نحمد الله العظيم، ونصلّي
ونسلّم على رسوله الكريم؛
Perkara khilaf seumpama ini, jika
tidak disertai dengan nada ‘keras’, tidak perlu untuk diperpanjang-panjangkan
lagi. Namun, jika sudah menggunakan nada ‘keras’ seperti; “membuka pintu
kefasadan yang besar”, “membawa kecelaruan dalam amalan agama”, “memusnahkan
rujukan penting umat Islam”, “perlu dibendung kerana membawa kemusnahan
kepada masyarakat Islam” dan “menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w.”,
maka menurut hemat saya kekeliruan-kekeliruan seumpama ini wajar diperjelaskan.
[*Saya tidak mahu menyebut siapa dan
dari mana sumber kekeliruan ini kerana pada saya ia tidak perlu]
1. Kekeliruan:
Seseorang tidak boleh bertemu secara sedar (yaqazah)
dengan Rasulullah s.a.w. kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh
bertemu dengan orang yang hidup secara sedar.
Jawapan:
Benar, dalam hal keadaan biasa seseorang
tidak boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah
s.a.w. Tetapi, sebagai suatu karamah seseorang yang soleh boleh bertemu
secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Hukumnya
adalah harus dan mungkin, tidak mustahil. Malah secara praktis ia memang
berlaku kepada sebahagian wali-wali Allah Taala dan orang-orang yang soleh. Maka
tidak harus bagi kita menuduh mereka berbohong atau berdusta dalam dakwaan berkenaan.
Melainkan jika kita mempunyai bukti kukuh tentang pembohongan atau
pendustaan tersebut.
Antara mereka ialah; Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Syeikh Abu al-Hasan
al-Syazili, Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, Syeikhul-Akbar Muhyiddin Ibn al-‘Arabi,
Syeikh Khalifah bin Musa, Syeikh Abu al-‘Abbas al Mursi (w. 686H), Syeikh Abu ‘Abdillah
al-Qurasyi, Syeikh Kamaluddin al-Adfawi, Syeikh ‘Ali al-Wafa’i, Syeikh ‘Abd
al-Rahim al-Qinawi, Syeikh Abu Madyan al-Maghribi, al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti,
Syeikh ‘Ali al-Khawwas, Syeikh Ibrahim al-Matbuli, Imam Abu al-‘Abbas al-Qastallani,
Syeikh Abu al-Su‘ud ibn Abi al-‘Asya’ir, Syeikh Ibrahim al-Dusuqi, Sayyid Nuruddin
al-Iji, Syeikh Ahmad al-Zawawi, Syeikh Mahmud al-Kurdi, Syeikh Ahmad bin Thabit
al-Maghribi, Imam al-Sya‘rani, Syeikh Abu al-Mawahib al-Syazili, Syeikh Nuruddin
al-Syuni, al-Habib ‘Umar bin ‘Abdul Rahman al-‘Attas (penyusun Ratibul ‘Attas),
Sayyidi ‘Abd al-‘Aziz al-Dabbagh, Syeikh Muhammad bin Abi al-Hasan al-Bakri, Sayyidi
Ahmad bin Idris, Syeikh Ahmad al-Tijani dan lain-lain.
Antara dalilnya adalah zahir hadis berikut yang menunjukkan seseorang yang
soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah
s.a.w., tetapi dengan syarat mestilah pernah bertemu dahulu secara mimpi (ru’ya)
dengan baginda s.a.w. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar
Rasulullah s.a.w. bersabda:
«
من رآني في المنام فسيراني في اليقظة، ولا يتمثل الشيطان بي»
“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku
secara yaqazah (di dalam keadaan jaga), kerana syaitan tidak boleh
menyerupaiku”. [Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad. Lafaznya
dari al-Bukhari]
Antara ulama yang mengatakan atau mengiktiraf kemungkinan boleh bertemu
secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ialah:
1. Imam Ibn Abi Jamrah
al-Maliki dalam Bahjah al-Nufus.
2. Al-‘Allamah Ahmad al-Nafrawi
al-Maliki dalam Syarh Risalah Ibn Abi Zayd.
3. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani
dalam Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari.
4. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti
dalam Tanwir al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak.
5. Imam al-Nawawi dalam Syarah
Sahih Muslim.
6. Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz
min al-Dhalal.
7. Imam Syihabuddin al-Qarafi,
8. Imam ‘Afif al-Din al-Yafi‘i al-Syafi‘i dalam (روض
الرياحين).
9. Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki
dalam al-Madkhal.
10. Al-Qadhi Ibnu al-‘Arabi
al-Maliki dalam kitabnya (قانون التأويل).
11. Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari
(w. 709H) dalam kitab Lata’if al-Minan.
12.
