Pages

Thursday, October 29, 2009

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam (4)

5. Menjaga Maruah dan Harga Diri


Ada setengah penulis yang menggunakan nama sebenar, dan ada setengahnya yang hanya menggunakan nama samaran sahaja. Penulis yang menggunakan nama sebenar ini menunjukkan sifat keberanian, keyakinan dan bertanggungjawab terhadap apa yang dicoretnya. Namun, jika apa yang ditulisnya itu tidak menurut lunas-lunas yang betul atau mengandung moral yang tidak baik, ini hanya akan menyebabkan maruah dirinya jatuh dan dipandang rendah oleh orang lain, walau sebesar dan segah mana sekalipun namanya.

Manakala penulis yang menggunakan nama samaran, ada dua tafsiran yang dapat diberi, sama ada dia bersifat rendah diri atau bersifat takut diketahui orang akan dirinya yang sebenar kerana berbagai-bagai faktor. Tidak sedikit juga tulisan-tulisan yang menggunakan nama samaran ini yang agak baik, berfaedah dan memberi manfaat. Namun, jika hendak dibandingkan dengan tulisan-tulisan yang berbentuk ekstrim dan melampau, berbaur fitnah, mengata dan mengumpat orang, meluas jurang pertelingkahan, mendorong nafsu syahwat, penuh dengan kata nista atau moral yang keji, menyongsang arus dan sebagainya, boleh dikatakan bahan-bahan negatif seperti demikian lebih besar lagi jumlahnya. Inilah antara faktor negatif kenapa mereka takut untuk meletakkan nama sebenar, agar mudah untuk 'baling batu, sembunyi tangan' seperti kata pepatah. Meskipun dia dapat menjaga maruah dan harga dirinya kerana tidak diketahui orang, namun apakah dia menyangka bahawa maruah dan harga dirinya tidak jatuh di sisi Allah SWT? Maka tulisan-tulisan yang sebegini semestinya dijauhi dan dipulaukan.

Daripada Abu Mas'ud RA, sabda Rasulullah SAW:

‏إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ الْأُولَى ‏ ‏ إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ
Terjemahan: "Sesungguhnya antara perkataan hikmah yang diwarisi orang daripada perkataan kenabian yang pertama ialah; Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa yang kamu suka". (Riwayat Abu Dawud: 4164)

Termasuk dalam masalah ini ialah pemaparan imej-imej yang bercanggah dengan syarak. Orang muslim yang berakal tidak sewajarnya memuat-turun atau menyebarkan gambar-gambar yang menyalahi syariat Islam di dalam tulisan-tulisan atau entri-entri yang dipaparkan. Keprihatinan seperti ini menunjukkan akhlak tinggi seseorang itu, dan sebaliknya sikap sambil lewa pula menunjukkan kerendahan imej diri seseorang itu sebagai seorang muslim.

Wednesday, October 28, 2009

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam (3)

4. Menutur Bahasa yang Betul

Pemilihan bahasa menurut tatabahasa yang betul adalah suatu perkara yang harus dipraktiskan agar bahasa tersebut tidak menjadi rosak. Namun, apa yang berlaku di kalangan generasi moden kebanyakannya pada masa kini amat memeningkan ahli-ahli bahasa, maksudnya bahasa Melayu dalam konteks masyarakat kita sekarang ini. Terutama apabila menggunakan bahasa-bahasa yang bercampur dengan bahasa Inggeris, bahasa pasar, bahasa caca-merba, bahasa-kependekan yang dicipta sendiri dan sebagainya sehingga benar-benar menjadi bahasa 'rojak'. Ini sebenarnya merupakan sejenis isu yang mungkin dianggap kecil atau enteng oleh setengah orang, yang hakikatnya memalukan ahli-ahli bahasa dan bangsa yang menggunakan bahasa itu sendiri apabila kecemerlangan bahasanya dimiliki oleh bangsa lain.

