Pages

Tuesday, February 17, 2015

Wanita Tanpa Pingat


(Sebagaimana yang Diceritakan oleh Puan Mahawa Pilus)

Cerita Puan Mahawa Pilus tentang ibunya memang cukup menginspirasi dan memotivasikan. Cerita seorang wanita biasa, tetapi cukup luar biasa. Cerita yang selalunya sering kita dengar dalam kisah-kisah kewalian. Bertuahnya bagi saya, cerita ini bukan cerita yang tidak diketahui pucuk pangkalnya, tapi cerita yang ditutur oleh mulut anaknya sendiri yang telah mendampingi ibunya sejak puluhan tahun.

Saya ringkaskan sahaja nama Ibu Puan Mahawa sebagai IPM.

IPM merupakan seorang wanita yang gigih, kuat dan tabah. Meskipun beliau tidak boleh membaca dan menulis, namun beliau sempat mempelajari al-Quran dan mampu membaca al-Quran dengan baik. Beliau telah mempelajari asas-asas pengetahuan agama daripada Syeikh Ahmad Said Linggi (1328H/1912 – 1383H/1964) dan Tuan Guru Hj. Ibrahim Bongek (1325H/1907 - 1418H/1997).

Beliau membaca al-Quran setiap hari dan mengkhatamkannya setiap bulan. Beliau tekun dengan rutin hariannya membaca al-Quran antara waktu zohor sehinggalah waktu asar.

Ini ditambah lagi dengan bacaan Surah al-Ikhlas sebanyak 10,000 kali setiap hari.

IPM sentiasa menjaga solat tahajudnya pada setiap malam. Selain menjaga puasa sunat Isnin dan Khamis pada setiap minggu.

Di samping tugasan dan amal ibadat harian, mulutnya tidak pernah henti-henti berzikir mengingati Allah SWT. Hinggakan ketika beliau tidur sekalipun, lidahnya masih bergerak menyebut LA ILAHA ILLAH... Ini belum termasuk bilangan selawatnya kepada Junjungan Baginda Nabi SAW.

IPM juga seorang wanita yang zuhud. Beliau mempunyai sepasang pakaian yang sering dipakainya berulang kali selama lebih 60 tahun. Adakalanya beliau diberikan pakaian baru, istimewanya bagi menyambut Hari Raya Idulfitri. Namun, beliau enggan memakainya dan sebaliknya, lebih selesa memakai pakaian yang biasa dipakainya, setelah memastikan ianya telah bersih.   

Inilah sekelumit daripada sifat peribadi luar biasa wanita ini.

Kehidupannya ditakdirkan oleh Allah bukan dalam kalangan orang susah. Datuknya dahulu adalah seorang datuk bandar. Bagaimanapun, beliau tidak mewarisi sebarang harta pusaka milik datuknya itu. Apa yang beliau miliki adalah hasil usaha beliau sendiri, di samping sedikit tanah daripada neneknya.

IPM seorang wanita yang penyabar dan suka membantu orang lain yang amat memerlukan pertolongan. Beliau pernah membela beberapa orang anak yatim dan memeliharanya dengan penuh kesungguhan. Beliau akan mengusap rambut mereka dan menyikatkannya sendiri, kerana itulah yang ditunjuk ajarkan oleh Nabi SAW katanya. Beliau menyekolahkan mereka sama seperti anak sendiri sehinggalah mereka meningkat dewasa dan berjaya dalam bidang pekerjaan.

IPM juga seorang yang banyak bersedekah dan berwakaf. Setiap kali mendapat hasil keuntungan yang diperolehinya daripada penjualan hasil sawah padi dan tanaman sayur-sayuran, beliau akan mengkhususkan satu bahagian daripadanya untuk disedekahkan. Beliau sering membuatkan badal haji secara ikhlas bagi mereka yang telah meninggal dunia tetapi belum sempat untuk menunaikan fardhu haji.

IPM banyak berwakaf untuk membina berbagai kemudahan bagi orang ramai. Antaranya wakaf untuk membuat masjid, sekolah agama dan jalanraya. Selain turut mewakafkan beribu-ribu naskhah al-Quran.

IPM mempunyai falsafah hidup yang mudah, iaitu mengabdi diri kepada Allah dan berbakti kepada manusia.  