Al-Qadhi Syaraf al-Din al-Barizi dalam (توثيق
عرى الإيمان).
13.
Imam Tajuddin al-Subki.
14.
Imam al-Qurtubi dalam (التذكرة
في أحوال الموتى وأمور الآخرة).
15.
Al-‘Allamah Ibn Battal al-Maliki
16.
Al-‘Allamah Ibn al-Tin
17.
Imam ‘Izz al-Din ibn ‘Abd al-Salam dalam al-Qawa'id al-Kubra.
18.
Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Syama'il.
19.
Al-Qadhi Ibn al-Munayyir.
20. Imam Ibn Daqiq al-‘Id.
21. Imam ‘Abd al-Wahhab
al-Sya‘rani dalam beberapa kitabnya.
22. Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki
dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah.
23.
Al-‘Allamah ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi dalam Faydh al-Qadir.
24. Syeikh ‘Abdul Qadir bin
‘Abdullah al-‘Idrus (w. 1038H) dalam kitabnya al-Nurus Safir ‘an Akhbaril
Qarnil ‘Asyir.
25. Imam Abu al-‘Abbas
al-Qurtubi dalam al-Mufhim.
26. Imam al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Laduniyyah.
27. Imam al-Baqillani.
28. Al-‘Allamah Sadruddin
al-Qunawi dalam Syarh al-Arba‘in.
29. Al-‘Allamah Burhanuddin
al-Biqa’i dalam al-Hawi.
30. Al-Qadhi ‘Iyadh al-Maliki.
31. Al-‘Allamah al-Maziri.
32. Al-‘Allamah Nuruddin al-Iji.
33. Al-‘Allamah ‘Abd al-Ghani
al-Nabulsi dalam Syarh Salawat al-Jaylani.
34. Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah
al-Hasani (w. 1224H) dalam al-Futuhat al-Ilahiyyah.
35. Al-‘Allamah Syeikh Ibn
‘Allan al-Siddiqi.
36. Al-‘Allamah Najmuddin
al-Ghazi dalam kitabnya al-Kawakib al-Sa’irah.
37. Imam Syah Waliy Allah
al-Dihlawi dalam al-Durr al-Thamin.
38.
Al-‘Allamah al-Alusi dalam tafsir Ruh al-Ma'ani.
39. Sayyid ‘Abdul Rahman al-‘Idrus dalam kitab Syarh Salawat al-Badawi.
40. Syeikh ‘Ali al-Ajhuri al-Maliki dalam al-Nur al-Wahhaj.
41. Syeikh Muhammad al-Khalili dalam al-Fatawa.
42. Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi
dalam al-Solat 'ala al-Nabiy.
43. Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani
dalam Sa‘adah al-Darayn, Syawahidul Haq dan Jami‘ Karamatil
Auliya’.
44. Syeikh Badi‘ al-Zaman Sa‘id al-Nursi.
45. Syeikh Ibrahim al-Bajuri
dalam Syarh al-Syama’il.
46. Syeikh Muhammad Hasanain
Makhluf.
47. Syeikh Abu al-Qasim Muhammad
al-Hafnawi dalam Ta'rif al-Khalaf.
48. Al-‘Allamah Dr. ‘Abdul Halim
Mahmud, Syeikhul Azhar.
49. Al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah
al-Siddiq al-Ghumari dalam kitabnya Fadha’ilun Nabi SAW.
50. Al-‘Allamah Dr. Sayyid
Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki dalam al-Zakha’ir al-Muhammadiyyah.
51. Al-‘Allamah Dr. Muhammad
Sa‘id Ramadan al-Buti.
52. Al-Allamah Dr. ‘Ali Jum‘ah,
Mufti Mesir dalam al-Bayan.
53. Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil,
54. Dr. Mahmud al-Zayn.
55. Datuk Seri Maharaja Awang
Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Brunei.
Dan ramai lagi jika diperincikan secara detil.
2. Kekeliruan:
Iktikad seperti ini membuka pintu
kefasadan yang besar dan seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan agama. Ini
kerana, seseorang yang
telah berjumpa Nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran tambahan yang
diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.
Jawapan:
Belum ada orang mukmin soleh yang
telah berjumpa Nabi s.a.w. mendakwa membawa ajaran-ajaran tambahan yang
diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya, dalam erti kata, ajaran-ajaran
tambahan yang tidak ada asalnya dalam al-Quran mahupun hadis. Kesemua yang
dinyatakan sekiranya betul, hanyalah berbentuk petunjuk dan nasihat yang
tidak lari dari ruang lingkup syarak, atau mempunyai asalnya daripada al-Quran
dan hadis.
Kata al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani (w.
