Pages

Friday, September 30, 2011

Selawat Imam al-Syazili رضي الله عنه

Ini salah satu selawat Imam Abu al-Hasan al-Syazili رحمه الله yang disebut dalam Hizb al-Lutf sebagaimana yang dimuatkan dalam Sa'adah al-Darayn oleh Syeikh al-Nabhani رحمه الله:



Terjemahan:

"Ya Allah, jadikanlah seafdal-afdal selawat dan setinggi-tinggi barakah serta sebaik-baik tahiyat dalam semua waktu ke atas semulia-mulia makhluk Sayyidina wa Mawlana Muhammad sesempurna-sempurna ahli bumi dan langit. Juga salam ke atasnya wahai Tuhan kami, sebaik-baik tahiyat dalam semua detik dan ketika".

Sunday, September 25, 2011

Muktamar Tasawuf Antarabangsa Kaherah

Alhamdulillah, banyak pertemuan-pertemuan yang ‘barakah’ pada hari Sabtu lepas. Yang terbesar ialah Muktamar Tasawuf Antarabangsa di al-Azhar, Mesir. Ia berlangsung selama tiga hari, semalam, hari ini, dan esok. Walaupun tak dapat hadir, sekurang-kurangnya dapat mengikuti berita pun dah rasa cukup gembira. Tema muktamar, "Tasawuf: Manhaj Tulen Kepada Islah". Muktamar ini dianggap pertama kali dalam sejarahnya diadakan oleh al-Azhar secara internasional.

Antara para pembicara muktamar ialah Prof. Dr. Hasan al-Syafi’i, Prof. Dr. Muhammad al-Qawsi, Mufti Mesir Prof. Dr. ‘Ali Jum’ah, Syeikhul Azhar Ahmad al-Tayyib, Prof. Dr. Nasr Farid Wasil, al-Muhaddith Syeikh Muhammad ‘Abd al-Ba’ith al-Kattani, al-Habib ‘Ali Jufri (Yaman), Prof. Dr. ‘Abd al-Nasir Jabri (Lubnan), dan Syeikh ‘Abd al-Razzaq Qasum (presiden Persatuan Ulama Algeria). Turut berbicara ialah Syeikh Muhammad Hassan (beraliran salafi) dan Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Mahdi (presiden al-Jam’iyyah al-Syar’iyyah juga beraliran salafi). Ini satu petanda baik. Ucapan al-Habib ‘Ali Jufri menerima banyak sanjungan dan pujian kerana memberi kesan yang mendalam kepada para hadirin.

Muktamar ini dihadiri oleh para pembentang dari pelbagai negara termasuk Malaysia. Antara tajuk-tajuk kertas kerja yang dibentang pada hari pertama: (تأثير التصوف في المجتمعات الأوروبية) oleh Prof. Dr. Fawziyyah al-’Asymawi (Mesir), (ضرورة التصوف في أصلاح الفرد والمجتمع) oleh Prof Dr. Deen Muhammad Meera (Srilanka), (الحاجه الى الاصلاح ودواعى الاصلاح فى المجتمعات العربيه) oleh Dr. Hamzah Zib (Jordan), (بناء الإنسان المتصوف و أثره في بناء الحضارات) oleh Dr. Muhammad bin Buraykah (Algeria), (ماهية المنهج الصوفي في الإصلاح) oleh Prof. Dr. al-Sayyid ‘Ali al-Hasyimi (Emiret), (الشروط الشعيبية لإصلاح الراعي والرعية) oleh Dr. Denis Gril (Perancis), (الحاجة إلي الإصلاح) oleh Prof. Dr. Ahmad Mahmud Karimah (Mesir) dan (نظرية التصوف والإصلاح) oleh Prof. Dr. Ridwan Sa’id al-Kurdi (Jordan).

Antara tajuk-tajuk kertas kerja yang dibentang pada hari kedua: (التأصيل الشرعي للتصوف) oleh Syeikh ’Abdullah bin Bayyah (Mauritania), (تجديد التصوف) oleh Prof. Dr. ‘Isam al-Basyir (Sudan), (تقريب الخطاب الصوفي ونشر ثقافته الأخلاقية والمعرفية) oleh Prof. Dr. Amin Yusuf ‘Awdah (Jordan), (العلاقة بين التوحيد والحرية في فكر التصوف الإسلامي) oleh Prof. Dr. Ramadan Tinatasy (Turki), (La reconnaissance de l’autorité spirituelle comme remède au chaos social - Chez René Guénon @ Cheikh Abd el-Wahid Yahyâ) oleh Dr. Eric Le Doze (Perancis), (دور الأدب الصوفي في إصلاح المجتمع في شبه القارة الهندية الباكستانية) oleh Prof. Dr. Thana’ullah al-Azhari (Pakistan), (التصوف والإصلاح السياسي- فلسطين نموذجا) oleh Prof. Dr. ‘Abd al-Rahman Ahmad ‘Ata (Palestin), (الطريق إلي بناء الفرد الصوفي من خلال فكر الإمام الشعراني) oleh Prof. Dr. Huzaifah al-Masir (Mesir), (Integrated Islam and Juridical Sufism: Zarruq’s Application of the Legal and Theological Qawaid genre on Sufism) oleh Dr. Shamsur Rahman (Pakistan), (التصوف والاصلاح الاجتماعى حجة الاسلام الامام الغزالى والامام الرائد محمد زكى ابراهيم نموذجا) oleh Prof. Dr. ‘Amir al-Najjar (Mesir), (L'ijthad sprituelle) oleh Dr. Eric Geoffroy (Perancis), (التصوف والإصلاح السياسي على يد الشيخ احمد بن عبد الأحد السرهاندي الشهير بالمجدد للالف الثاني) oleh Syeikh Ikram al-Haq al-Azhari (Paksitan), (المعتزلة الزهاد الأوائل ودورهم في إصلاح المجتمع) oleh Prof. Dr. Sayyid Baghajwan (Turki) dan (دراسة لمنهج الصوفية في الدعوة إلى الله في عالم المالايو) oleh Dr. Sulayman Ibrahim al-Baruhi (Malaysia).

