Pages
Wednesday, June 22, 2011
Friday, June 17, 2011
Hadis dan Pakar Hadis di al-Azhar
Ini merupakan ringkasan isi penting ceramah ilmiah yang disampaikan oleh Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari dalam seminar berjudul “Hadis dan Ahli Hadis di al-Azhar” (الحديث والمحدثون في الأزهر الشريف) yang diadakan di Dewan Imam Muhammad ‘Abduh, al-Azhar pada 25hb. Mei 2011 lalu. Oleh kerana isi kandungan ceramah beliau begitu menarik, maka saya adaptasikannya dalam entri ini. Beliau membincangkan tentang sumbangan ulama al-Azhar dalam memberi khidmat terhadap hadis, serta menolak dakwaan yang mengatakan bahawa al-Azhar bukan pusat pengajian hadis dan tiada mempunyai suasana hadis.
Menurut dakwaan tersebut, dikatakan selepas al-Hafiz Murtadha al-Zabidi (w. 1205H) tiada ulama yang memberi tumpuan terhadap hadis di al-Azhar, Mesir. Namun, kenyataan ini bercanggah dengan realiti sebenar dalam kalangan ulama al-Azhar. Ia merupakan suatu waham besar yang dicanangkan kepada umum. Beliau membawakan banyak bukti tentang usaha-usaha ulama Al-Azhar dalam memberi khidmat terhadap hadis, sekaligus menunjukkan bahawa dakwaan yang mengatakan bahawa Al-Azhar bukan pusat pengajian hadis adalah tidak tepat.
Beliau menjelaskan bahawa khidmat Al-Azhar terhadap hadis dapat ditinjau dari lapan sudut. Beliau membawakan dalam setiap sudut banyak contoh yang menonjolkan usaha-usaha ulama Al-Azhar dalam berkhidmat terhadap hadis. Ia membuktikan bahawa tiada suatu institusi pun yang telah memberi khidmat kepada hadis sepertimana Al-Azhar dan para ulamanya. Lapan sudut tersebut ialah:
1 - Mensyarahkan kitab-kitab hadith muktamad.
Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:
- Syeikhul Islam ‘Ali al-Sa‘idi al-‘Adawi, beliau mengajar Sahih al-Bukhari selama 10 tahun. Beliau mensyarahkannya secara detail dari segi sanad dan matan. Antara muridnya ialah Syeikh al-Amir al-Maliki al-Kabir.
- Syeikh Hasan al-‘Idwi al-Hamzawi, mengarang kitab Syarah Sahih al-Bukhari setebal 10 jilid. Kitab beliau ini pernah dicetak dengan huruf batu.
- Dr. Musa Syahin Lasyin mengarang kitab Fath al-Mun’im fi Syarh Sahih Muslim dalam tempoh 20 tahun.
- Dr. Muhammad Muhammad Abu Syahbah mengarang Tawfiq al-Bari di Syarah Sahih al-Bukhari yang dikarang dalam 15 jilid. Tapi kitab ini tidak dicetak hingga kini.
- Prof. Dr. Ahmad ‘Umar Hasyim menyusun kitab Faidh al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari. Ia telah diterbitkan hingga kini sebanyak 10 jilid dan masih ada baki 2 jilid lagi.
- Dr. Muhammad Zakiyuddin Abu al-Qasim menyusun kitab Jami‘ al-Bayan fi Syarh Ma Ittafaq ’Alayhi al-Syaykhan, telah dicetak dalam 15 jilid.
- Syeikh ‘Abd Rabbuh Sulaiman menyusun kitab Syarah Jami‘ al-Usul oleh Ibn al-Athir. Kitab ini diberi kata aluan oleh ulama al-Azhar, terutamanya Musnid al-‘Asr Syeikh Ahmad Rafi‘ al-Tahtawi.
- Syeikh Ahmad ‘Abd al-Rahman al-Banna al-Sa‘ati menghasilkan Bulugh al-Amani bi Tartib Musnad Ahmad bin Hanbal al-Syaybani, dan kemudian menyusun syarahnya al-Fath al-Rabbani. [Beliau turut menyusun dan mensyarah hadis-hadis Musnad Abi Dawud al-Tayalisi dan Musnad al-Syafi‘i].
Dan lain-lain. Boleh dikatakan amat sukar untuk menghitung karya-karya dalam bahagian ini secara detail yang dikarang oleh ulama-ulama al-Azhar sebagai bahan pembelajaran dalam pengajian-pengajian mereka. Jumlahnya bolehjadi mencecah ribuan buah karya.
2 – Mengemaskini dan mematangkan ilmu-ilmu istilah hadis.
Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:
- Syeikh Muhammmad ‘Abd al-‘Azim al-Zurqani menyusun kitab Manhaj al-Hadith fi ‘Ulum al-Hadith.
- Syeikh Ahmad ‘Ali Ahmadain menyusun kitab Daw’ al-Qamar ‘ala Nukhbah al-Fikar.
