Pada asalnya saya merasa tidak
perlu untuk mengulas komen dan kritikan yang ditujukan ke atas tulisan saya
mengenai fadhilat solat tarawih, khususnya tentang kepalsuan hadis fadhilat
solat tarawih pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan. Lebih-lebih lagi ia
hanya sebuah komen dalam sebuah blog biasa yang mungkin tidak diendah oleh
sesiapa. Namun kerana melihat ulasan itu akan dapat memperbetulkan persepsi
yang salah mengenai metodologi belajar, berfikir, menelaah, mengkaji dan
mengkritik di kalangan sesetengah orang secara umum, maka ulasan ini ada
baiknya ditulis.
Semoga ada manfaatnya terutama
bagi adik-adik, para pelajar dan siswa-siswi yang ingin memahami cara berfikir yang
baik dan cara berfikir yang lemah.
Pada saya, komen dan kritikan yang
lemah sebegini masih berlaku dalam kalangan sesetengah orang kerana kurang
memahami falsafah ilmu dengan betul. Falsafah ilmu bukan sekadar mementingkan
hujah dan dalil, tapi ia juga mementingkan keaslian dan ketulenan. Mungkin hujah
dan dalil ada, tetapi ia agak lemah. Di dalam disiplin ilmu hadis, menjaga
keaslian dan ketulenan merupakan ciri unik yang telah membentuk cabang-cabang
seni hadis yang begitu banyak. Asas ini perlu difahami dahulu oleh orang yang
ingin berbicara tentang apa jua masalah berkaitan dengan ilmu hadis.
Saya menyebut dalam tulisan terdahulu:
“Suatu
masa dahulu hadith tentang kelebihan solat tarawih yang diriwayatkan dari
Sayyidina ‘Ali RA cukup popular. Barangkali
kerana tersebarnya kitab Durrah al-Nasihin dan terjemahan Melayunya yang
memuatkan hadith tersebut di dalamnya. Antara teksnya;
Daripada
Sayyidina ‘Ali RA beliau telah menanyakan
kepada Rasulullah SAW tentang fadhilat Solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Jawab
Rasulullah SAW tentang fadhilat tarawih sebagai berikut, mulai dari malam
pertama sampai malam 30 Ramadhan:
1.
Malam Pertama: Diberi balasan seperti bayi baru dilahirkan.
2.
Malam Kedua: Diampuni Allah dosanya dan bagi ibu-bapanya jika keduanya mukmin.
3.
Malam Ketiga: Diseru oleh malaikat di bawah Arasy dan dengan solat tersebut
diampuni Allah dosanya yang telah lalu.
5.
Malam Kelima: Kemudian dikurniai Allah seolah-olah sembahyang di Masjidil
Haram, Masjid Madinah, dan Masjidil Aqsa.
6.
Malam Keenam: Dikurnia Allah seolah-olah dia tawaf di Baitul Makmur dan
dipintakan ampun oleh segala batu dan pasir.
7.
Malam Ketujuh: Dikurniai Allah seolah-olah ia berjumpa dengan Nabi Musa AS dan
membantu Musa melawan Fir‘aun dan Haman…
8. … demikian seterusnya hingga
akhir malam ke-30.
Pengarang
Durrah al-Nasihin hanya menyebut sumber petikannya daripada kitab Majalis.
Bagaimanapun, hadith ini adalah hadith palsu, malah tiada sumber asal
yang muktamad bagi hadith ini sebagaimana yang disebutkan oleh pakar-pakar
hadith. Antaranya seperti yang disebut oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam
tesisnya (Ph.D.), Takhrij Hadith-hadith Durrah al-Nasihin. Dalam Fatwa
Mufti Kerajaan Brunei (1999)
juga menyatakan ianya tiada di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah, namun ada
diriwayatkan seumpamanya di dalam kitab-kitab Syiah seperti kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi dan Wasa’il
al-Syi‘ah oleh al-Hurr al-‘Amili. Dan rujukan mereka tidak dapat
dipegang oleh kita”.