Beliau pernah menghadapi berbagai cabaran sukar dalam hidupnya. Namun, semuanya dihadapi dengan penuh tenang dan sabar. Beliau sentiasa berasa dekat dengan Allah SWT sehingga perkara-perkara yang memeritkan itu dapat dilaluinya dengan mudah atas bantuan daripada-Nya jua.

Pernah kereta yang dinaiki oleh beliau terlibat dalam kemalangan, ia terbalik beberapa kali sehingga badan kereta tersebut remuk. Namun, beliau telah terkeluar dari kereta tersebut dalam keadaan selamat tanpa sebarang luka.

Pernah sekali terbakar deretan beberapa kedai dengan api yang sungguh marak. Namun, apabila api yang menjilat-jilat itu hampir sampai ke kedai miliknya, ia pun padam dengan tiba-tiba.

Sekali peristiwa, beliau telah tercekik tulang ikan sehingga doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan ke atasnya. Namun, setelah 10 minit masuk ke dalam bilik bedah, beliau keluar semula dengan penuh sihat tanpa menjalani proses pembedahan kerana doktor secara tiba-tiba mendapati tulang ikan tersebut telah pun hilang.

Semoga Allah SWT melimpahkan rohnya dengan limpahan rahmat-Nya yang maha luas. Amin...


P/S: Ucapan terima kasih & penghargaan kepada Puan Mahawa atas pembetulan.

Friday, February 13, 2015

TUAN GURU DATO’ NIK ABDUL AZIZ NIK MAT رحمه الله


BIODATA TUAN GURU DATO’ NIK ABDUL AZIZ NIK MAT


Nama:
-          Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat, yang merupakan keturunan Raja Jembal.

Tahun Lahir:
-          Sabtu 10 Januari 1931.
-          Beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik.

Tempat Lahir:
-          Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan.

Status perkahwinan:
-          Berkahwin dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak dan memperolehi 10 cahaya mata (5 lelaki & 5 perempuan). Kesemua anak-anaknya mengambil jurusan agama sebagai pilihan utama. Iaitu; Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Pendidikan:
-          Sekolah Pondok Kampung Kedai Lalat – 1936.
-          Sekolah Pondok Tok Kenali, Kubang Kerian.
-          Madrasah Ittifaqiyah, Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu.
-          Jamek Merbawi al-Ismaili, Kota Bharu (1945-1952).
-          Madrasah Darul Ulum, Deobond, India – 1952.
-          Jami‘ah di Lahore, Pakistan – Ilmu Tafsir Quran – 1957.
-          Universiti Al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.
-          Universiti Al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam - 1962.

Guru-guru:
-          Ayahnya, Tuan Guru Nik Mat Alim.
-          Tuan Guru Haji Abbas Mohamad.
-          Tok Kenali.
-          Tok Khurasan.
-          Tuan Guru Ali Pulau Pisang
-          Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan).
-          Syeikh al-Hadith Maulana Husain Ahmad Al-Madani.
-          Dll.

Penguasaan Bahasa:
-          Melayu, Inggeris,Tamil, Urdu dan Arab.

Pengalaman bertugas:
-          Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardhiyyah, Panchor.
-          Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka.
-          Penyelia Kelas Dewasa – KEMAS.
-          Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu - 1964.

Politik & Dakwah:
-          1967 – Daftar sebagai ahli PAS.
-          1967-1969 - Pilihanraya Kecil – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.
-          1969-1974 – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.
-          1974-1978 – Ahli Parlimen Kelantan Hilir (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa).
-          1978-1982 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
-          1983 – Pesuruhjaya PAS Kelantan.
-          1982-1986 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
-          1986-1990 – Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan.
-          1990-2013 – Menteri Besar Kelantan.
-          1995-2015 - Mursyidul ‘Am PAS
-          Pengerusi Majlis Syura Ulama PAS.

Penghargaan :
-          Jaksa Pendamai (JP) oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim (1968).
-          Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
-          Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ (1995).
-          Dato’ Bentara Setia Kelantan (2010).
-          Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah disenaraikan antara '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'. Beliau disenarai di tempat ke-42 dalam senarai “The 500 Most Influential Muslims In The World 2009” (500 Muslim yang Paling Berpengaruh di Dunia 2009) terbitan The Royal Islamic Strategic Studies Center. 

