Pages

Thursday, August 9, 2012

Komen Tentang Fadhilat Tarawih 30 Malam Ramadhan



Pada asalnya saya merasa tidak perlu untuk mengulas komen dan kritikan yang ditujukan ke atas tulisan saya mengenai fadhilat solat tarawih, khususnya tentang kepalsuan hadis fadhilat solat tarawih pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan. Lebih-lebih lagi ia hanya sebuah komen dalam sebuah blog biasa yang mungkin tidak diendah oleh sesiapa. Namun kerana melihat ulasan itu akan dapat memperbetulkan persepsi yang salah mengenai metodologi belajar, berfikir, menelaah, mengkaji dan mengkritik di kalangan sesetengah orang secara umum, maka ulasan ini ada baiknya ditulis.

Semoga ada manfaatnya terutama bagi adik-adik, para pelajar dan siswa-siswi yang ingin memahami cara berfikir yang baik dan cara berfikir yang lemah.

Pada saya, komen dan kritikan yang lemah sebegini masih berlaku dalam kalangan sesetengah orang kerana kurang memahami falsafah ilmu dengan betul. Falsafah ilmu bukan sekadar mementingkan hujah dan dalil, tapi ia juga mementingkan keaslian dan ketulenan. Mungkin hujah dan dalil ada, tetapi ia agak lemah. Di dalam disiplin ilmu hadis, menjaga keaslian dan ketulenan merupakan ciri unik yang telah membentuk cabang-cabang seni hadis yang begitu banyak. Asas ini perlu difahami dahulu oleh orang yang ingin berbicara tentang apa jua masalah berkaitan dengan ilmu hadis.

Saya menyebut dalam tulisan terdahulu:

“Suatu masa dahulu hadith tentang kelebihan solat tarawih yang diriwayatkan dari Sayyidina Ali RA cukup popular. Barangkali kerana tersebarnya kitab Durrah al-Nasihin dan terjemahan Melayunya yang memuatkan hadith tersebut di dalamnya. Antara teksnya;

Daripada Sayyidina Ali RA beliau telah menanyakan kepada Rasulullah SAW tentang fadhilat Solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Jawab Rasulullah SAW tentang fadhilat tarawih sebagai berikut, mulai dari malam pertama sampai malam 30 Ramadhan:

1. Malam Pertama: Diberi balasan seperti bayi baru dilahirkan.
2. Malam Kedua: Diampuni Allah dosanya dan bagi ibu-bapanya jika keduanya mukmin.
3. Malam Ketiga: Diseru oleh malaikat di bawah Arasy dan dengan solat tersebut diampuni Allah dosanya yang telah lalu.
4. Malam Keempat: Dibalas Allah seperti membaca kitab Taurat, Injil, Zabur, dan Quran.
5. Malam Kelima: Kemudian dikurniai Allah seolah-olah sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah, dan Masjidil Aqsa.
6. Malam Keenam: Dikurnia Allah seolah-olah dia tawaf di Baitul Makmur dan dipintakan ampun oleh segala batu dan pasir.
7. Malam Ketujuh: Dikurniai Allah seolah-olah ia berjumpa dengan Nabi Musa AS dan membantu Musa melawan Firaun dan Haman…
8. … demikian seterusnya hingga akhir malam ke-30.

Pengarang Durrah al-Nasihin hanya menyebut sumber petikannya daripada kitab Majalis. Bagaimanapun, hadith ini adalah hadith palsu, malah tiada sumber asal yang muktamad bagi hadith ini sebagaimana yang disebutkan oleh pakar-pakar hadith. Antaranya seperti yang disebut oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam tesisnya (Ph.D.), Takhrij Hadith-hadith Durrah al-Nasihin. Dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei (1999) juga menyatakan ianya tiada di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah, namun ada diriwayatkan seumpamanya di dalam kitab-kitab Syiah seperti kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi dan Wasa’il al-Syiah oleh al-Hurr al-Amili. Dan rujukan mereka tidak dapat dipegang oleh kita”.

