Pages

Saturday, May 30, 2009

Antara amalan mujarrab mencegah wabak


Bait syair ini saya pernah dengar di radio IKIM dialunkan dengan merdu. Mulanya saya ingat ia adalah bait-bait syair daripada kitab Syiah. Sehinggalah saya melihatnya di blog Ustaz Abu Muhammad yang menyebutkan sumbernya, iaitu dari kitab al-Qadhi Syeikh Yusuf bin Isma`il an-Nabhani (m. 1350H - rahimahullah) berjudul "Sa`adatud Darain" (halaman 627). Beliau menyatakan bahawa amalan tersebut antara yang mujarrab untuk mencegah sebarang wabak (seperti selsema babi atau H1N1 sekarang ini).

لِي خَمْسَةٌ أُطْفِي بِهِمْ حَرَّ الوَباَ وَالحَاطِمَهْ

المُصْطَفَى وَالمُرْتَضَى وَابْنَاهُمَا وَفَاطِمَهْ

Maksudnya: Kujadikan lima orang sebagai wasilah kepada Yang Maha Kuasa, untuk kupadamkan dengan keberkatan mereka, akan kepanasan wabak dan kebinasaannya. Iaitu Junjungan Nabi al-Musthafa, Sayidina 'Ali al-Murtadha, dua anak mereka; Hasan dan Husain dan bonda mereka Sayidatuna Fatimah juga.

http://bahrusshofa.blogspot.com/

Setelah saya merujuk kepada kitab berkenaan rupanya ada banyak lagi amalan-amalan untuk menghindari wabak penyakit. Antaranya ialah ayat akhir surah al-Tawbah berikut, dibaca selepas setiap solat fardhu sebanyak 7 kali.


Syeikh Yusuf an-Nabhani sebenarnya menukilkan amalan-amalan tersebut daripada risalah Sayyid Ahmad Syata al-Makki, dan beliau mengambilnya pula daripada ayahnya, Imam Sayyid Abu Bakar Syata al-Makki, ulama besar mazhab Syafie di Makkah dan juga Imam Sayyid Husain al-Habsyi al-'Alawi, mufti mazhab Syafie di Makkah (rahimahumullah).

Keajaiban Kamera?

Bercakap tentang alam ghaib, kita sebenarnya tidak punya pengetahuan yang banyak. Alam ghaib bagi kita adalah alam penuh mistik. Meskipun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun adakalanya ia dapat diperangkap masuk oleh kamera kita.

Ini adalah gambar-gambar orang berwuquf di padang 'Arafah pada Disember 2008 yang lalu yang tersebar melalui emel dan saya siarkan semula di sini. Namun sayang kerana tidak diketahui pengirim asal untuk memastikan keasliannya secara yakin 100%.

Adik saya juga pernah menunjukkan kepada saya imej lembaga perempuan berambut panjang yang diperangkap oleh kameranya ketika mengikuti satu latihan di sebuah kem di Hulu Langat dahulu. Namun saya tidak sempat 'menyimpan'nya ketika itu. Jika beliau masih menyimpannya saya akan cuba menyiarkannya di blog ini nanti.

Mesej-mesej Dari Sahabat Sufi (2)

Mesej beliau kali ini merupakan cara bahasa 'orang-orang' di alam ghaib bercakap antara satu sama lain, seperti yang pernah diberitahunya kepada saya. Ungkapannya seperti bahasa Melayu, namun sukar untuk dapat memahami maksudnya. Iaitu;

Remba si malam nan umbak-umbak aku rindu
pinang-pinang kancorawo munang tampi-tampi kuncarana
aku membiar ia tanam-tanam selami silang-silang rindu aku
tekor menadah tanam-tanaman.

Beliau sendiri sebenarnya tidak dapat memastikan adakah 'orang-orang' ini jenis malaikat, jin ataupun manusia, kerana tingkah laku mereka sama seperti manusia dan dapat disentuh dengan bersalam contohnya. Mereka berkomunikasi menggunakan angin lebih cepat daripada teknologi yang kita ada sekarang ini.

Dalam mesej lain, beliau merakam sebuah nukilan rasa (zawq sufi);

Telah ku bernafas di dalam janji,
janji yang pasti ku patri
hidupku telah pasti
cintaku pada Sang Pencipta itu sejati

ceritaku cerita sedih
hidup penuh jerit perih
pada Ilahi jua ku merintih
agar mampu ku ubati hati pedih.

Telah ku melihat dalam cermin ma'rifat yang satu
noktah hitam di dalam kalbuku
lalu ku alun zikir 'Allah hu, Allah hu'..
sehingga terungkailah satu persatu

Friday, May 29, 2009

Kisah Kunci Kaabah

Sekadar berkongsi pengetahuan, saya ingin rakamkan berkenaan kisah kunci Kaabah. Kunci Kaabah ini sepanjang 35cm, tertulis di atasnya ayat ( إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها ) . Kunci ini di bawah hak jagaan Bani Syaybah daripada zaman Jahiliyyah sehinggalah ke hari ini. Bahkan sehingga ke hari kiamat.

Ketika Nabi s.a.w. memasuki Kaabah pada masa Fath Makkah, baginda menyerahkan hak penjagaan tersebut dipegang terus oleh Bani Syaybah. Sabdanya: "Ambillah wahai Bani Talhah (Syaybah), ia kekal selama-lama buat kamu sekalian. Tidak akan ada orang yang merebutnya daripada kamu kecuali orang zalim".

Kunci ini telah ditukar beberapa kali pada zaman Kerajaan Uthmaniyyah. Bermakna kunci yang asal telah disimpan. Tentang kunci tersebut ada peristiwa yang diceritakan oleh Imam 'Abdur Rahim bin Imam 'Abdul Karim al-Qusyayri (m. 514H) seperti berikut; Aku pernah sakit kuat di Makkah, hingga aku rasakan tidak ada peluang lagi untuk hidup. Tiba-tiba datang kepadaku seorang tua yang tidak aku kenali, dan tidak juga aku panggil. Di tangannya ada kunci Kaabah. Aku tahu dia dari Bani Syaybah penjaga Baitullah. Katanya padaku: Bukalah mulut. Lalu akupun membuka mulutku. Dia pun memasukkan kunci tadi ke dalam mulutku dan memusing-musingkannya. Kemudian dia menyapu seluruh anggota badanku dengan kunci tadi secara lembut. Tiba-tiba akupun sembuh daripada sakit tadi, seolah-olah aku tidak merasa sakit apa-apa pun, dengan berkat kunci tadi. Allah telah menyembuhkanku pada masa itu juga". (Tabyin Kadhib al-Muftari, 309)

Kunci tersebut telah dilelong pada tahun 2008 dengan harga RM57 juta!!