Antara tajuk-tajuk kertas kerja bagi hari ketiga: ( الإمام محمد زكي إبراهيم: جهوده ومنهجه في الإصلاح) oleh Syeikh Muhyiddin al-Isnawi (Mesir), (الإمام الرفاعي والإصلاح) oleh Prof. Dr. ‘Abd al-Hakim Anis (Syria), (دور علماء الطريقة التيجانية في الإصلاح الإجتماعي والسياسي) oleh Prof. Dr. Hasabullah Mahdi (Chad), (منهج الأصلاح الصوفي عند الإمام الرائد الشيخ محمد زكي الدين إبراهيم) oleh Prof. Dr. Muhammad Salim (mesir), (ملامح الإصلاح الصوفي عند المشارقة و المغاربة الطريقة الكتانية و العشيرة المحمدية - بحث مقارن) oleh Prof. Dr. Muhammad Yahya al-Kattani (Mesir), (الشيخ احمد بن إدريس : لمحة عن حياتة وآثاره في العالم الإسلامي) oleh Prof. Dr. ‘Abd al-Baqi Miftah (Algeria), (مفهوم التصوف ونماذج من أعلام الصوفية في إصلاح الناس) oleh Prof. Dr. ‘Abd al-Hadi al-Kurdi (Iraq), (المشروع الإصلاحي الديني للشيخ أحمد زروق) oleh Prof. Dr. ‘Aziz al-Kubaiti (Morocco) dan (How Tasawwuf can help Islamic and Arabic societies as well Western societies) oleh Dr. Gualini Silvio (Itali).

Muktamar ini adalah hasil dari kegigihan dan kesatuan fikiran sarjana-sarjana, alim ulama dan ahli-ahli tasawuf pasca-Mubarak di al-Azhar. Ia merupakan satu perkembangan yang baik dan menginspirasi. Semoga kesatuan fikiran yang terorganisasi sedemikian turut wujud antara sarjana-sarjana dan ahli-ahli tasawuf di Malaysia ini, secara khususnya berkaitan perlaksanaan Enakmen Tarekat Tasawuf. Matlamatnya demi mengembalikan semula fungsi tarekat-tarekat tasawuf yang sebenar dalam penyebaran dakwah dan islah yang selama ini telah sering dipandang serong oleh banyak pihak. Pemilihan tema muktamar di atas adalah satu pemilihan yang tepat.


Rujukan:

- Sufiacademy.net

- al-Syarq al-Awsat

- al-Youm al-Sabi’


Gambar-gambar sekitar muktamar:





Wednesday, September 21, 2011

Syeikh Burhanuddin Rabbani رحمه الله تعالى


Syeikh Burhanuddin Rabbani akhirnya terbunuh dalam usaha membangunkan negaranya yang terus bergolak tanpa sebarang tanda kesudahan. Beliau dapat dianggap sebagai seorang alim yang berjiwa pemimpin. Namun, sikap diplomasinya tidak disenangi oleh banyak pihak dari kalangan pemimpin-pemimpin radikal yang berpengaruh.

Beliau dilahirkan tahun 1940 di bandar Faydabad, wilayah Badakhsyan dari kalangan keluarga sunni Tajiki. Beliau telah bersekolah di Madrasah Abi Hanifah, Kabul. Setelah selesai beliau melanjutkan pelajaran pula ke Jami’ah Kabul dalam Fakulti Syariah pada tahun 1960, dan tamat daripadanya pada tahun 1963. Beliau kemudian dilantik sebagai tenaga pengajar di situ. Pada tahun 1966, beliau pergi ke Universiti al-Azhar, Mesir dan berhasil memperolehi ijazah master dalam bidang falsafah Islam. Kemudian beliau kembali ke Jami’ah Kabul mengajar ilmu syariat Islam. Beliau telah dipilih menjadi presiden Jamiat Islami pada tahun 1972. Jihadnya menentang penjajahan Soviet Union di Afghanistan akan terus segar dalam lipatan sejarah.

Pada Oktober tahun 2010 lalu, beliau telah dilantik oleh Karzai sebagai pengerusi Majlis Keamanan Afghanistan bagi menjalankan sesi perundingan bersama Taliban. Jawatan inilah yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya kerana penolakan Taliban terhadap sebarang sesi perundingan selagi tuntutan pengunduran tentera asing tidak ditunaikan. Beliau dikecam oleh Taliban sebagai 'tali barut' Karzai dan Amerika. Hanya Allah Taala saja yang maha mengetahui kedudukan sebenarnya.


Laporan Harakahdaily:


Takziah atas pemergian Burhanuddin Rabbani

KUALA LUMPUR, 21 Sept: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah di atas pemergian ke rahmatullah bekas Presiden Afghanistan, Burhanuddin Rabbani semalam.

Allahyarham Burhanuddin terbunuh dalam serangan di rumahnya di Kabul semalam.

"Mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya mengucapkan takziah.

"Secara kebetulan, saya baru sahaja bertemu dengan beliau di Tehran dua hari lalu dalam Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Islam yang berjalan selama dua hari di sana. Kami sempat bertanya khabar kesihatan masing masing, bertukar pandangan isu semasa mengenai kebangkitan Islam, di mana almarhum dan saya bersama-sama dengan pimpinan gerakan Islam yang lain telah menyampaikan ucap utama dalam persidangan itu," katanya.

