Pages

Sunday, August 28, 2011

Mengenang Sasterawan Tukya... رحمة الله عليه


Rupa-rupanya sudah seminggu Sasterawan Tukya @ Azizi Hj. Abdullah meninggalkan kita. Mudah-mudahan sempena bulan pintu-pintu syurga dibuka, beliau memperolehi kerahmatan Allah SWT yang luas itu.

Sasterawan Tukya bukan saja novelis, beliau juga seorang blogger yang aktif sejak April 2006 hinggalah entri-entri terakhir pada April 2011 yang lalu. Pautan blognya ialah: http://aziziabdullah.blogspot.com/.

Blog ini mencatatkan pelbagai genta rasa, buah fikiran, hala tuju, minda dan pengalaman Sasterawan Tukya di tahun-tahun akhir hayatnya. Pengaruh perjuangan Islam nampak begitu meresap kuat dalam tulisan-tulisan beliau. Tintanya adakala santai dan datar, dan adakala tajam dan kritis.

Bersempena 'Idul Fitri yang bakal menjelang saya titipkan kad raya istimewa Tukya (bawah) pada 'Idul Fitri yang lalu, kerana ada pesanan yang tersurat dan tersirat di dalamnya.

Di bawah pula, saya sajikan sedikit perkongsian daripada blognya untuk dimanfaatkan. Iaitu antara luahan beliau ketika terlantar di katil hospital:

"...Saya menghabiskan bacaan buku ‘Ketika Alam Bertasbih’ tulisan Dr. Musa Al Khathib yang saya beli di Jakarta tempuh hari sangat memberi kesan. Saya terkedu, terencat rasa, sebak dan merasa diri sangat jauh takbur terhadap Tuhan apabila selama ini terabai dan lagho dengan Tasbih.

Sungguh amat hebat makhluk yang dijadikan Allah ini bertasbih sedangkan saya tidak menyedari sekian lama. Hebatnya dan dahsyatnya apabila alam bertasbih. Ia bukan saja bunyi guntur, kilau kilat petir, debur ombak dan gegar runtuh gunung, tetapi juga suara katak dan kicau burung dengan bahasanya adalah tasbih yang membesarkan Allah.

Ya Allah, saya sangat jauh dengan kesedaran ini. Hud-hud dengan Nabi Sulaiman, Semut yang khusus disebut dalam surah Al Naml sehingga kepada hymenoptera, vespiodea, formicidae, lalu bondongan burung-burung mampu meneduhkan Sulaiman dengan kepak mereka.

Bukankah hebat kebesaran Allah? Bunyi kepak itu pun adalah Tasbih. Ya Allah, demikian aku tersentak betapa hebat dan besarnya Tasbih; Subhanallah...

Tuhanku...sesungguhlah aku terlalu jauh lupa mentasbih kebesaranmu!

Bagi saya, catatan beliau ini adalah untuk orang yang masih hidup. Semoga aman bahagia bertemu dengan Pencipta-mu, Sasterawan Tukya.

Nostalgia 'Seorang Tua Di Kaki Gunung' masih kuat dalam ingatan saya. Masakan tidak, novel itu perlu dikhatam dengan hadam bagi pelajar-pelajar aliran sastera tingkatan 4 & 5 pada akhir 1980-an dan awal 1990-an. Memang begitu istimewa pena seorang sasterawan. Kehebatan kesan yang diberikannya melekat kekal dalam memori ingatan.

Mungkin agak ketinggalan saya memberikan 'tribute' ini. Namun barangkali masih belum terlalu lewat.

Saya nukilkan dari Kedah La Nie entri berikut...
____________________

SUNDAY, AUGUST 21, 2011

Al-Fatihah : Azizi Hj. Abdullah kembali ke rahmatullah

ALOR SETAR, 21 Ogos – Azizi Hj. Abdullah, sasterawan yang telah memenangi banyak anugerah sastera telah kembali ke rahmatullah pagi ini.

Allahyarham telah dirawat di Hospital Besar Pulau Pinang sejak enam bulan lalu akibat tekanan darah tinggi dan komplikasi buah pinggang. Kediaman Allahyarham di Taman Bersatu, Kulim, Kedah.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah pada 4 April 1942 dan mula mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan Sekolah Melayu Kota Kuala Muda, Kedah sehingga darjah enam.

Kemudian belajar di Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas Seberang Perai (Sekolah yang diasaskan oleh Tuan Guru Hj. Ahmad Badawi, ayahanda kepada Dato’ Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia) hingga tahun 1965.

Allahyarham mula menulis ketika di sekolah agama, kira-kira dalam tahun 60-an. Arwah mula bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah dalam tahun 1965 dan bermulalah kesuburan bakat Allahyarham melalui penulisan cerpen di akhbar-akhbar terutama akhbar terbitan Utusan Melayu.

Allahyarham telah bersara daripada guru agama pada tahun 1997 dan kini menjadi Ketua Editor akhbar Utusan Pengguna (CAP) Pulau Pinang dan penulis kolum majalah. Allahyarham juga adalah bekas kolumnis Warta Darul Aman, akhbar rasmi kerajaan Negeri Kedah.

Dengan terhasilnya novel KAWIN-KAWIN, bererti sudah 25 novel yang ditulis oleh Allahyarham sejak tahun 60-an lagi di samping hampir 200 cerpen.

_________________

رحمه الله تعالى رحمة واسعة

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.