Rahsia Pergerakan Solat

Solat merupakan tiang agama. Selain sebagai ibadah, pergerakan solat juga merupakan suatu senaman jasmani. Pergerakan ini juga jika diamati membentuk nama 'Ahmad', iaitu nama lain bagi Nabi Muhammad s.a.w. Lihat gambar di atas.

Solat tanda pengabdian kita.

Thursday, May 28, 2009

Selawat Sayyidi Ahmad al-Badawi (m.675H)

Sebelum ini saya ada menyentuh nama Sayyidi Ahmad al-Badawi (rahimahullah) dan masjidnya yang tersergam indah di bandar Tanta, Mesir. Sebenarnya setiap tahun akan diadakan perayaan mawlid al-Badawi yang dihadiri oleh ratusan ribu orang yang datang dari berbagai tempat, dalam mahupun luar negeri. Saya pernah menulis tentang riwayat hidup beliau, serta pro-kontra tentang sahsiahnya dan disiarkan dalam 'suara kampus' mahasiswa cawangan Tanta. Namun saya agak terkilan kerana edisi keluaran tersebut yang saya miliki telah hilang entah ke mana.

Sempena hari Jumaat ini, ada eloknya kita banyak berselawat. Antara banyak-banyak lafaz selawat, di bawah ini adalah lafaz selawat susunan Sayyidi Ahmad al-Badawi yang masyhur. Mungkin kita biasa mendengarnya, tetapi tidak tahu daripada mana asal-usulnya. Lafaznya ialah seperti berikut:

اللهمَّ صلِّ على نُورِ الأنْوَار وسِرِّ الأسْرَار

وتِرْيَاقِ الأغْيَار ومِفْتَاحِ بَابِ اليَسَار

سيِّدِنا محمَّدٍ المُخْتَار

وعلى آلِهِ الأطْهَار وأصْحَابِهِ الأخْيَار

عَدَدَ نِعَمِ اللهِ وإفْضَالِهِ .

Masjid al-Badawi pada waktu malam.

Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari 40 Tahun Sebagai Muktazilah?

Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari (260-324H) merupakan tokoh mujaddid aliran Ahlus Sunnah. Namun sebelum itu, beliau telah menganut aliran Muktazilah, aliran yang mengutamakan logika akal lebih daripada nas wahyu. Ada yang mengatakan beliau berada di dalam aliran tersebut selama 40 tahun. Fakta ini meskipun tidak benar, banyak dipakai orang. Sehingga ada yang mendokong aliran Muktazilah ini berbangga kerana Imam al-Asy'ari mengakui kehebatan mazhab mereka selama 40 tahun. Manakala yang mengkritik beliau pula mempersendakannya kerana tempoh yang lama tersebut menunjukkan beliau bukanlah seorang yang cerdik dan bijaksana hingga lambat untuk tersedar.

Tempoh tersebut sebenarnya tidak tepat. Kitabnya 'Risalah Ahl al-Thaghr' yang merupakan jawapan kepada pertanyaan penduduk Thaghr, menyatakan tarikh surat yang dihantar oleh mereka ialah pada tahun 297H. Kitab ini mengandungi jawapan akidah yang benar dan menunjukkan beliau telah beralih kepada mazhab Ahlus Sunnah 1, 2 atau 3 tahun sebelum tarikh itu. Jadi, ketika surat tersebut sampai, beliau baru berusia 37 tahun. Berkemungkinan beliau telah meninggalkan mazhab Muktazilah ketika usianya 36, 35 ataupun 34 tahun.

Katakanlah pula beliau baru memahami perbincangan-perbincangan ilmu kalam ketika usianya 10 tahun. Maka natijahnya, tempoh masa beliau menganut fahaman Muktazilah ini hanyalah sekitar 24, 25 atau 26 tahun sahaja, dan bukannya 40 tahun!! Itupun jika diandaikan usia 10 tahun. Bagaimana jika kita andaikan pula di masa usia baligh, iaitu sekitar 15 tahun? Tentunya tempoh tadi menjadi lebih berkurangan, iaitu sekitar 19, 20 atau 21 tahun. Andaian ini semua kerana tidak diketahui bilakah tarikh bapanya yang bermazhab Ahlus Sunnah meninggal dunia, dan bilakah pula ibunya berkahwin dengan Abu 'Ali al-Juba'i, seorang tokoh Muktazilah yang terkenal.

Wednesday, May 27, 2009

"Saya Tak Boleh Baca Quran"

Semester ini (2009/2010), pihak Akademi Islam (KUIS) mula mengadakan penapisan kemahiran membaca al-Quran ke atas para pelajar baru, sama ada pelajar aliran agama mahupun bukan agama. Mereka yang tak boleh baca atau teruk bacaannya akan dimasukkan ke dalam kelas tajwid. Ini kerana sebelum ini banyak kes dikesan, pelajar-pelajar tidak dapat membaca al-Quran atau membacanya dengan 'merangkak-rangkak'.. walaupun pelajar aliran agama sekalipun.

Dalam ujian kemahiran tersebut tidak sedikit juga yang surrender mengaku ; "Saya tak boleh baca Quran". Saya termenung dan terfikir, salah siapakah ini? Masalah sebegini berlaku di kalangan pelajar IPT. Bagaimana agaknya jika semua IPT membuat penapisan seperti ini? Melihat skop yang lebih jauh, tidak tahu membaca al-Quran atau 'buta' al-Quran ini sebenarnya masih banyak berlaku di kalangan masyarakat Islam negara kita. Jika pelajar IPT seperti demikian, bagaimana pula dengan orang awam, pekerja am, kaki tangan swasta, kerajaan dan sebagainya? Sibuk sangatkah urusan dunia kita hingga urusan akhirat tak perlu dititik berat?

Amat sedih juga bila dibayangkan, bahawa ini hanya segelintir kecil dari sekian ramai orang di luar sana yang tidak tahu membaca al-Quran. Antara faktornya, datang dari keluarga-keluarga yang amat sedikit didikan agama mereka dan yang sibuk semata-mata dengan urusan duniawi. Menjadi tanggungjawab saya menyeru, belajarlah al-Quran demi kebahagiaan ukhrawi. Dalami dan fahamilah isi kandungannya. Masa yang digunakan tidak akan rugi berbanding yang dihabiskan dengan kelalaian.