- Syeikh ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Latif menyusun kitab al-Mukhtasar fi ‘Ilm Rijal al-Athar dan al-Mu‘tasar fi ‘Ulum al-Athar.
- Syeikh Mustafa Amin al-Tazi mengarang kitab Maqasid al-Hadith fi al-Qadim wa al-Hadith.
- Syeikh Muhammad Muhammad al-Samahi menyusun kitab Manhaj al-Hadith fi ‘Ulum al-Hadith setebal 4 juzuk. Muridnya, Dr. Nuruddin ‘Itr memuji kitab ini yang mengandungi perbahasan yang halus dan detail. Beliau berasa dukacita kerana kitab ini tidak disebarkan secara lebih meluas. Kitab ini lebih padat berbanding kitab Taujih al-Nazar oleh Syeikh Tahir al-Jaza’iri.
Syeikh ‘Ali Jum‘ah pernah bertanya kepada Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah: Apakah kitab yang perlu dibaca oleh penuntut ilmu hadis? Jawab beliau: Nuzhah al-Nazar, al-Nukat oleh Ibn Hajar, Tadrib al-Rawi, Fath al-Mughith dan Taujih al-Nazar oleh Syeikh Tahir al-Jaza’iri kerana ia mengandungi falsafah seni hadis.
Syeikhul Muhaddithin di zaman ini, Syeikh Dr. Ahmad Ma‘bid ‘Abd al-Karim mempelajari Fath al-Mughith secara lengkap dari Syeikh Muhammad al-Samahi. Menurutnya, Syeikh al-Samahi adakalanya menambah dan mengulas pandangan al-Hafiz al-Sakhawi.
- Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah mengarang kitab al-Wasit fi ‘Ulum Mustalah al-Hadith. Kitab ini wajar digandingkan bersama kitab Tadrib al-Rawi dan Fath al-Mughith.
- Syeikh Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar mengarang kitab Bulugh al-Amal min Mustalah al-Hadith wa ‘Ulum al-Rijal. Ia terdiri dari 2 jilid.
Dan banyak lagi. Jika dihitung misalnya sejak dari tahun 30-an hingga kini, nescaya jumlahnya terlalu banyak.
3 – Memberi tumpuan terhadap ilmu manahij al-muhaddithin (metodologi ahli hadis).
Perbincangan tentang manahij al-muhaddithin boleh dikatakan telah pupus sejak beberapa kurun yang lalu. Ia telah dihidupkan semula oleh ulama-ulama al-Azhar. Istilah Manahij al-Muhaddithin menyamai istilah Syurut al-A’immah (syarat-syarat para imam) pada masa dahulu. Antara ulama yang mengarang mengenai Syurut al-A’immah ialah Ibn Mandah, al-Hazimi dan al-Maqdisi. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam tahkiknya ke atas kitab Syurut al-A’immah oleh al-Hazimi dan al-Maqdisi.
Antara ulama yang menghasilkan karya mengenai manahij al-muhaddithin ini ialah:
- Syeikh Muhammad Muhammad Abu Zahw mengarang kitab al-Hadith wa al-Muhaddithun.
- Dr. Ahmad Muharram al-Syeikh Naji menulis kitab berjudul al-Daw’ al-Lami‘ al-Mubin ‘an Manahij al-Muhaddithin setebal 2 jilid. Ia mengenai metodologi ahli hadis sehingga kurun ke-empat hijrah.
Manahij al-muhaddithin merupakan antara subjek penting yang diajarkan di al-Azhar kini dan amat banyak karya yang telah dikarang mengenainya.
4 – Menyusun karya penting tentang ilmu takhrij al-hadith.
Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:
- Syeikh ‘Abd al-Mawjud ‘Abd al-Latif menyusun kitab takhrij al-hadith berjudul Kasyf al-Litham, setebal 2 jilid.
- Dr. ‘Abd al-Muhdi ‘Abd al-Qadir menulis kitab Turuq Takhrij al-Hadith dan mengatakan beliau belum pernah melihat kitab yang seumpamanya disusun sebelum ini. Pada masa itu, beliau tidak melihat kitab al-Hafiz Ahmad al-Ghumari berjudul Husul al-Tafrij bi Usul al-Takhrij, yang telah dikarang terlebih dahulu, namun ia tidak habis ditulis dan kemudian baru diterbitkan dengan seadanya. Maka, boleh dikatakan beliau adalah orang pertama dari kalangan ulama al-Azhar yang menyusunnya secara lengkap.
- Syeikh Ridha Zakariyya mengarang kitab takhrij al-hadith yang sangat dipuji oleh Syeikh Ahmad Ma‘bid ‘Abd al-Karim.
Takhrij al-hadith merupakan antara subjek penting yang diajarkan di al-Azhar kini dan amat banyak karya yang telah dikarang mengenainya.
