Pages

Thursday, June 12, 2014

Syeikh Dr. Muhammad Abdul Latif bin Muhammad Soleh Al-Furfour


Telah pergi seorang ulama besar dan syeikh mursyid Tariqat ar-Rabbaniyyah al-Mujaddidiyyah al-Islamiyyah al-'Alamiyyah, Syeikh Prof. Dr. Muhammad Abdul Latif bin Muhammad Soleh Al-Farfour, inna lillahi wainna ilayhi raji'un.

Dimaklumkan telah kembali ke rahmatullah jam 5.25 petang semalam (11 Jun 2014) di Melaka. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para anbiya', awliya' dan para solihin.

اللهم اغفر لهم وارحمهم , وعافهم واعف عنهم , وأكرم نزلهم ووسع مدخلهم , واغسلهم بالماء والثلج والبرد ونقهم من الذنوب والخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس.


Biografi Syeikh Dr. Muhammad Abdul Latif bin Muhammad Soleh Al-Furfour
Oleh: Ustaz Muhammad Kamal Sulaiman

Al-Fadhil Al-‘Alim Al-‘Arif billah Al-Murabbi Al-Mursyid Tuan Guru Syeikh Prof. Dr. Muhammad ‘Abdul Latif bin Muhammad Soleh Al-Furfour Al-Hasaniyy Al-Dimasyqiyy

Tuan guru dilahirkan pada tahun 1364H / 1944M di bandar Damsyik Al-Faiha’ dalam sebuah keluarga yang merupakan penduduk jati dan asal Damsyik. Keluarga tuan guru merupakan sebuah keluarga yang amat disegani dan terkenal dengan keilmuan, kehakiman dan kefatwaan sejak ratusan tahun.

Tuan guru menerima didikan ilmu agama secara talaqqi daripada ulamak-ulamak tempatan yang mulia-mulia. Ulamak yang lebih banyak menghulurkan tangan bimbingan ilmu kepadanya ialah bapanya sendiri, iaitu Sohibus Samahah Murabbi Agung al-‘Allaamah Syeikh Muhammad Soleh Al-Furfour Al-Hasaniyy, seorang sasterawan dan penyair yang faqeh (alim feqah), usuliyy (alim ilmu usul feqah), mutakallim (alim ilmu tauhid) dan nazzor (alim ilmu munazorah) – moga Allah merahmati dan meredhainya – . Hasilnya, tuan guru mempunyai beberapa ijazah keilmuan yang boleh dibanggakan daripada guru-gurunya itu. Ijazah yang paling besar ialah Ijazah daripada yang mulia bapanya, Ijazah daripada mantan mufti Syria, yang mulia al-‘Allaamah Dr. Muhammad Abi al-Yusri ‘Abidiin, Ijazah daripada Sohibussamahah Mufti Maliki dan Ketua Perikatan Ulamak al-Marhum as-Syed asy-Syarif Muhammad al-Makkiyy al-Kattaaniyy, – moga Allah merahmatinya –, dan Ijazah daripada seorang ulamak hadith Mekah, Syeikh ‘Alwi ‘Abbas Al-Malikiyy – moga Allah melimpahkan rahmat dan redhaNya keatas mereka dan selain mereka.

Mendapat pengajian awal di sekolah rasmi dengan cemerlang sehingga berjaya menyambung ke peringkat universiti dan menamatkan pengajian dalam bidang syari’ah melalui penulisan tesis kajian berbentuk ilmiah di Universiti Syria, Damsyik. Seterusnya, tuan guru melengkapkan pengkayaan ilmunya di Universiti Al-Azhar yang ulung, dan berjaya pada peringkat Sarjana Muda (BA) Undang-undang dengan kepujian, Sarjana (MA) Feqah Perbandingan dengan Undang-undang (1972M) melalui satu tesis kajian ilmiah yang dibentang dan dibahasnya dibawah tajuk “Teori Istihsan dalam Perundangan Islam dan Kesannya Terhadap Masolih Mursalah” dengan keputusan Kepujian Kelas Pertama.

