Pages

Saturday, November 27, 2010

Hadis Menyapu Air Di Tengkok Ketika Wuduk

Mukadimah

Dalam perkara kecil sebegini barangkali dilihat remeh oleh setengah pihak dan menganggap tidak perlu dibincangkan. Namun dengan melihat lebih jauh, ia sebenarnya bukan sekadar satu perkara remeh, sebaliknya ia mengajar kita untuk memahami beberapa perkara penting dan objektif besar seperti metode berfikir para ulama, metode pendalilan mereka, sensitiviti dalam belajar serta beramal, sifat toleransi dalam beragama, keunikan ilmu sanad dan sebagainya. Ini natijahnya akan dapat menghindarkan diri kita dari sifat taksub dan gopoh menuding orang lain. Maka perkara yang kecil atau remeh seperti ini sebenarnya hanya sebagai suatu model atau sampel.

Berbalik kepada topik asal, antara dalil masyhur menyapukan air ke tengkok ketika wuduk ialah hadis yang berbunyi:

مسح الرقبة أمان من الغل يوم القيامة

Terjemahan: “Menyapu tengkok itu (akan memperoleh) aman dari belenggu pada hari kiamat kelak”.

Kedudukan Pengamalannya Antara Sunat dan Bidaah

Para ulama hadis berselisih mengenai taraf hadis ini antara darjat da’if dan palsu. Menurut sebahagian ulama hadis, hadis ini bertaraf da’if, namun demikian ia boleh diamalkan dalam Mazhab Hanafi kerana bagi mereka keda’ifan hadis tersebut tidak berat dan telah diperkuatkan dengan beberapa sokongan. Hukum mengamalkannya adalah sama ada sunat atau mustahab. Imam al-Laknawi ada membahaskan kedudukan hadis ini dan hukum mengamalkannya secara khusus di dalam kitab beliau berjudul (تحفة الطلبة في تحقيق مسح الرقبة). Perkara ini juga diamalkan oleh sebahagian ulama Mazhab al-Syafi’i sebelum Imam al-Nawawi (w. 676H).

Namun dalam pandangan ramai ulama Mazhab al-Syafi’i mutaakhirin selepas Imam al-Nawawi pula menganggap perkara tersebut tidak disunatkan, bahkan bidaah. Ini kerana hadis tersebut dianggap sebagai palsu dan bukan lagi da’if. Kata al-Nawawi dalam Syarh al-Muhazzab: Hadith ini palsu bukan dari sabdaan Rasulullah SAW. Kata beliau lagi dalam ulasannya ke atas kitab al-Wasit: Ini hadith (batil) palsu, sesungguhnya ia adalah dari kata-kata sebahagian salaf. Kata beliau lagi: Tidak sah dari Nabi SAW mengenai menyapu tengkok suatu apa pun. Dan ianya bukan sunnah, bahkan ia adalah suatu bidaah. Tidak disebut oleh al-Syafi’i mahupun majoriti sahabat-sahabat (ulama-ulama al-Syafi’i). Ia hanya disebut oleh Ibn al-Qas (Abu al-’Abbas Ahmad al-Tabari, w. 335H) dan sekumpulan kecil ulama. Ia adalah suatu kesilapan kerana sabda baginda SAW: ”Maka barangsiapa yang menambah atas yang demikian (anggota-anggota wuduk yang biasa), maka ia telah berbuat buruk dan zalim”.

Kata Syeikh Isma’il al-’Ajluni di dalam (كشف الخفاء ومزيل الالباس عما اشتهر من الاحاديث على ألسنة الناس), no. 2300: Adapun menurut mazhab ulama Syafi’iyyah maka ia tidak mustahab menurut pendapat yang rajih, sebagaimana yang dikoreksikan oleh al-Nawawi dan menukilkannya dari ramai ulama, yang menyalahi pendapat al-Rafi’i (w. 623H), yang mengikut pandangan Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam al-Wasit dan tokoh-tokoh lain yang mengatakan sunat berbuat demikian.