Daripada Anas bin Malik RA, sabda Rasulullah SAW:

‏مَا كَانَ ‏ ‏ الْفُحْشُ ‏ ‏فِي شَيْءٍ إِلَّا ‏ ‏شَانَهُ ‏ ‏وَمَا كَانَ الْحَيَاءُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ
Terjemahan: "Tidaklah ada suatu pertuturan yang buruk pada sesuatu itu melainkan ia akan mengaibkannya, dan tidaklah ada sifat malu pada sesuatu itu melainkan ia akan mengindahkannya".(Riwayat al-Tirmizi: 1897, katanya: Hadith Hasan Gharib)

Bertutur dengan bahasa yang betul, termasuk mengeja dengan ejaan standard, dapat mencerminkan peribadi seseorang itu. Lihatlah bagaimana cara Rasulullah SAW berbicara sepertimana yang diriwayatkan oleh 'A'isyah RA, katanya:

كَانَ كَلَامُ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كَلَامًا ‏ ‏ فَصْلًا ‏ ‏ يَفْهَمُهُ كُلُّ مَنْ سَمِعَهُ ‏
Terjemahan: "Percakapan Rasulullah SAW adalah percakapan yang jelas-nyata, yang dapat difahami oleh semua orang yang mendengarnya". (Riwayat Abu Dawud: 4199)

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam (2)

2. Bersikap Benar dan Amanah

Bersikap benar dan amanah terhadap apa yang ditulis, serta pasti dengan apa yang dihidangkan menurut landasan yang benar, merupakan satu perkara yang sangat penting. Sikap ini dapat mengelakkan dari membuat tulisan yang berbentuk dusta, berbaur fitnah, menipu, mencuri hak orang lain dan seumpamanya. Sifat benar ini adalah sifat yang dituntut oleh syarak, sabda Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin Mas'ud RA:

‏ ‏إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Terjemahan: "Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan, dan kebaikan itu pula membawa kepada syurga. Sesungguhnya seorang lelaki itu sentiasa bersifat benar sehingga menjadi seorang pembenar (siddiq). Manakala dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu pula membawa kepada neraka. Sesungguhnya seorang lelaki itu sentiasa berdusta sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta". (al-Bukhari: 5629 dan Muslim: 4719)

Antara sifat yang penting juga ialah amanah dalam menukilkan bahan-bahan yang dihidangkan. Justeru perlu disebut sumber ambilan atau rujukan yang digunakan, terutama bahan-bahan yang berbentuk ilmiah. Fenomena plagiat ini perlu diberi perhatian kerana ia juga termasuk sejenis pendustaan dan pencurian terhadap hak-cipta orang lain. Apabila orang mengutip dan merujuk kepada tulisannya menyangka itulah sumber asalnya, sedangkan pada hakikatnya ia cuma diciplak daripada orang lain semata-mata. Ketidak-jujuran ini jelas merupakan satu sikap yang dibenci oleh syarak.

3. Menggunakan Kata-Kata yang Baik

Bercakap dengan kata-kata yang baik menunjukkan akhlak yang tinggi individu berkenaan. Sikap ini mesti diterapkan bagi mengelakkan seseorang itu suka mengeluarkan kata-kata yang kesat, marah-marah, mencaci-maki, mencarut, merepek, meraban, mengaib atau menjatuhkan maruah orang lain, dan seumpamanya. Inilah petunjuk Rasulullah SAW di mana diriwayatkan banyak hadith mengenai saranan dan kelebihan orang-orang yang bercakap baik, serta ancaman terhadap orang-orang yang bercakap keji. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏سَبَّابًا وَلَا فَحَّاشًا وَلَا لَعَّانًا
Terjemahan: "Nabi SAW bukanlah seorang pemaki, bercakap kasar ataupun pelaknat...". (Riwayat al-Bukhari)

Daripada 'Abdullah bin Mas'ud, sabda Rasulullah SAW:

‏لَيْسَ الْمُؤْمِنُ ‏ ‏بِالطَّعَّانِ ‏ ‏وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا ‏ ‏الْفَاحِشِ ‏ ‏وَلَا الْبَذِيءِ
Terjemahan: "Seorang mukmin itu bukanlah seorang pencaci, pelaknat, bercakap kasar ataupun kesat". (Riwayat al-Tirmizi: 1900, katanya: Hadith Hasan Gharib)

