Pages

Wednesday, September 21, 2011

Penerimaan Nabi s.a.w. Terhadap Ilham Rabbani


Matan hadis:

قال الإمام الطبراني: حدثنا يعقوب بن إسحاق بن الزبير ثنا عبد الله بن محمد أبو عبد الرحمن الأذرمي نا هشيم عن حميد عن أنس رضي الله عنه: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم مرّ بأعرابي، وهو يدعو في صلاته، وهو يقول: (( يا مَن لا تراه العيون، ولا تخالطه الظنون، ولا يصِفه الواصفون، ولا تغيره الحوادث، ولا يخشى الدوائر، يعلم مثاقيل الجبال، ومكاييل البحار، وعدد قطر الأمطار، وعدد ورق الأشجار، وعدد ما أظلم عليه الليل، وأشرق عليه النهار، لا تواري منه سماء سماء، ولا أرض أرضاً، ولا بحر ما في قعره، ولا جبل ما في وعره، اجعل خير عمري آخره، وخير عملي خواتمه، وخير أيامي يوم ألقاك فيه )).

فوكل رسول الله صلى الله عليه وسلم بالأعرابي رجلا، فقال : إذا صلى فأتني به ، فلما صلى أتاه. وقد أهدي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم أسماء ذهب من بعض المعادن. فلما أتاه الأعرابي وهب له الذهب، وقال : ممن أنت يا أعرابي؟ قال: من بني عامر بن صعصعة يا رسول الله. قال: هل تدري لِمَ وهبت لك الذهب؟ قال: للرحم بيننا وبينك يا رسول الله، فقال: إن للرحم حقا ، ولكن وهبت لك الذهب لحسن ثنائك على الله عزّ وجل. اهـ

[رواه الطبراني في معجمه الأوسط رقم 9448، وقال: لم يرو هذا الحديث عن حميد إلا هشيم تفرد به الأذرمي، وقال الهيثمي: ورجاله رجال الصحيح غير عبدالله بن محمد أبو عبدالرحمن الأذرمي وهو ثقة. وثقه النسائي وأبو حاتم وهو شيخهما، وقد روى عنه أيضا ثلة من كبار العلماء منهم أبو داود و أبو يعلى الموصلي وموسى بن هارون وابن المنادى وحرب الكرماني وعبد الله بن أحمد وآخرون. وهشيم بن بشير ثقة ثبت كثير الإرسال والتدليس الخفي. وحميد الطويل ثقة مدلس، يدلس عن أنس. وروى أبو الشيخ في العظمة 109، عن سعيد الأزرق قال: دخلت مكة ليلا، فبدأت بالمسجد، ودخلت الطواف، فبينا أنا أطوف إذ أنا بامرأة في الحجر رافعة يديها ملتزمة البيت، قد علا تسبيحها، فدنوت منها، وهي تقول: يا من لا تراه العيون ... بنحو دعاء الأعرابي. قال الفقير: والذي ضعف الحديث يعتمد على احتمالات ولا حجة فيها إلا بالدليل الصريح. فإسناد الحديث حسن إن شاء الله]

Terjemahan:

Dari Anas RA katanya: Pernah Rasulullah s.a.w. melalui seorang Arab badwi yang sedang berdoa dalam solatnya, ia berkata: “Wahai Yang tidak dapat dilihat dek mata, Yang tidak dicampuri dek prasangka, Yang tidak dapat dibayang dek ahli gambar, Yang tidak dirubah dek peristiwa, dan Yang tidak khuatir putaran masa, Yang mengetahui timbangan berat gunung-ganang, sukatan padu lautan, bilangan titik-titik hujan, bilangan daun-daun pepohonan, juga jumlah apa yang diselubungi gelap pada waktu malam dan yang diliputi sinar pada siang hari, Yang tidak tersembunyi dari-Nya sebarang langit mahupun sebarang bumi, serta apa yang ada di dasar lautan, mahupun apa yang ada di lurah gunung, jadikanlah sebaik-baik umurku di akhirnya, dan sebaik-baik amalku di penutupnya, dan sebaik-baik hariku hari aku bertemu dengan-Mu”.

