Saya diam sejenak berfikir. Mungkin dia hanya menyampaikan maksud hadis yang difahaminya sahaja, bukan teks asal sebenar bagi hadis tersebut. Maka saya jawab, nanti saya akan memeriksanya.
Barangkali khatib tersebut ingin berhujah untuk melarang orang dari berdemonstrasi. Isu yang hangat ketika ini. Demonstrasi harus atau haram? Ramai dari kalangan mereka yang Saudi Oriented mengatakan bidaah dan haram. Manakala selain mereka, kebanyakannya mengatakan harus dengan syarat-syaratnya.
Mungkin hadis yang dimaksudkan ialah hadis riwayat Abu Zar RA berikut;
إِنَّهُ كَائِنٌ بَعْدِي سُلْطَانٌ فَلَا تُذِلُّوهُ، فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُذِلَّهُ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ، وَلَيْسَ بِمَقْبُولٍ مِنْهُ تَوْبَةٌ حَتَّى يَسُدَّ ثُلْمَتَهُ الَّتِي ثَلَمَ، وَلَيْسَ بِفَاعِلٍ، ثُمَّ يَعُودُ فَيَكُونُ فِيمَنْ يُعِزُّهُ
Terjemahan: “Sesungguhnya akan muncul selepasku sultan, maka janganlah kamu sekelian menghinakannya. Barangsiapa yang hendak menghinakannya, sesungguhnya ia telah menanggalkan batasan dan hukum Islam dari lehernya. Dan taubat tidak diterima darinya sehingga ia dapat menutup lubang yang ia bocorkan, sedangkan ia tidak dapat melakukannya, kemudian ia kembali, lalu menjadi antara kalangan orang yang memuliakannya”.
Sambungan riwayat hadis tersebut adalah seperti berikut;
أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ لَا [نغلب] يَغْلِبُونَا عَلَى ثَلَاثٍ أَنْ نَأْمُرَ بِالْمَعْرُوفِ وَنَنْهَى عَنْ الْمُنْكَرِ وَنُعَلِّمَ النَّاسَ السُّنَنَ
Kata Abu Zar RA: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar tidak terhalang/mereka menghalang dari tiga perkara, iaitu agar kami menyuruh dengan kebaikan, mencegah dari kemungkaran dan mengajar manusia sunah-sunah”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya (21498/20487), kata al-Haythami: Terdapat padanya perawi yang tidak disebutkan namanya dan baki para perawinya thiqah. Kata Syeikh Syu’aib al-Arna’ut: Isnadnya daif kerana kesamaran perawi dari Abu Zar RA. Juga diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (7374).
Barangkali perawi tersebut ialah Nadhir (نضير) atau Nusair (نصير) mawla Khalid bin Yazid atau mawla Mu’awiyah yang meriwayatkan hadis yang hampir sama makna dari Abu Zar RA yang berbunyi demikian:
"إنه سيكون بعدي سلطان فأعزوه، فإنه من أراد ذله ثغر ثغرة في الإسلام وليست له توبة إلا أن يسدها وليس بساد لها إلى يوم القيامة" .
Terjemahan: “Sesungguhnya akan muncul selepasku sultan, maka muliakanlah ia. Maka sesungguhnya barangsiapa yang hendak menghinakannya, ia telah membocorkan satu lubang dalam Islam. Dan tiada baginya taubat melainkan ia dapat menutupnya semula, sedangkan ia tidak dapat menutupkannya sehingga ke hari kiamat”.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Tarikhnya, al-Ruyani (seperti dalam Kanz al-‘Ummal), Ibn Abi ’Asim dalam al-Sunnah (1019) dan Tarikh Dimasyq (7893) dalam biografi Nadhir atau Nusair mawla Khalid bin Yazid atau mawla Mu’awiyah [lihat juga biografinya dalam Tahzib al-Kamal (6415) & Tahzib al-Tahzib (792)]. Ibn Hibban merekodkannya dalam kitab al-Thiqat (5820). Menurut al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal (9056): Tidak dikenali.. disebut oleh Ibn Hibban dalam Thiqatnya. Ibn Hajar mengulas kata-kata al-Zahabi dalam Lisan al-Mizan (5027): Saya katakan, beliau dithiqahkan oleh Ibn Hibban.
Antara metod Ibn Hibban dalam kitab Thiqatnya ialah merekodkan para perawi yang tidak ada sebarang jarh atau ta’dil padanya. Perawi sedemikian sebenarnya belum dapat dianggap sebagai thiqah di sisi tokoh-tokoh pengkritik hadis lain. Maka kedua-dua riwayat hadis di atas adalah bersanad daif, tidak dapat digunakan dalam penghujahan.
