Pages

Saturday, October 25, 2014

Riwayat Sahih Doa Awal Tahun


Tulisan ini hanya sebagai tambahan kepada tulisan berkaitan doa akhir dan awal tahun yang pernah saya tulis dahulu (boleh dirujuk di sini: sawanih). Ia berkaitan membaca doa pada awal tahun atau awal bulan yang sebenarnya dilakukan oleh para sahabat RA. Dalilnya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ هِشَامٍ قَالَ: كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يَتَعَلَّمُونَ هَذَا الدُّعَاءَ – وفي رواية: كما يتعلَّمون القرآن - إِذَا دَخَلَتِ السَّنَةُ أَوِ الشَّهْرُ: "اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، وَرِضْوَانٍ مِنَ الرَّحْمَنِ، وَجَوَازٍ مِنَ الشَّيْطَانِ". (رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي المعجم الْأَوْسَطِ، والبغوي في معجم الصحابة ، وقال الهيثمي في مجمع الزوائد: وَإِسْنَادُهُ حَسَنٌ)
Terjemahan:
Daripada Abdullah bin Hisyam katanya: Para sahabat Rasulullah s.a.w. mempelajari doa ini – dalam satu riwayat: sebagaimana mereka mempelajari al-Quran - apabila masuk awal tahun atau bulan: "Ya Allah, masukkanlah ia ke atas kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, keislaman, keredhaan dari ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) serta kelepasan dari syaitan".

Takhrij & Ulasan:
Ia diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat dan Imam al-Baghawi dalam Mu‘jam al-Sahabah. Kata al-Hafiz al-Haithami dalam Majma az-Zawa’id: “Dan sanadnya hasan”. Walaupun ada yang mempertikaikan jalur riwayat at-Tabarani, namun ia disokong oleh jalur riwayat al-Baghawi dan menjadikannya kuat. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab al-Isabah, sanad yang diriwayatkan oleh al-Baghawi merupakan khabar mauquf yang memenuhi syarat sahih Imam al-Bukhari.

Menurut saya, riwayat ini walaupun mauquf (terhenti) pada sahabat RA, namun ia mempunyai hukum marfu‘ (sampai kepada Rasulullah SAW) kerana tidak mungkin sahabat mereka-reka sendiri doa berkenaan dan sudah tentu mereka mempelajarinya daripada Rasulullah SAW juga. Ini disungguhkan dengan ungkapan yang menunjukkan perhatian khas daripada para sahabat RA terhadapnya dalam riwayat al-Baghawi: “…mempelajari doa ini sebagaimana mereka mempelajari al-Quran’. Riwayat ini adalah berbeza dengan beberapa riwayat lain yang hanya menyebut Nabi SAW berdoa di setiap awal bulan tanpa menyebut tahun, antaranya riwayat;

عن طلحة بن عبيدِ اللهِ - رضي الله عنه - أنَّ النبيَّ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ إِذَا رَأى الهلاَلَ قَالَ: "اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ". (رواه أحمد والدارمي والترمذي وقال: حديث حسن غريب، وأخرجه الدارمي أيضاً وابن حبان في صحيحه عن ابن عمر نحوه)
Terjemahan: Daripada Talhah bin ‘Ubaidillah RA bahawa Nabi s.a.w. apabila melihat anak bulan (ertinya masuk awal bulan) baginda berdoa: "Ya Allah, sinarkanlah ia ke atas kami dengan keberkatan, keimanan, keselamatan dan keislaman. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah". (HR Ahmad, ad-Darimi dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan gharib. Juga dikeluarkan oleh ad-Darimi dan Ibn Hibban dalam Sahihnya daripada Ibn ‘Umar RA seumpamanya)

Wallahu a‘lam.