Lalu Rasulullah s.a.w. pun mewakilkan seorang lelaki menemui Arab badwi tersebut seraya berpesan: “Jika dia telah selesai bersolat, bawalah dia kepadaku”. Apabila ia selesai bersolat, beliau pun datang kepadanya. Pada masa itu, telah dihadiahkan kepada Rasulullah s.a.w. beberapa emas daripada sebahagian bahan galian. Apabila Arab badwi itu datang kepadanya, baginda pun memberikan kepadanya emas tersebut, sambil bertanya: “Kamu daripada kabilah mana, wahai si-Arab badwi? Jawabnya: “Daripada Bani ‘Amir bin Sa’sa’ah, wahai Rasulullah”. Tanya baginda lagi: “Adakah kamu tahu kenapa aku memberimu emas itu?” Jawabnya: “Kerana silaturrahim antara kami dan antaramu, wahai Rasulullah”. Lalu balas baginda: “Sesungguhnya silaturahim itu mempunyai hak, tetapi aku memberimu emas itu kerana sanjunganmu yang baik kepada Allah ‘azza wajalla”.

(HR Imam al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat. Kata al-Haythami: Para perawinya adalah para perawi al-Sahih, kecuali ‘Abdullah bin Muhammad Abu ‘Abd al-Rahman al-Azrami, dan beliau adalah thiqah)

Huraian:

- Harus mendengar doa orang lain tanpa pengetahuannya jika ia mengangkatkan suaranya dan tidak menyembunyikannya. Doa Arab badwi yang panjang itu menunjukkan Rasulullah s.a.w. tidak semata-mata berjalan pantas melalui Arab badwi berkenaan, tetapi baginda berhenti sejenak untuk mendengarnya, atau berjalan dengan begitu perlahan semasa melaluinya.

- Apa yang diucapkan oleh Arab badwi berkenaan adalah ilham yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya. Ilham ucapan doa Arab badwi tersebut telah diiyakan oleh Rasulullah s.a.w. dan baginda merasa takjub dengannya, malah baginda mengganjarinya dengan ganjaran yang lumayan kerana kandungan maknanya yang bagus dan susunan ayatnya yang baik. Peristiwa ini turut menunjukkan bahawa sebahagian sahabat Nabi s.a.w. berpendapat bahawa doa itu tidak semestinya dengan apa yang diajar atau disampaikan oleh baginda s.a.w. semata-mata, malah harus juga berdoa atau bermunajat dengan apa yang dilhamkan oleh Allah SWT. Bahkan tidak ada dalil bahawa Nabi s.a.w. menyuruh supaya berdoa dengan apa yang warid sahaja, atau Nabi s.a.w. melarang dari berdoa dengan doa yang tidak warid daripadanya. Berdoa dengan doa-doa yang warid itu hanya dikira sebagai afdal berbanding dengan doa-doa yang tidak warid.

- Meskipun doa Arab badwi tersebut datang daripada ilhamnya, namun ia menjadi sunnah setelah pengakuan (taqrir) Nabi s.a.w. kerana pengakuan baginda itu adalah termasuk dalam definisi sunnah. Namun, Nabi s.a.w. tidak melarang Arab badwi tersebut supaya jangan lagi berdoa dengan doa-doa yang datang daripada ilhamnya. Hal yang sedemikian rupa juga terdapat dalam riwayat hadis-hadis yang lain. Berdasarkan dalil-dalil yang banyak, antaranya hadis ini, al-’Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani menyebut dalam kitabnya (أهل الحق العارفون بالله) satu topik tentang keharusan berdoa dengan apa yang diilhamkan oleh Allah kepada hamba-Nya dan ia diharuskan oleh syariat (hal. 242). Ini merupakan hujah keharusan bagi mengamalkan doa-doa dan awrad-awrad yang diilhamkan oleh Allah SWT kepada imam-imam ahli sufi. Antara istilah-istilah yang digunakan dalam disiplin kesufian ialah seperti wirid, awrad, hizib, wazifah dan ratib. Malah kebanyakan awrad-awrad tersebut adalah dipetik daripada al-Quran dan hadis. Antara tujuannya adalah sebagai latihan kerohanian untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