Sumber:
Berikut komen-komennya
yang penting dan ulasannya:
Astaghfirullah al-Adhim..
terlalu mudah benar ustaz-ustaz sekarang melabelkan sesuatu hadis itu sebagai hadis palsu dengan hanya bersandarkan hujah daripada tesis Ph.D, ulama-ulama zaman moden ini yang hanya belajar di Jabatan Hadis, tetapi tidak pernah mempelajari daripada para ulama Muhaddisin yang muktabar.
terlalu mudah benar ustaz-ustaz sekarang melabelkan sesuatu hadis itu sebagai hadis palsu dengan hanya bersandarkan hujah daripada tesis Ph.D, ulama-ulama zaman moden ini yang hanya belajar di Jabatan Hadis, tetapi tidak pernah mempelajari daripada para ulama Muhaddisin yang muktabar.
-
Bukan mudah untuk melabelkan sesuatu
hadis sebagai palsu jika tidak cukup persediaannya. Pengalaman saya, sudah
lebih 10 tahun saya cuba
mengintai-intai sumber asal bagi hadis fadhilat solat tarawih pada setiap malam
sepanjang bulan Ramadhan itu bagi melihat kedudukan sanadnya, namun ia masih
belum ditemui sehingga kini. Jelasnya hadis tersebut dapat dihukum sebagai
palsu bukan hanya dalam sehari dua. Justeru, tuduhan mudah melabelkan sesuatu
hadis sebagai palsu itu adalah tidak benar. Ia adalah berdasarkan kajian yang
lama dan kemahiran mendalami seni penilaian hadis.
-
Menyandarkan hujah kepada tesis Ph.D bukanlah cara yang ditolak dalam
perbahasan ilmiah. Bahkan nilai ilmiahnya adakala memang sukar untuk dicabar.
-
Bukan menjadi syarat dalam mempelajari hadis mesti daripada ulama
muhaddithin yang muktabar. Memadai ulama tersebut layak dan berkeahlian dalam
mengajar ilmu hadis sudah mencukupi. Maka tidak ada bezanya antara belajar dari
guru yang masyhur atau belajar dari guru yang tidak masyhur. Dan sama ada
belajar dari guru di institusi moden atau belajar dari guru di institusi
tradisional. Alhamdulillah saya telah mempelajari disiplin hadis ini dari
guru-guru di al-Azhar al-Syarif, Mesir yang terkenal dalam melahirkan ribuan
ulama hebat di sepanjang sejarahnya. Saya turut menerima ijazah hadis daripada
beberapa orang guru.
Dengan hanya
berbekalkan ijazah dalam bidang hadis, ataupun bekerja sebagai pensyarah dalam
Jabatan Hadis, seseorang itu masih belum layak lagi untuk mengatakan sesuatu
hadis itu palsu atau tidak.
-
Bahkan seseorang yang memegang ijazah dalam bidang hadis ataupun bertugas
sebagai pensyarah dalam bidang hadis adalah berkelayakan untuk mengatakan
sesuatu hadis itu palsu atau tidak dengan syarat ia benar-benar menguasai dan
menghadami seni penilaian hadis, sama ada dari segi mustalah al-hadith, ilmu
‘ilal, ilmu al-rijal, al-jarh wa al-ta‘dil, manahij muhaddithin, takhrij
al-hadith, ataupun dirasah al-asanid.
-
Para ulama hadis telah pun mengajarkan kepada kita berbagai kaedah untuk
menghukum dan menilai sesuatu hadis. Malah tiada sebarang tegahan pun untuk mereka
yang cukup persediaan mengaplikasikannya. Sudah tentu kelebihan adalah pada
mereka yang cukup berpengetahuan luas dalam segala aspek berkaitan hadis. Seperkara
yang tidak dapat dinafikan, kita tidak akan dapat lari dari bergantung kepada
para alim ulama silam serta karya-karya mereka.
Sebenarnya fadhilat Ramadhan ini telah disebut dalam banyak kitab-kitab
yang muktabar baik dari kalangan ulama melayu dan ulama silam seperti Imam
Al-Ghazali dan lain-lain. Saya agak terkejut bagaimana ustaz dari Jabatan Hadith
KUIS ini begitu mudah sekali mengeluarkan “fatwa” mengatakan hadis ini palsu?