Karya-karya:
1.            Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian?
2.            Asma’ul Husna:Dengan Namamu Aku Hidup
3.            Bertemu Janji Allah
4.            Bicara Ini Demi Ilahi
5.            Bunga Kebahagiaan
6.            Hidayah
7.            Kemuncup dalam Perjuangan
8.            Mau’izhah: Catatan Bimbingan dari Seorang Guru
9.            Muhammad Bukan Nasionalis
10.        Muhammad Jejak Junjungan Mulia
11.        Muhammad SAW Insan Teladan Sepanjang Zaman
12.        Tafsir Al-Quran Surah-Surah Pilihan
13.        Taqwa
14.        Telaga Budi
15.        Tundukkan Hati
16.        Kisah Cinta dalam Al-Quran
17.        Akhlak Bermuamalat
18.        Nikmat Taman Syurga
19.        2 Jalan Dunia
20.        Hentian Terakhir
21.        Ingatlah Tempatmu di Akhirat
22.        Unplugged 2
23.        Kenal Pembeza Hak Dan Batil
24.        Soal Jawab Isu-Isu Mencabar Dalam Islam
25.        Insan Ingatlah,
26.        Khusyuk Dalam Solat,
27.        Nota Kepada Diri - 71 Nasihat Agama & Akhlak,
28.        Sirah Nabawiyyah,
29.        Keagungan Tamadun Islam
30.        Belajar Dari Para Wali.

Rujukan Biografi & Pemikiran:
-          Biografi Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz: Seorang Ulama' Serta Ahli Politik Malaysia Di Abad Ke-20.
-          Kezuhudan Umar Abdul Aziz, Kesederhanaan Nik Abdul Aziz - Wan Ji Wan Hussin. Terbitan: Kemilau Publika
-          Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat - Annual Bakri Haron & Abdul Shukur Haron. Terbitan: Kemilau Publika
-          Saat Cinta Bertasbih: Tribut Untuk Tuan Guru - Riduan Mohamad Nor, Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif, Rossem. Terbitan: Jundi Resources.
-          Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz. Penerbit : PTS Millennia.
-          Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat Kepimpinan Gaya Nabi - Habibul Izzah Ahmad.
-          Tok Guru: Sebuah Biografi Awal - Habibul Izzah Ahmad.
-          100 Mutiara Kata Nik Abdul Aziz Nik Mat Sepanjang 2010 - Ahmad Fadhli Shaari.
-      Hikmah Yang Mengalir Daripada Sang Murabbi - Ustaz Nik Mohamad Abduh & Ustaz Riduan Mohamad Nor. Terbitan: Jundi Resources
-          Jumaat bersama Tok Guru - Ann Wan Seng. Terbitan: Kemilau Publika

Wafat:
-          Tuan Guru Dato Nik Aziz telah kembali ke rahmatullah pada 12 Februari 2015 pada pukul 9:40 malam Jumaat, dalam usia 84 tahun.

رحمه الله تعالى رحمة واسعة



Tuesday, February 10, 2015

Harus Sedekah Pahala Kepada Si Mati

Tentu ada yang tertanya, persoalan ini sudah lama dibahas dan dibincangkan oleh para ulama. Justeru, kenapa perlu diungkit semula? Bukankah mereka yang berpuashati dengan dalil bolehnya tetap mengatakan harus, dan mereka yang berpuashati dengan dalil tidak bolehnya tetap mengatakan tidak harus? Memang benar, namun kita masih kekurangan dalam soal berlapang dada dan soal adab ikhtilaf. Tulisan ini sebenarnya hanya bertujuan untuk menjawab persoalan sesetengah orang yang masih mempertikaikan dan tidak mahu menerima ikhtilaf ulama dalam masalah ini. Di samping untuk memberi pencerahan kepada sesetengah orang yang berasa samar dan keliru disebabkan momokan orang yang mempertikaikan itu. Apakah para ulama dan para ustaz yang mengamalkannya selama ini sebenarnya salah dan sesat?

Isu ini adalah salah satu isu paling utama dalam senarai sebuah fahaman kontemporari, selain soal ziarah, tawassul, tabarruk dan lain-lain yang berkaitan dengan alam barzakh. Ia merupakan salah satu masalah yang selalu ditimbulkan dan dibahaskan, sedangkan para ulama dahulu telah selesai lama membahaskannya. Keputusannya, mereka yang tidak bersetuju dengan memberi sedekah pahala kepada si-mati tetap mengatakan tidak bersetuju dan mendakwa ia tidak dilakukan oleh Nabi SAW dan para salaf. Sebaliknya, mereka yang berpendapat boleh memberi sedekah pahala kepada si-mati tetap mengatakannya boleh kerana ia masih di dalam ruang lingkup nas-nas dan dalil-dalil hukum syarak.  

