Pages

Thursday, July 2, 2009

Hadith-hadith Taun dan Wabak (2)


Daripada hadith-hadith tersebut, dapat kita ambil beberapa pengajaran dan kesimpulan, iaitu;

1. Wabak taun ada berkaitan dengan makhluk halus atau jin yang jahat, sepertimana sabda baginda SAW: "Iaitu 'tikaman' musuh kamu dari kalangan jin". Begitu juga sebahagian wabak lain, ada peranan makhluk halus dalam mengaktif dan menyuburkannya bagi tujuan mengganggu dan mengacau orang-orang mukmin. Mereka akan bergembira jika orang-orang Islam ini mengeluh, menyalahkan takdir, tidak sabar dan seumpamanya.

2. Nabi SAW berdoa agar umatnya lenyap sedikit-sedikit dengan cara mati syahid dibunuh orang-orang kafir dan juga dengan sebab wabak taun, termasuk juga wabak-wabak merbahaya yang lain. Doa Nabi SAW tentunya mustajab.

3. Nabi SAW mengajar agar 'apabila wabak taun berlaku di sebuah negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila sudah berlaku di sebuah negeri pula dan kamu di dalamnya, maka janganlah kamu keluar daripadanya'. Begitu juga dengan wabak-wabak yang lain. Ini bagi membendung agar wabak tersebut tidak tersebar kepada negeri-negeri lain.

4. Taun merupakan wabak era klasik yang telah berlaku di kalangan umat-umat terdahulu dan terus berlaku juga di kalangan umat Nabi SAW, dan ia merupakan satu rahmat bagi orang-orang mukmin.

5. Madinah merupakan kota istimewa yang tidak akan dimasuki taun dan sebarang wabak merbahaya. Ulama turut memasukkan kota Makkah berdasarkan kias dan dalil-dalil lain. Ini merupakan kelebihan bagi kedua-dua al-Haramain tersebut di samping banyak kelebihan lain.

6. Orang yang mati kerana taun dan wabak merbahaya lain dikira mati syahid, dengan syarat menerima takdir Allah Taala dengan penuh redha dan sabar.

7. Tersebarnya di kalangan umat manusia penyakit taun dan juga penyakit-penyakit yang tidak pernah terjadi di kalangan nenek-moyang kita dahulu, seperti wabak-wabak yang ada sekarang ini (selsema burung, selsema babi, selsema apantahkebendanya.. dan lain-lain lagi) adalah disebabkan antara lain dengan berleluasanya kemungkaran dan maksiat yang dilakukan oleh manusia sendiri terutama yang secara terang-terangan.

8. Nabi SAW juga mengajarkan agar menutup bekas makanan dan minuman bagi mengelakkan ia dicemari oleh sebarang wabak penyakit. Maka janganlah makanan dan minuman kita dibiarkan terbuka tanpa ditutup.

9. Nabi SAW tidak mengajar sebarang doa atau amalan khusus bagi menghindari wabak-wabak penyakit tidak bermakna doa-doa dan amalan-amalan, seperti selawat-selawat dan ayat-ayat tertentu yang diajarkan oleh ulama itu merupakan bidaah. Mengikut sunnah Nabi SAW yang sebenar tidaklah mesti rigid seperti itu sehingga tiada sebarang keanjalan di dalam memahami syariatnya.


والله أعلم

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.