5 - Mengadakan majlis-majlis besar pembacaan dan penyampaian hadis, serta mengekalkan tradisi sanad dan ijazah.
Majlis-majlis pengajian hadis di al-Azhar pada masa lalu begitu pesat dijalankan. Antara tokoh-tokohnya:
- Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Dijwi mengadakan majlis pembacaan Sahih al-Bukhari yang dihadiri oleh ramai penuntut ilmu, sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abu al-Hasan Zaid al-Faruqi dalam kitab Maqamat Khayr, dalam bahasa Urdu. Bahkan ada yang merekodkan, ia dihadiri oleh sekurang-kurangnya 500 orang sehingga lebih dari 1000 orang pendengar.
- Syeikh Hasunah al-Nawawi, Syeikhul Azhar dan Mufti Mesir dalam masa yang sama, sebagaimana halnya Syeikh Muhammad al-Mahdi al-‘Abbasi. Beliau diperintahkan oleh Sultan ‘Abd al-Hamid al-‘Uthmani untuk meneliti dan menerbitkan kitab Sahih al-Bukhari. Beliau telah melaksanakannya bersama sekumpulan ulama al-Azhar kira-kira seramai 31 orang secara penuh tekun. Kitab ini telah diterbitkan dengan penuh teliti yang dikenali sebagai Cetakan Sultaniyyah, dan dianggap nuskhah Sahih al-Bukhari paling sahih dan muktamad kerana ia berpegang kepada Nuskhah Syarafuddin al-Yunini. Meskipun Syeikh ‘Abd al-Hayy al-Kattani mengatakan Nuskhah Ibn Sa‘adah lebih utama berbanding Nuskhah al-Yunini.
- Syeikhul Islam Salim al-Bisyri telah mengajar kitab hadis selama 30 tahun. Beliau amat memberi tumpuan terhadap Sahih al-Bukhari. Muridnya, Syeikh Muhammad al-Makkawi juga amat mengambil berat dengan Sahih al-Bukhari hinggakan ia mampu memperbetulkan Cetakan Sultaniyyah dalam bentuk jadual yang detail. Jadual ini kemudian diterbitkan oleh Syeikh ‘Ali Jum‘ah sebagai lampiran kitabnya tentang Sahih al-Bukhari.
- Syeikh Ahmad Mahjub al-Rifa‘i al-Fayyumi mempelajari Sahih al-Bukhari dari Syeikh Mustafa al-Muballat yang mempelajarinya dari Syeikh Muhammad ‘Ali al-Syanawani, penyusun al-Durar al-Saniyyah fi Ma ‘Ala min al-Asanid al-Syanawaniyyah. Muridnya, Syeikh Taha bin Yusuf al-Sya‘bini mempelajari Sahih al-Bukhari dari beliau. Syeikh Ahmad Mahjub turut mempelajari Sahih Muslim dari Syeikh Muhammad ‘Ilisy al-Maliki. Kemudian beliau mengajarkannya dan antara muridnya ialah Syeikh Muhammad al-‘Adawi al-Maliki. Beliau juga mengambil berat dengan Sunan al-Tirmizi dan menghabiskan masanya meneliti dan membanding nuskhah-nuskhah al-Tirmizi. Nuskhah Sunan al-Tirmizi miliknya merupakan nuskhah yang amat sahih dan detail, hinggakan Syeikh Ahmad Syakir menjadikannya sebagai sandaran dalam tahkiknya terhadap Sunan al-Tirmizi.
- Syeikh Abu Hurairah Dawud al-Qal‘i mempelajari dan kemudian mengajar kitab Sahih al-Bukhari. Antara muridnya, Syeikh Hasan al-Quwaisni yang turut mengajar kitab Sahih al-Bukhari. Antara murid al-Quwaisni pula ialah Syeikh Mustafa al-‘Arusi yang turut mengadakan majlis pengajian Sahih al-Bukhari dan pembacaan Awa’il Syeikh ‘Abdullah bin Salim al-Basri. Antara murid al-‘Arusi pula ialah Syeikh ‘Abd al-Ghani al-‘Inani. Dikatakan, majlis beliau dihadiri oleh 200 atau lebih ulama al-Azhar.
- Syeikh Ahmad Bikir al-Husaini pula mengadakan pengajian hadis di rumahnya. Ia dihadiri oleh Syeikh Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani dan tokoh-tokoh ulama lain.
Demikian suasana sejak dari zaman Syeikh Murtadha al-Zabidi hingga ke zaman Syeikh Mufti ‘Ali Jum‘ah kini, yang mempelajari Sahih al-Bukhari dari Syeikh ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari selama 20 hari. Selain Sahih al-Bukhari, Syeikh ‘Ali Jum‘ah turut mengajar kitab-kitab hadis besar yang lain. Maka jelas bahawa al-Azhar sentiasa sibuk dengan majlis pengajian hadis dan penyampaian ijazah sanad.
