Kata Imam Syeikh ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani [w.
973H] dalam kitab Lawaqih al-Anwar (لواقح
الأنوار القدسية في العهود المحمدية):
“Telah termetri ke atas kita perjanjian am daripada
Rasulullah SAW supaya kita tidak mengamal agama dengan melakukan sesuatu bidaah
yang dikeji yang tidak disaksikan oleh zahir al-Quran mahupun sunnah. Dan
supaya kita menjauhi beramal dengan segala pendapat yang tidak jelas kepada
kita keselarasannya dengan al-Quran dan sunnah, kecuali jika ia telah
diijmakkan.
Orang yang ingin beramal dengan perjanjian
ini perlu kepada keluasan ilmu dalam mengenal hadis-hadis dan juga athar-athar,
serta perlu mencakupi kesemua dalil mazhab-mazhab yang telah pupus mahupun yang
sedia diamalkan, hinggakan hampir-hampir tidak terluput dari pengetahuannya
daripada dalil-dalil tersebut melainkan hanya sedikit sahaja. Mudah-mudahan ia dapat
keluar dari bertaklid di dalam kebanyakan hukum-hakam. Adapun orang yang tidak
sampai ke peringkat tersebut, maka wajib baginya bertaklid kepada satu mazhab
tertentu, jika tidak ia akan terjerumus ke dalam kesesatan.
Sayyidi ‘Ali al-Khawwas (رحمه الله تعالى) merupakan seorang yang
tahu melalui jalan kasyaf, akan setiap masalah mempunyai dalilnya daripada
kata-kata syarak. Kata beliau: “Seorang lelaki di sisi kami tidak akan mencapai
makam sempurna sehinggalah ia mengetahui secara yakin mana yang merupakan kalam
syarak, mana yang merupakan kalam sahabat, mana yang daripada qiyas, dan mana
yang merupakan pendapat yang terkeluar dari keselarasannya dengan apa yang telah
kami sebutkan tadi”.
Kata Sayyidi ‘Ali al-Khawwas lagi: “Orang
yang ingin terikat dalam beramal dengan al-Quran dan sunnah serta menjauhi
beramal dengan pendapat akal perlu kepada keluasan ilmu dalam bidang ilmu
tatabahasa Arab, ilmu ma‘ani dan bayan. Dan ia perlu juga kepada
keluasan ilmu dalam bahasa kaum Arab sehingga ia dapat mengetahui kedudukan
cara-cara beristinbat, serta mengetahui kata-kata orang Arab, majaz
dan isti‘arahnya. Juga ia mengetahui dalil-dalil mana yang boleh
menerima takwil dan mana yang tidak boleh menerimanya”.
Kata Imam al-Sya‘rani lagi:
“Allah Taala telah menganugerahkan kepadaku
kemampuan menelaah dalil-dalil mazhab imam yang empat dan juga mazhab-mazhab lain.
Dan aku tahu sandaran pendapat-pendapat mereka di dalam kesemua bab-bab fiqh. Tiada
satu pendapat pun daripada pendapat-pendapat mereka melainkan aku lihat ianya
bersandar kepada dalil, sama ada kepada ayat al-Quran, hadis, athar,
ataupun qiyas yang sahih di atas asal yang sahih. Mazhab-mazhab imam yang empat
itu, dengan segala pujian bagi Allah, sekarang di sisiku menjadi seolah-olah telah
ditenun daripada syariat yang suci murni, dari segi panjang dan lebarnya,
sebagaimana mengetahui demikian sesiapa yang telah menelaah kitabku: (مختصر السنن الكبرى للإمام البيهقي).
Setiap orang yang tidak menelaah dalil
mazhab-mazhab sebagaimana yang telah kami sebutkan tadi, maka ia tidak akan
tahu membezakan masalah-masalah pendapat akal daripada nas. Boleh jadi ia akan
terjerumus kepada akidah-akidah yang sesat dan beramal dengan mazhab-mazhab
yang batil, melainkan jika ia benar-benar terikat dengan satu mazhab yang
muktabar. Imam Abu Qasim al-Junaid (رحمه الله) berkata: “Seseorang lelaki tidak akan sempurna di sisi kami
pada jalan Allah ‘azza wajalla sehinggalah ia menjadi imam di dalam
bidang fiqh, hadis dan tasawuf, serta mentahkikkan ilmu-ilmu ini kepada
ahlinya”.
Maka ketahuilah, bahawa tidak sewajarnya sesiapa
yang mendakwa berilmu dengan syariat itu hanya sekadar memadai dengan apa yang difahami
olehnya daripada syariat tersebut tanpa berguru, sepertimana yang telah terjadi
kepada sesetengah ahli zaman kita ini. Di mana beliau hanya dengan semata-mata sudah
memahami terus menyibukkan diri dengan menulis dan mengarang serta meninggalkan
berguru kepada alim ulama. Akhirnya, jadilah ia berada di satu pihak dan para
alim ulama berada di satu pihak yang lain. Dan jauhlah ia dari mengenal
pendapat yang rajih di sisi alim ulama di zamannya, di mana pendapat mereka
semua menyalahi pendapatnya. Lalu tiada seorang pun yang mengambil manfaat dari
ilmunya. Sekiranya ia bersabar dalam berguru kepada syeikh-syeikh sehingga
mereka mengizinkannya berfatwa dan mengajar, nescaya mereka semua akan memuji
dirinya, dan manusia pula akan bertumpu kepadanya selepas ketiadaan
syeikh-syeikhnya nanti. Maka ketahuilah yang demikian itu”.
Kata Imam al-Sya‘rani lagi:
“Aku dengar syeikh kami, Syeikhul Islam
Zakariyya al-Ansari (رحمه الله) [w. 926H] berkata:
Begitu jarang sekali terhimpun pada diri seseorang dalam sesuatu zaman itu ilmu
fiqh, hadis dan tasawuf. Kata beliau lagi: Tidak sampai kepada kami
berita bahawa ia ada terhimpun pada diri seseorang selepas al-Tibi, pengarang
kitab (حاشية الكشاف) [w. 743H], sehinggalah
ke waktu kita ini. Dan barangsiapa yang terhimpun padanya ketiga-tiga ilmu ini,
maka dialah yang layak digelar sebagai Syeikh Ahlis Sunnah wal Jamaah di
zamannya, dan sesiapa yang tidak menggelarkannya demikian, maka ia telah
menzaliminya”.
*Catatan:
Meskipun Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari
tidak melihat ulama yang menguasai kombinasi fiqh, hadis dan tasawuf di
zamannya, namun ada beberapa orang di zamannya dan yang muncul selepasnya yang
menghimpunkan ketiga-tiga ilmu berkenaan, seperti al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti
[w. 911H], Syeikh ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani sendiri, Syeikh Ibn Hajar
al-Haytami [w. 974H], Syeikh ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi [w. 1031H] dan Imam Syah Wali Allah al-Dihlawi (w. 1176 H). Kemudian
tidak ramai ulama seumpama mereka yang muncul sesudah itu sehinggalah abad
ke-14 H, di mana munculnya keluarga-keluarga yang hebat, seperti keluarga Ibn
al-Siddiq al-Ghumari dan keluarga al-Kattani di Morocco, serta keluarga
al-Kandahlawi di India.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.