Presiden Republik Chechnya, Ramazan Kadirov pada 22 September lalu telah memindahkan bekas minuman yang dikatakan pernah digunakan oleh Nabi SAW dari London ke Chechnya. Usia bekas minuman tersebut dikatakan sudah menjangkau 14 kurun yang menguatkan lagi dakwaan ini. Kadirov telah berusaha sedaya upaya memindahkan bekas minuman tersebut ke negaranya. Setibanya di lapangan terbang Grozny, ia telah disambut dengan meriah dan kemudian dibawa pula ke Masjid Besar Grozny dalam konvoi besar dengan diringi kereta-kereta mewah.
Presiden Ramazan Kadirov telah diringi oleh Haji Ahmad Kadirov pengerusi Majlis Ulama Chechnya dalam upacara yang diadakan secara penuh meriah itu. Turut dibawa ialah dua helai karpet yang pernah menutup makam Nabi SAW dalam tempoh yang agak lama. Menurut Kadirov, sejarah bekas minuman berkenaan asalnya berada dalam simpanan salah seorang keturunan Nabi SAW sehinggalah akhirnya setelah melalui tempoh yang panjang ia tersimpan di London.
Meskipun kesan-kesan peninggalan Nabi SAW ini ada yang benar dan ada yang palsu. Namun, di sini bukan menjadi persoalan utamanya, kerana itu adalah berdasarkan keyakinan pengetahuan dan kajian masing-masing. Tolak menolak pasti ada. Persoalannya, bagaimana kita melihat apa yang dilakukan oleh presiden, ulama dan rakyat Chechnya ini, adakah ia suatu bentuk penghormatan atau pemujaan? Jika kita katakan sebagai pemujaan yang melampau batas dan yang ditegah oleh syarak, maka kita telah melontar Presiden Chechnya, ulama dan rakyatnya yang merupakan pejuang-pejuang Islam Chechnya sebagai berfahaman salah atau sesat.
Ini adalah tidak adil dan tidak wajar. Mengapa? Kerana bersangka baik sesama muslim adalah wajib. Maka kita katakan, itu adalah suatu bentuk penghormatan terhadap Junjungan Nabi SAW. Hakikat sebenar bekas minuman yang dimuliakan itu ialah memuliakan kedudukan Nabi SAW yang pernah menggunakannya. Ia juga disebut sebagai tabarruk (mengambil keberkatan) dengan kesan peninggalan Nabi SAW. Apatah lagi amat banyak dalil sahih yang mengharuskannya, sama ada di dalam Sahih al-Bukhari dan lain-lainnya.
Kita juga dapat melihat dari suatu sudut lain, kehebatan dan kekuatan pejuang-pejuang Chechnya sebenarnya adalah terletak pada pegangan mereka yang kukuh dengan agama serta hubungan kecintaan mereka yang erat kepada Junjungan Nabi SAW. Jika kita sering menyaksikan bagaimana kesan-kesan peninggalan seorang artis/selebriti Barat contohnya disanjung tinggi dan menjadi rebutan, walaupun nilainya jutaan dollar. Lalu kita katakan si-pembelinya adalah peminat setia. Maka apakah tidak wajar untuk kita katakan bahawa Presiden Chechnya dan rakyat Chechnya ini juga adalah peminat setia Nabi SAW??
Umat Islam kini begitu jauh dari Nabinya. Janganlah dijauhkan lagi umat ini dari Nabinya. Sudah amat banyak usaha-usaha dilakukan untuk menjauhkan mereka daripada Nabi mereka. Sehingga umat ini hanyut dan tidak mengenal siapa Nabi mereka. Dicanangkan bahawa Nabi SAW sudah mati, maka matilah Nabi SAW di dalam hati-hati umatnya. Allah.. Allah..
3 comments:
Syukran jazilan atas perkongsian. Mohon share tuan. JazakaAllahu khairan kathira.
No prob..
saya suka enty ini..sangat baik sekali.. mereka ini adalah golongan yang dicintai Rasulullah S.A.W
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.