-
Setiap ilmu mesti dirujuk kepada ahlinya. Merujukkan sesuatu ilmu bukan
kepada ahlinya adalah seperti seorang pesakit meminta ubat dari tukang kebun. Perlu
diketahui, mereka yang ahli dalam bidang hadis adalah seperti al-Bayhaqi, Ibn
‘Abd al-Barr, al-Khatib al-Baghdadi, Ibn al-Solah, al-Munziri, al-Nawawi,
al-‘Iraqi, al-Busiri, al-Haythami, al-Zahabi, al-Mizzi, Ibn Hajar al-‘Asqalani,
al-Sakhawi, al-Suyuti dan ramai lagi. Maka kitab hadis muktabar mana yang
meriwayatkan hadis berkenaan dengan sanadnya??? Atau sebutkan apa saja kitab
yang ada meriwayatkan hadis tersebut secara bersanad?? Sila nyatakan satu...
-
Sedangkan kita tahu ia hanya direkodkan dalam kitab Majalis seperti
yang dirujukkan oleh al-Khubawi (w. 1241H) dalam kitab Durrah al-Nasihin. Namun, bagaimanakah kedudukan kitab Majalis
yang dirujuk oleh al-Khubawi itu? Apakah ia sebuah kitab muktabar dan muktamad?
Siapakah pengarang kitab Majalis tersebut? Adakah ia seorang pakar
hadis? Memandangkan al-Khubawi hidup di zaman Dinasti Uthmaniyyah, maka kita perlu
mengesan kitab popular yang bernama Majalis dalam zaman tersebut. Antara
yang dikesan ialah kitab Majalis al-Abrar wa Masalik al-Akhyar dalam
bahasa Turki, terjemahan daripada Majalis al-Syaykh Ahmad bin ‘Abd al-Qadir
al-Rumi (w. 1041H @ 1043H) dan kitab Majalis yang judul penuhnya
ialah (مجالس الأبرار ومسالك الأخيار ومحائق البدع ومقامع الأشرار
في شرح مائة حديث من المصابيح) oleh Ahmad bin Muhammad
al-Aqhasari al-Rumi al-Hanafi al-Khalwati (w. 1043H). Kemungkinan kedua-duanya
adalah kitab yang sama. Namun, hadis berkenaan tidak dimuatkan di dalamnya...
-
Hadis yang tidak ditemukan sumber asalnya adalah hadis yang sama taraf
dengan hadis palsu. Begitu juga matan hadis yang menggambarkan seolah-olah ia
bukan daripada gaya sabdaan baginda Nabi SAW turut dapat menunjukkan
tanda-tanda kepalsuannya. Ini dapat diketahui melalui pengalaman dan zauq yang
mendalam. Maka saya ulangi tidak mudah perjalanan saya untuk mengatakan hadis
tersebut sebagai palsu.
Ketahuilah sidang pelayar sekalian, bahawa
memang wujud hadis palsu tentang fadhilat Ramadhan ini.. namun kepalsuannya
adalah dari sudut perawi dan rantaiannya. Dari segi matannya masih sahih kerana
disokong oleh hadis-hadis lain.
-
Hanya sebahagian kecil matan hadis tersebut yang disokong oleh riwayat-riwayat
lain. Dan kebanyakan matan hadis itu tidak pun disokong oleh mana-mana riwayat
lain. Maka sudah tentu tidak dapat dihukum sebagai sahih matannya secara
keseluruhan.
-
Apakah penilaian saudara tersebut berdasarkan kajian yang panjang atau dek
kerana terlalu bemudah-mudah dalam melabelkan sesuatu hadis sebagai sahih???
Apakah masalah ini hanya satu perkara enteng sahaja??? Kitab muktabar mana dari
karangan ulama Melayu atau ulama silam seperti Imam al-Ghazali dan lain-lain
yang menyatakan; dari segi matannya masih sahih kerana disokong oleh
hadis-hadis lain???
Sidang pelayar sekalian, janganlah kita
mengatakan sesuatu hadis itu palsu hanya kerana mendengar orang lain atau ustaz
dari Jabatan Hadis mengatakan ia palsu, jika kita berbuat demikian sesungguhnya
kita sudah zalim dengan agama Allah s.w.t.