Menurutnya, jasa Burhanuddin memimpin salah sebuah kumpulan mujahidin Afghanistan, Jamiat Islami menentang penjajahan Soviet Union di Afghanistan sekitar tahun 80-an dan 90-an tidak dapat dilupakan.

Malah Allahyarham juga pernah mengetuai kerajaan sementara mujahidin di hujung tahun 80-an dan menjadi Presiden Afghanistan pada tahun 1992 setelah berjaya menghalau Soviet Union sepenuhnya dari bumi Afghanistan.

"Kita mendoakan semoga Allah mengampunkan almarhum dan menempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh," ujarnya.

-----------------------------

* Sila rujuk juga tulisan menarik Ustaz Abdul Halim Abdullah.

Penerimaan Nabi s.a.w. Terhadap Ilham Rabbani


Matan hadis:

قال الإمام الطبراني: حدثنا يعقوب بن إسحاق بن الزبير ثنا عبد الله بن محمد أبو عبد الرحمن الأذرمي نا هشيم عن حميد عن أنس رضي الله عنه: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم مرّ بأعرابي، وهو يدعو في صلاته، وهو يقول: (( يا مَن لا تراه العيون، ولا تخالطه الظنون، ولا يصِفه الواصفون، ولا تغيره الحوادث، ولا يخشى الدوائر، يعلم مثاقيل الجبال، ومكاييل البحار، وعدد قطر الأمطار، وعدد ورق الأشجار، وعدد ما أظلم عليه الليل، وأشرق عليه النهار، لا تواري منه سماء سماء، ولا أرض أرضاً، ولا بحر ما في قعره، ولا جبل ما في وعره، اجعل خير عمري آخره، وخير عملي خواتمه، وخير أيامي يوم ألقاك فيه )).

فوكل رسول الله صلى الله عليه وسلم بالأعرابي رجلا، فقال : إذا صلى فأتني به ، فلما صلى أتاه. وقد أهدي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم أسماء ذهب من بعض المعادن. فلما أتاه الأعرابي وهب له الذهب، وقال : ممن أنت يا أعرابي؟ قال: من بني عامر بن صعصعة يا رسول الله. قال: هل تدري لِمَ وهبت لك الذهب؟ قال: للرحم بيننا وبينك يا رسول الله، فقال: إن للرحم حقا ، ولكن وهبت لك الذهب لحسن ثنائك على الله عزّ وجل. اهـ

[رواه الطبراني في معجمه الأوسط رقم 9448، وقال: لم يرو هذا الحديث عن حميد إلا هشيم تفرد به الأذرمي، وقال الهيثمي: ورجاله رجال الصحيح غير عبدالله بن محمد أبو عبدالرحمن الأذرمي وهو ثقة. وثقه النسائي وأبو حاتم وهو شيخهما، وقد روى عنه أيضا ثلة من كبار العلماء منهم أبو داود و أبو يعلى الموصلي وموسى بن هارون وابن المنادى وحرب الكرماني وعبد الله بن أحمد وآخرون. وهشيم بن بشير ثقة ثبت كثير الإرسال والتدليس الخفي. وحميد الطويل ثقة مدلس، يدلس عن أنس. وروى أبو الشيخ في العظمة 109، عن سعيد الأزرق قال: دخلت مكة ليلا، فبدأت بالمسجد، ودخلت الطواف، فبينا أنا أطوف إذ أنا بامرأة في الحجر رافعة يديها ملتزمة البيت، قد علا تسبيحها، فدنوت منها، وهي تقول: يا من لا تراه العيون ... بنحو دعاء الأعرابي. قال الفقير: والذي ضعف الحديث يعتمد على احتمالات ولا حجة فيها إلا بالدليل الصريح. فإسناد الحديث حسن إن شاء الله]

Terjemahan:

Dari Anas RA katanya: Pernah Rasulullah s.a.w. melalui seorang Arab badwi yang sedang berdoa dalam solatnya, ia berkata: “Wahai Yang tidak dapat dilihat dek mata, Yang tidak dicampuri dek prasangka, Yang tidak dapat dibayang dek ahli gambar, Yang tidak dirubah dek peristiwa, dan Yang tidak khuatir putaran masa, Yang mengetahui timbangan berat gunung-ganang, sukatan padu lautan, bilangan titik-titik hujan, bilangan daun-daun pepohonan, juga jumlah apa yang diselubungi gelap pada waktu malam dan yang diliputi sinar pada siang hari, Yang tidak tersembunyi dari-Nya sebarang langit mahupun sebarang bumi, serta apa yang ada di dasar lautan, mahupun apa yang ada di lurah gunung, jadikanlah sebaik-baik umurku di akhirnya, dan sebaik-baik amalku di penutupnya, dan sebaik-baik hariku hari aku bertemu dengan-Mu”.

Lalu Rasulullah s.a.w. pun mewakilkan seorang lelaki menemui Arab badwi tersebut seraya berpesan: “Jika dia telah selesai bersolat, bawalah dia kepadaku”. Apabila ia selesai bersolat, beliau pun datang kepadanya. Pada masa itu, telah dihadiahkan kepada Rasulullah s.a.w. beberapa emas daripada sebahagian bahan galian. Apabila Arab badwi itu datang kepadanya, baginda pun memberikan kepadanya emas tersebut, sambil bertanya: “Kamu daripada kabilah mana, wahai si-Arab badwi? Jawabnya: “Daripada Bani ‘Amir bin Sa’sa’ah, wahai Rasulullah”. Tanya baginda lagi: “Adakah kamu tahu kenapa aku memberimu emas itu?” Jawabnya: “Kerana silaturrahim antara kami dan antaramu, wahai Rasulullah”. Lalu balas baginda: “Sesungguhnya silaturahim itu mempunyai hak, tetapi aku memberimu emas itu kerana sanjunganmu yang baik kepada Allah ‘azza wajalla”.