Imam al-Ghazali pula mengikut pendapat al-Qadhi Husain (w. 462H), meskipun beliau menyebut bahawa menyapu tengkok itu tidak terdapat sunnah mengenainya. Demikian juga pendapat al-Furani dari kalangan ulama al-Syafi’iyyah. Kata al-Qadhi Abu al-Tayyib: Tidak terdapat sunnah yang sabit tentangnya. (al-Badr al-Munir)

Imam al-Ghazali turut menyebutnya dalam kitab Ihya’ ’Ulum al-Din (1/259). Beliau adalah antara ulama Mazhab al-Syafi’i yang mencatat hadis ini dalam karya mereka, yang sekaligus menunjukkan bahawa mereka menganjurkan pengamalannya. Malah amat ramai ulama yang memberi tumpuan kepada kitab Ihya’, sama ada mengajar, atau mempelajarinya, atau meringkaskannya, atau mensyarahkannya, atau menterjemahkannya kepada bahasa lain. Sudah tentu hadith tersebut secara tidak langsung turut dipelajari dan diamalkan oleh mereka, atau sebahagian dari mereka.

Ibn al-Mulaqqin di dalam kitabnya (البدر المنير في تخريج الأحاديث والأثار الواقعة في الشرح الكبير) (hadith 47), meskipun mengatakan hadith ini sangat gharib dan tidak ditemukan sumbernya selepas diperiksa, namun beliau tidak menolak pendapat Ibn al-Rif’ah (w. 735H) dalam al-Matlab yang menyokong Imam al-Baghawi (w. 510H) yang mengatakan mustahab mengamalkannya berpandukan hadith atau athar, kerana tidak ada ruang untuk menggunakan kias dalam perkara tersebut. Jika hadithnya palsu pun, ia adalah athar dari sebahagian salaf. Bagaimanapun ulama terdahulu merestui sanad hadith tersebut sebagai bukan palsu. Kata Ibn al-Rif’ah lagi: Pendapat yang lebih hampir di sisiku ialah jika ia bukan sunat, maka ia adalah mustahab.

Imam al-Haramain (w. 478H) menghikayatkan dari gurunya bahawa ia adalah sama ada sunat ataupun suatu adab. Lihat juga Hawasyi Syeikh al-Syarwani.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab (التلخيص الحبير في تخريج أحاديث الرافعي الكبير) dilihat seolah-olah menyokong ulama-ulama yang mengatakannya sebagai mustahab atau sunat. Beliau cuba menafsirkan bahawa Imam al-Baghawi kemungkinan berpegang kepada hadith berikut yang bersanad daif:

مَا رَوَاهُ أَحْمَدُ وَأَبُو دَاوُد مِنْ حَدِيثِ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ: أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ رَأْسَهُ حَتَّى بَلَغَ الْقَذَالَ وَمَا يَلِيهِ مِنْ مُقَدَّمِ الْعُنُقِ.

Terjemahan: Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Dawud dari hadith Talhah bin Musarrif dari bapanya, dari datuknya, bahawa beliau melihat Nabi SAW menyapu kepalanya sehingga sampai ke belakang kepala dan bahagian yang hampir dengannya dari hadapan leher.

Al-Hafiz Ibn Hajar kelihatan menyokong Ibn al-Rif’ah, iaitu walaupun dalil athar yang dikemukakan bersifat mawquf, namun ianya mempunyai hukum marfu’, kerana kata-kata sedemikian tidak diungkapkan melalui pandangan peribadi, maka ia menurut alasan ini adalah mursal. Athar dari sebahagian salaf tersebut ialah:

مَا رَوَاهُ أَبُو عُبَيْدٍ فِي كِتَابِ الطُّهُورِ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ مَهْدِيٍّ عَنْ الْمَسْعُودِيِّ عَنْ الْقَاسِمِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ مُوسَى بْنِ طَلْحَةَ قَالَ: "مَنْ مَسَحَ قَفَاهُ مَعَ رَأْسِهِ وُقِيَ الْغُلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ".

