Langkah awalmu mengambil manfaat; dan langkah akhirmu menggembleng kudrat...”.

*Kesimpulan tentang kitab-kitab penting berkaitan sastera Arab yang perlu dibaca;
  1. membaca al-Quran,
  2. merujuk kitab tafsir al-Kasysyaf oleh az-Zamakhsyari,
  3. mendalami sebuah kitab hadis, seperti Sahih al-Bukhari atau selainnya.
  4. membaca kitab-kitab Ibn al-Muqaffa‘ (iaitu Kalilah wa Dimnah, al-Yatimah dan al-Adab as-Saghir),
  5. risalah-risalah al-Jahiz (m. 255H),
  6. kitab al-Bukhala’ oleh al-Jahiz,
  7. kitab Nahj al-Balaghah oleh as-Syarif al-Murtadha atau as-Syarif ar-Radhi.
  8. mengamati kitab as-Sina‘atain oleh al-‘Askari,
  9. kitab al-Mathal as-Sa’ir oleh Ibn al-Athir,
  10. merujuk Asas al-Balaghah oleh az-Zamakhsyari.
  11. kitab al-Aghani oleh al-Asbahani, atau beberapa juzuk daripadanya,
  12. kitab al-‘Iqd al-Farid oleh Ibn ‘Abd Rabbih (m. 328H)
  13. kitab Tarikh at-Tabari berjudul: تاريخ الأمم والملوك.