Pages

Sunday, January 1, 2012

Fatwa Tentang Tauhid Rububiyyah & Tauhid Uluhiyyah


Oleh: Prof. Dr. ‘Abd al-Malik al-Sa‘di al-Hasani

No. soalan dan tarikh pos: 2293 - 2011/11/24 (sumber)


Soalan:

Apakah perbezaan antara tauhid Rububiyyah dan tauhid Uluhiyyah? Adakah kedua-duanya seerti atau boleh terhasil tauhid Rububiyyah tanpa tauhid Uluhiyyah; di mana kami melihat sesetengah orang membezakan antara kedua-duanya dengan mendakwa bahawa orang-orang kafir musyrik Makkah telah bertauhid Rububiyyah, akan tetapi mereka musyrik dalam tauhid Uluhiyyah?

Jawapan:

Rububiyyah adalah kata nama yang dinisbahkan kepada Rabb (Tuhan), dan Rabb ialah pentadbir/pengurus, pencipta dan pengasas/pembangun sesuatu.

Uluhiyyah pula adalah kata nama yang dinisbahkan kepada Ilah (Sembahan), dan ia diambil dari perkataan: (أَلِهَ) yakni hairan/bingung. Ia diungkapkan kepada Sang Pencipta (جلّ شأنه) kerana akal fikiran menjadi bingung tentang zat-Nya, dan ia juga diungkapkan kepada apa saja sembahan secara mutlak. Namun, maksudnya pada istilah akidah ialah Tuhan yang disembah secara benar. Maka terkeluarlah dengan lafaz “secara benar” itu semua tuhan-tuhan yang disembah dari kalangan makhluk, kerana mereka disembah sedangkan mereka itu tidak berhak menerima ubudiyyah (pengabdian).

Dan orang-orang musyrik (Makkah) itu, mereka telah mensyirikkan Allah dengan selain-Nya dari kalangan berhala-berhala serta lain-lainnya, di samping kepercayaan mereka bahawa Allah juga adalah Tuhan sembahan (Ilah) yang benar. Dalam masa sama, mereka turut percaya bahawa Dia adalah pencipta dan pentadbir sepertimana firman-Nya:

(وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ) الزخرف: ٨٧

Terjemahan: “Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah-Nya)? (al-Zukhruf: 87)

Maka mereka menyembah berhala-berhala itu kerana mereka percaya bahawa menyembahnya itu juga adalah ibadah kepada Tuhan (Rabb), kerana mereka pernah berkata:

(مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى) [الزمر: ٣]

Terjemahan: "Kami tidak menyembah/memuja mereka melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya". (al-Zumar: 3)

Maka ibadah mereka kepadanya adalah kerana ia menghampirkan kepada Tuhan (Rabb) yang disembah.

Di samping makluman, bahawa di sana terdapat orang yang menyembah makhluk dan tidak mengiktiraf Allah sebagai Tuhan (Rabb), bahkan ia menafikan Sang Pencipta. Mungkin ia juga beranggapan bahawa makhluk yang disembah tersebut adalah tuhan yang menciptakannya dan mewujudkannya. Oleh kerana itu, ia pun menyembahnya.

Allah (جلّ شأنه) telah mencemuh ke atas orang-orang Yahudi dan Kristian ketika mana mereka mengambil pendeta-pendeta dan rahib-rahib sebagai tuhan-tuhan (Rabb-Rabb) yang mereka sembah selain dari Allah. Kerana mereka telah mensyariatkan bagi-Nya secara bertentangan dengan apa yang diturunkan oleh Allah, lalu mereka pun mengikuti mereka itu. Dan sikap mengikut adalah suatu ketaatan dan ibadah. Firman Allah Taala:

(اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ) [التوبة:٣١]

Terjemahan: “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan rahib-rahib agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain dari Allah”. (al-Taubah: 31)

Maka di sini, Allah telah mengungkapkan perkataan Rabb kepada tuhan yang disembah. Justeru, mereka adalah orang-orang musyrik dari segi Rububiyyah dan juga Uluhiyyah.

Dari sini, dapat difaham bahawa sesiapa yang bertauhid Rububiyyah dia juga bertauhid Uluhiyyah, dan sesiapa yang mensyirikkan salah satu dari kedua-duanya, maka dia juga syirik dengan yang satu lagi.

Justeru, orang-orang musyrik (Makkah) itu di samping penyembahan mereka kepada berhala-berhala, mereka juga percaya bahawa ianya dapat memberi mudarat, manfaat, rezeki, kurnia dan juga dapat mencegah. Maka mereka walaupun mengiktiraf ketuhanan (Rububiyyah) Allah, namun mereka juga beranggapan yang selain-Nya itu juga adalah sebagai tuhan-tuhan (Rabb-Rabb). Oleh kerana itu, mereka juga menyembahnya.

Dengan itu, maka saya tidak melihat suatu keperluan untuk menjadikan tauhid khusus untuk Rububiyyah dan syirik untuk Uluhiyyah. Maka orang yang mensyirikkan salah satu dari kedua-duanya, dia juga sebenarnya syirik dengan yang satu lagi. Jika tidak, nescaya dia tidak mensyirikkan Tuhannya dengan satu apa pun. Oleh itu, Allah Taala berfirman:

(فَمَنْ كَانَ يَرْجُوا لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا) [الكهف: ١١٠]

Terjemahan: “Maka, sesiapa yang berharap akan bertemu dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah ia mempersekutukan dalam ibadat kepada Tuhannya dengan sesiapa pun ". (al-Kahf: 110)

Maka di sini, Allah mengungkapkan syirik dalam ibadah ke atas Rububiyyah (Rabb), bukannya ke atas Uluhiyyah (Ilah).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.