Mencari Generasi 'al-Ayyubi'


Kalau dulu Salahuddin al-Ayyubi (m. 589H/1193M) dengan bala tenteranya mengekang kemaraan Tentera Salib dengan mata pedang dan batang tubuh mereka demi menjaga akidah dan meninggikan agama. Namun sekarang bagaimanakah generasi Islam kini mampu menghalang serangan 'tentera' mereka yang berbentuk ideologi, budaya hedonis, feminis, sekularis dan banyak lagi 'senjata' saraf yang lain? Ketika umat Islam lemah dari segi pertahanan material. Kelemahan tersebut ditambah lagi dengan miskinnya pertahanan spiritual mereka. Ya Rabb..

Salahuddin al-Ayyubi (Gambar imaginasi pelukis)

Kalimah 'Allah' Pada Kejadian





Gambar-gambar ini banyak tersebar di dalam internet. Saya kutip semula beberapa darinya untuk renungan. Ada orang kafir yang memeluk Islam kerana gambar-gambar seperti ini. Tak kurang juga yang mempersenda-sendakan kerana berbagai cara dapat digunakan sekarang ini untuk mereka-rekanya. Justeru ia tidak dapat dijadikan hujah. Namun kita sebagai orang Islam patut merenung kejadian Allah s.w.t. ini. Dan tidak rugi bertafakkur.










Sahabat sufi saya pernah menunjukkan kepada saya sehelai daun yang tertulis di atasnya kalimah 'Allah'. Katanya daun tersebut diambil daripada sepohon pokok di Indonesia (Sulawesi kalau saya tak lupa) yang mana kesemua daunnya tertulis kalimah 'Allah'. Namun pokok tersebut kini telah dipagar rapi dan ditutup agar tidak berlaku perkara-perkara khurafat dan bidaah di situ.


Wallahu a'lam.

Tuesday, May 26, 2009

Sesudah Lebih 10 Tahun..

Diam tak diam sudah lebih 10 tahun saya meninggalkan Tanta, Mesir. Pada masa itu saya tak ada kamera jadi tak dapat rakam banyak gambar. Bagaimanapun melalui Google Earth dapat juga saya mengimbau semula tempat-tempat yang biasa saya lalu dahulu selama 5 tahun.


Sebuah pasar yang sibuk (Makcik-makcik jual gibnah - keju)


Masjid al-Badawi, mercu tanda bandar Tanta. Di situ ada maqam Sayyidi Ahmad al-Badawi (rahimahullah), seorang wali besar yang masyhur.


Inilah Universiti al-Azhar cawangan Tanta. Dekat kawasan kampung.


Pemandangan jalanraya yang sibuk, Syari' al-Bahr. Pemandangan dari masjid al-Muhafazah yang merupakan tempat bersemadinya Sayyidi Syeikh Muhammad Khalil al-Khatib (rahimahullah) yang saya telah sebut sebelum ini.


Keretapi yang kadang-kadang saya naiki, selain bas, teksi atau van, untuk pergi ke Kaherah atau tempat lain.

Sahabatku Seorang Sufi

Namanya biar saya rahsiakan dulu. Namun mungkin ada orang yang mengenalinya hanya dengan membaca catatan ini.

Oleh kerana saya tidak mahu hilang mesej yang diberinya melalui handphone, sepertimana yang telah terjadi sebelum ini, maka saya salinkan ia di sini. Ia adalah nukilan rasa bagi orang-orang di 'alam' sana.

Di dalam kedamaian jiwa
melakar keindahan cinta
ketika ia melangkah pergi
betapa sepinya kurasa
indah pantai kerana airnya
indah ombak kerana buihnya
indah angin kerana bayunya


di dalam pancaran cahaya
melemparkan kedinginan sunyi kurasa
malam yang tiada siapa bertandang
kasih aku meraga sukma
bersatu di dalam cinta
alam menyapa
kasihku tak akan berkelana
mencari teman bicara
ku tak akan bersuara
selagi alam menyepi tanpa suara.


Beliau juga menulis kiriman buat 'Puteri Gunung Ledang', begini bunyinya;

Meniti hari petang ke pagi
Jelajah sukma hiburkan hati
namun tidak jua dapat kunafi
berita darimu ku nanti-nanti

senyap sungguh bicara sang puteri
ditunggu-tunggu tidak jua kudengari
usahlah dilupa pada diri ini
bagaikan sang anak ingin ditemani

duhai bonda hadirlah
bersama secebis berita
buat tatapan diri anakanda
agar setia ikatan mesra

anakanda kini menimang cahaya mata
hadirlah pula seorang putera
Muhammad Hidayatullah diberi nama
sempena sunan jauh di Jawa

rezeki dari Allah Maha Pencipta
anugerah indah tidak terkira
dalam diam ku dikurnia
hadiah terindah yang tak diduga

duka nestapa telah kurasa
bagai berlalu ditelan masa
pahitnya masih tidak kulupa
peritnya jua tidak terkira

sepinya sang malam membawa berita
merajuk sudah hati terluka
dibiarkan sendiri tanpa disapa
bagaikan layang-layang tiada tuannya

diri kubawa mengikut irama
rentak nasib penuh makna
mendidikku erti suka dan duka
dalam nadiku ke seluruh rongga

setiap nafas kuiringi doa
memohon panduan dari yang Esa
pedoman dan teladan sudahpun ada
untuk langkah di hari muka

Kuingin menjadi sang pencinta
mencintai yang Maha Pencipta
cinta hakiki yang tiada tandingannya
agar bahagia jiwa raga selamanya


Monday, May 25, 2009

Muslimah, Jagalah Batasanmu

p/s: Dengan ingatan khusus untuk semua student dan ex-student saya. (Warna dan cutting hanya sebagai panduan sahaja)

Mengimbau al-Azhar Dulu dan Sekarang

Setelah lebih 1000 tahun al-Azhar masih tetap utuh berdiri.. Bezanya dulu kelas-kelas pengajian di dalam masjid, tetapi sekarang di dalam bilik-bilik kuliah, dan tidak lagi di masjid.

Masjid al-Azhar gambar lama dan baru..




















Sunday, May 24, 2009

Makin Banyak Mazhab Muncul di Malaysia?


Memang mazhab Syafie adalah mazhab yang dominan digunakan secara rasmi di Malaysia. Namun ia bukanlah menyeluruh kerana ia hanya merupakan majoriti sahaja. Maksudnya ada mazhab-mazhab lain yang digunapakai oleh sebahagian orang seperti mazhab Hanafi bagi kebanyakan India Muslim dan mazhab Ahli Hadith di Perlis (dalam erti kata menolak taklid kepada mazhab tertentu) serta mazhab Syiah (namun tidak diraikan dalam tulisan ini).

