Universiti al-Azhar kehilangan
lagi seorang tokoh yang disegani dalam bidang ilmu al-Quran dan tafsir iaitu
Prof. Dr. Ibrahim ‘Abdur Rahman Khalifah. Beliau dianggap sebagai syeikhul
mufassirin di Mesir. Beliau meninggal dunia pada hari Sabtu 13hb. Syaaban 1434H
bersamaan 22 /6/2013 yang lalu dalam usia kira-kira 72 tahun.
Dilahirkan pada tahun 1940 di
daerah Kafr as-Syeikh, Mesir. Beliau telah menghafal al-Quran semasa
kanak-kanak lagi. Beliau mempelajari pelbagai ilmu di al-Azhar sehinggalah
berjaya ke peringkat Ph.D dalam bidang Tafsir dan ‘Ulum al-Quran pada tahun 1973.
Antara tugas yang disandangnya
ialah sebagai ketua Jabatan Tafsir di Fakulti Usuluddin, Kaherah. Beliau pernah
bertugas di Universiti Yarmouk ,
Jordan .
Sebelumnya beliau juga pernah dipinjamkan ke Arab Saudi dan Algeria (Universiti al-Amir ‘Abdul
Qadir).
Dr. Ibrahim menjadi tempat
rujukan bagi berbagai permasalahan ilmu manqul dan ma‘qul yang rumit. Keluasan
ilmunya disanjung oleh ramai tokoh ilmuwan. Antaranya, Syeikh al-‘Allamah Sa‘id
Fudah menyanjung dalam laman forumnya: “Syeikh kami, al-‘Allamah, al-Usuli,
al-Mufassir, al-Balaghi, yang mahir dalam pelbagai seni ilmu sama ada yang manqul
dan ma‘qul, yang tidak pernah kami lihat orang lain yang seumpamanya di zaman
ini, Syeikh Dr. al-‘Allamah, baki golongan Salaf dari kalangan muhaqqiqin,…”, “…
Saya sering merujuk kepada beliau dalam berbagai permasalahan ilmu yang sukar.
Saya akan meminta pandangannya dalam hal-hal kemusykilan dan isu-isu rumit yang
dihadapi, yang memang memerlukan pandangan tokoh-tokoh besar seumpama beliau”.
Hasil Karya:
Antara karya yang dihasilkannya;
- (تفسير سورة النساء تفسيرا تحليليا)
- (تفسير سورة النور)
- (حواشيه على تفسير الإمام النسفي)
- (الدخيل في التفسير)
- (منة المنان في علوم القرآن)
- (التفسير الموضوعي )
- (دراسات في القرآن)
- (موسوعة علوم القرآن الكريم)
- (الإحسان في علوم القرآن)
- (دراسات في مناهج المفسرين)
- (الشجاعة الأدبية في القرآن)
- (حقوق المرأة وواجباتها في القرآن)
- (المعية في القرآن)
- dan lain-lain lagi..
Sebagai pati kepada kepakaran dan
pengalamannya, beliau pernah ditanya tentang apakah kitab tafsir yang terbaik
untuk dibaca bagi orang yang ahli dan orang yang bukan ahli? Jawabnya, “Bagi
orang yang ahli hendaklah membaca kitab tafsir yang paling lengkap dan padat
perbahasannya dalam semua sudut iaitu tafsir Ruh al-Ma‘ani oleh
al-Alusi. Begitu juga sebelumnya
kitab Irsyad al-‘Aql al-Salim oleh al-‘Allamah Abu as-Su‘ud. Ia juga
perlu membaca kitab yang bersifat klasik dan moden iaitu tafsir at-Tahrir
wat Tanwir oleh Ibn ‘Asyur. Kitab-kitab ini adalah kitab-kitab tafsir yang
unggul dan berharga bagi orang yang ahli. Manakala bagi orang yang bukan ahli,
boleh membaca kitab-kitab yang ia mampu seperti Tafsir al-Jalalain dan at-Tafsir
al-Wadhih oleh Syeikh Muhammad Hijjazi, sebuah kitab tafsir yang mudah.
Mungkin juga boleh membaca tafsir Dr. Wahbah az-Zuhaili berjudul al-Wasit...”.
وإنا لله وإنا
إليه راجعون
رحمه الله تعالى رحمة واسعة
Rujukan:
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.