Dalam membuat entri lepas, secara tak langsung mengingatkan saya semula kepada nasib yang menimpa Saidina Husain RA di atas dunia yang fana ini, di mana jasad beliau berada bersemadi di Karbala', Iraq, manakala kepalanya berada jauh di Kaherah, Mesir sehingga kini. Jasad dan kepala yang terpisah jauh sehingga hari kiamat. Ketika di Mesir sempat beberapa kali saya menziarahi makam kepala Saidina Husain di Masjid Husain, bersebelahan Universiti al-Azhar. Ianya adalah fakta sejarah yang diyakini oleh ramai ulama dan ahli sejarah Mesir.
Kebenaran perkara ini sebenarnya pernah menjadi pertikaian di kalangan ulama dahulu. Ada yang menyetujui dan ada yang tidak bersetuju bahawa kepala Saidina Husain itu berada di Mesir. Antara ulama yang menolak dengan keras kebenaran ini ialah Syeikh Ibn Taymiyyah (رحمه الله), malah sehingga kini fatwanya itu masih diyakini oleh mereka yang taksub kepadanya, sambil memperlekeh dan mempersendakan orang-orang yang datang berziarah ke situ kerana menziarahi makam palsu.
Namun, saya melihat pendapat yang dipilih ialah pendapat ulama yang mengatakan memang ianya benar berada di Kaherah, Mesir. Perkara ini telah dijelaskan oleh al-Marhum Syeikh Muhammad Zakiy Ibrahim (رحمه الله) di dalam kitabnya “Maraqid Ahli al Bait fi al-Qaherah”. Petikan kitab tersebut juga dapat dirujuk pada kitab MENJEJAKI MAQAM AHLI KELUARGA RASULULLAH SAW DI MESIR oleh Ustaz Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al Linggi. Tak perlu rasanya saya memperinci lebih lanjut kerana anda boleh merujuk topik ini yang terdapat dalam buku tersebut di sini.
Meskipun ia merupakan tragedi yang tidak dapat dilupakan, namun dengan kehendak Allah SWT, Dia telah memelihara zuriat Saidina Husain RA yang kekal sehingga ke hari ini. Di antara jalur keturunan Saidina Husain RA yang paling besar dan berpengaruh saat ini ialah jalur keturunan Ba-'Alawi yang bercabang hingga lebih dari seratus buah keluarga besar seperti al-Haddad, al-Saqqaf, al-Kaf, al-Habsyi, al-'Attas, al-Bar, al-'Idrus, al-Yahya, al-Masyhur, Ben Syihab, Ben Sumait, Ben Salim, Ben Hafiz, al-Mahdhar, al-Junaid, al-Haddar dan sebagainya. Yang paling penting di sini, mereka bukanlah dari golongan penganut ajaran Syiah, sama ada Imamiyyah mahupun Rafidhah, kerana mereka adalah pejuang-pejuang sejati Ahlus Sunnah wal Jama'ah.
رحمهم الله تعالى جميعاً ورضي عنهم
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.