Daripada Abu al-Darda' RA, sabda Nabi SAW:

‏مَا شَيْءٌ أَثْقَلُ فِي مِيزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ خُلُقٍ حَسَنٍ وَإِنَّ اللَّهَ لَيُبْغِضُ ‏ ‏الْفَاحِشَ ‏ ‏ الْبَذِيءَ
Terjemahan: "Tidak ada sesuatu pun yang paling berat dalam timbangan seorang mukmin pada hari kiamat kelak selain daripada akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah amat membenci orang yang suka bercakap kasar lagi kesat". (Riwayat al-Tirmizi: 1925, katanya: Hadith Hasan Sahih)

Daripada Abu Hurairah RA pula, sabda Rasulullah SAW:

‏مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Terjemahan: "Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia bercakap yang baik, atau diam sahaja...". (al-Bukhari: 5994 dan Muslim: 67)

Maka berfikirlah sebelum anda menulis. Alangkah baiknya jika apa yang ditulis itu mempunyai hubungan dengan Allah SWT, termasuklah yang berkaitan nilai-nilai agama dan moral yang baik. Daripada Ibn 'Umar RA, sabda Rasulullah SAW:

‏لَا تُكْثِرُوا الْكَلَامَ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الْكَلَامِ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ قَسْوَةٌ لِلْقَلْبِ وَإِنَّ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْ اللَّهِ الْقَلْبُ الْقَاسِي
Terjemahan : "Janganlah kamu banyak berbicara tanpa berzikir kepada Allah. Sesungguhnya banyak berbicara tanpa berzikir kepada Allah dapat mengeraskan hati. Dan sesungguhnya orang yang paling jauh daripada Allah adalah yang berhati keras". (Riwayat al-Tirmizi: 2335, katanya: Hadith Hasan Gharib)

Justeru, tidak selayaknya seseorang itu menulis menurut apa sahaja kehendak hawa nafsunya sebelum dipertimbangkan terlebih dahulu berdasarkan tuntutan syarak. Jika didapati ianya bersesuaian, maka tidak ada halangan untuk meneruskannya, manakala jika didapati sebaliknya pula, maka berhenti sahaja daripada menulis kerana itu lebih baik bagi dirinya. Dikhuatiri mudaratnya lebih besar, lebih-lebih lagi dipersoalkan nanti di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

‏إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ
Terjemahan: "Nescaya sesungguhnya seorang hamba itu bercakap dengan suatu perkataan yang termasuk keredhaan Allah sedang dia tidak begitu memikirkannya, namun dia diangkat oleh Allah kerananya beberapa darjat. Manakala seseorang hamba itu pula bercakap dengan suatu perkataan yang termasuk kemurkaan Allah sedang dia tidak begitu mengendahkannya, lalu dia terjerumus kerananya ke dalam neraka Jahannam". (Riwayat al-Bukhari: 5997)

Tuesday, October 27, 2009

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam

Sebelum ini ada ditulis orang tentang adab-adab berkomunikasi melalui telefon (termasuk sekali sms, mms dll.). Juga kalau tak silap saya pernah juga ditulis orang tentang adab-adab berhubung melalui e-mail (termasuk chatting dan seumpamanya). Terbaru dalam blog akhi al-syaqiq Wak Juragan, beliau menyentuh sekilas pandang tentang fenomena berkomunikasi melalui facebook dan 'ketagihan' terhadapnya. Daripada situ timbul idea untuk saya kembangkan lagi pemikiran beliau berkenaan. Malah sahabat saya, Ustaz Abu Zaki turut menyarankan kepada saya agar menulis tentang ada-adab penulis blog menurut perspektif Islam.

Menurut andaian saya mungkin hal ini telah ditulis oleh beberapa orang, namun bagi menyatakan pandangan saya sendiri, saya merasakan perlu merakamkannya di sini. Lebih-lebih lagi semester yang baru ini, Jabatan al-Quran dan al-Sunnah (KUIS) telah menerima kumpulan pertama (first batch) bagi calon-calon 'Sarjana Muda al-Quran dan al-Sunnah Dengan Komunikasi'. Mudah-mudahan ianya dapat memberi manfaat dalam menangani era ICT yang serba mencabar dan penuh pancaroba sekarang ini.