Perbezaan pendapat tidak begitu ketara sebelum ini kerana masing-masing mengamalkan mazhab mereka di dalam kelompok masing-masing. Namun apabila semakin ramainya sarjana-sarjana yang pulang ke tanah air sama ada dari Mesir, Jordan, Saudi, India, Yaman, Iraq, Morocco, Syria dan lain-lain pada separuh akhir tahun 90-an. Keadaan mulai berubah. Ini kerana masing-masing membawa ilmu masing-masing serta bertebaran di merata negeri menurut peluang rezeki dan pekerjaan. Ditambah dengan kedatangan sarjana-sarjana luar yang datang bermastautin di Malaysia, serta sarjana-sarjana tempatan yang terkesan dengan suasana ini. Termasuk meluasnya penggunaan internet. Perselisihan pendapat makin ketara.. Mazhab Maliki, mazhab Hambali, mazhab Zaidi dan mazhab Zahiri juga turut muncul..

Namun sebenarnya jauh sebelum ini perbezaan/perselisihan pendapat seperti sekarang pernah berlaku di Malaysia, iaitu antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Saya berikan suatu contoh untuk renungan bersama, iaitu;

Pernah sebuah polemik yang hangat mengenai satu masalah khilafiyyah berlaku antara Syeikh Abu Bakar Haji Hasan (m. 1938) bekas kadi Muar dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi, yang menyatakan bahawa solat sunat qabliyyah Jumaat sebenarnya tidak sunnah di dalam bukunya ‘Tadhkirah Muttabi‘i al-Sunnah fi ma Yaf‘al Qabl wa Ba‘d al-Jumu‘ah’. Lalu kenyataan tersebut dibantah oleh Syeikh Abu Bakar di dalam bukunya ‘Taman Persuraian’ dengan mengatakan bahawa ia sebenarnya adalah sunnah.

Syeikh Muhammad Tahir kemudian mempertahankan pendapatnya di dalam buku lain berjudul ‘Huraian yang Membakar Taman Persuraian Haji Abu Bakar’ dan ‘Ta’yid Tadhkirah Muttabi‘i al-Sunnah fi al-Rad ‘ala al-Qa’il bi Sunniyyah Rak‘atayn Qabl al-Jumu‘ah’. Syeikh Abu Bakar sekali lagi menolak pandangan beliau itu dengan buku lain berjudul ‘Taufan yang Memalui Atas Huraian Haji Tahir al-Minkabawi’ (1932).

Perbezaan pendapat sebenarnya bagus jika diiring dengan adab dan ketelusan dalam ruang lingkup syara'. Bagaimanapun, negara kita mungkin masih baru dengan suasana baru ini. Lama kelamaan kita mungkin akan biasa dengannya sebagaimana masyarakat di Timur Tengah. Seperti Mesir contohnya, suasana demikian sudah berkekalan ujud sejak ratusan tahun lamanya.

Ustaz Tersungkur di Kaki Wanita?


Sebenarnya saya tidak begitu minat dengan 'dunia' artis. Namun saya agak sensitif dengan apa saja yang berkaitan dengan agama, termasuklah insan yang bergelar 'ustaz'. Mulanya saya tak percaya kepada apa saja yang disiarkan dalam media tentang seorang penceramah, pendakwah, penasyid, selebriti dan pengacara terkenal. Di antara lagu-lagu nasyid berunsur cinta dengan lagu-lagu nasyid kanak-kanak, lagu-lagu nasyidnya adakalanya menjadi alternatif kerana unsur ketuhanan, kesedaran dan kerohanian yang kuat.

Namun,perhatian saya ditarik oleh satu slot di TV9 tentang gosip ustaz kita ini. Di mana ianya bukan lagi gosip kerana yang datang membuat pengakuan ialah isteri beliau sendiri. Katanya, sudah 3 bulan dia 'digantung' tanpa sebarang respons dan khabar berita. Dia mengaku rela untuk bermadu, namun yang peliknya tidak ada juga jawapan darinya. Dia juga telah memberi kata dua untuk menyelesaikan masalah rumahtangga mereka sebelum dia tampil ke depan mendedahkannya kepada media. Namun, tidak ada juga jawapan.. ? Saya terbayangkan seorang isteri dengan 6 anak yang ditinggalkan suami beberapa bulan kerana sukakan seorang perempuan lain..

Saya agak tersentuh bila isterinya menangis. Saya hairan. Kalau artis biasa mungkin saya tak peduli langsung. Itupun tak banyak isteri artis biasa buat pendedahan media macam itu. Saya agak terkilan kerana beliau adalah 'ustaz'. Di akhir rancangan tersebut, dialunkan lagunya dan kalaulah beliau menghayatinya;

Aku bukan seperti engkau sangkakan..
pura-pura di dalam berjuang..
Aku tidak pandai menyulam rahsia..
juga tak pandai bermadah pujangga..

Jika ada benci di hati..
oh, katakanlah padaku..
Relaku terima walau kutukan..
asalkan akidah terjaga..
Kerana tidak sanggup lagi..
mempermainkan dustur Ilahi..
Hakikat hati tak terluka..
walau zahirnya ada yang ketawa..
Tuhan mohon keampunan..
keterlanjuran yang berulang kali..

Insan Agung

Benarlah sepertimana yang dirangkap oleh bait syair ini;

سيدُنا محمّدٌ بَشَرٌ لاَّ كالبَشَرِ* بلْ هو كالياقُوتِ بَيْنَ الحَجَرِ
Maksudnya: "Sayidina Muhammad adalah manusia yang bukan seperti manusia * bahkan dia adalah seperti sebiji permata di antara batu-batu biasa".

Baginda s.a.w. adalah pemberi syafaat agung yang sangat diharapkan syafaatnya. Bodohlah mereka yang tidak menginginkan syafaat baginda. Tidak mengharapkannya. Tidak juga tersentuh dengan keagungan maqam baginda. Malah tidak tersentuh pun dengan apa-apa yang berhubung kait dengan baginda.

Kalaulah si-Majnun sanggup mencium batu-batu, pokok-pokok, dan rumah-rumah yang ada di negeri si-Laila kerana cintakan si-Laila. Bagaimana pula kita dengan al-Habib s.a.w.??..

Saturday, May 23, 2009

Three Great 'Alis


Here is a photo of our few great scholars at this time, but there is some rarely things in the photo where the three great 'Alis sat together : Syeikh 'Ali Jum'ah, Syeikh 'Ali al-Sobuni and Syeikh 'Ali al-Jufri.