6 – Memberi perhatian terhadap seni hadis serta kerja tashih dan tadh‘if.
Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:
- Syeikh Murtadha al-Zabidi menghasilkan sebuah kitab yang menakjubkan berjudul Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, di mana beliau mensyarah dan mentakhrij hadis-hadis Ihya’ ‘Ulumiddin, setebal 13 jilid. Beliau banyak menambah ke atas takhrij al-‘Iraqi dan mengkaji hadis-hadis yang dikatakan oleh Imam Tajuddin al-Subki tidak ditemukan sanadnya.
- Syeikh Ahmad Syakir seorang alim al-Azhar yang mahir tentang hadis, ‘ilal al-hadith, al-jarh wa al-ta’dil dan lain-lain yang tiada tolok bandingnya di zamannya.
- Al-Hafiz Syeikh ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari pernah duduk selama 40 tahun di Mesir. Beliau telah menghasilkan kira-kira 300 karya yang kebanyakannya berkaitan dengan seni hadis.
Antara tokoh-tokoh lain dalam bahagian ini ialah Syeikh Ahmad ‘Abd al-Rahman al-Banna, Syeikh Husain ‘Abd al-Majid Hasyim, Syeikh Ahmad Ma‘bid, syeikhul muhaddithin di zaman ini, dan lain-lain.
7 – Menyusun kitab-kitab hadis besar berbentuk al-Jawami’.
Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:
- Syeikh Mansur ‘Ali Nasif, beliau menyusun kitab al-Taj al-Jami’ lil Usul.
- Syeikh Husain ‘Abd al-Majid Hasyim menyusun Ensiklopedia Hadis setebal 14 jilid. Namun, ia tidak diterbitkan hingga kini.
- Syeikh Habibullah al-Syinqiti mengarang kitab Zad al-Muslim. Ramai tokoh-tokoh al-Azhar mempelajari Sahih Muslim dari beliau.
8 - Mengambil berat seni mentahkik kitab dan mengeluarkan manuskrip hadis ke dunia penerbitan.
Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:
- Syeikh ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Latif, seorang alim yang giat mentahkik kitab-kitab ilmu. Antaranya ialah mentahkik kitab Tadrib al-Rawi yang diterbitkan dengan penuh teliti.
- Syeikh Sayyid Ahmad Saqr pula mentahkik 3 jilid dari kitab Fath al-Bari, Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Bayhaqi, Adab al-Syafi‘i oleh al-Bayhaqi, al-Ilma‘ oleh Qadhi ‘Iyadh dan lain-lain. Beliau memang seorang alim yang pakar tentang seni manuskrip.
[Masih ada banyak lagi nama-nama yang tidak disebutkan oleh Dr. Usamah dalam lapan bahagian ini kerana beliau hanya menyebutkan contoh-contoh sahaja. Ini tidak termasuk nama-nama ulama hadis Mesir yang bukan dari al-Azhar seperti Imam Muhammad Zahid al-Kawthari, Syeikh Muhammad Fu'ad 'Abd al-Baqi, al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh dan lain-lain].
Jelas dari penjelasan dan contoh-contoh ini bahawa al-Azhar adalah institusi hadis terbesar dan tidak pernah mati. Jika mahu disenarai dan direkod seluruhnya, nescaya ia memerlukan jilid kitab yang banyak. Maka dakwaan bahawa pengajian hadis sudah terhenti di al-Azhar, atau tiada suasana hadis di al-Azhar adalah satu kenyataan yang tidak benar samasekali. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara institusi ini dari sebarang keburukan dan kemudaratan. Amin.
* Lihat rakaman asal.
Wednesday, June 15, 2011
Kelebihan Bukit Tur Sina
Bersempena kehadiran 27 Rejab, ingin saya sentuh tentang suatu sudut kecil yang mungkin jarang diberi perhatian, iaitu tentang bukit Tur Saina’ – juga disebut Tur Sina -. Bukit ini terletak di Madyan, yang dahulu adalah sebahagian dari daerah Syam, dan kini termasuk dalam Semenanjung Sinai, Mesir.
Bukit Tur Saina’ adalah antara bukit-bukit yang diberi keistimewaan dalam disiplin Islam, selain dari bukit Nur di Makkah dan bukit Uhud di Madinah. Bukit ini berketinggian 2240 meter.
Antara kelebihan bukit Tur Saina’ ialah Allah SWT telah bersumpah di dalam al-Quran dengannya dalam firman-Nya: (وَالطُّورِ (1)) ”Demi bukit Tur” (al-Tur: 1).
Bukit Tur Saina’ adalah tempat Nabi Musa AS bermunajat dan bercakap-cakap dengan Allah SWT (al-A’raf: 143).
