Pages

Saturday, January 4, 2020

al-‘Alim al-Muhaddith al-Fadhil Ustaz Adlan Abdul Aziz رحمه الله تعالى



إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ...

Berita kehilangan Ustaz Adlan Abd. Aziz, 41, antara pakar hadis di Malaysia yang sangat tawaduk dan berhemah tinggi, secara tiba-tiba memang cukup mengejutkan semua orang. Beliau telah diserang sakit jantung dan disahkan kembali kerahmatullah pada jam 3.50 pagi, hari Khamis, 2hb. Januari 2020 di Hospital Kajang. Hari tersebut merupakan hari pertama pembukaan sekolah awal tahun baru yang sepatutnya beliau memulakan tugas sebagai guru di hari itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya, Kuala Lumpur.

Ustaz Adlan merupakan seorang ustaz yang cukup progresif dalam memberikan khidmat terhadap ilmu. Selain bertugas sebagai guru, beliau juga aktif mengadakan kuliah pengajian di surau dan masjid di sekitar Lembah Klang, Kajang, Putrajaya, Seri Kembangan, Nilai dan lain-lain. Antara kitab yang diajarkan oleh beliau ialah seperti kitab Jami' al-Tirmidzi, Mukthasar al-Bukhari, Riyadhus Salihin dan lain-lain. Selain jemputan di beberapa program di sekolah dan juga pusat pengajian tinggi.

Di alam maya, beliau turut aktif bermula sebagai blogger di blog peribadi beliau: alitantawi.blogspot.com dan pemudaiman.blogspot.com. Beliau gemar menggunakan nama samaran: Ali Tantawi sempena tokoh pemikir terkenal yang diminatinya, Syeikh ‘Ali al-Tantawi. Di samping pernah muncul dalam program Tanyalah Ustaz di TV 9, beliau juga merupakan salah seorang penyampai ilmu di Radio IKIM untuk kuliah mingguan yang membahaskan hadis kitab Mukhtasar Riyadhus Solihin.  
Program terakhir yang bakal
dijadualkan oleh beliau.

Dalam lapangan kerja sukarela, beliau merupakan pengasas Tirmidhi Center (TC) dan merupakan timbalan pengerusi Ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah Kebangsaan (ISLAMI). TC yang dibangunkannya menyediakan pengajian agama percuma yang terbuka kepada semua penuntut ilmu. Kata beliau: “Sebagaimana pesan salah seorang guru kita, Syeikh Dr. Mustofa an-Nadwi: ‘Jangan ambil bayaran daripada para penuntut ilmu yang datang belajar, tetapi mohonlah sumbangan daripada mereka yang berharta dan memiliki kemampuan’.”

Ustaz Adlan menerima pendidikan awal di SK Dato' Wan Mohd. Saman, Kedah, kemudian SMK Menengah Kebangsaan Agama Kedah. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di Universiti Al al-Bayt, Jordan sehingga meraih ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab. Di Jordan, beliau sempat menuntut daripada beberapa ulama secara talaqqi seperti:


  • 1.   Syeikh Syu‘aib al-Arna’out - Tafsir al-Qurtubi, Subul al-Salam, al-Kamil fi al-Adab (Bahasa Arab) dan Nuzhah al-Nazar (Mustalah al-Hadith),
  • 2.     Dr. Solah ‘Abd. Fattah al-Khalidi - Tafsir Ibn Kathir, Sahih Muslim.
  • 3.     Dr. ‘Abd. Qadir al-Sa'di - Qatru al-Nada (Nahu), Al-Iqna' (Fiqh).
  • 4.     Dr. ‘Abd. Sami' al-Anis - Risalat al-Mustarsyidin (Tasawwuf).
  • 5.     Dr. Muhammad Nuh al-Qudhat - al-Waraqat (Usul Fiqh).
  • 6.     Dr. ‘Abd. Hakim al-Sa'di - Usul Fiqh.
  • 7.     Dr. Syarif al-Khatib - Tahzib Madarij al-Salikin (Tasawwuf).
  • 8.     Dr. Bahjat al-Habasyinah - al-Nihayah fi al-Fitan oleh Ibn Kathir (Hadith).
  • 9.     Dr. Yasin al-Qarawilah - Qawa'id Fiqhiyyah (Kaedah Fiqh).
  • 10.  Dr. Qahtan al-Duri - Usul al-Din al-Islami (Aqidah), Safwat al-Ahkam (Hadith hukum).
  • 11.  Dr. Nimr al-Hasyasyinah - al-Mawahib al-Ladunniyyah (Sirah).
  • 12.  Dr. Hasib al-Samarrai' - Matn Abi Syuja' (Fiqh Syafii).
  • 13.  Dr. ‘Abd. Rahim Abu Zaqqah- Tafsir al-Samarqandi.
  • 14. Dr. Mahmud al-Syudaifat - Mukhtasar al-Bukhari, al-Ajwibah al-Fadhilah (Mustolah al-Hadith).

