Pages

Friday, June 17, 2011

Hadis dan Pakar Hadis di al-Azhar

Ini merupakan ringkasan isi penting ceramah ilmiah yang disampaikan oleh Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari dalam seminar berjudul “Hadis dan Ahli Hadis di al-Azhar” (الحديث والمحدثون في الأزهر الشريف) yang diadakan di Dewan Imam Muhammad ‘Abduh, al-Azhar pada 25hb. Mei 2011 lalu. Oleh kerana isi kandungan ceramah beliau begitu menarik, maka saya adaptasikannya dalam entri ini. Beliau membincangkan tentang sumbangan ulama al-Azhar dalam memberi khidmat terhadap hadis, serta menolak dakwaan yang mengatakan bahawa al-Azhar bukan pusat pengajian hadis dan tiada mempunyai suasana hadis.

Menurut dakwaan tersebut, dikatakan selepas al-Hafiz Murtadha al-Zabidi (w. 1205H) tiada ulama yang memberi tumpuan terhadap hadis di al-Azhar, Mesir. Namun, kenyataan ini bercanggah dengan realiti sebenar dalam kalangan ulama al-Azhar. Ia merupakan suatu waham besar yang dicanangkan kepada umum. Beliau membawakan banyak bukti tentang usaha-usaha ulama Al-Azhar dalam memberi khidmat terhadap hadis, sekaligus menunjukkan bahawa dakwaan yang mengatakan bahawa Al-Azhar bukan pusat pengajian hadis adalah tidak tepat.

Beliau menjelaskan bahawa khidmat Al-Azhar terhadap hadis dapat ditinjau dari lapan sudut. Beliau membawakan dalam setiap sudut banyak contoh yang menonjolkan usaha-usaha ulama Al-Azhar dalam berkhidmat terhadap hadis. Ia membuktikan bahawa tiada suatu institusi pun yang telah memberi khidmat kepada hadis sepertimana Al-Azhar dan para ulamanya. Lapan sudut tersebut ialah:

1 - Mensyarahkan kitab-kitab hadith muktamad.

Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:

- Syeikhul Islam ‘Ali al-Saidi al-‘Adawi, beliau mengajar Sahih al-Bukhari selama 10 tahun. Beliau mensyarahkannya secara detail dari segi sanad dan matan. Antara muridnya ialah Syeikh al-Amir al-Maliki al-Kabir.

- Syeikh Hasan al-‘Idwi al-Hamzawi, mengarang kitab Syarah Sahih al-Bukhari setebal 10 jilid. Kitab beliau ini pernah dicetak dengan huruf batu.

- Dr. Musa Syahin Lasyin mengarang kitab Fath al-Mun’im fi Syarh Sahih Muslim dalam tempoh 20 tahun.

- Dr. Muhammad Muhammad Abu Syahbah mengarang Tawfiq al-Bari di Syarah Sahih al-Bukhari yang dikarang dalam 15 jilid. Tapi kitab ini tidak dicetak hingga kini.

- Prof. Dr. Ahmad ‘Umar Hasyim menyusun kitab Faidh al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari. Ia telah diterbitkan hingga kini sebanyak 10 jilid dan masih ada baki 2 jilid lagi.

- Dr. Muhammad Zakiyuddin Abu al-Qasim menyusun kitab Jami al-Bayan fi Syarh Ma Ittafaq ’Alayhi al-Syaykhan, telah dicetak dalam 15 jilid.

- Syeikh ‘Abd Rabbuh Sulaiman menyusun kitab Syarah Jami al-Usul oleh Ibn al-Athir. Kitab ini diberi kata aluan oleh ulama al-Azhar, terutamanya Musnid al-‘Asr Syeikh Ahmad Rafi‘ al-Tahtawi.

- Syeikh Ahmad ‘Abd al-Rahman al-Banna al-Sa‘ati menghasilkan Bulugh al-Amani bi Tartib Musnad Ahmad bin Hanbal al-Syaybani, dan kemudian menyusun syarahnya al-Fath al-Rabbani. [Beliau turut menyusun dan mensyarah hadis-hadis Musnad Abi Dawud al-Tayalisi dan Musnad al-Syafi‘i].

Dan lain-lain. Boleh dikatakan amat sukar untuk menghitung karya-karya dalam bahagian ini secara detail yang dikarang oleh ulama-ulama al-Azhar sebagai bahan pembelajaran dalam pengajian-pengajian mereka. Jumlahnya bolehjadi mencecah ribuan buah karya.

2 – Mengemaskini dan mematangkan ilmu-ilmu istilah hadis.

Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:

- Syeikh Muhammmad ‘Abd al-‘Azim al-Zurqani menyusun kitab Manhaj al-Hadith fi Ulum al-Hadith.

- Syeikh Ahmad ‘Ali Ahmadain menyusun kitab Daw’ al-Qamar ‘ala Nukhbah al-Fikar.

- Syeikh ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Latif menyusun kitab al-Mukhtasar fi ‘Ilm Rijal al-Athar dan al-Mutasar fi ‘Ulum al-Athar.

- Syeikh Mustafa Amin al-Tazi mengarang kitab Maqasid al-Hadith fi al-Qadim wa al-Hadith.

- Syeikh Muhammad Muhammad al-Samahi menyusun kitab Manhaj al-Hadith fi Ulum al-Hadith setebal 4 juzuk. Muridnya, Dr. Nuruddin ‘Itr memuji kitab ini yang mengandungi perbahasan yang halus dan detail. Beliau berasa dukacita kerana kitab ini tidak disebarkan secara lebih meluas. Kitab ini lebih padat berbanding kitab Taujih al-Nazar oleh Syeikh Tahir al-Jaza’iri.

Syeikh ‘Ali Jum‘ah pernah bertanya kepada Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah: Apakah kitab yang perlu dibaca oleh penuntut ilmu hadis? Jawab beliau: Nuzhah al-Nazar, al-Nukat oleh Ibn Hajar, Tadrib al-Rawi, Fath al-Mughith dan Taujih al-Nazar oleh Syeikh Tahir al-Jaza’iri kerana ia mengandungi falsafah seni hadis.

Syeikhul Muhaddithin di zaman ini, Syeikh Dr. Ahmad Ma‘bid ‘Abd al-Karim mempelajari Fath al-Mughith secara lengkap dari Syeikh Muhammad al-Samahi. Menurutnya, Syeikh al-Samahi adakalanya menambah dan mengulas pandangan al-Hafiz al-Sakhawi.

- Syeikh Muhammad Muhammad Abu Syahbah mengarang kitab al-Wasit fi ‘Ulum Mustalah al-Hadith. Kitab ini wajar digandingkan bersama kitab Tadrib al-Rawi dan Fath al-Mughith.

- Syeikh Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar mengarang kitab Bulugh al-Amal min Mustalah al-Hadith wa ‘Ulum al-Rijal. Ia terdiri dari 2 jilid.

Dan banyak lagi. Jika dihitung misalnya sejak dari tahun 30-an hingga kini, nescaya jumlahnya terlalu banyak.

3 – Memberi tumpuan terhadap ilmu manahij al-muhaddithin (metodologi ahli hadis).

Perbincangan tentang manahij al-muhaddithin boleh dikatakan telah pupus sejak beberapa kurun yang lalu. Ia telah dihidupkan semula oleh ulama-ulama al-Azhar. Istilah Manahij al-Muhaddithin menyamai istilah Syurut al-A’immah (syarat-syarat para imam) pada masa dahulu. Antara ulama yang mengarang mengenai Syurut al-A’immah ialah Ibn Mandah, al-Hazimi dan al-Maqdisi. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam tahkiknya ke atas kitab Syurut al-A’immah oleh al-Hazimi dan al-Maqdisi.

Antara ulama yang menghasilkan karya mengenai manahij al-muhaddithin ini ialah:

- Syeikh Muhammad Muhammad Abu Zahw mengarang kitab al-Hadith wa al-Muhaddithun.

- Dr. Ahmad Muharram al-Syeikh Naji menulis kitab berjudul al-Daw’ al-Lami al-Mubin ‘an Manahij al-Muhaddithin setebal 2 jilid. Ia mengenai metodologi ahli hadis sehingga kurun ke-empat hijrah.

Manahij al-muhaddithin merupakan antara subjek penting yang diajarkan di al-Azhar kini dan amat banyak karya yang telah dikarang mengenainya.

4 – Menyusun karya penting tentang ilmu takhrij al-hadith.

Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:

- Syeikh ‘Abd al-Mawjud ‘Abd al-Latif menyusun kitab takhrij al-hadith berjudul Kasyf al-Litham, setebal 2 jilid.

- Dr. ‘Abd al-Muhdi ‘Abd al-Qadir menulis kitab Turuq Takhrij al-Hadith dan mengatakan beliau belum pernah melihat kitab yang seumpamanya disusun sebelum ini. Pada masa itu, beliau tidak melihat kitab al-Hafiz Ahmad al-Ghumari berjudul Husul al-Tafrij bi Usul al-Takhrij, yang telah dikarang terlebih dahulu, namun ia tidak habis ditulis dan kemudian baru diterbitkan dengan seadanya. Maka, boleh dikatakan beliau adalah orang pertama dari kalangan ulama al-Azhar yang menyusunnya secara lengkap.

