Pages

Thursday, March 1, 2012

Kriteria Hadis Palsu Perlu Jelas

Sebar Hadis Palsu Ibarat Pendustaan Terhadap Nabi - Ketua Pengarah JAKIM


"Jika mereka ini berniat jahat, ia boleh menyebabkan umat Islam hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap agama mereka," kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha kepada Bernama.

Sambil melahirkan rasa bimbang terhadap penggunaan hadis palsu yang kini menular di Internet, beliau berkata ia boleh menyebabkan umat Islam beramal dengan suatu syariat yang salah kerana hadis berkenaan tidak berlandaskan sumber rujukan yang diperakui kesahihannya.

Othman berkata, mereka yang terlibat menggunakan hadis daif dan palsu disebarkan melalui blog atau laman sosial peribadi ini, kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai hadis.

"Ada pula yang tidak dapat membezakan antara kata-kata sahabat atau hukamak (cendekiawan) dengan hadis Nabi. Mereka menganggap semua itu sama sahaja daripada segi statusnya," katanya.

Beliau berkata, jika hendak menyebarkan sesuatu hadis kepada umum, sama ada melalui media cetak, media eletronik atau media baru, ia mestilah terlebih dahulu merujuk kepada mereka yang arif tentang hadis atau daripada sumber yang muktabar.

Kesalahan menyebarkan hadis palsu boleh dikenakan tindakan mengikut pelbagai seksyen seperti mencerca agama dan penerbitan agama bertentangan dengan hukum syarak.

Kesalahan ini terletak di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, Seksyen 13 (1).

Othman berkata, tindakan boleh juga diambil mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-negeri.

Memandangkan kesalahan ini dilakukan di alam siber, pihak berkuasa agama negeri perlu mendapat kerjasama daripada pihak yang mempunyai bidang kuasa dan kepakaran khususnya Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), katanya.

"Perbuatan ini seolah-olah menyebarkan fitnah dan pendustaan terhadap Rasulullah SAW kepada seluruh umat manusia dan merosakkan aqidah umat Islam dan kewibawaan nas-nas syarak itu sendiri," katanya. - BERNAMA (dengan ringkasan)

------------------

Ulasan:


Saya menyokong dan mengalu-alukan usaha untuk membendung penyebaran hadis palsu seperti yang disuarakan oleh ketua pengarah Jakim itu. Hukum memang jelas, sesiapa yang mencipta, mengguna dan menyebarkan hadis palsu secara sengaja dianggap telah melakukan pendustaan besar terhadap baginda Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, usaha tersebut perlu dilaksanakan dengan perancangan yang teliti kerana masih ramai masyarakat yang masih cetek pengetahuannya tentang kedudukan hadis-hadis yang disandarkan kepada Nabi SAW. Dan masalah ini perlu diselesaikan dahulu. Sejumlah dana memang sangat diperlukan untuk kerja-kerja penyelidikan, sebaran dan penerbitan, sebagai contoh, untuk mentahkik dan mentakhrij hadis kitab-kitab jawi lama. Ini amat penting difikirkan oleh pihak Jakim sendiri.

Kesedaran di kalangan masyarakat masih rendah. Justeru amat perlu terlebih dulu usaha menyedarkan masyarakat mengenai peri pentingnya menghindari hadis-hadis palsu serta menyekat penyebarannya. Ini juga menjadi tanggungjawab para alim ulama untuk menjelaskannya kepada masyarakat.

Tidak menjadi masalah jika hadis palsu itu disepakati kepalsuannya oleh para sarjana yang berkeahlian. Apa yang menjadi persoalannya, bagaimana dengan hadis yang diperselisihkan kedudukannya antara palsu dan tidak? Apakah kriteria yang menjadi rujukan untuk hadis yang seperti ini? Misalnya, ada penulis yang membukukan tentang 40 hadis palsu, sedangkan di antaranya ada hadis-hadis yang tidak palsu dan hanya sekadar daif, bahkan ada yang dapat meningkat kepada darjat hasan menurut sebahagian ulama yang lain.

Justeru, penentu kepalsuan sesuatu hadis itu perlulah disepakati oleh mereka yang mahir dengan ilmu hadis serta cabang-cabangnya, faham tentang takhrij dan kajian sanad, serta mendalami selok-belok ilmu rijal, dan bukannya sekadar taklid. Di samping mengetahui tentang ilmu fiqh dan usul fiqh. Jika tidak, dikhuatiri akan lebih memberi kekeliruan kepada masyarakat. Apatah lagi jika ada yang suka membataskan hak untuk menghukum hadis sebagai palsu ini kepada kumpulannya sahaja dan terus tergesa-gesa untuk menghukum para pengamalnya sebagai ahli bidaah... الله المستعان...

Wallahu a'lam.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.