Pages

Thursday, August 13, 2009

Asri Rabbani: Semoga Rohnya Dirahmati Allah..

Mungkin ramai juga yang terkejut dengan 'kehilangan' Asri Rabbani. Dalam usia 40, beliau telah dipanggil kembali bertemu Allah SWT. Perjalanan hidupnya dipenuhi dengan pelbagai corak dan rencah kehidupan yang, alhamdulillah, semuanya masih berkaitan dengan agama serta dakwah melalui bidang seni, daripada al-Arqam sehingga ke tahap beliau kini.

Saya tidak pernah kenal beliau, cuma berselisih beberapa kali, tetapi saya mengenali beberapa orang adik-beradiknya yang membuatkan seolah-olah saya mengenal keluarga Hj. Ibrahim. Adiknya, Zulkifli Ibrahim merupakan teman lama saya sewaktu di alam persekolahan. Dalam pertandingan-pertandingan nasyid pasti kami mengetengahkan beliau sebagai vokalis. Adik beliau, Fadzli Ibrahim juga selalu menjuarai pertadingan-pertandingan nasyid di sekolah dulu. Adik mereka, Mabrurah Ibrahim pula pernah menjadi student saya semasa belajar di KUIS.

Tentunya sedikit sebanyak saya mengenal keluarga Hj. Ibrahim, sebuah keluarga beragama yang patut dijadikan contoh. Keluarga Hj. Ibrahim pernah berhubungan rapat dengan Jemaah al-Arqam, ini tidaklah lain melainkan kerana ikhlas ingin mencari kehidupan beragama. Apabila telah ternyata kebenaran, mereka akur dan kembali kepadanya tanpa rasa berat hati menerimanya. Apa yang penting dicari ialah kehidupan beragama yang diredhai Allah SWT. Bagi saya keluarga Hj. Ibrahim yang serba sederhana itu patut dijadikan contoh teladan. Dan Asri Ibrahim adalah dari keluarga soleh ini.

Di sini saya bawakan kata-kata beliau yang ditulis di dalam blognya (asrirabbani.blogspot.com) yang dapat mencerminkan kepada kita sedikit daripada cara hidup dan pemikirannya. Kata beliau: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja, syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat, dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...". Semoga rohnya kembali dengan tenang menghadap Tuhannya.
رحمه الله تعالى رحمة واسعة

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.