Makna Hadis Jika Sahih
Jika sah hadis ini, maka ia ditujukan kepada demonstrasi rusuhan atau revolusi pemberontakan, bukan demonstrasi aman. Demikian juga maksud hadis-hadis yang seumpamanya yang akan disebutkan sebahagiannya di bawah nanti.
Makna hadis juga perlu merujuk kepada baki riwayat Abu Zar RA berkaitan sikap terhadap pemerintah iaitu katanya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar tidak terhalang/mereka menghalang dari tiga perkara, iaitu agar kami menyuruh dengan kebaikan, mencegah dari kemungkaran dan mengajar manusia sunah-sunah”. Justeru ia dapat sesuai dengan hadis-hadis amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar serta jihad menegur pemimpin.
Sebenarnya dalam hadis ini tiada sebarang larangan demonstrasi dalam ertikata tunjuk perasaan secara aman dan sebagai salah satu cara untuk menyuarakan pendapat. Demonstrasi dalam menuntut kebenaran secara aman tiada kaitan dengan tujuan untuk menghina pemerintah. Apatah lagi sistem demokrasi pilihanraya memang mendorong kewujudan kumpulan-kumpulan kepartian yang berbeza fahaman politik dan dibenarkan bebas untuk menyuarakan pandangan masing-masing. Saya percaya demonstrasi sebenarnya bukan pilihan pertama oleh pihak berkaitan, ia adalah pilihan terakhir sekiranya dirasakan menemui jalan buntu bagi menyatakan pendapat dan memberi kesedaran positif kepada masyarakat.
Ada yang menghukum demonstrasi adalah haram secara pukul rata kerana bidaah, meniru orang kafir, menentang pemerintah, dan sebagainya. Pandangan ini agak terburu-buru. Seolah-olah ada nas dan dalil yang jelas melarang demonstrasi ini.
Perlu dibezakan antara demonstrasi aman dengan demonstrasi rusuhan serta pemberontakan. Demonstrasi aman tidak dianggap sebagai keluar memberontak terhadap pemimpin yang ditegah dalam banyak hadis-hadis Nabi SAW. Antaranya:
عَنْ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ، فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً. [رواه البخاري (6531) ومسلم (3438)]
Terjemahan: Dari Ibn ‘Abbas RA dari Nabi SAW sabdanya: “Barangsiapa yang melihat dari pemimpinnya sesuatu yang ia benci, maka hendaklah ia bersabar ke atasnya. Maka sesungguhnya barangsiapa yang menjauhi jama’ah (jemaah umat Islam) sejengkal, lalu ia mati melainkan ia mati dalam keadaan jahiliah”.
Hadis-hadis yang melarang keluar daripada mentaati pemimpin dan mengasingkan diri dari jemaah umat Islam serta ingin memecah belahkan perpaduan mereka adalah lebih sesuai ditujukan kepada demonstrasi rusuhan dan revolusi pemberontakan. Memang kebanyakan hadis dan nas hanya menyuruh bersabar, nasihat dengan baik dan memohon perlindungan kepada Allah jika berasa tidak senang terhadap pemimpin. Dan tidak jelas dalam memberi galakan supaya menganjurkan demonstrasi.
Namun, suruhan bersabar bukan bermakna duduk diam dan tidak melaksanakan amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar serta jihad menegur pemimpin. Ini merupakan persepsi yang salah kerana tidak melihat sesuatu masalah dari segenap aspeknya. Demonstrasi aman adalah salah satu dari medium dari berbagai medium yang boleh digunakan bagi menegur pemerintah dan meluahkan pendapat. Dan ia bukannya selalu menjadi pilihan utama. Selagimana ia tidak menyalahi syarak, kenapa perlu dihukum haram?
Demonstrasi aman adalah sebahagian dari proses amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar serta jihad menegur pemerintah. Sabda Rasulullah SAW: “Jihad yang paling afdhal adalah menyuarakan perkataan yang haq di hadapan pemerintah yang penganiaya”. (HR Ibnu Majah, Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi, al-Nasa’i dan al-Baihaqi).
Dalam hadis lain, sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya, dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman". (HR Muslim).
Galakan amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar dalam hadis-hadis ini adalah umum, sama ada ianya dilakukan secara berseorangan ataupun berkumpulan, kumpulan yang kecil atau kumpulan yang besar.