Terjemahan: Diriwayatkan oleh Abu ’Ubaid dalam kitab al-Tuhur dari ’Abd al-Rahman bin Mahdi dari al-Mas’udi dari al-Qasim bin ’Abd al-Rahman dari Musa bin Talhah katanya: ”Barangsiapa yang menyapu tengkok sebelah atasnya berserta kepalanya akan dipelihara dari belenggu pada hari kiamat kelak”.

Sebagai tambahan, ada dinyatakan dalam kitab Hidayah al-Salikin oleh Syeikh ’Abd al-Samad al-Falimbani yang ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fatani (hlm. 16, cetakan al-Matba’ah al-Miriyah, Makkah al-Mahmiyyah, tahun 1298H) pada bab wuduk disebut: Kemudian engkau sapu batang lehermu kerana sabda Nabi SAW: ”Bermula menyapu leher itu sentosa daripada belenggu pada hari kiamat ”. Barangkali yang dimaksudkan batang leher itu ialah bahagian atas tengkok.

Kedudukan Hadisnya Antara Da’if dan Palsu:

Ulama berbeza pendapat sama ada ianya hadis palsu atau hadis da’if. Imam al-Nawawi dalam Syarh al-Muhazzab menyatakan ianya sebagai palsu.

Syeikh Muhammad Darwisy al-Hut mengatakannya sebagai palsu dalam (أسنى المطالب في أحاديث مختلفة المراتب) no. 1304. Al-Syawkani memuatkan hadith ini dalam kitab (الفوائد المجموعة في الأحاديث الموضوعة) no. 29, namun setelah menyatakan al-Nawawi menghukumnya sebagai palsu beliau menyebut: Ibn Hajar telah membincangkannya di dalam kitab al-Talkhis yang menunjukkan bahawa ianya bukan palsu.

Kenyataan al-Nawawi juga dibantah oleh al-Mulla ’Ali al-Qari dalam (الأسرار المرفوعة في الأخبار الموضوعة المعروف بالموضوعات الكبرى) no. 434, katanya: Akan tetapi diriwayatkan oleh Abu ’Ubaid al-Qasim dari al-Qasim bin ’Abd al-Rahman dari Musa bin Talhah katanya: ”Barangsiapa yang menyapu tengkoknya berserta kepalanya akan dipelihara dari belenggu”. Hadis ini mawquf, namun ianya dalam hukum marfu’ kerana kata-kata seumpama itu tidak diungkapkan melalui pandangan peribadi, dan dapat menguatkannya juga hadis yang diriwayatkan secara marfu’ dari Musnad al-Firdaus dari hadis Ibn ’Umar, tetapi dengan sanad da’if. Hadis da’if dapat diamalkan dalam fada’il al-a’mal secara sepakat. Oleh itu, imam-imam kami (fuqaha’ Mazhab Hanafi) menyatakan bahawa menyapu tengkok itu adalah mustahab atau sunat.

Beliau menambah dalam kitab (فتح باب العناية بشرح كتاب النقاية): Sesungguhnya kami riwayatkan (melalui al-Tabarani) dari Ka’ab bin ‘Amru al-Yami bahawa Nabi SAW berwuduk lalu menyapu dengan kedua-dua tangannya dari depan hujung kepalanya sehingga sampai ke bawah leher dari balik tengkoknya. (hlm. 49)

Al-’Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (المغني عن حمل الأسفار) menyatakan: Dikeluarkan oleh Abu Mansur al-Daylami dalam Musnad al-Firdaus dari hadis (Ibn) ’Umar, dan ianya adalah da’if.

Hadis ini dikategorikan oleh Taj al-Din al-Subki dalam hadis-hadis al-Ihya’ yang tidak ditemukan sanadnya oleh beliau, atau (الأحاديث التي في الإحياء ولم يجد لها إسنادا). Ungkapan ini lebih ’ringan’ berbanding ungkapan yang disebut oleh setengah pengkaji (أحاديث الإحياء التي لا أصل لها) iaitu hadis-hadis al-Ihya’ yang tidak ada sumber asalnya, yang ’berat’ menunjukkan kepada hukum palsu. Ini kerana jika tidak ditemui sanadnya oleh al-Subki, bolehjadi sanad tersebut ditemui oleh orang lain pula, cuma tidak sampai kepada kita.