Khilaf Ulama Yang Muktabar

Perlu diketahui, bahawa para ulama bersepakat yang pahala haji, sedekah, permohonan doa dan istighfar boleh sampai kepada si mati. Namun, mereka berselisih tentang pahala solat, puasa, bacaan al-Quran, zikir dan seumpamanya, adakah ia boleh disampaikan kepada si mati atau tidak?

-          Pendapat yang mengatakan sampai pahala tersebut ialah daripada Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad (menurut satu riwayat yang masyhur daripadanya), sebahagian ashab Imam Malik dan ramai ashab Imam al-Syafi‘i.

-          Manakala pendapat yang mengatakan tidak sampai pahala tersebut ialah daripada Imam Malik, Imam al-Syafi‘i (menurut satu riwayat yang masyhur daripadanya) dan Imam Ahmad (menurut riwayat lain daripadanya).

Sebagaimana yang jelas tertera, masalah ini termasuk dalam perkara khilaf di kalangan ulama mujtahidin. Maka, tidak sewajarnya dalam perkara khilaf sebegini kita masih melontarkan tuduhan bidaah, jahil, sesat dan sebagainya kepada pihak yang tidak sependapat. Perkara tersebut sepatutnya tidak perlu berlaku kerana perselisihan yang muktabar seperti ini tidak termasuk dalam perkara mungkar yang wajib dicegah.

Antara dalil-dalil yang mengharuskan

Secara ringkas, hanya dicatatkan di sini sebahagian dalil-dalil pihak yang mengatakan boleh memberi sedekah pahala kepada si mati, kerana perbincangan lanjut mengenai dalil-dalil kedua-dua belah pihak secara panjang lebar boleh dirujuk kepada kitab-kitab yang telah membahaskannya secara terperinci.

1- Hadis:
عن ابن عمر قال: سمعت النبي صلى اللّه عليه وسلم يقول: إذا مات أحدكم فلا تحبسوه وأسرعوا به إلى قبره وليُقرأ عند رأسه بفاتحة الكتاب وعند رجليه بخاتمة البقرة في قبره. (رواه الطبراني في المعجم الكبير والبيهقي فى شعب الإيمان والخلال في القراءة عند القبور، ولفظه: بفاتحة البقرة، قال الهيثمي: فيه يحيى بن عبد الله البابلتي، وهو ضعيف. وقال الحافظ ابن حجر في فتح الباري: أخرجه الطبراني بإسناد حسن. وله شاهد من حديث عبد الرحمن بن العلاء بن اللجلاج عن أبيه، قال الهيثمي: رجاله موثقون. فالحديث عندي حسن لغيره على الأقل)
Terjemahan: 
Dari Ibnu ‘Umar RA katanya: Aku dengar Nabi SAW bersabda: “Apabila mati salah seorang dari kamu, maka janganlah kamu menahannya dan segeralah membawanya ke kubur dan bacakanlah di sisi kepalanya Fatihah al-Kitab (dalam lafaz lain: pembukaan al-Baqarah) dan di sisi kedua kakinya penutup al-Baqarah di kuburnya”. (Hadis riwayat al-Tabarani, al-Baihaqi dan al-Khallal dengan sanad hasan li ghairih)

2- Hadis:
روي عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ رضي الله عنه أَنَّ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: اقْرَؤُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس. (رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ وَالنَّسَائِيُّ وابن ماجه وأحمد والحاكم وابْنُ حِبَّانَ وَصَحَّحَهُ، وأقره الحافظ ابن حجر في بلوغ المرام، وحسنه السيوطي، وضعفه آخرون لجهالة أبي عثمان وأبيه)
Terjemahan:
Diriwayatkan dari Ma‘qil bin Yasar RA dari Nabi SAW bersabda: “Bacakanlah ke atas orang yang telah mati di kalangan kamu surah Yasin”. (Hadis riwayat Abu Dawud, an-Nasa’i, Ibn Majah, Ahmad, al-Hakim dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya)

Terjemahan ini berdasarkan kepada zahir lafaz hadis bagi yang berpendapat boleh sedekah pahala kepada si-mati dan menghukumkan darjatnya hasan berdasarkan penilaian Abu Dawud, al-Hakim, Ibn Hibban, Ibn Hajar dan al-Suyuti. Manakala, sebahagian ulama lain mentafsirkannya, “…orang yang hendak mati di kalangan kamu” dan menghukumkan tarafnya daif.    