(HR Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat. Kata al-Haythami: Para perawinya adalah para perawi al-Sahih, kecuali ‘Abdullah bin Muhammad Abu ‘Abd al-Rahman al-Azrami, dan beliau adalah thiqah)

Huraian:

- Harus mendengar doa orang lain tanpa pengetahuannya jika ia mengangkatkan suaranya dan tidak menyembunyikannya. Doa Arab badwi yang panjang itu menunjukkan Rasulullah s.a.w. tidak semata-mata berjalan pantas melalui Arab badwi berkenaan, tetapi baginda berhenti sejenak untuk mendengarnya, atau berjalan dengan begitu perlahan semasa melaluinya.

- Apa yang diucapkan oleh Arab badwi berkenaan adalah ilham yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya. Ilham ucapan doa Arab badwi tersebut telah diiyakan oleh Rasulullah s.a.w. dan baginda merasa takjub dengannya, malah baginda mengganjarinya dengan ganjaran yang lumayan kerana kandungan maknanya yang bagus dan susunan ayatnya yang baik. Peristiwa ini turut menunjukkan bahawa sebahagian sahabat Nabi s.a.w. berpendapat bahawa doa itu tidak semestinya dengan apa yang diajar atau disampaikan oleh baginda s.a.w. semata-mata, malah harus juga berdoa atau bermunajat dengan apa yang dilhamkan oleh Allah SWT. Bahkan tidak ada dalil bahawa Nabi s.a.w. menyuruh supaya berdoa dengan apa yang warid sahaja, atau Nabi s.a.w. melarang dari berdoa dengan doa yang tidak warid daripadanya. Berdoa dengan doa-doa yang warid itu hanya dikira sebagai afdal berbanding dengan doa-doa yang tidak warid.

- Meskipun doa Arab badwi tersebut datang daripada ilhamnya, namun ia menjadi sunnah setelah pengakuan (taqrir) Nabi s.a.w. kerana pengakuan baginda itu adalah termasuk dalam definisi sunnah. Namun, Nabi s.a.w. tidak melarang Arab badwi tersebut supaya jangan lagi berdoa dengan doa-doa yang datang daripada ilhamnya. Hal yang sedemikian rupa juga terdapat dalam riwayat hadis-hadis yang lain. Berdasarkan dalil-dalil yang banyak, antaranya hadis ini, al-’Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani menyebut dalam kitabnya (أهل الحق العارفون بالله) satu topik tentang keharusan berdoa dengan apa yang diilhamkan oleh Allah kepada hamba-Nya dan ia diharuskan oleh syariat (hal. 242). Ini merupakan hujah keharusan bagi mengamalkan doa-doa dan awrad-awrad yang diilhamkan oleh Allah SWT kepada imam-imam ahli sufi. Antara istilah-istilah yang digunakan dalam disiplin kesufian ialah seperti wirid, awrad, hizib, wazifah dan ratib. Malah kebanyakan awrad-awrad tersebut adalah dipetik daripada al-Quran dan hadis. Antara tujuannya adalah sebagai latihan kerohanian untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

- Sesuatu ilham itu perlu ditimbang dan diukur menurut neraca al-Quran dan sunnah. Jika ia tidak melanggar syarak atau tidak terkeluar daripadanya, maka ilham itu dihukumkan harus. Namun jika sebaliknya pula, maka ia mesti disingkir dan ditinggalkan serta-merta. Para sahabat Nabi s.a.w. tidak sukar berbuat demikian kerana mereka hidup di zaman penurunan wahyu dan hidup bersama-sama Rasulullah s.a.w. yang boleh membimbing dan menunjuk ajar mereka. Baginda dapat mengawal dan membetulkan apa-apa yang tidak kena di kalangan umatnya pada masa itu. Namun kini, Rasulullah s.a.w. sudah tiada lagi dan baginda hanya meninggalkan kepada kita al-Quran dan sunnahnya. Justeru, semua masalah perlu dirujuk kepada al-Quran dan sunnah supaya tidak terkeluar dari petunjuk kedua-duanya. Merujuk kepada al-Quran dan sunnah bererti kita memastikan apa yang diperintah dan yang tidak diperintah, apa yang dilarang dan yang tidak dilarang, apa yang diharuskan dan yang tidak diharuskan, dan sebagainya. Menggunakan usul al-fiqh untuk merujuk kepada al-Quran dan sunnah merupakan manhaj para salaf serta kaedah yang paling tepat yang telah dibangunkan oleh para ulama.

- Para sahabat Nabi s.a.w. adalah orang yang paling jauh melakukan bidaah. Sesiapa yang menyelidiki dan meneliti khabar-khabar mawquf dan riwayat-riwayat para sahabat RA akan mendapati bahawa bidaah yang mereka fahami adalah mengadakan perkara baharu yang bercanggah dengan syarak dan tidak ada asalnya di dalam nas umum atau khusus, serta tidak ada sebarang hujah yang menyokongnya. Kebiasaannya ini adalah dalam perkara-perkara usul (pokok). Adapun perkara baharu yang tidak bercanggah dengan syarak dan ada asalnya di dalam nas umum atau khusus sebagai hujah yang menyokongnya, maka ia tidak dianggap sebagai maksud bidaah yang ditegah oleh Nabi s.a.w. Kebiasaannya ini adalah dalam perkara-perkara furu’ (cabang). Sila rujuk antara lain kitab (السنة والبدعة) oleh al-Habib ‘Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (hal. 121-168). Di kalangan sahabat Nabi s.a.w. juga ada yang bersikap agak tegas dan ada yang bersikap sedikit longgar, maka merumuskan definisi bidaah berdasarkan konsep ketegasan semata-mata adalah kurang mantap. Namun, ketegasan itu perlu dalam menjaga kemuliaan dan kehormatan syarak.

