Hadis: Amalan Yang Menyebabkan Malapetaka Ditangguhkan
Soalan:
Assalamualaikum, nak tanya pasal hadis ni, boleh tolong tahkik tak?
Anas menceritakan beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :-
“ALLAH S.W.T BERFIRMAN : AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA
KE ATAS SESUATU DAERAH APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KE
MASJID, KASIH ANTARA SATU SAMA LAIN DEMI ALLAH DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN
PADA WAKTU TENGAH MALAM”.
Terima Kasih.
Jawab:
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Terjemahan di atas boleh jadi
cuma makna hadis sahaja, sedang lafaz asalnya adalah sepertimana yang akan dinyatakan
di bawah. Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Abu as-Syeikh, al-Bayhaqi
dalam Syu‘ab al-Iman, Ibn an-Najjar dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil
daripada Anas RA. Namun, pada
sanadnya terdapat seorang perawi daif, iaitu Salih al-Murri. Matan dan
maksudnya;
روي
عن أنس بن مالك قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إنّ الله يقول: إني لأهم بأهل الأرض عذابًا فإذا نظرتُ إلى
عُمَّار بيوتي والمتحابين فيَّ والمستغفرين بالأسحار صرفتُ عذابي عنهم.
(أخرجه
أبو الشيخ والبيهقي فى شعب الإيمان وابن النجار وابن عدي في الكامل، وفي إسناده
صالح بن بشير المري ضعيف، وقال النسائى وغيره : متروك)
Terjemahan:
Diriwayatkan daripada Anas bin
Malik katanya: Sabda Rasulullah SAW: Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku adakalanya ingin sekali mengazab penduduk
bumi, namun apabila Aku melihat orang-orang yang memakmurkan rumah-rumah-Ku,
orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, dan orang-orang yang beristighfar
di waktu dinihari, Aku pun menangguhkan azab-Ku terhadap mereka”.
Bagaimanapun, hadis tersebut
disokong oleh dua riwayat lain; yang satunya ditemukan dalam kitab al-Musannaf
susunan al-Hafiz ‘Abd ar-Razzaq (no hadis: 4740) dan satu lagi dalam kitab al-Awliya’
susunan al-Hafiz Ibn Abi ad-Dunya (no hadis: 76). Namun, kedua-dua sanad hadis dalam
kedua-dua sumber tersebut juga adalah daif.
Keterangannya sepertimana
berikut:
1. ‘Abd ar-Razzaq (w. 211H) meriwayatkan hadis ini dalam
al-Musannafnya dengan sanadnya daripada seorang lelaki daripada kalangan
kaum Quraisy serta lain-lain yang tidak disebutkan nama mereka (majhul) yang
menyandarkan hadis ini kepada Nabi SAW.
عَنْ
مَعْمَرٍ، عَنْ رَجُلٍ مِنْ قُرَيْشٍ وَغَيْرِهِ يُرْجِعُونَهُ إِلَى
النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قَالَ اللَّهُ: «إِنَّ أَحَبَّ عِبَادِي إِلَيَّ الْمُتَحَابُّونَ فِيّ، الذينِ
يُعَمِّرُونَ مَسَاجِدِي، وَيَسْتَغْفِرُونَ بِالْأَسْحَارِ، أُولَئِكَ الَّذِينَ
إِذَا ذَكَرْتُ خَلْقِي بِعَذَابٍ ذَكَرْتُهُمْ، فَصَرَفْتُ عَذَابِي عَنْ خَلْقِي».
Maksudnya:
Daripada Ma‘mar daripada seorang
lelaki Quraisy dan lain-lain yang merujukkan hadis ini kepada Nabi SAW
sabdanya: Firman Allah: “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku
yang paling Aku kasihi adalah orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, yang memakmurkan
masjid-masjid-Ku dan beristighfar di waktu dinihari. Merekalah orang-orang yang
jika Aku ingin mengazab makhluk-Ku, lalu Aku teringatkan mereka, maka Aku pun tangguhkan
azab-Ku terhadap makhluk-Ku itu”.
Terdapat dalam sanad di atas
perawi-perawi hadis yang tidak disebutkan namanya (majhul). Ini menjadikan sanad hadis tersebut daif
kerana status mereka tidak diketahui. Tambahan lagi, ianya terputus dan tidak
bersambung (mursal) kerana perawi-perawi hadis yang tidak bernama
tersebut dari kalangan golongan tabiin yang tidak bertemu dengan Nabi SAW.
2. Ibn Abi ad-Dunya (w. 281H) meriwayatkan hadis yang serupa dalam kitab al-Awliya’
daripada Khalid bin Ma‘dan, seorang tabii yang dipercaya (thiqah)
daripada Nabi SAW.
عَنْ
خَالِدِ بْنِ مَعْدَانَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "إِنَّ أَحَبَّ عِبَادِي
إِلَيَّ الَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي، الَّذِينَ يُعَمِّرُونَ
مَسَاجِدِي، وَيَسْتَغْفِرُونَ بِالْأَسْحَارِ، أُولَئِكَ الَّذِينَ إِذَا
أَرَدْتُ أَهْلَ الْأَرْضِ بِعُقُوبَةٍ أَوْ بِعَذَابٍ، ثُمَّ ذَكَرْتُهُمْ،
صَرَفْتُ عُقُوبَتِي عَنْهُمْ مِنْ أَجْلِهِمْ".
Maksudnya:
Daripada Khalid bin Ma‘dan
katanya: Sabda Rasulullah SAW: (Firman Allah:) “Sesungguhnya
hamba-hamba-Ku yang paling Aku kasihi adalah orang-orang yang berkasih sayang
kerana Aku, yang memakmurkan masjid-masjid-Ku dan beristighfar di waktu
dinihari. Merekalah
orang-orang yang jika Aku ingin menghukum atau mengazab penduduk bumi, kemudian
Aku teringatkan mereka, maka Aku pun tangguhkan hukuman-Ku terhadap penduduk
bumi disebabkan mereka itu”.
Sanad hadis ini juga daif kerana ianya terputus dan tidak bersambung (mursal).
Ini disebabkan Khalid bin Ma‘dan, walaupun seorang tabii yang dipercayai (thiqah),
beliau tidak pernah bertemu dengan Nabi SAW.
Walaupun, ketiga-tiga sanad hadis ini daif, namun ia saling kuat menguatkan
yang dapat menafikan tanda kepalsuan padanya. Mungkin juga dapat menaikkan
darjatnya daripada daif kepada hasan li ghairih.
Sekurang-kurangnya, jika daif, hadis ini masih dapat diguna pakai dalam bab
fadha’il amal sebagai motivasi buat kita, kerana hadis daif menurut jumhur
ulama tidaklah ditolak sepenuhnya. Cuma jika ingin menyampaikannya, tidak
menyandarkannya secara pasti kepada Nabi SAW seperti berkata: “Nabi SAW
bersabda”, “Nabi SAW mengkhabarkan” dan seumpamanya. Memadailah memulakan hadis
ini dengan kata-kata yang menunjukkan nilai daif seperti: “Ada disebut dalam
sebuah hadis”, “Ada diriwayatkan dari baginda Nabi SAW” dan seumpamanya.
Isi penting daripada hadis tersebut ialah;
-
Kelebihan amalan mengimarah atau memakmurkan masjid-masjid.
-
Kelebihan amalan berkasih sayang kerana Allah Taala.
- Kelebihan amalan beristighfar memohon ampun kepada Allah Taala di waktu
dinihari (suhur).
Wallahu a‘lam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.