3- Hadis:
عَنْ جَابِرٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: « مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَنْفَعْهُ ». (رواه مسلم وابن ماجه وأحمد)
Terjemahan:
Dari Jabir RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mampu dari kalangan kamu untuk memberi manfaat kepada saudaranya, maka berilah manfaat kepadanya”. (Hadis riwayat Muslim, Ibn Majah dan Ahmad)

Jika dalam hal urusan dunia kita digalakkan oleh syarak supaya saling bantu membantu antara satu sama lain, apatah lagi dalam hal urusan akhirat yang merupakan suatu kehidupan yang kekal abadi.

4. Hadis Nabi SAW meletakkan pelepah kurma di atas kubur.

Dari Ibnu ‘Abbas, katanya: “Bahawa Nabi SAW pernah melewati dua buah kubur, lalu baginda bersabda: “Kedua-dua mereka sedang diseksa, padahal mereka diseksa bukanlah kerana melakukan perkara besar. Adapun salah seorang daripada mereka, ia selalu tidak betul-betul bersuci (istibra’) dari kencingnya. Manakala yang seorang lagi pula suka mengadu domba.” Kemudian Nabi mengambil satu pelepah kurma hijau, lalu dibelahnya menjadi dua. Lantas, baginda menanamkan setiap satunya pada kedua-dua kubur tersebut. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, mengapa tuan berbuat demikian?” Jawab baginda: “Moga-moga kedua-dua mereka diberi keringanan selama pelepah ini belum kering”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam kisah yang lain, menurut riwayat Muslim, Nabi SAW menyuruh Jabir RA mengambil dua pelepah kurma, lalu baginda meletakkan setiap satunya di atas dua buah kubur dan bersabda: “Aku telah melewati dua buah kubur yang kedua-dua penghuninya diazab, maka aku ingin supaya dengan syafaatku ia diangkat daripada mereka berdua selamamana kedua-dua pelepah ini masih basah”. Dalam kisah yang lain lagi, menurut riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi SAW melewati sebuah kubur, lalu baginda meminta dua pelepah kurma, maka salah satunya diletakkan di sebelah kepala mayat dan satu lagi diletakkan di sebelah kakinya.

Kata Imam al-Khattabi: “Padanya terdapat dalil istihbab (disukai) membaca al-Quran di atas kubur kerana jika dapat diharapkan terhadap si mati agar diringankan azab dengan sebab tasbih tumbuh-tumbuhan, maka bacaan al-Quran itu tentu lebih besar lagi harapan dan barakahnya”. (‘Umdah al-Qari)

5- Dalil kias dengan amalan haji, puasa, sedekah, doa dan istighfar yang jelas sahih nas-nasnya.

Tohmahan Terhadap Ulama Mazhab Syafi'i

Antara kritikan yang dilontarkan kepada ulama-ulama Syafi'i yang berpendapat boleh memberi sedekah pahala untuk si-mati ialah kononnya mereka membelakangi Imam al-Syafi'i dan tidak bertaklid kepadanya dalam isu ini kerana Imam al-Syafi'i mengatakan tidak sampai pahala kepada si-mati. Adakah ini benar? Sedangkan ada kenyataan jelas daripada Imam al-Syafi'i sendiri yang zahirnya bertentangan dengan apa yang dinukilkan daripada beliau. Iaitu kata Imam al-Syafi'i dalam kitab al-Umm:
وأحب لو قرئ عند القبر ودعي للميت.
“Dan aku suka kalau dibacakan (al-Quran) di sisi kubur dan didoakan untuk si mati”.

Imam al-Khallal meriwayatkan dalam kitabnya al-Qira’ah ‘inda al-Qubur daripada al-Hasan bin al-Sabbah al-Za‘farani: “Aku bertanya al-Syafi‘i tentang bacaan (al-Quran) di sisi kubur, lalu beliau menjawab: Tidak mengapa”.