Setelah kembali ke Malaysia, beliau masih terus menuntut ilmu daripada para ilmuan untuk menambahkan ilmu dan kefahaman seperti Prof. Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khair Abadi UIAM (Sahih al-Bukhari), sarjana dan pensyarah hadis terkenal, Syeikh Muhammad ‘Awadh al-Manqusy, Syeikh Nizam Ya‘qubi, Syeikh Mustafa al-Nadwi (Misykat al-Masabih) dan lain-lain.

Sebagai pencinta Rasulullah SAW, minat beliau terhadap hadis cukup mendalam hingga beliau berjaya mengkhatamkan banyak kitab hadis dan menerima banyak sanad ijazah periwayatan hadis daripada para ilmuwan dalam dan luar negara. Beliau boleh dianggap sebagai seorang muqri' (pembaca) hadis yang paling handal dan fasih kepada para masyaikh di dalam sesi-sesi daurah hadis yang diadakan. Daurah khatam kitab Jami' at-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah dan Sunan an-Nasa’i di bawah pimpinan al-Muhaddith Syeikh Muhammad 'Awadh al-Manqusy di Masjid al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan anjuran bersama Institut Kajian Hadis (INHAD) masih lagi segar dalam ingatan al-faqir sehingga kini. Beliau juga sebenarnya baru sahaja menyelesaikan daurah terakhir beliau, iaitu pembacaan kitab Misykat al-Masabih sehingga khatam bersama al-Muhaddith Syeikh Mustafa al-Nadwi.  

Berbekalkan ilmu yang mantap, beliau memiliki kemampuan berhujah secara ilmiah yang cukup baik dan mempunyai sikap terbuka dalam mendengar hujah-hujah pihak lain, namun dibatasi dengan prinsip tegas. Jika sesuatu itu salah, beliau akan menyatakannya, tidak kira kepada kawan ataupun lawan. Dan jika betul pula, beliau akan mengakuinya, biarpun datang daripada pihak lawan. Perbualan terakhir al-faqir dengan beliau hanyalah melalui telefon, di mana beliau ingin bertanyakan pandangan al-faqir tentang hadis (جزى الله عنا محمداً ما هو أهله) yang sedang ‘viral’ dan berhasrat menjemput al-faqir untuk mengisi program berkaitan ilmu hadis di Tirmidhi Center.

Ustaz Adlan juga sempat menulis dan menghasilkan beberapa buah buku, iaitu:
  • 1.     20 Persoalan Asas Tentang Hadis
  • 2.     Zikir dan Doa Rasulullah s.a.w. Selepas Solat
  • 3.     Ramadhan & Rasulullah s.a.w.
  • 4.     Kamus PMR Bahasa Arab
  • 5.     10 Tonggak Remaja Hebat
  • 6.     40 Hadis Jawami‘ Kalim Imam Mulla ‘Ali al-Qari (terjemahan).


Solat jenazah beliau telah disempurnakan di Masjid Jamek Bandar Kajang selepas solat Zohor dan ramai tokoh yang hadir memberi penghormatan terakhir buat beliau seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Dr. Zulkifli al-Bakri, sahabat karib beliau Ustaz Syed Shahridzan, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre, Dr. Ayman al-Akiti, Dr. Farid Ravi Abdullah, Dr. Zamihan Mat Zin, Ustaz Muhadir Hj Joll, Ustaz PU Salman, dan lain-lain. Jenazah beliau kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Sg. Kantan, Kajang, Selangor.
 
Ramai yang hadir untuk menunaikan solat jenazah beliau.

Takziah buat keluarga beliau, isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Pemergian beliau juga pastinya kehilangan besar buat masyarakat dan khususnya para pencinta ilmu hadis. Banyak jasa yang telah beliau sumbangkan untuk menghidupkan pengajian hadis dan menarik minat masyarakat bagi mempelajari hadis di Malaysia. Semoga roh al-marhum dirahmati oleh Allah SWT, diberi keampunan, ditinggikan darjatnya dan dihimpunkan bersama-sama para nabiyyin, siddiqin, syuhada’ dan para salihin. Amin…


Kredit:
-Catatan Ustaz Ismail Ahmed



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.