- Pujian dan sanjungan yang baik kepada Allah SWT itu menjanjikan ganjaran yang besar buat seseorang hamba, baik di dunia mahupun di akhirat. Orang Arab badwi tersebut telah menerima ganjaran yang lumayan semasa di dunia lagi tanpa ia mendugakannya apabila baginda memberikan emas kepadanya. Ia adalah isyarat bahawa orang yang banyak mengingati Allah SWT, memuji dan menyanjung-Nya akan dimurahkan rezekinya oleh Allah SWT. Ia juga sudah terbukti berdasarkan pengalaman ahli-ahli sufi dan para pengamal awrad-awrad yang hak. Murah rezeki tidak semestinya bermaksud menjadi kaya raya, kerana murah rezeki itu juga datang dengan makna disenangkan hati, dilapangkan dari kesempitan, dilepaskan dari kesusahan, merasa cukup dengan apa yang ada (qana’ah) dan merasa bahagia dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.

- Menghubungkan silaturrahim dan menjaga haknya merupakan amalan yang terpuji. Antara hak-hak silaturrahim tersebut ialah memberi sesuatu yang dapat dinikmati atau dimanfaatkan oleh penerimanya. Menghubungkan silaturrahim dan menyebarkan kasih sayang adalah termasuk dalam gagasan sejagat yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Wallahu a’lam.

Tuesday, September 20, 2011

Komentar Artikel Dr. Abdulfatah Haron

Oleh: Dr. Asmadi Mohamed Naim

(klik)


Wahabi: Perkara usul atau furu'?


Abdulfatah Haron Ibrahim
Ogos 15, 11

Dalam masa terdekat ini ada dua kali saya terbaca dalam harianSinar mengenai Wahabi: Satu mendesak Kerajaan Malaysia memutuskan bagaimana dengan kedudukan Wahabi; dan satu lagi mendesak agar dialog segera diadakan.
Dr Asmadi: Saya amat mengesyorkan dialog tertutup diadakan bagi dua golongan iaitu satu mewakili Ahlussunnah wal Jamaah (ASWJ) dan satu lagi golongan yang digelar Wahhabi atau Salafi. Satu dialog tertutup pernah diadakan oleh Jabatan Agama Islam Kelantan pada 2009 untuk menjelaskan kenapa ditolak oleh ulama ASWJ.

Musuh menggelar mereka Wahabi, tetapi mereka sendiri menamakan diri mereka Salafi bermazhab Hanbali pengikut Ahmad ibn Hanbal. Kalau Ahmad ibn Hanbal diterima, tetapi Wahabi dipertikaikan, maka “itulah sejauh-jauh pengetahuan mereka”.
Dr Asmadi: Ini kali pertama Salafi mengaku bermazhab Hanbali, biasanya mereka mengaku tiada mazhab. Dalam kerangka ASWJ, sudah tidak ada masalah pemgamalan 4 mazhab (Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali). Sebab itu di Mesir ada pengajian 4 mazhab. Bahkan pengajian fiqh, pelajar boleh memilih salah satu mazhab pada peringkat thanawi (menengah atas). Masalah pada fahaman Wahhabi ialah, mereka mengaku mereka pengikut salah satu mazhab yang 4, tetapi mereka tidak mengizinkan pengajian 4 mazhab di Masjidil Haram pada waktu sekarang atas keyakinan mereka bahawa mereka sahaja yang benar.

Secara teorinya, ramai pengikut Salafi menjarakkan diri dari menyebut sebagai Wahhabi sebab Muhammad Abdul Wahab muncul di kurun yang lepas, jadi dia bukan Salaf. Mereka mungkin selesa menyandarkan diri mereka kepada Salafi (mengikut Salaf berdasarkan pemahaman Shaykh Ibn Taymiyyah).

Sebelum apa-apa, saya mohon tentukan lebih dahulu adakah Wahabi itu perkara usul atau furu'?
Perkara usul : umat Islam menerima atau menolaknya dengan ijmak.
Perkara furu' : umat Islam menerima atau menolaknya tidak ijmak.

Dr Asmadi: Pelik sikit penakrifan 'perkara usul' oleh pengarang ini. Sefaham saya, perkara usul ialah perkara yang berkaitan dengan simpulan iman dan perkara-perkara yang maklum dalam agama (al-umur al-ma'lumat min al-din bi al-dharurah). Cukup sepakat ulama ASWJ menolak, maka terkeluarlah seseorang itu dari ASWJ. Perkara furu' ialah selain dari klasifikasi tadi.

Pada pandangan saya, khilaf ASWJ dengan golongan Wahhabi kebanyakannya pada perkara-perkara-perkara furu' (cabang) kecuali pada dua perkara yang boleh merencatkan akidah:
i. Ada yang melampau dalam mengithbatkan (menetapkan) sifat-sifat Allah sehingga termasuk dalam golongan 'mujassimah' (menjisimkan Allah iaitu mentafsirkan Allah berbentuk dan beranggota).
ii. Gejala mengkafirkan dan membid'ahkan umat Islam pada perkara khilaf yang ada asas-asasnya dalam Syarak. Gejala ini amat merbahaya dan tidak wujud dalam kerangka ASWJ beramal dengan 4 mazhab sebelum ini dan dicetuskan oleh fahaman ini.