Ada beberapa khabar yang diriwayatkan tentang kelebihannya. Ada diriwayatkan bahawa Dajjal tidak dapat memasuki empat buah masjid, iaitu Masjid al-Haram, Masjid Madinah, Masjid Tur Saina’ dan Masjid al-Aqsa (HR Nu’aim bin Hammad dalam al-Fitan, no. 1578). Dan di atas puncak bukit Tur Sina memang ada dibina sebuah masjid kecil di situ dan kekal sehingga kini. Namun, hadis yang sahih menyebut negeri yang tidak akan dapat dimasuki oleh Dajjal ialah Makkah dan Madinah sahaja (HR al-Bukhari dan Muslim).
Ada diriwayatkan bahawa Tur Saina’ adalah penghulu bagi segala bukit (HR al-Dailami, no. 3471), dan ia adalah salah satu daripada empat bukit dari bukit-bukit syurga (HR al-Tabarani dalam al-Awsat, no. 7669).
Juga diriwayatkan bahawa manusia di akhir zaman mempunyai tiga buah benteng, iaitu; benteng mereka dari peperangan besar ialah di Antakiyah, Dimasyq. Benteng mereka dari Dajjal ialah Baitul Maqdis, dan benteng mereka dari Ya’juj dan Ma’juj ialah Tur Saina’ (HR Abu Nu’aim dalam al-Hilyah dan Ibn ’Asakir dari al-Husain bin ’Ali RA)
Namun, hadis-hadis ini tidak dapat dipastikan kesabitannya. Mungkin satu-satunya hadis yang sabit tentang kelebihan Tur Saina’ ialah Nabi SAW pernah bersolat di sana. Dimaklumkan bahawa antara kelebihan sesuatu tempat itu ialah Nabi SAW pernah bersolat di situ. Tempat-tempat sedemikian adalah tempat-tempat yang harus diharapkan keberkatan darinya. Hadis tersebut adalah sebahagian daripada riwayat mengenai peristiwa Isra’ dan Mi’raj baginda SAW.
Matannya:
عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُتِيتُ بِدَابَّةٍ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ خَطْوُهَا عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهَا فَرَكِبْتُ وَمَعِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَسِرْتُ، فَقَالَ: انْزِلْ فَصَلِّ، فَفَعَلْتُ، فَقَالَ: أَتَدْرِي أَيْنَ صَلَّيْتَ؟ صَلَّيْتَ بِطَيْبَةَ وَإِلَيْهَا الْمُهَاجَرُ، ثُمَّ قَالَ: انْزِلْ فَصَلِّ، فَصَلَّيْتُ، فَقَالَ: أَتَدْرِي أَيْنَ صَلَّيْتَ؟ صَلَّيْتَ بِطُورِ سَيْنَاءَ حَيْثُ كَلَّمَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَام، ثُمَّ قَالَ: انْزِلْ فَصَلِّ، فَنَزَلْتُ فَصَلَّيْتُ، فَقَالَ: أَتَدْرِي أَيْنَ صَلَّيْتَ؟ صَلَّيْتَ بِبَيْتِ لَحْمٍ حَيْثُ وُلِدَ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَام، ثُمَّ دَخَلْتُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ، فَجُمِعَ لِي الْأَنْبِيَاءُ عَلَيْهِمْ السَّلَام، فَقَدَّمَنِي جِبْرِيلُ حَتَّى أَمَمْتُهُمْ، ثُمَّ صُعِدَ بِي إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا... إلخ. [رواه الإمام النسائي في سننه (446) بسند صحيح، والإمام الطبراني في مسند الشاميين (341)، والإمام الطبري في تهذيب الآثار (2776)]
Terjemahan:
Sabda Rasulullah SAW: ”Aku diberikan seekor binatang yang tingginya lebih dari keldai dan kurang dari baghal. Langkahnya adalah sejauh mata memandang. Lalu aku menunggangnya dan bersamaku Jibril AS. Lantas aku pun bergerak. Setelah itu, Jibril berkata: Turun, dan bersolatlah. Maka aku pun melaksanakannya. Lalu dia berkata: Adakah kamu tahu di mana kamu bersolat? Kamu telah bersolat di Taybah, dan kepadanya nanti tempat berhijrah.
Kemudian setelah itu, Jibril berkata lagi: Turun, dan bersolatlah. Maka aku pun bersolat. Lalu dia berkata: Adakah kamu tahu di mana kamu bersolat? Kamu telah bersolat di Tur Saina’, di mana Allah ’azza wajalla telah berbicara dengan Nabi Musa AS.
Kemudian setelah itu, Jibril berkata lagi: Turun, dan bersolatlah. Maka aku pun bersolat. Lalu dia berkata: Adakah kamu tahu di mana kamu bersolat? Kamu telah bersolat di Bait Lahm, di mana tempat Nabi ’Isa AS dilahirkan.
Kemudian aku memasuki Baitul Maqdis. Lalu dihimpunkan untukku para anbiya’ (nabi-nabi) AS. Lantas Jibril pun mengedepankanku sehingga aku mengimamkan mereka bersolat. Kemudian aku diangkatkan ke langit dunia...”.