1398H):
“Kami tidak beriktikad bahawa
di sana -
selepas Rasulullah SAW - terdapat suatu syariat baru dalam apa jua bentuk
sekalipun. Dan apa yang dibawa oleh baginda SAW mustahil untuk dimansuh
sebahagian daripadanya, atau ditambah sesuatu terhadapnya. Sesiapa yang
mendakwa sedemikian, maka dia adalah kafir terkeluar daripada agama Islam.
Sesungguhnya kami, meskipun
kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan
jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur
yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya
SAW. Penyaksian-penyaksian para wali itu bukanlah suatu hujah, tetapi yang
menjadi hujah adalah syariat Muhammad SAW. Adapun penyaksian-penyaksian tersebut, hanyalah
berita-berita gembira (busyra) yang terikat dengan syariat baginda yang mulia;
apa yang diterima olehnya kami juga menerimanya dan apa yang tidak diterima
olehnya, maka mazhab kami adalah bersangka baik padanya. Maka kami hukumkannya
seperti hukum mimpi yang tertakwil.
Kita tidak ragu lagi bahawa
kebanyakan mimpi itu perlu kepada takwil/tafsir. Namun, kami memilih bersangka
baik kerana seorang mukmin yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan
bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah SWT, dan ia sayang terhadap
agamanya, serta patuh mengikutinya, kami menolak bahawa ia sengaja berdusta ke
atas Rasulullah SAW. Keadaan berjaga dalam perkara ini adalah sama seperti
keadaan tidur, sedang dia membaca sabdaan baginda SAW: “Sesiapa yang berdusta
ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada
api neraka”. – tamat kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani
3. Kekeliruan:
Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul oleh para
ulamak yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam
sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber hadis
lain yang lebih dekat kepada baginda.
Jawapan:
Kekeliruan ini hanya pendapat
akal dan khayalan semata-mata yang tidak berpijak kepada realiti yang berlaku
dalam dunia kerohanian ahli-ahli sufi yang hak. Tiada siapa dari kalangan
wali-wali Allah Taala dan orang-orang soleh ini mengatakan segala hadis yang
telah dikumpul oleh para ulama yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan
bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan kerana sudah ada
sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. Pada saya, kekeliruan kerana
berkhayal ini disebabkan kerana tidak cukup menelaah, membaca dan memahami.
4. Kekeliruan:
Setelah situasi ini wujud maka banyaklah amalan-amalan yang
boleh ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung daripada Rasulullah
kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul s.a.w.
Jawapan:
Sudah ratusan tahun isu bertemu
secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ini dibincangkan oleh para
ulama. Namun, hakikatnya tiada langsung akidah baru atau hukum-hakam baru yang
didakwa oleh orang-orang soleh dan wali-wali Allah Taala yang pernah bertemu
dengan Rasulullah s.a.w. Kebanyakannya jika betul adalah berkaitan zikir,
doa dan selawat. Dan kesemua itu pula tidak terkeluar dari dalil-dalil dan
perintah-perintah syarak yang umum mengenainya. Bahkan menurut ramai ulama,
masalah-masalah yang khusus berkaitan zikir dan doa ini pintu perbahasannya adalah
lebih luas, tidak sepertimana amalan-amalan ibadah lain, selamamana ia tidak
melanggar batas-batas syarak. Jika benar ada penerimaan sesuatu secara yaqazah,
maka hukumnya adalah seumpama hukum apa yang diperolehi daripada kasyaf, ilham
dan mimpi yang benar. Mesti ditimbang dengan neraca syarak.
Cuba perhatikan kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani tadi:
“Meskipun kami berpendapat
harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami
menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak
dapat dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW”.
5. Kekeliruan:
Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak ini
telah berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan
berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari Nabi
s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang diberitahu
sendiri oleh Rasulullah s.a.w iaitu, kitabullah dan sunahnya.
Jawapan:
Percaya bahawa seorang wali atau
orang soleh boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w tidak akan
memusnahkan institusi hadis yang sudah sedia ada. Jika benar mereka bertemu
secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., maka adalah amat MUSTAHIL
baginda s.a.w. akan menyuruh kepada perkara-perkara yang akan memansuhkan atau
merosakkan syariatnya sendiri. Tidak dapat diterima dek akal bahawa Nabi s.a.w.
akan mengkucar-kacirkan syariat yang telah dibangunkan dengan titik peluh dan
darah dagingnya sendiri.
Apa yang dikhayalkan itu tidak
akan berlaku selama-lamanya kerana para wali atau orang-orang soleh tersebut
adalah golongan yang amat takut kepada Allah SWT, sangat cinta kepada baginda
Nabi s.a.w., terlalu sayang dengan syariat baginda s.a.w., dan begitu kasih
kepada umat baginda s.a.w. Apakah dapat diterima akal, mereka ini berusaha
untuk merosakkan syariat baginda s.a.w.dan menyesatkan umatnya?? Seolah-olah
mereka tidak pernah dengar hadis baginda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang berdusta
ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada
api neraka”.