Pada persoalan pertama, ASWJ meyakini keseluruhan sifat-sifat Allah seperti al-wujud, al-qidam, al-baqa', al-mukhalafatuhu lil hawadith dan lain-lain. Demikian juga nama-nama Allah yang maha baik. Mengenai sifat-sifat yang berbentuk 'anggota' seperti 'yad' dan lain-lain, ulama ASWJ berpegang kepada 'melalukan maknanya sebagaimana ia datang' tanpa berbincang secara mendalam, atau 'mentakwilkan' maknanya secara ringkas bagi memudahkan faham masyarakat awam. Mahasuci Allah SWT dari menyerupai segala sesuatu.

Manakala, bagi sesetengah aliran Salafi, mereka berani membahaskan secara lebih dalam, lantas berkata: "Allah mempunyai dua tangan tetapi tak sama dengan makhluk!". Mereka menetapkan dulu 'beranggota'nya Allah, kemudian menafikan persamaan dengan manusia.

Pendekatan ulama ASWJ berbeza, menafikan terus 'anggota' dari Allah SWT kerana anggota tu sifat bagi makhluk.

Pada persoalan kedua, saya pernah tulis artikel bagaimana pemuka-pemuka fahaman ini mengeluarkan imam-imam dari golongan ASWJ. Mereka mengatakan Imam Ibn Hajar dan Imam Nawawi bukan Ahlusunnah dari sudut aqidah! Subhanallah, dua imam tersebut, ulama-ulama ummmah mengangkatnya sebagai pembela Ahlussunnah tetapi mereka mengatakan bukan dari Ahlussunnah!.

Sebagaimana perkara lain dalam Islam, masalah Wahabi bukan ada sempadan geografi yang boleh ditentukan oleh Kerajaan Malaysia. Islam adalah satu dan sama dalam dua perkara, iaitu usul dan furu'. Dalam usul bersatu dan dalam furu' berbeza.
Perkara usul adalah seperti perkara-perkara yang terkandung dalam Rukun Iman dan Rukun Islam, umat Islam Ahli Sunnah tidak boleh berselisih faham. Sebab itu Agama Qadiani, Baha'i dan Isma'iliyah-Batiniyah umpamanya, semuanya terkeluar dari Islam Ahli Sunnah dengan ijmak.
Perkara furu' pula adalah seperti berkaitan dengan masalah-maslaah yang ditimbulkan dari Akidah di gelar Ilmu Kalam.
Kata Ghazali dalam kitabnya Qawa'id al-'Aqaid:
1. Ada yang mengatakan Ilmu Kalam itu bid'ah atau haram.
2. Ada yang mengatakan wajib dan fardhu.
3. Ada yang megatakan fardhu kifayah; dan
4. Ada yang mengatakan fardhu 'ain.

Di antara yang mengatakan haram itu ialah Imam Syaf'ie, Malik, Ahmad ibn Hanbal, Sufyan dan semua golongan Salaf yang terdiri daripada Ahli Hadis.

Dr Asmadi: Ilmu Kalam pada zaman Imam Malik, Imam Shafie, Imam Ahmad adalah berbeza dengan ilmu kalam pada zaman Imam Ghazali. Imam Ghazali wafat pada kurun ke 6H. Manakala imam-imam tersebut sekitar 300 kurun yang pertama. Saykh Ibnu Taymiyyah juga memperkatakan mengenai ilmu kalam dalam fatwanya tetapi secara ringkas. Justeru, mana boleh menggunakan hukum Imam-imam tersebut untuk memperkatakan ilmu kalam selepasnya. Ilmu kalam telah digunakan oleh ulama Islam untuk mempertahan Islam dari ancaman pemikiran Kristian dan fahaman sesat seperti Muaktazilah dan sebagainya yang menggunakan hujah-hujah akal.

Dari empat pendirian ini, kalau tidak silap, ada golongan di Malaysia yang mengatakan Ilmu Kalam itu wajib dan fardhu 'ain. Pada masa yang sama, mereka kukuh berpegang dengan Mazhab Syaf'ie yang mengatakan Ilmu Kalam itu haram. Saya tidak pernah dengar dalam zaman ini ada di antara orang Islam yang memihak kepada salah satu daripada empat pendirian tersebut dan mengajak berdebat kalau ada orang menyalahi pendiriannya. Inilah yang saya maksudkan “perkara furu'.

Sebelum apa-apa tentukan lebih dahulu dijelaskan adakah Wahabi itu perkara usul atau furu'.
• Pihak yang bersungguh sangat perkara Wahabi, adakah Wahabi itu termasuk perkara yang menyalahi Usul Islami dengan ijmak, bahwa sesiapa yang menganutnya akan terkeluar dari Islam. Jika demikian, tidak perlu didebatkan lagi.
Dr Asmadi: Pada pandangan saya, sahabat-sahabat saya dari golongan ini sebenarnya 'cinta' pada Al-Quran dan al-Sunnah'. Tetapi mereka menyempitkan kefahaman mereka kepada penafsiran dari Imam Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, Muhammad Abdul Wahhab, Albani dan tokoh-tokoh mereka.

Saya katakan bahawa mereka adalah sahabat-sahabat seIslam saya dan tidak sekali-kali mereka terkeluar dari ajaran Islam. Walaupun begitu beberapa perkara dalam isu mengisbatkan (menetapkan) anggota terhadap Allah SWT perlu dilakukan perbincangan dengan mereka. Kita tidak berbeza pada isu sifat-sifat Allah SWT, tetapi kita berbeza pada mengatakan Allah SWT 'beranggota' atau 'tidak'. Kami mengatakan Allah SWT maha suci dari anggota. Kita juga katakan, jangan disebarluaskan aqidah yang boleh membawa kepada fahaman 'mujassimah' ini. Pihak berkuasa agama perlu membendung aqidah sebegini.