Ulama-Ulama yang Dilupakan


Ada ulama yang masyhur di zamannya dan terus dikenang orang sepanjang zaman, terutama apabila mereka meninggalkan karya-karya yang terus dipelajari. Ada pula ulama yang masyhur di zamannya, kemudian setelah kematiannya beberapa tempoh lama-kelamaan orang melupakan mereka. Jika dirujuk kepada sumber sejarah, ulama dari golongan kedua ini sebenarnya sangat ramai bilangan mereka.

Di Selangor, nama Syeikh Mahmud al-Bukhari suatu ketika dahulu sangat masyhur dikenal orang, namun kini tidak ramai yang tahu dan pernah mendengar namanya. Padahal beliau telah melahirkan ramai anak-anak murid yang menjadi ulama-ulama terkenal seperti Dato' Hj. Ismail Kamus, Dato' Hj. Hasan Azhari, Ustaz Hambali Abdul Salam, Ustaz Shahar Sulaiman, Ustaz Ahmad Muhid, Ustaz Ghazali Hj. Siraj dan ramai lagi tokoh-tokoh ulama di Selangor.

Pernah suatu ketika, Prof. Hamka berjumpa dengan beliau di suatu majlis di Klang dan berkata secara spontan tentang kehebatan Syeikh Mahmud al-Bukhari demikian; "Belum kelihatan pasirnya, sudah kedengaran ombaknya..".

رحمه الله تعالى رحمة واسعة

Harus Zikir Lafaz 'Allah' Sahaja?

Lama juga saya berpendapat, berzikir hanya dengan menyebut lafaz 'Allah' sahaja tidaklah afdhal kerana tidak ada dalil yang menunjukkan demikian. Sehinggalah saya mendengar ceramah al-'Allamah Syeikhuna 'Ali Jum'ah dalam youtube yang menyebut dalilnya dari Surah al-Muzzammil dan al-Insan iaitu;




Maksudnya: "Dan sebutlah nama Tuhanmu, dan tumpukanlah ibadah kepada-Nya dengan sepenuh tumpuan".

Maksudnya: "Dan sebutlah nama Tuhanmu waktu pagi dan petang".

Ayat-ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa kita disuruh menyebut nama Tuhan kita, iaitu; Allah. Inilah pegangan sebahagian tariqat-tariqat sufi di dalam amalan zikir mereka.


Wallahu a'lam.

Friday, May 22, 2009

Jabal Nur dan Gua Hira'


Ini adalah pemandangan Jabal Nur yang terletak tiga batu daripada Masjidil Haram. Di atas puncaknyalah terletak Gua Hira' di mana tempat Nabi (sallallahu 'alaihi wasallam) berkhalwah, bermunajat dan bertafakkur sebelum diangkat menjadi rasul.

Di situ juga tempat baginda s.a.w. menerima wahyu yang pertama daripada Jibril ('alaihissalam). Justeru, di situlah tempat bermula segala-galanya bagi keagungan empayar Islam ini.

Maka, saya berpendapat ada signifikannya bukit dan gua ini dengan nama blog 'Sawanih wa Khawatir' yang telah saya terangkan maksudnya dalam catatan sulung blog ini.

Siapa Susun Wirid dan Zikir Lepas Solat?

Mungkin ramai yang tak tahu asal wirid dan zikir selepas solat yang diamalkan oleh kebanyakan orang di Malaysia. Memang kebanyakannya mempunyai dalil daripada hadith. Namun susunan yang sedemikian (bermula dengan istighfar dan berakhir dengan doa) tidak terdapat dalam mana-mana riwayat.

Pengamalannya di Malaysia, bahkan di Nusantara secara turun temurun menunjukkan wirid ini sudah diamalkan sejak sekian lama. Kajian menunjukkan bahawa wirid ini dibawa oleh ulama-ulama yang pulang daripada Semenanjung Arab suatu ketika dahulu iaitu sekitar zaman Syeikh 'Abdul Ra'uf al-Fansuri (1620-1693), muridnya Tok Pulau Manis dan lain-lain. Berdasarkan sanad mereka wirid ini dinamakan 'al-Awrad al-Madaniyyah' atau 'al-Awrad al-Qusyasyiyyah' nisbah kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi al-Madani, guru Syeikh 'Abd al-Ra'uf tadi, yang diambil daripada amalan kebanyakan orang Madinah yang semasa dengannya.

Ini termasuklah zikir;
يا لطيف يا كافي * يا حفيظ يا شافي
يا لطيف يا كافي * يا حفيظ يا شافي
يا لطيف يا وافي * يا كريم أنت الله

---------------------------
Lihat juga: al-Ehsaniah.

Menolak Aqidah Allah Bersudut


Info tentang kitab terbaru ini datang daripada Syeikh al-Azhari (guru kami yang majhul) dari Muntada al-Azhariyyin.


Kitab ini susunan Syeikh 'Abdul 'Aziz bin 'Abdul Jabbar al-Hadhiri dengan kata-kata pujian daripada Syeikh Ahmad al-Sarraj, Syeikh Adib al-Kallas, Syeikh 'Abdul Hadi al-Kharsah dan Syeikh Sa'id Fudah.

Aqidah Ahlus Sunnah: Tafwidh dan Ta'wil


Imam al-Laqani (rahimahullah) amat tepat apabila beliau menyimpulkan aqidah Ahlus Sunnah berkaitan sifat Allah s.w.t. di dalam satu rangkap bait syairnya yang cukup masyhur. Kata beliau;

وكل نص أوهم التشبيها * أوله أو فوض ورم تنزيها
Maksudnya: Semua nas yang menimbulkan tasybih * hendaklah dita'wil atau ditafwidh dan memilih tanzih.

Tafwidh adalah mazhab majoriti Salaf, dan sebahagian mereka juga ada yang menta'wil untuk menunjukkan keharusannya. Rangkap di atas ini juga saya dengar beberapa kali disebut oleh guru kami, Dr. Nur 'Abdi Gudle al-Somali di dalam pengajian kitab Sahih al-Bukhari apabila beliau menemukan hadith-hadith sifat di dalamnya.

Kitab terbaru berkenaan karya Syeikh Saif 'Ali al-'Asri adalah penjelasan yang baik berhubung masalah ini.

Thursday, May 21, 2009

Syair Sunan Bonang

Mungkin anda pernah mendengar lirik lagu ini. Ia sebenarnya adalah nyanyian rohani ciptaan Sunan Bonang (salah seorang Wali Songo - rahimahumullah) yang bertajuk 'Tombo Ati' (Ubat Hati). Rasailah auranya dengan mendendangkannya dalam munajat.