Pada tahun 1978M, tuan guru telah membentangkan satu lagi tesis ilmiahnya di bawah tajuk “Ibn ‘Aabidiin dan Kesannya Terhadap Feqah Islami – Satu Kajian Perbandingan dengan Undang-undang”. Tesisnya ini telah dibahas dan diperdebat secara terbuka oleh barisan panel yang diketuai oleh al-‘Allaamah Agung, al-Marhum Syeikh Profesor Dr. Abdul Ghani Muhammad Abdul Khaleq – moga Allah merahmatinya –. Panel itu dianggotai oleh beberapa orang ulamak besar universiti yang rata-ratanya merupakan ulamak agung Syari’ah Islam, dan satu barisan tokoh undang-undang. Senat Universiti pada 26hb. Julai 1978 telah menanugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dengan keputusan (Kepujian Kelas Pertama, dan permintaan agar dicetak tesisnya itu dengan tanggungan daripada pihak universiti untuk dijadikan tesis tukaran di antara universiti-universiti dunia) oleh Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Al-Azhar.

Tuan guru sentiasa mengajar dalam kelas-kelas ilmu dan kelas-kelas umum, dan menyampaikan kuliah ilmu tentang syari’ah, Bahasa Arab dan Usuluddin. Tuan guru telah mengasaskan satu pergerakan ilmu yang telah melahirkan barisan pekerja yang terpilih dan membuahkan hasil yang cukup baik. Tuan guru mempunyai kelas-kelas ilmu untuk orang awam di beberapa buah masjid, antaranya Masjid Jami’ Al-Saadaat Aqsob, Damsyik dan Masjid Jami’ Al-Darwisyiyyah, Damsyik .

Kegiatan tuan guru amat banyak, antaranya ialah:-
1. Gerakan ilmu seperti pengasasan Mujamma‘, Masjid Al-Aqsoob Al-Islami.
2. Majma‘ Ilmiyy ‘Aali telah diwujudkan di bawah Mujamma‘ ini pada tahun 1410H / 1990M, di mana sekitar 80 orang profesor daripada serata dunia Islam dan Arab telah menjadi ahli anggota majlis tertingginya.
3. Pembentukan sebuah akademi ilmu peringkat pengkhususan dengan nama “Akademi Peradaban Pengajian Arab dan Islam” telah dilahirkan di bawah Mujamma‘ ini.
4. Maahad al-Quran dan Pusat Qiraat dengan nama “Pusat Qiraat Al-Quran Al-‘Allaamah Syeikh Muhammad Soleh Al-Farfour Al-Hasaniyy”.
5. Akademi Peradaban Pengajian Arab dan Islam mempunyai tiga peringkat pengajian, iaitu Ijazah pertama atau Sarjana Muda (BA), Ijazah Pengkhususan atau Sarjana (MA) dan Ijazah Kedoktoran (Ph.D).
6. Menulis tesis dan artikel dalam pelbagai bidang dan tajuk, dan tulisan-tulisannya itu kebanyakannya telah diterbitkan oleh beberapa majalah, seperti:-
Majalah Majma‘ Al-Lughah Al-‘Arabi, Damsyik.
Majalah Al-Faisal dan Majalah Al-‘Arabiyyah, Saudi Arabia.
Majalah Nahj Al-Islam, terbitan Kementerian Agama, Republik Arab Syria.
Majalah Ath-Thaqafah Ad-Dimasyqiyyah (bulanan).
Majalah At-Tamaddun Al-Islami, Damsyik.
Majalah Al-Mauqif Al-Adabi, Syria.
Majalah Tisyriin (Mingguan).
Majalah Tisyriin Timur Tengah.
7. Memberi ucapan dan membuat pembentangan dalam beberapa Persidangan Antarabangsa yang dihadirinya seperti:-
Persidangan Penubuhan Akademi Feqah Islam Antarabangsa Mekah Al- Mukarramah pada bulan Jun, 1983M. Tuan guru menjadi ketua rombongan (lantikan khas daripada Presiden) yang terdiri daripada beberapa orang menteri dan ketua-ketua kementerian negara menghadiri persidangan ini.
Akademi Feqah Islam Antarabangsa (Jedah). Tuan guru merupakan salah seorang anggota pengasas, dan ahli tetap akademi di atas kapasitinya sebagai wakil Republik Arab Syria dan Ketua Bahagian Perancangan Akademi yang disandangnya sejak awal tahun 1404H / 1983M lagi.
Forum Pemikiran Islam Antarabangsa, Algeria sebagai Profesor Pembentang dengan kedudukannya sebagai tetamu rasmi Kerajaan Algeria selama beberapa siri.
Pada tahun 1988M pula, tuan guru dijemput sebagai Profesor Pelawat ke Jabatan Pengajian Peringkat Sarjana, Universiti Algeria.