Apa yang mahu difokuskan ialah titik perjalanan Nabi SAW dari Makkah ke Baitul Maqdis, di mana baginda SAW telah singgah di tiga perhentian. Antaranya ialah di bukit Tur Saina’ serta bersolat di situ. Perjalanan yang menunggang binatang supersonik ini bukanlah satu perjalanan yang berbentuk rohani atau ghaib. Ini kerana Isra’ adalah perjalanan merentas alam nyata, dan Mi’raj barulah perjalanan merentas alam ghaib. Maka semua yang dilalui dan dilihat oleh Nabi SAW adalah realiti dan benar belaka, bukannya metafora ataupun majazi.
Justeru, sesiapa yang berpeluang untuk mendaki ke sana, maka janganlah melepaskan peluang berkenaan. Namun, perjalanannya bukanlah perjalanan yang selesa. Dari kaki bukit menuju ke puncaknya pula mengambil masa sekitar 2-3 jam.
Barangkali tempat ini jarang disebut oleh orang-orang yang menceritakan tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj kerana ianya tidak direkod oleh riwayat al-Bukhari dan Muslim, atau lain-lain. Ia hanya disebut dalam riwayat al-Nasa’i, al-Tabari dan al-Tabarani dengan taraf yang sahih.
Wallahu a’lam.
Monday, June 13, 2011
Ceramah al-Habib Zain bin Sumait حفظه الله
- Ilmu;
- ‘Amal;
- Wara`;
- Khauf dan
- Ikhlas.
Saturday, June 11, 2011
Syarah Hadis al-Nughair
Matan Hadis
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُ عَلَيْنَا، وَلِي أَخٌ صَغِيرٌ يُكْنَى أَبَا عُمَيْرٍ، وَكَانَ لَهُ نُغَرٌ يَلْعَبُ بِهِ، فَمَاتَ، فَدَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَرَآهُ حَزِينًا، فَقَالَ: مَا شَأْنُهُ؟ قَالُوا: مَاتَ نُغَرُهُ. فَقَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ؟ رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي وابن ماجه واللفظ لأبي داود: 4318.
Terjemahan
Dari Anas bin Malik RA katanya: Rasulullah SAW sering menjenguk kami, dan aku mempunyai seorang adik lelaki kecil yang dipanggil Abu ‘Umair. Dia mempunyai seekor burung kecil dan selalu bermain dengannya. Suatu ketika burung itu mati. Maka suatu hari Rasulullah SAW menjenguknya dan melihatnya sedang bersedih. Lalu baginda bertanya: Apa hal dengannya? Orang-orang menjawab: Burung kecilnya telah mati. Lantas baginda bertanya kepadanya: Wahai Abu ‘Umair, apa yang dibuat oleh si-burung kecil? (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibn Majah)
Syarah Hadis
Abu ‘Umair adalah kunyah (nama panggilan) bagi Hafs bin Zaid bin Sahl al-Ansari. Beliau adalah saudara seibu Anas bin Malik r.a., dan ibu mereka adalah Ummu Sulaim binti Malhan. Beliau telah wafat sewaktu masih kecil di masa Nabi SAW masih hidup lagi. Seolah-olah seperti kematian burung belaan kesayangannya itu juga adalah tanda bagi kehampiran ajalnya yang telah dapat dibaca oleh Nabi SAW. Lantas Nabi SAW menghampirinya bagi menghiburkannya dari kesedihan dan rasa duka. Sebab itu, Nabi SAW memanggilnya dengan Abu ‘Umair, kerana ‘Umair adalah isim tasghir (kata nama bagi menyifatkan kecil atau sedikit) kepada ‘umr, yakni umur atau usia, seolah-olah Nabi SAW tahu bahawa umurnya tidak panjang. Agar sepadan dengan panggilan ‘Umair, maka baginda telah menyebut kalimah nughar itu dengan sebutan isim tasghir juga, iaitu nughair kerana hayat burung tersebut juga tidak panjang.
Burung kecil dalam hadis ini disebut nughar. Dalam bahasa Inggeris, ia disebut finch. Burung finch mempunyai pelbagai spesis, di antaranya yang tinggal di Semenanjung Tanah Arab. Ada yang menterjemahkan nughar dalam hadis ini sebagai burung pipit (lihat bawah). Namun sebenarnya, burung ini seperti jenis burung pipit, namun ia agak berbeza sedikit kerana paruhnya berwarna merah. Ada pengkaji yang menyebut jenisnya secara spesifik, iaitu jenis trumpeter finch kerana ianya banyak di Hijjaz (lihat atas). Wallahu a'lam.