Di antara adab-adab bagi menulis di blog, laman forum atau facebook (dan sebagainya) menurut perspektif Islam ialah;

1. Ikhlas

Inilah tuntutan pertama yang perlu diberikan perhatian oleh para penulis, kerana semua perkara yang kita tuliskan disaksikan oleh Allah SWT, dan dicatat oleh malaikat pencatat amalan manusia (Raqib dan 'Atid). Daripada 'Umar RA, sabda Nabi SAW: (إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى) ertinya, "Sesungguhnya semua amalan itu disertai niat (yang tertentu), dan sesungguhnya bagi setiap orang itu memperoleh apa yang diniatkannya..." (Riwayat al-Bukhari dan lain-lain). Jika niat kita ikhlas untuk tujuan-tujuan yang baik seperti menyebarkan ilmu, dakwah, berkongsi pemikiran, memberi peringatan atau nasihat, membimbing pembaca kepada nilai agama, mengeratkan silaturrahim dan sebagainya, maka tujuan-tujuan sebegini amat wajar dan harus diteruskan. Bagaimanapun, jika sejak awal tujuan dan niat kita ialah untuk menyebarkan fitnah, dakyah, cerita bohong atau palsu, membuat propaganda, mengaibkan orang, memecah-belahkan kesatuan umat, meluahkan pendapat yang kita sendiri tidak yakin dan pasti kebenarannya, membuang masa kosong, melayan fantasi cinta, mencarut dan seumpamanya, maka tujuan-tujuan seperti ini patut dihentikan bagi mengelak dosa-dosa yang akan ditanggung sehingga ke hari akhirat kelak.

bersambung...

Monday, October 26, 2009

Al-Fatihah Buat Mantan Presiden KISDAR

Belasungkawa

Dr. Zainudin Jaafar, mantan presiden KISDAR (sekarang KUIS) telah meninggal dunia petang semalam di Brunei Darus Salam. Beliau kembali ke rahmatullah dalam usia sekitar 48 tahun kerana serangan stroke dan jenazahnya dikhabarkan disemadikan di sana. Allahyarham ialah bekas pelajar SRA Parit Empat, Sg. Hj. Dorani sekitar tahun 1970-an. Pendidikan tingginya dilanjutkan kemudian ke Universiti Malaya (B. Shari'ah-Hons) dan seterusnya ke United Kingdom (LLM, King's College London, dan Ph.D, Edinburgh). Beliau juga merupakan ahli dan mantan exco ABIM. Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan anak mantan Mufti Brunei, Pn. Naimah Hj. Ismail (juga cucu Kiyai Syeikh Mohd. Fadhlullah Suhaimi). Jawatan terakhir beliau adalah sebagai pensyarah undang-undang di Universiti Brunei Darussalam sehinggalah ke akhir hayatnya.


Allahyarham juga merupakan bekas Dekan di Pusat Matrikulasi UIAM sekitar tahun 1994. Beliau juga pernah menjawat jawatan Penasihat Syariah bagi CIMB Bank, Perwira Affin Bank, Amanah Saham Darul Iman (ASDI) dan Hong Leong Finance. Beliau turut pernah diamanahkan menjadi Yang Dipertua PIBG Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa. al-Fatihah...

Saturday, October 24, 2009

Akidah Imam al-Haddad (رضي الله عنه)

Majlis Haul Imam al-Haddad diadakan setiap tahun bagi mengenang tokoh besar dari keluarga 'Alawiyyin ini, di mana kewafatannya adalah pada tanggal 7hb. Zulkaedah tahun 1132H. Biografi lengkap beliau dapat dibaca di blog al-Fanshuri (klik sini) atau di al-hawi.net (klik sini). Sempena mengenang tokoh besar ulama Islam ini, saya bawakan di sini ringkasan umum pegangan akidah beliau yang dikutip dari risalah Majmu' 'Aqa'id.