Hampir serupa juga dengan isu kata-kata Ibn al-Salah ketika mengulas kitab al-Wasit: ”Hadis ini tidak dikenali di sisi ahli hadith datang dari Rasulullah SAW, dan ia adalah dari kata-kata sebahagian salaf”. Dalam ertikata lain, mereka tidak terus menghukumnya sebagai palsu kerana sifat berhati-hati mereka.

Syeikh Muhammad bin Khalil al-Qawuqji walaupun menyebutkannya dalam kitab beliau (اللؤلؤ المرصوع فيما لا أصل له أو بأصله موضوع) no. 504, namun beliau mengulas; bahawa ada diriwayatkan secara mawquf dari Musa bin Talhah, malah terdapat dalam Musnad al-Firdaus dari hadis Ibn ’Umar dengan sanad yang daif. Oleh itu, imam-imam kami (fuqaha’ Mazhab Hanafi) memustahabkan menyapu tengkok, wa Allahu a’lam.

Menurut Ibn ’Arraq dalam (تنزيه الشريعة المرفوعة عن الأحاديث الشنيعة الموضوعة) no. 35: Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam Tarikh Asbahan dari hadith Ibn ’Umar dengan lafaz: ”Barangsiapa yang berwuduk dan menyapu lehernya ia tidak akan dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada hari kiamat kelak”. Kata al-Hafiz al-’Iraqi: Dalam sanadnya ada Abu Bakr al-Mufid, guru Abu Nu’aim. Kata al-Hafiz al-’Iraqi: Beliaulah punca rosaknya. Ibn al-Salah telah mendahului al-Nawawi dalam mengingkarinya dan berkata: Tidak diketahui sebagai marfu’, dan sesungguhnya ia adalah kata-kata sebahagian salaf. Kata al-’Iraqi lagi: Ya, ada diriwayat tentang menyapu tengkok dari hadis Wa’il bin Hajar mengenai sifat wuduk Nabi SAW yang dikeluarkan oleh al-Tabarani dan al-Bazzar dalam al-Kabir dengan sanad yang tiada halangan (لا بأس به), wa Allah a’lam.

Rumusan

Berdasarkan kepada pendapat para ulama Hanafi dan antara yang tersebut di atas adalah seperti Imam al-Laknawi, al-Mulla ’Ali al-Qari, al-Qawuqji dan lain-lain, serta sebahagian ulama Syafi’i, seperti al-Rafi’i, Ibn al-Qas, Imam al-Haramain, al-Ghazali, Ibn al-Rif’ah, al-Baghawi, al-Qadhi Husain, al-Furani, al-Hafiz Ibn Hajar, al-Falimbani dan lain-lain, saya berpendapat hukum menyapu air di tengkok ketika wuduk adalah mustahab diamalkan dan bukannya suatu bidaah. Antara metode yang saya gemari ialah metode al-Hafiz Ibn Hajar iaitu tidak menghukum sesuatu hadith itu sebagai palsu jika dirasakan ianya mempunyai asalnya berdasarkan dalil-dalil sokongan. Maka hadis tersebut meskipun daif tetapi dengan jalan-jalan yang menyokongnya menunjukkan bahawa ianya tidak palsu dan perbuatan tersebut ada asalnya. Tidak benar jika dikatakan ia hanya boleh diamalkan oleh orang Mazhab Hanafi sahaja, kerana ia juga telah diamalkan oleh sebahagan ulama Mazhab Syaf’i sepertimana yang kita saksikan, dan masih dapat dikatakan tidak keluar dari mazhab tersebut. Oleh kerana ianya suatu khilaf, maka terpulanglah kepada kita sama ada mahu mengamalkannya ataupun tidak.

Wa Allahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.