Jangan terlalu berprasangka buruk
kepada ahli-ahli sufi seolah-olah mereka semua orang yang bodoh, tidak mengerti
syariat dan akan menerima secara membuta tuli siapa saja yang mendakwa bertemu
dengan Nabi s.a.w., walaupun dari orang yang jahil. Jika ada ahli sufi yang
menyeleweng, maka sandarkan kesalahan itu kepadanya sahaja, bukan kepada semua golongan
ahli sufi.
6. Kekeliruan:
Jawapan:
Rangkap akhir di atas dapat
difahami sebaliknya begini; Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari
baginda dan disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak
silam maka dakwaan itu dianggap benar. Alhamdulillah, ada sedikit
kemuafakatan.
Cubalah belek contohnya, kitab al-Durr
al-Thamin fi Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW susunan Imam al-Mujaddid Syah
Wali Allah al-Dihlawi yang menghimpunkan 40 peristiwa bertemu Rasulullah s.a.w.
secara mimpi dan jaga. Perhati dan fahamkan, apakah ada yang tidak bersandarkan
kepada syariat baginda s.a.w.?
7. Kekeliruan:
Sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas ini perlu
dibendung kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan menjauhkan
mereka dari ajaran Nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan mereka
mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.
Jawapan:
Menurut pengetahuan saya setakat ini, tidak ada satu pun tariqat sufi
muktabar di dunia pada hari ini yang menolak keharusan bertemu secara sedar/jaga
(yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Apakah seluruh tariqat-tariqat
sufi ini dengan puluhan juta pemgamalnya perlu dibendung dan dibanteras...?
Apakah kemusnahan benar-benar berlaku kepada masyarakat Islam dan mereka telah
jauh dari ajaran Nabi s.a.w. disebabkan seluruh tariqat sufi di dunia pada hari
ini menyatakan – sesudah sekian lama - seorang soleh harus bertemu secara sedar/jaga
(yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ??
Tidak ada orang waras yang mengatakan demikian. Bahkan ramai dari kalangan
alim ulama tariqat-tariqat sufi ini adalah pemelihara-pemilhara sunnah baginda
s.a.w. baik sunnah yang zahir mahupun sunnah yang batin. Berapa banyak rahmat
dan manfaat rohani yang tersebar di seluruh dunia sama ada kita sedari ataupun
tidak, disebabkan usaha-usaha mereka.
Memang seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan harus bertemu
secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., namun realitinya
perkara tersebut tidak selalu berlaku pun kerana ia adalah suatu karamah
yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki sahaja.
Bahkan dalam tempoh 100 tahun, barangkali hanya beberapa orang sahaja yang boleh
dibilang dengan jari mendakwa demikian, atau dikatakan mengalaminya. Jika
peribadi dan latar belakangnya bertunjangkan syariat, maka baru boleh diterima
dakwaan itu. Jika sebaliknya, maka dakwaan tersebut adalah wajib
ditolak.
Perlu juga dilihat bagaimana cara mereka dapat mencapai peringkat
kerohanian yang tinggi itu; Apakah zikirnya 100,000 setiap hari, atau
selawatnya 50,000 setiap hari, atau tahajjudnya 500 rakaat setiap hari? Atau
apakah hanya sekadar berjanggut, berjubah dan berserban besar saja, tetapi
amalannya ‘kosong’?? Kata
al-‘Allamah Ibn Al-Haj dalam kitab al-Madkhal (3/194):
“Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah,
sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit (sukar) untuk
diperbahaskan. Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang
mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walau
bagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya,
dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah s.w.t. zahir
dan batin mereka.”
Wallahu a’lam.
Rujukan Tambahan:
- Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan oleh Raja Ahmad
Mukhlis:
- Masalah Berjumpa Rasulullah
Ketika Jaga Selepas Wafatnya (terjemahan) oleh Husain Hasan Toma‘i.
- Sa‘adah
al-Darayn oleh al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani.
- Fatwa Mufti Brunei,
download :
yaqazah-fatwa-mufti-brunei.
- al-Muqizah fi Ru’yah al-Rasul SAW fil Yaqazah oleh Syeikh Hisyam
bin 'Abd al-Karim al-Alusi, download: http://www.almijhar.org/book/almokza.pdf
- Tariqah al-Ahmadiah al-Idrisiah, http://www.ahmadiah-idrisiah.com/article-Yaqazah-pandangan-ulama.php
1 comment:
السوق الحرة السعودية
اعلانات مبوبة مجانية في #السعودية
اضف اعلانك مجاناً وبدون عمولة
http://marketsef.com/
وظائف
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.