- Sesuatu ilham itu perlu ditimbang dan diukur menurut neraca al-Quran dan sunnah. Jika ia tidak melanggar syarak atau tidak terkeluar daripadanya, maka ilham itu dihukumkan harus. Namun jika sebaliknya pula, maka ia mesti disingkir dan ditinggalkan serta-merta. Para sahabat Nabi s.a.w. tidak sukar berbuat demikian kerana mereka hidup di zaman penurunan wahyu dan hidup bersama-sama Rasulullah s.a.w. yang boleh membimbing dan menunjuk ajar mereka. Baginda dapat mengawal dan membetulkan apa-apa yang tidak kena di kalangan umatnya pada masa itu. Namun kini, Rasulullah s.a.w. sudah tiada lagi dan baginda hanya meninggalkan kepada kita al-Quran dan sunnahnya. Justeru, semua masalah perlu dirujuk kepada al-Quran dan sunnah supaya tidak terkeluar dari petunjuk kedua-duanya. Merujuk kepada al-Quran dan sunnah bererti kita memastikan apa yang diperintah dan yang tidak diperintah, apa yang dilarang dan yang tidak dilarang, apa yang diharuskan dan yang tidak diharuskan, dan sebagainya. Menggunakan usul al-fiqh untuk merujuk kepada al-Quran dan sunnah merupakan manhaj para salaf serta kaedah yang paling tepat yang telah dibangunkan oleh para ulama.

- Para sahabat Nabi s.a.w. adalah orang yang paling jauh melakukan bidaah. Sesiapa yang menyelidiki dan meneliti khabar-khabar mawquf dan riwayat-riwayat para sahabat RA akan mendapati bahawa bidaah yang mereka fahami adalah mengadakan perkara baharu yang bercanggah dengan syarak dan tidak ada asalnya di dalam nas umum atau khusus, serta tidak ada sebarang hujah yang menyokongnya. Kebiasaannya ini adalah dalam perkara-perkara usul (pokok). Adapun perkara baharu yang tidak bercanggah dengan syarak dan ada asalnya di dalam nas umum atau khusus sebagai hujah yang menyokongnya, maka ia tidak dianggap sebagai maksud bidaah yang ditegah oleh Nabi s.a.w. Kebiasaannya ini adalah dalam perkara-perkara furu’ (cabang). Sila rujuk antara lain kitab (السنة والبدعة) oleh al-Habib ‘Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (hal. 121-168). Di kalangan sahabat Nabi s.a.w. juga ada yang bersikap agak tegas dan ada yang bersikap sedikit longgar, maka merumuskan definisi bidaah berdasarkan konsep ketegasan semata-mata adalah kurang mantap. Namun, ketegasan itu perlu dalam menjaga kemuliaan dan kehormatan syarak.

- Pujian dan sanjungan yang baik kepada Allah SWT itu menjanjikan ganjaran yang besar buat seseorang hamba, baik di dunia mahupun di akhirat. Orang Arab badwi tersebut telah menerima ganjaran yang lumayan semasa di dunia lagi tanpa ia mendugakannya apabila baginda memberikan emas kepadanya. Ia adalah isyarat bahawa orang yang banyak mengingati Allah SWT, memuji dan menyanjung-Nya akan dimurahkan rezekinya oleh Allah SWT. Ia juga sudah terbukti berdasarkan pengalaman ahli-ahli sufi dan para pengamal awrad-awrad yang hak. Murah rezeki tidak semestinya bermaksud menjadi kaya raya, kerana murah rezeki itu juga datang dengan makna disenangkan hati, dilapangkan dari kesempitan, dilepaskan dari kesusahan, merasa cukup dengan apa yang ada (qana’ah) dan merasa bahagia dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya.

- Menghubungkan silaturrahim dan menjaga haknya merupakan amalan yang terpuji. Antara hak-hak silaturrahim tersebut ialah memberi sesuatu yang dapat dinikmati atau dimanfaatkan oleh penerimanya. Menghubungkan silaturrahim dan menyebarkan kasih sayang adalah termasuk dalam gagasan sejagat yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.