Barangkali timbul persoalan, sekiranya pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati, mengapa Imam al-Syafi‘i membenarkan bacaan al-Quran di kubur? Ini tidak lain selain memberi maksud bahawa si-mati dapat memperolehi manfaat dengan bacaan al-Quran daripada orang yang hidup itu. Jika tidak, tentu ia hanya suatu amalan yang sia-sia dan tidak mungkin Imam al-Syafi‘i menggalakkan kepada sesuatu yang sia-sia seperti ini. Walaupun dikatakan yang masyhur daripada beliau ialah pahala bacaan al-Quran tersebut tidak sampai kepada si-mati.

Imam an-Nawawi, tokoh besar dalam Mazhab Syafi'i telah menukilkan dalam kitab-kitabnya dua pendapat Imam al-Syafi'i yang kelihatan bertentangan ini.

  1. Kata Imam an-Nawawi dalam Riyad al-Salihin: Kata al-Syafi'i rahimahullah: Disukai agar dibacakan di sisinya (si mati) sedikit daripada al-Quran. Jika mereka mengkhatamkan al-Quran keseluruhannya itu adalah baik.”

  1. Kata Imam an-Nawawi dalam al-Azkar: “Kata al-Syafi'i dan ashab: Disukai agar mereka membacakan di sisinya (si mati) sedikit daripada al-Quran. Kata mereka: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran keseluruhannya itu adalah baik. Telah kami riwayatkan dalam Sunan al-Baihaqi dengan isnad hasan, bahawa Ibnu ‘Umar RA menyukai agar dibaca di atas kubur sesudah pengebumian awal surah al-Baqarah dan akhirnya”.

  1. Selang beberapa lembar dalam al-Azkar, Imam an-Nawawi menyebut pula: “Ulama berselisih tentang sampainya pahala bacaan al-Quran. Maka yang masyhur dari mazhab al-Syafi'i dan sekumpulan ulama bahawa ia tidak sampai. Manakala Ahmad bin Hanbal, sekumpulan ulama dan sekumpulan ashab al-Syafi'i berpendapat bahawa ianya sampai".  

  1. Kata al-Imam al-Nawawi dalam Fatawanya (hlm. 83): "Masalah: Adakah sampai kepada si-mati pahala apa yang disedekahkan untuknya, doa, ataupun bacaan al-Quran? Jawapan: Sampai kepadanya pahala doa dan pahala sedekah dengan IJMAK ULAMA. Dan mereka berselisih pula tentang pahala bacaan al-Quran. Maka kata Ahmad dan sebahagian ashab al-Syafi'i: Ia sampai. Manakala kata al-Syafi'i dan kebanyakan ulama: Tidak sampai".  

  1. Kata al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (7/90): “Pendapat yang masyhur dalam mazhab kami (Imam al-Syafi'i) bahawa bacaan al-Quran untuk si mati tidak sampai pahalanya kepadanya. Manakala, kata sekumpulan ashab kami (al-Syafi'iyyah): Sampai pahalanya kepadanya. Ini juga pendapat Ahmad bin Hanbal".

  1. Kata al-Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu‘: “Disukai agar menunggu seketika di atas kubur selepas pengebumian, berdoa dan beristighfar untuk si mati. Ini telah dinyatakan oleh al-Syafi'i dan disepakati oleh ashab. Kata mereka: Disukai agar dibacakan di sisinya sedikit daripada al-Quran dan jika mereka mengkhatamkan al-Quran, itu adalah afdal (lebih baik)”.   

Secara ringkas, meskipun Imam al-Syafi'i tidak jelas mengatakan bahawa memberi sedekah pahala dapat sampai kepada si-mati, namun beliau seperti yang jelas dalam kitabnya sendiri yang dapat kita faham daripadanya, berpendapat bahawa si-mati dapat memperoleh manfaat daripada amalan orang yang hidup. Bagi keluar dari sedikit kekeliruan ini, ulama Syafi'i telah menghuraikan dengan lebih lanjut dengan menyatakan bahawa kita perlu berDOA selepas bacaan al-Quran tersebut agar disampaikan pahalanya kepada si-mati, kerana DOA yang dipohonkan akan sampai kepada si-mati secara ijmak ulama. Kata Imam an-Nawawi dalam al-Azkar: “Pendapat yang dipilih ialah hendaklah pembaca mengucapkan selepas selesai daripadanya: Ya Allah, sampaikanlah pahala apa yang kubaca ini kepada si fulan, wallahu a‘lam”.    