Sumber:

            Berikut komen-komennya yang penting dan ulasannya:

Astaghfirullah al-Adhim..

terlalu mudah benar ustaz-ustaz sekarang melabelkan sesuatu hadis itu sebagai hadis palsu dengan hanya bersandarkan hujah daripada tesis Ph.D, ulama-ulama zaman moden ini yang hanya belajar di Jabatan Hadis, tetapi tidak pernah mempelajari daripada para ulama Muhaddisin yang muktabar.

-          Bukan mudah untuk melabelkan sesuatu hadis sebagai palsu jika tidak cukup persediaannya. Pengalaman saya, sudah lebih 10 tahun saya cuba mengintai-intai sumber asal bagi hadis fadhilat solat tarawih pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan itu bagi melihat kedudukan sanadnya, namun ia masih belum ditemui sehingga kini. Jelasnya hadis tersebut dapat dihukum sebagai palsu bukan hanya dalam sehari dua. Justeru, tuduhan mudah melabelkan sesuatu hadis sebagai palsu itu adalah tidak benar. Ia adalah berdasarkan kajian yang lama dan kemahiran mendalami seni penilaian hadis.
-          Menyandarkan hujah kepada tesis Ph.D bukanlah cara yang ditolak dalam perbahasan ilmiah. Bahkan nilai ilmiahnya adakala memang sukar untuk dicabar.
-          Bukan menjadi syarat dalam mempelajari hadis mesti daripada ulama muhaddithin yang muktabar. Memadai ulama tersebut layak dan berkeahlian dalam mengajar ilmu hadis sudah mencukupi. Maka tidak ada bezanya antara belajar dari guru yang masyhur atau belajar dari guru yang tidak masyhur. Dan sama ada belajar dari guru di institusi moden atau belajar dari guru di institusi tradisional. Alhamdulillah saya telah mempelajari disiplin hadis ini dari guru-guru di al-Azhar al-Syarif, Mesir yang terkenal dalam melahirkan ribuan ulama hebat di sepanjang sejarahnya. Saya turut menerima ijazah hadis daripada beberapa orang guru.

Dengan hanya berbekalkan ijazah dalam bidang hadis, ataupun bekerja sebagai pensyarah dalam Jabatan Hadis, seseorang itu masih belum layak lagi untuk mengatakan sesuatu hadis itu palsu atau tidak.

-          Bahkan seseorang yang memegang ijazah dalam bidang hadis ataupun bertugas sebagai pensyarah dalam bidang hadis adalah berkelayakan untuk mengatakan sesuatu hadis itu palsu atau tidak dengan syarat ia benar-benar menguasai dan menghadami seni penilaian hadis, sama ada dari segi mustalah al-hadith, ilmu ‘ilal, ilmu al-rijal, al-jarh wa al-ta‘dil, manahij muhaddithin, takhrij al-hadith, ataupun dirasah al-asanid.
-          Para ulama hadis telah pun mengajarkan kepada kita berbagai kaedah untuk menghukum dan menilai sesuatu hadis. Malah tiada sebarang tegahan pun untuk mereka yang cukup persediaan mengaplikasikannya. Sudah tentu kelebihan adalah pada mereka yang cukup berpengetahuan luas dalam segala aspek berkaitan hadis. Seperkara yang tidak dapat dinafikan, kita tidak akan dapat lari dari bergantung kepada para alim ulama silam serta karya-karya mereka.

Sebenarnya fadhilat Ramadhan ini telah disebut dalam banyak kitab-kitab yang muktabar baik dari kalangan ulama melayu dan ulama silam seperti Imam Al-Ghazali dan lain-lain. Saya agak terkejut bagaimana ustaz dari Jabatan Hadith KUIS ini begitu mudah sekali mengeluarkan “fatwa” mengatakan hadis ini palsu?