• Adakah di sana orang yang memandang Wahabi perkara Furu'yang khilafiyah belaka. Jika khilafiyah, maka memang ada perbezaan yang tidak dapat dielakkan.
Dr Asmadi: Memang perbezaan tidak dapat dielakkan. Kerangka ASWJ memang mengiktiraf perbezaan pandangan ini. Sebab itu pengajaran 4 mazhab dibenarkan disebar luas. Masalahnya, bila masuknya fahaman Wahhabi, lantas perbezaan pandangan dikatakan 'sesat' dan sebagainya. Buktinya di tempat mereka, tidak boleh disebarluas amalan 4 mazhab. Masalahnya lagi, mereka hanya melihatkan keterbukaan bila ada tindak balas dari ustaz-ustaz Ahlussunnah 'menyerang balas' keterlanjuran mereka.

Dalam mana-mana mazhab ada mereka yang bersikap keras, ada yang bersikap sederhana dan ada yang bersikap tak kisah.
Sikap sederhana membuahkan perpaduan dan hormat menghormati.
Sikap keras membuahkan perpecahan dan benci membenci.
Adakah sikap itu hasil kajian yang terkini lagi teliti?
Atau datang daripada apa yang diketahui selama ini?
Penulis pernah mengajar di Kolej Islam Petaling Jaya dan di Jabatan Usuluddin & Falsafah, Fakulti Islam, UKM.
Secara khususnya, kita banyak membuang masa mendebatkan soal mazhab bila masuknya aliran Wahhabi & Salafi. Mungkin benar kata-kata seorang pensyarah UIA dari Iraq kepada saya pada satu masa dahulu: "Kamu orang-orang Islam di Malaysia, jumlah kamu hanya sedikit (lebih sikit 50%). Kamu tak mampu berpecah kepada pelbagai aliran. Bila berpecah aliran, biasanya berlaku perpecahan politik. Memang benar apabila ulama kamu menekankan aliran Mazhab Shafie dan ASWJ sbg tunjang masyarakat."

Wallahu taala a'lam. Allahu al-Musta'an.

Abu al-'Izz


Tuesday, September 6, 2011

Dr. Ibrahim al-Salqini رحمه الله تعالى


Telah kembali pula ke rahmat Allah pada hari Selasa ini, 8 Syawal 1432, bersamaan 6 September 2011, al-Faqih mufti Halab Sheikh Dr. Ibrahim Al-Salqini, antara tokoh dari keluarga ulama yang terkenal di Syria. Semoga Allah memberi rahmat kepada rohnya.

Beliau meninggal dunia selepas tidak sedar lebih daripada minggu. Sheikh Ibrahim al-Salqini dilahirkan di Halab, Syria pada tahun 1934. Beliau berkelulusan master dan Ph.D. dalam bidang syariah dari Universiti al-Azhar, Mesir.

Semoga roh beliau dan roh-roh tokoh lain yang telah disebut sebelum ini ditempatkan oleh Allah SWT di kedudukan tertinggi bersama-sama para nabi dan orang-orang salih.

Antara karya-karya beliau:

1- تحقيق (المراد في أن النهي يقتضي الفساد للحافظ العلائي) وقام المجمع العلمي بدمشق بطبعه ونشره.
2- كتاب (الفقه الإسلامي أحكام الطهارة والصلاة) المقرر في كلية الشريعة بجامعة دمشق.
3- كتاب (الفقه الإسلامي أحكام الصوم والزكاة والحج) المقرر في كلية الشريعة بجامعة دمشق.
4- كتاب (التشريع الإسلامي) لكلية البريد العربية التابعة لجامعة الدول العربية عام 1983م.
5- كتاب (أصول الفقه الإسلامي) لطلاب السنة الرابعة من كلية الحقوق في جامعتي دمشق وحلب


Rujukan:

- Rawd al-Rayyahin: link 1 & link 2.

- Biografi Dr. Salqini

Kiyai Abah Anom Meninggal Dunia رحمه الله


Lagi belasungkawa dalam bulan Syawal ini… pendiri Pesantren Inabah Suryalaya, K.H. Ahmad Shohibulwafa Tajul Arifin yang dikenal sebagai Abah Anom kembali ke rahmatullah.

Banyaknya media Indonesia yang melaporkan kewafatan Abah Anom menunjukkan kesan pengaruh besar yang diberikan oleh beliau semasa hayatnya. Nampaknya nama beliau bukan asing di kalangan ulama-ulama besar Indonesia. Bahkan ada yang menganggap beliau adalah salah seorang dari wali-wali Allah SWT.

Lapor pikiran-rakyat.com :

Senin, 05/09/2011 - 13:15

TASIKMALAYA, (PRLM).- Pimpinan Pondok Pesantren Suryalaya, Kab. Tasikmalaya K.H. Ahmad Shohibulwafa Tajul Arifin adalah nama asli Abah Anom, Senin (5/9) sekitar pukul 11.55 WIB, telah pulang ke Rahmatulloh, di Rumah Sakit Tasikmalaya Medical Center (TMC). Abah Anom yang sudah udzur menderita sakit sudah cukup lama, lalu Senin pagi dilarikan ke rumah sakit, lalu meninggal dunia.

Abah Anom dikenal juga dikenal sebagai pendiri Inabah. Lahir 1 Januari 1915 di Suryalaya, Tasikmalaya. Ia anak kelima dari Syekh Abdullah Mubarok bin Nur Muhammad, atau Abah Sepuh, pendiri Pesantren Suryalaya. Sebuah pesantren tasawuf yang khusus mengajarkan Thariqat Qadiriyyah Naqsabandiyah (TQN).

