Keperluan Tajdid
Istilah Tajdid bermaksud memperbaharui agama supaya kembali kepada keadaan asalnya yang suci murni, atau kembali kepada landasan syariat yang betul, dan bukan dengan pengertian 'pembaharuan dalam agama', yakni mereka-reka perkara baru yang tiada asal dalam agama, yang sinonim dengan makna bidaah. Tajdid adalah penting agar keaslian dan ketulenan agama dapat dipelihara dan dijaga daripada dicemari anasir-anasir luar yang cuba merosakkannya. Bagi menyempurnakannya Allah SWT telah membangkitkan para mujaddid pada setiap kurun yang berusaha dan menggembleng tenaga bagi mengembalikan semula agama dan umat Islam kepada pegangan dan kedudukan asal yang sebenar. Demikianlah cara agama Islam dipulihara dan dijaga oleh Allah SWT sehinggalah tibanya hari kiamat kelak.
Justeru melaksanakan tajdid adalah satu usaha penting, dan ia tidak terbatas kepada suatu sudut tertentu sahaja, bahkan merangkumi pelbagai sudut dalam kehidupan umat agar tidak hanyut jauh daripada roh syariat yang sebenar. Maka ia menyeluruh kepada bidang politik, sosial, ekonomi, akademik, sains, institusi keluarga, akhlak dan sebagainya. Adapun dalam perkara-perkara agama yang sudah tetap dan disepakati antara ulama Islam, serta perkara yang harus berlaku perbezaan pandangan antara mereka kerana perbezaan sudut pandangan atau kaedah pengambilan hukum atau sebab-sebab lain yang diiktiraf, maka penggunaan kempen "tajdid" menurut penulis tidak memberi banyak natijah yang positif, bahkan lebih banyak mencipta natijah yang negatif. Ini berbeza jika ia dilakukan menurut saluran yang betul, dengan menganggap pendapatnya itu yang terbaik, dengan kemungkinan berlaku salah dan silap padanya, serta tidak memaksa orang lain menuruti, sebagai contoh.
Tiga Isu Utama
Namun, apa yang berlaku ketika ini ialah sebaliknya, iaitu penggunaan kempen "tajdid" terhadap perkara-perkara yang tersebut. Tentunya natijah yang dihasilkan bukan sepertimana yang diingini oleh kita. Secara spesifiknya agar kita dapat memahami isu yang berlaku, saya sebutkan tiga perkara yang merupakan isu besar dalam soal ini sepertimana berikut;
1. Pegangan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah, aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah.
2. Pegangan fiqh empat mazhab yang masyhur, al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Syafi'iyyah dan al-Hanabilah.
3. Pegangan tasawuf, serta aliran-aliran Tariqat Sufiyyah yang muktabar.
Jika kempen "tajdid" digunakan untuk menolak akidah aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah, taklid kepada mana-mana mazhab fiqh, dan menghapuskan tariqat-tariqat sufiyyah, ia adalah suatu yang kurang waras dan tidak rasional. Walaupun dengan alasan kononnya yang perlu ditegakkan ialah akidah Salaf, fiqh al-Quran dan hadith, serta akhlak Salaf (walaupun yang ini kurang diberi fokus oleh mereka) dan membanteras khurafat dan bidaah sufiyyah. Ini kerana perkara-perkara tersebut adalah suatu yang nisbi disebabkan kesemuanya adalah bersumber daripada ulama-ulama Salaf itu sendiri dengan metode masing-masing yang pelbagai, dan kesemuanya juga adalah berpandukan kepada al-Quran dan hadith.
Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab (m. 1206H) sendiri dalam menyebarkan akidah tidakpun menyatakan bahawa aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyyah perlu ditolak sepenuhnya, kerana perselisihan utama adalah dalam perkara sifat-sifat Allah SWT sahaja. Itupun sebenarnya yang diperselisihkan ialah keharusan takwil atau tidak, kerana asal penerimaan kepada zahir nas adalah sama. Begitu juga dalam bidang fiqh, beliau tidak menolak taklid kepada mazhab secara total kerana beliau dan pengikut-pengikutya adalah penganut mazhab Hanbali dengan kecenderungan memilih pendapat-pendapat Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim. Apa yang ditangani oleh beliau ialah ketaksuban kepada mazhab. Dan beliau tidak pun mengisytiharkan bahawa semua tariqat sufiyyah adalah bidaah dan sesat serta perlu dihapuskan sepenuhnya, kerana yang diperangi oleh beliau ialah dalam masalah tawassul, istighathah, ziarah kubur dan pemujaan terhadap ahli kubur (yakni para wali Allah SWT), (itupun ada ikhtilaf ulama). Walaupun gerakan beliau dan pengikutnya agak ekstrim dalam menggelar diri mereka sebagai 'muslimun' dan musuh-musuh mereka (kerajaan 'Uthmaniyyah dan sekutunya) sebagai 'musyrikun', namun apabila berhadapan dengan 'kafirun' tentera penjajah British mereka membuat perdamaian dengan mereka.