Menurut Syeikhul Islam Zakaria al-Ansari dalam Fath al-Wahhab: “Apa yang disebut sebagai pendapat yang masyhur dalam mazhab itu dimaksudkan sekiranya ia dibaca bukan di hadapan si mati dan tidak meniatkan pahala bacaannya kepadanya, atau ada meniatkannya tetapi tidak berdoa”. Jadi kata-kata Imam al-Syafi'i dalam kitab al-Umm: “Dan aku suka kalau dibacakan (al-Quran) di sisi kubur dan diDOAkan untuk si mati”, bermaksud jika kita tidak berDOA selepas bacaan al-Quran tersebut memohon agar disampaikan pahalanya kepada si-mati, maka ia tidak akan sampai kepada si-mati. Inilah maksud sebenar Imam al-Syafi'i, wallahu a‘lam.

Ini pun yang sebenarnya diamalkan oleh kebanyakan orang yang mengharuskan amalan tersebut, di mana mereka akan berDOA memohon agar disampaikan pahala amalan yang dilakukan kepada si-mati. Selain bacaan al-Quran, termasuk juga bacaan tahlil, zikir dan juga selawat. Ini berdasarkan dalil umum hadis sahih yang menyebut bahawa kalimah yang baik itu juga merupakan sedekah (الكلمة الطيبة صدقة). Dan pahala SEDEKAH juga sampai kepada si-mati secara ijmak ulama.

Kata Imam al-Qurtubi dalam al-Tazkirah: “Asal dalam bab ini ialah SEDEKAH yang tiada ikhtilaf padanya. Maka sebagaimana sampai kepada si mati pahalanya, maka demikian juga sampainya bacaan al-Quran, doa dan istighfar kerana semua itu adalah SEDEKAH. Sesungguhnya sedekah itu tidak terkhusus hanya dengan harta sahaja”. Sebab itu amalan dalam masyarakat kita ialah berdoa menyebut: “Pahala bacaan ini kita SEDEKAHkan kepada si fulan, si fulan...”.

Karya-karya ulama berkaitan isu ini

Para ulama telah membincangkan masalah ini secara panjang lebar berserta hujah-hujah dan dalil-dalil dalam banyak karya yang telah disusun secara khusus. Antara karya-karya ulama dari berbagai mazhab berkaitan dengan masalah ini, yang saya susun menurut kronologi kewafatan pengarangnya adalah sepertimana berikut;

1- (القراءة عند القبور) oleh al-Imam Abu Bakr Ahmad bin Muhammad bin Harun al-Khallal al-Hanbali (w. 311H).

2- (هدية الأحياء للأموات وما يصل إليهم من النفع والثواب على ممر الأوقات) oleh al-Imam ‘Ali bin Ahmad bin Yusuf al-Hakkari (w. 489H).

3- (كتاب صلات الأحياء إلى الأموات) oleh al-Imam ‘Abd al-Ghani bin ‘Abd al-Wahid al-Maqdisi al-Hanbali (w. 600H). 

4- (انتفاع الأموات بإهداء التلاوات والصدقات وسائر القربات) oleh al-Imam Abu Ishaq Ibrahim bin al-Muzaffar Ibn al-Barni al-Harbi al-Mawsili al-Hanbali (w. 622H). 

5- (نفحات النسمات في وصول الثواب إلى الاموات) oleh al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Ibrahim al-Saruji al-Hanafi (w. 701H).

6- (رفع الأصوات في نفع الأموات) oleh al-‘Allamah Zainuddin Sarija bin Muhammad al-Malti (w. 788H).

7 (الكواكب النيرات في وصول ثواب الطاعات إلى الأموات) oleh al-‘Allamah Saaduddin Sa‘id bin Muhammad Ibn al-Diri al-Maqdisi al-Hanafi (w. 867H).

8- (قرة العين بالثواب الحاصل للميت والابوين) oleh al-Hafiz Syamsuddin Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi (w. 900H).

9- (رسالة في نفع مساعي الأحياء للأموات) oleh al-‘Allamah Awhaduddin ‘Abd al-Ahad al-Nawawi bin Mustafa bin Isma‘il bin Abi al-Barakat al-Siwasi (w. 1061H).

10- (القول البات في إيصال الثواب للأموات) oleh Syeikh Ibrahim bin Husain bin Ahmad Ibn Biri al-Hanafi, mufti Hanafi di Makkah (w. 1099H).