Menurut Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah, ada ulama yang telah mensyarahkan hadis ini di dalam sebuah karya khusus, dan telah mengeluarkan daripadanya lebih dari 60 faedah dan pengajaran. Beliau ialah Abu al-‘Abbas Ahmad Ibn al-Qas al-Tabari al-Syafi’i (Fath al-Bari, 10/481).
Di antara faedah dan pengajaran daripada hadis di atas ialah:
- Pada hadis ini terdapat suatu hukum, iaitu boleh memberi kepada anak-anak kecil berupa binatang belaan kesayangan untuk dijadikan teman bermain. Maka membela dan memiliki binatang kesayangan seperti burung, ikan, kucing dan sebagainya hukumnya adalah harus. Asalkan bukan dengan tujuan untuk diseksa.
- Sehubungan dengan itu, jual belinya juga dikira harus. Namun, ulama berbeza pendapat mengenai jual beli kucing kerana terdapat larangan tentangnya. Kebanyakan ulama dari mazhab yang empat mengharuskannya. Manakala sebahagian ulama pula mengharamkannya, seperti Imam Ahmad (dalam salah satu riwayat darinya), al-Bayhaqi, al-Nawawi, Ibn al-Qayyim, al-Syawkani, mazhab Zahiriyyah dan lain-lain.
- Termasuk juga, harus menyediakan tempat bagi binatang belaan tersebut seperti sangkar, akuarium dan sebagainya. Maka jual belinya juga dikira harus.
- Harus memberi barang yang dapat menggembirakan dan menghiburkan anak-anak kecil, seperti barang permainan, anak patung dan seumpamanya. Dan wang yang dibelanjakan dianggap bukan pada perkara yang sia-sia, asalkan tidak berlaku boros dan membazir.
- Hadis ini menunjukkan akhlak mulia Rasulullah SAW yang tidak berbelah bahagi di antara orang-orang yang ada di sekelilingnya. Keramahan, keakraban dan perhatian baginda terserlah terhadap semua orang, baik yang dewasa mahupun yang kanak-kanak. Kemesraan baginda ini sentiasa disesuaikan dengan setiap keadaan.
- Harus memberi gelar kepada seorang anak kecil secara kunyah (nama panggilan), seperti Abu ‘Umair di atas, yang bermaksud ‘bapa ‘Umair’, walaupun beliau masih kecil dan pastinya tidak mempunyai anak yang bernama ‘Umair, yang dalam bahasa Arab dikenal sebagai isim tasghir. Ia adalah adat kebiasaan orang Arab, namun adat ini tiada dalam masyarakat Melayu.
- Menurut Imam al-Tirmizi, hadis di atas menunjukkan bahwa Rasulullah SAW bergurau, iaitu dengan memanggil seorang anak kecil dengan panggilan Abu ’Umair. Baginda juga tahu burung kecil itu telah mati, tapi baginda masih bertanya kepada anak kecil tersebut mengenainya. Ajaran Islam bukanlah bersifat pasif dan kaku. Justeru, bersenda gurau adalah harus, asalkan ianya tidak melampaui batas.
- Kita tidak boleh bersifat sombong dan takbur. Apatah lagi sebagai seorang pemimpin (keluarga, kampung, daerah, negeri, dsb) dan perlu bercampur gaul dengan pelbagai lapisan orang di bawah pimpinannya, walaupun hanya seorang anak kecil.
- Para ulama dan ahli ilmu perlu bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat dan berinteraksi dengan mereka berdasarkan tahap akal pemikiran masing-masing. Sesuatu penyampaian haruslah disesuaikan dengan kedudukan orang yang mendengarnya. Harus juga bagi mereka membawa ilmu kepada orang yang dapat memanfaatkannya.
Wallahu a’lam.
Thursday, June 9, 2011
Risalah al-Adab fi Rajab oleh Mulla 'Ali al-Qari (w. 1014H)
Tuesday, June 7, 2011
Syeikh Muhammad Darwisy al-Khatib رحمه الله
Syeikh Muhammad Darwisy al-Khatib al-Syafi’i adalah salah seorang ulama
Nama lengkapnya Syeikh Muhammad bin Syeikh Darwisy bin Syeikh Muhammad al-Khatib bin Syeikh Mustafa bin Syeikh Muhammad ‘Arab bin Syeikh Ahmad bin Syeikh Hasan bin Syeikh Khadir, dari keluarga al-Kharfan yang dinisbahkan kepada Sayidina Husain RA.
Beliau lahir pada tahun 1901 di Desa Jenah, bandar Halab, dari keluarga beragama yang turun temurun secara warisan berkhidmat terhadap agama Islam.
Beliau mula menghafaz Al-Quran sejak kecil lagi sehinggakan ia mengulang-ulanginya sekalipun sewaktu menjaga binatang ternakan. Beliau berjaya menghafaznya dalam tempoh empat bulan dan sepuluh hari.