Terjemahan:

Waba’du
, sesungguhnya kami – wal hamdu lillah – redha ;
- dengan Allah sebagai Tuhan,
- dengan Islam sebagai agama,
- dengan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul,
- dengan al-Quran sebagai imam,
- dengan Kaabah sebagai qiblat,
- dengan orang-orang mukmin sebagai saudara.
Dan kami berlepas diri dari semua agama yang bertentangan agama Islam.
Dan kami beriman ;
- dengan semua kitab yang diturunkan Allah,
- dengan semua rasul yang diutuskan Allah,
- dengan malaikat-malaikat Allah,
- dengan qadar yang baik dan buruk,
- dengan hari akhirat.
Dan dengan semua yang dibawa oleh Muhammad Rasulullah SAW daripada Allah.

Di atas yang demikian kami hidup, dan di atasnya kami mati, serta di atasnya kami akan dibangkitkan, in sya’ Allah, dari kalangan orang-orang yang aman, yang tiada ketakutan buat mereka dan tidak juga mereka berdukacita, dengan kurnia-Mu, ya Allah, wahai Tuhan seluruh alam.

Friday, October 23, 2009

La Mazhabiyyah (Disertasi)


Dipautkan di sini disertasi master seorang penyelidik Algeria, Malika Souleh berjudul (الانسلاخ من المذاهب الفقهية: حقيقته – أسبابه و آثاره في الفقه الإسلامي) dalam format PDF (klik pada judul untuk download). Secara ringkas, kandungannya dibahagikan kepada empat fasal.

1- Perkembangan mazhab-mazhab fiqh, dan iltizam ulama terhadapnya, antara pro dan kontra.
2- Hakikat berlepas diri daripada mazhab-mazhab.
3- Sebab-sebab berlepas diri daripada mazhab-mazhab fiqh.
4- Kesan La Mazhabiyyah terhadap fiqh.

Thursday, October 22, 2009

Syeikh Muhammad Adib al-Kallas رحمه الله


Semalam 21 Okt., telah kembali ke rahmatullah Syeikh Muhammad Adib al-Kallas al-Hanafi al-Dimasyqi, seorang ulama Syria, kelahiran Maahad al-Fath al-Islami yang tersohor. Beliau meninggal dunia dalam usia sekitar 88 tahun. (Biografi beliau dapat dirujuk di sini, atau sini, atau di Rabitah 'Ulama' Syria).


إنا لله و إنا إليه راجعون




قال الحق عز وجل: ( أَوَلَمْ يَرَوْاْ أَنَّا نَأْتِي الأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا)
قال ابن عباس : أي بذهاب العلماء.

35 Sejadah Berdiri...


"20 Oktober - Warga SK Tok Sangkut di Pasir Mas gempar apabila 35 helai sejadah di dalam surau didakwa berdiri secara misteri dengan sebahagiannya menyerupai individu sedang menunaikan solat". (Laporan Malaysiakini, Utusan online dan lain-lain)

Kejadian 'paranormal' di Malaysia jika direkodkan agak banyak juga. Sebahagiannya ada yang berkait dengan amalan dan pegangan agama, seperti ayat al-Quran hilang daripada mashaf, objek-objek bergambar di langit dan juga sejadah berdiri. Dalam kejadian pelik begini seperti biasa ada pelbagai reaksi dan tafsiran orang.

1- Ada yang percaya, tanpa ambil iktibar.
2- Ada yang percaya dan mengambil iktibar.
3- Ada yang percaya ia hanya buatan orang semata-mata.
4- Ada yang percaya ianya 'mainan' makhluk halus.
5- Ada yang tidak percaya dan tidak mahu ambil iktibar.
6- Ada yang tidak pasti, sama ada mahu percaya atau tidak, tanpa ambil iktibar.
7- Ada yang tidak pasti, sama ada mahu percaya atau tidak, tetapi mengambil iktibar.

Di manakah anda???


p/s: Pautan berkaitan yang lain di sini.

Tuesday, October 20, 2009

Wajah-Wajah Nur

Kata Imam al-Syafi'i (رحمه الله):

أحب الصالحين ولست منهم * لعلي أنـال بهـم شفاعـة
وأكره من تجارته المعاصي * ولو كلنا سواء في البضاعة

Terjemah: "Aku cinta kepada orang-orang soleh dan aku bukanlah dari kalangan mereka, moga-moga dapat aku perolehi syafaat dengan sebab mereka... Dan aku benci orang yang urusan hariannya adalah maksiat, walaupun kami dari segi dosa yang dipikul adalah sama".