-          Setiap ilmu mesti dirujuk kepada ahlinya. Merujukkan sesuatu ilmu bukan kepada ahlinya adalah seperti seorang pesakit meminta ubat dari tukang kebun. Perlu diketahui, mereka yang ahli dalam bidang hadis adalah seperti al-Bayhaqi, Ibn ‘Abd al-Barr, al-Khatib al-Baghdadi, Ibn al-Solah, al-Munziri, al-Nawawi, al-‘Iraqi, al-Busiri, al-Haythami, al-Zahabi, al-Mizzi, Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Sakhawi, al-Suyuti dan ramai lagi. Maka kitab hadis muktabar mana yang meriwayatkan hadis berkenaan dengan sanadnya??? Atau sebutkan apa saja kitab yang ada meriwayatkan hadis tersebut secara bersanad?? Sila nyatakan satu...
-          Sedangkan kita tahu ia hanya direkodkan dalam kitab Majalis seperti yang dirujukkan oleh al-Khubawi (w. 1241H) dalam kitab Durrah al-Nasihin. Namun, bagaimanakah kedudukan kitab Majalis yang dirujuk oleh al-Khubawi itu? Apakah ia sebuah kitab muktabar dan muktamad? Siapakah pengarang kitab Majalis tersebut? Adakah ia seorang pakar hadis? Memandangkan al-Khubawi hidup di zaman Dinasti Uthmaniyyah, maka kita perlu mengesan kitab popular yang bernama Majalis dalam zaman tersebut. Antara yang dikesan ialah kitab Majalis al-Abrar wa Masalik al-Akhyar dalam bahasa Turki, terjemahan daripada Majalis al-Syaykh Ahmad bin ‘Abd al-Qadir al-Rumi (w. 1041H @ 1043H) dan kitab Majalis yang judul penuhnya ialah (مجالس الأبرار ومسالك الأخيار ومحائق البدع ومقامع الأشرار في شرح مائة حديث من المصابيح) oleh Ahmad bin Muhammad al-Aqhasari al-Rumi al-Hanafi al-Khalwati (w. 1043H). Kemungkinan kedua-duanya adalah kitab yang sama. Namun, hadis berkenaan tidak dimuatkan di dalamnya...
-          Hadis yang tidak ditemukan sumber asalnya adalah hadis yang sama taraf dengan hadis palsu. Begitu juga matan hadis yang menggambarkan seolah-olah ia bukan daripada gaya sabdaan baginda Nabi SAW turut dapat menunjukkan tanda-tanda kepalsuannya. Ini dapat diketahui melalui pengalaman dan zauq yang mendalam. Maka saya ulangi tidak mudah perjalanan saya untuk mengatakan hadis tersebut sebagai palsu.

Ketahuilah sidang pelayar sekalian, bahawa memang wujud hadis palsu tentang fadhilat Ramadhan ini.. namun kepalsuannya adalah dari sudut perawi dan rantaiannya. Dari segi matannya masih sahih kerana disokong oleh hadis-hadis lain.

-          Hanya sebahagian kecil matan hadis tersebut yang disokong oleh riwayat-riwayat lain. Dan kebanyakan matan hadis itu tidak pun disokong oleh mana-mana riwayat lain. Maka sudah tentu tidak dapat dihukum sebagai sahih matannya secara keseluruhan.
-          Apakah penilaian saudara tersebut berdasarkan kajian yang panjang atau dek kerana terlalu bemudah-mudah dalam melabelkan sesuatu hadis sebagai sahih??? Apakah masalah ini hanya satu perkara enteng sahaja??? Kitab muktabar mana dari karangan ulama Melayu atau ulama silam seperti Imam al-Ghazali dan lain-lain yang menyatakan; dari segi matannya masih sahih kerana disokong oleh hadis-hadis lain???

Sidang pelayar sekalian, janganlah kita mengatakan sesuatu hadis itu palsu hanya kerana mendengar orang lain atau ustaz dari Jabatan Hadis mengatakan ia palsu, jika kita berbuat demikian sesungguhnya kita sudah zalim dengan agama Allah s.w.t.