Bahasa Jawa:
Tombo ati iku limo perkarane
Kaping pisan moco Qur’an lan maknane
Kaping pindo solat wengi lakonono
Kaping telu wong kang soleh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo zikir wengi ingkang suwe
Salah sawijine sopo iso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani

Terjemah Melayu:
Ubat hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Qur’an dan maknanya
Yang kedua solat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh
Yang keempat berbanyaklah berpuasa
Yang kelima zikir malam perpanjanglah
Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Allah Taala mencukupi.

Syair ini kemudian disegarkan semula oleh Opick dari Indonesia.

Allah Di Sudut Tertentu?



Ada setengah golongan yang percaya Allah berada di satu sudut tertentu, atau mempunyai tempat. Sedangkan zat Allah adalah termasuk daripada perkara-perkara ghaib yang kita tidak diberi penjelasan detail tentangnya. Kita hanya diwajibkan percaya kepada sifat-sifat Allah yang menunjukkan kesempurnaan dan keagungan-Nya. Golongan tersebut mungkin terlalu berpegang kepada zahir nas yang menunjukkan demikian sehingga mereka lupa bahawa mereka sedang berpegang kepada nas mutasyabihat, bukannya nas muhkamat! Malah mendakwa pula inilah akidah fitrah hatta kalau ditanya kepada kanak-kanak atau orang jahil sekalipun mereka akan dapat menjawabnya. Tak perlu kepada perbincangan ilmu kalam yang rumit.

Gambar ini mungkin dapat menjawab kekeliruan mereka. Gambar yang diambil oleh satelit pengembara sejauh 50 juta km daripada bumi (dengan bulan mengelilinginya). Di mana apabila kita berada di angkasa, kita tidak akan dapat mengetahui mana atas, bawah, depan, belakang, kiri atau kanan. Tidak wujud semua sudut itu kecuali arah nisbi bagi manusia semata-mata. Bagaimana golongan tadi mendakwa Allah di atas, atau di langit?? Apa makna 'langit' bagi mereka?? Maha Suci Allah, sesungguhnya kami jahil tentang zat-Mu yang Maha Agung..

Kalimah Hikmah Syeikh al-Khatib


Syeikh Masyayikhina Muhammad Khalil al-Khatib (rahimahullah) merupakan seorang alim rabbani yang sangat masyhur di kalangan penduduk Tanta, Mesir. Beliau banyak menggubah bait-bait syair dan mewakafkannya untuk Rasulullah (sallallahu 'alaihi wasallam). Hinggakan beliau digelar 'Sya'ir al-Rasul s.a.w.' (penyair Rasulullah). Antara bait syairnya yang menjadi pegangan :

وما تحرك صوفي ولا سكنا * إلا بشرع الذي في طيبة سكنا

Maksudnya: Dan tidaklah bergerak dan diam seorang sufi itu * melainkan dengan syara' yang letaknya di kota Tibah (Madinah).

Musnid al-Dunia Syeikh Yasin Padang






Nama Syeikh Yasin Padang (m. 1990, rahimahullah) cukup terkenal di kalangan pencari-pencari sanad. Hampir kesemua sanad yang ada di dunia dimiliki oleh beliau, hinggakan orang-orang Arab sendiri datang berguru dengannya. Kerana itu beliau digelar 'Musnid al-Dunia'.

Ini adalah gambar beliau (duduk di tengah) berserta guru-guru di Madrasah Darul Ulum, Makkah yang dimiliki oleh bapa saya.

Lihat biografi beliau dalam bahasa Arab : http://cb.rayaheen.net/showthread.php?tid=24492&page=1#p147713

Penulisan-penulisan al-Faqir Hingga Kini

i. Senarai artikel yang diterbitkan :
a- Pemikiran Astora Jabat : Satu Kritikan Dari Sudut Disiplin Ilmu Hadis – Jurnal Pengajian Islam, KUIS, Bil. 1, 2006.
b- Kitab Hidāyah Al-Mukhtār Karya Terjemahan Syeikh Hasan Besut : Suatu Kupasan Hadis. Jurnal Pengajian Islam, KUIS, Bil. 2, 2007.
c- Sumbangan Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah Dalam Ilm al-Jarh wa al-Ta'dil. Jurnal Pengajian Islam, KUIS, Bil. 3, 2008.
d- Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah: Riwayat Hidup dan Karya-karyanya. Jurnal al-Bayan. Bil. 6, 2008, Jabatan al-Quran dan al-Hadith. Akademi Pengajian Islam, UM.
e- Tinjauan Terhadap Pengkaryaan Hadis Ulama India, dlm. buku 'Kelangsungan Pengajian Hadis'. 2006. Terbitan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Akademi Islam, KUIS.

ii. Senarai buku
a- Mohd. Khafidz bin Soroni (penyunting bersama Haziyah Hussin, Farhah Zaidar Mohd. Ramli dan Rosni Wazir). 2006. Kelangsungan Pengajian Hadis. Terbitan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Akademi Islam, KUIS.
b- Mohd. Khafidz bin Soroni (penyusun bersama Rosni Wazir, Farhah Zaidar Mohd. Ramli dan Suriani Sudi). 2008. Mustalah al-Hadith al-Muyassar. Terbitan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Akademi Islam, KUIS.
c- Mohd. Khafidz bin Soroni. 2008. Syeikh ’Abd al-Fattah Abu Ghuddah: Riwayat Hidup dan Sumbangannya Dalam Pengajian Hadith. (disertasi sarjana), Akademi Pengajian Islam, UM.
d- Mohd. Khafidz bin Soroni. 2009. Kaedah-kaedah Takhrij al-Hadith. Terbitan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Akademi Islam, KUIS.
e- Mohd. Khafidz bin Soroni. 2009. Syeikh 'Abd al-Fattah Abu Ghuddah: Tokoh Pendidik, Pendakwah, Pentahkik dan Ulama Hadith. Terbitan Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD). (Dalam proses)
f- Mohd. Khafidz bin Soroni (penyusun bersama Dr. Faisal Ahmad Shah, Rosni Wazir, dan Farhah Zaidar Mohd. Ramli). 2008. Metodologi Ahli Hadith. (Dalam proses)