**********************


Slide show tokoh-tokoh ulama.

Monday, October 19, 2009

Cerita Sebenar Isu Tantawi


Seringkali kita dengar kata-kata yang merendahkan dan melemahkan kedudukan ulama dengan sebab bekerja dengan kerajaan. Mentajrihkan ulama dengan sebab bekerja dengan kerajaan bukanlah termasuk sebab-sebab pentajrihan yang disepakati oleh ahli ilmu, bahkan ditolak dalam bab ilmiah. Jika tidak, amat ramai ulama-ulama dan sarjana-sarjana besar yang layak untuk ditajrihkan dan tidak boleh diterima ilmu daripada mereka. Sudah tentu ini bukanlah satu pertimbangan dan ukuran yang dianggap sebagai ilmiah. (Mungkin jika ada masa saya akan bahaskan masalah ini)


Dalam isu niqab/purdah yang 'ditimbulkan' oleh Syeikhul Azhar Muhammad Sayyid Tantawi, setengah orang yang kurang usul periksa mengenai isu sebenar yang berlaku mengecam beliau dengan berbagai tohmahan terutama gelaran sebagai 'ulama kerajaan'. Bagi mengetahui duduk sebenar perkara yang terjadi saya nukilkan di bawah kronologi peristiwa yang saya petik sepenuhnya daripada blog Ustaz Hairul Nizam Mat Husain.


Al-Imam Al-Akbar sering dinista oleh akhbar dan berita. Banyak tindakan dan ucapan beliau dieksploitasi sehingga beliau sering diburukkan. Sebelum ini beliau dituduh dengan tuduhan menghalalkan riba sedangkan perkara tersebut tidak berlaku sama sekali. Kali ini beliau dituduh pula dengan tuduhan ingin mengharamkan niqab (purdah). Berikut adalah sedikit kronologi peristiwa yang berkait dengan isu niqab ini.

**************************

1. Isu bermula apabila al-Imam al-Akbar al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi melawat satu sekolah maahad al-Azhar khas untuk pelajar perempuan (Maahad Fatayat Ahmad Allibi) pada Sabtu bersamaan 4/10/2009. Beliau telah melawat satu kelas lalu melihat ada seorang pelajar perempuan bernama Ala' ( آلاء ) memakai purdah. Ala' berumur 13 tahun.

2. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi telah meminta pelajar perempuan itu membuka purdah kerana kelas tersebut hanya untuk para pelajar perempuan sahaja. Beliau merasa hairan mengapa pelajar tersebut memakai purdah sedangkan kelas tersebut khusus untuk pelajar perempuan, guru yang mengajar adalah guru perempuan dan bilik kelas adalah tertutup. Ala' pada awalnya tidak membuka niqab apabila Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi memintanya membuka niqab.

3. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi selepas itu telah menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan pelajar perempuan memakai purdah di dalam kelas-kelas mereka. Beliau juga menafikan kenyataan media yang menyatakan bahawa beliau bercakap dengan Ala' dengan nada suara yang kasar.

4. Majlis Tertinggi Al-Azhar ( المجلس الأعلى للأزهر الشريف ) telah mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi pada Khamis lalu bersamaan 8/10/2009 untuk membincangkan isu niqab ini. Majlis telah memutuskan bahawa:

• Para pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar al-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar al-Syarif.
• Para pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar.
• Para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuatkuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan.
• Para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah di kalangan wanita.
• Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha Islam.

5. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi menegaskan bahawa beliau menghormati wanita yang memakai niqab selagi mana tidak menyakiti orang lain dan tidak membawa kepada masalah keamanan. Beliau menegaskan bahawa tujuan ketetapan Majlis Tertinggi Al-Azhar tersebut dibuat adalah kerana untuk menjaga kehormatan para pelajar perempuan. Ini kerana berlaku pencerobohan beberapa orang lelaki ke dalam premis al-Azhar yang khusus untuk pelajar perempuan.