Berikut biografi beliau dari suryalaya.org :

KH. A Shohibulwafa Tajul Arifin yang dikenal dengan nama Abah Anom, dilahirkan di Suryalaya tanggal 1 Januari 1915. Beliau adalah putra kelima Syaikh Abdullah bin Nur Muhammad, pendiri Pondok Pesantren Suryalaya, dari ibu yang bernama Hj Juhriyah. Pada usia delapan tahun Abah Anom masuk Sekolah Dasar (Verfolg School) di Ciamis antara tahun 1923-1928. Kemudian ia masuk Sekolah Menengah semacan Tsanawiyah di Ciawi Tasikmalaya. Pada tahun 1930 Abah Anom memulai perjalanan menuntut ilmu agama Islam secara lebih khusus. Beliau belajar ilmu fiqih dari seorang Kyai terkenal di Pesantren Cicariang Cianjur, kemudian belajar ilmu fiqih, nahwu, sorof dan balaghah kepada Kyai terkenal di Pesantren Jambudipa Cianjur. Setelah kurang lebih dua tahun di Pesantren Jambudipa, beliau melanjutkan ke Pesantren Gentur, Cianjur yang saat itu diasuh oleh Ajengan Syatibi.

Dua tahun kemudian (1935-1937) Abah Anom melanjutkan belajar di Pesantren Cireungas, Cimelati Sukabumi. Pesantren ini terkenal sekali terutama pada masa kepemimpinan Ajengan Aceng Mumu yang ahli hikmah dan silat. Dari Pesatren inilah Abah Anom banyak memperoleh pengalaman dalam banyak hal, termasuk bagaimana mengelola dan memimpin sebuah pesantren. Beliau telah meguasai ilmu-ilmu agama Islam. Oleh karena itu, pantas jika beliau telah dicoba dalam usia muda untuk menjadi Wakil Talqin Abah Sepuh. Percobaan ini nampaknya juga menjadi ancang-ancang bagi persiapan memperoleh pengetahuan dan pengalaman keagaman di masa mendatang. Kegemarannya bermain silat dan kedalaman rasa keagamaannya diperdalam lagi di Pesantren Citengah, Panjalu, yang dipimpin oleh H. Junaedi yang terkenal sebagai ahli alat, jago silat, dan ahli hikmah.

Setelah menginjak usia dua puluh tiga tahun, Abah Anom menikah dengan Euis Siti Ru’yanah. Setelah menikah, kemudian ia berziarah ke Tanah Suci. Sepulang dari Mekah, setelah bermukim kurang lebih tujuh bulan (1939), dapat dipastikan Abah Anom telah mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman keagamaan yang mendalam. Pengetahuan beliau meliputi tafsir, hadits, fiqih, kalam, dan tasawuf yang merupakan inti ilmu agama. Oleh Karena itu, tidak heran jika beliau fasih berbahasa Arab dan lancar berpidato, baik dalam bahasa Indonesia maupun bahasa Sunda, sehingga pendengar menerimanya di lubuk hati yang paling dalam. Beliau juga amat cendekia dalam budaya dan sastra Sunda setara kepandaian sarjana ahli bahasa Sunda dalam penerapan filsafat etnik Kesundaan, untuk memperkokoh Thariqah Qadiriyah Naqsabandiyah. Bahkan baliaupun terkadang berbicara dalam bahasa Jawa dengan baik.

Ketika Abah Sepuh wafat, pada tahun 1956, Abah Anom harus mandiri sepenuhnya dalam memimpin pesantren. Dengan rasa ikhlas dan penuh ketauladan, Abah Anom gigih menyebarkan ajaran Islam. Pondok Pesantren Suryalaya, dengan kepemimpinan Abah Anom, tampil sebagai pelopor pembangunan perekonomian rakyat melalui pembangunan irigasi untuk meningkatkan pertanian, membuat kincir air untuk pembangkit tenaga listrik, dan lain-lain. Dalam perjalanannya, Pondok Pesantren Suryalaya tetap konsisten kepada Tanbih, wasiat Abah Sepuh yang diantara isinya adalah taat kepada perintah agama dan negara. Maka Pondok Pesantren Suryalaya tetap mendukung pemerintahan yang sah dan selalu berada di belakangnya.

Di samping melestarikan dan menyebarkan ajaran agama Islam melalui metode Thariqah Qadiriyah Naqsabandiyah. Abah Anom juga sangat konsisten terhadap perkembangan dan kebutuhan masyarakat. Maka sejak tahun 1961 didirikan Yayasan Serba Bakti dengan berbagai lembaga di dalamnya termasuk pendidikan formal mulai TK, SMP Islam, SMU, SMK, Madrasah Tsanawiyah, Madrasah Aliyah, Madrasah Aliyah kegamaan, Perguruan Tinggi (IAILM) dan Sekolah Tinggi Ekonomi Latifah Mubarokiyah serta Pondok Remaja Inabah. Didirikannya Pondok Remaja Inabah sebagai wujud perhatian Abah Anom terhadap kebutuhan umat yang sedang tertimpa musibah. Berdirinya Pondok Remaja Inabah membawa hikmah, di antaranya menjadi jembatan emas untuk menarik masyarakat luas, para pakar ilmu kesehatan, pendidikan, sosiologi, dan psikologi, bahkan pakar ilmu agama mulai yakin bahwa agama Islam dengan berbagai disiplin ilmunya termasuk tasawuf dan tarekat mampu merehabilitasi kerusakan mental dan membentuk daya tangkal yang kuat melalui pemantapan keimanan dan ketakwaan dengan pengamalan Thariqah Qadiriyah Naqsabandiyah. Dalam melaksanakan tugas sehari-hari, Abah Anom menunjuk tiga orang pengelola, yaitu KH. Noor Anom Mubarok BA, KH. Zaenal Abidin Anwar, dan H. Dudun Nursaiduddin.


Rujukan lain:

- Nahdhatul Ulama

- Antara News

- Pos Kota

- Viva News

- ESQ News