Tuan guru juga – atas jemputan rasmi – telah melawat negara Mesir, Jordan, Palestin, Lubnan, Arab Saudi, Algeria, Brunei, Oman, Kuwait, Turki, Iran, Sudan, Marocco, Bahrain, dan Qatar sebagai Profesor Pelawat ke universiti-universiti mereka dan sebagai anggota kepada beberapa persidangan ilmiah yang pelbagai, dan menyampaikan kuliah di beberapa buah universiti negara Arab.

Tuan guru juga – beberapa kali – telah menghadiri beberapa siri persidangan ulamak sufi peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh beberapa buah negara lain, antaranya negara Malaysia.

Memandangkan ketinggian Sanad dan Ijazah Ilmu yang ada pada tuan guru yang telah diijazahkan oleh guru-guru agungnya, ramai alim-ulamak agung sezaman dengannya telah memohon agar diturunkan Sanad dan Ijazah tersebut kepada mereka. Justeru, tuan guru telah menurunkan Ijazah Ilmiah, yang telah dibukukan oleh beliau dan diberi nama : (بغَيةُ المستجيز في الثبت العلمي الوجيز) kepada mereka, antaranya:-

1. Syeikh Ahmad Al-Khaleliyy / Mufti Kesultanan Oman.
2. Syeikh Muhammad Saalem bin Abdul Waduud / Mantan Menteri dan Presiden Majlis Ulamak Besar di Mauritania.
3. Syeikh Profesor Dr. Bakar bin Abdulullah Abu Zaid / Presiden Akademi Feqah Islam Antarabangsa di Jeddah dan Timbalan Menteri Kehakiman Saudi.
4. Syeikh Syed Yusof Syed Hasyim Ar-Rifa‘ie / Mantan Menteri, bekas Ahli Dewan Rakyat Negara Kuwait dan Dekan Ma’ahad Syariah di Kuwait.
5. Syeikh Profesor Dr. Muhammad Al-Habib bin Al-Khaujah / Ketua Setiausaha Akademi Feqah Islami Antarabangsa di Jeddah.
6. Profesor Dr. ‘Abdul Karim Al-Yaafi.
7. Syeikh Profesor Dr. Muhammad Sa‘id Ramadhan Al-Bouti.
8. Syeikh Muhammad Adib Al-Kallas.
9. Syeikh Muhammad Kurayyim Rajih / Syeikh Qiraat di Syam.
10. Syeikh Ahmad Al-Qasimi – rahimahullah.
11. Syeikh Profesor Dr. Muhammad Al-Amiin As-Samaa‘iilie / Profesor di Universiti Rabat.
12. Prof. Dr. Hassan Muhammad Safar / Pensyarah Pengajian Sarjana di Universiti Malik ‘Abdul ‘Aziz di Jeddah.
13. Al-Muqri’ Al-Jami‘ Al-Mutqin, Syeikh Muhammad Sukkar Ad-Dimasyqi.
14. Syeikh Prof. Dr. Musa‘id bin Sulaiman Al-Hamid Al-Madani / Ulamak besar Madinah Al-Munawwarah.
15. Syeikh Prof. Dr. Muhammad bin Jum‘ah As-Salim / Timbalan Menteri 1 Hal Ehwal Islam dan Wakaf di Abu Dhabi, Emiriah Arab.
16. Syeikh Ahmad Al-Musi, seorang ulamak Aleppo.
17. Syeikh Dr. Muhammad Suleiman Faraj Arab Mesir.
18. Prof. Dr. Wasim Muhammad ‘Ali (Aliyyif) / Dekan Fakulti Syariah Universiti Baku.
19. Syeikh Abdul Hamid bin Bakil / Kadi Besar Brunei.
20. Syeikh Muhammad Wa‘idt Zaadah Al-Khurasani / Setiausaha Agung Akedemi Islam Merapatkan Jurang di antara Mazhab, Tehran.
21. Al-Muqri’ Al-Jami‘ Al-Mutqin, Syeikh Khalil Al-Hiba Ad-Dimasyqiy / Syeikh Qiraat Damsyik.
22. Syeikh Prof. Dr. Mahmud ‘Ukkam Al-Halabi (dilahirkan dan membesar di Aleppo) / Presiden Ensiklopedia Islam Mudah, dan Pensyarah di Universiti Aleppo.
23. Syeikh Dr. Dalil Abu Bakr / Dekan Maahad Islam Masjid Paris, dan Dekan Universiti Paris.
24. Syeikh Jalul Buzaidi / Khatib Masjid Paris.
25. Ulamak agung dan juga seorang peguam, Dr. Muhammad Al-Qaisiy.
26. Syeikh Muhammad Ali Al-Kattani Al-Idrisiyy.
27. Mursyid Syeikh Muhammad Sa‘id Al-Kuhail Al-Humsi (dilahirkan dan membesar di Hums).
28. Syed Syeikh Dr. Muhammad ‘Abdul Sattar Syed / Penolong Menteri Wakaf Syria.
29. Syed Prof. Dr. ‘Abdul Qadir Al-Kattani Al-Idriisi.
30. Dr. ‘Abdul Kaafi Al-Mur‘ib Al-Humsi (dilahirkan dan membesar di Hums).
31. Syeikh Dr. Ihsan bin Taufiq Ba darani / seorang guru Damsyik dan khatib Masjid Al-Marabit.
32. Ahli sejarah dan sasterawan, Prof. Akram Hasan Al-Alabi Ad-Dimasyqi (dilahirkan dan membesar di Damsyik).
33. Prof. Dr. Syauqi Abu Khalil Ad-Dimasyqi (dilahirkan dan membesar di Damsyik).
34. Prof. Dr. Hassan At-Tayyan Ad-Dimasyqi (dilahirkan dan membesar di Damsyik), seorang alim sasterawan dan pakar bahasa.
35. Prof. Syeikh Muhammad Adnan Al-Majd Ad-Dimasyqi (dilahirkan dan membesar di Damsyik).
36. Prof. Dr. Badi‘ Syed Al-Lahham.
37. Syeikh Dr. Muhammad Muti‘ Al-Hafiz yang dikenali dengan Dabs wazet (دبس وزيت ).
38. Syeikh Ahmad Ramadhan.
39. Prof. Dr. Hafiz Abdullah.
40. Syeikh Dr. ‘Abdul Karim Al-Kayyal.
41. Syeikh Dr. Husamuddin Al-Farfour.
42. Syeikh Dr. Ahmad Syihabuddin Al-Farfour.
43. Syeikh ‘Abdul Majid Asy-Syarif / imam Masjid Baris.
44. Syeikh Hassan ‘Abdul Fattah At-Tohhan / guru Damsyik.

