Secara umum, memang kita disuruh supaya menghormati para alim ulama dan beradab
sopan dengan mereka. Kita tahu kedudukan para ulama dalam Islam adalah tinggi.
Bagaimanapun, mereka juga adalah manusia yang tidak terlepas dari kekurangan
dan membuat kesilapan. Maka jika terdapat kekurangan dan kesilapan daripada
mereka, ia adalah lumrah semula jadi manusia. Peranan kita ialah memahami
sebabnya bukan menolak dan menidakkannya hingga mengangkat mereka ke tahap
maksum atau merendah dan memperlekehkannya hingga menjatuhkan maruah mereka.
Kita seringkali melihat satu atau dua kesalahan seseorang sebagai ‘dosa’
yang menutup segala perbuatan baik dan soleh yang dilakukan sepanjang hidupnya.
Demikian juga perspektif kita
apabila melihat satu dua kesalahan atau kesilapan seseorang ulama. Padahal
peratusnya barangkali terlalu kecil, mungkin 1% atau 2% berbanding 99% atau 98%
kebaikan yang dilakukan...
Justeru, kewujudan hadis palsu di dalam kitab-kitab sesetengah ulama
bukanlah sesuatu yang pelik dan menghairankan. Kita yakin, ia bukan perkara
yang disengajakan oleh mereka. Ini kerana bukan semua ulama menghafaz dan
menguasai keseluruhan riwayat hadis yang wujud yang jumlahnya ratusan ribu. Kemungkinan
mereka menganggap hadis tersebut ada sumbernya yang boleh dirujuk cuma mereka
tidak sempat merujuknya atau tidak sempat mengkaji dan menganalisisnya.
Walaupun kita dapati setelah dikaji kemudian hadis tersebut tiada bersumber
atau terdapat pendusta atau pemalsu hadis pada silsilah sanadnya. Sangka baik
mereka itu tadi tidak menjadikan mereka sebagai penyebar hadis palsu secara
sengaja.
Demikian juga ulama hadis yang meriwayatkan hadis-hadis palsu, mereka hanya
sempat merekodkannya sahaja dan tidak sempat untuk mengkaji dan menilai status
hadis-hadis tersebut. Mereka dianggap telah terlepas daripada beban tanggungjawab
apabila mereka telah merekodkannya secara bersanad. Maka menjadi tugasan ulama
yang datang kemudian untuk mengkaji dan menilainya.
Maka, kita perlu memahami sebabnya kenapa? Zaman para ulama dahulu amat
jauh berbeza dengan zaman kita kini. Zaman dahulu amat sukar untuk memperolehi semua
kitab yang dikarang, tidak sepertimana zaman ini. Kini kitab-kitab dicetak dan
diedarkan secara meluas. Ia mudah diperolehi, bahkan dengan kewujudan internet
kitab-kitab semakin mudah diperolehi sama ada secara berbayar atau percuma,
sama ada dalam bentuk scan, elektronik mahu pun digital.
Maka, disebabkan sumber-sumber rujukan yang terbatas alim ulama dahulu
mempunyai keuzuran yang boleh dimaafkan. Namun, kita kini tidak mempunyai
sebarang keuzuran yang dapat dimaafkan jika kita terus menyebarkan hadis-hadis
palsu. Ini kerana kini kita mempunyai semua keperluan yang ada untuk memastikan
kesahihan atau kepalsuan sesuatu hadis. Tidak mengapa jika kepalsuan hadis itu
tidak nyata kepada kita sesudah dikaji. Tetapi jika hadis itu telah nyata
kepalsuannya seperti hadis yang hanya diriwayatkan oleh pendusta atau pemalsu
hadis, atau hadis yang menyalahi semua nas-nas yang sabit dan tidak dapat
ditakwil, maka haramlah hukumnya jika kita menyebarkannya.
Janganlah hairan jika terdapat hadis palsu di dalam kitab-kitab sesetengah
ulama. Jika di kalangan ulama yang berkecimpung dengan hadis juga tidak
terlepas dari memasukkan hadis palsu di dalam kitab-kitab mereka, apatah lagi
ulama yang tidak berkecimpung di dalam bidang hadis. Saya ulangi, mereka
mempunyai keuzuran dan ia tidak menafikan kedudukan mereka sebagai ulama yang wajar
dihormati. Siapa kita untuk dibandingkan dengan mereka? Jika ia seorang alim
yang ahli ibadat, tingkat kedudukan mereka jauh lebih tinggi di sisi Allah SWT
berbanding diri kita. Tetapi kita tidak ada keuzuran seperti mereka untuk terus
menyebarkan hadis-hadis palsu yang boleh dikesan kepalsuannya sekarang ini tanpa
sebarang kesukaran.