-
Jika seseorang yang berkelayakan dan berkeahlian memutuskan sesuatu hadis
sebagai palsu, maka secara teknikal tidak ada salahnya untuk orang lain
mengikutnya. Ini kerana ia akan bertanggungjawab penuh di atas keputusannya di
hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Justeru tuduhan zalim terhadap orang yang
mengikuti itu adalah satu tuduhan yang sangat keterlaluan dan tidak wajar dilontarkan.
Jika kita tidak dapat menerima pandangan orang lain janganlah kita menghukum
orang yang mengikutinya sebagai berbuat zalim. Ini bukanlah akhlak pengkritik
yang terpuji.
Ketahuilah bahawa dalam bidang ilmu hadis
ini ada dua mazhab yang berselisihan, ada ulama yang mengatakan bahawa sesuatu
hadis itu palsu, dan ada pula yang mengatakan bahawa hadis yang sama itu
sebenarnya sahih.
-
Benar, tetapi bukan pada hadis yang kita bicarakan. Jika tidak, dari mana
sumber yang ada menyatakan demikian itu pada hadis yang sedang dibincangkan ini???
Oleh
itu, sidang pelayar sekalian.. janganlah disebabkan hanya Ustaz Mohd Hafidz
Soroni, Dr. Ahmad Lutfi Abdullah dan mereka yang seangkatan dengan mereka
mengatakan bahawa hadis itu palsu, kita semua menghukum hadis itu palsu.
Perbuatan ini.. zalim namanya bahkan dari sudut keilmuan, lemah sekali
hujahannya.
-
Saya ulangi jika kita tidak dapat menerima pandangan orang lain janganlah
kita menghukum orang yang bercanggah pendapat dengan kita atau orang lain yang mengikuti
pendapatnya sebagai berbuat zalim. Ini satu tuduhan yang amat sangat keterlaluan.
Saya mengandaikan saudara pengkritik seorang yang masih muda dan bersemangat
yang menerima ilmu dari satu pihak yang sangat dihormatinya serta sanggup
mempertahankannya bermati-matian walaupun terbukti salah. Sentimen sebegini
memang ada pada ramai orang muda. Cuma nasihat saya, bersabar dan jangan malas
membaca.
-
Dari sudut keilmuan, menyandarkan suatu pandangan kepada pandangan orang
lain adalah cara yang dapat diterima dan bukanlah dianggap sebagai hujah yang
sangat lemah. Cara ini memang digunakan oleh kebanyakan orang, bahkan saudara
pengkritik sendiri menggunakannya tanpa beliau sedari. Apakah beliau juga telah
berbuat zalim???
-
Saya mengingatkan agar jangan terlalu mudah dan longgar menyebarkan
hadis-hadis palsu kerana hukumnya adalah haram. Berdusta ke atas baginda
Rasulullah SAW secara sengaja bukanlah satu dosa yang ringan!
Salam Ramadhan daripada,
Tablighster
Buat akhirnya saya ucapkan:
كل عام وأنتم بخير
2 comments:
Salam,
Barakallahu fikum wa fi a'maalikum wa jazakumullahu khairal jazaa.
Semoga Allah mengurniakan istiqamah dan thabat pada ustaz dalam khidmat hadith Nabi SAW dan agamaNya.
Sememangnya kejahilan adalah musuh paling bahaya. Saya teringat kata2 seorang Syeikh tariqah Nasyabandiyah yang sangat alim; katanya pada saya: "Saya tidak takut dan risau terhadap puak2 wahhabi, tapi yang paling saya takut dan risau adalah puak2 sufi yang jahil".
Maafkan kebudak2an saya dalam komen saya di sini.
- Muhibukum
Informasinya sangat menarik dan sangat membantu saya yang masih belajar ini,terkait dengan teknik dan share yang anda posting disini,saya memang belum mengetahuinya, dan merupakan ilmu baru yang sangat inspiratif buat saya, mantab dan keep spirit blogging,salam dari Tukang Marmer Tulungagung
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.