iii. Senarai kertas seminar yang dibentangkan
1. Isnad dan Hubungannya Dengan al-Dakhil, dlm. Wacana al-Dakhil Dalam Tafsir al-Quran, 25 Januari 2003, anjuran Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Sekolah Pengajian Islam, KISDAR.
2. Juhud al-'Ulama' al-Muslimin fi Syarh Kutub al-Hadith fi al-Qarn al-Rabi' 'Asyar al-Hijri wa Awa’il al-Qarn al-Khamis ’Asyar al-Hijri: ’Ard Tarikhi. dlm. International Conference on the Quran and Sunnah: Methodologies of Interpretation, 17-18 Julai 2006. anjuran Dep. of Quran and Sunnah Studies, Faculty of Islamic Revealknowledge and Human Science, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
3. Pemikiran Hadis Dalam Beberapa Aliran Pemikiran Semasa Di Malaysia : Mendepani Realiti Masa Kini. dlm. Seminar Warisan Nabawi, 11-12 Julai 2007. anjuran Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
4. Syeikh Muhammad Fu'ad 'Abd Al-Baqi Dan Gagasan Pemikirannya Di Medan Hadis. dlm. Seminar Tokoh-tokoh Hadith Pasca Kurun Ke-13 Hijrah, 28-29 Ogos 2007. Universiti Sains Malaysia.
5. Material Hadith Berbahasa Melayu di Internet: Perkembangan dan Visi Masa Depan. dlm. Seminar Warisan al-Quran dan al-Hadith Nusantara, 27-28 Ogos 2008. anjuran Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, UM.
6. Kiyai Haji Husain bin Haji Abbas: Tokoh Ulama Masyarakat Jawa di Selangor (untuk baca klik sini). Dlm. Seminar Tokoh Ulama Selangor, 22 November 2008, anjuran Jabatan Peradaban dan Pemikiran Islam, Akademi Islam, KUIS dan Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor.
7. Takhrij Hadith Melalui Internet dan CD-Rom. dlm. Bengkel Takhrij al-Hadith – Siri: I, II, III, IV, dan V. anjuran Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Akademi Islam, KUIS.
8. Sahih al-Bukhari Versi al-Yunini: Kepentingan dan Sumbangannya. dlm. 'Seminar Tokoh Hadis : al-Imam al-Bukhari', 16 Mei 2009, anjuran Institut Kajian Hadis Selangor (INHAD), KUIS.

iv. Senarai kertas seminar yang tidak dibentangkan
1. Kitab Gharib al-Quran Karya Abu Bakr al-Sijistani: Satu Pengenalan Kepada Ilmu Gharib al-Quran. Kertas kerja sisipan dlm. Prosiding Seminar Penghayatan dan Kemahiran Bacaan al-Quran, 21 September 2004, anjuran Jabatan Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat, KUIS.
2. Juhud al-'Ulama' al-Muslimin fi Syarh al-Kutub al-Sittah fi al-Qarn 14 al-Hijri wa Awa’il al-Qarn 15 al-Hijri: ’Ard Tarikhi. Kertas kerja sisipan dlm. Prosiding Seminar al-Sunnah dan Isu-isu Semasa Peringkat Kebangsaan, 20-21 Ogos 2007.
3. Ibn al-Jazari dan Seni Takhrij Hadith Di dalam Kitabnya al-Nasyr fi al-Qira’at al-’Asyr (bersama Sabri bin Mohamad). Kertas kerja sisipan dlm. Prosiding Seminar Takhrij Hadith Peringkat Kebangsaan, 26hb. Feb. 2009, anjuran Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Wednesday, May 20, 2009

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (m. 1997)


Beliau adalah antara tokoh ulama yang saya kagumi. Kemasyhurannya menjadikan beliau tidak perlu lagi disohorkan. Ilmunya amat luas dan baktinya terhadap ummah sangat banyak. Adakalanya lidah menjadi kelu untuk menuturkan pelbagai aspek ketokohan dan kewibawaan beliau. Kekuatan sahsiahnya mendorong saya untuk menjadikan beliau sebagai fokus kajian dalam disertasi saya (UM, 2008). Antara yang saya tulis di sana;

"Di dalam dunia keilmuan Islam, para sarjana Islam tidak sunyi daripada tiga jenis pemikiran golongan ulama berikut; pertama, golongan al-mutasyaddid iaitu golongan ulama yang bersikap agak keras, ketat serta tegas, kedua, golongan al-mu‘tadil iaitu golongan ulama yang bersikap sederhana dan boleh bertolak ansur, dan ketiga, golongan al-mutasahil iaitu golongan ulama yang bersikap longgar dan adakalanya mengambil mudah dalam sesuatu perkara. Ketiga-tiga pemikiran golongan ulama ini hakikatnya terdapat di dalam hampir setiap bidang pengajian Islam, sama ada fiqh, usul, akidah, ilmu kalam, bahasa Arab, tafsir mahupun hadith.

Pada hemat saya, pemikiran golongan ulama yang dianggap sederhana serta releven adalah golongan yang kedua, iaitu golongan al-mu‘tadil kerana mereka tidak terlalu keras sehingga menyukarkan sesuatu pihak dan tidak pula terlalu longgar sehingga ‘merosakkan’ pihak yang lain. Begitu juga di dalam pengajian hadith di mana kita akan dapati tiga jenis pemikiran ini. Menurut pengamatan penulis, di antara tokoh hadith dari golongan yang kedua itu pada zaman mutakhir ini ialah Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah. Ini kerana beliau cukup dikenal sebagai seorang ulama yang memiliki sikap sederhana dan suka bertolak ansur di dalam sesuatu permasalahan dan apa jua tindakan yang diambil. Justeru, tokoh ulama yang sedemikian menurut penulis amat wajar dikaji dan dibincangkan sama ada dari segi sahsiah, pemikiran, jasa serta sumbangan yang diberikan.

Berdasarkan faktor ini, dapatlah kita fahami kepentingan kajian sedemikian dilaksanakan. Umat Islam amat memerlukan kepada alim-ulama yang digelar sebagai ‘alim rabbani, iaitu mereka yang belajar, berilmu, beramal dengan ilmunya dan kemudian menyampaikan ilmunya kepada orang lain, ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Maka, alim-ulama yang sedemikian adalah wajar menjadi qudwah (role-model) kepada ummah"
.

Beberapa buku beliau telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu oleh sahabat saya, Ustaz Shuhadak Mahmud.