Selain itu ketetapan ini juga dibuat demi untuk mengelakkan berlakunya penipuan di dalam peperiksaan. Beliau menegaskan bahawa tahun lepas menyaksikan 12 kes penipuan semasa peperiksaan apabila para pelajar wanita yang berniqab yang terbabit telah meletakkan alat rakaman di sebalik niqab yang dipakai.

Sumber:
1. Surat Khabar al-Liwa’ al-Islami, bertarikh 15 Oktober 2009, bilangan ke 1447, m/s 1.
2. Majalah al-Musowwar, bertarikh 14 Oktober 2009, bilangan ke 4436, m/s 15 - 16.

Friday, October 16, 2009

Tahniah PMRAM... Mabruk 'Alaikum


Usaha PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) untuk mengadakan Majlis Pembacaan Kutub Sittah buat julung-julung kalinya ini wajar dipuji serta didoakan agar ianya berjalan dengan baik dan lancar. Majlis yang melibatkan lebih dari 500 orang peserta seperti yang tercatat dalam blog program (klik untuk keterangan lanjut dan foto-foto) ini nampaknya menunjukkan sambutan yang baik dari para mahasiswa Melayu al-Azhar. Alhamdulillah. Diharapkan semuanya mempunyai semangat yang benar-benar kental untuk mengikuti majlis tersebut. Ini kerana majlis ini dijadualkan untuk mengkhatamkan Kutub Sittah dalam masa 6 tahun, bermula dengan kitab Sahih al-Bukhari.

Dulu pada zaman saya, agak sukar untuk mencari majlis-majlis talaqqi seperti ini di Mesir selain dari majlis Ustaz Nuruddin al-Makki. Itu pun jika saya berpeluang untuk balik ke Kaherah dari Tanta. Biasanya tak dapat ikut kerana banyak 'aral'. Pada tahun 1998, hanya sekali saya dapat mengikuti majlis ilmu Habib 'Ali al-Jufri, di Sahah tempat Haba'ib Yaman. Waktu itu dah nak balik ke Malaysia. Masa di Tanta pula, saya sempat hadir majlis Syeikhuna Mahmud al-Khatib (حفظه الله), yang mengajar kitab-kitab ayah beliau al-Marhum Imam Muhammad Khalil al-Khatib. Pada masa itu majlis-majlis zikir tariqat sufi lebih mudah dicari berbanding majlis-majlis talaqqi ilmu. Mungkin agaknya kerajaan Hosni Mubarak sekarang lebih bersikap toleransi sehingga ramai masyayikh Mesir yang sudah tidak takut untuk mengajar kitab secara umum dan terbuka...

Halaqah Nur


Gambar di atas merupakan Majlis Ilmu yang dihadiri oleh para ulama seperti ;
Syeikh 'Abdullah al-Siddiq al-Ghumari,
Syeikh Yasin al-Fadani,
Syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah,
Syeikh Ibrahim al-Ahsa'ie,
Syeikh Hasan Masysyat,
Syeikh Isma'il 'Uthman al-Zain..
رحمهم الله تعالى


(Dikutip dari blog Ustaz NAZRUL NASIR)

Wednesday, October 14, 2009

Belasungkawa: Syeikh Idris al-'Iraqi



Syeikh al-'Allamah al-Syarif Idris bin Muhammad bin al-'Abid al-'Iraqi al-Husaini, pemimpin Tariqat Tijaniyyah di Fas, Maghribi meninggal dunia pada pagi Isnin lalu 22 Syawal 1430H bersamaan 12 Oktober 2009.


Beliau meninggal dunia dalam usia lebih dari 90 tahun, yang dihabiskan dengan menyebarkan ilmu dan ibadah. Selain menjadi salah seorang syuyukh Jami'ah al-Qurawiyyin yang menonjol, beliau juga terkenal mahir dengan ilmu falak dan juga hisab. Beliau telah menghasilkan lebih dari 140 buah kitab dalam pelbagai bidang ilmu, dan kebanyakannya masih berbentuk manuskrip.

