Syeikh Ahmad bin ‘Abdullah bin
Muhammad ad-Doghan al-Ahsa’i al-Khalidi, syeikh as-Syafi‘iyyah di Ahsa’, salah
seorang tokoh ulama Syafi‘i yang masyhur di Arab Saudi telah kembali ke
rahmatullah dalam usia 102 tahun pada 14hb. Zulhijjah 1434 (19 Oktober 2013).
Syeikh Ahmad ad-Doghan dilahirkan
di Ahsa’ pada tahun 1332H (1911). Beliau telah menghafal al-Quran pada masa
kecil lagi, selain menghafal matan az-Zubad dan 300 bait daripada Alfiyah
Ibn Malik. Antara guru-gurunya;
Syeikh Muhammad bin Husain al-‘Arfaj (murid kepada Syeikh Ahmad Zaini Dahlan),
Syeikh Ahmad bin Muhammad al-‘Ali al-‘Arfaj, Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Soleh
al-‘Aliji dan Syeikh Muhammad al-‘Abdul Latif. Beliau turut menerima
ijazah keilmuan daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh ‘Abdul Fattah
Abu Ghuddah, Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi dan lain-lain.
Beliau pernah pergi ke India semasa melalui zaman kefakiran, namun
tidak memperolehi sebarang pekerjaan di sana .
Beliau hanya dapat mengajar kanak-kanak yang ‘yuran’ setiap seorang daripada
mereka hanya 2 rupiah sebulan. Kata beliau, “Kami pernah diuji dengan
kefakiran, namun sekarang dalam kenikmatan yang banyak. Kami tidak dapat
menghitung pujian kepadaNya”. Di India, beliau sempat berguru kepada Syeikh
As‘adullah al-Hindi dalam bidang al-Quran, tajwid dan qiraat.
Beliau pernah bertugas sebagai
guru sekolah rendah di Ahsa’ selama 25 tahun. Selain mengajar fiqh Syafi‘i
kepada ramai para pencinta ilmu dari dalam dan luar Ahsa’. Madrasah Syafi‘iyyah
yang diasaskannya bermula pada tahun 1395H. Menurut Syeikh Muhammad ‘Awwamah, “Baki
golongan salafus soleh, syeikh kami, alim yang beramal dan menjadi suri
tauladan, lagi berusia panjang, Syeikh Ahmad Doghan telah mendidik beberapa
generasi sepanjang beberapa dekad, yang mana fatwa mereka menjadi pegangan
dalam fiqh Syafi‘i. Semoga Allah menyejukkan pandangan syeikh dengan
sebab mereka”.
Antara kitab-kitab Syafi‘iyyah yang
diajarkannya ialah;
1. (عمدة
السالك وعدة الناسك للشيخ أحمد بن النقيب)
2. (شرح
منظومة الزبد للشيخ أحمد بن حجازي الفشني)
3. (الإيضاح
في مناسك الحج للإمام النووي)
4. (فتح
المعين للشيخ زين الدين المليباري)
5. (فتح
الوهاب للقاضي زكريا الأنصاري)
6. (كفاية
الأخيار للشيخ تقي الدين الحصني)
7. (الإقناع
للشيخ الخطيب الشربيني)
8. (مغني
المحتاج شرح المنهاج للشيخ الخطيب الشربيني)
9. (فتح
الجواد شرح الإرشاد للشيخ ابن حجر الهيتمي)
10. (طبقات
الشافعية للشيخ تاج الدين السبكي)
Beliau telah menghidupkan kembali
fiqh Syafi‘i di Ahsa’ yang sebelumnya hampir-hampir tenggelam kerana pengaruh
fiqh tanpa mazhab. Namun, beliau bukan seorang yang suka berdebat. Beliau lebih
suka bersikap toleransi dan menjauhi perselisihan. Beliau menasihatkan
murid-muridnya agar tidak membangkitkan fitnah dan perpecahan serta wajib
meninggalkan pertelingkahan. Sikap ini yang membuat beliau dihormati oleh pihak
kawan dan lawan.
Beliau seorang yang zuhud,
tawaduk, lidahnya sentiasa berzikir kepada Allah dan kuat mengamalkan sunnah. Masanya
tidak pernah dibiarkan kosong dan tangannya sentiasa memegang kitab.
Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un.
Rujukan:
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.