Imam Ibn Majah adalah tokoh besar hadis. Namun, para ulama hadis bersepakat
bahawa terdapat sejumlah hadis palsu di dalam kitab Sunannya. Begitu
juga al-Hakim an-Naisaburi pengarang al-Mustadrak, ulama hadis juga bersepakat
bahawa terdapat sejumlah hadis palsu di dalam kitabnya itu. Al-Khatib
al-Baghdadi pengarang kitab Tarikh Baghdad juga tokoh hadis yang hebat,
banyak menyusun kitab-kitab hadis secara bersanad. Namun, beliau turut
meriwayatkan banyak hadis-hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu
hadis pada silsilah sanadnya tanpa sebarang ulasan. Begitu juga dengan al-Hafiz
Abu Nu‘aim al-Asbahani pengarang kitab Hilyah al-Awliya’, terdapat
hadis-hadis yang dapat dihukum palsu di dalam kitab-kitab beliau. Tokoh-tokoh
hadis besar yang lain seperti Imam at-Tabarani pengarang kitab-kitab al-Mu‘jam,
Imam Ibn ‘Asakir ad-Dimasyqi pengarang kitab Tarikh Dimasyq, al-Hafiz Abu
as-Syeikh al-Asbahani, al-Hafiz Ibn Syahin, Imam Ibn Abi ad-Dunya, al-Hafiz Ibn
an-Najjar, al-Hafiz ad-Daylami, Imam al-Bayhaqi dan lain-lain kesemuanya turut
meriwayatkan banyak hadis-hadis yang terdapat perawi pendusta atau pemalsu hadis
pada sanad riwayat mereka.
Imam as-Suyuti, tokoh besar yang terkenal menguasai pelbagai bidang ilmu. Meskipun
banyak menghasilkan karya-karya hadis, beliau didapati longgar dalam merekodkan
hadis-hadis Nabi SAW. Misalnya dalam kitabnya al-Jami‘ as-Saghir, beliau
syaratkan untuk tidak memuatkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh pendusta dan
pemalsu hadis. Namun, didapati banyak hadis-hadis yang dapat dikatakan palsu
kerana diriwayatkan oleh perawi pendusta dan pemalsu hadis, sepertimana yang
dijelaskan oleh al-Hafiz Ahmad al-Ghumari di dalam kitab al-Mughir.
Lebih menghairankan, Imam Ibn al-Jawzi yang terkenal dengan ketegasannya
dalam mengkritik hadis seperti di dalam kitabnya al-Mawdu‘at yang
mengumpulkan hadis-hadis yang dikatakan palsu, tetapi memuatkan sejumlah hadis
palsu di dalam sebahagian karyanya yang lain seperti di dalam kitab Zam
al-Hawa.
Imam Ibn Hazm az-Zahiri yang tegas dalam penilaian hadis-hadis juga pernah
direkodkan menggunakan hadis palsu. Demikian juga Syeikh Ibn Taymiyyah dan muridnya,
Syeikh Ibn Qayyim al-Juziyyah.
Saya juga teringat imam besar kita, Imam as-Syafi‘i pernah meriwayatkan hadis-hadis
daripada gurunya, Ibrahim bin Abi Yahya yang dituduh sebagai pendusta oleh
ramai tokoh hadis.
Kitab-kitab tafsir juga tidak terlepas dari memuatkan sejumlah hadis-hadis
palsu, meskipun ketokohan dan kehebatan pengarangnya dalam bidang tafsir
al-Quran. Antaranya seperti Imam at-Tha‘alibi, Imam an-Nasafi, Imam al-Qurtubi,
Imam ar-Razi, Imam al-Khazin, Imam al-Baghawi, Syeikh Isma‘il Haqqi pengarang Ruh
al-Bayan, Imam as-Sawi dan lain-lain.
Kelonggaran dalam merekodkan hadis-hadis Nabi SAW lebih meluas di dalam
kitab-kitab suluk dan akhlak. Banyak didapati hadis-hadis yang tidak bersumber,
hadis-hadis palsu, riwayat Israiliyyat dan munkar di dalamnya. Antaranya
seperti karya-karya Abu al-Laith as-Samarqandi, as-Safuri, Imam al-Qusyairi,
Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Imam at-Tusi pengarang al-Luma‘,
al-Hafiz as-Sulami pengarang Tabaqat as-Sufiyyah, Imam Abu Talib
al-Makki pengarang Qut al-Qulub, Imam al-Ghazali pengarang Ihya’
‘Ulumiddin, al-Mayyanisyi al-Makki, Syeikh al-Khubawi pengarang Durrah
an-Nasihin dan lain-lain. Demikian juga halnya berlaku dalam karya-karya
sirah nabawiyyah dan mawlid.
Keuzuran mereka dalam memuatkan hadis-hadis palsu sebenarnya boleh kita
terima tanpa menghilangkan rasa hormat dan merendahkan kedudukan tinggi mereka
sebagai ulama Islam. Kita yakin, jika mereka tahu ianya benar-benar hadis
palsu, nescaya merekalah orang pertama yang paling jauh darinya. Kecintaan
mereka yang tinggi terhadap Baginda Nabi SAW sudah cukup untuk memberikan kepada
kita keyakinan tersebut. Kerana cinta kepada Nabi SAW itulah kita perlu
membersihkan hadis-hadis Baginda SAW daripada sebarang pendustaan dan
pemalsuan. Hak Nabi SAW sewajarnya lebih diutama dan didahulukan berbanding hak
para alim ulama.
Maka, janganlah terlalu pelik dan terkejut jika ada yang kata terdapat
hadis palsu dalam karya sekian sekian ulama. Jelas secara zahir, mereka sebenarnya
tidak pun melihat kepalsuan hadis tersebut ketika menyalinkannya. Dan perlu
kita ketahui bahawa setiap ilmu itu ada pakar-pakar rujuknya. Justeru,
rujukkanlah setiap ilmu kepada ahlinya..
Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan inayah-Nya buat kita semua.
Wassalam.
1 comment:
JazakAllah atas artikel ini ustaz.
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.