-          Jika seseorang yang berkelayakan dan berkeahlian memutuskan sesuatu hadis sebagai palsu, maka secara teknikal tidak ada salahnya untuk orang lain mengikutnya. Ini kerana ia akan bertanggungjawab penuh di atas keputusannya di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Justeru tuduhan zalim terhadap orang yang mengikuti itu adalah satu tuduhan yang sangat keterlaluan dan tidak wajar dilontarkan. Jika kita tidak dapat menerima pandangan orang lain janganlah kita menghukum orang yang mengikutinya sebagai berbuat zalim. Ini bukanlah akhlak pengkritik yang terpuji.

Ketahuilah bahawa dalam bidang ilmu hadis ini ada dua mazhab yang berselisihan, ada ulama yang mengatakan bahawa sesuatu hadis itu palsu, dan ada pula yang mengatakan bahawa hadis yang sama itu sebenarnya sahih.

-          Benar, tetapi bukan pada hadis yang kita bicarakan. Jika tidak, dari mana sumber yang ada menyatakan demikian itu pada hadis yang sedang dibincangkan ini???

Oleh itu, sidang pelayar sekalian.. janganlah disebabkan hanya Ustaz Mohd Hafidz Soroni, Dr. Ahmad Lutfi Abdullah dan mereka yang seangkatan dengan mereka mengatakan bahawa hadis itu palsu, kita semua menghukum hadis itu palsu. Perbuatan ini.. zalim namanya bahkan dari sudut keilmuan, lemah sekali hujahannya.

-          Saya ulangi jika kita tidak dapat menerima pandangan orang lain janganlah kita menghukum orang yang bercanggah pendapat dengan kita atau orang lain yang mengikuti pendapatnya sebagai berbuat zalim. Ini satu tuduhan yang amat sangat keterlaluan. Saya mengandaikan saudara pengkritik seorang yang masih muda dan bersemangat yang menerima ilmu dari satu pihak yang sangat dihormatinya serta sanggup mempertahankannya bermati-matian walaupun terbukti salah. Sentimen sebegini memang ada pada ramai orang muda. Cuma nasihat saya, bersabar dan jangan malas membaca.
-          Dari sudut keilmuan, menyandarkan suatu pandangan kepada pandangan orang lain adalah cara yang dapat diterima dan bukanlah dianggap sebagai hujah yang sangat lemah. Cara ini memang digunakan oleh kebanyakan orang, bahkan saudara pengkritik sendiri menggunakannya tanpa beliau sedari. Apakah beliau juga telah berbuat zalim???
-          Saya mengingatkan agar jangan terlalu mudah dan longgar menyebarkan hadis-hadis palsu kerana hukumnya adalah haram. Berdusta ke atas baginda Rasulullah SAW secara sengaja bukanlah satu dosa yang ringan!

Salam Ramadhan daripada,
Tablighster

Buat akhirnya saya ucapkan:
كل عام وأنتم بخير


2 comments:

~azzarrah~ said...

Salam,

Barakallahu fikum wa fi a'maalikum wa jazakumullahu khairal jazaa.

Semoga Allah mengurniakan istiqamah dan thabat pada ustaz dalam khidmat hadith Nabi SAW dan agamaNya.

Sememangnya kejahilan adalah musuh paling bahaya. Saya teringat kata2 seorang Syeikh tariqah Nasyabandiyah yang sangat alim; katanya pada saya: "Saya tidak takut dan risau terhadap puak2 wahhabi, tapi yang paling saya takut dan risau adalah puak2 sufi yang jahil".

Maafkan kebudak2an saya dalam komen saya di sini.

- Muhibukum

Bodin Lingga said...

Informasinya sangat menarik dan sangat membantu saya yang masih belajar ini,terkait dengan teknik dan share yang anda posting disini,saya memang belum mengetahuinya, dan merupakan ilmu baru yang sangat inspiratif buat saya, mantab dan keep spirit blogging,salam dari Tukang Marmer Tulungagung

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.