Pages

Friday, August 21, 2009

Tidak Perlu Mazhab-Mazhab Fiqh? (2)


Taklid Mazhab

Taklid asalnya ialah seseorang itu mengikut pandangan orang lain tanpa mengetahui dalil kesahihan dan ketepatan pandangan tersebut. Ini adalah martabat masyarakat awam, iaitu sebagai muqallid (orang yang bertaklid). Adapun orang alim yang mengetahui dalilnya dan tidak pula mencapai martabat mujtahid, dia tidak boleh tidak perlu mengikut pandangan tersebut di atas dasar beramal dengan ilmu. (Rujuk fatwa Dar al-Ifta')

Prinsip ulama mujtahid ; ’sekiranya sah sesuatu hadith, maka itulah mazhabku’ (إذا صح الحديث فهو مذهبي) bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterapkan dengan sewenangnya kerana ia memerlukan kepada kajian empirikal yang menyeluruh oleh alim ulama sesuatu mazhab itu terhadap masalah terbabit. Penentuannya juga berkait dengan usul al-fiqh dan kaedah-kaedah fiqh (القواعد الفقهية) yang adakalanya turut berbeza antara suatu mazhab dengan mazhab yang lain.

Bagaimanapun, seorang alim sesuatu mazhab yang bertukar mazhab dalam satu-dua masalah sahaja di kala telah ternyata kepadanya dalil dan hujah yang tidak dapat ditolak atau ditakwil lagi dalam masalah-masalah yang tersebut, tidak dianggap menukar mazhab asalnya selagi beliau masih berpegang dengan usul mazhabnya. Tidak sedikit juga terjadi orang alim yang bertukar mazhab dalam sesuatu masalah itu kemudian kembali semula kepada mazhab asal kerana tersilap dalam membuat analisis dan keputusan.

Mazhab Tarjih

Ini berbeza dengan orang yang mengisytiharkan diri tidak terikat dengan sesuatu mazhab, yang hakikat sebenarnya ia adalah juga suatu mazhab, yang saya sebut sebelum ini dengan nama ”mazhab ahlul-hadith”. Mazhab ini juga dipanggil ”mazhab tarjih” di mana dalam fatwa-fatwanya tertakluk kepada dalil yang lebih kuat (tentunya berdasarkan persepsi mereka dalam menganalisis dalil-dalil).

Maka dalam soal ibadah misalnya, bolehjadi mereka mentarjihkan mazhab Hanafi dalam sesatu masalah, dan mazhab Maliki dalam sesatu masalah yang lain, dan mazhab Syafi’i dalam masalah yang lain, dan mazhab Hanbali dalam masalah yang lain pula. Justeru, terhimpun keempat-empat mazhab dalam pelbagai amalan mazhab mereka. Mazhab ahlul-hadith ini juga hampir menyerupai mazhab Zaidiyyah di mana alim-ulama mazhab Zaidiyyah juga digalakkan berijtihad dan tidak terikat dengan pendapat mazhab mereka. Bagaimanapun, didapati kebanyakan amalan mereka cenderung kepada mazhab Hanafi dan mazhab Syafi’i.

Meskipun tidak ada nas atau dalil kuat yang melarang mereka berbuat demikian, namun para ulama mengingatkan ianya mestilah tidak bertujuan untuk mencari kemudahan dan menurut hawa nafsu (تتبع الرخص). Jika tidak ianya adalah jelas haram kerana tidak lagi ikhlas dalam pengabdian diri kepada Allah SWT. Sebagaimana tidak haram bagi mereka berbuat demikian, begitu juga tidak haram bagi seorang muqallid memilih mazhab tertentu untuk dirinya kerana tidak ada juga dalil yang melarangnya. Malah sekiranya dia tidak mahu bertukar mazhab sekalipun tidaklah ada apa-apa mudarat dan tidak juga berdosa. Ini kerana dia bukanlah telah melakukan perkara yang haram atau yang ditegah oleh syarak.

Masalah-masalah Praktis :

Berikut adalah sebahagian masalah-masalah yang diperselisihkan antara mazhab-mazhab fiqh yang empat yang disusun menurut bab-bab terpilih;

Bab Taharah:

1. Menghilangkan najis dengan air:
i. Abu Hanifah : Harus menghilangkannya dengan semua benda yang cair, selain minyak.
ii. Malik : Tidak boleh menghilangkannya kecuali dengan air sahaja.
iii. al-Syafi’i : -sama-
iv. Ahmad bin Hanbal : -sama-

2. Menggunakan air musyammas (kena panas matahari):
i. Abu Hanifah : Tidak makruh menggunakannya.
ii. Malik : -sama-
iii. Ahmad bin Hanbal : -sama-
iv.: al-Syafi’i : Makruh menggunakannya.

3. Najis yang masuk dalam air yang kurang dari dua qullah (190 liter padu):
i. Abu Hanifah : Dihukum najis, walaupun air tidak berubah.
ii. al-Syafi’i : -sama-
iii. Ahmad bin Hanbal (riwayat satu): -sama-
iv. Malik : Tidak najis, kecuali jika air berubah.
v. Ahmad bin Hanbal (riwayat dua): -sama-

4. Bersugi bagi orang yang berpuasa selepas gelincir matahari:
i. Abu Hanifah : Tidak makruh.
ii. Malik : -sama-
iii. Ahmad bin Hanbal (riwayat satu): -sama-
iv. al-Syafi’i : Makruh.
v. Ahmad bin Hanbal (riwayat dua): -sama-

bersambung...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.