Dalam syariat Islam, ada perkara yang disepakati oleh ulama Islam dan ada perkara yang diperselisihkan antara mereka. Perkara yang disepakati ini wajar dipegang dan diamalkan oleh seluruh umat Islam sama ada perkara-perkara yang diperintahkan seperti kewajipan bersolat, mengeluarkan zakat, berpuasa, menunaikan haji dan sebagainya, atau perkara-perkara yang dilarang seperti minum arak, berzina, mencuri, berdusta, syirik dan sebagainya. Jika ada orang yang meremehkan perkara-perkara tersebut, maka wajib bagi umat Islam mencegahnya dan menghapuskan kemungkaran yang dilakukannya.
Adapun perkara yang diperselisihkan antara ulama, maka umat Islam awam tidak harus mencegah orang yang beramal dan melaksanakan salah satu daripada pendapat-pendapat yang diperselisihkan itu. Ia tidak termasuk ke dalam perkara-perkara kemungkaran yang harus dicegah, walaupun pendapat-pendapat tersebut di antara hukum halal dan haram, atau sunnah dan bidaah. Ia adalah tugas ulama untuk membincangkan masalah-masalah seperti itu meskipun perdebatan dan polemik tidak dapat dielakkan. (Perbincangan ini hanya menyentuh fahaman Ahlus Sunnah, adapun fahaman-fahaman ahli bidaah seperti Syiah, Muktazilah, anti-hadith, ajaran sesat dan lain-lain termasuk perkara-perkara yang mesti dicegah)
Sehubungan ini, ada setengah orang menyangka apabila dia telah berpegang dengan satu pendapat maka pendapat itu sahaja yang betul, dan pendapat lain salah. Maka pendapat-pendapat yang lain itu harus ditegah kerana ia termasuk kemungkaran yang wajib dicegah, jika tidak dapat dengan tangan, maka dengan lidah, jika tidak dapat dengan lidah, maka dengan hati sekurang-kurangnya, sepertimana yang diriwayatkan dalam hadith Nabi SAW. Kemudian dikaitkan pula dengan berjuang dan berjihad di atas nama menentang kebatilan. Fahaman sedemikian sebenarnya adalah fahaman yang perlu kepada sedikit pembetulan dan pemurnian.
Lebih merumitkan lagi apabila ada yang berpegang dengan konsep tidak semua perselisihan itu muktabar dan boleh diambil kira kerana kelemahan dalil dan hujah lawan menurut pandangannya. Mereka melihat kekuatan dalil dan hujah yang dipegangnya lalu menganggap pendapat yang selainnya itu telah melanggar nas yang sahih tersebut. Situasi seperti ini bukanlah tugas orang awam untuk mencampurinya kecuali setelah ia diwartakan oleh ulama atau mufti di suatu tempat tersebut serta perkenan daripada sultan atau pemerintah. Ini kerana bolehjadi pihak lawan mempunyai alasan dan sandaran yang kuat terhadap pendapatnya itu dan mempunyai jawapan terhadap nas yang sahih tersebut. Misalnya isu purdah, di Arab Saudi, wanita yang tidak memakai purdah dianggap melakukan satu kemungkaran dan wajib ditegah menurut fatwa yang telah diwartakan kerana dianggap melanggar dalil yang sahih, namun di negara Islam lain ulamanya tidak berfatwa sedemikian maka tidak dianggap mungkar bagi wanita yang tidak memakainya, yang juga berasaskan kepada hujah-hujah. (Perbincangan ini tak masuk masalah mendedahkan aurat dan lain-lain gejala sosial) Maka kiaskanlah dengan masalah-masalah lain seperti soal bidaah, talqin, qunut, tahlil, halaqah zikir, doa selamat, doa berjemaah, tariqat sufi, zikir sufi, nasyid, alat muzik dan lain-lain.
Maka dalam soal ini, janganlah kita mudah terpengaruh dengan seruan-seruan yang sedap didengar dan enak disebut sebelum merujuk kepada ulama atau mufti, seperi "tajdid", "transformasi", "nafas baru" dan lain-lain, padahal realitinya sangat pahit untuk dikunyah dan ditelan. Masalah ini telah dibincangkan oleh ramai ulama hingga timbul kaedah: (لا إنكار في مسائل الخلاف ) atau (لا إنكار في مسائل الاجتهاد ). Antara yang membincangkannya di kalangan mutaakhirin, Dr. Fadhl Ilahi dalam kitabnya (حكم الانكار في مسائل الخلاف) dan 'Abdul Salam Muqbil al-Majidi (لا إنكار فى مسائل الخلاف).
Pautan-pautan lain:
1. alwihdah.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.