Syarat Demonstrasi Aman
Jika persiapan demonstrasi itu mengandungi perkara-perkara yang ditegah syarak seperti untuk menuntut perkara haram atau menegakkan kebatilan, bercampuran lelaki perempuan berpegang tangan, mencaci laknat, menyediakan alat letupan, membawa senjata dan alat tajam, menggalakkan vandalisme, kerosakan dan seumpamanya, maka demonstrasi seperti ini tentunya dilarang oleh syarak. Jika tidak ada perkara-perkara yang ditegah, maka tidak ada sebab untuk mengharamkan demonstrasi aman. Maka asal hukumya adalah harus.
Ini berbeza dengan demonstrasi rusuhan yang tujuannya untuk memberontak, mengangkat senjata serta menggugat dan menjatuhkan pemerintah yang memang dilarang oleh syarak.
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: سَتَكُونُ أُمَرَاءُ فَتَعْرِفُونَ وَتُنْكِرُونَ فَمَنْ عَرَفَ [وفي لفظ: كره] بَرِئَ وَمَنْ أَنْكَرَ سَلِمَ وَلَكِنْ مَنْ رَضِيَ وَتَابَعَ. قَالُوا: أَفَلَا نُقَاتِلُهُمْ؟ قَالَ: لَا، مَا صَلَّوْا. [أخرجه مسلم (3/1480 ، رقم 1854، 3445) ، وأبو داود (4/242 ، رقم 4760)]
Terjemahan: Dari Ummu Salamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan muncul pemimpin-pemimpin yang kamu ketahui (kerana berbuat baik) dan kamu ingkari (kerana berbuat mungkar). Maka barangsiapa yang tahu (kemungkaran itu/benci) ia bebas, dan barangsiapa yang ingkar ia selamat. Akan tetapi barangsiapa yang redha dan mengikut (ia akan binasa). Mereka bertanya: Tidakkah boleh kita memerangi mereka? Jawab baginda: Tidak, selamamana mereka bersolat”.
Perhatikan ayat: “...barangsiapa yang ingkar ia selamat”, yakni termasuk melaksanakan amr bil-ma’ruf dan nahy ’anil- munkar. Justeru, demonstrasi dalam menuntut dan menegakkan kebenaran secara aman tiada kaitan dengan tujuan untuk menghina pemerintah. Bahkan pemerintah yang baik sewajarnya menerima teguran.
Lihatlah ucapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA ketika beliau memegang jawatan khalifah, katanya: “Bantulah aku sekiranya aku berada di jalan yang benar dan betulkanlah aku jika aku menyimpang.... Taatilah aku selama mana aku mentaati Allah dan Rasul-Nya. Apabila aku mengingkari Allah dan Rasul-Nya, maka ingkari dan nasihatilah aku”.
Saidina Umar Al-Khattab juga ketika menjawat jawatan khalifah, beliau berpidato, “Sesiapa di antara kalian yang melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka hendaklah kalian meluruskannya”. Mendengar hal ini, seorang Arab badwi dengan lantang menjerit: “Demi Allah wahai Umar! Jika kami dapati kamu melakukan penyelewengan, maka kami akan meluruskan kamu dengan pedang kami yang tajam!” Beliau menjawab dengan pujian dan penuh rasa gembira: “Alhamdulillah, pujian bagi Allah yang menjadikan dari kalangan umat Muhammad mereka yang sanggup meluruskan Umar dengan pedangnya”.
Kedua-dua khalifah ini secara zahir tidak mensyaratkan teguran atau nasihat itu mestilah dibuat secara senyap-senyap atau sembunyi-sembunyi. Justeru, bukankah kedua-dua khalifah agung ini menggalakkan orang ber‘demonstrasi’ demi kebenaran?!
Bahkan kaum muslimin di masa Nabi SAW pernah berkumpul dalam jumlah yang sangat besar dan membai’ah Nabi Muhammad SAW di bawah sebuah pohon sehingga menggerunkan kaum musyrikin. Justeru, fenomena demonstrasi, unjuk rasa atau seumpamanya bukanlah sesuatu hal yang baru dalam Islam.
Oleh kerana sistem demokrasi pilihanraya ini mewujudkan kumpulan-kumpulan kepartian yang berbeza fahaman politik. Maka sewajarnya konsep nasihat menasihati dan tegur menegur antara parti diterima secara terbuka demi kebaikan negara, walaupun melalui demonstrasi aman yang biasanya merupakan pilihan akhir. Demonstrasi adalah termasuk antara ‘pakej’ demokrasi. Selebihnya, biarlah rakyat yang menentukan di dalam proses pilihanraya secara telus dan jujur.
Wallahu a’lam.
Rujukan Tambahan:
3. Fatwa Dr. Yusuf al-Qaradawi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.