Antara sanjungan ulama terhadapnya, ucapan takziah 'Syeikhuna' Dr. Hamzah al-Kattani seperti berikut:

رحمه الله تعالى ورضي عنه، قد خسر المغرب بوفاة هذا الإمام ركنا من أركان الدين، وعلما من كبار الأعلام الذين يعز نظيرهم الآن، رحمه الله تعالى وجلل عليه الرحمات، ولا حرمنا فضله وبركته بمنه تعالى وكرمه.

Tuesday, October 13, 2009

Nabi Berbekam Kerana Racun

Soalan :

USTAZ, NAK MINTAK TOLONG... ADA SATU HADITH:

Dari Ka`b bin Malik bahawa ada seorang perempuan Yahudi menghadiahkan seekor kambing bakar kepada Nabi SAW di Khaibar. Baginda pun bertanya, "Apakah ini ?" Wanita itu menjawab, "Hadiah". Wanita itu berhati-hati jangan sampai menyatakannya sedekah sehingga baginda tidak mahu memakannya sama sekali. Tidak lama kemudian, Nabi SAW makan dan para sahabat pun makan. Tiba-tiba baginda bersabda, "Hentikan", kemudian baginda bertanya kepada wanita itu, "Apakah kamu telah meracuni kambing ini ?” Wanita itu menjawab, "Ya". Baginda bertanya, "Mengapa ?" Wanita itu menjawab, "Aku ingin sekiranya kamu pendusta, orang-orang akan segera boleh berehat dari kedustaan kamu, tetapi jika kamu seorang Nabi, maka itu tidak akan berbahaya bagi kamu”. Maka Nabi SAW pun berbekam pada kawasan tengkuk dengan 3 bekaman serta memerintahkan para sahabat supaya berbekam. Maka mereka pun berbekam.

SAYA PERNAH DENGAR, TAPI TANG BERBEKAM TU TAK PENAH DENGAR. (?)

Jawapan :

Asal hadith di atas ada di dalam Sahih al-Bukhari (Kitab al-Jizyah, no. 2933, al-Tibb, no. 5332 dan al-Maghazi, no. 3918) dan juga Sahih Muslim (Kitab al-Salam, Bab al-Sam, no. 4060). Adapun riwayat tambahan yang menyebut, Nabi SAW berbekam, diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf beliau, daripada Ma’mar, daripada al-Zuhri, daripada Ubay bin Ka’b, sepertimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari. Lafaznya; (فَاحْتَجَمَ عَلَى الْكَاهِل), “Lalu baginda berbekam di atas bahagian tengkuk”. Dalam riwayat lain pula juga oleh ‘Abd al-Razzaq, daripada Ma’mar, daripada al-Zuhri, daripada ‘Abd al-Rahman bin Ka’b bin Malik dinyatakan bilangan bekam sebanyak 3 kali serta menyuruh sahabatnya berbekam, sepertimana yang disebut oleh Ibn al-Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad (j. 4, h. 111-112). Lafaznya; (فاحتجم النبي ثلاثة على الكاهل وأمر أصحابه فاحتجموا فمات بعضهم), “Lalu Nabi SAW berbekam tiga kali di atas bahagian tengkuk, serta memerintahkan para sahabatnya supaya berbekam. Maka mereka pun berbekam. Lalu ada sebahagian mereka yang mati”.

Sebahagian riwayat menyebut hanya Bisyr bin al-Bara’ sahaja yang mati disebabkan oleh racun berkenaan. Ada berbagai riwayat berkaitan kisah berkenaan yang jika dikumpulkan dapat menjadi sebuah kisah yang lebih panjang dari hadith di atas. Antaranya; wanita tersebut adalah wakil yang diutuskan oleh komplot Yahudi, mukjizat yang berlaku apabila daging tersebut berkata-kata, nama sebenar wanita Yahudi tersebut, wanita tersebut kemudian memeluk Islam, namun dihukum qisas apabila Bisyr meninggal dunia dan sebagainya.

Pautan-pautan yang berkaitan kisah ini.

1. Islamweb.

2. Islamport.

3. Rasoulallah.

4. Sirah.al-islam.

5. Alroqya.