Beliau dididik oleh Syeikh Ahmad Syahid rahimahullah yang mengajarnya al-Quran dan hadis. Kemudian beliau masuk ke Sekolah al-Khusrawiya di Halab dan mempelajari ilmu-ilmu agama di
Beliau telah menerima ilmu dari sejumlah guru agama dan masyayikh
- Syeikh Ahmad Syahid
- Syeikh Sa’id al-Idlibi,
- Syeikh Raghib al-Tabbakh, sejarawan
- Syeikh ‘Umar Maratini
- Syeikh Faidhullah Ayyubi
- Syeikh Abdullah Hammad, dan ramai yang lain.
Syeikh Muhammad bin Darwisy al-Khatib mengajar di Masjid Besar al-Umawi dan memberi fatwa menurut mazhab al-Syafi’i. Beliau berkemahiran khususnya dalam masalah mirath (faraidh). Beliau meriwayatkan hadis dari Syeikh Muhammad Raghib al-Tabbakh.
Syeikh suka duduk bersama fakir miskin dan membantu mereka. Beliau giat menyampaikan dakwah hingga ada non-muslim yang terdorong memeluk Islam secara tulus. Di samping itu, beliau turut bertani dan menternak lebah bagi menyara keluarganya yang besar. Beliau pernah berkahwin sebanyak
رحمه الله تعالى رحمة واسعة
Rujukan:
Sunday, June 5, 2011
Kajian Hadis: Tuntutlah Ilmu Walaupun Di China
Teks hadis:
اطلبوا الْعِلْمَ ولوْ بالصِّينِ فإِنّ طَلَبَ العِلْم فَرِيضَةٌ على كُلِّ مُسْلِمٍ
Terjemahan:
”Tuntutlah ilmu walaupun di China. Maka sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah fardu ke atas setiap muslim”.
Keterangan:
Ada yang menyangka bahwa matan hadis penuh seperti di atas adalah hasan kerana jalan-jalan riwayatnya yang banyak (lihat seperti dalam: فيض القدير). Walhal perbincangan tentang matan hadis ini sebenarnya perlu dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian kedua hadis di atas (فإن طلب العلم فريضة على كل مسلم) telah diriwayatkan dari Anas RA oleh 20 orang perawi sepertimana kata Ibn ’Arraq dan ianya itu bertaraf hasan.
Bahagian awal hadis ini (اطلبوا العلم ولو بالصين،) fokus perbincangan kita pula telah diriwayatkan oleh Anas RA dan Abu Hurairah RA. Namun perbincangan akan tertumpu kepada riwayat Anas kerana riwayat Abu Hurairah mengandungi perawi yang memalsukan hadis. Riwayat Anas pula telah diriwayatkan oleh 4 orang perawi, iaitu Ibrahim al-Nakha’i, al-Zuhri, Ibn Sirin dan Abu ’Atikah Tarif bin Salman.
Bagaimanapun, perbincangan akan tertumpu kepada riwayat Abu ’Atikah Tarif bin Salman sahaja kerana jalan-jalan riwayat yang lain itu tidak dapat dipertanggungjawabkan. Ini kerana riwayat Ibrahim al-Nakha’i terputus dan riwayat dari al-Zuhri pula mengandungi perawi pendusta. Manakala riwayat Ibn Sirin di sisi Abu Ya’la dan Ibn ’Abd al-Barr, seperti yang dikatakan oleh al-Suyuti dapat menyokong riwayat Abu ’Atikah (al-Ta’aqqubat ’ala al-Mawdu’at oleh al-Suyuti), namun dakwaan al-Suyuti ini tidak dapat dibuktikan kerana nuskhah Ibn ’Abd al-Barr dan Abu Ya’la yang ada tidak merekodkannya.
Friday, June 3, 2011
Al-Fatihah - Ustaz Ghazali Hasbullah رحمه الله
Perjalanan akhir seorang pendakwah, 1 Rejab 1432, malam Jumaat.
Pendakwah terkenal dengan kegigihannya, Ustaz Ghazali Hasbullah meninggal dunia jam 10 malam di Hospital Selayang akibat sakit tua.
Allahyarham semasa hayatnya bertugas sebagai guru agama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) lebih 20 tahun dan akibat kelantangan beliau menegur ketidak-adilan, beliau pernah ditahan ISA pada 1980an.
Menurut cucu sulungnya, Abdullah Omar, datuknya berusia lebih 70 berasal dari Bagan Datoh, Perak berdakwah sehingga akhir hayatnya kerana dua hari sebelum jatuh sakit, beliau berceramah akhir di Johor.
Allahyarham meninggalkan dua isteri; Puan Asiah Johari, 60an, dan Puan Norhafizah, 40an, anak (13), sulung dalam usia 43 dan bongsu sekitar 20an, cucu (60) dan dan cicit (30).
Jenazah disolatkan di Perkampungan Islam Darul Atiq yang didirikannya sendiri pada jam 10 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Rasa.
Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat-Nya. Al-Fatihah.
Rujukan:
- Surau Kini.