Aqidah Syeikh Ahmad al-Dardir (m.1201H)

Ini adalah aqidah Syeikh Ahmad al-Dardir al-Maliki yang diungkap secara ringkas tetapi amat padat isi kandungannya:
بسم الله الرحمن الرحيم

يَجِبُ عَلَى المُكَلَفِ مَعْرِفَةُ مَا يَجِبُ لله تَعَالَى ولأَنبِيَائِهِ وَمَلائِكَتِهِ الْكِرَامِ ؛ فَيَجِبُ لله تَعَالَى عِشْرُونَ صِفَةً ، وَهِيَ : الْوُجُودُ ، وَالْقِدَمُ ، وَالْبَقَاءُ ، وَالْمُخَالَفَةُ للْحَوَادِثِ ، وَالْقِيَامُ بِالْنَفْسِ ، وَالْوِحْدَانِيَةُ ، وَالْحَيَاةُ ، وَالْعِلْمُ ، وَالإِرَادَةُ ، وَالْقُدْرَةُ ، وَالْسَمْعُ ، وَالْبَصَرُ ، وَالْكَلامُ ، وَكَوْنُهُ تَعَالَى : حَيَاً ، وَعَلِيْمَاً ، وَمُرِيْدَاً ، وَقَادِرَاً ، وَسَمِيْعَاً ، وَبَصِيْرَاً ، وَمُتَكَلِمَاً . فَهَذِهِ عِشْرُوْنَ صِفَةً الأُولَى نَفْسِيَةٌ وَالْخَمْسَةُ بَعْدَهَا سَلْبِيَةٌ ، وَالْسَبْعَةُ بَعْدَهَا صِفَاتُ مَعَانٍ ، وَالْتِي بَعْدَهَا مَعْنَوِيَةٌ ؛ فَهُوَ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى : وَاجِبُ الْوُجُوْدِ ، قَدِيْمٌ بَاقٍ ، مُخَالِفٌ فِي ذَاتِهِ لِجَمِيْعِ الْخَلائِقِ ، فَلَيْسَ بِجِسْمٍ ، وَلا عَرَضٍ ، وَلا يَتَصِفُ بِاَلْمَكَانِ ، وَلا بِالْزَمَانِ ، وَلا بِالْيَمِنِ ، وَلا بِالْشِمَالِ ، وَلا بِالْخَلْفِ ، وَلا بِالأَمَامِ ، الْقَائِمُ بِنَفْسِهِ ، وَاحِدٌ فِي ذَاتِهِ وَصِفَاتِهِ وَأفعَالِهِ . حَيٌ عَلِيمٌ بِكُلِ شَيءٍ مَا كَانَ ، وَمَا يَكُونُ ، وَمَا لَمْ يَكُنْ . مُرِيْدَاً لِكُلِ شَيءٍ جَرَى وَبَرَزَ مِنَ الْعَوَالِمِ ، وَمَا لَمْ يَكُنْ مِنْهَا . قَادِرٌ عَلَى كُلِ شَيْءٍ مِنَ الْمُمْكِنَاتِ وَعَلَى إِعْدَامِهَا ، لا يُشَارِكُهُ فِيْ ذَالِكَ مُشَارِكٌ . سَمِيْعٌ لِكُلِ مَوْجُوْدٍ ، وَمُبْصِرٌ . مُتَكَلِمٌ بِكَلامٍ أَزَلِي مُنَزَهٌ عَنِ الْصَوْتِ وَ الْحَرْفِ .

وَيَجِبُ للأَنْبِيَاءِ عَلَيْهِمُ الْصَلاةُ وَالْسَلامُ الْعِصْمَةُ ، فَلا يَقَعُ مِنْهُمْ مُخَالَفَةٌ لله فِي أَمْرِهِ وَنَهْيِهِ ، وَكَذَالِكَ الْمَلائِكَةُ ؛ وَيَجبُ لِلْرُسُلِ عَلَيْهِمُ الْصَلاةُ وَالْسَلامُ تَبْلِيغُ مَا أُمِرُوا بِتَبْلِيْغِهِ لِلخَلقِ مِنَ الأَحكَامِ وَغَيْرِهَا ، كَالْيَومِ الآخِرِ وَمَا فِيهِ : مِنَ الْحِسَابِ ، وَالعِقَابِ ، وَالصرَاطِ ، وَالمِيْزَانِ ، وَالجَنَةِ ، وَالنَارِ ؛ وَبِالْعَرشِ ، وَبِالكُرسِيِ ، وَبِالكُتُبِ الٍَسَمَاوِيَةِ وَالرُسُلِ وَمَا وَقعَ لَهُمْ مِنْ أُمَمِهِمْ ، وَبِالْحُورِ الْعِيْنِ وَالْوِلْدَانِ ، وَالأوْلِيَاءِ ، وَبِإِسْرَائِهِ صَلَى الله عَلَيْهِ وَسَلَمَ ، وَبِالْمِعْرَاجِ ، وَبِأَنَ الْشُهَدَاءَ أَحْيَاءُ عِنْدَ رَبِهِمْ يُرْزَقُونَ ، وَبِشَفَاعَةِ نَبِيِنَا مُحَمَدٍ صَلَى الله عَلَيْهِ وَسَلَمَ ، وَبِعَلامَاتِ الْسَاعَةِ ، وَتَجْدِيْدِ الْتَوْبَةِ مِنَ الْذُنُوبِ ، وَالْرِضَا بِالْقَضَاءِ وَالْقَدَرِ .

Kaedah-kaedah Takhrij Hadith


Alhamdulillah.. dengan izin-Nya, saya dapat menerbitkan buku pertama saya berjudul 'Kaedah-kaedah Takhrij Hadith'. Sebarang teguran dialu-alukan.


Terima kasih kepada fiezarmy kerana menjadi orang pertama yang 'promote' buku saya dalam blog beliau : http://fiezarmy.blogspot.com/2009/04/sehari-berbengkel.html

Tokoh-tokoh Hadith Sufi





Ada orang hairan bila saya katakan yang ahli hadith sekian sufi, dan ahli hadith sekian sufi... seolah-olah disangka bahawa ahli hadith tidak mungkin menjadi ahli sufi dan ahli sufi tidak mungkin menjadi ahli hadith. Sangkaan ini mungkin disebabkan kerana pada masa sekarang ramai ahli-ahli hadith yang bukan ahli sufi (dan lebih kepada 'zahiri'), dan ramai ahli-ahli sufi yang bukan ahli hadith.

Sangkaan tersebut adalah tidak betul sama sekali. Jika diamati dalam lembaran sejarah, kebanyakan ahli-ahli hadith pada beberapa kurun sebelum ini merupakan ahli-ahli sufi. Mereka berjaya menggabungkan antara aspek teori, amali dan rohani sekaligus. Namun, apabila zaman bertukar sekarang bilangan ahli-ahli hadith seperti mereka makin berkurangan. Ahli-ahli hadith yang lebih menekankan aspek teori dan zahir nas semata-mata pula semakin dominan.

Tokoh-tokoh hadith seperti Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari, Syeikh Ahmad al-Ghumari, Syeikh Muhammad 'Alawi al-Maliki, Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani, dan Syeikhuna Mahmud Sa'id Mamduh (masih hidup) mungkin sukar untuk dicari galang gantinya.