11- (القول السديد في وصول ثواب فعل الخيرات للاحياء والاموات بلا شك ولا ترديد) oleh Syeikh ‘Isa bin ‘Isa al-Sifati al-Hanafi al-Buhairi (masih hidup tahun 1131H). 

12- (رسالة في لحوق ثواب القراءة المهداة من الأحياء إلى الأموات) oleh al-Imam Muhammad bin ‘Ali al-Syawkani (w. 1250H).

13- (إفادة الطلاب بأحكام القراءة على الموتى ووصول الثواب) oleh al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad bin Ahmad bin ‘Abdul Bari al-Ahdal (w. 1298H).

14- “Pembantu Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca al-Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati” oleh al-‘Allamah Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul Muttalib al-Mandili (w. 1385H).

15- (إسعاف المسلمين والمسلمات بجواز القراءة ووصول ثوابها إلى الأموات) oleh al-‘Allamah Syeikh Muhammad al-‘Arabi bin al-Tabbani al-Maliki al-Jaza’iri (w. 1390H).  

16- (توضيح البيان لوصول ثواب القرآن) oleh al-‘Allamah al-Sayyid ‘Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1413H).

17- (الآيات البينات في وصول ثواب الطاعات والقراءة إلى الأموات) oleh Syeikh Ishaq ‘Aqil ‘Azzuz (w. 1415H).

18- (تحقيق الآمال فيما ينفع الميت من الأعمال أو هدايا الأحياء للأموات) oleh Dr. al-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani (w. 1426H).

19- “Sampaikah Doa Amal Orang Hidup Untuk Yang Mati?” oleh Ustaz Salim bin Usman, Jakarta. Selesai ditulis pada tahun 1978.

20- (دفع الافتئات بجواز الجلوس للتعزية والقراءة للأموات) oleh Dr. ‘Isa bin ‘Abdullah bin Mani‘ al-Himyari.

21- “Sampaikan Pahala Kepada Si Mati” oleh Tuan Guru Hj. Yahya Zikri bin Alang Mat Piah, Telok Intan.

22- “Sampaikah Amalan Orang Hidup Kepada Arwah?” oleh Syeikh Dr. Muhammad Afifi al-Akiti, pensyarah di Universiti Oxford. Kitab kecil ini diberi kata-kata aluan oleh Mufti Perak, Sahibus Samahah Dato' Seri Hj. Harussani bin Hj. Zakaria.

23- “Tahlil dan Kenduri Arwah Tidak Haram” oleh Ustaz Dr. Zamihan Mat Zin al-Ghari.

24- “Benarkah Tahlilan & Kenduri Haram?” oleh Kiyai Muhammad Idrus Romli.

25- (إهداء ثواب قراءة القرآن للميت) oleh ‘Ali bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Ali Dubais.

26- (قراءة القرآن الكريم يصل ثوابها للميت) Markaz al-Fatwa, Islam Web, Jabatan Dakwah dan Bimbingan Agama, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar.

27- Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Mesir.


29- Fatwa-fatwa ulama yang mengharuskan dalam isu ini amatlah banyak sekali... Wallahu a‘lam.
 
# Berdasarkan penelitian, isu ini juga sebenarnya berasaskan prinsip saling bantu membantu antara satu sama lain dalam kalangan sesama saudara Islam, sebagaimana maksud firman Allah SWT:Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam melakukan dosa dan pencerobohan” (Al-Ma’idah: 2). Perbahasan ini tentu sekali tidak berkaitan dengan orang-orang yang malas beramal ibadat semasa hidup di dunia dan hanya mengharapkan sedekah pahala daripada orang lain setelah ia mati kelak. Orang seperti ini hanya merugikan diri sendiri dengan kerugian yang amat besar kerana ia meninggalkan sesuatu yang dijamin baginya dan mengharapkan sesuatu yang belum dijamin baginya. Apakah pasti nanti ada orang yang akan menyedekahkan pahala kepadanya? Berapa banyakkah yang ia akan perolehi berbanding jika ia lakukan amal ibadat sendiri? Apakah ia pasti akan terlepas dari beban kewajipan-kewajipan yang ditinggalkan dan dosa-dosa yang dilakukan? Ia sewajarnya mengetahui bahawa perkara ini hanyalah di atas ijtihad para ulama dan bukannya sesuatu yang diijmakkan oleh mereka kecuali yang telah nyata sabit nas-nasnya. Semoga Allah SWT memelihara kita semua. Amin…   


وفقنا الله لما يحب ويرضى...