Apa yang dilaksanakan oleh beliau sebenarnya adalah pemikiran yang sama yang dicetuskan oleh Ibn Taymiyyah (رحمه الله) lama sebelum munculnya Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab yang mengikut jejaknya kemudian. Fatwa-fatwa mereka dalam soal ini sahaja yang mencetus polemik yang hangat, tanpa menafikan sumbangan mereka dalam isu-isu dan perkara-perkara lain. Sebab itu sebahagian ulama yang mu'tadil (bersikap toleransi) mengambil pandangan-pandangan mereka yang bernas dan mengenepikan pendapat-pendapat mereka yang ganjil.
Demikian penjelasan tentang gerakan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab yang dianggap sebagai "tajdid", yang jelas menunjukkan bahawa beliau tidak melaksanakan kempen "tajdid"nya untuk menghapuskan sepenuhnya tiga perkara utama tersebut, yang merupakan panutan dan pegangan majoriti ulama Islam. Ini kerana ianya adalah suatu yang tidak waras dan tidak rasional. Apa yang dilaksanakan oleh beliau dan pengikutnya adalah berdasarkan persepsi mereka terhadap situasi pada masa itu. Justeru, meskipun meninggalkan kesan-kesan yang negatif, tidak dinafikan juga kesan-kesan positif yang dilahirkan oleh mereka, seperti penyatuan Semenanjung Arab dan kesedaran terhadap agama.
"Tajdid" Yang Mengelirukan
Bagaimanapun, lama-kelamaan setengah pengikut beliau (atau kebanyakan barangkali) kemudian melihat bahawa gerakan dakwah mereka perlu difokuskan untuk menghapuskan ketiga-tiga perkara berkenaan. Kononnya, umat Islam perlu kepada "tajdid" terhadap ketiga-tiga aspek ini, iaitu kembali kepada tauhid akidah Salaf, fiqh al-Quran dan hadith, yakni menolak taklid kepada mazhab-mazhab fiqh serta menolak tariqat-tariqat tasawuf muktabar. Sedangkan hal ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana mujadid sejak 1400 tahun yang lalu! Bagi merealisasikannya mereka mengemaskini asas-asas yang telah diletakkan oleh Ibn Taymiyyah dan Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab serta mengaplikasikannya seperti dalam soal bidaah, talfiq mazhab, perkara-perkara yang membatalkan akidah dan seumpamanya. Secara rumusan, tanggapan mereka ini dalam menggunakan istilah "tajdid" terhadap ketiga-tiga aspek ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh ramai ulama Islam kerana faktor-faktor yang telah dijelaskan tadi.
Apa yang dikhuatiri berlaku di Malaysia pada masa ini ialah pemikiran tersebut cuba diketengahkan oleh setengah orang yang menyangka bahawa itu adalah "tajdid", padahal sebenarnya ia hanyalah acuan suatu mazhab yang mempunyai pendirian-pendirian dan pandangan-pandangan yang tersendiri. Jika memperlekehkan pengamal-pengamal mazhab Syafi'i di Malaysia misalnya, kerana ada pendapat-pendapat Imam al-Syafi'i (رحمه الله تعالى ورضي عنه) yang tidak releven dengan situasi semasa, lalu terpaksa menggunakan pendapat-pendapat mazhab lain, dan menganggapnya sebagai bukti bahawa perlu kepada "tajdid" dan tidak perlu taklid kepada mazhab... maka ini bukanlah dinamakan "tajdid" yang sebenarnya. Ini kerana ianya adalah soal fiqh, yang tidak kaku beku dan boleh berubah mengikut perbezaan situasi dan perubahan masa. Ia hanyalah persoalan fiqh yang dapati ditangani oleh cendikiawan ulama-ulama Syafi'i sendiri menurut usul mazhab yang dipegang oleh imam mereka, dan tidak timbul soal "tajdid" untuk meninggalkan mazhab kerana sudah lapuk.
Jika demikianlah pemikiran yang cuba dibawa oleh aliran "tajdid" ini di Malaysia, maka dikhuatiri natijah yang negatif lebih banyak berbanding natijah yang positif. Di samping merugikan tenaga dan masa yang seharusnya digemblengkan untuk kekuatan umat Islam dan mengembalikan kegemilangannya. Sedang dalam masa yang sama "tajdid" amat diperlukan dalam soal iman, dakwah, akhlak, moral, sosial, institusi keluarga, akademik, ekonomi, politik, sains, media dan sebagainya yang lebih perlu diberikan penekanan, tumpuan dan perhatian.
والله أعلم
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.