- Syeikh Ridha Zakariyya mengarang kitab takhrij al-hadith yang sangat dipuji oleh Syeikh Ahmad Ma‘bid ‘Abd al-Karim.

Takhrij al-hadith merupakan antara subjek penting yang diajarkan di al-Azhar kini dan amat banyak karya yang telah dikarang mengenainya.

5 - Mengadakan majlis-majlis besar pembacaan dan penyampaian hadis, serta mengekalkan tradisi sanad dan ijazah.

Majlis-majlis pengajian hadis di al-Azhar pada masa lalu begitu pesat dijalankan. Antara tokoh-tokohnya:

- Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Dijwi mengadakan majlis pembacaan Sahih al-Bukhari yang dihadiri oleh ramai penuntut ilmu, sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abu al-Hasan Zaid al-Faruqi dalam kitab Maqamat Khayr, dalam bahasa Urdu. Bahkan ada yang merekodkan, ia dihadiri oleh sekurang-kurangnya 500 orang sehingga lebih dari 1000 orang pendengar.

- Syeikh Hasunah al-Nawawi, Syeikhul Azhar dan Mufti Mesir dalam masa yang sama, sebagaimana halnya Syeikh Muhammad al-Mahdi al-‘Abbasi. Beliau diperintahkan oleh Sultan ‘Abd al-Hamid al-‘Uthmani untuk meneliti dan menerbitkan kitab Sahih al-Bukhari. Beliau telah melaksanakannya bersama sekumpulan ulama al-Azhar kira-kira seramai 31 orang secara penuh tekun. Kitab ini telah diterbitkan dengan penuh teliti yang dikenali sebagai Cetakan Sultaniyyah, dan dianggap nuskhah Sahih al-Bukhari paling sahih dan muktamad kerana ia berpegang kepada Nuskhah Syarafuddin al-Yunini. Meskipun Syeikh ‘Abd al-Hayy al-Kattani mengatakan Nuskhah Ibn Sa‘adah lebih utama berbanding Nuskhah al-Yunini.

- Syeikhul Islam Salim al-Bisyri telah mengajar kitab hadis selama 30 tahun. Beliau amat memberi tumpuan terhadap Sahih al-Bukhari. Muridnya, Syeikh Muhammad al-Makkawi juga amat mengambil berat dengan Sahih al-Bukhari hinggakan ia mampu memperbetulkan Cetakan Sultaniyyah dalam bentuk jadual yang detail. Jadual ini kemudian diterbitkan oleh Syeikh ‘Ali Jum‘ah sebagai lampiran kitabnya tentang Sahih al-Bukhari.

- Syeikh Ahmad Mahjub al-Rifa‘i al-Fayyumi mempelajari Sahih al-Bukhari dari Syeikh Mustafa al-Muballat yang mempelajarinya dari Syeikh Muhammad ‘Ali al-Syanawani, penyusun al-Durar al-Saniyyah fi Ma Ala min al-Asanid al-Syanawaniyyah. Muridnya, Syeikh Taha bin Yusuf al-Sya‘bini mempelajari Sahih al-Bukhari dari beliau. Syeikh Ahmad Mahjub turut mempelajari Sahih Muslim dari Syeikh Muhammad ‘Ilisy al-Maliki. Kemudian beliau mengajarkannya dan antara muridnya ialah Syeikh Muhammad al-‘Adawi al-Maliki. Beliau juga mengambil berat dengan Sunan al-Tirmizi dan menghabiskan masanya meneliti dan membanding nuskhah-nuskhah al-Tirmizi. Nuskhah Sunan al-Tirmizi miliknya merupakan nuskhah yang amat sahih dan detail, hinggakan Syeikh Ahmad Syakir menjadikannya sebagai sandaran dalam tahkiknya terhadap Sunan al-Tirmizi.

- Syeikh Abu Hurairah Dawud al-Qal‘i mempelajari dan kemudian mengajar kitab Sahih al-Bukhari. Antara muridnya, Syeikh Hasan al-Quwaisni yang turut mengajar kitab Sahih al-Bukhari. Antara murid al-Quwaisni pula ialah Syeikh Mustafa al-‘Arusi yang turut mengadakan majlis pengajian Sahih al-Bukhari dan pembacaan Awa’il Syeikh Abdullah bin Salim al-Basri. Antara murid al-‘Arusi pula ialah Syeikh ‘Abd al-Ghani al-‘Inani. Dikatakan, majlis beliau dihadiri oleh 200 atau lebih ulama al-Azhar.