Tuan guru juga banyak mengarang dan menulis kitab / buku, antaranya:
1. (ابن عابدين وأثره في الفقه الإسلامي ) “Ibn ‘Abidin dan kesannya terhadap Feqah Islam : Satu kajian perbandingan dengan undang-undang.”
2. ( الوجيز في أصول استباط الأحكام في الشريعة الإسلامية ) “Ringkasan tentang usul istinbat hukum dalam syariat Islam.”
3. (نظرية الاستحسان في التشريع الإسلامي وصلته بالمصالح المرسلة ) “Teori Istihsan dalam perundangan Islam, dan hubung-kaitnya dengan Masolih Mursalah.”
4. (معايير الفكر) “(Mekanisme pemikiran) dalam ilmu mantik.”
5. (مشاعل عن الطريق ) “Rintangan api sepanjang jalan.”
6. (خصائص الفكرالإسلامي ) “Ciri-ciri pemikiran Islami.”
7. (حقائق عن الفكر الإسلامي ) “Fakta-fakta tentang pemikiran Islami.”
8. ( الزاد من أصول الفقه الإسلامي ) “Bekalan daripada Usul Feqah Islam.”
9. (مصادر الفقه الإسلامي ) “Sumber-sumber Feqah Islam.”
10. (تاريخ الفقه الإسلامي ) “Sejarah Feqah Islami.”
11. (أبحاث في الاقتصاد المعاصر ) “Penyelidikan berkaitan ekonomi moden.”
12. (نقد الفكر المادي الجدلي وقضايا معاصرة ) “Kritik pemikiran materialis dialektik dan Isu-isu komtemporari.”
13. ( الزنابق ديوان شعر) “(Az-Zanabiq) Koleksi syair.”
14. (المدخل إلى الفقه الجنائي ) “Pintu masuk ke dalam Feqah Jenayah Semasa.”
15. (الوسطية في الإسلام ) “Kesederhanaan dalam Islam.”
16. (المدخل إلى الفقه الحضاري في الإسلام) “Pengetahuan tentang feqah hadhori dalam Islam”
17. (المدرسة الربانية ورجالها الربانيىن في الإسلام ) “Madrasah Rabbaniyyah, dan pejuang-pejuangnya dalam Islam.”

Dan karangan beliau yang lain-lain masih sangat banyak.


Rujuk juga:


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.