Ada beberapa buah buku yang berjaya menarik hati saya untuk dibeli pada Pesta Buku (PBAKL 2011) kali ini. Antaranya ialah sebuah buku atau sesuai juga dikatakan sebagai risalah yang kecil comel dalam sekitar 40 halaman sahaja berharga RM5.00 (belum diskaun). Tajuknya agak klise. Jika ia ditulis oleh seorang penulis yang tidak atau belum terkenal namanya, mungkin saya tidak membelinya.
Tetapi risalah kecil ini ditulis oleh orang yang bukan sebarangan. Penulisnya adalah seorang ilmuwan Melayu yang berkhidmat sebagai pensyarah Pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK). Risalah kecil ini turut diberi kata-kata aluan oleh Mufti Perak, Sahibus Samahah Dato' Seri Hj. Harussani Hj. Zakaria.
Judul risalah ini ialah: Sampaikah Amalan Orang Hidup kepada Arwah? hasil tulisan Syeikh Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti (lihat biografi beliau). Tentu kita masih bertanya, persoalan ini sudah lama dibahas dan dibincangkan oleh para ulama dan sudah selesai. Maksudnya, mereka yang puashati dengan dalil bolehnya akan mengatakan sampai, dan mereka yang puashati dengan dalil tidak bolehnya akan mengatakan tidak sampai. Maka kenapa harus ditimbulkan?
Jawapannya mudah, setiap ahli ilmu perlu menzahirkan ilmunya dan menjawab persoalan yang ditujukan kepadanya berdasarkan keilmuan dan kesarjanaannya. Boleh dikatakan sejak dari dahulu, ramai dari kalangan para ulama Islam yang menghasilkan risalah, buku atau kitab adalah di atas permintaan atau persoalan yang ditujukan kepadanya. Meskipun ianya sesuatu yang berulang-ulang. Maka tidak sewajarnya mereka yang berilmu menyimpan atau menyembunyikan ilmu yang dimilikinya. Bahkan ia adalah perbuatan yang ditegah oleh syarak.
Barangkali itulah sebabnya terhasil risalah kecil Dr. al-Akiti ini. Kupasannya cukup baik dan menarik. Barangkali juga setengah orang yang berpendirian kontra sudah melabelnya dengan label-label tertentu. Ini kerana persoalan yang dibincangkan, dilihat sebagai kayu ukur atau neraca penimbang bagi menentukan seseorang itu dari aliran atau fahaman mana.
Ia adalah salah satu isu paling hangat dalam senarai pelabel tersebut yang berkaitan dengan alam kubur. Selain soal ziarah, tawassul, tabarruk dan lain-lain. Malah ada yang berani mengecap sesiapa yang tidak berpendirian kontra seperti mereka sebagai Quburi (single) atau Quburiyyun (plural) yang ertinya 'orang kubur'. Alangkah malangnya ukuran dan timbangan sebegini. Bukannya dalil dan hujah.
Jika boleh diceduk sebuah bait syair yang asalnya daripada Imam al-Syafi'i, maka mungkin bisa dikatakan sahaja oleh yang dituduh sebagai quburi (orang kubur) itu ;
فَلْيشهَد الثقـلانِ أنـّي قُبُوريّ
"Jika menunaikan hak orang telah wafat itu dianggap quburi,
maka saksikanlah jin dan manusia bahawa aku adalah quburi."
Rujukan:
- Pelima Media.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.