Pages

Thursday, October 29, 2009

Adab-Adab Menulis di Blog, Laman Forum dan Facebook Menurut Perspektif Islam (4)

5. Menjaga Maruah dan Harga Diri


Ada setengah penulis yang menggunakan nama sebenar, dan ada setengahnya yang hanya menggunakan nama samaran sahaja. Penulis yang menggunakan nama sebenar ini menunjukkan sifat keberanian, keyakinan dan bertanggungjawab terhadap apa yang dicoretnya. Namun, jika apa yang ditulisnya itu tidak menurut lunas-lunas yang betul atau mengandung moral yang tidak baik, ini hanya akan menyebabkan maruah dirinya jatuh dan dipandang rendah oleh orang lain, walau sebesar dan segah mana sekalipun namanya.

Manakala penulis yang menggunakan nama samaran, ada dua tafsiran yang dapat diberi, sama ada dia bersifat rendah diri atau bersifat takut diketahui orang akan dirinya yang sebenar kerana berbagai-bagai faktor. Tidak sedikit juga tulisan-tulisan yang menggunakan nama samaran ini yang agak baik, berfaedah dan memberi manfaat. Namun, jika hendak dibandingkan dengan tulisan-tulisan yang berbentuk ekstrim dan melampau, berbaur fitnah, mengata dan mengumpat orang, meluas jurang pertelingkahan, mendorong nafsu syahwat, penuh dengan kata nista atau moral yang keji, menyongsang arus dan sebagainya, boleh dikatakan bahan-bahan negatif seperti demikian lebih besar lagi jumlahnya. Inilah antara faktor negatif kenapa mereka takut untuk meletakkan nama sebenar, agar mudah untuk 'baling batu, sembunyi tangan' seperti kata pepatah. Meskipun dia dapat menjaga maruah dan harga dirinya kerana tidak diketahui orang, namun apakah dia menyangka bahawa maruah dan harga dirinya tidak jatuh di sisi Allah SWT? Maka tulisan-tulisan yang sebegini semestinya dijauhi dan dipulaukan.

Daripada Abu Mas'ud RA, sabda Rasulullah SAW:

‏إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ الْأُولَى ‏ ‏ إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ
Terjemahan: "Sesungguhnya antara perkataan hikmah yang diwarisi orang daripada perkataan kenabian yang pertama ialah; Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa yang kamu suka". (Riwayat Abu Dawud: 4164)

Termasuk dalam masalah ini ialah pemaparan imej-imej yang bercanggah dengan syarak. Orang muslim yang berakal tidak sewajarnya memuat-turun atau menyebarkan gambar-gambar yang menyalahi syariat Islam di dalam tulisan-tulisan atau entri-entri yang dipaparkan. Keprihatinan seperti ini menunjukkan akhlak tinggi seseorang itu, dan sebaliknya sikap sambil lewa pula menunjukkan kerendahan imej diri seseorang itu sebagai seorang muslim.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.