- Syeikh Ahmad Bikir al-Husaini pula mengadakan pengajian hadis di rumahnya. Ia dihadiri oleh Syeikh Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani dan tokoh-tokoh ulama lain.

Demikian suasana sejak dari zaman Syeikh Murtadha al-Zabidi hingga ke zaman Syeikh Mufti ‘Ali Jum‘ah kini, yang mempelajari Sahih al-Bukhari dari Syeikh ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari selama 20 hari. Selain Sahih al-Bukhari, Syeikh ‘Ali Jum‘ah turut mengajar kitab-kitab hadis besar yang lain. Maka jelas bahawa al-Azhar sentiasa sibuk dengan majlis pengajian hadis dan penyampaian ijazah sanad.

6 – Memberi perhatian terhadap seni hadis serta kerja tashih dan tadhif.

Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:

- Syeikh Murtadha al-Zabidi menghasilkan sebuah kitab yang menakjubkan berjudul Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, di mana beliau mensyarah dan mentakhrij hadis-hadis Ihya’ ‘Ulumiddin, setebal 13 jilid. Beliau banyak menambah ke atas takhrij al-‘Iraqi dan mengkaji hadis-hadis yang dikatakan oleh Imam Tajuddin al-Subki tidak ditemukan sanadnya.

- Syeikh Ahmad Syakir seorang alim al-Azhar yang mahir tentang hadis, ‘ilal al-hadith, al-jarh wa al-ta’dil dan lain-lain yang tiada tolok bandingnya di zamannya.

- Al-Hafiz Syeikh ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari pernah duduk selama 40 tahun di Mesir. Beliau telah menghasilkan kira-kira 300 karya yang kebanyakannya berkaitan dengan seni hadis.

Antara tokoh-tokoh lain dalam bahagian ini ialah Syeikh Ahmad ‘Abd al-Rahman al-Banna, Syeikh Husain ‘Abd al-Majid Hasyim, Syeikh Ahmad Ma‘bid, syeikhul muhaddithin di zaman ini, dan lain-lain.

7 – Menyusun kitab-kitab hadis besar berbentuk al-Jawami’.

Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:

- Syeikh Mansur ‘Ali Nasif, beliau menyusun kitab al-Taj al-Jami’ lil Usul.

- Syeikh Husain ‘Abd al-Majid Hasyim menyusun Ensiklopedia Hadis setebal 14 jilid. Namun, ia tidak diterbitkan hingga kini.

- Syeikh Habibullah al-Syinqiti mengarang kitab Zad al-Muslim. Ramai tokoh-tokoh al-Azhar mempelajari Sahih Muslim dari beliau.

8 - Mengambil berat seni mentahkik kitab dan mengeluarkan manuskrip hadis ke dunia penerbitan.

Antara tokoh-tokoh al-Azhar dalam bidang ini:

- Syeikh ‘Abd al-Wahhab ‘Abd al-Latif, seorang alim yang giat mentahkik kitab-kitab ilmu. Antaranya ialah mentahkik kitab Tadrib al-Rawi yang diterbitkan dengan penuh teliti.

- Syeikh Sayyid Ahmad Saqr pula mentahkik 3 jilid dari kitab Fath al-Bari, Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Bayhaqi, Adab al-Syafi‘i oleh al-Bayhaqi, al-Ilma‘ oleh Qadhi ‘Iyadh dan lain-lain. Beliau memang seorang alim yang pakar tentang seni manuskrip.

[Masih ada banyak lagi nama-nama yang tidak disebutkan oleh Dr. Usamah dalam lapan bahagian ini kerana beliau hanya menyebutkan contoh-contoh sahaja. Ini tidak termasuk nama-nama ulama hadis Mesir yang bukan dari al-Azhar seperti Imam Muhammad Zahid al-Kawthari, Syeikh Muhammad Fu'ad 'Abd al-Baqi, al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh dan lain-lain].

Jelas dari penjelasan dan contoh-contoh ini bahawa al-Azhar adalah institusi hadis terbesar dan tidak pernah mati. Jika mahu disenarai dan direkod seluruhnya, nescaya ia memerlukan jilid kitab yang banyak. Maka dakwaan bahawa pengajian hadis sudah terhenti di al-Azhar, atau tiada suasana hadis di al-Azhar adalah satu kenyataan yang tidak benar samasekali. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara institusi ini dari sebarang keburukan dan kemudaratan. Amin.

* Lihat rakaman asal.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.